Kws Rogol

[SH] SABAK BERNAM – Seorang gadis bukan sahaja dilarikan secara paksa malah dirogol oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Panjang, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian itu, mangsa berumur 17 tahun itu bersama adiknya menaiki motosikal diekori suspek dari sebuah stesen minyak di Pekan Sungai Besar.

"Setibanya di Sungai Panjang, suspek melanggar motosikal yang dinaiki mangsa dan adiknya menyebabkan motosikal itu jatuh.

"Suspek kemudiannya membawa lari mangsa secara paksa dan membawanya ke sebuah kebun di Parit 15, serta merogol mangsa," katanya adik mangsa terus pulang ke rumah dan memaklumkan kepada bapanya serta penduduk kampung serta laporan polis dibuat.

Menurutnya, suspek sempat menghubungi rakan-rakannya dan mengugut untuk merogol mangsa beramai-ramai jika mangsa memberitahu kejadian itu kepada sesiapa.

"Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari kebun berkenaan dan diturunkan di tepi jalan selepas berjanji menyembunyikan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, penduduk yang sudah dimaklumkan tentang kehilangan mangsa terlihat suspek menurunkan mangsa dan bertindak mengejar suspek.

"Menyedari dirinya diburu, suspek memecutkan kereta yang dipandunya sehingga terbabas masuk ke dalam kebun.

"Suspek yang panik meninggalkan kenderaan itu dan menyembunyikan diri di rumah majikannya di Parit 13," katanya.

Noor Mushar berkata, polis berjaya menjejaki mangsa berdasarkan kenderaan yang ditinggalkan mangsa, kereta Proton Saga berwarna putih itu adalah milik majikan mangsa.

"Suspek yang berusia 19 tahun akhirnya menyerah diri kira-kira jam 10.30 pagi semalam apabila majikan membawanya ke IPD bagi membantu siasatan," katanya mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang

Menurutnya, pihaknya menghargai kerjasama yang diberikan masyarakat setempat sehingga suspek dapat dikesan.

"Kita juga memuji tindakan adik mangsa yang dapat mengingati dengan pantas nombor kenderaan, jenis dan warna kenderaan yang banyak membantu kepada menyiasat kes ini.

"Kita juga menasihatkan ibu bapa atau penjaga memantau dan memastikan anak sentiasa dalam kawalan terutamanya perempuan," katanya

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (jenayah rogol) dan Seksyen 363 (menculik daripada jagaan sah).