pemuda cheh |
PRU 13: Siapakah Dia Calon Yang Boleh Kalah ? Posted: 25 Mar 2012 05:51 PM PDT BN pula, meskipun sedang memperhebatkan kempen, mereka nampaknya masih belum sampai ke peringkat pembahagian kerusi dan pemilihan calon. Mungkin kerana organisasinya yang mantap dan status quo kuota parti menjadi rujukan asas, tugas itu akan lebih cepat terlaksana bila tiba masanya. Gerak geri Perdana Menteri pula kian diperhati dengan teliti. Langkahnya, kata-katanya, malah dehemnya bila menjawab soalan wartawan mula ditafsir, apakah itu petanda PM sudah memperoleh ilham mengumumkan tarikh pilihanraya. Walau apa pun strategi dan taktik, kempen dan skim, peruntukan dan perbelanjaan parti-parti politik dalam menghadapi pilihanraya, pelaksana semua hasrat parti, ialah manusia yang terpilih menjadi calonnya. Calon-calon inilah yang akan ke hadapan untuk memikul jenama dan panji-panji partinya untuk memenangi pilihanraya di peringkat negeri mahupun parlimen. Calon-calon pilihanraya terbahagi kepada dua kategori. Yang pertama, penyandang jawatan yang boleh terpilih kembali menjadi calon. Kategori kedua, adalah muka-muka baru. Di antara yang keduanya, si penyandang jawatanlah yang lebih suspens apakah mereka akan dipilih lagi atau sebaliknya. Pada saat inilah, prestasinya selama ini menjadi ukuran. Bagi calon-calon yang boleh menang atau winnable candidates, mereka lazimnya tenang bagai pelajar cemerlang prestasinya kerana tekun membuat homework. Mereka tidak seperti calon yang boleh kalah atau losable candidates yang berperangai seperti pelajar yang suka buat kerja last minute. Mereka akan menanti panggilan telefon dari petugas pemimpin parti. Kalau terpilih, okey. Jika sebaliknya, tidak mengapa. Sebaliknya, penyandang jawatan yang menjadi calon-calon yang boleh kalah ini lain pula gelagatnya. Mereka tidak senang duduk dan tidak betah berdiri. Mereka akan melangkah ke sana ke mari mencari jalan agar terpilih menjadi calon. Seolah-olah membela hantu raya, mereka mampu menjelma di mana-mana majlis yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti. Jika tidak terpilih bersama delegasi pemimpin parti ke luar negara, mereka akan pergi sendiri dan akan menyelit menunjuk muka di mana sahaja pemimpin mereka pergi agar wajahnya tidak dilupakan oleh pemimpin parti. Dia akan mula petah bercakap. Tetapi kata-katanya tidak lebih daripada mengulang ucapan pemimpin tertinggi partinya. Dia akan terus berhujah, tetapi hujahnya bersandarkan emosi dan bukannya fakta. Dia mampu mengungkap kisah lalu yang nostalgik, tetapi bukannya melakar ucapan catatan sejarah. Dia boleh bersyarah dengan penuh bersemangat, tetapi sekadar berani di hadapan pengikut-pengikutnya yang sudah pasti akan memperdengarkan riuhnya tepukan. Jika dipinta untuk menjawab apa yang dilontar oleh parti lawan, dia lebih rela mendiamkan diri kerana takut tersalah cakap, langsung jatuh saham menjadi calon semula. Ketika mahukan undi dahulu, dia menjual mimpi. Setelah menang pilihanraya, kita sampai terlupa mimpi untuk bertemunya lagi. Ketika menjadi calon dahulu, dia kerap menemui para pengundinya. Kini dia datang lagi. Tetapi malangnya, dia sudah tidak dikenali. Jika dahulu dia melidi, kini tubuhnya sudah membulat. Jika dahulu jalan menunduk, kini asyik memandang ke langit, seolah-olah memandang pencakar langit di kampung. Dahulu berkereta nasional, kini berkereta internasional. Meskipun dia masih mengangkat tangan pada Pak Dolah yang mengayuh basikal ketika berselisih dengan kereta menjalarnya, Pak Dolah tidak nampak lambaiannya kerana gelapnya cermin kereta. Kini, dia muncul kembali di tengah-tengah para pengundinya bersama sekumpulan petugas-petugasnya. Kesemuanya berkaca mata hitam dengan telefon bimbit atau tab dan iPad di tangan masing-masing. Bila di warung, para petugasnyalah yang duduk semeja dengannya. Mereka menjadi tembok yang mewujudkan jarak yang akhirnya menjauhkan hati mereka yang pernah mengundinya. Petugas-petugasnya itu bukannya penapis tetapi menjadi penepis segala maklumat, hasrat dan rintihan hingga satu pun tak sampai ke telinganya. Inilah dia calon yang boleh kalah. Dia bukan sahaja tidak akan memperoleh undi baru, malah maaf cakaplah, undi dahulu daripada jiran, saudara-mara, teman sekolah, sekuliah, sekampus, sepejabat, sekampung, setaman, sekuliah, seqariah atau sejemaah tidak akan diperolehi lagi. Para penyandang jawatan yang mempunyai ciri-ciri ini, bersedialah untuk menutup telefon anda bila tidak terpilih lagi kerana anda adalah calon yang boleh kalah. Lagi pun, tiada sesiapa pun yang akan menghubungi untuk menghulurkan simpati. Kasihan. |
You are subscribed to email updates from pemuda cheh To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan