Isnin, 5 Mac 2012

SIASAH

SIASAH


Hamas dalam percaturan politik serantau Asia Barat

Posted: 04 Mar 2012 10:44 PM PST

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tekanan dihadapi rejim Bashar al-Assad dan percaturan Qatar dalam politik serantau dunia Arab mula menampakkan kesannya terhadap Hamas, gerakan Islam yang semakin menghadapi ujian getir sejak menyertai pentadbiran Palestin ekoran kemenangan besar dalam pilihan raya 2006.

Tekanan hebat dihadapi rejim Bashar di Syria mula menjejaskan perlindungan yang diperolehi Hamas di Damsyik, satu-satunya kawasan selamat bagi gerakan Islam Palestin itu.

Akibat tekanan kuat ke atas Damsyik oleh kuasa-kuasa serantau diketuai Arab Saudi dan Qatar dengan sokongan kuasa Barat, pangkalan Hamas itu kini menyaksikan perpindahan keluar pemimpin dan biro politik pergerakan itu.

Khaled Mishaal, ketua biro politik yang juga bertanggungjawab terhadap dasar luar Hamas itu kini telah berpindah ke Doha, Qatar, negara kaya yang menjadi pemain penting dalam politik serantau pada masa ini.

Pada masa sama, Moussa Abu Marzouk, timbalan ketua politik Hamas pula kini berpangkalan di Kaherah, Mesir.

Perubahan ini memberi implikasi yang besar kepada haluan Hamas dalam era politik yang mencabar kini.

Di Damsyik, Hamas mendapat sokongan dan bantuan daripada Syria dan Iran, dua sekutu kuat yang membina paksi antara Iran, Syria dan gerakan-gerakan Islam di Palestin dan Lubnan.

Walaupun bantuan Damsyik itu turut ditentukan oleh perkiraan realpolitik, kedudukan Hamas – dan gerakan Islam lain Jihad Islami dan Hizbullah – di Damsyik selama ini menjadi faktor penting yang membantu perjuangan gerakan Islam itu.

Tekanan terhadap pemerintah Syria kini sedang merungkai dan menjejaskan kelebihan yang dinikmati Hamas selama ini.


Kedudukan geografi Syria yang menyempadani wilayah ditakluk Zionis Israel dan Lubnan memberikan kemudahan dalam banyak perkara, terutama logistik.

Perpindahan keluar kepimpinan Hamas dari Damsyik bermakna Hamas yang ruang pergerakannya terhad itu memerlukan penaung dan pelindung baharu.

Qatar yang kini sedang aktif menggerakkan dasar luarnya untuk mendapat manfaat daripada kebangkitan rakyat melanda dunia Arab sejak lebih setahun lalu sedang menuai hasil daripada tekanan yang dihadapi Syria.

Selepas peranannya di Libya yang membawa kepada kejatuhan Muammar Gaddafi dan penguasaan kumpulan disokong Barat, Doha kini memainkan peranan aktif untuk mengubah rejim di Syria.

Perpindahan kepimpinan Hamas ke Doha dan kelemahan rejim Bashar – yang sekaligus memutuskan atau menjejaskan hubungan Damsyik dengan Tehran – membolehkan Qatar mengambil peranan sebagai pelindung dan pembiaya Hamas.

Peranan ini bakal meningkatkan lagi prestij Qatar di dunia Arab dan juga seluruh dunia Islam.

Doha, pemain penting dalam Liga Arab dan pertubuhan Majlis Kerjasama Teluk, GCC, kini telahpun memiliki satu kelebihan dalam dunia Islam melalui kedudukan ilmuan Dr Yusuf al-Qaradawi di sana.

Perbezaan sikap negara-negara tertentu seperti Qatar dan Saudi dapat diperhatikan sejak awal tercetus kebangkitan di dunia Arab.

Qatar, Saudi dan pertubuhan serantau Liga Arab dan GCC menunjukkan sikap berbeza dalam kes kebangkitan di Mesir, Yaman, Bahrain, Libya dan Syria.

Doha menunjukkan sikap yang agresif menangani Libya dan Syria, termasuk menyokong dan memberi bantuan senjata dan kewangan.

Qatar menjadi negara Arab pertama menyokong campur tangan di Libya dan juga Syria.

Dalam kes Hamas, bantuan yang mampu diberikan kepada Hamas – dan potensi bantuan pihak lain seperti Syria dan Iran tersekat - mampu mengukuhkan hubungan pemerintah Qatar dengan Hamas.

Dalam politik serantau berkaitan Palestin, pihak yang berperanan menjadi penyokong dan pembiaya Palestin mendapat satu imej positif yang besar, seperti yang pernah dimiliki oleh Presiden Saddam Hussein di Iraq.

Palestin, pada tahap tertentu, dijadikan modal politik untuk membina kedudukan dan meluaskan pengaruh dalam politik serantau dunia Arab.

Tanpa mengira populariti dan rekod pemerintahan dalam negara, imej sebagai pembantu Palestin memberi satu kedudukan moral yang tinggi kepada negara yang terbabit.

Pada masa sama, negara penyokong itu juga memiliki pengaruh tersendiri terhadap Hamas dan politik gerakan Islam Syam.

Sekiranya Qatar berjaya dalam menonjolkan dirinya sebagai pembela Palestin, peranan yang dimainkan oleh Iran dan Syria selama ini akan tenggelam, bermakna pengaruh Syria-Iran di Syam juga terjejas.

Pengaruh Qatar telah dilihat dengan jelas melalui perjanjian membentuk kerajaan perpaduan antara Hamas dengan Fatah yang dicapai Februari lalu di negara Arab Teluk Parsi itu.

Perjanjian itu walau bagaimanapun dikritik Perdana Menteri Ismail Haniyeh dan Mahmoud al-Zahar, kepimpinan Hamas di Gaza, Palestin.

Perpecahan dalam Hamas ini, yang tidak pernah terzahir seperti ini ialah salah satu kesan awal daripada percaturan politik serantau kini.

Dengan sokongan kuat Qatar, haluan bersama Fatah berpotensi dikemukakan sebagai pilihan yang perlu diambil, lalu meminggirkan kelompok yang menentang kerjasama kerajaan perpaduan dengan Fatah itu.

Kepimpinan Hamas di Gaza berdepan pilihan bersetuju dengan perjanjian di Doha itu ataupun berdepan risiko terpinggir, lebih-lebih lagi sekiranya sokongan dan bantuan Syria-Iran seperti dinikmati selama ini terjejas.

Satu perubahan nada telah berlaku baru-baru ini apabila Haniyeh dalam satu kenyataan di Mesir menegaskan sokongan kepada pemberontak Syria.

Haniyeh ketika sambutan ulangtahun revolusi Iran Februari lalu melawat Tehran dan memberi ucapan menyatakan sokongan kepada Iran dan menolak sebarang usaha mengiktiraf Israel.

Kenyataan terbaharu beliau menunjukkan satu perubahan dalam nada Hamas di Gaza berhubung Damsyik dan kepimpinan Bashar.

Qatar dan Arab Saudi, sekutu dalam persaingan dengan paksi Iran di dunia Arab kini telah menampakkan tanda-tanda kejayaan dalam melemahkan pengaruh Syria-Iran di wilayah Syam.

Malangnya, percaturan politik serantau yang turut dikemukakan sebagai satu persaingan mazhab ini juga telah memperlihatkan implikasi negatifnya kepada gerakan Islam serantau.

Selain kepentingan Qatar dan Saudi, pada masa sama Israel turut berpotensi menerima manfaat besar daripada apa yang berlaku di Syria kini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu tulisan baru-baru ini mengingatkan tentang agenda-agenda lain yang turut digerakkan oleh pihak berkepentingan termasuk Israel dalam menangani isu Syria.

Pada masa sama, perbezaan mazhab turut diperbesarkan dengan tujuan membakar sentimen dan mengaburi daripada isu sebenar.

Abdul Hadi mengemukakan penegasan mendesak langkah sewajarnya daripada pemerintah Syria, tetapi pada masa sama mengingatkan agar umat tidak diperangkap oleh agenda musuh Islam.

Menurutnya, apa yang digerakkan dalam menangani isu Syria oleh pihak tertentu "bukan untuk menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah serta Iran."

Di Syria, Ikhwan al-Muslimin yang bersama dalam Majlis Nasional Syria telah menunjukkan pendirian yang bertentangan dengan kepentingan rakyat Syria secara keseluruhan, dan menjadi alat kuasa-kuasa tertentu mencapai agenda kuasa mereka.

Di seluruh dunia Arab dan Islam, banyak gerakan Islam menerima satu versi cerita di Syria tanpa melihat dengan lebih kritikal dan membawa cadangan yang lebih adil.

Episod terbaharu ini mendedahkan bagaimana percaturan kuasa-kuasa menjadikan gerakan Islam terperangkap dan dipergunakan, dengan menjadikan sentimen politik – dan juga perbezaan aliran agama – sebagai senjata.

Gerakan Islam perlu segera mengambil pelajaran daripada banyak peristiwa global supaya tidak mudah diperdaya dan terperangkap akibat sentimen dan kenaifan.

Tiada ulasan: