Isnin, 12 Mac 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pas lantik 5 anggota jawatankuasa pemandu

Posted: 12 Mar 2012 08:32 AM PDT


Oleh: Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Pas Pusat hari ini melantik lima anggota baru jawatankuasa pemandu yang berperanan sebagai pemantau perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Pas bagi mengelakkan krisis yang melanda kepimpinan Kedah baru-baru ini berulang.

Antara yang akan menganggotai jawatankuasa itu ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali;Pesuruhjaya Pas Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Pengarah Pilihan raya Pas Perak, Asmuni Awi.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Halim Abdul Rahman merupakan pengerusi jawatankuasa pemandu tersebut.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Mustafa dalam satu sidang media pada petang tadi.

Mustafa berkata, ahli jawatankuasa yang dilantik tidak mempunyai sebarang kuasa atau jawatan tertinggi di mana-mana negeri.

Beliau berkata, ia hanya bersifat penasihat dalam hal-hal yang perlukan pandangan pimpinan berkaitan dengan perancangan dan program yang dibuat terutamanya menjelang pilihan raya yang akan diadakan bila-bila masa.

"Jawatankuasa ini adalah khusus untuk menasihati individu tertentu dalam pentadbirannya dan semua yang memerlukan pandangan pimpinan parti.

"Namun begitu penubuhan jawatankuasa pemandu ini tiada kaitan untuk ambil alih kuasa menteri besar dan sememangnya tiada kuasa untuk campur tangan pentadbiran negeri," kataMustafa.

Mustafa menambah, mengaktifkan semula jawatankuasa berkenaan berikutan terdapat keperluan untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada pimpinan kerajaan negeri.

"Jawatankuasa ini juga bertindak memberikan pandangan dalam mencapai perlaksanaan manifesto Pas kepada rakyat," katanya.

Pas menubuhkan jawatankuasa pemandu ini pada tahun 1990 selepas menawan Kelantan.

Keperluan jawatankuasa itu timbul ekoran kemelut kepimpinan Pas Kedah baru-baru ini.

Nik Aziz tidak terkejut Shahrizat berundur

Posted: 12 Mar 2012 05:29 AM PDT


Oleh: Mohd Zailani Abd Rahman

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu berundur dari Kabinet awal bulan depan bukan sesuatu yang mengejutkan.

Menurutnya, langkah Sharizat yang juga Ketua Wanita Umno itu, tidak lebih hanya untuk mengumumkan tidak menyambung khidmat sebagai senator.

"Pada saya, ia bukan satu pengumuman yang mengejutkan memandangkan ia hanya berkuat kuasa apabila tamat tempoh sebagai ahli Dewan Negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail: Kemelut tak jejas hubungan saya dan MB

Posted: 11 Mar 2012 11:37 PM PDT


Oleh: ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Kemelut membabitkan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalannya, Dr Ismail Salleh diyakini tidak akan menjejaskan hubungan dalam parti mahupun pentadbiran.

Ini diakui sendiri oleh Ismail, yang menyifatkan perbezaan pendapat antaranya dengan Azizan yang juga Menteri Besar, adalah lebih kepada soal pentadbiran.

"Saya tiada masalah untuk bekerja bersama Azizan selepas ini. Isu sebelum ini tidak akan jejaskan hubungan yang terjalin antara saya dan Azizan. Itu hanya persepsi masyarakat dan pihak luar yang tidak faham konsep berbeza pandangan dalam pentadbiran," katanya ketika dihubungi semalam.

Ismail berkata demikian apabila diminta mengulas sejauh mana hubungannya dengan Azizan terjejas selepas kemelut tercetus, yang turut menjadi persoalan ramai, bagaimana kedua-duanya akan 'bersemuka' setiap kali bertemu dalam mesyuarat parti mahupun pentadbiran.

Kemelut tercetus apabila Ismail dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi enggan dilantik semula sebagai Exco ekoran sering berselisih pendapat dengan Azizan. Namun keputusan Pas Pusat memaksa kedua-duanya kembali sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Ismail sebaliknya, meminta semua pihak bersikap lebih terbuka dalam menerima pandangan berbeza membabitkan pemimpin dalam kerajaan.

"Beza pendapat dalam sesuatu perkara tidak semestinya kita tentang, tak sokong atau tak boleh bekerjsama. Sudah sikap orang Melayu apabila pendapat tak sama bermakna ia suatu kesalahan, sepatutnya perbezaan itu dirai dengan dibawa berbincang secara musyawarah," katanya.

Menurutnya, konsep dalam pentadbiran membabitkan perbezaan pandangan dan idea perlu diperbetulkan agar setiap pihak bebas untuk menyalurkan pandangan masing-masing.

"Beza pandangan sepatutnya dirai dalam Islam, selain memperlihatkan kita mempunyai banyak idea, bukan bermaksud kita bergaduh sesama sendiri," katanya.

Tiada ulasan: