Ahad, 22 April 2012

.

.


Ulasan Pendek Malam

Posted: 21 Apr 2012 08:14 AM PDT

Zahid Kalau Penakut, Katakan Takut 

Seorang lagi naib presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Pertahanan tidak akan ke Perancis untuk menjadi saksi perbicaraan berhubung rasuah penjualan kapal selam yang dikaitkan dengan komisyen sebanyak RM500 juta yang diberikan dua orang pegawai tinggi kerajaan.

Isu pembelian kapal selam Scorpene  itu dikatakan ada kaitan dengan Najib Razak.

Kata Zahid dia tidak akan menghabiskan wang poket sendiri dan juga wang kerajaan dan terserah kepada Suaram kalau hendak menggunakan undang-undang Perancis untuk kepentingan politik. Iya terpulang juga kepada Zahid kalau dia merasakan tidak perlu dan dia boleh untuk tidak pergi tidak menjadi masalah.

Tetapi kata-kata Zahid kononnya Suaram tidak bertindak atas prinsip atau kebaikan undang-undang tetapi demi kepentingan politik, satu kata-kata menghina tidak wajar bahkan tidak profesional atau lebih tepatnya tidak bijak dari seorang menteri. Kata-kata itu juga bernada prejudis dan ego lebih kurang sama dengan kata-kata Khalid Nordin dalam isu PTPTN.

Dakwanya kerajaan telus mengikut undang-undang dan kononnya isu sudah jawab, soalnya kalau benar-benar telus kenapa enggan (takut) untuk pergi ke Perancis? Biasanya orang yang beralasan dan takut saja yang bersalah.

Bukankah dengan sedia menjawab apa-apa perkara dibangkit sebagai saksi ia membantu menjaga maruah negara dan juga perdana menteri yang dikaitkan dengan tuduhan itu. Atau pun Zahid sengaja mengambil tindakan demikian kerana ingin menyusahkan Najib? Almaklumlah khabarnya hubungan Zahid dengan Najib katanya tidak seintim dulu selepas ada seseorang yang lain menjadi jurumudi Rosmah.

Mahkamah Perancis telah menerima senarai saksi yang dicadangkan, saksi itu dikatalkan berwibawa (penting) ia termasuk Zahid sendiri dan Najib Razak.

Jawaban Zahid itu meletakkan dirinya sudah kecut perut untuk berdepan dengan mahkamah Perancis yang tentunya tidak mudah untuk dipermainkan seperti mahkamah Malaysia. [wm.kl.11:13pm 21/04/12]


Ulang Tahun Blog & Perkahwinan

Posted: 21 Apr 2012 05:42 AM PDT

Terima Kasih Atas Ucapan Selamat Rakan-Rakan


Hari ini adalah hari HUT perkahwinan saya dengan isteri Naimah Yaacob ke 29 tahun. Reaksi dan catatan rasa ringkas mengenainya sudah saya luahkan dalam Fb menjelang tengah malam tadi. Tiada apa yang ingin saya katakan melainkan terima kasih dan syukur kepada Ilahi kerana memberi ruang dan kesempatan kepada saya untuk hidup berkeluarga.

Di Arafah bersama isteri tahun 2007.
Saya berterima kasih kepada Allah s.w.t. di atas apa yang dikurniakan kepada saya dan isteri di sepanjang tempoh itu. Memang untuk membangun sebuah rumah tangga ia bukan mudah sebaliknya memerlukan kecekalan, kesabaran dan banyak berserah kepada Allah.

Kalau difikirkan besar nikmat dan rahmatnya dapat hidup berkeluarga.Untuk berumah tangga adalah cita-cita dan idaman semua orang yang sempurna.

Rumah tangga menguji sejauh mana kebolehan kita memimpin dan mengurus keluarga. Berumah tangga bermakna kita menjadi pemimpin kecil. Rumah tangga adalah pre sekolah yang akan membawa kita peringkat universiti seterusnya memungkinkan kita menjadi pemimpin negara di masa depan.

Rasanya saya juga sudah berjaya melewati pembelajaran itu dan sudah khatam untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi. Betapa tidak apa yang diharapkan dari sebuah perkahwinan ialah anak-anak. Selepas itu anak-anak menantu kemudian cucu dan kalau diberi kesempatan cicit sebagai zuriat penyambung perjuangan.

Alhamdulilah...saya sudah memperolehi itu semua, anak, menantu dan cucu. Dari segi prasarana - tempat kediaman rasanya sebuah rumah kecil di pinggir kota ini sudah berbaloi buat saya khasnya yang datang nun jauh dari kampung untuk berdagang hidup sambil berjuang di ibu kota ini.

Saya berbangga dengan pencapaian saya. Sebagai anak kampung yang datang ke Kuala Lumpur tanpa dihantar kereta besar atau dibekalkan wang ringgit yang banyak. Hanya doa ibu dan ayah mengiringi perjalanan menjadi azimat dan merupakan harta sebagai bekalan.

Atas realiti itu saya merasa bangga dan berterima kasih kerana berjaya berumah tangga, melewati zaman-zaman mencabar 10 tahun pertama, zaman transisi 10 tahun kedua dan zaman mengecap hasil 10 tahun ketiga.

Tip yang dapat saya kongsikan dengan rakan-rakan pejuang dalam membina sebuah rumah tangga, paling penting pengertian isteri terhadap jiwa dan perjuangan kita. Terus amalkan sikap qana'ah dan yakinlah kepada Allah sepanjang masa. Percayalah Allah mengenapkan apa yang kita tidak cukup (kalau kita meminta ataupun tidak) kepada-Nya. Atas prinsip itu saya tidak pernah merasa gusar, sedih ataupun tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam hidup. Bahkan rezeki dan keberuntungan saya, datang tanpa sedari.

Misalnya hari ini saya mempunyai ribuan kawan yang berhubung menerusi Fb dan blog. Suku dari yang ramai itu berintraksi secara langsung atau memerhati perjalanan hidup dan perjuangan saya, yang menilai perjuangan saya dan yang membaca tulisan-tulisan saya. Ini satu lagi rahmat yang Allah kurniakan kepada saya menerusi alam cyber.
 
Saya berdoa dan terus mengharapkan doa rakan-rakan semua untuk kesejahtraan dan kebahagiaan kami anak beranak. Terima kasih kepada rakan yang sudi menghulurkan sepatah doa atau ada lintasan di hati untuk mengharapkan kami bahagia. Yang paling terasa dan mengharukan saya ialah ucapan selamat dari rakan-rakan Fb di wall.

Bulan April ini juga berkebetulan genapnya usia blog saya (Merah Tinta), lima tahun. Saya rasa tidak perlu banyak saya mengulas akan pencapaian blog saya serta memberi statistik tertentu kerana saya sering bercerita mengenai hal itu sebelum ini. InsyaAllah blog dan Fb akan menjadi gelanggang baru untuk saya menyemarakkan perjuangan. Memandangkan dunia perbukuan sekarang ini kurang 'menggemaskan', menyebabkan kehadiran buku saya yang menyapa rakan-rakan dan pembaca budiman tidak serancak dulu.

Bagaimana pun sebagai memenuhi permintaan dan menjawab pertanyaan rakan 'bila lagi buku baru akan keluar', waktu ini saya sedang menyusun beberapa tulisan dalam blog yang dikira relevan untuk dihimpunkan menjadi buku dengan tambahan beberapa bab baru yang menyentuh isu-isu terkini khasnya mengenai pilihan raya umum ke-13. Samada ianya berhasil dan menjadi kenyataan bergantung penuh kepada sokongan anda budiman.

Salam hormat dan kasih sepanjangnya dari saya.
MSO dan isteri Naimah Yaacob.
[wm.kl.8:15 pm 21/04/12]

Tiada ulasan: