Blog-list Malaysia |
- SPR Ternyata Gelabah Dengan Bersih 3.0
- Kalau Cerita Mahfuz Karut.. Saman Aje la..
- MCA dicabar keluar BN jika Lynas diteruskan
- Najib kata jangan tukar pemandu tengah jalan
- Tiada lagi sebab untuk demo, kata Khairy
SPR Ternyata Gelabah Dengan Bersih 3.0 Posted: 04 Apr 2012 11:04 PM PDT Tindakan anjur Himpunan Bersih 3.0 terburu-buru, kata Wan Ahmad KUALA LUMPUR, 5 April — Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menempelak langkah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan perhimpunan bantahan pada 28 April ini di ibu negara sambil menyifatkan ia tindakan terburu-buru. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini menegaskan Bersih sepatutnya menerima laporan 22 cadangan yang diusulkan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan pilihan raya dan menyerahkan kepada agensi itu untuk meneliti terlebih dahulu. Jelas Wan Ahmad, tindakan menganjurkan himpunan Bersih 3.0 adalah tidak wajar memandangkan SPR belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi terhadap cadangan PSC. Pada 9 Julai lalu, Bersih telah menganjurkan himpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara mendesak pembaharuan sistem pilihan raya. "PSC dah kerja kuat selama enam bulan... SPR akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk mengkaji cadangan itu dengan terperinci," kata Wan Ahmad kepada The Malaysian Insider. "Beri kita kaji dulu (cadangan PSC), ada yang kita boleh laksanakan dan ada yang kita perlu kaji secara terperinci kerana ia libatkan perundangan dan perlembagaan... jadi ia perlu diperhalusi." Justeru beliau menasihatkan Bersih yang turut disokong Pakatan Rakyat agar bersabar dan jangan bertindakan terburu-buru. "Mereka itu bersabarlah, kata bijak tapi berfikiran sempit... langkah mereka itu terburu-buru dan menyusahkan rakyat," katanya. "SPR pun belum keluarkan apa-apa kenyataan, kita akan kaji cadangan dan akan keluarkan kenyataan rasmi kemudian." Himpunan Bersih 3.0 akan diadakan di Dataran Merdeka selain masih mengekalkan lapan tuntutan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu. Antara tuntutan mereka adalah: membersihkan sistem pilihan raya, pembaharuan pengundian pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang adil, 21 hari tempoh berkempen, pengukuhan institusi awam, hentikan rasuah politik, dan hentikan politik kotor. Perhimpunan itu diadakan kerana tidak berpuas hati terhadap PSC yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu tanpa dibahaskan. /span> |
Kalau Cerita Mahfuz Karut.. Saman Aje la.. Posted: 04 Apr 2012 09:46 PM PDT Mahfuz reka 'cerita karut jahat', kata SPR Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, bahawa beliau terlibat dalam 'pasukan petugas' yang didakwa memberi kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi. Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, Wan Ahmad (kanan) berkata Mahfuz, yang menamakan beliau dalam satu sidang akhbar semalam, telah sengaja mengheretnya ke dalam "cerita karut" rekaannya yang bertujuan untuk "merosakkan integriti SPR". Wan Ahmad menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz. Sebaliknya, kata Wan Ahmad, beliau tidak tahu tentang tuduhan terhadapnya itu. "Dia sengaja mengaitkan nama saya ,timbalan pengerusi SPR, dalam cerita rekaannya itu untuk modal politik bertujuan untuk mengaitkan SPR dalam aktiviti sedemikian. "Objektifnya untuk merosak integriti dan kredibiliti SPE sebagai badan bebas dan berkecuali di bawah Perlembagaan," kata Wan Omar. Katanya, beliau akan mendapatkan nasihat penasihat undang-undang suruhanjaya itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya. Wan Ahmad adalah antara lapan individu yang dinamakan oleh Mahfuz sebagai sebahagian daripada anggota pasukan petugas yang didakwanya itu. Yang lainnya yang didakwa oleh Mahfuz - nama mereka tidak disiarkan oleh Malaysiakini sementara menunggu komen mereka - adalah pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Seorang lagi yang turut dinamakan adalah seorang pembantu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak. |
MCA dicabar keluar BN jika Lynas diteruskan Posted: 04 Apr 2012 09:40 PM PDT KUALA LUMPUR, 5 April: PAS mencabar Presiden MCA memberikan kata dua kepada Barisan Nasional (BN) untuk keluar parti jika kilang Lynas teruskan operasinya di Gebeng, Kuantan. Cabaran itu dibuat Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar dalam satu kenyataan medianya. "Sekiranya MCA tidak menarik diri, ini menunjukkan bahawa Presiden MCA dan juga MCA tidak ada kredibiliti atau prinsip memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat," kata Zulkefly dalam kenyataan itu. Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua SoiLek, yang menyatakan bahawa MCA bersetuju dan menyarankan agar Kilang Lynas ditutup disebabkan rakyat tidak bersetuju dengan pembinaan kilang tersebut di Malaysia. "Saya selaku Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia beranggapan bahawa kenyataan Presiden MCA tersebut sebagai kenyataan rhetorik politik kerana MCA sebagai gabungan kerajaan Barisan Nasional boleh bertindak lebih awal lagi dalam menghalang pembinaan kilang tersebut, sebelum tindakan mahkamah yang diambil oleh rakyat," katanya. Bagi beliau, kenyataan Presiden MCA itu adalah kenyataan terdesak kerana beliau sedar bahawa masyarakat cina tidak lagi menyokong MCA dan beliau sedar bahawa masa depan MCA bergantung penuh kepada sokongan masyarakat Cina bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 13. Semalam, beliau bersama beberapa pihak lagi berkesempatan bersama-sama rakyat di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta untuk mendengar semakan kelulusan TOL Lynas di mahkamah. Mahkamah dibanjiri semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum, umur dan peringkat yang turun untuk memberi sokongan kepada plaintiff. Hakim yang mendengar kes ini, Datuk Rohana Yahya dan beliau menyatakan bahawa keputusan mahkamah akan diumumkan pada 12hb April, 2012. "Sehubungan itu, kami berharap rakyat yang bersimpati dan tidak bersetuju dengan kewujudan Lynas ini akan turun ke mahkamah pada tarikh tersebut untuk memberikan sokongan kepada plaintiff dan juga rakyat Kuantan," kata Zulkefly |
Najib kata jangan tukar pemandu tengah jalan Posted: 04 Apr 2012 07:49 AM PDT 4 APRIL — Hari ini Najib Razak mengingatkan semua supaya tidak menukar kerajaan yang merbahaya dalam pilihanraya ini. Katanya "jangan tukar pemandu dipertengahan jalan". Maksudnya jangan tukar kerajaan dalam pilihanraya ini kerana itu adalah tindakan merbahaya. Setiap kerajaan bertukar tangan dalam perjalanan. Parti Conservative dan Liberal Democrat telah mengambilalih kerajaan Britain dari Parti Buruh dalam perjalanan. Mana ada kerajaan yang sudah tiada untuk ditukar? Tentulah kerajaan yang sedang berkuasa yang selalu ditukar dan mereka ditukar kerana bersebab, bukan saja-saja untuk ditukar. Perjalanan mentadbir negara adalah tugasan yang berterusan kepada siapa yang diberikan mandat. Ibarat sebuah bas yang dalam perjalanan jauh, ia disyaratkan supaya mempunyai pemandu gantian (spare driver). Banyak kemalangan berlaku kerana pemandu itu terlena sambil memandu kerana telah memandu terlalu lama. Maka itulah undang-undang mensyaratkan setiap bas ekspress mesti mempunyai seorang lagi pemandu gantian supaya bas itu dipandu bergilir-gilir supaya tidak merbahayakan penumpang yang sedang tidur lena itu. Dalam kes kerajaan pimpinan Najib, penumpang-penumpangnya sudah bangun dari tidur dan telah merasakan yang pemanduan Najib sudah cukup merbahaya. Najib memandu dengan tidak mematuhi undang-undang memandu. Maka penumpang menuntut supaya pemandu ditukar supaya bas tidak terhumban kedalam gaung yang dalam. Pemandunya bernama Najib telah memandu bas itu dengan begitu bahaya kerana penumpang nampak yang pemandu bernama Najib itu sudah nampak hendak terlena. Najib telah terlena kerana keletihan memandu atau pun tidak bijak memandu. Mungkin pemandu (Najib) ini merasa mengantuk kerana makan terlalu kenyang. Apa pun sebabnya dia mengantuk, pemandu gantian itu perlu sangat untuk mengambilalih pemandu yang lalai itu. Kali ini bas yang tidak berapa baik keadaannya itu wajar dipandu oleh pemandu gantian untuk keselamatan penumpang yang ramai itu. Pemandu sekarang sudah terlalu lemah dan jika tidak diganti ia mungkin merbahayakan penumpang-penumpang dalam bas panduan Najib ini kedalam gaung yang dalam. Sekarang inipun sudah nampak bas yang dipandu Najib itu sedang terhuyung-hayang kekiri dan kekanan sehinggakan selalu memakan jalan dan lorong bertentangan. Selama ini kita telah mendengar bas-bas ekspress yang telah melanggar jambatan, "toll-gate" dan kenderaan yang berhenti dan sebagainya yang telah menyebabkan penumpang terbunuh bergelempangan ditepi lebuhraya-lebuhraya kerana pemandunya yang keletihan dan tidak ditukar. Kita juga banyak mendengar pemandu-pemandu bas yang tidak jujur membuat "duit luar" dengan menjual "spare tyre" serta menjual banyak alat-alat gantian yang ada didalam bas itu serta lari mencuri minyak petrol dan dijual kepada orang luar. Kita jangan dengar nasihat pemandu yang sedang memandu kita sekarang kerana bas yang dipandunya telah hampir rosak dan tidak berfungsi dengan baik lagi. Cari sahaja pemandu lain supaya bas-bas itu dijaga dan mendapat "maintenance" yang lebih baik. Lagi pun pemandu yang sekarang ini selalu makan sambil memandu. Jika pemandu sekarang masih memandu maka "premium" insurannya akan terlalu mahal kerana "loading" kepada premiumnya terlalu tinggi, "loading" kepada insurannya itu menjadi tinggi disebabkan risiko yang terlalu tinggi dan merbahayakan bas-bas yang akan dipandunya itu. — aspanaliasnet.blogspot.com |
Tiada lagi sebab untuk demo, kata Khairy Posted: 04 Apr 2012 04:57 AM PDT MP Rembau, Khairy Jamaluddin berkata BERSIH 2.0 tiada sebab untuk mengadakan perhimpunan kerana kebanyakan tuntutan NGO itu telah ditangani oleh jawatankuasa terpilih khas parlimen (PSC). Katanya, tujuh daripada lapan tuntutan untuk pilihan raya bersih dan adil itu telahpun dimasukkan dalam syor PSC. "Satu perkara yang tidak dimasukkan ialah tempoh kempen minimum 21 hari. Semua yang lain telah ditangani, termasuk penambahbaikan yang dijanjikan dalam penggal selepas ini," katanya ketika dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini. Khairy mengulas pengumuman BERSIH 2.0 hari ini untuk mengadakan perhimpunan ketiga pada 28 April. Beliau menyifatkan keputusan tersebut "tidak ikhlas" dan turut menuduh BERSIH 2.0 bersekongkol dengan pembangkang untuk menjadikan isu pilihan raya itu menjadi lebih rumit. Khairy juga mendakwa perhimpunan itu merupakan satu usaha untuk memanipulasi isu pilihan raya adil untuk agenda lain. |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan