DUNIACACAMARBA |
- [KANTOI] Ronnie Liu Dedah Kerajaan Pusat Sekat Usaha Atasi Banjir di Selangor
- Tanah Rizab Melayu di Kelantan KEKAL Sejak 1930, Sangkal FITNAH UMNO dan Utusan
- Jika Anda Gemar Mencium TELINGA Anak, Isteri, Suami, Sila Baca Kiriman Ini!
- [Video] Hasan Ali Dakwa Kristianisasi Didalang Mubaligh Australia, Pelayar Internet Persoal Kesahihan Video Pengakuan Murtad
- [Video] Hasan Ali Tayang 3 Klip Video Didakwa Pengakuan Individu Murtadkan Orang Islam
- Dr Rani: Ahli PAS Tidak Perlu Layan Video Murtad Hasan Ali
- Wanita Dakwa Diserang Pengacara Program Gosip Popular TV
- Duda 83 + Dara 61
- Tanpa Sumber Minyak, Turki Mampu Berikan Pendidikan Percuma, Malaysia Catat Untung RM90 Bilion Hasil Petroleum
[KANTOI] Ronnie Liu Dedah Kerajaan Pusat Sekat Usaha Atasi Banjir di Selangor Posted: 02 Apr 2012 06:45 AM PDT [HD] SHAH ALAM, 2 April: Tuduhan Datuk Seri Noh Omar yang menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor ekoran kejadian banjir kilat di Klang menunjukkan mentaliti pemimpin UMNO-Barisan Nasional yang sentiasa mempolitikkan isu. Tetapi, mereka tidak memberi sebarang idea untuk penambahbaikan dan menyelesaikan masalah. Malaysia beriklim khatulistiwa yang menerima hujan lebat melebihi 2000mm setahun. Justeru, masalah banjir perlu diatasi secara holistik oleh Kerajaan Pusat dan mana-mana kerajaan negeri, kata Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu (gambar atas). Di Selangor, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab menyelesaikan masalah banjir. Namun begitu, JPS adalah jabatan persekutuan yang berada di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Oleh itu, dana dan peruntukan pengurusan dan pembangunan adalah datangnya dari Kerajaan Pusat, tambah beliau. Menurut beliau, peruntukan untuk JPS di Selangor telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) manakala Kerajaan Negeri hanya bertanggungjawab kepada pembayaran gaji pegawai dan kakitangan JPS yang bekerja di negeri ini. "Ini bermakna semua urusan pembangunan dan pengurusan sungai adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat termasuk kerja-kerja tebatan banjir," dakwanya. Walaubagaimanapun, kata Exco kerajaan tempatan itu, menyedari masalah banjir adalah besar maka Kerajaan Negeri Sejak 2008, telah menguatkuasakan peraturan bahawa sebarang projek pembangunan perlu dibuat mengikut kejadian dataran banjir 50 tahun. Ini berbeza dengan amalan pentadbiran negeri terdahulu yang tidak mengikut dataran banjir 50 tahun. Kerajaan negeri terdahulu juga tidak mempunyai pelan pembangunan yang teratur. "Justeru, banjir kilat baru-baru ini merupakan hasil dari produk pembangunan yang dilakukan oleh mereka," dakwa Ronnie. Menurut beliau, kerajaan Negeri Selangor sudah berbincang dengan JPS dan dimaklumkan JPS telah memohon RM1 billion daripada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah banjir ini termasuk menjalankan kerja-kerja pengurusan, pembersihan dan penyelenggaraan sungai. Peruntukan ini telah dimasukkan dalam RMK-10 tetapi apa yang mendukacitakan kita ialah permohonan ini bukan dianggap permohonan penting oleh Kerajaan Pusat malah permohonan ini dikategorikan tahap ketiga. Lebih malang lagi, tambahnya, meskipun ada seorang menteri dari Selangor iaitu Noh Omar tetapi beliau gagal menekankan kepentingan dana RM1 billion diturunkan ke Negeri Selangor. Beliau bukan sahaja gagal memastikan peruntukan disalurkan malah beliau cuba menyalahkan pegawai dan kakitangan profesional JPS, katanya. "Persoalaannya, bagaimana JPS mampu melaksanakan tugas dengan baik jika Kerajaan Pusat menyekat peruntukan ini dan Noh Omar pula tidak melihat peruntukan ini penting kepada rakyat Selangor khususnya di daerah Klang?" soal beliau. Bagi Ronnie, memperkecilkan kakitangan JPS bukan jalan terbaik menyelesaikan masalah banjir. Malangnya, tambahnya, apabila berlaku musibah seperti bencana alam seperti ini, pemimpin BN tanpa usul periksa menyalahkan kakitangan kerajaan. Bagi Ronnie, Noh Omar tidak jauh beza dengan mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo yang menuduh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) menyerahkan konsesi air kepada Puncak Niaga sedangkan seluruh negara tahu keputusan ini dibuat oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri ketika itu. Noh Omar tidak perlu berdolah-dalih dalam isu ini. "Jika beliau jujur untuk membantu rakyat Selangor, beliau perlu mendesak Kerajaan Pusat menyalurkan segera peruntukan RM1 biliion kepada JPS supaya masalah banjir dapat diatasi segera," katanya. |
Tanah Rizab Melayu di Kelantan KEKAL Sejak 1930, Sangkal FITNAH UMNO dan Utusan Posted: 02 Apr 2012 06:24 AM PDT [HD] KOTA BHARU, 2 Apr: Pada 1960 negeri-negeri di Semenanjung mewujudkan Enakmen Tanah Rizab Melayu bertujuan menyekat orang Melayu menjual tanah mereka sewenang-wenangnya kepada bangsa lain. Sedangkan di Kelantan Enakmen Tanah Rizab Melayu diwujud pada 4 November 1930 semasa di bawah pentadbiran Inggeris. Sejak tempoh itu tanah rizab Melayu di Kelantan kekal seperti mula diwujudkan iaitu seluas 1,309,153.38 hektar atau 85 peratus, manakala bukan rizab Melayu seluas 195,197 hektar (15 peratus). Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, di Kota Bharu ada kawasan digazet sebagai tanah rizab Melayu dan bukan rizab Melayu sejak 1930. "Tanah di kawasan tebing Sungai Kelantan di bandar ini termasuk dibangunkan hotel adalah bukan tanah rizab Melayu," katanya ketika membentang kertas kerja pada Seminar Masa Depan Tanah Rezab Melayu di Kota Bharu, kelmarin. Program tersebut dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan diadakan di Kelantan Trade Centre. Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah, Datuk Prof Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof turut membentang kertas kerja. Baru-baru ini akhbar milik Umno mendakwa Kelantan menggadai tanah rizab Melayu kepada bukan Bumiputera sehingga melibatkan ribuan hektar asalnya berstatus tanah pertanian. Malah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad dilaporkan mendakwa kerajaan Kelantan menggadai tanah rizab Melayu kepada sebuah syarikat bukan Melayu di Mengkebang. Bagaimanapun Husam menjelaskan tanah di daerah Mengkebang yang dimaksudkan pemimpin terbabit bukan tanah rizab Melayu yang digazet sejak 1930. Sedangkan kata beliau tanah-tanah rizab Melayu di negeri-negeri lain semakin berkurangan kerana kerajaan BN tidak berminat menjaga kepentingan orang Melayu. "Walhal menurut Enakmen Tanah Rizah Melayu secara jelas menyebut mana-mana tanah yang diambil hendaklah diganti di tempat lain menurut nilai harga tanah yang diambil," katanya. Sementara itu Dr Nik Mohd Zain berkata, beberapa negeri di bawah BN tidak berminat mengganti kawasan tanah rizab Melayu yang diambil untuk projek awam. P/s: Cuba selidik tanah rizab Melayu di negeri yang dikuasai UMNO. Cuba selidik jumlah tanah rizab Melayu di Lembah Klang. |
Jika Anda Gemar Mencium TELINGA Anak, Isteri, Suami, Sila Baca Kiriman Ini! Posted: 02 Apr 2012 05:06 AM PDT [BH] NEW YORK: Seorang profesor audiologi mengenal pasti lebih 30 orang hilang pendengaran selepas dicium di telinga dan jumlah itu berkemungkinan lebih ramai. Penyelidik dari Universiti Hofstra di Hemstead, New York, Dr Levi Reiter berkata seorang wanita menemuinya kerana kehilangan pendengaran selepas anaknya berusia lima tahun menciumnya di telinga, lapor MSNBC.com yang dipetik akhbar Korean Herald. Reiter berkata beliau menyangkakan pada ketika itu kes wanita itu sangat unik tetapi kemudian beliau mendapati kes yang sama pernah berlaku sekitar 1950 an. Selepas akhbar Long Island melaporkan penemuannya, beliau turut menerima maklum balas daripada orang ramai yang mengalami masalah sama. Reiter berkata sedutan kuat pada gegendang daripada ciuman menarik rantaian tiga tulang kecil dalam telinga yang mengakibatkan gegaran di dalam cecair koklea atau di dalam telinga. Beliau berkata mungkin lebih banyak kes kehilangan pendengaran seumpama ini terjadi kepada bayi dan kanak-kanak bagaimanapun ibu bapa mungkin tidak mengaitkannya dengan ciuman. Kehilangan pendengaran sehala disebabkan hembusan ke telinga, bunyi bising seperti letupan bunga api di atas kepala atau penggunaan putik kapas yang ditolak terlalu dalam, kata Reiter. Beliau turut bercadang untuk menghantar penemuan berkenaan kepada Jurnal Audiologi Antarabangsa dan Jurnal Otorhinolaringologi Kanak-kanak Antarabangsa. – Agensi. |
Posted: 02 Apr 2012 02:22 AM PDT [MK] Presiden NGO pro-Melayu Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali hari ini mendedahkan video yang didakwa menunjukkan gerakan kristianisasi ke atas orang Islam. Dua versi video, masing-masing sepanjang 42 minit dan 16 minit, didedahkan kepada media dalam satu sidang media di kediaman bekas exco hal ehwal agama Islam Selangor itu, di Petaling Jaya. Video berkenaan antara lainnya menunjukkan temubual dengan sepasang suami isteri yang mendakwa pernah dikristiankan oleh sekumpulan mubaligh Australia. Seorang daripadanya, yang dinyatakan identiti samaran sebagai Ramli Abdullah, 47, turut menceritakan bahawa beliau pada asalnya didekati kumpulan mubaligh berkenaan yang menawarkan pekerjaan, tempat tinggal dan juga makan minum. Lelaki itu juga mendakwa pernah dimasukkan ke dalam satu kolam renang sebagai simbolik kepada satu upacara pembaptisan. Dalam ramakan itu juga, beliau mendakwa bahawa apartment berkenaan terletak di satu lokasi eksklusif di Kuala Lumpur. Lelaki berkenaan, bersama isterinya, bagaimanapun telah kembali kepada Islam pada akhir tahun lalu, dakwa seorang pembantu Hasan Ali yang menayangkan video berkenaan. Pembantu berkenaan, Suwardi Yaacob berkata demikian ketika ditanya sama ada pasangan berkenaan telah kembali memeluk Islam. Dalam sidang medianya, Hasan berkata kesemua individu yang ditemubual dalam rakaman tersebut tidak ditunjukkan atas alasan keselamatan. Wartawan juga tidak dibenarkan merakam apa-apa bahagian daripada tayangan tersebut. "Memandangkan eksklusiviti rakaman yang dibuat, terutama melibatkan kedua-dua individu, saya dinasihatkan oleh barisan peguam dan individu yang beri pandangan mengenai perkara ini (untuk) tidak mengizinkan mana-mana pihak menerbitkan semua sebahagian atau sepenuhnya rakaman yang dibuat. "Permasalah keselamatan diri dan reputasi individu terlibat menjejaskan perkara pokok mengapa rakaman semula tidak dapat diberikan kebenaran," kata Hasan lagi. Video berkenaan merupakan bahan yang sering diuar-uarkan Hasan, sebagai bukti bahawa gerakan Kristian telah menjalankan usaha memurtadkan orang Islam, dalam siri jelajahnya selepas menubuhkan JATI. P/s: Beberapa orang tukang komen di MK mempersoal, mengapa tiada bukti video yang merakam acara "memurtadkan" umat Islam? Mengapa hanya mengemukakan video pengakuan, kerana ada logiknya, video pengakuan itu boleh jadi hasil rekayasa atau lakonan individu tertentu. Ada suara lain mempersoal, mengapa pendedahan video ini mengambil masa untuk didedahkan sedangkan HA boleh berbuat secara on the spot jika dia benar-benar memilikinya. Apa-apapun video ini wajar diserahkan kepada jabatan yang berkaitan agar siasatan dapat dilakukan, bukannya mendedahkan kepada media dan mensensasikannya. Selain kesahihan fakta video HA, pihak berkuasa juga perlu menyiasat video, tulisan, dan CD yang pernah hangat diperkatakan sejak awal 1990an dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Berkaitan: Pengakuan: 'Saya temui hingga 400 orang Melayu murtad' [SH] PETALING JAYA - 'Tiga ratus hingga 400 orang Melayu yang saya temui sendiri telah murtad." Begitulah pengakuan salah seorang dari dua individu yang didakwa terbabit dalam gerakan memurtadkan umat Islam di Malaysia. Ramli Abdullah (bukan nama sebenar), 47, turut memberitahu bahawa beliau pada asalnya didekati kumpulan mubaligh Kristian yang menawarkan pekerjaan, tempat tinggal dan juga makan minum. Menurutnya, beliau memeluk agama Kristian kerana daya tarikan kumpulan mubaligh terbabit yang sentiasa ambil berat tentang keperluan asas kehidupannya. "Sepanjang saya mengikuti kegiatan mereka, kumpulan ini mempunyai 20 hingga 30 orang Melayu yang telah bekerja untuk mereka. "Manakala selebihnya adalah warga asing yang kebanyakkannya warga Korea yang fasih berbahasa Melayu," katanya dalam satu rakaman video yang didedahkan oleh Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, hari ini. Katanya, penglibatan dalam gerakan memurtadkan orang Islam ini bermula pada 2004 setelah kembali dari dihantar belajar oleh kumpulan terbabit di Singapura. "Dalam gerakan ini tugas saya adalah untuk mendekati orang Melayu yang dikenal pasti berpotensi untuk dimurtadkan," katanya. Ramli berkata, upacara pembaptisan yang dilaluinya diadakan di sebuah apartmen di satu lokasi eksklusif di Kuala Lumpur. Menurutnya, oleh kerana dia orang Melayu, upacara berkenaan tidak boleh dijalankan di gereja dan mendakwa dia dimasukkan ke dalam satu kolam renang sebagai simbolik upacara. "Upacara ini dilakukan bagi membersihkan diri dan menjadikan saya orang baru dan kemudian saya perlu lafazkan sesuatu untuk menjamin tempat saya di syurga," katanya. Ramli memberitahu, kumpulan ini tidak secara terus memberi ganjaran kepadanya, sebaliknya mereka memberi imbuhan secara berperingkat seperti makan minum yang dijaga rapi sehinggalah diberi wang secara bulanan mencecah RM5,000. Hari ini, Hasan mendedahkan video yang didakwa menunjukkan gerakan kristianisasi ke atas orang Islam, seperti yang dijanjikan sebelum ini. Dua versi video, masing-masing sepanjang 42 minit dan 16 minit didedahkan kepada media dalam satu sidang media di kediaman bekas Exco Selangor itu di sini. Video berkenaan antara lainnya menunjukkan temu bual dengan sepasang suami isteri yang mendakwa pernah dikristiankan oleh sekumpulan mubaligh Australia. Lelaki berkenaan, bersama isterinya, bagaimanapun mendakwa telah kembali kepada Islam pada akhir tahun lalu. Wajah kesemua individu yang ditemu bual dalam rakaman tersebut tidak ditunjukkan atas alasan keselamatan, kata Hasan dalam sidang medianya kemudian. Wartawan juga tidak dibenarkan daripada merakam apa-apa bahagian daripada tayangan tersebut. Kiriman berkaitan di sini. |
[Video] Hasan Ali Tayang 3 Klip Video Didakwa Pengakuan Individu Murtadkan Orang Islam Posted: 01 Apr 2012 11:11 PM PDT Isu murtad ini bukan isu baru. Sejak awal tahun 1990-an lagi kita sering mendengar pengakuan bekas imam, individu yang mendakwa direkrut menjadi penyebar agama lain. Pengakuan mereka dimuatkan dalam CD atau disiarkan di laman web, majalah, dan akhbar tabloid. Isu ini juga pernah hangat diperkatakan sebelum disensasikan oleh HA semula. Malah Mufti Perak pernah mendakwa ratusan ribu orang Islam diancam gejala murtad yang dikaitkan dengan pengruh agama tertentu. Jabatan agama juga berkemungkinan mempunyai maklumat lanjut tentang hal ini hasil pendedahan bekas murtad yang kembali ke pangkal jalan. Yang peliknya, walaupun didedahkan oleh mufti mesra UMNO dan mungkin mempunyai maklumat penting daripada bekas murtad, namun apa tindakan yang telah diambil oleh kerajaan UMNO sehingga sekarang masih ada pihak yang mendakwa gejala murtad kian parah? Murtad bukan sahaja berlaku di Selangor, malah dengar khabar wabak ini lebih parah di Sabah dan di Sarawak. Walaupun hanya 1 kes, gejala murtad tetap sesuatu yang perlu ditangani dengan serius. Cuma yang kita tidak setuju apabila perkara ini dijadikan modal politik untuk kepentingan diri dan periuk nasi individu dan parti politik. Contohnya, mengapa UMNO terpekik terlolong meluahkan rasa bimbang kononnya penularan wabak murtad kian berleluasa sedangkan lebih 54 tahun kuasa di tangan mereka? Isu murtad ini perlu ditangani oleh kerajaan pusat (UMNO) yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan sebagainya. Mengapa perlu menghentam parti politik tertentu atau kerajaan negeri tertentu yang mempunyai kuasa yang terbatas? Jika kerajaan secara serius mahu menangani masalah ini, maka segeralah menguatkuasakan undang-undang pencegahan murtad dan mengambil tindakan lain yang bersesuaian. Berdasarkan laporan akhbar, ada beberapa negeri masih belum mewartakan undang-undang pencegahan ini. Jika HA ikhlas memperjuangkan isu ini, caranya bukan dengan mensensasikan di media sehingga mencetuskan kebimbangan penganut agama lain atau menyerang bekas parti politik atau kerajaan negeri yang pernah menjadi majikannya suatu ketika dahulu, tetapi mengesa kerajaan pusat (UMNO) yang memiliki kuasa untuk menangani isu ini secara proaktif dan hikmah. Dalam kalut-kalut kita memperkatakan isu murtad, kita perlu sedar bahawa murtad bukan hanya berlaku apabila orang Islam menganut agama lain atau terpengaruh oleh agama lain, tetapi boleh juga berlaku dengan menolak hukum dan perkara-perkara yang terkandung dalam al-Quran. Bayangkan berapa banyak orang di Malaysia boleh jatuh murtad apabila menolak atau memperlekeh hudud dan sebagainya. Adakah video ini yang dimaksukan oleh Hasan Ali? Klik sini. Berita Berkaitan: [BH] PETALING JAYA: Bekas Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hari ini dengan menayangkan video selama 16 minit kepada media membabitkan pengakuan dua individu yang didakwa terbabit dalam gerakan memurtadkan umat Islam di Malaysia. Beliau berkata, menerusi gerakan Unit Selamatkan Akidah (USA) pengakuan secara sukarela dua individu terbabit berjaya dirakam dan dipaparkan menerusi versi video di kediamannya, sebentar tadi. "Video pengakuan dua individu terbabit dirakam dalam tiga versi iaitu 16 minit, 42 minit dan versi yang tidak disunting itu satu jam 30 minit," katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari ini. Susulan tayangan video terbabit, pihak media dilarang merakam visual, audio dan imej yang disiarkan bagi menjamin keasliannya serta menghormati hak individu terbabit. Berdasarkan pemerhatian Berita Harian Online, video yang dihoskan Dr Hasan sendiri menampilkan seorang lelaki berusia 27 tahun memceritakan pengalamannya apabila dikristiankan. |
Dr Rani: Ahli PAS Tidak Perlu Layan Video Murtad Hasan Ali Posted: 01 Apr 2012 07:59 PM PDT Video murtad: Tak perlu layan, kata Pas [SH] SHAH ALAM – Pas tidak menggalakkan ahlinya, malah tidak akan menghantar wakilnya untuk mengikuti pendedahan video murtad oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali di kediamannya hari ini, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abd Rani Osman. "Pas Selangor sudah mendapat arahan daripada Pas Pusat, tidak perlu layan apa yang dia hendak cakap. Banyak lagi benda besar yang hendak berikan tumpuan seperti pengundi hantu, rasuah. Kita pandang isu ini isu kecil sahaja, bagi Pas Selangor, ini (pendedahah video) tidak penting. "Kita tidak galak ahli pergi tetapi kalau ada yang pergi tidak mengapa, terpulang. Itu mereka pergi atas kapasiti individu bukan mewakili Pas. Kalau hendak pergi, pergilah. Tiada masalah," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, Pas Pusat dan Selangor sememangnya sentiasa menentang sebarang usaha pihak tertentu yang cuba memurtadkan umat Islam. "Isu murtad ini memang perlu kita tangani tetapi bukan dengan cara pergi dengar orang seperti ini bercakap, dia pun tiada kuasa. "Kalau Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atau Majlis Agama Islam Selangor (Mais) buat, kita akan pergi. Masa dia jadi Exco, apa dia buat? Adakah murtad turun atau berkurangan," katanya. Beliau berkata, cukup dengan kehadiran media yang datang kerana media lebih berperanan membuat liputan dan menyiarkannya di televisyen, akhbar, internet dan sebagainya. Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, PKR Selangor tidak mahu terlibat dengan cerita 'seinci jadi sejengkal dan sekaki' seperti yang didedahkan bekas Exco Agama Islam Selangor itu. -SH Berkaitan: Hasan Ali dedah video cubaan murtad Isnin ini [MK] Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali berkata beliau akan mendedahkan pada hari Isnin ini, petikan video yang didakwanya akan membuktikan percubaan oleh orang Kristian untuk memurtadkan umat Islam. "Isnin ini, anda boleh lihat sendiri," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Kuala Lumpur petang ini. Sebelum ini, Hasan mendakwa beliau mempunyai bukti konspirasi Kristian untuk memurtadkan umat Islam - suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang. Orang Kristian menunggu video tergempar Hasan Ali: Satu lagi gimik politik [MC] Di mana sahaja Hasan Ali pergi, dunia bagaikan berpusing. Bukan sahaja untuknya, tapi untuk semua disekelilingnya terutama sekali orang Kristian. Isnin hadapan, rakyat Malaysia akan menunggu dengan penuh debar untuk video yang dijanjikan oleh Hasan Ali, yang menunjukkan orang Kristian sedang cuba memurtadkan orang Islam. "Saya sudah berjanji untuk menyiarkannya didalam video. Pada hari Isnin, kamu boleh saksikan sendiri," katanya pada sidang media semalam. Menurutnya, ada video sepasang suami isteri yang mengaku telah dibaptis dan dimurtadkan untuk memeluk agama Kristian, adakah berkata sepasang suami isteri atau ribuan suami isteri? Jika hanya satu, dia tidak tahu perbezaan antara satu dan seribu. Jika diingatkan kembali, dia pernah berkata dahulu semasa kekecohan serbuan Pusat Methodis Damansara Utama ribuan orang Islam telah dimurtadkan oleh gereja Kristian dan untuk menjalankan kegiatan itu, mereka menggunakan alatan canggih seperti kitab injil yang dibekalkan tenaga solar. Kenapa ambil masa yang lama? Sekarang, dia hanya ada video yang menunjukkan sepasang suami isteri sahaja dan kenapa terlalu lama untuk dia menunjukkan bukti itu? Adakah dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk memaksa mereka mengaku dosa itu dalam kes memalsukan bukti ala Umno? Jika terlalu lama masa diambil untuk membongkar cerita tentang sepasang suami isteri, bayangkan masa yang perlu diambil untuk membongkar kegiatan seribu orang Islam. Ia akan mengambil masa hamper 10 jangka hayat. Ini sahaja telah membuktikan masalah menyesatkan orang Islam tidak berlaku sebenarnya, tidak sepertimana yang mahu dibuktikan oleh Hasan Ali. Kenapa orang Kristian begitu galak hendak menyesatkan orang Islam? Untuk kekal dalam politik, perlu ada agenda. Ibrahim Ali dan Perkasa sudah mengambil tanggungjawab mempertahankan ketuanan Melayu. Semua agenda Melayu yang lain sudah dijaga oleh Umno dan PM. Jadi, yang tinggal hanyalah mempertahankan orang Islam daripada orang Kristian. Tiada cara yang lebih baik daripada menakut-nakutkan orang Islam terhadap gerakan memurtadkan mereka oleh orang Kristian. Menjadi begitu hina Sudah tertipukah kita? Kekecohan 7 bulan yang lalu apabila JAIS menyerbu DUMC dimana kita sudah tahu didalanginya, ramai yang mula tahu apa yang boleh dilakukan oleh Hasan Ali. Sungguh menyedihkan bahawa Hasan Ali sanggup menjadi begitu keji dalam menjalankan agendanya untuk melindungi orang Islam dari Kristian. Orang Islam yang takutkan Tuhan tahu ianya tidak mudah untuk mereka meninggalakan agama mereka dan memeluk Kristian dalam sekelip mata. Akan ada kes murtad dimana-mana dan bukan hanya orang Kristian yang memurtadkan orang Islam. Orang Islam juga menyebarkan dakwah untuk mengislamkan orang Kristian. Taksub adalah satu daripada sebabnya. Cintakan agama adalah satu lagi sebab. Di Malaysia, ada undang-undang yang menghalang agama lain dari berdakwah kepada umat Islam, jadi kemungkinan berlaku murtad adalah amat sedikit. Lagipun, sungguh besar perbezaan antara sepasang suami isteri dengan 18 juta orang Islam di Malaysia. Adakah ini relevan? Adakah ini membuktikan kenyataan Hasan Ali tentang geraka anti Kristian yang berjumlah jutaan ringgit yang akhirnya akan memalukan orang Kristian yang terdiri daripada 10% dari 28 juta rakyat Malaysia yang juga haknya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tiada kerja dan mencari agenda untuk memenangi kerusi Sekarang, Hasan Ali yang tiada kerja setelah dilucutkan jawatan dari PAS dan majlis eksekutif Selangor sekarang sudah menjadi penyelamat orang Melayu dengan NGO yang baru ditubuhkannya, JATI, yang akan dibiayai oleh tahu-tahu sajalah! Hasan mengharapkan JATI untuk menjadi penyambung karier politiknya. Melalui NGO ini, dia berharap agar Umno akan memberinya kerusi untuk dipertandingi pada PRU ke -13 nanti. Tapi, dengan Najib sebagai PM, presiden Umno, sudah kedengaran permintaan untuk memberi kerusi pada ahli yang senior, jadi ada harapankah Hasan Ali? Untuk Najib dan Umno, mereka tidak kisah untuk memberinya dana untuk mengacau pembangkang kerana ini membantu Melayu untuk menyokong mereka. Tapi amat sukar untuk mempercayainya kerana dia merupakan ahli PAS yang telah dipecat yang ingin menjadi MB yang tidak mendapat sokongan akar umbi, dan salah satu kerusi Umno yang amat berharga. Mungkin inilah yang menjelaskan kenapa JATI relevan pada Najib dan Umno. Dia mungkin boleh menipu mereka namun bukan rakyat yang mengundi nanti. Rakyat Malaysia sudah jemu pada katak yang tidak menghormati pengundi PRU ke 12 yang suka melompat parti. TIADA KATAK YANG AKAN MENANG PADA PRU KE-13! Jadi, Hasan Ali, adakah anda telah membelanjakan RM 300,000 untuk mengubah suai pejabat anda? Adakah ini cirri-ciri Islam? Apa sudah jadi pada semua ceramah motivasi dan moral anda tentang hidup berprinsip, adakah semua itu tipu belaka? Memang jenis pakar motivasi yang tidak tahu bagaimana untuk mengimbang keperluan sendiri! P/s: Isu murtad perlu ditangani secara serius, tanpa batasan politik, namun orang tahu motif dan niat HA. |
Wanita Dakwa Diserang Pengacara Program Gosip Popular TV Posted: 01 Apr 2012 07:00 PM PDT [BH] KUALA LUMPUR: Kegembiraan seorang wanita meraikan ulang tahun kelahirannya bertukar tragedi apabila diserang seorang seorang pengacara wanita TV popular bersama beberapa rakannya, termasuk memijak muka mangsa menggunakan kasutnya di sebuah pusat hiburan terkemuka, di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, pengacara wanita berusia 28 tahun itu yang pernah membintangi beberapa drama dan telefilem dikatakan menyerang mangsa berusia 20-an tanpa belas kasihan dengan memijak muka mangsa sekurang-kurangnya lima kali sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang akibat kecederaan teruk di muka dan kepala. Difahamkan, mangsa yang sedang bergembira meraikan hari lahir didatangi seorang wanita yang tidak dikenali sambil bertanyakan kepada mangsa sama ada pernah terpukul atau melakukan kekasaran kepada sesiapa sebelum ini, namun mangsa menafikan perkara itu. Mangsa yang berdiam diri kemudian didatangi seorang lelaki yang bertindak menampar muka mangsa dan menolaknya sehingga jatuh sebelum pengacara wanita itu datang dan memijak muka mangsa dengan kasutnya, menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong. |
Posted: 01 Apr 2012 06:24 PM PDT [HM] TELUK INTAN: Akhirnya pada usia 61 tahun, Aminah Alias menamatkan zaman anak daranya semalam, selepas selamat diijabkabulkan dengan duda beranak enam serta mempunyai 40 cucu dan 13 cicit. Pesara Pembantu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sejak empat tahun lalu itu kini bukan saja bergelar isteri, malah ibu, nenek dan moyang 'segera', sesuatu yang tidak pernah dijangka olehnya, namun bersyukur kerana hatinya terbuka untuk menerima Shahrin Dais, 83, sebagai suami. Aminah berkata, masih sukar untuknya menerima kenyataan sebagai isteri pada usia warga emas sekarang, namun percaya jodohnya sudah ditetapkan bersama Shahrin. Dia mengakui mempunyai ramai kawan lelaki ketika muda, namun sikap anti lelaki yang menebal menyebabkan hatinya tidak terbuka untuk berkahwin. "Saya pernah menolak beberapa pinangan ketika muda kerana hati tertutup dan belum mahu berumah tangga. "Namun, selepas bertemu dengannya (Shahrin), saya terus bersetuju untuk menjadi isterinya. Mungkin inilah jodoh," katanya yang ditemui pada majlis perkahwinannya, semalam. Sementara itu, Shahrin berkata, dia juga tidak menyangka pertemuan kali pertama dengan Aminah di sebuah warung kopi di Kampung Balun, Slim River pertengahan Februari lalu, membawa kepada perkahwinan. Menurutnya, ketika pertemuan kali pertama itu dia terus jatuh hati kepada Aminah sebelum sepakat membuat keputusan mendirikan rumah tangga awal bulan lalu. P/s: Semoga berbahagia hingga akhir hayat! |
Posted: 01 Apr 2012 05:48 PM PDT [KD] KUALA LUMPUR: Jika Turki yang tiada sesen pun hasil minyak mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya, tiada sebab Malaysia yang mencatat untung RM90 bilion setahun dari sumber petroleum tidak berupaya melakukan kebajikan sama. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Recep Tayyib Erdogan memberi pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat rendah hingga universiti walaupun baru tiga tahun memerintah Turki. "Bila kita sebut mansuh PTPTN, isu utama yang harus difokus ialah pendidikan percuma untuk semua rakyat terutama golongan miskin. Bukan isu nak pindahkan wang Petronas bayar PTPTN. "Prinsip asasnya ialah pendidikan percuma dari peringkat rendah hingga ke universiti," katanya pada dialog bertajuk 'Pemberdayaan Kebajikan dan Ekonomi Rakyat' anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Subang Jaya 31 Mac lalu. Beliau mengakui PTPTN adalah isu paling popular yang diaju kepadanya termasuk di facebook dan twitter. Walaupun PTPTN dimansuh, Anwar berkata, Pakatan Rakyat memberi jaminan tidak akan membuang kakitangan di perbadanan itu kerana mereka akan diserap ke Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. "Walaupun pegawai ramai, kita juga tetap pastikan khidmat atau mutu kerja mereka bertambah baik untuk rakyat," katanya. Mengenai pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan seperti yang termaktub dalam Buku Jingga, Anwar berkata ia tidak akan menjejaskan negeri lain. Ini kerana, katanya, 80 peratus hasil minyak itu mampu menampung perbelanjaan negara dengan memastikan royalti diurus mengikut pengurusan yang baik. "Keutamaan royalti 20 peratus difokus kepada golongan miskin. Apabila kita menyebut kemiskinan ia merangkumi sama ada Melayu, Dayak, Iban, Kadazan, Cina dan India. "Pada masa sama, kita memperketat prosedur kewangan selain pengurusannya dijalankan individu yang bertanggungjawab, amanah dan berintegriti," katanya. P/s: Kalau ikut cara pengurusan ekonomi BN, bantuan dan kemudahan untuk rakyat akan membankrapkan negara. Bagi mereka pelupusan hutang kroni atau pemberian subsidi kepada kroni berbilion-bilion RM, negara tidak akan bankrap. |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan