Kelab Greenboc |
- [KEJAM] Dirogol Depan Adik Dan Sepupu
- Pembantu Wakil Rakyat Pakatan Dakwa Dipukul Polis Dalam Lokap
- Pasca Gempa Bumi Aceh: 5 Disahkan Maut
- Sri Wani Dibenar Buat Pindaan Injunksi Halang Madu-madunya Buat Kenyataan
- [TAZKIRAH] Gempa Bumi & Tsunami: Satu Amaran Awal Dari Langit Kepada Yang Angkuh!
- Aziz Bari : Pembaziran Melampau BN Yang Akan Mufliskan Negara
- Pendakwa Tarik Balik Tuduhan, Shamsubahrin Dilepaskan Tanpa Dibebaskan
- [WASPADA] Makcik Temui Lipas Dalam Roti Berjanama
- [Bergambar & Video] Kampar Dilanda Banjir Teruk, Nizar Turut Sama Bantu
- [Video] Mexico Digegarkan Gempa Bumi, Tiada Kerosakan Teruk
[KEJAM] Dirogol Depan Adik Dan Sepupu Posted: 13 Apr 2012 12:11 AM PDT Enggan hanya berpuas hati dengan hasil samun, seorang lelaki yang memecah masuk ke dalam sebuah apartmen dihuni lima gadis bertindak merogol salah seorang daripada mangsa. Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek dalam kejadian jam 4 pagi kelmarin di sebuah apartmen di Damansara Damai. Menurut sumber, suspek yang pada mulanya hanya ingin mengambil barangan berharga milik mangsa, berubah fikiran dan ingin melampiaskan nafsunya ke atas salah seorang mangsa. Bersenjatakan pisau, suspek mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mereka menjerit atau cuba melarikan diri. "Penyamun bertopeng itu memilih mangsa berusia 20-an dan merogol mangsa sambil diperhatikan oleh adik dan sepupunya yang berumur 17 dan 20 tahun di dalam bilik," katanya. Mangsa dirogol sambil pisau diletakkan di lehernya oleh suspek yang melarikan diri sebaik selesai melakukan perbuatan terkutuk itu. Sumber itu berkata, mangsa sempat mengecam wajah suspek selepas lelaki itu menanggalkan topengnya yang dipakainya. Suspek memasuki apartmen terbabit dengan memecahkan mangga rumah dan mengambil masa kira-kira sejam sebelum melarikan diri. "Ketika kejadian terdapat dua lagi rakan serumah mangsa namun mereka tidak menyedari kejadian itu kerana tidur di bilik lain," katanya. Ketiga-tiga mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan dan suspek terlibat sudah dikenal pasti. "Polis ketika ini sedang melancarkan gerakan memburu suspek yang ketika ini berada di sekitar Lembah Klang," katanya. Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan seksyen 395 samun bersenjata. -SH |
Pembantu Wakil Rakyat Pakatan Dakwa Dipukul Polis Dalam Lokap Posted: 12 Apr 2012 11:12 PM PDT Putrajaya – Seorang pembantu ahli parlimen di Kelantan mendakwa dipukul tiga anggota polis ketika dalam tahanan, bulan lalu. Mangsa, Ahmad Amin Draman, 47, ditahan kerana dituduh membakar bendera dan mengganggu ceramah sebuah parti politik di Tanah Merah, Kelantan, 11 Mac lalu. Ahmad berkata, pada awalnya dia ke Balai Polis Tanah Merah bagi memberi keterangan, tetapi terkejut apabila ditahan atas beberapa pertuduhan. Dia ditahan dari 26 Mac hingga 3 April lalu. "Semasa dalam tahanan, saya dimarahi seorang anggota polis kerana tidak menutup pili air dan atas sebab itu, tiga anggota polis lain membawa saya ke lokap yang tiada kamera litar tertutup, memukul di perut dan kaki. "Mereka mengatakan saya samseng dan melakukan perbuatan tidak senonoh dalam lokap," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani dan Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa. Sementara itu, Fariz berkata, polis perlu mengambil tindakan dengan menyiasat perkara ini atas dasar ketelusan dan profesional. -SH |
Pasca Gempa Bumi Aceh: 5 Disahkan Maut Posted: 12 Apr 2012 08:04 PM PDT Lima maut dalam gempa Aceh BANDA ACEH: Lima orang terbunuh dan seorang kanak-kanak cedera parah apabila satu gempa besar melanda kawasan pantai utara Indonesia kelmarin. Menurut jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Encik Sutopo Purwo Nugroho, sekurang-kurangnya dua orang meninggal dunia akibat serangan jantung, seorang meninggal dunia akibat terkejut dan seorang kanak-kanak cedera parah setelah terjatuh dari pokok. 'Korban jiwa dan kerosakan lain masih disiasat,' katanya kepada pihak media menerusi kiriman mesej khidmat pesanan ringkas (SMS). Beberapa penduduk turut dilaporkan cedera ketika cuba melarikan diri ke kawasan tanah tinggi. Gegaran gempa kelmarin mengimbas memori bencana tsunami pada 2004 yang menyorbankan sekitar 220,000 jiwa di negara Lautan Hindi. Namun, tiada kerosakan teruk akibat gempa sekuat 8.6 pada Skala Richter dan gempa susulan berukuran 8.2, kelmarin. Selain daripada dinding retak dan sebatang jambatan rosak, penduduk kawasan itu mengatakan seperti tiada apa-apa yang berlaku. 'Saya benar-benar rasakan doa saya terkabul,' kata Encik Usman Basyah, 45 tahun, yang kehilangan seorang anak lelaki dalam bencana tsunami 2004, yang membunuh 170,000 penduduk Aceh. 'Saya amat bersukur. Kami sudah cukup melalui trauma,' katanya yang berniaga kecil-kecilan. Dua gempa besar dan gegaran-gegaran susulan menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan sejauh Afrika. Dengan kekuatan 8.6 pada Skala Richter, gempa pertama kelmarin merupakan yang ke-10 paling kuat bagi tempoh 100 tahun lalu dalam senarai 10 gempa paling kuat - gempa lain dalam senarai itu telah menyebabkan bencana tsunami berlaku. -- Reuters, AP. Penduduk masih trauma |
Sri Wani Dibenar Buat Pindaan Injunksi Halang Madu-madunya Buat Kenyataan Posted: 12 Apr 2012 06:08 PM PDT Kuala Lumpur - Mahkamah Tinggi Syariah hari ini membenarkan pengusaha produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, yang berhadapan dengan isu pertikaian jantinanya, membuat penambahan perkara dalam injunksi 'ex-parte' yang difailkannya terhadap madu-madunya. Injunksi tersebut dipohon bagi menghalang mereka dari mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes dan tidak mengganggunya. Sri Wani, 37, menjadi tarikan umum apabila suaminya, bekas dekan universiti, Bahrom Sunagi, 61, memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan. Dia mendakwa Sri Wani seorang lelaki. Bahrom turut memohon mahkamah memerintahkan ujian DNA dijalankan bagi mengesahkan jantina isteri ketiga itu, yang dinilkahi pada 19 Ogos 2009. Susulan kes itu, Sri Wani memfailkan bantahan awal dengan alasan dia dianiaya. Awal minggu ini, ibu saudara Sri Wani, Connie Chee yang memberitahu bahawa Sri Wani adalah perempuan. Connie menceritakan, Sri Wani diserah kepada ibu bapanya sejak lahir dan anak saudaranya itu membesar sebagai seorang perempuan. -SH
klik untuk baca |
[TAZKIRAH] Gempa Bumi & Tsunami: Satu Amaran Awal Dari Langit Kepada Yang Angkuh! Posted: 12 Apr 2012 04:08 PM PDT Gempa bumi yang melanda Aceh semalam menggegarkan dunia sehingga 22 buah negara telah mengeluarkan amaran tsunami. Ia adalah satu "amaran awal" dari Maha Pencipta, bagi mereka yang dapat membaca "ayat Allah" itu dengan mata hati. Sepastinya bencana semalam mengingatkan kita kepada peristiwa yang lebih besar iaitu taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam. Dan juga tsunami pada tahun 2004, dimana kematian mencecah lebih 120,000 dan tsunami di Jepun pada tahun lepas, dimana lebih 15,000 mangsa terkorban. Banjir di zaman Nabi Nuh a.s. diketahui adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia. Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alaihi as-Salaam itu dijadikan iktibar. Ini adalah kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat 11-12: "Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran" Apabila kita meneliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam, saya mendapat kefahaman bahawa ia tidak jauh berbeza dengan bencana Tsunami 2004 dan 2011. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni daratan perairan tertentu, tidak segenap pelusuk bumi. Renungilah ayat-ayat di dalam surah Hud ayat 40 – 41 berikut: "Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. " Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan air dari apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai at-Tannur. At-Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau oven yang digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di dalamnya. Alangkah ganjilnya apabila kita cuba berfikir, bagaimana air keluar melimpah dari ketuhar yang di dalamnya api menyala-nyala! Liqa' Mutahaab FiLlaah Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas Al-Qurani: 'Ard Waqaa'ie' wa Tahlil Ahdaath [Darul Qalam 1419H / 1998M] menyatakan bahawa hikmah Allah SWT di dalam hal ini amatlah besar. Sesuatu yang diketahui umum, air berfungsi memadamkan api. Akan tetapi jika api itu menyala-nyala di tengah air, bagaimanakah ia boleh dipadamkan? Bagaimanakah api dan air boleh 'mesra' di dalam ketuhar yang membakar itu? Sesungguhnya fenomena seperti ini menggambarkan betapa miskinnya qudrat manusia untuk memadamkan api yang menyala-nyala itu sebagaimana mereka juga tidak mampu mengekang air yang melimpah-limpah dari punca api tersebut. [mukasurat 191] Kita melihat fenomena banjir dan ombak besar di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam dan hubungkaitnya dengan 'ketuhar' itu dari satu sudut lain yang mungkin boleh difikirkan bersama. Pada tsunami 2004 dulu, kita sama-sama difahamkan bahawa ombak Tsunami itu dicetuskan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Gempa bumi ini berkait rapat dengan Lingkaran Api Pasifik. Batu batan dan api yang membara di perut bumi ini menjadikan kawasan terbabit tidak stabil sehingga mencetuskan gelinciran benua dan jenis-jenis gempa bumi yang lain. Dalam erti kata yang lain, seolah-oleh ombak besar gempa bumi dan Tsunami ini datang dari ketuhar Lingkaran Api Pasifik yang disebutkan sebentar tadi. Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam itu juga lebih hebat dari Tsunami itu. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat 42 – 43: "Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. " Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada bencana Tsunami tersebut? Apakah hanya dengan berfikir tentang usaha mengadakan sistem amaran awal semata-mata? Kita bernasib baik kerana Tsunami yang melanda kita duhulu tidak menelan semua sekali bahkan Malaysia mengalami keajaiban apabila angka kematiannya begitu kecil berbanding dengan negara jiran Acheh. Allah masih mengizinkan kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata. Firman Allah SWT: "Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus" (Al-Anfaal: 25) Gempa bumi dan Tsunami tidak menelan hakim yang menghukum penari tiang hanya RM25 di Seremban. Gempa bumi dan Tsunami tidak mengundang rebah Flat Pekeliling di Kuala Lumpur walaupun gegarannya cukup kuat untuk mendesak penghuninya lari bertempiaran. Gempa bumi dan Tsunami ini belum seperti 'Tsunami di zaman Nuh Alayhi as-Salaam'. Pertamanya, terimalah hakikat bahawa bencana ini bukan 'kejadian alam tanpa sebab'. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang maha menakutkan. Tsunami di Acheh misalnya, yang menyaksikan penindasan pemerintah yang membunuh jutaan penduduk yang mahukan Acheh berdiri bebas merdeka. Bukit bukau di Acheh menjadi gunung kubur manusia yang dibunuh kejam. Tsunami menelan Selatan Thailand yang penah bermandi darah Muslim Tak Bai, Masjid Kerisik dan sebagainya. Thailand itu juga menyajikan industri seks sebagai tarikan pelancong ke Phuket dan lain-lain. Tsunami juga menelan Sri Lanka dan India yang menjadi pentas tradisi menyembelih umat Islam. Tsunami juga menelan Maldives yang menjadi destinasi pelancongan pengunjung warga Barat sehinggakan nilai Islamnya langsung tenggelam tidak kelihatan. Sesungguhnya Tsunami menelan tanah air dan anak watan yang begitu peri lakunya. Amat pedih untuk menyebut hakikat ini, namun kita perlu akur. Janganlah terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab. Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" Seterusnya, ingatlah kembali kepada apa yang telah disebutkan di awal tadi, bahawa Allah SWT mengekalkan kisah ini di dalam ingatan sekalian manusia, agar kita semua mengambil peringatan. Qatadah telah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari [Sahih al-Bukhari nombor 4869], "Allah SWT telah mengekalkan kapal Nuh supaya ia sampai kepada pengetahuan generasi awal umat ini". Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alaihi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum baginda wafat pulang kepada Allah. Imam Ahmad dan al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Aas Radhiyallahu 'anhuma, beliau berkata: Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata: "Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)" Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya "Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!" Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi "Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya: "Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki. Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)" Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik? Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)? Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)? Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)? Rasulullah SAW menjawab, "Tidak" Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu? Nabi SAW menjawab, "Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!" [Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79] Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alaihi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan. Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini. Manusia angkuh dengan Allah, orang ramai bongkak dengan hukum hakamNya, malah kita masih ingat ada yang berani berpesta di Sungai Nibong walaupun bencana Tsunami pernah melanda dikawasan itu hanya beberapa kilometer jaraknya. Sebuah stesyen TV masih tidak segan silu meneruskan silsilah Konsert Sure Heboh yang hanya mengukuhkan lagi hedonisma sebagai rukun kehidupan masyarakat sekarang. Di dalam beberapa pilihanraya kecil, parti kerajaan merancakkan program hiburan dengan lori 1Malaysia bersama penari separa bogel. Baru beberapa minggu lalu kita dikejutkan dengan gejala menari tiang hanya dihukum RM25 dan Menteri Hal Ehwal Agama mempertahankannya! Seorang pemimpin yang kini menjadi Perdana Menteri pernah memperlekehkan hukum Allah. Tidakkah sikap begini bermaksud memperlekehkan kebenaran? Bukankah sikap ini yang terpilih menjadi amaran Nabi Allah Nuh yang menyaksikan umatnya ditenggelamkan oleh gempa bumi dan 'Tsunami'? Ada juga suara-suara yang membela kononnya, gempa bumi dan tsunami takkan berlaku di Malaysia. Kita selamat. Malah kita boleh bina logi nuklear kerana tsunami takkan berlaku di Malaysia, katanya. Kononnya kita mempunyai sistem kalis-gagal selaras dengan kemajuan yang telah dicapai oleh sains dan teknologi, dan orang ramai tidak perlu takut mengenai keselamatannya. (UKM Portal) Keangkuhan suara itu samalah seperti keangkuhan suara anak Nabi Nuh seperti yang dikisahkan di dalam Surah Hud tadi. Ia benar-benar mencabar Allah s.w.t. Kita ulangkan petikan Surah Hud ayat 42 – 43 tadi: "Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. " Apabila masyarakat kita diperingatkan dengan kebenaran, ramai yang gembira mempersendakan kebenaran tersebut. Ramai yang memperlekehkan ayat-ayat Allah tanpa segan silu. Bahkan dengan sifat jelek seperti itu, tidak hairan jika ramai pula yang zalim, menindas sesama manusia sama ada dengan kuasa, akta, mahu pun sikap dan tanduk di peringkat individu. Apakah kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia tersenak hidung dengan gelimpangan mayat seperti di Jepun, di Acheh, baru mahu tersentak dari kelekaan semua dan selama ini? Setiap kali menonton siaran berita di televisyen, kita tidak dapat menahan sebak di dada. Tetapi apabila mengenangkan kebiadapan manusia hari ini, mungkin Tsunami sahaja yang mampu memecahkan tempurung kepala kita hari untuk untuk faham dan menginsafi kuasa Allah SWT. Ceramah tak makan, motivasi tak jalan, nasihat tak dilayan, teguran dipinggirkan, yang menang akhirnya tetap hiburan dan keseronokan. Tidakkah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan? Tepuk dada tanyalah iman… Salam takziah untuk tamadun manusia. "Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi." (Al-A'raaf 98-99) muhdhazrie/GB |
Aziz Bari : Pembaziran Melampau BN Yang Akan Mufliskan Negara Posted: 12 Apr 2012 08:32 AM PDT Dakwaan pemimpin Umno-BN bahawa negara bakal muflis dalam tempoh dua tahun sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memegang tampuk pemerintahan dan menunaikan tiga janji mereka adalah tidak tepat. Sebaliknya Umno-BN 'terlupa' bahawa perkara yang menyumbang kepada negara muflis adalah pengurusan tidak telus, pembaziran melampau dan subsidi yang terlalu besar kepada kroni mereka. Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata pentadbiran Umno-BN sepatutnya mengambil iktibar daripada cara pemerintahan Pakatan terutamanya di Selangor. Di negeri itu pengurusan yang lebih telus, berhemat serta berjimat telah mengembalikan hasil negeri kepada rakyat. "Sebagai contoh di Kedah, kerajaan PR menurunkan cukai tanah dan dapat meningkatkan hasil balak daripada pentadbiran yang telus. "Begitu juga di Selangor, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tawas dan sebagainnya yang dilaksanakan untuk rakyat tidak menjadikan negeri itu muflis. Bahkan kalau kita tengok, simpanan tunai di Selangor juga meningkat walaupun pelbagai program kebajikan dilaksanakan. Justeru, tidak timbul soal bangkrup," ujarnya apabila ditemui di sini. Tegasnya, tiga janji yang ditawarkan Pakatan, penghapusan kutipan tol, gaji minima RM1,500 sebulan dan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tidak akan merugikan negara. Tambahnya, kenyataan yang dibuat Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini berhubung mekanisma untuk memansuhkan PTPTN juga meyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara akan bertambah baik di masa hadapan. "Sekiranya kerajaan berupaya membersihkan amalan rasuah dan kronisme yang diamalkan dalam pentadbiran negara, maka ekonomi dapat berkembang dengan baik, sekaligus menjadi jaminan untuk mengelakkan negara muflis," jelasnya. Mengulas lanjut, Aziz berkata, keadaan ekonomi negara yang merudum juga menunjukkan bahawa kerajaan sekarang kurang berdaya saing dengan negara luar sehingga mengakibatkan kos pentadbiran semakin tinggi. "Saya tidak nampak bagaimana mereka (Umno-BN) boleh mengubah sikap mereka seperti yang dijanjikan kerana kita lihat sendiri program transformasi yang diwar-warkan juga gagal. "Dari segi itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka bukanlah pemerintah yang baik. "Jadi, rakyat sudah cukup jelas bahawa kerajaan sekarang perlu digantikan supaya Pakatan dapat tunjukkan satu formula dan pendekatan lebih baik, murah, kompetetif untuk mengurus tadbir negara," katanya. -selangorku |
Pendakwa Tarik Balik Tuduhan, Shamsubahrin Dilepaskan Tanpa Dibebaskan Posted: 12 Apr 2012 07:21 AM PDT Kang: Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail pada Khamis dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada tuduhan menipu seorang pemandu teksi dua tahun lepas. Majistret Ho Kwong Chin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Elya Ezrin Mohd Roslan memaklumkan bahawa beliau telah menerima arahan daripada pihak Jabatan Peguam Negara pada 10 April lepas untuk menarik balik pertuduhan terhadap Shamsubahrin. Ahli perniagaan itu yang berasal dari Bukit Jelutong, Shah Alam, diwakili peguam J.Rao dan Zarina Ismail Tom. Turut hadir peguam pemerhati bagi pihak pengadu, Rasshidi Syed. Pada 27 Januari lepas, Shamsubahrin, 46, mengaku tidak bersalah menipu Limat Jonit, 57, dengan mempelawa lelaki itu melabur dalam perniagaannya yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan RM90,000 ke akaun ahli perniagaan itu di Maybank Pelabuhan Klang di sini pada 24 Mac 2010. Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih 10 tahun, dan boleh dikenakan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. Shamsubahrin turut menghadapi dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu menipu pengarah syarikat National Feedlot Corporation Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail, membabitkan jumlah RM1.755 juta. Selain itu, ahli perniagaan tersebut menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam iaitu memperdaya seorang wanita untuk membekalkan dua pembantu rumah dengan bayaran RM13,000. - BERNAMA |
[WASPADA] Makcik Temui Lipas Dalam Roti Berjanama Posted: 12 Apr 2012 06:46 AM PDT Nyaris makan roti berperisa lipas TELOK EMAS - Seorang pekerja sebuah syarikat swasta hampir termakan bangkai lipas selepas disangkanya kismis di dalam sekeping roti berjenama terkenal. Zawiyah Abdul Rahman, 60, berkata, dia membeli roti berkenaan di sebuah pasar mini ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, semalam. Menurutnya, ketika kejadian dia sedang menikmati hidangan sarapan pagi di pejabatnya bersama beberapa rakan sekerja. "Saya terkejut sebaik menyedari 'kismis' dalam roti berperisa coklat berkenaan adalah seekor lipas kerana rupanya yang seakan-akan sama. "Saya sudah makan separuh daripada kepingan roti tersebut dan nasib baik saya cepat sedar kerana jika tidak, sudah tentu saya kenyang makan roti berperisa lipas," katanya, semalam. Zawiyah berkata, dia sering menjadikan roti tersebut untuk dinikmati ketika sarapan pagi dan itu adalah kejadian pertama dialaminya. "Saya benar-benar serik dengan apa yang berlaku ini dan akan berhati-hati selepas ini. "Saya juga kesal dengan sikap pengusaha roti yang mengabaikan aspek kebersihan sehingga berlakunya kejadian seumpama ini," katanya. |
[Bergambar & Video] Kampar Dilanda Banjir Teruk, Nizar Turut Sama Bantu Posted: 12 Apr 2012 04:43 AM PDT Kampar: Seramai 400 penduduk empat buah kampung di sini dipindahkan pagi ini setelah kediaman mereka dinaiki air sedalam tiga meter berikutan air melimpah dari Sungai Kampar. Gambar: KEDIAMAN penduduk di Kampung Nyior, Kuala Dipang dekat Kampar dinaiki air akibat hujan lebat sejak tengah malam tadi. Banjir terburuk sejak 30 tahun itu menyebabkan penduduk berkenaan terpaksa ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar, Perak, hari ini. - Foto L Manimaran Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Abdul Aziz Salleh berkata Kampung Baru, Kampung Pasir, Kampung Kuala Dipang dan Kampung Malaya itu telah dipindahkan ke Sekolah Menenengah Kebangsaan Kampar. Hujan lebat sejak petang pada Rabu menyebabkan air sungai melimpah dan membanjiri kampung terbabit sehingga sampai ke bumbung rumah. Abdul Aziz berkata tiada laporan dibuat mengenai mangsa yang hilang atau mengalami kecederaan. Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Rela, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir itu. - BERNAMA Kampar dilanda banjir, 124 keluarga dipindahkan |
[Video] Mexico Digegarkan Gempa Bumi, Tiada Kerosakan Teruk Posted: 12 Apr 2012 02:23 AM PDT Mexico City: Satu gempa bumi kuat melanda Mexico pada Rabu, menggegarkan bangunan di ibu negara dan menyebabkan orang ramai bergegas keluar dari pejabat walau tidak ada laporan awal kerosakan. Gambar: GEMPA bumi bermagnitud 7.0 menggegarkan barat Mexico hari ini mengakibatkan pekerja di bergegas keluar daripada bangunan, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS). - Foto Reuters Datuk Bandar Mexico City, Marcelo Ebrard berkata pada akaun Twitter terdapat tiada tanda-tanda awal kerosakan yang serius dan perkhidmatan utama ibu negara, termasuk sistem laluan bawah tanah dan lapangan terbang antarabangsa yang beroperasi seperti biasa. "Ada bunyi menakutkan dalam bilik mandi dan semuanya bergoncang," kata Adela Arceo, yang menjaga dua kanak-kanak di bandar Roma, kawasan kejiranan Mexico City. Tiada laporan awal mangsa terkorban. Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata gempa bumi 7.0 magnitud melanda negeri barat Michoacan pada kedalaman 40,8 batu (65.6 km). Perkhidmatan kecemasan di Michoacan dan di negeri jiran Guerrero, yang telah dilanda beberapa siri gempa bumi baru-baru ini, dilaporkan tiada masalah utama pada hari Rabu. Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Honolulu berkata tidak mengeluarkan amaran tsunami, tetapi kakitangan, David Walsh berkata gempa bumi itu adalah dekat dengan air, cukup besar dan cukup dalam yang berpotensi mengalami tsunami. Ia merupakan gempa bumi ketiga utama yang melanda Mexico dalam tempoh kurang daripada satu bulan. Gempa 7.4 magnitud telah melanda pada 20 Mac, merosakkan beratus-ratus bangunan di barat daya. Ia kemudiannya telah diikuti oleh berpuluh-puluh gegaran susulan. Strong earthquake shakes Mexico City, causing tall buildings to sway, people to evacuate |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan