DUNIACACAMARBA |
- [Gambar] Ketabahan dan Keberanian Mangsa Serangan Asid Hadapi Penyerang dan Kesakitan
- RISIKO PenggunaanTelefon Bimbit Semasa MENGANDUNG!
- Kes Bunuh Dirang: Bapa Kandung Diusir, Pengirim SMS Ditangkap
- Jurulatih Pengakap Hadapi 2 Lagi Tuduhan Cabul
- Remaja Diarah Berkahwin dengan Perogol Nekad Bunuh Diri
- Susulan Ibu Uzur Ditinggalkan di Hotel Bajet: Amir Ditawarkan Pekerjaan, Kereta, Rumah
[Gambar] Ketabahan dan Keberanian Mangsa Serangan Asid Hadapi Penyerang dan Kesakitan Posted: 16 Mar 2012 08:31 AM PDT Patricia Lefranc, 48 muncul di mahkamah untuk menghadiri perbicaraan bekas teman lelakinya, Richard Remes yang didakwa kerana melakukan serangan asid terhadap dirinya di Belgium, lapor Daily Mail. Lefranc yang telah menjalani 86 kali pembedahan dan terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan lain mengharapkan perbicaraan itu akan memberikan keadilan kepada dirinya. "Lelaki itu benar-benar ingin membunuh saya," katanya. Remes yang berusia, 57 dikatakan merancang mahu menyembur asid sulfurik ke arah Lefranc. Remes didakwa menunggu Lefranc keluar dari lift di sebuah bangunan di wilayah pinggiran kota Molenbeek-Saint-Jean lalu menyembur asid tersebut ke arah Lefranc. "Remes telah menghancurkan hidup saya sebagai seorang perempuan. Siapa yang mahu berteman dengan wanita wajah raksasa ini?" soal Lefranc. Menurut Lefranc, setiap kali melihat cermin, kecederaan pada wajahnya itu mengingatkan tentang kesengsaraan yang terpaksa ditanggung. Kesan daripada serangan asid itu, Lefranc mengalami kecederaan serius pada mata kirinya, manakala telinganya pula tidak mampu lagi mendengar. Selain itu, jari manis tangannya terpaksa dibuang. Sementara itu, tertuduh Remes mengemukakan permohonan maaf dan menafikan bahawa serangan itu bertujuan untuk membunuh bekas kekasihnya itu. Dalam kenyataannya, Remes berkata dia langsung tidak mengetahui bahawa asid sulfurik boleh meninggalkan kesan yang amat menggerunkan. -DCM
P/s: Gila kejam! | ||
RISIKO PenggunaanTelefon Bimbit Semasa MENGANDUNG! Posted: 16 Mar 2012 06:09 AM PDT Saintis mendakwa wanita yang menggunakan telefon bimbit semasa mengandung berkemungkinan melahirkan anak yang hiperaktif, lapor The Sun. Mereka percaya bahawa radiasi daripada telefon bimbit menjejaskan perkembangan otak bayi dalam kandungan. Hal ini boleh membawa kepada masalah daya ingatan, keresahan, dan masalah tingkah laku. Profesor Hugh Taylor, dari Universiti Yale percaya telefon bimbit memberikan kesan kepada peningkatan kadar gangguan seperti gangguan hiperaktif. Saintis di Yale mencapai kesimpulan tersebut selepas menjalankan ujian terhadap tikus. Mereka berpendapat kesan yang berlaku terhadap tikus boleh menjejaskan manusia dengan cara yang sama. Tikus hamil yang ditempatkan di dalam sebuah kurungan dengan telefon bimbit yang aktif melahirkan anak-anak yang menunjukkan tanda hiperaktif, keresahan, dan mempunyai daya ingatan yang lemah. Tikus hamil yang ditinggalkan bersama dengan telefon bimbit yang ditutup tidak terjejas. Prof Taylor berkata: "Ini adalah bukti eksperimen pertama bahawa pendedahan kepada radiasi telefon bimbit menjejaskan tingkah laku orang dewasa. "Kami telah membuktikan bahawa masalah tingkah laku tikus yang menyerupai ADHD adalah disebabkan oleh pendedahan telefon bimbit di dalam rahim. Oleh itu, peningkatan kecelaruan tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak berlaku sebahagiannya kerana disebabkan pendedahan telefon bimbit pada peringkat janin." -DCM P/s: Sila ambil perhatian! | ||
Kes Bunuh Dirang: Bapa Kandung Diusir, Pengirim SMS Ditangkap Posted: 16 Mar 2012 04:32 AM PDT Pengirim SMS Ugut Bunuh Dirang Ditangkap [SH] KOTA BHARU - Polis Kelantan petang ini mengesahkan telah menahan seorang suspek, yang mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan meminta wang tebusan kepada keluarga Dirang, kanak-kanak yang dibunuh dan dibakar, awal minggu ini. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, lelaki itu, seorang bekas tentera yang berasal dari Machang, tidak ada kena-mengena dengan pembunuhan Dirang. Sebaliknya menurut beliau, dia hanya mengambil kesempatan dan akan diserahkan kepada polis Johor untuk siasatan lanjut. Bapa Dirang Diusir ke Filipina, Tidak Terlibat Kes Bunuh Dirang [SH] JOHOR BAHRU - Polis Johor hari ini mengesahkan bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak berusia lima tahun itu. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan sudah diberikan supaya bapa kanak-kanak itu diusir ke negara asal. "Ayah Nurul tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kes ini. Kertas siasatan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan Timbalan Pendakwa Raya adalah supaya dia diusir ke negara asal dan pihak imigresen akan lakukan. "Dia (bapa Dirang) berasal daripada Filipina dan tidak mempunyai apa-apa dokumen diri sejak sekian lama," kata beliau kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini. Bapa kandung Nurul Nadirah, Utoh ditahan polis bagi membantu siasatan kes kanak-kanak terbabit di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang di sini pada 8 Mac lalu. Dia sebelum ini ditahan reman hingga Isnin ini mengikut Seksyen 15 (1)(D) Akta Imigresen. Nurul Nadhirah, 5, ataupun dikenali sebagai Dirang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac lalu. Kanak-kanak itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas ketika keluar membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit di kawasan flat kediamannya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. Berikutan kehilangan mangsa, polis menahan tiga orang jiran mangsa yang merupakan penagih dadah dan bapa kandung mangsa untuk membantu siasatan. Menurutnya, siasatan menunjukkan penjenayah yang disyaki membunuh dan membakar Dirang sudah pun dicekup dan kini ada dalam tahanan polis. "Kini yang tinggal adalah tiga suspek warganegara tempatan berusia 30-an. Mempunyai rekod terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau hasil siasatan dilakukan. Polis akan memohon perintah tahanan reman ke atas dua lelaki dan seorang wanita rakyat tempatan yang ditahan sebelum ini, di Mahkamah Majistret di sini esok," katanya. Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata, seorang lelaki ditahan di Machang, Kelantan berhubung isu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan untuk mendapatkan wang tebusan. "Tangkapan sudah dibuat di Kelantan seperti mana yang kita tahu ibu Dirang, Roselyn Alan ada menerima SMS daripada individu yang meminta wang daripadanya. "Seorang lelaki dicekup polis dan tiga telefon bimbit dimiliki dirampas. Salah satu daripada tiga telefon bimbit ini digunakan untuk menghantar SMS terbabit," katanya. | ||
Jurulatih Pengakap Hadapi 2 Lagi Tuduhan Cabul Posted: 16 Mar 2012 01:42 AM PDT [SH] KUALA LUMPUR - Seorang jurulatih pengakap menghadapi dua lagi tuduhan mencabul pelajar-pelajarnya berusia 13 dan 14 tahun yang diletakkan di bawah penyeliaannya. Ho Lee Fong, 44, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pagi ini dan meminta agar dia dibicarakan. Dia dituduh mencabul dua pelajar di sebuah bilik di Sunway SPK Damancara di sini awal Jun lalu. Pada 1 Mac lalu, Lee Fong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencabul lapan pelajar. Laporan media bulan lalu menyebut jurulatih itu yang diberi tanggungjawab melatih 300 ahli Pergerakan Pengakap sebuah sekolah menengah, didakwa mencabul lebih 10 pelajar perempuan dengan memegang dada, kemaluan dan punggung mangsa. Difahamkan, lelaki terbabit dipertanggungjawabkan melatih pelajar berusia antara 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008. Perbuatan itu terbongkar 8 Februari lalu selepas seorang mangsa dicabul mengadu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara. | ||
Remaja Diarah Berkahwin dengan Perogol Nekad Bunuh Diri Posted: 15 Mar 2012 08:26 PM PDT
Amina makan racun akibat tak tahan didera keluarga suami [BH] RABAT: Seorang remaja Maghribi 16 tahun membunuh diri selepas seorang hakim mengarahkannya mengahwini lelaki yang merogolnya, lapor media tempatan. Tahun lalu ibu bapa gadis yang hanya dikenali sebagai Amina, memfailkan tuduhan ke atas perogol anak perempuan mereka, seorang lelaki 10 tahun lebih tua daripadanya namun hanya baru-baru ini seorang hakim di bandar utara Tangier memutuskan bahawa kedua-duanya perlu dikahwinkan. Beliau tidak menghukum perogol terbabit. "Keputusan mahkamah untuk memaksa Amina berkahwin dengan perogolnya sepatutnya "menyelesaikan" isu keganasan seksual ke atasnya, namun ia menjurus kepada penderaan di dalam rumah keluarga suaminya," lapor akhbar harian tempatan, al-Massae. Al-Massae menyatakan trauma pengalaman menyakitkan akibat dirogol menyebabkan Amina memutuskan menamatkan riwayat hidupnya dengan memakan racun tikus di rumah keluarga suaminya. "Perkahwinan paksa seperti ini sudah berakar umbi dalam tradisi luar bandar tempatan yang didakwa bertujuan menyelamatkan maruah gadis yang dirogol," kata akhbar itu. Kanun jenayah Maghribi mengecualikan seorang perogol daripada dihukum jika dia bersetuju berkahwin dengan mangsanya. Pejuang hak asasi wanita sejak sekian lama menuntut satu pindaan terhadap artikel dalam undang-undang itu. Pengarah Persatuan Perpaduan Wanita Hafida Elbaz, memberitahu al-Massae bahawa artikel itu memberi peluang untuk seorang pelaku jenayah mengelak dikenakan hukuman. Kisah yang tersebar meluas dalam Twitter dan Facebook dengan kebanyakan pihak di Maghribi menuntut tindakan ke atas hakim yang mengeluarkan keputusan itu. – Agensi P/s: Undang-undang yang memburukkan imej Islam. | ||
Susulan Ibu Uzur Ditinggalkan di Hotel Bajet: Amir Ditawarkan Pekerjaan, Kereta, Rumah Posted: 15 Mar 2012 05:21 PM PDT [HM] KUALA SELANGOR: "Saya akan mulakan hidup baru dengan emak di sini dan berharap dengan kerja baru ini, saya dapat membalas jasanya," kata kata Amir Mohd Omar, 27, pemuda yang terpaksa meninggalkan ibunya, Faridah Maulud, 66, di sebuah hotel bajet, di Jalan Raja Muda di sini, minggu lalu. Amir berkata demikian selepas menerima pekerjaan ditawarkan seorang usahawan besi keluli, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, di Kuala Selangor, semalam selain turut disediakan kereta dan sebuah rumah yang sudah dibayar sewa setahun untuk dia tinggal bersama ibunya. Menurut Amir, dia amat menghargai kesudian Jamhuri untuk mengambilnya bekerja serta menyediakan tempat tinggal bersama ibunya dan kemudahan itu sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya. "Semuanya bagaikan mimpi. Saya tidak tahu hendak kata apa. Yang pasti, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk membawa mak tinggal bersama. "Selain itu, saya juga akan bekerja dengan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan majikan yang memberi peluang kepada saya," katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Jamhuri di sini yang diatur Harian Metro, semalam. Kisah Amir mendapat perhatian ramai selepas Harian Metro dalam laporannya 9 Mac lalu mendedahkan kisah ibunya yang lumpuh kebingungan apabila ditinggalkan bersendirian oleh Amir di sebuah hotel bajet selama empat hari hingga terpaksa dijaga kakitangan hotel berkenaan. Berikutan laporan berita itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) membawa Faridah keluar dari hotel berkenaan dan menempatkannya di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh bagi membolehkan dia diberi penjagaan sewajarnya. Persoalan mengenai tindakan Amir itu terjawab apabila Harian Metro berjaya menjejaknya dan dalam pertemuan dengan wartawan akhbar ini, Amir berkata dia bertindak sedemikian selepas hilang pertimbangan dan buntu berikutan masalah kesihatan dialaminya, selain tertekan dengan masalah kewangan berikutan pendapatannya sebagai pegawai pemasaran yang tidak seberapa. Sehari kemudian, Harian Metro berjaya mempertemukan dua beranak itu di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh hasil kerjasama pengarah JKMWPKL, Noormah Abdul Rauf. Sementara itu, Jamhuri berkata, dia terpanggil untuk mengambil Amir bekerja di kilangnya kerana mahu pemuda itu mengubah kehidupannya kepada yang lebih baik dan tidak mengabaikan ibunya. Menurutnya, selepas membaca laporan Harian Metro minggu lalu dia menghubungi JKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Amir dan ibunya sebelum dihubungi wartawan bagi mengaturkan pertemuan. "Saya berharap dengan peluang yang ada ini, Amir akan dapat mengubah tahap hidupnya selain menjaga ibu seperti dihajatinya," katanya.
|
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan