Jumaat, 2 Mac 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pakatan Janji Tol Hapus Jika PR Memerintah, Najib Mula Mansuhkan Tol

Posted: 01 Mar 2012 11:30 PM PST

PM umum potongan 50% tol lebuh raya Cheras-Kajang

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemansuhan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang, berkuatkuasa tengah malam ini. -fotoBernama

Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan itu akan mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan Lebuh Raya Cheras-Kajang sebanyak 50 peratus, atau pengurangan bayaran tol daripada RM3.80 kepada RM1.90 untuk dua hala.

"Ini adalah usaha dan perjuangan kerajaan Barisan Nasional sejak 2009 lagi dan hari ini kerajaan jadikan kenyataan," katanya pada majlis pecah tanah projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Bandar Sungai Long di sini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM4.5 juta untuk membiayai sebahagian kos pembinaan sekolah berkenaan.

Sekolah itu akan dibina di tanah seluas 2.4 hektar. Ia mempunyai 36 buah bilik darjah untuk kemudahan 1,500 murid di kawasan berkenaan.

Najib menjelaskan bukan mudah untuk memutuskan mengenai pembinaan sekolah tersebut memandangkan kesukaran mendapatkan tapak, disebabkan itu kerajaan bersetuju untuk membina SRJK (C) itu di tanah bernilai RM20 juta.

"Jika pembangkang bising bagilah tapak yang lain, kenapa tak bagi tapak lain sedangkan mereka ada kuasa untuk luluskan tapak lain, mereka tak bagi tapi mereka buat bising, kononnya mereka yang memperjuangkan kepentingan masyarakat di situ," katanya sambil diiringi tepukan gemuruh orang ramai yang hadir.

Beliau menegaskan soal pendidikan bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan dipolitikkan, hakikatnya mesti mencari jalan penyelesaian, yang mana hari ini terbukti kerajaan BN mampu membawa penyelesaian kepada masyarakat Cina di kawasan berkenaan.

"Jika ada kelemahan tertentu, kita bersedia mendengar suara rakyat, saya tidak takut dan saya kata kalau tidak betul InsyaAllah kita akan betulkan tetapi jangan ada pihak menidakkan jasa yang terbesar selama ini ialah jasa yang dibawa kerajaan BN," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Sebelum ini Pakatan Rakyat sudah mengumumkan bahawa Tol perlu dihapuskan kerana syarikat konsesi telah mengaut untung yang besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Noh Mohd Yaakob pula menyatakan bahawa jika tol dihapuskan, negara ini akan muflis.

Lim Guan Eng membantah.

"Saya kata tidak. Malaysia tidak akan muflis. Dan sekiranya dia masih yakin dengan kenyataannya, marilah berbahas berdasarkan fakta dan bukan sekadar serangan yang tidak masuk akal.

"Saya harap beliau tidak takut untuk berbahas tentang isu penting seperi isu ekonomi dan kos hidup rakyat ini. Malah sekiranya tol dihapuskan, inflasi juga akan turun," jelas Lim lagi sambil mencabar Noh Yaakob untuk berbahas dengannya secara terbuka mengenai isu ini.

Kini, Najib pula mengisytiharkan penurunan kadar untuk dua tol.

Membuktikan bahawa dakwaan PR adalah benar dan Pakatan Rakyat perlu diangkat ke Putrajaya untuk menggantikan BN untuk penghapusan tol.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Abang, Bangun.. Jangan Tinggalkan Saya..

Posted: 01 Mar 2012 08:40 PM PST

Kereta tiba-tiba 'terbang'

LEDANG – "Mulanya saya nampak sebuah kereta 'terbang' disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat. Saya bergegas keluar rumah dan nampak kereta kancil ini sudah masuk dalam parit," kata saksi kejadian kemalangan maut di kilometer (KM) 1 Jalan Muar-Tanjung Agas, kelmarin.

Saksi, Sa'yon Hamid, 66, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, dia sedang berehat di ruang tamu rumahnya berhadapan jalan terbabit sebelum ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki.

"Tetapi saya hairan apabila kereta ini secara tiba-tiba 'terbang' semasa menghampiri simpang berdekatan kedai makan di sini.

"Saya sangat terkejut lalu keluar rumah dan melihat kereta Kancil ini sudah masuk ke dalam parit berhampiran," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sa'yon berkata, jarak rumahnya dengan tempat kejadian hanya pada jarak kira-kira 100 meter.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, dia melihat pemandu itu berada dalam keadaan lemah di tempat duduk pemandu dengan buih keluar dari mulutnya.

"Mungkin lelaki ini sakit ketika memandu menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

"Orang ramai mula membanjiri tempat kejadian, lalu salah seorang rakannya menghubungi pihak ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar tetapi mangsa meninggal dunia beberapa minit kemudian," katanya.

Isteri mangsa, yang mahu dikenali sebagai Yee, 40-an berkata, dia menganggap insiden yang menimpanya suaminya itu hanyalah mimpi.

"Saya masih tidak percaya dan tidak dapat terima berita ini kerana sebelum kejadian suami tidak menunjukkan sebarang perubahan yang aneh.

"Pagi tadi sebelum keluar bekerja, dia seperti biasa dengan sikap cerianya dan berbual bersama ketika sarapan pagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa, Low Kia Hin, 51, dari Jalan Kim Kee, Muar dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada tekanan darah tinggi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -SH

'Bangun, jangan tinggalkan saya'

LEDANG: "Bangunlah, jangan tinggalkan saya," kata seorang wanita ketika memeluk jenazah suaminya selepas lelaki berkenaan meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 1, Jalan Muar-Tanjung Agas di sini, kelmarin.

Kehadiran wanita dikenali sebagai Yee di tempat kejadian menyebabkan orang ramai sedih apabila enggan melepaskan mayat suaminya sebelum dipujuk ahli keluarga lain, kira-kira 30 minit kemudian.

Yee dikatakan bergegas dari rumahnya di Jalan Kim Kee di sini, selepas mengetahui suaminya, Low Kia Hin, 51, meninggal dunia ketika memandu dipercayai akibat serangan darah tinggi.

Menurutnya, dia masih tidak percaya suaminya sudah tiada kerana sebelum keluar rumah, mendiang kelihatan sihat.

"Saya masih tidak percaya dia sudah meninggal dunia. Semua ini bagai mimpi," katanya.

Saksi kejadian, Sa'yon Hamid, 66, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika dia berehat di ruang tamu rumahnya, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, pada mulanya, dia melihat sebuah kereta seolah-olah 'terbang' disusuli bunyi dentuman kuat.

"Saya terus bergegas keluar dan nampak sebuah Perodua Kancil berada dalam parit.

"Memang pelik kerana kereta itu tiba-tiba terbang ketika menghampiri simpang," katanya.

Katanya, dia kemudian terus melihat mangsa yang ketika itu begitu lemah dan mulut berbuih.

"Mungkin lelaki itu diserang penyakit ketika memandu menyebabkannya hilang kawalan dan keretanya terbabas sebelum seorang rakan mangsa menghubungi ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

"Mangsa disahkan sudah meninggal dunia tidak lama selepas itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca akibat tekanan darah tinggi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
-hm


[Video] Pimpinan Tertinggi PAS Turun Kedah Malam Esok Selesaikan Kemelut

Posted: 01 Mar 2012 07:10 PM PST

Krisis Exco: AJK Pas Pusat turun Kedah esok

KUALA LUMPUR - Kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan mengadakan pertemuan khas dengan pemimpin-pemimpin parti peringkat Kedah malam esok bagi menyelesaikan 'krisis Exco' yang dilihat boleh menggugat kerajaan negeri Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 jika gagal ditangani segera. fotoTHESTAR Oleh SAMUEL ONG

Pertemuan itu juga akan membabitkan perbincangan bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Mesyuarat khas malam tadi gagal mencari penyelesaian, sebaliknya memerlukan satu lagi pertemuan dengan barisan Badan Perhubungan Negeri Kedah.

Mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat kira-kira tiga jam di ibu negara tengah malam tadi, Naib Presiden Salahuddin Ayub berkata, kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terlibat sama dalam pertemuan esok.

"Perjumpaan akan diadakan pada Sabtu, malam Ahad di Kedah... tempat akan diberitahu kelak," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Salahuddin berkata, mesyuarat khas yang diadakan ini sebulat suara memutuskan untuk berjumpa dengan ahli Jawatankuasa Kerja Pas Kedah termasuk Menteri Besar.

"Perjumpaan itu akan melibatkan semua ahli tertinggi Pas termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Perjumpaan di Kedah nanti akan membincangkan dengan lebih meluas tentang permasalahan krisis di sana." katanya pada sidang media.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengadakan mesyuarat khas bermula 9 malam tadi bagi mencari penyelesaian ke atas 'krisis' kepimpinan parti peringkat Kedah, yang ketara selepas dua Exco Kerajaan Negeri menolak tawaran untuk dilantik semula ke jawatan itu.

Mesyuarat khas itu berlangsung di ibu pejabat parti di ibu negara dengan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Mohamed Sabu.

Mesyuarat khas itu diadakan dua hari selepas Salahuddin mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan salah seorang Exco Kerajaan Negeri terbabit.

Kelmarin, Salahuddin berkata, beliau ada beberapa formula untuk dibentangkan pada mesyuarat malam ini.

Katanya, mesyuarat ini diadakan khusus bagi membincangkan kemelut yang melanda kepimpinan Pas Kedah.

Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian yang disiarkan kelmarin, Salahuddin menyifatkan pertemuan beliau dengan dua pemimpin Pas Kedah kelmarin membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.

Salahuddin berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Azizan dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.

Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kehadiran Salahuddin di Kedah bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.

Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung, Selasa lalu. -SH

Pertemuan mahabbah PAS Pusat, Kedah malam esok

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Semua ahli jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan pertemuan mahabbah dengan PAS Kedah malam esok bagi mendengar segala permasalahan di pihak kepimpinan parti negeri itu.

Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

"Kami mengambil keputusan untuk mengadakan pertemuan pada Sabtu di Alor Setar, Kedah di mana kami akan mengadakan perjumpaan mahabbah di antara kedua-dua belah pihak iaitu Ustaz Azizan dan Datuk Phahrolrazi," kata beliau selepas mesyuarat khas jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung kira-kira empat jam di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Mesyuarat kira-kira empat jam itu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS Pusat yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik setelah mengadakan 'pertemuan mesra' dengan semua peringkat di Kedah.

"Malam ini kami telah mengadakan perjumpaan secara harmoni, dan mengambil berat apa yang berlaku.

"Oleh itu, PAS akan turun bermesra dengan semua peringkat iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan perhubungan negeri dan akan dengar semua pandangan dan penyelasain sedang diatur dan saya yakin PAS akan muncul lebih kuat selepas ini," katanya.

Turut bersama pada sidang media, setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Selasa lalu, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Penolong Setiausaha Agung, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Azizan dan Phahrolrazi secara berasingan bagi menyelesaikan masalah mereka.

Hasil pertemuan tersebut dibawa ke mesyuarat malam tadi.

Selasa lalu, lapan Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Dua lagi exco iaitu Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh dijangka akan mengangkat sumpah jawatan mereka selepas ini.

Bagaimanapun, Phahrolrazi dikatakan enggan menyambung jawatannya.
-HD






Ulasan GB

Semuga isu kemelut PAS Kedah dapat diselesaikan secepat dan sebaik mungkin.

GB telah paparkan di blog ini mengenai isu kemelut Kedah yang meruncing sekalipun ada pihak cuba untuk menyapu sampah ke bawah karpet dengan menganggapnya kecil dan kononnya tiada masalah apa-apa yang melanda PAS Kedah.

Kita amat berharap semua tindakan memburuk-burukkan individu terutama ke atas MB Kedah merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah, YAB Ust Azizan Abdul Razak dan Exco Negeri, YB Ir Amiruddin Hamzah yang dilakukan oleh pihak tertentu dihentikan sesegera mungkin.

Semua pertikaian hendaklah diselesaikan dengan semangat ukhwah Islamiah dan kembali kepada akhlak jemaah dengan tidak mempertajamkan sebarang jurang perselisihan.

Tulisan GB bernada keras sebelum ini meminta pihak Ir Phahrolrazi & PAS Kuala Kedah supaya menghentikan usaha berterusan mereka menimbulkan keadaan yang tidak tenteram di Kedah berhubungkait dengan perlantikan exco.

Di dalam satu komentar mutakhir GB menulis,

Ahli jemaah yang baik tidak melakukan perkara-perkara sedemikian, sebaliknya cuba untuk menutup keaiban saudaranya, jika terpaksa juga melakukannya maka hendak dilakukan dengan aturan ayat yang mulia dengan tidak mempunyai niat untuk "menjatuhkan" sesiapa terutama ketua. Ini gagal dilakukan oleh PAS Kuala Kedah.

Perit dan pedih di bawah panji Islam adalah lebih baik dan lebih mulia dari senang dan ketawa di bawah panji yang tidak Islam

Tidakkah anda bersyukur dengan nikmat kemenangan yang Allah berikan kepada Parti Islam di Kuala Kedah?

Beratus PAS kawasan-kawasan lain yang meimpikan, malah berdoa siang dan malam dikurniakan nikmat kemenangan, tetap kamu-kamu di Kuala Kedah sudah dikurniakan kemenangan kamu berseliseh dan saling hendak menjatuhkan.

Jangan sampai nanti Allah tarik semula nikmat itu untuk diberikan kepada kaum yang lain.



Transformer TNB Meletup, Rumah Najib Dan Sekitar Putrajaya, Bangi bergelap 1 Jam

Posted: 01 Mar 2012 05:47 PM PST

Putrajaya, Bangi putus bekalan elektrik

KUALA LUMPUR - Sebahagian besar kawasan di Bandar Baru Bangi dan Putrajaya dekat sini bergelap kira-kira sejam semalam apabila sebuah pencawang elektrik di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi terbakar kira-kira pukul 9.20 malam tadi.

STESEN pencawang TNB di Bandar Baru Bangi terbakar malam tadi menyebabkan bekalan elektrik terganggu di Bangi dan Putrajaya.

Gangguan tersebut turut melibatkan kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika dihubungi memberitahu, bekalan elektrik di dua kawasan tersebut bagaimanapun dipulihkan semula secara berperingkat-peringkat mulai pukul 10.30 malam.

"Gangguan elektrik di kedua-dua kawasan tersebut bermula kira-kira pukul 9.20 malam tetapi bekalan elektrik mula disambung semula secara berperingkat-peringkat 50 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Kosmo! malam tadi. -kosmo

Transformer TNB meletup

KUALA LUMPUR — Sebuah transformer Tenaga Nasional Bhd (TNB) di stesen janakuasa Bandar Baru Bangi dekat sini meletup dan terbakar malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan perumahan di sekitarnya bergelap.

Insiden letupan dan kebakaran kecil itu dilaporkan berlaku pada kira-kira 9.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Rashid Abdul Wahab berkata, pihak polis yang dimaklumkan mengenai insiden itu telah menghubungi Balai Bomba Bandar Baru Bangi.

Katanya, bekalan elektrik di kawasan terbabit kini telah pulih.

Tiada kemalangan dan kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut. — BERNAMA


Ulasan GB

Sudah ada tanda-tanda pemerintahan BN akan menghadapi zaman kegelapannya di Putrajaya(?)

[Video] Kisah Loo Jo Yee: Gadis Cina 17 Tahun Memeluk Islam

Posted: 01 Mar 2012 03:25 PM PST

Loo Jo Yee adalah seorang gadis berusia 18 tahun dari etnik Cina di Malaysia. Keluarga Jo Yee merupakan pengikut agama kristian yang kuat. Dan beliau bakal menjadi seorang paderi di sebuah gereja. Disebabkan itu, keluarga beliau sangat bantah hingga menganggap masuk Islam adalah sangat menghinakan bagi keluarganya.

Gambar: Loo Jo Yee ketika ditemubual di TV Al-Hijrah

Loo Jo Yee sebenarnya telah memeluk Islam ketika masih berusia 17 tahun. Disebabkan di Malaysia mempunyai undang-undang untuk memeluk agama Islam bermula umur 18 tahun sahaja, beliau terpaksa menangguhkan dulu permohonan tersebut sehingga umurnya mencecah usia 18 tahun sekarang.

Beliau tiada nama Islam kerana sekarang ini, seseorang muallaf sudah tidak perlu menukar nama kepada nama Islam, dan hanya perlu ber'binti'kan kepada Abdullah serta tak perlu tukar bangsa. Maka namanya kekal Loo Jo Yee binti Abdullah.

Loo Jo Yee mendapat hidayah melalui dua peristiwa yang menarik.

1. Jo Yee mempunyai ramai rakan-rakan yang beragama Islam. Mereka telah berdebat tentang agama masing-masing. Ketika itu, beliau bermatlamat untuk membawa rakan-rakan Islam memeluk agama Kristian. Namun, untuk berdebat dengan rakan-rakan, beliau telah mengkaji Al-Quran, membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w dan mengkaji kemunculan Islam untuk mencari kelemahan Islam.

Semakin beliau mengkaji, semakin lama beliau mula tertarik dengan ajaran Islam.

Beliau sendiri mengaku bahawa di dalam Bible banyak perkara yang telah diolah hingga menyimpang dari perkara sebenar. Oleh itu, Jo Yee mengkaji Islam dengan lebih mendalam untuk mencari perkara yang sebenar. Dengan itu, beliau telah mendapat ketenangan jiwa ketika membaca Al-Quran. Itu adalah hidayah pertama Loo Jo Yee.

2. Jo Yee pernah disyaki menghidap penyakit thyroid di bahagian leher. Doktor mengesahkan 90% besar kemungkinan adalah penyakit tersebut. Beliau merasakan ini adalah penamat bagi kehidupan beliau walaupun masih muda. Rakan-rakan Islam Jo Yee banyak memberi galakkan kepada beliau untuk cuba memohon doa kepada Allah Taala.

Beliau cuba dengan menadah tangan, menangis dan hanya berserah kepada Allah.

Keesokan harinya, ketika beliau menjalani medical check-up, doktor mengesahkan penyakit itu bukan kanser. Disebabkan itu, beliau yakin dengan kuasa Allah taala dan beliau terus mengucap 2 kalimah syahadah serta-merta. Subhanallah.. Allahuakhbar!

Selepas bergelar muallaf, banyak dugaan yang Jo Yee terpaksa terima. Beliau dipulau rakan-rakan dan keluarga tercinta. Tapi, beliau sangat bersyukur kerana mendapat keluarga angkat di Ipoh yang mengambil berat terhadap beliau. Beliau juga merasa terharu kerana telah dipilih Allah untuk mendapat hidayah ketika berumur 17 tahun, sedangkan remaja yang seusia beliau sibuk bersuka-ria hingga jauh tersasar. Jo Yee berharap selepas ini dia berpeluang untuk berdakwah kepada remaja-rakan yang seusia dengan cara tersendiri.

* disunting dan dipetik dari laman KBSB.



[WASPADA] Hampir Diperdaya Oleh Kenalan Facebook

Posted: 01 Mar 2012 07:30 AM PST

Jerat cinta Aisha Saeed'

KUANTAN - Seorang penjawat awam hampir diperdaya seorang kenalan wanita yang dikenalinya me lalui laman sosial awal Februari lalu.

Menggunakan nama 'Aisha Saeed', wanita kacukan Sabah dan dia memperkenalkan diri sebagai Pengurus Pemasaran yang bertugas di England.

Sulaiman (bukan nama sebenar), 45, berkata, dia berkenalan wanita yang menggunakan nama 'Aisha Saeeda', mengaku anak kacukan Sabah dan memperkenalkan diri sebagai Pengurus Pemasaran yang bertugas di England, melalui laman sosial, Facebook.

Menurutnya, selepas tiga hari berbalas pesanan melalui laman sosial tersebut, Aisha memberitahunya dia berminat bercuti ke Malaysia selama dua minggu.

"Melalui pesanan itu, dia memberitahu mahu menghantar bungkusan hadiah kepada saya sebagai tanda persahabatan.

"Saya dimaklumkan bungkusan tersebut mengandungi wang tunai 100,000 pound, bunga, telefon blackberry, t-shit Manchester United, jam tangan dan komputer riba jenama Hp," katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, ketika itu dia sudah mula mencurigai tindakan wanita itu, namun tetap mengikut rentak untuk melihat sejauh mana penipuan dibuat.

Katanya, Aisha memaklumkan sebahagian wang tunai daripada 100,000 pound iaitu 40,000 pound digunakan sebagai deposit untuk bayaran penginapan, manakala 60,000 pound untuk perbelanjaan ketika berada di Malaysia.

"Bagaimanapun, pada minggu lalu, saya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya daripada syarikat penghantaran barangan.

"Dia memaklumkan kepada saya bahawa bungkusan dihantar atas nama saya sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya.

Namun begitu, disebabkan bungkusan melebihi berat yang ditetapkan, dia diminta membayar RM2,500 supaya bungkusan itu dapat dikeluarkan daripada Kastam Diraja Malaysia.

"Lelaki tersebut mendesak saya supaya memasukkan duit ke dalam nombor akaun yang diberikan bagi memudahkan urusan.

"Saya menjadi lebih curiga dan hairan apabila nama pemilik akaun itu adalah 'Daud Musa' dalam masa sama cuba melengah-lengahkan perkara tersebut, tetapi Aisha menghantar pesanan melalui Facebook kepada saya dan merayu supaya menjelaskan bayaran tersebut malah, berjanji akan membayar semula kepada saya sebanyak dua kali ganda.

"Dia juga cuba menelefon saya sebanyak tujuh kali pada hari yang sama, tetapi saya tidak menjawabnya kerana mula sedar tentang penipuan tersebut," katanya.

Sulaiman berkata, dia membalas pesanan dihantar dan memberitahu tidak percaya helah wanita itu.

"Selepas itu, dia tidak lagi menghubungi saya, malah akaunnya juga sudah tidak aktif lagi.

"Saya harap, mereka di luar sana lebih berwaspada apabila 'didekati' lelaki atau wanita yang mahu menawarkan sesuatu yang tidak masuk akal seperti itu," katanya. -SH

Tu Dia - Lantik Soi Lek jadi 'Presiden Umno', Mahathir dicabar

Posted: 01 Mar 2012 05:11 AM PST

Shah Alam – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkannya sebagai "lidah bercadang" agar menamakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden Umno.

"Ada dicadangkan agar respons kepada cadangan Tun Dr Mahathir bahawa saya sepatutnya dijadikan Presiden Pas, adalah sama ada Mahathir akan mengesyorkan agar Datuk Seri Chua Soi Lek menjadi Presiden Umno," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir ekoran Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang bersetuju jawatan Timbalan Presiden Pas dipegang oleh bukan Islam jika ada tuntutan dan keperluan.

"Apapun, kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan semua 'Tun serta anak dan cucu' mereka perlu disiasat ekoran dakwaan negara kehilangan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pemerintahannya lebih menarik perhatian saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen veteran ini berkata, semua Tun dari zaman Dr Mahathir seharusnya bersuara sama ada mereka bersedia menyokong penyiasatan penuh kehilangan wang ini sepanjang pemerintahan Perdana Menteri ke empat.

"Biarlah (bekas Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam, Tun Daim Zainuddin, Tun Ling Liong Sik dan Tun Lim Keng Yaik bersuara sama ada menyokong atau tidak (penyiasatan ini)," katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur turut mempersoalkan kenyataan Dr Mahathir sama ada ia melibatkan semua bekas Perdana Menteri termasuk anak mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan sekarang.

"Biarlah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap dan menjelaskan perkara ini, mereka berdua anak Perdana Menteri kedua dan ketiga," katanya.

Jelas Kit Siang lagi, dengan kenyataan Dr Mahathir itu, adakah beliau benar-benar sudah bersedia disiasat bersama-sama dengan semua berpangkat Tun serta anak dan cucu mereka.

"Tun serta anak dan cucu yang lain tidak akan sesekali bersetuju dengan sebarang penyiasatan penuh yang dicadangkan ini. Jadi adakah Dr Mahathir terlalu yakin bahawa beliau akan memperoleh kekebalan dan sewenang-wenangnya bebas dari dakwaan kehilangan RM100 bilion ini?" katanya.

Ir Amiruddin Tidak Perlu Layan Surat Phahrolrazi Untuk Tamatkan Isu Kedah

Posted: 01 Mar 2012 03:45 AM PST

Saya tunggu surat Phahrolrazi, jawab Amiruddin

ALOR SETAR - "Saya mahu tunggu dan lihat surat yang dihantar terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa komen."

Demikian kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Industri dan Pelaburan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau mahu melihat surat yang dihantar oleh Pas Kawasan Kuala Kedah untuk melihat kandungan serta memahami kehendaknya agar tidak tersalah tindakan.

"Saya belum dengar apa-apa mengenai kata dua itu. Mungkin baru lagi kot.

"Tak apalah, saya kena tunggu surat yang dikatakan akan dihantar kepada saya. Selepas melihat surat itu, saya akan jawab," katanya kepada Sinar Harian semalam ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Exco yang pertama selepas mengangat sumpah terima jawatan kelmarin.

Ir Amiruddin yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah diminta mengulas kata dua Pas Kawasan Kuala Kedah kepadanya semalam kerana didakwa melanggari keputusan mesyuarat jawatankuasa yang diadakan pada 17 Februari lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sebaik Amiruddin mengangkat sumpah jawatan Exco kelmarin, tindakannya itu menyalahi keputusan dan Amiruddin diberi dua pilihan dalam tempoh 14 hari.

Amiruddin menganggap perkara itu tidak berbangkit lagi setelah memberi penjelasan kepada jawatakuasa Pas Kuala Kedah mengenai pendiriannya untuk menerima pelantikan semula sebagai Exco.

"Saya sudah beri penjelasan dan ingat semuanya setuju dan menerimanya. Teteapi belrakus ebaliknya.

"Tak Apa lah. Saya kena tunggu surat itu terlebih dahulu. Nanti saya akan maklumkan perkembangannya," katanya.-SH

Ulasan GB

Pada hemat GB, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Industri dan Pelaburan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah tidak perlu layan surat yang dihantar oleh Pas Kawasan Kuala Kedah.

Ini kerana seperti yang GB telah nyatakan sebelum ini Mesyuarat Jawatankuasa PAS Kawasan untuk menghalang Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan tersebut daripada menerima perlantikan exco bagi negeri Kedah adalah satu keputusan yang ultra vires, kerana tiada di dalam peruntukan mana-mana fasal di dalam Perlembagaan PAS bahawa Jawatankuasa PAS Kawasan boleh bertindak menghalang seseorang dari dilantik apa-apa jawatan di dalam Kerajaan negeri. Keputusan Jawatankuasa Kawasan itu perlu dianggap null and void.

Rujuklah mana-mana peguam paling handal dalam negara, insyaAllah hujjah GB di atas adalah benar.

Apatah lagi keputusan PAS Kawasan kedah itu merupakaan penghinaan kepada missi PAS Pusat yang telah mengamanahkan Naib Presiden, Tn Hj Salehuddin Ayub untuk menyelesaikan kemelut perlantikan exco PAS Kedah yang kini telah pun siap dengan formula untuk dibentang kepada PAS Pusat.

Setelah mereka menjaja keburukan Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Menteri Besar Kedah, kini mereka mengambil langkah yang paling kotor untuk menghalang Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan untuk dilantik menjadi exco.

Seperti yang GB utarakan juga sebelum ini, sepatutnya pihak PAS Kuala Kedah khususnya Yang dipertuanya, Phahrolrazi, bersikap redha dan akur dengan perlantikan MB Kedah yang telah melantik Datuk Ir Amiruddin kerana ia adalah hak prerogatif seorang Menteri Besar.

Tetapi malangnya untuk meneruskan agenda pertama mereka yang tidak kesampaian, mereka beralih untuk memberikan tekanan kepada pihak lain supaya tujuan mereka "mengguling" MB Kedah yang sedia ada untuk menobatkan Phahrolrazi itu tercapai. Hanya seorang yang mengikutinya, Dr.Ismail Salleh, sementara yang lain tidak.

Untuk menamatkan kemelut Kedah ini, langkah wajar bagi Ir Amiruddin yang lebih dikenali oleh ahli-ahli PAS satu negara daripada seorang lagi Ir itu, adalah lebih utama, suratnya itu tidak dilayan FULLSTOP


p/s ada blogger cuba menyindir kononnya blogger PR tak matang. Macamlah depa tu matang sangat. Kalau kail panjang sejengkal, janganlah lautan dalam hendak diduga... maaflah bukan takbur tapi kenyataannya ialah kebenaran dan keadilan itu perlu diletakkan ditempatnya yang hakiki. Kalau setakat mengejar ranking, BLOG GB sudah dikenali sebelum wujud isu kedah lagi!

Bila mereka dah tak boleh jawab hujjah-hujjah GB untuk mereka burukkan MB Kedah, dikatanya isu ini isu kecil, diumpamakan mereka hendak menyapu sampah-sampah yang mereka sendiri lakukan ke bawah karpet adanya.

Samalah macam dulu sewaktu GB menentang UG dan Hassan Ali. Ramai yang tuduh GB macam-macam, tetapi kesudahannya, Alhamdulillah, Allah membuktikan GB di pihak yang benar.

Justeru itu, biar Si Luncai itu terjun dengan labu-labunya.
GB tetap menulis untuk kebenaran dan keadilan.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Tiada ulasan: