Jumaat, 2 Mac 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Siapa Calon Yang Layak Ganti TG Nik Aziz Dari BN? Najib Cakap Tiada Lagi Calon.

Posted: 02 Mar 2012 08:56 AM PST

Najib: BN belum putus calon MB Kelantan

KOTA BAHRU - Datuk Seri Najib berkata calon Menteri Besar dan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Kelantan belum ditentukan lagi setakat ini.

Perdana Menteri berkata, BN akan menentukan barisan pemimpin itu apabila tiba masanya kelak.

"Kita faham, bila sampai masanya (nanti) kita akan bariskan pemimpin BN yang berwibawa untuk mempimpin kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Bersama Profesional Kelantan di sini hari ini.

Najib mengulas soalan pemberita mengenai kesediaan BN dan Umno meletakkan nama-nama sebagai pemimpin negeri berikutan faktor calon yang bakal menjadi
Menteri Besar Kelantan penting demi menjamin kemenangan Barisan Nasional.

Menjawab soalan berhubung kenyataannya bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed adalah wakil beliau, Najib berkata, ia adalah di dalam konteks Umno di mana Mustapa adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan.

Mengenai kajian bahawa Mustapa adalah calon terbaik untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau berkata: "Oh anda nak Tok Pa (Mustapa), tak apalah kita
tengok dulu pendapat semua pihak... Tak susah kalau Tok Pa sanggup."

Najib berkata, calon-calon akan diumumkan tidak terlalu awal dan tidak juga terlalu lewat.

Merumuskan lawatan seharinya di sini, beliau berkata walaupun suasana baik di kalangan penyokong tetapi ia bukan satu perkara mudah untuk parti kembali
menawan negeri ini.

"Saya sedar bahawa kita tak boleh anggap jalan itu mudah kepada kita dan mesti terus berusaha lakukan yang diperlukan dalam menjamin kemenangan kita," katanya.

Beliau berkata anggota Umno mesti setia kepada parti dan kesetiaan itu akan teruji apabila nama calon diumumkan kelak.

"Saya nampak komitmen bertambah baik dan kita memberikan tumpuan turun ke bahagian-bahagian untuk yakinkan mereka, bagi komitmen mereka untuk apa juga
keadaan dengan menerima keputusan kepimpinan," katanya.

Najib berkata, perkara ini elok diperingatkan selalu supaya anggota parti tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan parti.

Ditanya mengenai tuntutan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang menuntut kerajaan PAS Kelantan supaya menunaikan janji pilihan raya, Najib berkata rakyat
kini sudah bijak menilai.

"Ada kumpulan NGO, (yang mana) bukan Umno di belakang (mereka) itu. Sekarang ni tak boleh tutup. Rakyat berpengetahuan tinggi dan bermaklumat.

"Kalau ada sesiapa yang tak tunai janji mereka tentu bangkit mendesak menuntut janji-janji berkenaan," katanya.

Baru-baru ini, Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Gerakan Tukar) tampil menuntut kerajaan Pas Kelantan supaya menunaikan 22 janji sepanjang mentadbir negeri selama 21 tahun lepas.

Mengenai bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mendakwa bahawa beliau membeli undi di kawasan yang ditandinginya,
Najib berkata, perkara itu diserahkan Lembaga Disiplin Umno.

Abdul Kadir, yang juga bekas menteri Kabinet, mendakwa beliau pernah memberi RM200 sehingga RM1,000 dalam kempen pilihan raya BN untuk tujuan membeli undi. - Bernama

Kenyataan Terkini TG Presiden PAS Berkaitan Keadaan Politik Semasa Di Kedah

Posted: 02 Mar 2012 07:37 AM PST

Kenyataan Bersama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah

Posted: 02 Mar 2012 05:26 AM PST

1. Dewan Ulamak PAS Kedah dengan ini menyokong penuh dialog antara Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Razak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Wakil-Wakil Rakyat PAS Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah untuk mendapatkan penjelasan bagi apa sahaja isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini. Hal ini berlandaskan arahan Allah Taala bermaksud: "Dan segala urusan mereka berlaku dengan perbincangan sesama mereka." (Surah al-Syura ayat 38)

2. Dewan Ulamak PAS Kedah menegaskan sama sekali tidak menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Negeri Kedah.

3. Dewan Ulamak PAS Kedah sentiasa istiqamah untuk mempertahankan Kerajaan PAS Negeri Kedah bersama-sama dengan ahli dan kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia.

4. Dewan Ulamak PAS Kedah menyokong penuh sebarang usaha menggantikan mana-mana pemimpin yang sabit penyelewengannya.

YB Datuk Tuan Guru Harun Taib,

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Tuan Guru Syeikh Mohamad Abdullah,

Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.

Jumaat, 2 Mac 2012 bersamaan 8 Rabi'ulAkhir 1433H, 5.30 petang

Madrasah Makarimul Akhlak, Pondok Hj Abdullah Kecil, Langgar, Alor Star, Kedah Darul Aman.

Betul Kelantan Negeri Miskin, Cuba Tengok Apa Pemimpin Umno Kelantan Makan

Posted: 02 Mar 2012 01:35 AM PST

Betul la kata Najib yang Kelantan negeri paling miskin.

Korang tengok apa yang pemimpin Umno Kelantan makan?

Cittt.... Porahhhhh!

Bila pergi Sabah Najib cakap Kelantan miskin, bila datang Kelantan hari ni bunyi dia lain la pula. Katanya rakyat Kelantan hebat dan rajin mencari rezeki. Ramai rakyat Kelantan cerdik pandai dalam Malaysia.

Poorahhhhh! Hipokrit!

Amiruddin balas surat, tegas isu jawatan Pas selesai

Posted: 02 Mar 2012 12:12 AM PST

ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Bekalan Air Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, beliau telah membalas surat Pas Kuala Kedah berikutan tindakannya menerima pelantikan semula jawatan Exco kerajaan negeri walaupun telah diarahkan tidak menerima tawaran dilantik.

Sehubungan itu, beliau menganggap kes yang membabitkan dirinya dalam isu Pas kawasan Kuala Kedah itu selesai setelah menjawab surat yang dihantar oleh Setiausaha Pas kawasan itu semalam.

"Saya tak jangka akan ada masalah mengenai jawatan saya dalam Pas. Saya anggap perkara itu sudah selesai dan saya juga telah membalas surat itu kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Kedah Ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Pas Kuala Kedah yang memberikan kata dua kepadanya kerana melanggar keputusan mesyuarat jawatankuasa kawasan pada 24 Februari lalu yang menyokong Yang Dipertua Pas kawasan itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang tidak mahu dilantik semula sebagai Exco dan menetapkan semua Adun dalam kawasan Kuala Kedah menolak pelantikan Exco.

Amiruddin, yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, adalah antara lapan Exco yang menerima pelantikan semula bagi tempoh 2012/2013 manakala dua lagi Exco termasuk Phahrolrazi telah menulis surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan keengganan dilantik semula.

Amiruddin berkata, antara kandungan yang terdapat dalam surat itu ialah meminta supaya beliau mengatakan pandangan dan pendiriannya terhadap isu berkenaan.

"Saya telah membalas surat itu dan saya tidak bercadang untuk mengumumkannya di sini apa kandungan yang saya tulis. Ini hal adik beradik dan saya rasa ia tidak akan terjejas kedudukan saya dalam PAS dan mereka boleh menerimanya," katanya.

Amiruddin berkata kandungan surat yang diterimanya tidak sama seperti apa yang digambarkan dan dihebahkan sebelum ini (memberi kata dua), sebaliknya ia ditulis secara berhemah.

"Jadi saya rasa eloklah saya jawab dengan cara yang elok kerana surat itupun ditulis dengan cara baik," katanya.

Apabila ditanya tentang penerimaan masyarakat (penyokong Pas) terhadap dirinya selepas berlakunya perkara itu, beliau menjawab: "Respons dari bawah itu (masyarakat) macam-macam, tapi saya ingat bila isu ini reda ia akan balik seperti asal".- Bernama

Najib janji selesai masalah rakyat jika BN perintah Kelantan

Posted: 01 Mar 2012 11:51 PM PST

JELI - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Kelantan memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negeri ini pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi membolehkan BN menyelesaikan masalah dihadapi rakyat selama di bawah pemerintahan PAS.

Perdana Menteri berkata kerajaan BN mampu menyelesaikan masalah rakyat termasuk masalah bekalan air, masalah ladang rakyat, masalah kemudahan asas dan masalah perumahan rakyat.

"Di bawah kerajaan Barisan Nasional, InsyaAllah jika diberi mandat nanti, kita jamin masalah air selesai, kita akan jamin masalah ladang rakyat selesai, kita akan jamin kemudahan asas selesai, kita jamin perumahan rakyat akan kita laksanakan," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 1Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Jeli di sini hari ini.

Ucapan Perdana Menteri itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh kira -kira 20,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini turut melaungkan "Gelombang Merah" dalam mengajak rakyat Kelantan membuat perubahan dengan memberi mandat kepada BN untuk kembali memerintah negeri ini.

Najib berkata kerajaan BN akan mengubah landskap negeri ini dengan pelbagai pembangunan yang menjadikan Kelantan membangun dan maju.

"InsyaAllah landskap Kelantan akan berubah tetapi tetap berpaksikan kepada Islam, ilmu akhlaknya tetap kita pertahankan," katanya.

Beliau berkata PAS terbukti tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat walaupun sudah lebih 20 tahun memerintah negeri ini, sejak 1990.

Katanya PAS tidak mempunyai agenda untuk membangunkan rakyat dan negeri ini, sebaliknya apa yang diutamakan pemimpin itu ialah hanya kemenangan pilihan raya.

"Kelantan...kita nak maju, orang Kelantan ramai cerdik pandai, inilah tempat kita nak majukan umat Islam," katanya, sambil meminta rakyat memberi sokongan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam membawa perubahan di Kelantan.

Mustapa adalah anggota Parlimen Jeli dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

"Oleh itu, adik kakak sekelian, ambo (saya) nak pesan, kalau sayangkan ambo, kena sokong Datuk Pa ini, Datuk Pa orangnya jurus dan rajin, Datuk Pa, siang malam kerja," katanya sambil menyatakan bahawa Mustapa gigih membawa pelaburan ke Malaysia di mana tahun lepas sebanyak RM105 bilion.

Perdana Menteri juga berkata penubuhan Universiti Malaysia Kelantan, yang mendapat sokongan kuat daripada beliau, menunjukkan kerajaan BN mengutamakan ilmu untuk rakyat.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada penduduk di Parlimen Jeli.- Bernama

Banner Dari Rakyat Kelantan Sempena Lawatan Najib Di Jeli

Posted: 01 Mar 2012 09:35 PM PST

Nafi hudud dalam al-Quran bermakna tolak al-Quran

Posted: 01 Mar 2012 08:16 PM PST

Harakahdaily

Menyatakan bahawa hukum hudud tidak terdapat dalam al-Quran dan hanya ciptaan manusia boleh menjejaskan aqidah.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir (gambar), kenyataan seperti itu juga bermaksud menolak al-Quran itu sendiri.

"Hukum hudud ini ditentukan oleh Allah, dalam al-Quran disebut secara jelas. Sepakat ulama juga tetap bahawa hukum hudud ada dalam al-Quran seperti hukum potong tangan dan bunuh balas (qisas).

"Sesiapa yang menidakkan hudud dalam al-Quran, maksudnya dia tolak al-Quran," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sedangkan katanya rukun iman yang keempat adalah percaya kepada kitab Allah termasuk al-Quran.

Beliau yang juga bekas Mufti Kerajaan Terengganu berkata demikian ketika diminta memberi pandangan terhadap kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu program bersama mahasiswa baru-baru ini bahawa hudud tidak ada dalam al-Quran dan perlaksanaannya tidak adil.

Rakaman video ucapan Mahathir itu juga kini disebar meluas di internet khususnya di Youtube.

Dalam perkembangan lain, AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik turut menggesa para alim ulama, mufti hingga ke Majlis Raja-Raja Melayu menegur Mahathir yang juga mantan Presiden Umno itu.

Ini kerana kenyataan Mahathir itu bukan sahaja boleh disifatkan teroesong dari ajaran Islam malah boleh mengelirukan umat Islam seluruhnya.

"Kenyataan Tun Dr Mahathir ini 'besar' (salah) apabila menafikan hudud atau mengatakan hudud tidak ada dalam al-Quran. Sedangkan perkataan hudud itu sendiri jelas disebut dalam al-Quran.

"Hukum hudud bermakna hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh al-Quran secara nas qat'ie iaitu nas yang putus seperti hukum mencuri, hukum berzina ada dalam al-Quran.

"Begitu juga dengan nas yang berhubung dengan murtad, nas berhubung dengan arak, qazaf dan semuanya ada jelas dalam al-Quran," jelasnya.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Pusat pula akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka minggu depan.

"Insyaallah, minggu depan meeting DPPM, saya akan bincang dgn rakan-rakan bentuk tindakan wajar dan sesuai ke atas Tun Mahathir atas istiqamah kenyataannya yg menolak hukum hudud dan menyebutnya ia tdk terdapat di dalam al quran.

"Mungkin DPPM akan request untuk bertemu Tun Mahathir bagi menyampaikan betul duduk hukum hudud," kata ketuanya Nasruddin Hassan di laman Facebooknya.

Syabas YB Amiriddin. Berjuang Dan Berpolitik La Dengan Akhlak Islam

Posted: 01 Mar 2012 08:11 PM PST

Amiruddin: Saya tak tersepit, mahu lihat dulu surat

WARTAWAN SINAR HARIAN

GURUN - Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengaku tidak tersepit, apabila diberi kata dua oleh Pas Kawasan Kuala Kedah berhubung isu membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Menurutnya, beliau akan meneliti terlebih dahulu surat yang dikatakan dihantar kepadanya oleh Pas kawasan itu sebelum mengulas lanjut.

Amiruddin yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkata, setakat semalam, beliau belum menerima surat dimaksudkan itu.

"Saya dapat tahu mengenai kata dua oleh Phahrolrazi selaku Yang Dipertua Pas kawasan pun menerusi media," katanya semalam.

Menurutnya, sebelum ini, beliau sudah bertemu dengan Naib Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, Mohd Nasir Mustafa termasuk ahli jawatankuasa untuk jelaskan pendiriannya menerima jawatan Exco.

"Mesyuarat itu memaklumkan Pas kawasan berdiri teguh di belakang Phahrolrazi dan meminta saya bersama mereka. Tetapi saya jelaskan kenapa saya tidak boleh bersama dengan pendirian itu, dan ketika itu, alasan saya nampak nya diterima," katanya.

Amiruddin berkata, beliau terkejut apabila Phahrolrazi beri kata dua kepadanya menerusi akhbar sedangkan tidak dimaklum secara rasmi.

"Saya sendiri tidak pasti apakah perkara sebenar ingin disampaikan oleh Pas kawasan, lebih baik tunggu surat dan pastikan dahulu apakah keputusan dicapai dalam mesyuarat itu. Saya juga kena teliti hal-hal lain yang berkaitan," katanya.

Ditanya sama ada kata dua itu berunsurkan ugutan terhadapnya, Amiruddin berkata, perkara itu tidak timbul.

"Saya diajar disiplin dalam Islam, jika ada sesuatu berita, kita hendaklah periksa sama ada benar atau tidak, jangan buat spekulasi. Bimbang kelak jika saya komen sekarang tanpa rujuk surat, isu itu tidak betul pula," katanya.

Kelmarin, Pas Kuala Kedah memberi kata dua kepada Amiruddin sama ada meletak jawatan sebagai Exco atau berdepan tindakan kerana didakwa melanggar keputusan mesyuarat Pas kawasan 17 Februari lalu.

Phahrolrazi berkata, sebaik Amiruddin mengangkat sumpah jawatan Exco, tindakannya itu menyalahi keputusan dan Amiruddin diberi tempoh 14 hari untuk menjawab.

Gambar Terkini TG Guru Semasa Menunggu Untuk Manyampaikan Kuliah Dhuha

Posted: 01 Mar 2012 06:29 PM PST

http://a5.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/423924_359393697427244_146443882055561_1103739_1939285366_n.jpg

Allahukhbar!

Berilah kesihatan yang berpanjangan untuk Tok Guru kami

Azizan sedih kemelut babitkan Exco

Posted: 01 Mar 2012 03:48 PM PST

Oleh: ROSLINDA HASHIM

GURUN - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sedih dengan tindakan Pas kawasan Kuala Kedah yang memberi kata dua terhadap Datuk Ir Amiruddin Hamzah kerana didakwa tidak menyokong pendirian Yang Dipertuanya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi supaya menolak jawatan Exco yang ditawarkan.

Beliau berkata, perkara seperti itu pertama kali berlaku dalam sejarah Pas Kedah dan tindakan Pas kawasan itu seolah-olah bertindak menentangnya, juga amat mengejutkan.

"Dalam perlembagaan parti tiada perkara seperti itu. Dalam perlembagaan tidak disebut kes macam ini. Saya harap ia dapat diselesaikan secara baik," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan majlis pelancaran operasi pengeluaran bijih besi, semalam.

Hadir sama, Exco Prumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Pengarah Urusan Kumpulan Permodalan Kedah Berhad (PKB), Harun Khalib.

Ditanya sama ada wujud unsur-unsur mensabotaj pentadbiran Kerajaan Negeri ekoran tindakan Phahrolrazi memberi kata dua supaya Amiruddin yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, agar meletak jawatan sebagai Exco jika masih mahu bersama Pas kawasan itu, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pihaknya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sejauh mana kebenarannya.

"Saya tidak tahu ada unsur sabotaj atau tidak, biar rakyat nilai, saya tak kata apa pun pasal itu," katanya.

Mengulas sama ada kemelut ini sedikit sebanyak menjejaskan kekuatannya untuk terus menerajui Pas Kedah, Azizan berkata, kebiasaannya jika wujud usaha untuk menggugat kerajaan mahupun parti, ahli parti akan memberi sokongan padu terhadapnya.

"Rakyat Kedah terutama ahli Pas sayangkan parti ini dan kerajaan. Jika ada usaha untuk menggugat kestabilan kedua-duanya, mereka akan bagi sokongan penuh pada saya. Tetapi saya, grass root tak mau, jika mereka mau, tak ada masalah," katanya.

Azizan turut menjelaskan beliau masih sihat dan mampu menjalankan tugas rasmi kerajaan walaupun menjalani rawatan mata kelmarin.

Kelmarin, Pas kawasan Kuala Kedah memberi kata dua kepada Amiruddin kerana didakwa melanggari keputusan mesyuarat yang diadakan 17 Februari lalu. Antara keputusan yang dicapai ialah Pas Kuala Kedah sebulat suara menyokong pendirian Phahrolrazi untuk tidak menerima jawatan Exco bagi penggal seterusnya.

Arahan turut dikeluarkan kepada semua Adun dalam kawasan Kuala Kedah, iaitu Phahrolrazi (Pengkalan Kundor), Amiruddin (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) supaya tidak menerima tawaran untuk dilantik sebagai Exco.

Phahrolrazi mendakwa sebaik Amiruddin mengangkat sumpah jawatan Exco, tindakannya itu menyalahi keputusan dan beliau diminta memberi jawapan dalam tempoh 14 hari.

Amiruddin diminta memilih sama ada meletakkan jawatan sebagai Exco jika ingin bersama Pas Kuala Kedah, atau sekiranya mengekalkan jawatan itu, beliau bukan lagi sebahagian daripada Pas kawasan dan tidak dibenarkan terlibat dalam gerak kerja parti atau pengurusan Pas kawasan.

Kemelut ini berlarutan sejak dua anggota Exconya, yang juga Timbalan Pesuruhjaya I, Phahrolrazi dan Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Ismail Salleh menolak pelantikan semula jawatan, tetapi meletakkan syarat sekiranya mahu mereka menerima semula tawaran itu.

Tiada ulasan: