Ahad, 11 Mac 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Seluruh England: Chong Wei tarik diri kerana sakit

Posted: 11 Mar 2012 11:04 AM PDT


Oleh: Wartawan Sinar Harian

DATUK Lee Chong Wei gagal mempertahankan kejuaraan Seluruh England buat kali ketiga berturut-turut apabila beliau memutuskan untuk menarik diri ketika permainan masuk set kedua, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Chong Wei mengambil keputusan memberi laluan mudah kepada Lin Dan dari China disebabkan masalah kecederaan di bahagian bahu.

Pada set pertama, Chong Wei kalah 19-21 dan ketinggalan 2-6 ketika mengambil keputusan menarik dari meneruskan persaingan.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak ketika ramai meletakkan harapan beliau boleh memburu gelaran hatrik kejuaraan Seluruh England di Birmingham.

Pertemuan antara Chong Wei dan Lin Dan adalah yang terakhir dalam jadual perlawanan akhir Kejohanan Seluruh England kali ini.

Tahun lalu, Chong Wei mengetepikan musuh ketatnya itu untuk mempertahankan kejuaraan.

Ketika itu dia mengambil masa 52 minit untuk menundukkan Lin Dan 21-17, 21-17.

Keputusan Shahrizat betul dan tepat, kata Najib

Posted: 11 Mar 2012 06:12 AM PDT



PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengundurkan diri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah satu keputusan yang tepat dan betul.

Perdana Menteri berkata pengunduran diri itu dilihat sebagai satu pengorbanan demi kepentingan kerajaan dan parti.

"Walaupun setakat ini tiada bukti beliau buat kesalahan dari segi undang-undang, namun sebab isu NFC mengundang pertikaian dan kontroversi, beliau sanggup berundur daripada kerajaan," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis tahlil Allahyarham Tun Abdul Razak di Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan, di sini, hari ini.

Shahrizat dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Bagaimanapun, Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN). - Bernama

Terkini! Shahrizat lepaskan jawatan menteri 8 April

Posted: 11 Mar 2012 01:41 AM PST


Oleh: ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan berundur sebagai anggota Kabinet apabila tempoh beliau sebagai senator berakhir 8 April ini.

"Pada 8 April, apabila tamat penggal sebagai ahli Dewan Negara, saya akan undur diri," kata beliau kira-kira 4 petang tadi.

Khidmat anggota Dewan Negara adalah selama tiga tahun dan boleh disambung satu penggal lagi.

Beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada 9 April 2009 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri dan seterusnya anggota Kabinet. Beliau gagal mempertahankan kerusi Lembah Pantai dalam pilihan raya umum 2008.

Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno yang dimenangi tiga tahun lalu. Beliau juga merupakan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau akan menghantar surat makluman keputusannya kepada Najib dalam waktu terdekat.

Beliau juga menafikan keputusannya diambil ekoran tekanan mana-mana pihak ataupun disebabkan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

"Saya ingin ambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih kepada Najib dan timbalan beliau dan rakan-rakan jemaah menteri, kerana telah mendapat kerjasama begitu baik.

"Selama 10 tahun menjalankan tugas sebagai menteri, saya sempat membawa beberapa perubahan," kata beliau pada Majlis Karisma Keluarga: Jalinan Kasih 2012 di Desa Water Park di sini petang, yang turut mendapat liputan lebih 60 wartawan dan jurugambar yang telah menunggu beliau sejak dari jam 1 tengah hari tadi.

Semalam, Najib berkata, beliau akan mengumumkan tentang kedudukan Shahrizat sebagai menteri pada waktu yang sesuai.

Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno sebelum itu tidak menafikan desas desus yang mengatakan Ketua Pergerakan Wanita Umno itu akan meletakkan jawatan.

"Pelbagai khabar angin... kita akan membuat pengumuman (pada waktu) yang bersesuaian," katanya.

Isu peletakan jawatan timbul apabila beliau terpalit dalam isu National Feedlot Corporation, yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail yang terlibat dalam projek lembah daging Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Beberapa individu sebelum ini termasuk bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz meminta Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan ia menjadi bebanan kepada parti.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menasihatkan Shahrizat agar "jangan sayang kepada jawatan."

PR tidak gusar populariti tinggi Najib

Posted: 10 Mar 2012 07:19 PM PST


Oleh: G MANIMARAN

SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) tidak gusar dengan peningkatan semula populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang hasil kajiannya diumumkan Merdeka Center kelmarin.

Beberapa pemimpin PR berkata paras populariti yang tinggi iaitu 69 peratus pada sekarang, tidak semestinya menggambarkan kedudukan sokongan yang sebenar pengundi ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pemimpin-pemimpin PR tidak menafikan populariti individu Najib, tetapi ia bukan gambaran sebenar tentang tahap keyakinan dan kepercayaan rakyat ke atas kerajaan pimpinannya.

"Pakatan Rakyat tidak cemas dengan penemuan kajian (Merdeka Center) ini," kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Kata beliau, BN tidak boleh menang ataupun mengharapkan kemenangan besar hanya dengan meletakkan kebergantungan pada populariti Najib yang agak tinggi pada masa sekarang semata-mata.

Dengan merujuk kepada persekitaran populariti Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Saifuddin berkata, kepopularan kepimpinan bekas perdana menteri ketika itu tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.

Dalam PRU pertama pada 2004, selaku Perdana Menteri, Abdullah membawa kepada kemenangan bersejarah lebih 90 peratus kerusi Parlimen. BN berhadapan dengan senario berbeza empat tahun kemudian.

"Saya ambil pengalaman saya tahun 2008, ketika Abdullah Ahmad menjadi Perdana Menteri, kajian yang sama yang dilakukan oleh Merdeka Center.
"Ketika itu populariti Abdullah sekitar 70 hingga 72 peratus, paras yang agak tinggi, tetapi apa yang berlaku ialah Umno dan BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang (kerajaan) di lima negeri," kata beliau.

Oleh itu kata Ahli Parlimen Machang ini, beliau tidak melihat tahap populariti Najib yang hampir sama tinggi dengan Abdullah akan menjejaskan usaha dan strategi PR menghadapi PRU13.

Saifuddin juga berkata, berdasarkan apa yang diperkatakan oleh bekas Ketua Wanita Umno dan bekas anggota Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz bulan lalu, PRU13 tidak boleh dimenangi hanya berdasarkan populariti Najib.

"Tan Sri Rafidah seorang pemimpin berpengalaman, sudah lama dalam politik. Itu komen Rafidah, beliau mampun membuat penilaian (kedudukan BN dan Najib). Jadi, kami di PR tidak gusar, tidak risau dengan kedudukan ini. Kami bersiap sedia untuk menghadapi PRU13, sudah bersedia untuk menghadapi PRU13," katanya lagi.


Anwar tidak layak bersama Pas, kata Muhyiddin

Posted: 10 Mar 2012 05:42 PM PST


Oleh: Wartawan Sinar Harian

KUALA TERENGGANU – Tindak tanduk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam membuktikan beliau tidak layak berada dalam Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Beliau menegaskan, jika pemimpin Pas mahu berpegang kepada ajaran Islam sebenar, mereka tidak sepatutnya bersengkongkol lagi dengan Anwar kerana Ketua Pembangkang itu secara terang-terang melakukan banyak perkara menyalahi hukum syarak.

"Anwar tidak patut berada dalam pakatan pembangkang kerana beliau tidak sefahaman dengan Pas. Banyak tindakan beliau bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum yang ditetapkan oleh Tuhan," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu.

Menurutnya, antara tindak tanduk Anwar yang bertentangan dengan Islam ialah sokongan beliau terhadap negara Israel dan cadangan supaya undang-undang berkaitan liwat dihapuskan.

"Telah ditetapkan bahawa liwat itu bertentangan dengan tabie manusia dan perbuatan itu diharamkan, tetapi Anwar pula tidak setuju dengan hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT. Perbuatan tersebut adalah satu dosa besar," katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya turut mempertahankan kenyataan Menteri Besar Terengganu bahawa Pas merupakan 'ajaran sesat' adalah tepat kerana tindak tanduk pemimpin parti itu juga menyeleweng dari ajaran Islam.

Katanya, dalam banyak hal pemimpin Pas turut menyokong apa yang dilakukan oleh Anwar walaupun ia bertentangan dengan ajaran Islam, semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai sekutu parti pembangkang.

Beliau berkata, jika pemimpin Pas gagal menasihatkan tindak tanduk Anwar dan bersetuju dengan segala tindakannya, tidak syak lagi parti itu juga sesat dan menyeleweng daripada perjuangan Islam.

Anwar tidak pernah pengaruhi Isu Kedah

Posted: 10 Mar 2012 05:37 PM PST


Oleh: KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

KANGAR - Isu kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh baru-baru ini tidak pernah melibatkan pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana dakwaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Anwar dan kepimpinan PKR Pusat amat menghormati kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Azizan di Kedah dan fitnah jahat kononnya Anwar merancang 'penggulingan' Pesuruhjaya Pas Kedah itu bertujuan memecah perpaduan di antara PKR dan Pas.

Menurutnya, Anwar, dirinya dan beberapa pimpinan kanan PKR mengadakan kunjungan hormat terhadap Azizan di kediaman rasminya di Alor Setar pagi kelmarin bagi mendapatkan penjelasan berhubung kemelut isu yang melanda pentadbiran negeri itu baru-baru ini.

"Dalam perjumpaan itu, Azizan dan Anwar saling bertukar pandangan dan pendapat dalam membincangkan hal politik dan ekonomi semasa tanpa sebarang perselisihan faham. Persoalannya, mengapa mesti Anwar dilibatkan dalam semua krisis dalaman PR?"katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini malam kelmarin.

Azmin turut menyifatkan senario politik tempatan kini kembali memihak kepada PR di atas kebijaksanaan Pas dalam menyelesaikan kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah selain menyebabkan Umno dan BN kembali mati akal.

Menurutnya, usaha jahat Umno dan BN untuk melaga-lagakan parti-parti di dalam PR bukan sahaja gagal, malah mereka semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat susulan kejayaan Pas dalam menyelesaikan isu dalaman mereka.

"Bagi Umno, kejayaan Pas menyelesaikan isu dalaman mereka dengan berhemah tanpa menjejaskan mana-mana pemimpin merupakan satu perkara sangat baru yang tidak berlaku di dalam parti itu.

"Saya yakin kemelut di Kedah tidak pernah sesekali menjejaskan keyakinan rakyat terhadap PR selain mengukuhkan perpaduan ahli di dalam PR," katanya

Ibrahim Ali Dasar Muka Tak Malu, Kurang Ajar Dengan Tok Guru

Posted: 10 Mar 2012 05:36 PM PST

Perkasa mahu Nik Aziz berundur

GUA MUSANG - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu berundur sebagai Menteri Besar kerana tidak lagi layak menerajui Kerajaan Negeri Kelantan, malah tidak wajar bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menegaskan, banyak sebab menteri besar itu perlu berundur, bukan sahaja disebabkan faktor umur, tetapi juga kelemahan sepanjang lebih 20 tahun memerintah negeri itu.

Nik Abdul Aziz mengetuai Kerajaan Kelantan sejak Pas menguasai negeri itu pada 1990.

Ibrahim yang bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas pada 2008 menggunakan tiket Pas berkata, antara sebab lain kegagalan membawa perubahan ke arah kemajuan masa depan rakyat dan sumber pendapatan kerajaan negeri yang semakin menurun.

"Kalaulah dia terus memegang jawatan itu sudah tentu rakyat akan berdepan dengan banyak masalah.

"Oleh itu saya minta Nik Abdul Aziz berundur sebelum PRU13," katanya di sini.

Ahli Parlimen Pasir Mas ini berkata, penyandang jawatan Menteri Besar perlu dilantik daripada kalangan pemimpin muda yang berpelajaran tinggi dan mempunyai perancangan berwawasan untuk kemajuan rakyat.

Katanya, Nik Abdul Aziz boleh dikatakan memegang jawatan Menteri Besar itu hanya sebagai pemerhati kerana tidak mampu melakukan apa sahaja pembaharuan menyebabkan Kelantan masih mundur dan kurang peluang pekerjaan.

"Kalau nak dikatakan dia layak sebagai mufti tidak juga kerana banyak fatwa yang dikeluarkan bercanggah dengan mufti lain berikutan ada kepentingan politik peribadinya.

"Tambah pula sekarang terikut-ikut telunjuk parti pakatan termasik DAP dan PKR.

"Adalah lebih baik dia berehat sahaja di rumah dan memberi laluan kepada orang yang lebih muda untuk menerajui kerajaan negeri supaya ada perancangan yang berguna," katanya.

Beliau mengakui kelemahan kepimpinan Nik Abdul Aziz itu menyebabkan Kerajaan Pusat menghulurkan pelbagai bantuan khususnya kewangan bagi membangunkan negeri berkenaan sejak dahulu sampai sekarang.

Katanya, rakyat negeri itu juga sudah kurang yakin dengan kemampuan Nik Abdul Aziz terus menerajui Kerajaan Kelantan dan kemungkinan besar menolak Pas pada PRU13.

"Pada hemat saya sudah nampak dengan jelas rakyat semakin muak dengan karenah kepimpinan kerajaan negeri yang lebih mengutamakan kepentingan diri daripada membawa perubahan untuk mereka," katanya.

Tiada ulasan: