Kelab Greenboc |
- Pas Kelantan Ingatkan Hasan Ali
- Apa Dia Reformasi, Transformasi Najib?
- Kes Tukang Emas Dakwa Dipukul: Polis Nafi Dakwaannya
- Malaysia Negara Paling Selamat: 2 Puteri UMNO Jadi Mangsa Peragut
- Polis Diharap Tidak Berat Sebelah Semata-mata Kerana Dia Anak Menteri
- Kulim Dihentam Ribut, 3 Peserta Sukan Balapan Cedera
- Gempar Kerana Wujud Geng "Wanita Rogol Lelaki" Untuk Dapatkan Sperma
- Formula1: Selepas Sesi Kelayakan - Hamilton & Button Di Petak Hadapan Esok
- Tahniah Selangor: 8 PBT Perolehi Penarafan 4 Bintang
- Bukti Umno Selangor Jual 74 Ekar Tanah Rizab Melayu Di Gombak
- Nekad Kejar Peragut: Wanita Patah Gigi & Cedera Di Tangan & Kaki
Pas Kelantan Ingatkan Hasan Ali Posted: 25 Mar 2012 12:36 AM PDT Kota Bahru - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali diingat tidak terlalu ghairah memburukkan nama Pas melalui siri jelajah yang diadakan di seluruh negara. Timbalan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Fatah Harun mengingatkan perkara tersebut memandangkan pihaknya turut mempunyai bukti terdapat beberapa kes yang menunjukkan Hasan tidak melaksanakan tugas dengan baik semasa menganggotai parti itu. Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak mahu mendedahkan perkara tersebut memandangkan Hasan merupakan bekas ahli Pas, sekali gus kesan dirasai oleh parti itu sendiri. "Kita juga boleh sebut jika mahu, sepertimana yang didedahkan oleh Azmin Ali (Adun Gombak Setia), tetapi kita tidak mahu memperbesarkan kerana ia dilakukan semasa ia menjadi ahli Pas, sedikit sebanyak kita juga akan terpalit," katanya kepada Sinar Harian semalam. Kelmarin, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mempertikaikan tiga perkara berkenaan dengan Hasan ketika menyertai perbahasan di Dewan Undangan Negeri Selangor. Fatah yang juga bekas Pengarah Strategi Pas Kelantan berkata, pihaknya tidak mahu mengambil berat dakwaan yang dibuat Hasan ketika siri jelajah di negeri ini kerana ia tidak menjejas imej Pas negeri mahupun peringkat pusat. "Dia pernah ke Kelantan dan menyebut beberapa perkara tetapi kita mengambil sikap berdiam diri kerana ia kita tidak terjejas dengan dakwaan tersebut, tetapi sekiranya ia melampaui batas kita sedia sebut apa yang ada dalam simpanan kita," katanya. -SH |
Apa Dia Reformasi, Transformasi Najib? Posted: 24 Mar 2012 10:56 PM PDT Selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan badan bebas dan tidak diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu pilihan raya Malaysia tidak bebas. Selagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan badan bebas dan tidak diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu usaha mencegah dan membasmi rasuah, khususnya di peringkat tinggi kerajaan, akan gagal. Selagi Radio Televisyen Malaysia (RTM) bukan badan bebas yang diletakkan secara langsung di bawah kuasa Parlimen, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas. Selagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) tidak dimansuhkan sama sekali, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas. Selagi Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi tidak dihapuskan, atau dilonggarkan untuk menggalakkan kebebasan maklumat, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas. Selagi Akta Kebebasan Maklumat tidak dilaksanakan, selagi itu media massa Malaysia tidak bebas untuk melaporkan dengan berani dan benar. Selagi lesen dan kebenaran stesen TV dan radio swasta dikawal oleh kerajaan, selagi itu tidak wujud media bebas di negara ini. Selagi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dihapuskan tanpa perlu diganti sebarang akta lain, termasuk mana-mana undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa bicara, selagi itu rakyat Malaysia tidak akan bebas. Selagi sistem kehakiman takut dan tunduk kepada eksekutif (pembuat keputusan = parti pemerintah = kerajaan), selagi itu keadilan tidak wujud; yang salah boleh bebas dengan wang, yang benar dizalimi kerana tiada wang. Selagi sistem tender terbuka tidak diamalkan dengan telus dan mengikut undang-undang yang adil, selagi itu diskriminasi, pilih kasih, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah serta kronisme akan terus berleluasa. Selagi warna kulit sahaja menjadi asas penentu dalam apa-apa bidang, selagi itu rakyat sentiasa curiga dan was-was antara satu sama lain, sama seperti yang telah berlaku sejak lebih 50 tahun lalu. Selagi sistem politik Barisan Nasional yang berasaskan politik perkauman dan dominasi satu parti, selagi itu rakyat akan terbelenggu dan takut sehingga mencacatkan kreativiti minda, menjadi mandom, lembap dan 'lebih kurang' (mediocre). Ini semua hanya sebahagian kecil daripada masalah yang rakyat hadapi sejak berpuluh tahun lalu. Tak nampak sebarang tanda pemulihan. Jadi apakah yang Datuk Seri Najib Razak maksudkan dengan reformasi dan transformasi itu? – Roketkini |
Kes Tukang Emas Dakwa Dipukul: Polis Nafi Dakwaannya Posted: 24 Mar 2012 08:38 PM PDT Polis nafi anggotanya kasari tukang emas GEORGE TOWN — Polis semalam menafikan empat anggotanya mengasari seorang tukang emas ketika hendak memeriksa lelaki itu dalam satu kejadian di sebuah kedai di Jalan Perak pada 20 Mac lepas. Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP, Gan Kong Meng berkata, anggotanya melakukan pemeriksaan biasa bagaimanapun lelaki berkenaan enggan memberikan kerjasama sehingga berlaku pergelutan. "Hasil siasatan awal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam kedai berkenaan tidak menunjukkan empat anggota polis terbabit memukul tukang emas berkenaan. "Sebaliknya berlaku sedikit pergelutan ketika dia cuba ditahan untuk di bawa ke balai bagi pemeriksaan lanjut sebelum dibebaskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Akhbar hari ini melaporkan seorang tukang emas meminta polis melakukan siasatan secara telus berhubung empat anggota yang didakwa mengasarinya dalam satu kejadian pada 20 Mac lepas. Tukang emas, yang enggan namanya disiarkan itu, mendakwa dia yang sedang memandu kereta di Jalan Datuk Keramat, ditahan empat lelaki bermotosikal dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Anggota terbabit, yang berpakaian biasa, mengarahkan dia memberhentikan kereta untuk diperiksa tetapi akibat takut dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini, tukang emas berusia 39 tahun itu terus memandu menuju ke kedai milik rakannya di Jalan Perak 50 meter dari tempat kejadian. Menurut tukang emas itu, empat lelaki berkenaan mengekorinya masuk ke kedai rakannya dan berkeras mahu membawanya ke balai polis terdekat bagi tujuan pemeriksaan. Kong Meng berkata, tukang emas itu bersetuju tetapi meminta kebenaran untuk menghubungi anggota keluarganya di Sungai Petani, Kedah dan anggota polis terbabit membenarkan. "Anggota polis benarkan dia hubungi keluarganya dan selepas itu meminta tukang emas berkenaan untuk ke balai, tetapi dia enggan dan bertindak meronta-ronta ketika cuba ditahan. Kes disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. — BERNAMA Ulasan GB Cuba lihat video yang di bawah ini, benarkah polis itu tidak memukul mangsa berkenaan? GB nampak ada anggota polis (berbaju oren) yang menumbuk, siap angkat lutut membelasah mangsa... Persoalannya: Apa kesalahan mangsa yang sebenarnya? Bawa duit dan emas satu kesalahan? Mangsa ada sebab untuk berasa takut sebab sebelum ini bukankah sudah ada kejadian polis merompak dan melakukan beberapa jenayah yang lain? Apatah polis-polis berkenaan TIDAK memakai pakaian seragam polis. Malah dalam Balai Polis pun tidak selamat. Bukankah ada satu kisah sebelum ini seorang pelajar Tkn 5 dirogol oleh anggota polis di dalam balai polis? Seperti yang GB nyatakan berkali-kali, kita tidak menghasut orang awam membenci polis, tetapi apa yang sering berlaku ialah tindakan polis sendiri yang menyebabkan mereka dibenci oleh rakyat. Polis perlu lebih profesyenal dalam ertikata tidak melindungi salahlaku anggota-anggota mereka supaya polis sentiasa mendapat kepercayaan dari rakyat. |
Malaysia Negara Paling Selamat: 2 Puteri UMNO Jadi Mangsa Peragut Posted: 24 Mar 2012 07:00 PM PDT Pembantu Tabika Kemas cedera akibat diragut BALING - Seorang pembantu Tabika Kemas cedera akibat terjatuh dari motosikalnya selepas diragut di Jalan Kuala Ketil di sini malam kelmarin. NURUL FATIHAH yang cedera akibat terjatuh dari motosikal selepas beg tangannya diragut di Baling semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa, Nurul Fatihah Yahya, 20, membonceng motosikal ditunggang rakannya, Nazira Abdul Manan, 21. Kedua-dua mangsa yang merupakan ahli Puteri UMNO Bahagian Baling dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kuala Merah di sini selepas menghadiri satu kursus di Alor Setar. Menurut Nurul Fatihah, dia menyedari seorang lelaki menunggang motosikal menghampiri mereka sebelum menghimpit dan menarik beg tangan yang diletakkan di atas pahanya. -kosmo Cedera angkara peragut Ulasan GB Kita amat bersimpati dengan mangsa. Inilah akibat apabila "jenayah ragut" berleluasa kerana apabila kerajaan UMNO BN tidak mengindahkan persoalan jenayah yang berlaku di dalam negara di sebaliknya mendabik dada dengan retorik palsu mendakwa negara kita paling selamat di Asia Tenggara. Justeru itu, usah lagi bersikap demikian, sebaliknya benteras jenayah habis-habisan, bukan berselindung di sebalik angka-angka yang mendakwa kadar jenayah telah turun. Nanti terkena batang hidung sendiri. Itu peringatan/nasihat kita. Nak dengar, dengarlah, tak mahu dengar apakan daya... tunggu saja nanti, tentu ada berita lagi mengenainya. Semuga Allah swt selamatkan kita semua. klik untuk baca |
Polis Diharap Tidak Berat Sebelah Semata-mata Kerana Dia Anak Menteri Posted: 24 Mar 2012 03:25 PM PDT Kes anak menteri: Siasatan tak berat sebelah penting Pihak polis digesa menjalankan siasatan secara bebas dan tidak berat sebelah berhubung dakwaan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyerang seorang penyelia keselamatan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur pada Selasa lalu. Pihak keselamatan juga diharapkan tidak tunduk kepada sebarang tekanan termasuk sekiranya datang daripada menteri sendiri, demikian peringatan daripada Naib Presiden PKR N Surendran, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan NGO JINGGA 13 yang dekat dengan pembangkang. "Keyakinan umum pada polis sentiasa berada di paras rendah pada setiap masa dan polis mesti membuktikan mereka boleh menyiasatnya tanpa memihak," kata Surendran yang juga seorang pengamal undang-undang. Dalam masa yang sama, Surendran berkata, Nazri mesti menjelaskan bagaimanapun anaknya mampu memiliki kereta Porsche dan mempunyai pengawal peribadi sendiri. "Ini juga masanya semua menteri patut mengisytiharkan harta masing-masing," katanya. Ketua Polis Daerah Polis Brickfields, Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid sebelum ini mengesahkan dua laporan polis dibuat ekoran kejadian di Bukit Kiara itu dan menyiasatnya mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pergaduhan. Seorang jurucakap pengurusan kondominium itu mengesahkan bahawa terdapat perbalahan kecil antara anggota keselamatan dan tetamu bangunan itu tetapi enggan mengulas lanjut butiran kejadian. -mk klik untuk baca |
Kulim Dihentam Ribut, 3 Peserta Sukan Balapan Cedera Posted: 24 Mar 2012 08:45 AM PDT Tiga peserta Sukan Balapan Peringkat Daerah Kulim/Bandar Baharu cedera dalam kejadian ribut kencang yang mengakibatkan 15 khemah roboh dan terbalik di Sekolah Menengah Datuk Panglima Besar di sini petang semalam. Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu Abu Bakar Md Ali berkata ribut dan hujan lebat pada kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan sebahagian besar peserta sukan itu dan anggota keluarga mereka berlindung dalam 15 khemah di tepi padang sekolah, selain berlari ke bangunan sekolah. "Ada juga beberapa pelajar yang tidak sempat lari menyelamatkan diri dalam bangunan Sekolah Menengah Datuk Panglima Besar itu mengalami luka ringan dan dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan pesakit luar," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau juga berpuas hati dengan tindakan segera oleh guru dan petugas yang mengendalikan sukan itu. Abu Bakar turut menafikan khabar angin bahawa seorang peserta patah kaki ketika tergesa-gesa menyelamatkan diri. Beliau berkata kaki pelajar itu telah patah sebelum sukan tersebut bermula Rabu lepas, dan kehadirannya adalah secara kebetulan kerana ingin menyertai rakan lain. Katanya, pelajar itu terpaksa dipapah petugas untuk diselamatkan dalam kejadian ribut tersebut. - |
Gempar Kerana Wujud Geng "Wanita Rogol Lelaki" Untuk Dapatkan Sperma Posted: 24 Mar 2012 08:36 AM PDT Mashava, Zimbabwe - Susan Dhliwayo tergamam ketika dia memberhentikan keretanya kerana ikhlas mahu menumpangkan sekumpulan pengembara lelaki baru-baru ini tetapi mereka menolak pelawaannya. Gambar: DUA beradik, Sophie Nhokwara, (kiri) dan Netsai (kanan) serta Rosemary (dua dari kanan) yang berdepan dakwaan menyerang 17 pengembara lelaki, berjalan di luar sebuah mahkamah di Harare, Zimbabwe pada 29 November tahun lalu. Puncanya adalah kerana lelaki itu bimbang akan dirogol. Zimbabwe kini digemparkan dengan laporan sensasi bahawa terdapat geng wanita cantik merogol beberapa pengembara lelaki dan meletakkan sperma mereka di dalam kondom bagi tujuan ilmu hitam. "Sekarang ini, lelaki takut kepada wanita," kata Dhliwayo yang berusia 19 tahun. Menurutnya, para pengembara tidak akan menaiki kereta yang dipandu wanita kerana mereka tidak mempercayai lagi kaum Hawa itu. Media Zimbabwe sebelum ini melaporkan beberapa lelaki yang ditemui di lebuh raya telah diberi ubat tidur, diugut dengan menggunakan pistol atau pisau dan diberikan ubat perangsang seks sebelum mereka dirogol berulang kali dan ditinggalkan di tepi jalan. Berita tentang kumpulan perogol itu yang digelar 'pemburu sperma', pertama kali disiarkan di dada akhbar tempatan pada tahun 2009. Namun, sehingga kini, polis hanya berjaya menangkap tiga wanita yang ditahan bersama satu beg plastik berisi 31 kondom terpakai. Mereka didakwa kerana memperkosa 17 lelaki. Tiga orang yang ditangkap itu terdiri daripada Sophie Nhokwara, 26 dan adiknya, Netsai, 24, serta Rosemary Chakwizira, 28. "Kami tidak tahu jumlah sebenar kes rogol seperti ini," kata jurucakap polis, Wayne Bvudzijena. "Kebanyakan kes ini berlaku apabila mangsa menumpang kenderaan persendirian. Kami menggalakkan orang ramai agar menggunakan kenderaan awam." Menurutnya, tujuan sperma itu diambil si mangsa masih tidak jelas tetapi ia dipercayai digunakan dalam amalan sihir yang dikenali sebagai 'juju' atau upacara membawa tuah termasuk bagi tujuaan mendatangkan kekayaan, melariskan perniagaan dan mengelak penjenayah daripada dikesan. "Isu ini sukar untuk difahami," kata pakar sosiologi Universiti Zimbabwe, Watch Ruparanganda. "Apa yang jelas sperma ini digunakan dalam upacara ilmu hitam," tambahnya. Ruparanganda berkata, beliau hairan apabila mendapati sperma menjadi barangan komoditi ketika dia sedang melakukan kajian sosial di Harare tujuh tahun lalu. Dia diberitahu oleh remaja jalanan bahawa ahli-ahli perniagaan akan membawa mereka ke hotel bagi tujuan seks. Seorang pemuda berusia 24 tahun, Tende Marahu turut mengesahkan perkara tersebut. Menurutnya, beberapa lelaki dan wanita datang untuk mengambil lelaki di kawasan kejiranannya bagi mendapatkan sperma yang dikumpulkan dalam kondom selepas mereka melakukan hubungan seks. "Perkara ini telah lama berlaku," katanya. Amalan songsang tersebut turut dikecam Persatuan Pengamal Perubatan Tradisonal Zimbabwe. "Kami percaya amalan ini adalah sihir dan kami mengecamnya," kata jurucakap persatuan berkenaan, George Kandiyero. Menurutnya, pemburu sperma tidak akan mengambil sperma kekasih atau suami mereka untuk upacara juju kerana ia boleh memudaratkan lelaki itu. - AFP |
Formula1: Selepas Sesi Kelayakan - Hamilton & Button Di Petak Hadapan Esok Posted: 24 Mar 2012 07:24 AM PDT Lewis Hamilton dari pasukan McLaren akan bermula di petak pertama esok di dalam perlumbaan Formula1 Grand Prix Malaysia bersama-sama rakan sepasukannya Jenson Button dipetak kedua. Hamilton mencatatkan masa 1 minit 36.219 saat pada sesi kelayakan Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Sepang petang tadi, menewaskan Button yang mencatatkan masa 1 minit :36.368 saat dan merupakan kali pertama Hamilton berjaya memulai petak pertama di negara ini. Juara dunia 7 kali iaitu Michael Schumacher yang memandu kereta Mercedes-AMG merupakan yang ketiga terpantas, mengatasi pemandu Red Bull, Mark Webber dan pemandu Lotus'Kimi Raikkonen, yang masing-masing di kedudukan empat dan lima. Tetapi Raikkonen akan bermula di petak kesepuluh esok setelah didenda 5 petak ke belakang setelah menukar gearboxnya. Juara dunia Sebastian Vettel berada di petak ke enam, Romain Grosjean dari Lotus ketujuh, dan pemandu Mercedes-AMG Nico Rosbergdi tempat kelapan. Pemandu Ferrari Fernando Alonso dan pemandu Sauber Sergio Perez masing-masing di tempat ke 9 dan 10. Berikut adalah keputusan selepas sesi kelayakan Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Sepang petang tadi. 1. Lewis Hamilton, Britain, McLaren, 1 minit, 36.219 saat, 14 pusingan. 2. Jenson Button, Britain, McLaren, 1:36.368, 14. 3. Michael Schumacher, Germany, Mercedes, 1:36.391, 14. 4. Mark Webber, Australia, Red Bull, 1:36.461, 19. 5. Kimi Raikkonen, Finland, Lotus, 1:36.461, 13. 6. Sebastian Vettel, Germany, Red Bull, 1:36.634, 14. 7. Romain Grosjean, France, Lotus, 1:36.658, 14. 8. Nico Rosberg, Germany, Mercedes, 1:36.664, 14. 9. Fernando Alonso, Spain, Ferrari, 1:37.566, 16. 10.Sergio Perez, Mexico, Sauber, 1:37.698, 17. Tersingkir selepas sesi kedua 11. Pastor Maldonado, Venezuela, Williams, 1:37.589, 14. 12. Felipe Massa, Brazil, Ferrari, 1:37.731, 15. 13. Bruno Senna, Brazil, Williams, 1:37.841, 13. 14. Paul di Resta, Britain, Force India, 1:37.877, 15. 15. Daniel Ricciardo, Australia, Toro Rosso, 1:37.883, 14. 16. Nico Hulkenberg, Germany, Force India, 1:37.890, 13. 17. Kamui Kobayashi, Japan, Sauber, 1:38.069, 12. Tersingkir selepas sesi pertama 18. Jean-Eric Vergne, France, Toro Rosso, 1:39.077, 7. 19. Heikki Kovalainen, Finland, Caterham, 1:39.306, 9. 20. Vitaly Petrov, Russia, Caterham, 1:39.567, 6. 21. Timo Glock, Germany, Marussia, 1:40.903, 8. 22. Charles Pic, France, Marussia, 1:41.250, 8. 23. Pedro de la Rosa, Spain, HRT, 1:42.914, 4. 24. Narain Karthikeyan, India, HRT, 1:43.655, 6. |
Tahniah Selangor: 8 PBT Perolehi Penarafan 4 Bintang Posted: 24 Mar 2012 05:54 AM PDT Shah Alam: Dua majlis bandaraya dan enam majlis perbandaran di Selangor mendapat empat bintang dalam "Sistem Star Rating" bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 2010/2011. Dua majlis bandaraya itu ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), manakala majlis perbandaran ialah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Manakala empat majlis daerah di Selangor mendapat taraf tiga bintang iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyatan media hari ini.. "Keputusan ini satu peningkatan drastik dan memberangsangkan bagi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor. Ia juga membuktikan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat. "Saya mengucapkan tahniah kepada semua Datuk Bandar dan Yang di-Pertua (YDP) pihak berkuasa tempatan serta pegawai mereka dan berharap mereka akan terus berusaha bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berjalan dengan baik," tambahnya. Tiada PBT dapat 5 bintang Sebanyak 354 indikator digunakan dalam Sistem Star Rating bagi Pihak Berkuasa Tempatan berdasarkan empat bidang utama iaitu pengurusan, perkhidmatan-perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti. Sistem ini bermula pada 2008 atas saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – juga menggunakan borang soal selidik daripada responden yang terdiri daripada 70 peratus penduduk, peniaga (20 peratus) dan NGO (10 peratus). Menurut Menteri Besar, tidak ada satu pun PBT di dalam negara yang mendapat taraf lima bintang bagi tahun 2010/2011. |
Bukti Umno Selangor Jual 74 Ekar Tanah Rizab Melayu Di Gombak Posted: 24 Mar 2012 05:09 AM PDT Shah Alam 23 MAC : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali hari ini mendedahkan kes kerakusan Umno-BN sebelum tahun 2008 dalam penjualan tanah rizab melayu di Sungai Sering. Azmin dalam perbahasannya berkata sebanyak 76 ekar tanah dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN dan diserahkan serta dipindah milik ke salah satu syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di kawasan lain. Katanya, syarikat itu gagal membangunkan tanah berkenaan malah turut berdegil menjelaskan bayaran premium tanah biarpun status tanah itu telah ditukar. Bagaimanapun setelah Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengambil keputusan untuk merampas kembali kesemua tanah itu dan mengembalikannya sebagai status tanah rizab melayu selepas meneliti kes itu. "Ini membuktikan bahawa Umno-BN apabila diberi kuasa telah mengkhianati dan mencabuli kepentingan orang melayu di negeri Selangor,"katanya. Pendedahan itu juga turut disokong oleh Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut mendedahkan permohonan Umno bahagian Puchong kepada Kerajaan Negeri untuk menjual tanah rizab melayu kepada syarikat bukan melayu. Bagaimanapun permohonan pada tahun 2010 itu ditolak oleh Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Jelas Azmin, perkara itu penting untuk didedahkan berserta fakta di DUN supaya rakyat tidak keliru kerana pihak Umno-BN hanya mendabik dada dan mendakwa mereka adalah pejuang melayu. "Semua itu hanya sandiwara, apabila diberikan kuasa merekalah yang merampas hak orang melayu. Saya memohon Kerajaan Negeri memaklumkan terus kepada Sultan Selangor mengenai perkara ini," katanya. Tambahnya lagi, Umno-BN juga dalam menguruskan hal tanah rizab melayu seringkali dengan menukar tanah rizab dikawasan bandar dengan tanah dikawasan luar bandar yang bernilai jauh lebih rendah daripada harga tanah rizab yang asal. "Hal ini menyebabkan tanah rizab melayu di Negeri Selangor susut nilai dan memberi impak kepada nilai aset orang Melayu. Inilah amalan khianat Umno kepada orang Melayu di Negeri Selangor ketika mentadbir negeri ini. Tambahnya, PR berikrar akan terus menjaga hal dan kepentingan orang melayu tanpa mengorbankan kepentingan kaum lain. "Kerajaan Pakatan Rakyat terbukti tidak menyalahgunakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat. "Oleh itu, adalah diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat merangka satu Pelan Strategik Pengurusan Tanah Rizab Melayu supaya dapat dibangunkan secara tersusun dan dipelihara supaya terus mengekalkan status tanah demi kepentingan generasi masa depan,"katanya. -selangorku Umno jual 74 ekar tanah rizab Melayu |
Nekad Kejar Peragut: Wanita Patah Gigi & Cedera Di Tangan & Kaki Posted: 24 Mar 2012 02:38 AM PDT Jempol - Seorang wanita yang cedera akibat terjatuh dari motosikalnya bertindak nekad mengejar dua peragut yang melarikan beg tangannya berisi wang tunai RM1,200, dokumen dan telefon bimbit di Felda Palong Empat di sini kelmarin. Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa, Inche Aminah Ismail, 47, patah gigi serta cedera di kaki dan tangan selepas motosikalnya dihimpit dua pemuda yang memakai topi keledar. "Sebelum kejadian itu, saya mengeluarkan wang sebanyak RM800 di pejabat pos. Salah seorang daripada pemuda itu kemudian merampas beg tangan di dalam raga motosikal saya," katanya di sini semalam. Ujarnya, walaupun cedera, dia bangun lantas berlari mengejar kedua-dua suspek sejauh beberapa meter sebelum meminta bantuan orang ramai. "Saya dihantar ke klinik untuk rawatan dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Rompin," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang getah di sini. Ujarnya, polis memberitahu beg tangannya telah ditemui di kawasan kebun getah di sini tetapi wang RM1,200 dan telefon lesap. -kosmo Ulasan GB Lagi kes Malaysia Paling Selamat? |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan