Rabu, 7 Mac 2012

Muslimeen United

Muslimeen United


PAS Johor sasar menang 17 kerusi

Posted: 07 Mar 2012 04:16 AM PST


KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman (gambar) berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat khususnya PAS yang disifatkan 'tidak pernah berlaku sebelum ini'.

Menurutnya, melihat mood positif rakyat, beliau bukan sahaja yakin PAS boleh menang di kerusi sasaran itu, malah Pakatan Rakyat secara keseluruhan juga tidak mustahil akan menerajui negeri itu.

"Kita (PAS) kini sedang fokus kepada 17 Dun sasar.

"Mungkin orang kata saya bermimpi, atau angan-angan, tapi dengan sambutan kepada kita pada waktu ini, saya yakin kejutan akan berlaku, Johor mungkin jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Pada PRU ke-12 lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.

Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Menurut Mazlan lagi, perbezaan ketara sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan rakyat berbanding 2008 boleh dilihat dengan sambutan terhadap program-program mereka di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Sambutan luar biasa itu katanya, telah menyebabkan ada pihak 'tak senang duduk' sehingga mengupah kumpulan tertentu mengganggu dan membuat kecoh khususnya di ceramah-ceramah anjuran mereka.

Manifesto 15 perkara dasar


Menurut Mazlan lagi, PAS Johor juga telah selesai berbincang berhubung manifesto pilihan raya peringkat negeri yang akan ditawarkan.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, beliau berkata ianya menggariskan 15 perkara dasar antara lain tawaran penyelesaian masalah tanah dan tawaran pengurusan pentadbiran lebih baik.

"Kita telah siap seminar manifesto, dan sedang timbang dengan PKR dan DAP.

"Kita yakin menifesto ini akan menjadi kekuatan utama kita untuk ambil Johor," katanya lagi.

Muhyiddin mula gusar

Mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Johor masih 'tiang seri' BN pada PRU-13 akan datang, Mazlan berkata, ia sebenarnya menggambarkan kebimbangan timbalan perdana menteri itu.

"Kenyataan Muhyiddin tu menggambarkan kebimbangan beliau.

"Saya nak bagi tahu (kepada Muhyiddin), 'tiang seri' itu sudah dimakan anai-anai. Bila-bila pun boleh patah," katanya yang juga AJK PAS Pusat

Menurut Mazlan lagi, beliau mendapat maklumat Umno sememangnya gusar dengan kedudukan mereka di Johor sekarang ini.

Katanya, tidak pernah selama ini, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman turun berkampung di setiap kawasan parlimen seperti yang terpaksa dilakukan sekarang ini.

Malah katanya, selepas lawatan Muhyiddin semalam, Najib pula dijangka turun ke Johor dalam masa terdekat.

"Orang Johor ni dia pandai, dia senyap-senyap sahaja, dia tak tunjuk sokong kita," jelasnya. -Hrkh

Video : Tok Guru Nik Aziz Mengulas Permohonan Maaf Orang Asli

Posted: 06 Mar 2012 04:17 PM PST





KOTA BHARU, :Seorang penduduk Orang Asli dari Pos Belatim, Gua Musang, Rosli Along memfailkan notis pemberhentian kes membabitkan dirinya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Plaintif terbabit diwakili peguam Roslan Mat Nor memberitahu anak guamnya mahu menarik balik saman terhadap kerajaan negeri membabitkan pembangunan tanah Ladang Rakyat di Hulu Nenggiri, Pos Belatim.

Prosiding tersebut berlangsung di hadapan Hakim Azman Abdullah. Hakim kemudian menetapkan 20 Mei hadapan bagi mendengar penghujahan pihak plaintif menarik balik saman yang difailkan sebelum ini.

Kerajaan negeri diwakil peguam Zainal Abidin Mustaffa dari Tetuan Zainal & Mariani Peguambela dan Peguamcara.

Tahun lepas tiga lelaki Orang Asli dari Pos Belatim memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang kerajaan negeri melulus tanah kepada Perbadanan Ladang Rakyat untuk dibangunkan ladang.

Dua plaintif lagi iaitu Angah Along dan Hassan A/L Along, bagaimanapun tidak kelihatan di mahkamah hari ini.

Pada afidavitnya sebelum ini mereka mendakwa pemberian hak milik tanah adat Orang Asli di Pos Belatim sebagai menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menjelaskan tiada istilah tanah adat di Kelantan.

Namun katanya, kerajaan negeri meluluskan hak milik tanah kepada penduduk Orang Asli di beberapa penempatan di pedalaman Gua Musang termasuk seluas 606 ekar di Pos Jedip.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kesyukuran seorang penduduk Orang Asli menarik balik kes saman terhadap Ladang Rakyat.

Penghulu Rosli yang menemui Menteri Besar selepas hadir di mahkamah turut menyampaikan surat memohon maaf kepada kerajaan negeri ekoran tindakannya memfail saman sebelum ini.

Rosli turut ditemani beberapa penduduk Orang Asli dari Gua Musang diraikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10.

Turut hadir pada pertemuan itu Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari, Pengurus Tabung Tok Kenali, Mohd Khir Zahri dan Penghulu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Ira Isra Asra Ramlan dari Pos Belatim.

"Alhamdulillah, kes yang dibawa oleh kawan-kawan kita dari perkampungan Orang Asli bagi menyaman Ladang Rakyat telah ditarik balik.

"Dan mereka datang beramai-ramai untuk memohon maaf," katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Pada Januari lalu polis menahan 17 Orang Asli di Kampung Parik, Gua Musang kerana dilaporkan membantah tindakan menceroboh tanah adat.

Menteri Besar juga berharap sekiranya timbul persoalan di antara pihak kerajaan dan Orang Asli khususnya dalam isu tanah hendaklah dibawa berunding terlebih dahulu. -Hrkh

Tiada ulasan: