Rabu, 7 Mac 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Imam baling kasut dipenjara 1 tahun kerana hina mahkamah

Posted: 07 Mar 2012 07:23 PM PST

Mahkamah Persekutuan hari ini mendapati imam Hoslan Hussin yang membaling selipar ke arah panel tiga hakim pada insiden 22 Februari lalu adalah bersalah kerana menghina mahkamah.

Sehubungan itu, beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun.

Hoslan yang dihadapkan ke mahkamah pagi ini juga didapati  tidak memberi penjelasan secukupnya berhubung tindakannya.

Hakim, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata mahkamah mendapati demikian setelah mendengar penjelasan Hoslan, 46 di mahkamah tersebut hari ini.

Hoslan antara lain menjelaskan bahawa beliau keliru dengan perjalanan kes melibatkan dirinya dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan diputuskan di mahkamah tersebut pada 22 Februari lalu.

Hoslan berkata, beliau keliru dengan perjalanan kes tersebut "bermula daripada awal."

Kes tersebut sepatutnya di dengar di Mahkamah Syariah dan bukannya di Mahkamah Sivil, katanya yang meminta prihatin mahkamah.

Kecoh di Kedah, MB masuk hospital

Posted: 07 Mar 2012 06:37 PM PST

Timbul 'Kekecohan' Di Kedah Azizan Dimasukkan Ke Hospital
ALOR SETAR: Kedamaian di Kedah sedikit tergugat apabila berlaku kekecohan di negeri ini walaupun Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya menjalani pemeriksaan rutin perubatan di hospital di sini.
Timbul spekulasi bahawa pesuruhjaya PAS negeri yang berusia 72 tahun dan mempunyai masalah kesihatan ini, mengalami serangan jantung tetapi ia ternyata tidak benar kerana dia beliau hanya pergi untuk pemeriksaan mata.
Setiausaha Akhbar Azizan, Mohd Helmi Khalid berkata Azizan pergi mendapatkan rawatan mata susulan di Hospital Sultan Bahiyah berikutan pembedahan katarak beberapa tahun yang lalu.
Beliau berkata, Azizan telah dimasukkan ke hospital pada hari Isnin dan akan dibenarkan keluar, Khamis.
"Beliau dijangka akan pulang ke pejabat pada hari yang sama," katanya.

Antara mereka yang melawat Azizan ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Pengarah Pilihan Raya, Dr Mohd Hatta Ramli, pemimpin-pemimpin parti negeri dan beberapa ahli majlis eksekutif negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Maklumat Kedah Abdul Ghani Ahmad berkata, Azizan telah pergi ke hospital pada hari Sabtu tetapi tidak mahu ditahan kerana dia terpaksa menghadiri mesyuarat untuk menyelesaikan isu pemberontak 'PAS Kedah di Sri Mentaloon, kediaman rasminya.
Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat Datuk Mahfuz Omar, berkata pemeriksaan mata Azizan telah lama dijadualkan, sambil menambah suara Azizan kedengaran "kuat dan sihat" apabila dia bercakap dengan beliau, Rabu.

PRU 13 : Tsunami kecil bakal melanda selatan tanahair

Posted: 07 Mar 2012 04:57 PM PST

PRU13: Tsunami kecil bakal berlaku di selatan

KUALA LUMPUR- PAS menjangkakan satu tsunami kecil akan berlaku di selatan tanahair pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Zulkefly Mohamad Omar, berkata ia berikutan perkembangan politik terbaru yang menyaksikan kesedaran di kalangan rakyat semakin meningkat.
Selain sambutan baik terhadap program Pakatan Rakyat yang diadakan, tahap kesedaran di kalangan anak muda yang semakin meningkat turut memberi impak kepada Pakatan Rakyat.
"Lebih-lebih lagi, apabila terdapat anak muda yang bekerja di bandar yang menyampaikan maklumat kepada ibu bapa mereka, yang akhirnya dapat mengubah serba-sedikit pandangan mereka," jelas Zulkefly.
Katanya di Negeri Sembilan, komposisi penduduknya bercampur-campur, di antara pengundi Melayu, Cina dan India, khususnya di kawasan bandar.
"Kedudukan tersebut sebenarnya memberikan keselesaan kepada kita kerana masyarakat Cina seolah-olah menolak terus kepimpinan BN. Kalau unjuran dibuat, hari ini sokongan masyarakat Cina boleh meningkat sehingga 80 peratus, saya berkeyakinan Negeri Sembilan boleh jatuh ke tangan Pakatan Rakyat," tegas beliau dalam wawancara dengan Harakahdaily.

Tambah beliau, di Negeri Sembilan, Pakatan Rakyat memerlukan lebih kurang empat kerusi untuk menang.
Manakala, kata Zulkefly, tujuh lagi kerusi yang kalah dengan majoriti 1,300 ke bawah memerlukan lonjakan tiga hingga lima peratus untuk menang.
"Mana-mana analisis politik mengatakan jika tiga hingga lima peratus lonjakan diperlukan, ia paling kritikal. Cuma, bagaimana kita memastikan perubahan itu terus berlaku," tegasnya sambil menekankan soal calon, gerak kerja dan strategi yang digunakan untuk mencapai kemenangan.
Tambah beliau, sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat juga tidak menurun, tetapi dilihat meningkat dan keadaan itu bukan sahaja di Negeri Sembilan, tetapi juga di Melaka dan Johor.
Di Johor, kata Zulkefly, suasana politiknya juga berkembang di mana beberapa kawasan parlimen dijangka boleh ditawan Pakatan Rakyat seperti Pulai dan Simpang Renggam.
"Jika di Simpang Renggam, komposisinya 55, 45 peratus. Kalau mereka undi kita 65 hingga 80 peratus, sudah tentu kita boleh buat lonjakan baru di Johor hingga Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tidak semestinya BN akan terus berkuasa di Johor. Ia satu mesej yang jelas BN Johor bimbang," tegas beliau lagi.
Menjelaskan sambutan rakyat terhadap program Pakatan Rakyat, beliau berkata sebagai 'waiting government', PAS bekerja secara menyeluruh dengan melihat rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, kesan dari turun padang yang dilaksanakan, sokongan di peringkat akar umbi dilihat meningkat dan banyak aduan berkaitan masalah setempat disampaikan terus kepada PAS.
Lebih menarik, tambahnya yang membuat aduan itu bukan hanya ahli PAS sahaja, tetapi juga ahli Umno.
"Saya sendiri banyak menyelesaikan masalah yang dihadapi ahli Umno. Baru-baru ini datang rakyat dari kawasan BN yang mengadu tentang nasib mereka yang tidak mendapat bekalan air. Jadi, kita tidak pandang parti. Kita cuba atasi segala masalah dan aduan rakyat apabila bekerja sebagai 'waiting government'," jelas Zulkefly.
Bagi menangani beberapa perkara berkaitan kuasa DAP yang dibimbangi menjadi penghalang masyarakat Melayu mengundi Pakatan Rakyat, Zulkefly berkata PAS menggunakan pendekatan penerangan kepada rakyat.
"Kita selalu membangkitkan isu, bagaimana DAP hendak menguasai kerajaan persekutuan, sedangkan semua maklum parlimen mempunyai 222 kerusi dan DAP hanya bertanding 49 atau 50 kerusi. Tidak sampai satu pertiga majoriti," jelas beliau.
Sehubungan itu, tegas beliau rakyat perlu tahu kedudukan kerusi yang ditandingi DAP, yang mana DAP hanya akan berlawan dengan MCA, manakala PAS dan PKR akan menentang Umno.
"Bagi mengelakkan kekeliruan, kita bergerak dari rumah ke rumah sambil mengedarkan risalah tentang tohmahan kononnya jika Pakatan Rakyat menang, DAP akan menjadi Perdana Menteri," kata Zulkefly.
Sedangkan, kata beliau pada konvensyen DAP, Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng sendiri menyebut parti itu tidak akan menghantar calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.
Beliau turut mengulas tentang perdebatan antara Guan Eng dengan Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek yang jelas menunjukkan MCA berpegang kepada perkauman.
"DAP sering dikaitkan sebagai cauvinist, sedangkan MCA sebenarnya bersifat sedemikian. Kenyataan Soi Lek jelas menjatuhkan maruah Umno apabila nekad menentang Umno sekiranya melaksanakan undang-undang syariah," tegas beliau.
Manakala, Guan Eng pula bersikap sebaliknya apabila menyatakan DAP menghormati pengamal agama lain sekiranya PAS melaksanakan undang-undang Islam, dan berkeyakinan dalam masa sama PAS juga menghormati amalan agama penganut lain.
Sikap Guan Eng itu, jelas Zulkefly membuktikan DAP bukanlah sebuah parti cauvinis, sebaliknya dengan MCA apabila berhasrat menentang Umno sekiranya mengamalkan undang-undang Islam.
"Saya dimaklumkan, Soi Lek sebenarnya tidak berkemampuan untuk bertutur dalam bahasa Mandarin. Tetapi meminta debat diadakan dalam bahasa tersebut. Kenapa? Kerana dia tidak mahu orang Melayu tahu intipati perdebatan tersebut yang jelas bersifat perkauman," tegas beliau.
-harakahdaily

Berkat di sebalik membaca Bismillah ... satu kisah

Posted: 07 Mar 2012 06:51 AM PST


"Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejek, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu." Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja."

- sumber al-munir.edu.my

Dah tua-tua ni buat la perangai bagi orang suka, bukan bagi orang meluat ...

Posted: 07 Mar 2012 04:04 AM PST


Written by Mohd Sayuti Omar  
Rabu, 07 Mac 2012 19:16

Benarlah barang kali Mahathir Mohamad seorang pendendam. Dia tidak akan diam selagi orang yang didendaminya tidak lenyap dari bumi ini. Episod pendendaman Mahathir ini bersiri, banyak kalau hendak dihuraikan. Kekalahannya dalam pilihan raya 1969 kepada Yusof Rawa menyebabkan beliau dendam kepada Pas dan orang Cina sampai ke hari ini. Peristiwa itu boleh disimpulkan sebagai dendam beliau yang pertama kepada orang Cina.


Mahathir menghukum kekalahan itu disebabakan Cina sedangkan dia lupa tindakan orang Cina tidak mengundinya kerana keceluparan mulutnya juga yang mengatakan dia tidak memerlukan undi Cina. Kesombongan Mahathir itu menyebabkan orang Cina di Kota Star menolak beliau.


Kekalahan itulah menyebabkan beliau berdendam dengan orang Cina. Kalau beliau menerima ia hanya bermuka-muka saja. Mahathir hanya dekat dan mesra dengan orang Cina yang menjadi tauke saja tetapi tidak dengan Cina marhain. Antara Cina kaya yang menjadi rakannya ialah Vincent Tan dan lain-lain.

Dia juga dendam dengan Tengku Razaleigh sehinggakan sanggup melupai persetiaan dalam persahabatan serta memungkiri amanat Hussein Onn. Dendam itu menyebabkan beliau terus menganiaya dan mendendami Tengku Razaleigh. Puncanya bukan apa sangat, Mahathir mengatakan kekalahannya dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden Umno tahun 80-an yang mendapat undi ketiga terbawah disebabkan Tengku Razaleigh. Itu saja.
Hanya kerana prejudis menyebabkan beliau mendendami Tengku Razaleigh sekaligus mengkhianati amanah dan akhirnya menyebabkan Umno jadi porak peranda. Perpecahan tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46 adalah angkara Mahathir.
Demikian dendam dan kebenciannya kepada Anwar hari ini adalah kesinambungan kepada episod kebencian dan dendam itu. Mahathir tidak pernah berniat untuk menerima baik Anwar. Otaknya penuh dengan prejudis dan prasangka. Walaupun Anwar sudah beberapa kali membuat pengisytiharan memaafi Mahathir namun tidak pernah disambutnya.
Terbaru Mahathir sekali lagi melemparkan fitnah dengan niat hendak mengkhianati Anwar dengan membuat andaian NGO yang sokong Anwar telah disokong oleh Amerika. Tuduhan ini satu lagi kerja jahat Mahathir Mohamad pada saat orang sedang menggali lubang lahad kehidupannya. Tidak ada bukti yang disertakan beliau hanya mengandaikan saja. Kenapa harus kaitkan Amerika dengan Anwar Ibrahim?
Kata Mahathir Amerika akan menyokong sesiapa saja menentang pimpinan yang tidak sebulu dengan negara itu. Saya hendak tanya apakah selama Mahathir memerintah Malaysia 22 tahun beliau diancam oleh Amerika? Rasanya tidak. Kalau begitu apakah bermakna pemerintahannya sebulu dengan Amerika kerana Amerika tidak memeranginya?
Tidak dinafikan Amerika agak mencampuri urusan Malaysia dengan mengkritik dasar Mahathir dari beberapa sudut. Perkara paling jelas apabila kerajaan Mahathir bertindak zalim kepada rakyat Malaysia. Sebagai sebuah negara memperjuangkan hak asasi manusia negara itu tidak akan dapat berdiam diri bila berlaku kekejaman di mana-mana pun. Kebetulan pada akhir tahun 90-an Mahathir telah berlaku kejam ke atas bekas timbalannya, Anwar Ibrahim. Apa yang Mahathir lakukan terhadap Anwar dikecam oleh sesiapa saja kerana ia terlalu sadis dan jijik.
Apakah apabila Amerika memberi simpati kepada Anwar maka Mahathir terus menuduh Amerika hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia? Mahathir lupa yang menjatuhkan beliau bukan Amerika tetapi Umno sendiri. Umnolah yang mendesak Mahathir agar berundur di mana mereka menggunakan kebencian rakyat yang simpati kepada Anwar ketika itu yang mengadakan tunjuk perasaan.
Mahathir sudah tidak sesihat dulu. Ingatan dan ulasan sejarah politiknya yang dilalui pun dilupai. Kerana itu tuduhan beliau NGO yang sokong menentang kerajaan hari ini disokong Amerika juga adakah satu kelupaan Mahathir sendiri. Ulasan beliau itu tidak lebih untuk menyerang kerajaan untuk memastikan UBN berkuasa kerana dengan cara itu saja beliau boleh menimbus dosa-dosanya. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

PAS akan saman Mashitah

Posted: 07 Mar 2012 12:37 AM PST

PAS mempertimbangkan untuk mengambil tindakan bersesuaian berhubung tulisan Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Shamsuri Ahmad berkata pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam sebelum satu langkah diambil berhubung tulisan tersebut.

"Kita sedang meneliti perkara tersebut, dan kini sedang dalam rangka mendapatkan nasihat peguam sebelum tindakan susulan diambil, sama ada mengambil tindakan undang-undang, atau sebagainya," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.


Pada 2 Mac lalu, Mashitah dalam tulisannya di akhbar Sinar Harian mengaitkan penahanan Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrolamin Baharon dengan beberapa skandal seks kononnya membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Dalam tulisannya, Mashitah menyebut Abdul Hadi pernah dikaitkan dengan skandal membabitkan anak dara kira-kira 10 tahun lalu dan mengambilnya sebagai isteri ketiga, bagaimanapun ia dinafikan Abdul Hadi - blogpolitikus

Baling kasut ke arah Hakim - Imam Hoslan dipanggil ke Mahkamah

Posted: 06 Mar 2012 11:40 PM PST

NONE
Seorang Imam, Hoslan Hussin hari ini dipanggil ke Mahkamah Persekutuan untuk menjelaskan tindakannya tindakannya membaling kasut ke arah panel hakim berkenaan dalam satu insiden bulan lalu.

Hoslan, 46, berkata beliau telah menerima surat berkenaan hari ini, yang meminta beliau hadir ke mahkamah berkenaan pada pagi esok.

Beliau diminta menjelaskan sebab yang boleh menghalang Mahkamah Persekutuan daripada mengambil tindakan ke atas kesalahan "menghina mahkamah" itu, kata Hoslan yang membacakan surat berkenaan.

Surat itu juga menyebut, "(Hoslan) telah bertindak menghina mahkamah dengan membaling selipar ke arah panel hakim ketika mahkamah sedang bersidang."

Hoslan berkata, surat berkenaan diserahkan kepadanya oleh anggota polis ketika beliau pulang ke rumahnya di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat Cochrane, Kuala Lumpur tengahari ini.

Ketika ditanya, Hoslan berkata beliau "insya-Allah" akan hadir ke mahkamah berkenaan pagi esok.

Bagaimanapun, Hoslan berkata beliau tetap akan mendapatkan pandangan daripada peguamnya terlebih dahulu, petang ini.

Dalam kejadian pada 22 Februari lalu, Hoslan membaling kasutnya ke arah panel hakim berkenaan selepas mahkamah itu menolak rayuannya berhubung satu kes melibatkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini sebelum ini, Hoslan menjelaskan bahawa tindakan tersebut dilakukannya sebagai tanda bahawa "kehakiman negara sudah rosak."

Beliau turut menimbulkan semula dakwaan penyelewengan yang berlaku di Masjid ar-Rahimah, Kampung Pandan yang didakwa tidak mendapat perhatian.

Hoslan juga mendakwa, tindakannya yang sering menimbulkan dakwaan penyelewengan itulah yang menyebabkan beliau dipecat daripada jawatannya sebagai imam rawatib.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menamatkan perkhidmatan Hoslan di Masjid Ar-Rahimah pada 2008 dan mengeluarkan notis ke atasnya supaya mengosongkan kuarters yang didudukinya itu.

Hoslan bagaimanapun tetap berkeras untuk tinggal di kuarters berkenaan, menyebabkan MAIWP mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang beliau daripada terus tinggal di situ.

Perintah Mahkamah Tinggi pada Jun 2011 itu bagaimanapun dirayu oleh Hoslan di Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan itu pada 22 Februari lalu - Malaysiakini

Tiada ulasan: