Ahad, 11 Mac 2012

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Gaji naik: Jangan PINGGIRKAN warga pesara (11/3/12)

Posted: 11 Mar 2012 06:40 AM PDT

Dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat naik tanpa bayang mahu turun-turun sudah pastilah pengumuman penyelarasan gaji baru kakitangan awam berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) oleh pihak kerajaan sangat dialu-alukan. Turut berada dalam pakej berkenaan adalah kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50.00 bagi kawasan B dan C.

Sedikit sebanyak sudah pastilah kenaikan ini akan membantu sekitar 1.3 juta warga kakitangan awam diberbagai peringkat dalam mengharungi hidup diri dan keluarga masing-masing.

Cuma saya perhatikan dalam ruangan SMS dari pembaca dalam akhbar The Star hari ini pengumuman kerajaan ini sekali lagi dilihat tidak mengambil kira warga pesara kerajaan yang tidak kurang besar juga bilangannya dalam Negara.

Why are pensioners not given COLA even though cost of living is affecting them more?

Benarlah bagi warga yang bekerja, mereka masih muda dan masih boleh ikhtiar mendapat belanja tambahan dengan berbagai cara dan usaha, tetapi apakah sama dengan warga pesara yang telah lewat usianya?

Kita akui kos hidup sebagai menekan dan membebankan, itu bagi kita yang sihat tulang empat kerat, bagaimana dengan yang tua khasnya pesara? Kalau mereka punya anak-anak yang boleh diharapkan, anak-anak yang pendapatan mereka juga selesa, tak mengapa. Tetapi jika anak-anak pun sempit kehidupannya apalagi anak-anak yang tak memperdulikan kebajikan orang tuanya, bagaimana?

Kita mengharapkan agar pihak kerajaan turut prihatin dan mendengar rintihan warga emas ini. Dan semoga isu ini diangkat dan di bawa kehadapan oleh wakil-wakil rakyat kita apabila Parlimen mula bersidang esok. Jangan hanya sibuk ber"politik" tetapi warga emas kita susah dan merempat di bumi sendiri.

Ke arah hubungan AKRAB Malaysia-Indonesia (11/3/12)

Posted: 10 Mar 2012 11:20 PM PST

Saya membaca dengan penuh minat perkembangan yang berlaku berkaitan hubungan Malaysia-Indonesia. Tanpa prejudis politik, pengumuman Menteri Penerangan Rais Yatim mengenai pembentukan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia, iaitu satu badan gabungan yang bakal berusaha merapatkan lagi hubungan rakyat kedua buah Negara adalah sesuatu yang harus dialu-alukan.

Sebelum ini kita gusar apabila membaca dan mendapat maklum berkenaan ketegangan hubungan kedua buah Negara apabila rakyat di Indonesia sering protes dan berdemonstrasi anti Malaysia atas isu-isu yang terkadang remeh dan tidak tepat. Sedangkan kedua buah Negara punya sejarah hubungan yang sangat intim dan berkaitan dalam satu rumpun Melayu Nusantara.

Bukan hanya keturunan kesultanan dan Raja-raja Melayu banyak dapat dikesan dari sebelah sana malah menurut sebuah buku yang saya baca "The Modern Malay" – L Richmond Wheeler (1928) bancian yang dilakukan oleh kerajaan Biritsh Malaya tahun 1921 menyebut bahawa Tanah Melayu ketika itu (iaitu 91 tahun dahulu) punya 1.6 juta penduduk Melayu dan dari jumlah itu cuma 87.4 peratus atau 1,418,198 orang diklasifikasi sebagai "Malay proper" (Melayu asli) manakala selebihnya adalah:

Jawa (113 038) Banjar (37 914) Boyan (9 779) Bugis (8 388) Aceh (729) Kerinchi (859) Mendeling (946)

Ketika itu kita tiada buruh asing dari Indonesia seperti hari ini. Bermakna jumlah yang bukan Melayu Asli itu pada hari ini sudah pun sebenarnya diserap sebagai sebahagian dari kita. Malah yang 87.4 peratus itupun punya keturunan yang lebih awal berhijrah ke Tanah Melayu dan telah menjadi warga Biritish Malaya.

Berbalik kepada isu merapatkan hubungan rakyat kedua-belah Negara, saya fikir banyak lagi inisiatif dan usaha boleh diambil kearah ini termasuklah program "exchange student" atau pertukaran pelajar dari peringkat menengah sehinggalah IPT diperingkat yang lebih serius dan besar-besaran. Kita juga boleh bertukar-tukar kakitangan dan pegawai kerajaanuntuk memberikan masing-masing lebih pendedahan. Di bidang sukan, kebudayaan dan hiburan kita sudah buka jalan, ianya perlu dipertingkatkan lagi.

Kita mahukan rakyat kedua belah Negara kembali intim, bantu-membantu dan bekerjesama antara satu sama lain demi kesejahteraan dan kemanan rantau sebelah sini.

Usaha baik ini perlu disokong dan dipertingkatkan lagi. Mungkin melalui persidangan Parlimen yang bermula esok, wakil-wakil rakyat kita boleh meneroka perkara ini. Jangan apabila hubungan menjadi tegang barulah kita kelam-kambut dan salah-menyalah sesama kita.

Tiada ulasan: