Rabu, 21 Mac 2012

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Siang Perogol, Malam Jadi Polis

Posted: 20 Mar 2012 10:00 PM PDT



GEORGETOWN: Pada siang hari didakwa merogol seorang pelajar tingkatan tiga manakala pada malam hari pula dituduh menyamar anggota polis serta memiliki senjata berbahaya.

Begitulah padah yang dihadapi seorang lelaki selepas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini, semalam terhadap tiga tuduhan.

Bagi tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen di sini, penganggur, M Retnam, 32, dari Taman Mewah Jaya, Klang, Selangor didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di kawasan hutan berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau antara jam 2.30 hingga 3.30 petang, 1 Mac lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapat laporan perubatan mangsa dan keputusan ujian DNA.

Sitarun Nisa juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Di Mahkamah Majistret pula, Retnam mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyamar anggota polis apabila menunjukkan kad kuasa palsu dan meminta pasport milik seorang warga Indonesia ketika berada dalam lif Pangsapuri Mutiara, Jalan Sungai Emas, Batu Feringgi antara jam 10.30 dan 10.40 malam, 1 Mac lalu.

Tuduhan itu dibacakan dalam bahasa Tamil di depan Majistret Nor Aini Yusof manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Retnam turut didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu pisau berukuran 27 sentimeter tanpa kebenaran sah di tempat dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1), Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan sebatan.

Nor Aini menetapkan 17 April depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen manakala tertuduh dikenakan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tuduhan itu.

Malaysia Negara Tumpuan Jenayah

Posted: 20 Mar 2012 08:30 PM PDT



KUALA LUMPUR: Seorang lelaki sanggup mengurung kekasihnya di hotel bajet di Jalan Haji Taib 3, Chow Kit, di sini selama seminggu sejak 9 Mac lalu untuk dijadikan hamba seks.

Bagaimanapun, dengan pertolongan seorang pekerja hotel, mangsa berjaya melarikan diri pada 16 Mac lalu sebelum membuat laporan polis mendakwa dirogol teman lelakinya.

Pada masa sama, terdapat satu laporan dibuat bapa mangsa yang menyatakan anaknya itu berusia 32 tahun melarikan diri dari rumah pada 10 Mac selepas mangsa tidak pulang ke rumah.

Berdasarkan semakan laporan itu, mangsa ditahan sebelum penahanannya dimaklumkan kepada bapanya.

Selepas bapa mangsa datang menemui anaknya di balai polis, mangsa dibenarkan pulang bersama keluarganya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sumber polis berkata, mangsa yang berasal dari Hulu Klang mengikut teman lelakinya itu dikenali sebulan lalu, jam 5 petang, 9 Mac selepas lelaki terbabit mengajak mangsa bersiar-siar di ibu kota.

"Sebelum keluar bersama lelaki itu, mangsa diminta meminjam RM1,000 daripada ibunya dan dengan menunggang motosikal, mangsa dibawa ke Chow Kit sebelum menyewa hotel bajet di Jalan Haji Taib 3," katanya.

Tunang Buat Sial

Posted: 20 Mar 2012 06:14 PM PDT



KAJANG: Hanya kerana tidak puas hati ikatan pertunangan bakal terputus di tengah jalan dan impian untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian, seorang lelaki sanggup merogol tunangnya sendiri dalam kereta, malam kelmarin.

Wanita berusia 24 tahun terbabit diperdaya tunangnya itu untuk berbincang mengenai hubungan mereka sebelum bersetuju mengikut tunangnya menaiki kereta.

Difahamkan, lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Utara Semenanjung itu menjemput mangsa di pejabatnya di Taman Keramat, di sini, jam 6 petang.

Sebaik wanita terbabit menaiki Proton Perdana dipandu tunangnya, lelaki terbabit dikatakan memecut ke arah Kajang.

Mangsa yang menyedari sikap pelik tunangnya itu dan bimbang diapa-apakan cuba bertindak nekad melawan dan terjun daripada kenderaan berkenaan.

Malangnya, tindakan itu gagal apabila tunangnya itu menghalangnya dengan menarik baju dipakai mangsa hingga terkoyak hingga menampakkan sebahagian badannya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke Hentian Rawat dan Rehat Bukit Dukong, di sini sebelum memberhentikan keretanya di satu kawasan sunyi.

"Mangsa cuba melarikan diri selain melawan dan mempertahankan diri. Bagaimanapun, mangsa dipukul dan ditumbuk suspek sebelum dirogol di dalam keretanya.

"Selepas insiden itu, mangsa dihantar pulang ke rumahnya di Kajang. Namun, kelibat mencurigakan suspek dan mangsa disedari abang mangsa. Lelaki itu kemudian bertindak mengejar suspek tetapi gagal," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Berikutan itu, mangsa menceritakan kejadian dia dirogol tunangnya itu sebelum ditemani abangnya ke balai polis berhampiran membuat laporan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang remaja berusia 17 tahun turut diperkosa seorang lelaki dipercayai abang angkat mangsa di kawasan tangga sebuah pusat beli-belah di Kajang, di sini.

Ab Rashid berkata, gadis lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu membuat laporan berkenaan kelmarin dan dipercayai kejadian itu berlaku bulan lalu dan mendakwa dirogol abang angkatnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat beli-belah sama.

Menurutnya, mangsa yang juga pekerja di pusat beli-belah berkenaan hanya berborak kosong dengan suspek di kawasan tangga itu namun dia dipeluk sebelum dirogol.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: