Khamis, 8 Mac 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kenyataan Media: Laporan Utusan untuk Alih Perhatian Rakyat Malaysia

Posted: 08 Mar 2012 07:55 AM PST

Nik Nazmi

Akhbar Utusan Malaysia hari ini bertajuk 'Surat Anwar kepada Tokoh Yahudi' memetik laporan sebuah blog pro UMNO yang menyiarkan surat yang ditulis Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2007 kepada National Endowment for Democracy.

Sebenarnya sesiapa yang mengamati surat tersebut akan mendapati surat itu tidak mengandungi sebarang kontroversi. Sebaliknya, Anwar menyatakan keperluan proses pilihan raya yang bersih dan adil dan menyeru NED, sebuah agensi dwi-parti Amerika Syarikat untuk menyokong usaha rakyat tempatan yang mahukan pilihan raya bersih dan adil.

Ketempangan proses pilihan raya yang diluahkan oleh parti-parti pembangkang serta badan-badan bukan kerajaan menerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil kini turut diakui kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi Reformasi Pilihan Raya dibentuk.

Penerbitan surat tersebut juga merupakan usaha media UMNO bagi mengalih perhatian rakyat daripada pendedahan pertemuan dan surat-menyurat Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan pimpinan Israel baru-baru ini. Pendedahan tersebut serta penglibatan pegawai ketenteraan Israel di dalam syarikat perunding APCO yang dilantik Najib mendedahkan kepuraan UMNO-Barisan Nasional selama ini.

'SBPA tidak berapa sesuai dengan 1Malaysia'

Posted: 08 Mar 2012 07:50 AM PST

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan membatalkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat responsif terhadap kehendak masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, langkah itu diambil setelah satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menilai semula SBPA berpendapat ia tidak berapa sesuai dengan gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

"(Justeru) Perdana Menteri telah mengambil satu langkah (untuk) menilai balik (SBPA)," katanya selepas merasmikan set tren MyKomuter yang operasinya bermula hari ini.

Pembatalan skim SBPA itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, cadangan SBPA itu telah dikemukakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi selepas ia diteliti semula kerajaan mendapati ada beberapa perkara dalam skim itu yang perlu dipinda.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata dengan keputusan ini, guru-guru juga diharap berasa gembira kerana kerajaan akan melaksanakan seberapa segera janji-janjinya sebelum ini.

"Macam perdana menteri kata, guru-guru jangan gundah gulana, apa yang dijanjikan dalam bajet itu (Bajet 2012) akan dipenuhi dan mungkin dalam tempoh yang terdekat perincian itu akan dimaklumkan oleh pihak JPA. Dengan jaminan perdana menteri itu, kita harap ia akan dapat memuaskan hati," katanya.

Ketika ditanya sama ada tarikh pilihan raya umum ke-13 telah hampir memandangkan kerajaan sudah menyelesaikan isu SBPA, Muhyiddin berkata, "Belum ada sebarang keputusan yang jelas mengenai tarikh pilihan raya umum ke-13."

"Semua orang boleh membuat spekulasi kononnya pilihan raya akan berlaku sebaik sahaja kerajaan menyelesaikan status kedudukan SBPA, tidak ada salahnya.

"Yang saya tahu, kita masih lagi fokus untuk membuat persediaan bagi pilihan raya, apa yang kita boleh buat dan kita masih teruskan usaha kita kerana yang penting kita mesti memperoleh kejayaan dan kemenangan," katanya.

Mengenai keputusan kerajaan menganugerahkan konsesi Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) berharga RM2.2 bilion kepada sebuah syarikat yang dipertikaikan oleh pembangkang, Muhyiddin berkata permohonan daripada syarikat tersebut dibuat mengikut saluran yang betul dan ia turut dinilai oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Unit Perancangan Ekonomi.

"Tidak ada sebab kita hendak menolak permohonan syarikat tersebut kerana sebarang keputusan pemberian dibuat ke atas merit," katanya.

Beliau berkata kerajaan bersikap terbuka dan akan menerima cadangan sesiapa sahaja yang mahu menaik taraf tahap pengangkutan awam negara ini. - Bernama

Azizan sembah nama 2 Exco kepada Sultan Kedah

Posted: 08 Mar 2012 07:48 AM PST

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mempersembahkan nama dua exco yang terbabit dalam kemelut pentadbiran kerajaan negeri kepada Sultan Kedah, untuk dipertimbangkan dilantik semula ke jawatan itu.

Azizan dilihat memasuki Istana Anak Bukit di sini pada pukul 4.50 petang sebelum keluar semula hampir sejam kemudian.

Ketika ditemui pemberita di luar pekarangan istana dan ditanya sama ada nama terbabit sudah mendapat perkenan tuanku, beliau berkata: "Sultan akan perkenan kemudian... ambil masa sikit."

Mengenai tarikh angkat sumpah kedua-dua exco berkenaan, beliau berkata, pihaknya akan menunggu perkenan Sultan sebelum menetapkan majlis kerana perkara itu bergantung kepada kelapangan baginda.

Pada 28 Februari lepas, hanya lapan daripada 10 exco mengangkat sumpah bagi pelantikan semula jawatan, manakala Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh tidak disenaraikan untuk berbuat demikian.

Tempoh khidmat mereka tamat secara rasmi semalam.

Ketika ditemui pemberita pada hari mengangkat sumpah itu, Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah berkata, beliau enggan dilantik semula kerana mempunyai perbezaan pendapat yang 'kritikal' dengan Azizan dalam soal
pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun pada 5 Mac lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Kuala Lumpur mengarahkan kedua-dua exco berkenaan menerima semula pelantikan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah. - Bernama

Banyak tidak kena dengan transformasi Najib – Forum REFSA

Posted: 08 Mar 2012 02:22 AM PST


Kuala Lumpur 8 Mac – Program Transformasi Ekonomi (ETP) kelolaan PEMANDU menerima kritikan-kritikan pedas dalam forum anjuran institut kajian sosial REFSA di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor semalam.

Forum tersebut yang mempertemukan juru strategi ekonomi ketiga-ketiga komponen Pakatan Rakyat, Rafizi Ramli (PKR), Dr Dzulkifli Ahmad (PAS) dan Liew Chin Tong (DAP) berjaya menimbulkan banyak persoalan terhadap perlaksanaan ETP.

"Matematiknya salah. Ramalan 7.8% PEMANDU adalah tidak tepat," kata Teh Chi Chang, Pengarah Eksekutif REFSA, mengkritik sasaran kadar pertumbuhan ekonomi tahunan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Membedah soal pelaburan asing, Rafizi berkata bahawa sejak 1998 kita sentiasa berada di tangga kedua di belakang Singapura dari segi penerimaan FDI di kalangan negara-negara Asia Tenggara. "Dahulu 17%, sekarang cuma 8%. FDI Singapura pula mencecah 50%," ujar Pengarah Strategi PKR itu.

Pengarah Strategi DAP, Liew Chin Tong mengkritik cara PEMANDU yang cuba melaksanakan perancangan strategik secara berpusat tanpa melibatkan atau memperkasakan aktiviti ekonomi setempat mengikut negeri atau lokaliti. "ETP PEMANDU adalah reinkarnasi Mahathirism," ujar Chin Tong.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkifli pula membangkitkan kerisauannya tentang hutang isi rumah yang sudah menjangkau 78% daripada KDNK dan hutang negara yang sudah semakin menghampiri had yang dibenarkan undang-undang. "Ini menandakan kita memerlukan perubahan yang lebih besar, bukan sekadar perlaksanaan projek-projek terpencil," kata beliau.

Forum tersebut dihadiri para wartawan dan penggiat sosial yang ingin mengetahui apa sebenarnya yang tidak kena dengan plan transformasi Najib Razak.

Program Transformasi Ekonomi adalah usaha yang diharap akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. PEMANDU mensasarkan pendapatan per kapita akan meningkat kepada lebih dari USD15,000 atau RM48,000 menjelang tahun 2020. – Roketkini

Bagi Projek Lebuhraya Sebab Merit? Kahkahkah.. Nak Bodohkan Sapa?

Posted: 07 Mar 2012 10:21 PM PST

Muhyiddin: Projek lebuhraya RM2.2b diberi atas merit

Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara bernilai RM2.2 bilion yang dianugerahkan kepada seorang peguam Umno adalah "berdasarkan merit", kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Projek berkenaan diberikan kepada Emrail Sdn Bhd dan dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

Penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah seorang pengarah dalam kedua-dua syarikat berkenaan.

"Ia berdasarkan penilaian yang sewajarnya berdasarkan kertas kerja yang dibuat oleh syarikat itu kepada kerajaan," kata Muhyiddin ketika ditanya wartawan.

Sebelum ini, penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa kerajaan persekutuan mengamalkan kronisme dalam penganugerahan projek itu dan dipercayai projek Lebuhraya Kinrara-Damansara itu adalah sebagai habuan atau ganjaran kerana peranannya membantu BN merampas Perak dari Pakatan Rakyat.

Namun Hafarizam ketika dihubungi Malaysiakini pada 21 Februari lalu berkata bahawa kedua-dua syarikat itu menghadapi "persaingan sengit" semasa proses tender.

Katanya, pengalaman mereka menyiapkan projek landasan berkembar keretapi dari Rawang ke Ipoh sepanjang 179 kilometer diambil kira dan mereka menang atas merit.

Raja Petra berkata Hafarizam adalah ahli lembaga pengarah di kedua-dua syarikat - Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd yang mendapat konsesi lebuh raya itu.

Selain penasihat undang-undang Umno itu, Raja Petra juga mendedahkan bahawa seorang lagi pengarah Emrail adalah Nik Sazlina Mohd Zain, isteri bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi.

Kerajaan Pulau Pinang kesal kenyataan CAP

Posted: 07 Mar 2012 10:15 PM PST


Zairil Khir Johari

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan perasaan kesal atas laporan akhbar Utusan Malaysia pada 6 Mac 2012 yang bertajuk "Kesal DAP tidak salur maklumat kepada rakyat".

Dalam artikel tersebut, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang kedua-duanya diterajui oleh SM Mohamed Idris telah dilaporkan berasa kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana tidak menyediakan maklumat lengkap kepada orang ramai berhubung projek infrastruktur yang dilaksanakan di negeri ini.

SM Mohamed Idris dipetik berkata, "Baru-baru ini laporan akhbar menyatakan kerajaan negeri akan membuka permohonan cadangan membina terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam serta jalan sepanjang 12 kilometer yang menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang serta beberapa projek lagi."

SM Mohamed menambah isu ketelusan dan keterbukaan berhubung cadangan projek adalah keutamaan yang paling penting dalam peringkat awal perancangan dan membuat keputusan.

Katanya lagi, "Rakyat perlu diberikan maklumat lengkap dari awal mengenai potensi, manfaat dan kesan projek dan butiran pertukaran tanah supaya mereka boleh membuat keputusan bermaklumat mengenai keperluan projek mega tersebut."

Kami tidak mempertikaikan hakikat bahawa isu ketelusan dan keterbukaan merupakan keutamaan yang paling penting, malah sebagai kerajaan yang berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus), kami telah mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan pihak umum mengenai projek-projek infrastruktur yang dicadangkan.

Pada 28 April 2011, satu sidang akhbar telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya mengenai penandatanganan Memorandum of Understanding (MOU) di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sebuah syarikat milikan kerajaan negara China.

MOU itu telah disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Najib Tun Razak serta Perdana Menteri China Wen Jia Bao.

MOU tersebut telah menyatakan minat syarikat kerajaan negara China ke atas empat projek infrastruktur Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalulintas, iaitu terowong 6.5km dari Butterworth ke Gurney Drive.

Jalan pintas 4.2km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang akan mengelakkan pusat bandar, jalan 4.6km yang akan menghubungkan Bandar Baru Air Itam kepada Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan berpasangan 12km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.

Semua projek ini akan dijalankan secara tender terbuka. Kos dianggarkan di antara RM5-8 bilion untuk keempat-empat projek ini tetapi dijangka lebih rendah kerana ia dijalankan dengan tender terbuka.

Ini telah diikuti oleh sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 29 April 2011 untuk meminta pandangan rakyat ke atas empat projek infrastruktur tersebut.

Ini telah disusuli oleh beberapa lagi sidang akhbar dari semasa ke semasa. Dalam sidang DUN pada 10 Mei 2011, Ketua Menteri telah sekali lagi menjawab soalan-soalan mengenai projek-projek infrastruktur tersebut.

Kerajaan Negeri dan juga MPPP telah menerima beberapa pandangan dan cadangan sejak 29 April 2011. Tambahan pula, Ketua Menteri juga telah mengadakan sesi perjumpaan dan perbincangan bersama wakil-wakil NGO dan pihak umum termasuk dengan Penang Forum pada 16 Oktober 2011 dan juga pada 19 November 2011. Dalam kedua-dua forum tersebut, Mohamed Idris telah dijemput tetapi beliau tidak dapat hadir dan telah menghantarkan wakil CAP.

Oleh itu, adalah mengejutkan bagaimana CAP boleh menyatakan bahawa tidak ada rundingan dengan NGO atau rakyat apabila begitu banyak ruang diberikan untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan projek-projek infrastruktur tersebut.

Mengikut senarai kehadiran, kami boleh mengesahkan bahawa wakil CAP iaitu Rudhrapathy Vijayala (Ravi) telah menghadiri kedua-dua sesi tersebut.

Selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah pun menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada pihak umum, termasuk dalam sesi perbincangan yang dihadiri wakil CAP.

Justeru, kenyataan Presiden CAP yang mempersoalkan dasar keterbukaan dan ketelusan Kerajaan Negeri adalah tidak tepat dan amat dikesali.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa proses tender terbuka yang dilangsungkan melalui RFP (Request For Proposal) juga akan melalui kajian kebolehlaksanaan serta penilaian kesan kepada alam sekitar.

Kedua-dua proses ini akan melibatkan penyertaan pihak umum dan akan menentukan keperluan projek-projek tersebut serta mengenal pasti alternatif-alternatif lain.

Adalah jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengamalkan dasar yang terbuka dan telus, bukan sahaja dengan penyampaian maklumat kepada pihak umum tetapi juga melalui dua sesi rundingan dan perbincangan dengan wakil-wakil NGO dan pihak umum yang dihadiri oleh Ketua Menteri sendiri.

----------------------------------------------

Penulis adalah Pegawai Khas kepada Ketua Menteri P.Pinang

Najib harap mansuh SBPA 'gembirakan' semua

Posted: 07 Mar 2012 10:03 PM PST


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap langkah kerajaan memansuhkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diumumkan hari ini, akan meredakan rasa tidak puas hati di kalangan 1.4 juta anggota sektor awam.

"Saya harap keputusan ini dapat meredakan ketidakpuasan hati penjawat awam pelbagai peringkat. Bagi isu-isu lain yang berkaitan perkhidmatan dan skim perkhidmatan, perkara ini akan dikaji oleh suruhanjaya yang diumumkan tadi," kata beliau di sini hari ini.

Najib berkata, bagi menjayakan segala perubahan dalam perjalanan menuju matlamat untuk transformasi negara, peranan yang penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

Beliau berkata, SBPA yang diperkenalkan awal tahun ini mengundang keresahan, rasa terkilan dan perasaan tidak puas hati penjawat awam, dan oleh kerana kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin serta mengenang jasa dan budi, ia mendengar keluh kesah rakyat.

"Kita bukan seperti puak-puak yang belum berjaya membentuk kerajaan sudah mahu membuang kakitangan awam," kata beliau.

Perdana Menteri berkata, sambil menjelaskan bahawa ekoran rasa tidak puas hati itu, kerajaan pada 12 Jan lepas memutuskan supaya SBPA dikaji semula.

Sebuah pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam TanSri Ismail Adam kemudiannya ditubuhkan dan diberi tempoh tiga bulan untuk meneliti semua aduan serta maklumat balas yang dikemukakan.

Ia diberi tanggungjawab mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata, sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.
Katanya, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.
Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, menurutnya, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

Imam baling selipar dipenjara setahun

Posted: 07 Mar 2012 08:52 PM PST


Oleh: KHALILAH GUSTI

​PUTRAJAYA - Tindakan biadap seorang imam membaling selipar ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan di sini bulan lalu, menerima padah apabila dia dihukum penjara setahun hari ini.

Hoslan Hussain, 46, dikenakan hukuman penjara selepas Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaharah Zahari mendapati dia bersalah menghina mahkamah.

Pembatalan SBPA – Sudah Terhantuk Baru Terngadah

Posted: 07 Mar 2012 08:38 PM PST

KENYATAAN MEDIA – 8 MAC 2012
Sudah Terhantuk Baru Terngadah: Kerajaan Harus Belajar dari Kesilapan SBPA

KEADILAN mengalu-alukan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang baru diumumkan hari ini. Namun, pembatalan ini jelas menunjukkan kegagalan berterusan Kerajaan Umno-BN dalam mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan dasar-dasar yang begitu penting sebegini.

Kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah. Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya 'sudah terhantuk baru terngadah' diambil oleh Perdana Menteri hari ini.

Secara tuntas, berikut merupakan prinsip-prinsip yang wajib diterima pakai oleh kerajaan yang prihatin terhadap nasib pekerja:

1) SSM yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan. Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji "sara hidup" ("living wage"), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012

2) SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam.

3) SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

4) SSM yang mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

5) SSM akan disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun; semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.

Akhir sekali, KEADILAN meletakkan keyakinan bertunjangkan perkhidmatan awam sebagai penggerak pembangunan negara yang terutama, dan mengingatkan semua pihak agar jangan sekali-kali mengenepikan suara mereka.

Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai

PM: SBPA dimansuh, SSM diguna semula

Posted: 07 Mar 2012 07:01 PM PST



SHAH ALAM - Skim gaji kakitangan kerajaan, Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dimansuhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, kakitangan awam akan tertakluk kepada Sistem Saraan Malaysia, yang diguna pakai sebelum ini, tetapi ia akan diperbaiki.

Timbul 'Kekecohan' Di Kedah Azizan Dimasukkan Ke Hospital

Posted: 07 Mar 2012 06:46 PM PST


ALOR SETAR: Kedamaian di Kedah sedikit tergugat apabila berlaku kekecohan di negeri ini walaupun Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya menjalani pemeriksaan rutin perubatan di hospital di sini.

Timbul spekulasi bahawa pesuruhjaya PAS negeri yang berusia 72 tahun dan mempunyai masalah kesihatan ini, mengalami serangan jantung tetapi ia ternyata tidak benar kerana dia beliau hanya pergi untuk pemeriksaan mata.

Setiausaha Akhbar Azizan, Mohd Helmi Khalid berkata Azizan pergi mendapatkan rawatan mata susulan di Hospital Sultan Bahiyah berikutan pembedahan katarak beberapa tahun yang lalu.

Beliau berkata, Azizan telah dimasukkan ke hospital pada hari Isnin dan akan dibenarkan keluar, Khamis.

"Beliau dijangka akan pulang ke pejabat pada hari yang sama," katanya.

Antara mereka yang melawat Azizan ialah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Pengarah Pilihan Raya, Dr Mohd Hatta Ramli, pemimpin-pemimpin parti negeri dan beberapa ahli majlis eksekutif negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Maklumat Kedah Abdul Ghani Ahmad berkata, Azizan telah pergi ke hospital pada hari Sabtu tetapi tidak mahu ditahan kerana dia terpaksa menghadiri mesyuarat untuk menyelesaikan isu pemberontak 'PAS Kedah di Sri Mentaloon, kediaman rasminya.

Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat Datuk Mahfuz Omar, berkata pemeriksaan mata Azizan telah lama dijadualkan, sambil menambah suara Azizan kedengaran "kuat dan sihat" apabila dia bercakap dengan beliau, Rabu.

Tiada ulasan: