Khamis, 15 Mac 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Skandal NFCorp: Pengalaman yang mendebarkan

Posted: 15 Mar 2012 04:31 AM PDT

Pendakwaan terhadap Pengerusi NFCorp merupakan satu rekaan untuk mengalih perhatian rakyat dari isu-isu sebenar yang lebih penting.



Pendakwaan terhadap Pengerusi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFCorp) Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail di mahkamah dilihat sebagai satu taktik Barisan Nasional (BN) untuk melepaskan diri dari bahang kepanasan skandal NFC.

Salleh ialah suami Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat serta ketua wanita Umno Malaysia.

Taktik yang serupa telah digunakan BN bagi membebaskan diri dari skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), yang kini menjadi 'bandar berhantu' dan skandal rasuah melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

Taktik ini dikenali sebagai taktik "umpan dan senyap", satu taktik yang ternyata berjaya untuk BN membebaskan diri dari perangkap skandal.

Dalam erti kata lain, satu rekaan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu sebenar yang lebih penting dan menggunakan keputusan mahkamah sebagai pelindung dari serangan-serangan musuh atas alasan "subjudice" (mendahului keputusan mahkamah).

Taktik ini juga digunakan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tuduhan terhadap Salleh di Parlimen kelmarin.

Speaker menggunakan alasan bahawa kes ini sedang berjalan di mahkamah bagi menolak usul tergempar berhubung skandal NFCorp yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Pandikar menolak usul ini walaupun Zuraida menjelaskan bahawa isu-isu yang beliau bangkitkan ada kaitan dengan kementerian- kementerian yang meluluskan projek itu dan bukan berhubung salah laku Salleh, yang menjadi subjek kes mahkamah.

Dan pada hari yang sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, yang bertanggungjawab dengan projek ini juga menepis kes ini dengan alasan "subjudice".

Sementara Ahli Parlimen Barisan Nasional Dato' Abdul Rahman Dahlan pula mendakwa mahkamah merupakan platform terbaik untuk menangani isu-isu dan menambah, pihak yang sepatutnya menjawab soalan-soalan ini ialah NFCorp sendiri, dan bukannya kementerian- kementerian berkenaan.

BN bernafas lega?

Secara dasarnya, BN mengira apabila Salleh berada dalam kandang orang salah, kerajaan BN boleh bernafas lega.

Jadi apa jenis tuduhan yang dihadapi Salleh? Beliau didakwa menyalah guna sebahagian dari pinjaman mudah yang diluluskan untuk industri pengeluaran daging lembu.

Kenapa rakyat begitu marah? Mereka marah kerana dakwaan rasuah berlaku di kalangan pemimpin tertinggi BN yang menyebabkan bukan sahaja wang rakyat sebanyak RM250 juta dan geran RM13 juta lesap tetapi skim pengeluaran makanan terbantut.

Jadi siapa yang sebenar petualang yang lebih besar, penjaga dana awam dan penerima dana awam? Para pemimpin yang dipilih rakyat dan memegang amanah rakyat yang sepatutnya mengurus sumber kewangan negara dengan jujur dan berhemah atau pemaju projek yang telah gagal?

Sudah jelas bahawa tumpuan siasatan harus kepada mereka yang memegang amanah rakyat untuk mengurus dana awam dan sumber kewangan negara.

Rakyat ingin tahu kenapa dan bagaimana pihak yang tidak kompeten dalam bidang industri ini diberi kontrak ini. Memandangkan pihak yang menerima projek ini adalah ahli keluarga seorang menteri kabinet, rakyat juga ingin tahu sama ada wujud unsur-unsur rasuah?

Dalam hubungan ini, kenapa dua pemimpin tertinggi BN, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang membuat keputusan tidak disiasat sedangkan merekalah yang meluluskan projek ini.

Bolehkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjawab soalan ini? Bolehkah SPRM terangkan setakat mana hasil siasatan yang telah dijalankan sejak hampir empat bulan lalu?

Jawapan mudah seperti 'kes ini sedang disiasat, tidak boleh memberi maklumat untuk mengelak terjejasnya siasatan' tidak memadai.

Empat bulan adalah terlalu lama untuk memberi alasan yang remeh.

Malahan, jawapan-jawapan seperti ini adalah merupakan jawapan yang biasa kita dengar bagi menutup sikap ingin tahu rakyat berhubung skandal berprofil tinggi ini. Jika SPRM masih mahu memberi jawapan sedemikian maka maaf kita tidak dapat menerimanya.

Bolehkah BN terlepas bebas kali ini?


Berhubung kes mahkamah itu, kita tidak menaruh harapan dan menjangkan sesuatu yang bermakna jika berdasarkan kes-kes yang serupa melibatkan golongan elit BN pada masa lampau.

Salleh didakwa memindah dana dari NFCorp kepada sebuah syarikat lain, National Meat and Livestock Corporation (NMLC) untuk membeli aset-aset yang tidak ada kaitan dengan projek lembu.

Memandangkan kedua-dua syarikat ini dimiliki keluarga Shahrizat, selain dari kerajaan memegang saham emas (golden share) dalam NFCorp, pemindahan dana itu tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk penyelewengan yang serius.

Tetapi yang menjadi isu di sini ialah mengenai pembelian aset-aset yang jelas melanggar perjanjian pinjaman tersebut. Tetapi Salleh tidak didakwa di atas kesalahan ini.

Tidak sukar untuk kita melihat sandiwara yang ditayangkan dengan begitu baik oleh BN dengan melibatkan SPRM, polis dan Peguam Negara untuk membebaskan BN dari kemelut ini memandangkan tarikh pilihan raya umum semakin hampir.

Berjayakah BN membebaskan diri dalam plot kali ini di tengah-tengah asakan Pakatan Rakyat serta kebangkitan badan bukan kerajaan dan badan hak asasi manusia?

Projek USD20 bilion: Dialog Berhad anak emas Petronas?

Posted: 15 Mar 2012 04:29 AM PDT

Azmin Ali mendakwa syarikat ini tiada kepakaran dalam Industri Huluan Petroleum (Upstream) khususnya yang melibatkan kerja cari gali minyak.


Sekitar Dewan Rakyat


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali mempertikaikan tindakan Petronas menganugerahkan kontrak bagi projek memproses minyak di Johor bernilai USD20 bilion kepada Dialog Berhad.

Azmin mendakwa projek 'Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor itu nanti akan membabitkan
pengambilan tanah melibatkan tujuh buah kampung dan lebih 900 keluarga.

Malah sebelum ini Dialog Berhad turut dianugerahkan kontrak Tanjung Langsat Storage Tank Terminal Facilities di Johor pada Oktober tahun lalu dengan nilai hampir RM400 juta dan pegangan saham 40.7 peratus selain kontrak Risk Service bagi pembangunan Balai Cluster Marginal Field yang bernilai USD1 bilion.

Bagaimanapun Azmin mendakwa syarikat ini tiada kepakaran dalam Industri Huluan Petroleum (Upstream) khususnya yang melibatkan kerja cari gali minyak.

"Dalam konsortium ini, Dialog Berhad diberikan saham sebanyak 32 peratus, Petronas Carigali 20 peratus dan Australia ROC Oil 48 peratus.

"Persoalannya mengapa Petronas membenarkan Dialog Berhad menjadi pemegang saham yang lebih besar daripada Petronas Carigali sedangkan Petronas Carigali mempunyai keupayaan teknologi, kewangan serta pengalaman carigali di 32 buah negara selain daripada Malaysia," soalnya dalam Dewan Rakyat semalam.

Mempersoalkan hubungan Petronas dengan Dialog Berhad, Timbalan Presiden PKR ini berkata kerajaan sepatutnya menggalakkan pertumbuhan Industri Kecil dan Sedehana (IKS) dalam industri petroleum melalui program pembangunan vendor.

Malangnya, menurut Azmin pengurusan baru Petronas telah membekukan program pembangunan vendor dan memansuhkan status kategori terhad.

Petronas juga katanya tidak memberikan galakan kepada IKS untuk membina kemudahan pembuatan berbanding dengan dasar di Korea yang memberikan insentif untuk vendor dalam industri petroleum sehingga kualiti produk minyak dan gasnya mampu bersaing dengan negara Eropah.

Pengurusan baru Petronas juga telah menyekat peluang syarikat bumiputera yang berupaya dan berpengalaman untuk membekalkan produk minyak dan gas melalui pembekuan lesen dengan membenarkan hanya anak syarikat Petronas, MITCO memonopoli perolehan produk minyak dan gas sekaligus membunuh perkembangan IKS," katanya.

Masalah pengeluaran

Selain itu, Azmin mendakwa Petronas kini mengalami masalah untuk mengekalkan tahap pengeluaran petroleum apabila pengeluaran petroleum di Sudan Selatan yang mencatatkan 135,000 tong sehari terpaksa dihentikan ekoran pertikaian yuran transit dengan Sudan Utara.

Beliau berkata Petronas juga menghadapi masalah yang serius dalam kerja-kerja carigali minyak di Kikeh, Sabah sehingga menyebabkan pengeluaran petroleum di Sabah merudum sebanyak 17 peratus.

"Petronas juga telah gagal menyiapkan kemudahan platform pengeluaran minyak di Gemusut, Kakap, Sabah yang sepatutnya mula mengeluarkan minyak pada tahun 2010.

"Malangnya kemudahan ini dijangka siap pada tahun 2014," katanya.

Azmin: Apakah sebenarnya Wasatiyyah?

Posted: 15 Mar 2012 04:28 AM PDT

Azmin Ali


Tan Sri Yang Di Pertua,

1. Saya menjunjung kasih atas Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Kedua Belas dan saya mengucapkan terima kasih atas peluang untuk turut serta dalam perbahasan.

2. KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendukung titah Tuanku agar patuh kepada undang-undang berperlembagaan serta menghormati kebebasan dan hak asasi rakyat. Kami juga mendukung sepenuhnya saranan Tuanku dalam isu kebebasan sistem kehakiman yang menjadi teras penting kepada sistem demokrasi. Pakatan Rakyat konsisten bahawa pemahaman undang-undang yang luhur serta tatakelola yang selaras dengan prinsip pengasingan kuasa akan menjadi tunjang kepada pembangunan sebuah negara yang demokratik, adil dan sejahtera.

3. Saya terpanggil untuk mengungkap citra politik ideal yang dipadankan dengan ungkapan moderation atau wasatiyyah. Prinsip wasatiyyah, bukannya perkara baru dalam Islam.

4. Pada 7 Disember 1975, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar ABIM ke 4 yang bertemakan "Jelas Wadah, Perbaru Tekad", Anwar Ibrahim mula mencetuskan satu gagasan baru Wasatiyyah untuk membawa umat memahami dan menghayati prinsip kesederhanaan dalam masyarakat.

5. Pada tahun 1978, Anwar telah mengupas prinsip wasatiyyah dalam kertas kerjanya yang berjudul "Islam dan Masyarakat Majmuk" di Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut dihadiri oleh Lim Kit Siang.

6. Pada 9 Ogos 1981, sekali lagi Anwar Ibrahim membawa tema wasatiyyah dalam ucapan dasarnya yang bertajuk "Membina Generasi, Satu Gagasan" ketika merasmikan Muktamar ABIM ke 10 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

7. Apabila beliau menyertai kerajaan, Anwar Ibrahim telah mengupas secara terperinci dan meniup nafas baru kepada prinsip Wasatiyyah melalui penulisannya yang terkandung dalam buku "Gelombang Kebangkitan Asia". Wasatiyyah ataupun prinsip awsatuha ini juga meraikan nilai sejagat seperti yang diungkapkan oleh Konfucius iaitu prinsip Chun Yung dan juga tradisi Greek The Golden Mean yang terkandung dalam Nichomacean Ethics yang ditulis Aristotle. Saya yakin, tatkala Anwar Ibrahim mengungkapkan wasatiyyah ini baik di dalam negara mahupun di pentas antarabangsa, Najib Razak baru mula bertatih mempelajari apa itu wasatiyyah dan baru beberapa hari lalu beliau berani mengungkapkan prinsip wasatiyyah.

8. Pakatan Rakyat turut mendukung dan menghayati prinsip wasatiyyah ini. Ini terbukti apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng mengambil inisiatif untuk melancarkan terjemahan Buku Dr.Sheikh Yusuf Qardawi oleh Institut Kajian Dasar (IKD) yang bertajuk "Wasatiyyah" sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun 2010.

9. Fakta sejarah yang terbentang ini membuktikan bahawa Ketua Pembangkang tuntas mempertahankan prinsip wasatiyyah dan beliau lah sebenarnya The Ardent Moderates dan bukannya Perdana Menteri.

10. Wasatiyyah harus dimanifestasikan dalam semua bidang kehidupan - politik, ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk tatakelola pentadbiran negara. Wasatiyyah tidak boleh sekadar menjadi ungkapan dan retorika yang dicandukan kepada masyarakat untuk menjustifikasikan amalan boros, rasuah dan penyelewengan.

11. Wasatiyyah menolak pendekatan yang keras dan zalim serta menawarkan pendekatan santun, ramah dan persuasif. Begitu juga dengan umat wasat (tengah) dengan pengertian umat yang adil dan seimbang.

12. Wasatiyyah dalam politik adalah politik yang dilaksanakan dengan menghormati prinsip keluhuran hukum dan kedaulatan rakyat. Hal ini bermakna konsep wasatiyyah juga merangkumi perihal demokrasi dan undang-undang berperlembagaan. Oleh kerana rakyat adalah sumber kekuasaan dalam sebuah negara yang demokratik, maka keabsahan atau kesahihan sesuatu pemerintahan tergantung kepada kerelaan rakyat.

13. Pengiktirafan konsep wasatiyyah ke atas prinsip keluhuran hukum dan kedaulatan rakyat ini memperlihatkan betapa asas demokrasi berperlembagaan adalah penting dalam aplikasi moderasi yang mahu dibawa dalam agenda politik baru Malaysia. Menghormati hak asasi dan kebebasan serta berbeza pendapat dengan harmoni adalah kesederhanaan yang memenuhi citra politik bagi sebuah masyarakat yang majmuk.

14. Ketuanan rakyat adalah suatu contoh terbaik wasatiyyah politik. Politik perkauman sempit dan pelampau harus dihindari demi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang bersifat rencam. Kepelbagaian dan perbezaan yang muncul harus diraikan secara inklusif serta dirangkul sebagai satu kelebihan bagi sebuah negara majmuk.

15. Inilah "wasatiyyah tulen" berbanding kesederhanaan yang dicanang oleh UMNO. Wasatiyyah yang ditaja oleh UMNO tidak menepati tuntutan Islam.

16. Apakah ianya menepati prinsip wasatiyyah apabila UMNO membudayakan politik fitnah dan budaya samseng? Apakah ianya menepati tuntutan wasatiyyah apabila Indeks Pesepsi Rasuah merudum untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3 mata. Ini membawa Malaysia jatuh ke tangga ke-60 daripada 183 buah negara berbanding tangga ke 37 pada tahun 2003 ketika di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Apakah wasatiyyah yang dibawa oleh UMNO apabila dasar flip-flop menjadi teras kepimpinan Perdana Menteri. Kepimpinan flip-flop ini berpunca daripada kelemahan kepimpinan untuk mempertahankan keputusan dan kegagalan mempertahankan keputusan ini adalah kerana ia dibuat tanpa sebarang perundingan untuk kepentingan rakyat.

Tan Sri Yang Di Pertua,

17. Perdana Menteri telah mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan dalam masa yang sama mengumumkan akan menambahbaik Sistem Saraan Malaysia (SSM).

18. Penjawat awam hanya diberikan tempoh dua minggu untuk membuat opsyen sehingga 31 Disember 2011, sebelum skim ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2012.

19. Kontroversi timbul apabila berlaku keadaan di mana perbezaan ketara pelarasan gaji antara kumpulan Sokongan, kumpulan Pengurusan & Profesional, kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan lapisan baharu yang diwujudkan, iaitu kumpulan Premier.

20. Pertama, mengapakah dasar ini digubal dan dilaksanakan tanpa mengambil kira pandangan penjawat awam melalui kesatuan-kesatuan pekerja perkhidmatan awam sedangkan mereka adalah stakeholder dalam kumpulan tersebut? Ini adalah penting untuk memastikan proses perundingan berlaku dengan menepati kehendak dan kepentingan golongan yang terlibat.

21. Kedua, mengapakah di saat majoriti penjawat awam yang memilih opsyen SBPA dinafikan hak mendapatkan gaji dan emolumen baru di bawah SBPA, tetapi kumpulan Premier yang difahamkan seramai 36 orang melibatkan jawatan-jawatan kanan kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara telahpun dibayar gaji dan emolumen di bawah SBPA. Justeru itu, saya menuntut supaya kerajaan menyatakan dalam dewan yang mulia ini jumlah yang telah dibayar di bawah skim ini dan siapakah penjawat awam yang telah menerima habuan tersebut.

Saya bertegas bahawa kerajaan harus menyatakan pendirian mereka berkenaan status Kumpulan Premier ini? Saya difahamkan, mereka telahpun dibersarakan atas kepentingan perkhidmatan awam dan berkhidmat secara kontrak di bawah SBPA. Secara prinsipnya, dengan terbatalnya SBPA, kontrak mereka juga harus terbatal dan perlu memulangkan semua ganjaran gaji dan emolumen yang telah mereka peroleh.

Tan Sri Yang Di Pertua,

23. KEADILAN dan Pakatan Rakyat, menegaskan bahawa pembatalan SBPA ini adalah satu kejayaan hasil manifestasi suara rakyat khususnya penjawat awam yang diperjuangkan secara berterusan oleh Pakatan Rakyat. Kami konsisten bahawa suara rakyat harus didengar sebelum sesuatu dasar digubal dan dilaksanakan. Sikap kerajaan yang flip-flop ini adalah bukti keangkuhan pemerintah terhadap golongan yang terpenting dalam pentadbiran negara iaitu anggota perkhidmatan awam.

24. Saya percaya pegawai dan anggota Perkhidmatan Awam telah yakin bahawa Pakatan Rakyat telah melindungi kebajikan dan keadilan buat mereka. Pakatan Rakyat mempunyai dasar untuk perkhidmatan awam yang lebih baik demi memperkasakan perkhidmatan awam seperti yang terkandung dalam Buku Jingga.

Tan Sri Yang Di Pertua

25. Selain daripada Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga harus menjadi perhatian dewan pada hari ini. Ini berikutan perencanaan yang hanya akan mendatangkan keuntungan kepada syarikat korporat dan sebaliknya menekan nasib rakyat di bawah.

26. Perdana Menteri dalam janji awalnya ketika mengambil alih pentadbiran negara telah menyatakan bahawa "…the era where the government knows the best is over." Ini menjadi lanjutan kepada janji beliau untuk melaksanakan dasar ekonomi yang berdaya saing dengan mengadakan tender terbuka dalam projek-projek kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat dan kerajaan. Namun begitu, hal yang berlaku adalah sebaliknya.

27. Saya mendesak kerajaan untuk memberikan penjelasan yang jujur dalam projek RAPID - Refinery and Petrochemical Integrated Development di Pengerang, Johor. Perdana Menteri mengumumkan projek yang bernilai USD20 bilion dalam keadaan yang tergesa-gesa di awal pagi. Apakah mekanisme untuk menjamin ketelusan faedah jangka panjang dan prinsip value for money dalam proses penganugerahan kontrak ini. Daripada sumber kuat dalaman Petronas dan juga daripada masyarakat industri oil and gas, projek yang bernilai USD 20 bilion ini akan dianugerahkan kepada Dialog Berhad. Sekiranya maklumat ini benar, apakah hubungan Dialog Berhad dengan pengurusan tertinggi Petronas?

28. Dialog Berhad dilihat sebagai anak emas kepada pengurusan tertinggi petronas. Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan, apakah Petronas telah dijalankan feasibility studies dan juga risk management studies memandangkan projek ini bernilai besar bagi projek rapid dan apakah dasar tender terbuka akan dilaksanakan oleh Petronas dalam projek ini.

29. Saya juga ingin mengetahui status pengambilan tanah untuk projek RAPID yang melibatkan tujuh buah kampung dan lebih 900 keluarga. Apakah nilai pampasan yang dibayar kepada penduduk-penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah tersebut.

30. Pada Oktober 2011, Dialog Berhad telah dianugerahkan kontrak Tanjung Langsat Storage Tank Terminal Facilities di Johor dengan nilai hampir RM 400 juta. Dialog Berhad diberikan pegangan saham sebanyak 40.7% sedangkan MISC hanya diberikan 33.3% dan China Aviation Oil (Singapore) diberikan 26%.

31. Petronas juga telah menganugerahkan Risk Service Contract bagi Balai Pembangunan Balai Cluster Marginal Field kepada Konsortium yang terdiri daripada Dialog Berhad, Petronas Carigali dan Australia ROC Oil.

32. Saya dimaklumkan Petronas mengalami masalah untuk mengekalkan tahap pengeluaran petroleum akibat faktor-faktor berikut: (1) Pengeluaran petroleum di Sudan Selatan yang mencatatkan 135,000 barrel terpaksa dihentikan ekorang pertikaian transit fee dengan Sudan Utara. (2) Petronas juga menghadapi masalah yang serius dalam kerja-kerja carigali minyak di Kikeh, Sabah dan memerlukan tempoh dua tahun untuk memperbaiki masalah ini. Kelewatan ini telah memberi kesan kepada pengeluaran petroleum di Sabah yang merudum sebanyak 17%. (3) Petronas juga telah gagal menyiapkan kemudahan platform pengeluaran minyak di Gemusut, Kakap, Sabah yang sepatutnya mula mengeluarkan minyak pada tahun 2010. Malangnya kemudahan ini akan dijangka siap pada tahun 2014.

33. Untuk mengekalkan pengeluaran petroleum, Petronas tidak boleh menggunakan teknologi carigali yang konvensional, tetapi meningkatkan teknologi pengeluaran termasuk kaedah EOR (Enhance Oil Recovery) di telaga-telaga minyak lama (brown field). Maka Petronas mula beralih fokus untuk menumpukan kerja-kerja carigali minyak di Marginal Field yang memerlukan kaedah dan teknologi carigali yang berbeza.

34. Saya dimaklumkan terdapat 106 marginal fields di Malaysia dan 22 daripadanya sudah tersedia untuk kerja-kerja carigali petroleum.

35. Sebelum ini kita mendengar bahawa kerajaan telah menganugerahkan Projek Berantai Marginal Field kepada Kencana dan Sapura untuk kerja-kerja fabrikasi dan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pelaksanaan (EPCIC-Engineering, Procurement, Construction, Installation and Commissioning).

36. Saya ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan, mengapa Dialog Berhad mendapat kontrak bagi Balai Cluster Marginal Field yang bernilai USD 1 Bilion sedangkan Balai Cluster tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam Industri Huluan Petroleum (Upstream) khususnya yang melibatkan kerja-kerja carigali minyak. Dalam konsortium ini, Dialog Berhad diberikan saham sebanyak 32%, Petronas Carigali 20% dan Australia ROC Oil 48%. Persoalannya mengapa Petronas membenarkan Dialog Berhad menjadi pemegang saham yang lebih besar daripada Petronas carigali sedangkan Petronas Carigali mempunyai memiliki keupayaan teknologi, kewangan serta pengalaman carigali di 32 buah negara selain daripada Malaysia. Apakah kriteria pemilihan rakan kongsi dalam konsortium ini selain daripada teknologi dan keupayaan yang dimiliki oleh Petronas carigali dan Australia ROC Oil.

37. Kerajaan sepatutnya menggalakkan pertumbuhan IKS dalam industri petroleum melalui program pembangunan vendor. Malangnya, pengurusan baru Petronas telah membekukan program pembangunan vendor dan memansuhkan status kategori terhad yang memberi kesan parah terhadap perkembangan perniagaan vendor untuk menyertai industri ini. Petronas juga tidak memberikan galakan kepada IKS untuk membina kemudahan pembuatan berbanding dengan dasar yang diperkenalkan di Korea yang memberikan insentif untuk vendor dalam industri petroleum dan hari ini produk-produk Oil & Gas Korea boleh bersaing dengan kualiti dinegara-negara Eropah dengan harga yang berdaya saing.

38. Pengurusan Baru Petronas juga telah menyekat peluang syarikat-syarikat bumiputera yang mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk membekalkan produk-produk oil and gas melalui pembekuan lesen dengan membenarkan hanya MITCO, anak syarikat Petronas untuk memonopoli perolehan produk-produk Oil & Gas. Ini sekaligus membunuh perkembangan IKS. Apakah langkah-langkah kerajaan untuk memantau tingkah laku pengurusan Petronas yang baru yang dilihat tidak membantu perkembangan industri Oil & Gas tempatan.

Tan Sri Yang Di Pertua

39. Saya mohon perhatian dewan untuk meneliti isu Passenger Service Fee (PSF) yang dikenakan ke atas penumpang-penumpang Syarikat Penerbangan Air Asia. Pada masa ini, PSF yang dikenakan adalah sebanyak RM32 bagi penerbangan antarabangsa dan RM6 untuk penerbangan domestik. Penumpang Air Asia mengeluh berikutan proses kutipan PSF yang dulunya disebut sebagai Airport Tax dilihat tidak telus dan membebankan penumpang. Sekiranya penumpang membatalkan penerbangannya, mereka tidak perlu membayar yuran tersebut yang selama ini dibebankan kepada penumpang termasuk yang telah membatalkan penerbangannya.

40. Mengapa kerajaan membenarkan Air Asia untuk mengutip PSF ini sedangkan bayaran ini sepatutnya dibayar kepada Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB). Seharusnya bayaran yuran ini dibuat di lapangan terbang menggunakan kupon atau mekanisme yang lebih berkesan.

41. Kerajaan harus bertanggungjawab untuk meneliti semula prosedur ini yang hanya memberikan keuntungan besar kepada Air Asia dan bukannya kepada MAHB. Justeru saya sekali lagi memohon dalam dewan yang mulia ini untuk kerajaan menyatakan jumlah kutipan PSF yang telah dikutip oleh Air Asia sejak ia mula beroperasi.

Tan Sri Yang Di Pertua

42. Pada tahun 1932, filasuf politik penting dari Jerman, Carl Schmitt menerusi karyanya The Concept of Political, cuba mengungkapkan apa intipati politik, atau dalam Bahasa Jerman-nya das politische.

Bagi Schmitt, politik itu adalah pertembungan di antara suatu pihak dengan pihak yang lain, di dalam suatu suasana atau keadaan sedang berperang. Dalam kata lain, politik itu suatu permusuhan tajam dan aktornya sudah siap sedia untuk berperang walau kesannya berat sekali.

42. Malah Schmitt berpandangan lebih keras apabila merasakan suatu keadaan yang aman itu menandakan dunia yang kehilangan nafasnya. Schmitt berpandangan dunia yang aman membuatkan rakyat kehilangan arah. Sungguhpun beliau akui keamanan akan menyemarakkan kebudayaan, ekonomi, kekuatan moral, undang-undang dan seni namun das politische yang berpaksikan keamanan meragut jiwa sesebuah negara mahupun politik. Justeru, filasuf Jerman itu mengangkat suatu aktor politik yang digelarnya, Reichsprasident, watak seumpama raksasa Leviathan dalam karya Hobbes. Watak tersebut punya kuasa luar dari Perlembagaan, punya wewenang untuk melakukan segala tanpa batas, dengan izin Tan Sri Yang di Pertua, "has the power to declare the exception."

43. Pandangan Schmitt ini tidak didokong Pakatan Rakyat. Muafakat politik dalam Pakatan Rakyat ini wujud, antaranya kerana mahu menewaskan UMNO-BN yang berulangkali "exercising the power to declare the exception" sekaligus menafikan hak rakyat. Makanya, dalam Dewan Yang Mulia ini, saya mahu tegaskan, masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia menolak regim yang memerintah sambil meremehkan hasrat rakyat.

44. Pasca 8 Mac 2008, kita menyaksikan Sistem Dwi Parti atau Two-Party System mulai subur di negara ini. Wujudnya persaingan dalam pentas politik membolehkan rakyat memilih perjuangan mana yang lebih bermakna buat mereka. Pastinya dengan Sistem Dwi Parti, tiada pihak yang punya "the power to declare the exception."

45. Pun demikian harus lah diambil perhatian Sistem Dwi Parti ini bukanlah bermakna kita menidakkan aktor politik ataupun organisasi lainnya bersaing. Ianya bukan didasari untuk memonopoli. Pakatan Rakyat sememangnya mengalu-alukan percambahan pemikiran dan upaya untuk memperkukuh peranan rakyat untuk membuat keputusan. Akan tetapi berhadapan raksasa usang yang bertaring tajam seperti mitos Leviathan, pastinya perlu segenap usaha dan daya digembeling semata-mata untuk menumpaskannya. Begitulah juga apabila berhadapan dengan UMNO-BN di arena politik. Permuafakatan Pakatan Rakyat memilih untuk berpencak dengannya di medan yang sama, iaitu medan politik.

46. Sungguhpun murni hasrat Pakatan Rakyat untuk memperkukuh Sistem Dwi Parti ini, ternyata ia masih berhadapan dengan mehnah pemerintah yang sememangnya sudah biasa membolot kuasa. Budaya samseng dalam politik UMNO kerana kegagalan mereka untuk mendepani isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang, kos kehidupan yang tinggi, gaji minima serta amalan boros dan rasuah. Atas sebab itu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat ingin mengulangi gesaan kami supaya UMNO menghentikan budaya fitnah, gutter politics dan budaya samseng. Saya mengajak UMNO bersama-sama memberikan tumpuan kepada persoalan dasar dan program-program untuk kepentingan rakyat. Untuk maksud ini juga, saya mengulangi cabaran YB Permatang Pauh kepada Perdana Menteri untuk menerima pelawaan debat supaya dapat membuka ruang kepada rakyat membuat penilaian yang rasional dan sihat.

47. Lihat sahaja isu Palestin, pimpinan UMNO menyerlahkan sikap munafik politik dengan memadamkan fakta dan mengetengahkan kepalsuan sedangkan rakyat sedar hubungan UMNO dengan Zionis Israel melalui kontrak dengan APCO, Dagangan ke 15 terbesar, surat-surat Mahathir kepada Perdana Menteri Israel dan keengganan UMNO untuk mengiktiraf HAMAS sekaligus menafikan suara dan aspirasi rakyat Palestin.

48. InshaAllah, saya yakin Sistem Dwi parti akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan percayalah bahawa Pakatan Rakyat tidak memerlukan Machiavellian Politics untuk bersaing. Kita tidak memerlukan politik fitnah-memfitnah, politik perkauman sempit dan politik kekerasan sebagai talian hayat. Kita bersaing berasaskan hujah dan fakta. Oleh kerana itu kita menawarkan kepada rakyat dasar seumpama Buku Jingga, Agenda Bersama Permuafakatan Pakatan Rakyat dan Belanjawan Pakatan Rakyat untuk kemaslahatan rakyat.

*Ucapan Menjunjung Kasih Titah DYMM Dewan Rakyat oleh Azmin Ali (gambar kiri) selaku ahli parlimen Gombak, merangkap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Apabila Puan Hakim hulurkan sekotak tisu untuk Hishamuddin Rais...

Posted: 15 Mar 2012 04:23 AM PDT

Nashita Md Noor


Mengikuti perbicaraan kes saman lima orang bekas Tahanan ISA melawan Ketua Polis Negara Norian Mai, Menteri Hal Ehwal dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia mengimbau kenangan 11 tahun yang lalu. Bezanya ketika itu ialah kami turun naik ke Mahkamah berhari-hari tanpa jemu bagi membela nasib mereka yang telah ditahan tanpa dibicarakan. Mereka di dalam tahanan polis selama 60 hari dan kemudiannya dihantar ke Kamunting selama dua tahun.

Tahanan di bawah akta zalim ISA menghapuskan semua hak yang ada pada seseorang manusia bebas. Kami di luar berjuang tanpa jemu untuk membebaskan mereka dengan menggunakan segala ruang yang ada.

"REFORMASI! REFORMASI! UNDUR MAHATHIR UNDUR!" menjadi kalimah keramat ketika itu. Rakyat berani bangun melawan, mendedahkan kezaliman. Mereka ditangkap sebelum tarikh keramat 14 April yang dikenali sebagai "BLACK 14" bagi mengenang tarikh di mana Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Anwar Ibrahim. Satu perhimpunan besar-besaran telah dirancang untuk diadakan di perkarangan pejabat SUHAKAM di Kuala Lumpur.

Sehari selepas tangkapan media menyiarkan di muka hadapan tajuk mereka ditangkap di bawah ISA dengan niat untuk menggulingkan kerajaan dengan menggunakan kekerasan dengan memiliki senjata, bom, molotov cocktail. Juga menggunakan khidmat guru-guru silat. Gambar kesemua mereka yang ditangkap juga turut dipaparkan di muka hadapan sebagai individu-individu yang mahu menggulingkan kerajaan dengan kekerasan.

"Memiliki senjata, bom, pelancar roket dengan tujuan menggulingkan kerajaan dan mengancam keselamatan negara." Kenyataan Ketua Polis Negara, Norian Mai ketika itu. Dengan tuduhan itu mereka semua telah ditangkap dan dipisahkan secara zalim dari ahli keluarga.

Selama dua bulan mereka ditahan di Pusat Tahanan Reman Polis mereka telah disiksa dan dizalimi. Disogok dengan soalan-soalan yang tiada kena mengena langsung dengan tangkapan dan tuduhan ke atas mereka. Kami mendengar pengalaman perit mereka melalui keluarga ketika ditahan dan kemudiannya melalui penceritaan sendiri ketika dibebaskan.

Siapa yang berniat jahat dalam penangkapan mereka dan apakah tuduhan dan fitnah yang dikenakan ke atas mereka terjawab kini dalam kes saman yang sedang berlangsung bermula pada 27 Februari 2012 hingga 15 Mac 2012. Tarikh yang ditetapkan oleh Puan Hakim Lau Bee Lan, yang diharap mendengarkan kes ini dengan adil dan saksama.

Bekas tahanan ISA yang terlibat dalam tindakan saman di Mahkamah ini ialah Saari Sungib, Tian Chua (gambar kanan), Hishamuddin Rais, Dr Badrulamin Bahron dan Pak Din, Badaruddin Ismail.

Sebagai seorang yang mengikuti perjalanan tangkapan ini sejak hari pertama tangkapan pada tarikh 10 April 2001 sehingga saat mereka dibebaskan pada 2 Jun 2003, saya berusaha untuk tidak melepaskan peluang hadir ke mahkamah mendengar perbicaraan ini. Saya telah melihat bagaimana keluarga mereka menderita setelah dipisahkan secara zalim bila polis dan SB secara kejam dan kasar menahan mereka di rumah atau di pejabat. Bukan seorang dua polis yang hadir, bukan sebuah atau dua buah kenderaan polis yang datang mengepung tetapi di dalam jumlah yang banyak dan ramai dengan niat tidak lain untuk menimbulkan rasa takut di kalangan tetangga dan ahli keluarga. Seolah mereka penjenayah besar!

Selama dua bulan di tahanan reman polis mereka tidak dibenarkan langsung bertemu peguam pilihan mereka. Pertemuan keluarga juga sukar, mereka hanya dapat berjumpa sekali atau dua kali sahaja sepanjang penahanan. Itupun di bawah kawalan polis dan polis cawangan khas. Mereka tidak bebas, mereka tidak bebas bersuara dan menceritakan apa yang mereka lalui. Mereka di arah berlakon agar menunjukkan mereka "OK" di dalam tahanan polis dan keluarga tidak perlu risau dan keluarga tidak perlu berkempen kerana hanya akan membuatkan mereka ditahan dengan lebih lama lagi.

Apabila berada di dalam kamar Mahkamah Tinggi Sivil 5, Mahkamah Jalan Duta di hadapan Hakim Lau Bee Lan yang mendengar kes tersebut, saya merasa puas apabila setiap perlakuan zalim dan tidak berperikemanusiaan pihak polis dan Cawangan Khas khususnya didedahkan di dalam Mahkamah di hadapan Hakim.

"Diletakkan di dalam sel yang sempit, tiada ruang udara, tiada lubang cahaya, tiada tempat membuang air, hanya diberikan botol untuk membuang air, tidak tahu masa, tidak tahu siang dan malam." Ini antara kisah mereka.

Disoal siasat berjam-jam setiap hari bukannya dengan tujuan mencari bukti terhadap pertuduhan ke atas mereka sebaliknya ianya menjadi ruang untuk menaburkan fitnah kotor ke atas pimpinan pembangkang, khususnya Anwar Ibrahim, malah ke atas isterinya Wan Azizah dan puteri mereka Nurul Izzah.

"SB suka membebel-bebel, berulang-ulang, paling sakit hati ialah SB mengatakan Anwar Ibrahim memiliki lebih dari 30 orang wanita." Sebahagian dari pendedahan oleh Saari Sungib (gambar kiri) tentang soal siasat SB.

Sebenarnya sebagai seorang manusia saya tidak sanggup mencatatkan di sini soalan-soalan yang didakwa sebagai soal siasat ke atas tahanan ISA yang terbabit. Ianya sungguh tidak bertamaddun dan zalim. Tuduhan ke atas mereka ialah memiliki bom dan mahu menggulingkan kerajaan tetapi soalan yang dihamburkan ke atas mereka ialah tentang seks, fitnah seks ke atas Anwar Ibrahim khususnya tentang kebodohan pimpinan pembangkang contohnya "Syed Hussin Ali adalah seorang yang bodoh dan akan kekal bodoh."

Saya kira antara yang paling teruk dihina ialah Hishamuddin Rais apabila beliau dituduh sebagai seorang yang suka makan ular dan babi dan banyak lagi yang tidak mungkin sanggup saya menulisnya. Kita tunggu kelahiran bukunya jika ada.

Hati saya sakit bilamana pihak Pendakwaraya cuba mengatakan bahawa sebenarnya tahanan ISA ini tidak trauma dan disakiti sedangkan mereka terus menerus mengalami mimpi-mimpi ngeri hingga kini apabila mengingati kembali peristiwa tangkapan ISA. Ini diceritakan sendiri oleh isteri Saari Sungib, Puan Aliza Jaffar.

Malahan masakan Hishamuddin Rais (gambar kiri) yang terkenal dengan "Stand-up Comedy" tidak dapat menahan perasaan dan menangis sebak apabila dipinta oleh peguambela menceritakan perasaannya tentang penahanan yang tidak sah itu. Beliau mengambil masa yang lama untuk berkata dan Puan Hakim sendiri menghulurkan sekotak tisu untuk diserahkan kepada beliau. Ini adalah situasi yang amat memilukan. Bukan mereka pinta layanan istimewa tetapi mereka bukan banduan dan tidak pernah dibuktikan kesalahan mereka.

Dari keterangan saksi-saksi polis cawangan Khas yang terlibat menangkap, mereka mengaku tidak menjumpai apa-apa bukti tentang bom atau senjata malah surat-menyurat yang mengaitkan dengan pertuduhan. Namun polis-polis cawangan Khas ini jugalah yang menandatangani persetujuan agar mereka terus ditahan setelah tamat tempoh 48 jam yang didakwa terlalu singkat untuk mengumpulkan bukti. Padahal hingga kini tiada bukti yang pernah dijumpai.

Mereka terpaksa merengkuk dan dizalimi selama 60 hari oleh pihak Polis Di Raja Malaysia dan disambung lagi dipisahkan dari ahli keluarga selama dua tahun setelah kononnya Menteri Dalam Negeri ketika itu berpuashati dengan soal-siasat polis. Ini berlaku hanya kerana mereka berani melawan United Malays National Organisation - UMNO dan bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara.

Maka betullah ungkapan dari lirik lagu rakyat: "Rakyat Berani perompak akan lari... Rakyat sekolah tidak akan dikalah...rakyat bersatu tidak akan ditipu".

Kita mesti harus berani melawan. Berani mendedahkan kezaliman sebagaimana beraninya lima orang bekas tahanan ISA ini mendedahkan kezaliman pemimpin dan kejahatan mereka yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat dan negara.

Salut untuk semua pejuang yang berani!

*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.

Umno Tg Karang Jual Tanah Kerajaan bakal Ke SPRM

Posted: 15 Mar 2012 04:12 AM PDT




SHAH ALAM: Selepas kontroversi pertunangan anak Perdana Menteri, satu lagi penyelewengan pemimpin Umno dijangka turut dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedikit masa lagi.

Isu yang membabitkan penjualan tanah milik kerajaan negeri Selangor itu turut membabitkan Umno Bahagian Tanjung Karang yang diketuai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Menurut Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman, PAS Tanjung Karang ketika ini sedang mengumpulkan fakta kes terbabit sebelum menyerahkan kepada pihak guaman yang dilantik untuk tindakan selanjutnya.

"Sekarang PAS Tanjung Karang sedang kumpulkan fakta berkaitan kes ini.

"Kebanyakkan fakta kami dah perolehi, cuma tinggal beberapa perkara yang masih diteliti sebelum kami bawa kepada pihak guaman untuk tindakan selanjutnya buat laporan SPRM," beritahu beliau.

Terdahulu, TVS dan Selangor Kini melaporkan Kerajaan Negeri Selangor ketika di bawah pentadbiran BN telah menganugerahkan sebidang tanah milik kerajaan negeri kepada Umno bahagian Tanjung Karang.

Bagaimanapun pada sekitar 2007, tanah yang kini menempatkan bilik gerakan Barisan Nasional telah dijual oleh Umno Tanjung Karang kepada dua buah syarikat swasta, Bumi Utama Building Material Sdn Bhd dan Bayacorp Sdn Bhd pada harga yang tidak diketahui.

Carian yang dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati salah seorang pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang memiliki kepentingan di salah satu syarikat terbabit.

Syarikat tersebut turut membuat permohonan untuk mendirikan hotel di atas tanah seluas 4,370 meter persegi yang turut terdapat sebuah gimnasium yang telah dikosongkan.

Bagaimanapun, permohonan syarikat terbabit telah ditolak dalam mesyuarat Ahli-ahli Majlis Daerah Tanjung Karang.

Dalam isu yang sama, Noh Omar turut menghantar seorang wakil untuk membuat rayuan kepada Misran agar beliau menarik kembali kenyataan terdahulu beliau berkaitan isu ini.

Bagaimanapun rayuan tersebut tidak dilayan oleh Misran.

Kerajaan Pusat Sabotaj Usaha Kerajaan Selangor Bina Sekolah Cina

Posted: 15 Mar 2012 04:07 AM PDT


S


HAH ALAM : Kerajaan Pusat didakwa cuba mengagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk membantu sekolah Cina dan sekolah kanak-kanak autisme di Puchong dengan menolak permohonan pembinaan di saat-saat terakhir.

Walaupun Kerajaan Selangor telah meluluskan tanah rizab 13 ekar di Taman Tasik Prima Puchong pada 23 September tahun lalu untuk pembinaan cawangan tiga sekolah, permohonan itu ditolak oleh Kementerian Pelajaran (KPM).

Tiga sekolah itu ialah SJKC Yak Chee (2), SMJK Katholik (2) dan Sekolah Kanak-Kanak Autisme, menurut Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Teresa berkata, KPM menolak permohonan ketiga-tiga sekolah tersebut kerana mahu menggunakan tanah rezab itu untuk membangunkan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) walaupun kawasan itu sudah mempunyai empat SK dan dua SMK.

"Pada 23 Sept 2011, Kerajaan Selangor telah meluluskan permohonan tanah lot bagi pembinaan. Tanah rezab sekolah tersebut masih belum dipohon oleh JKPTG (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian) dan masih di bawah Kerajaan Negeri Selangor," kata Teresa yang juga Exco Kerajaan Selangor dan ADUN Kinrara.

Pada 30 Sept, Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada KPM menyatakan sokongan terhadap permohonan SJKC Yak Chee dan SMJK Katholik untuk membina cawangan dan memohon kementerian untuk mengeluarkan permit kepada sekolah-sekolah itu.

Menurut Teresa, KPM menjawab Kerajaan Selangor dalam surat bertarikh 25 Nov dengan menyatakan bahawa KPM tidak dapat mempertimbangkan cadangan Kerajaan Selangor kerana mahu tanah tersebut bagi SK dan SMK Taman Prima Puchong.

"Cara KPM membuat permohonan di tanah rezab sekolah yang sama tersebut menunjukkan bahawa KPM memang tidak berhasrat untuk menyelesaikan masalah kekurangan sekolah Cina di kawasan Puchong dan Negeri Selangor.

"Mereka ingin sabotaj usaha Kerajaan Selangor," kata Teresa, dalam kenyataan medianya bersama MP Puchong Gobind Singh Deo di Parlimen.

Sepatutnya, kata Teresa, KPM membuat permohonan kepada Kerajaan Selangor untuk tanah itu jauh lebih awal dan bukan selepas Kerajaan Selangor telah memberi tanah kepada lembaga pengurus ketiga-tiga sekolah berkenaan.

"Kini, semakin ramai ibubapa kaum bukan Cina menghantar anak mereka untuk belajar di sekolah Cina, ini bermaksud sekolah Cina bukan untuk pelajar kaum Cina sahaja tetapi ia telah menjadi sekolah pelbagai kaum," ujar beliau.

KEADILAN dedah SPR keluarkan 106,255 pengundi senyap-senyap

Posted: 15 Mar 2012 04:06 AM PDT

Oleh: Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR: 106,255 nama pengundi diseluruh negara dikeluarkan dari senarai pemilih tanpa diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dedah Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.

Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu, sebanyak 6,705 nama pengundi baru diseluruh negara pula dimasukkan ke dalam senarai pemilih, juga tanpa pewartaan.

"Senarai tersebut adalah daftar pemilih yang dimasukkan ke dalam senarai bermula dari suku keempat, Disember 2010 hingga suku ketiga September 2011," kata Fuziah pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini

"Ini tidak mengikut perlembagaan dan tidak ikut prosedur. Senarai pengundi mesti dipamer untuk bantahan. Sama ada penambahan atau pengeluaran nama pemilih," kata Fuziah memaklumkan tempoh dua minggu bantahan terlalu singkat untuk penelitian.

Jelas Fuziah lagi, senarai pengundi di setiap kawasan Parlimen yang diistilahkan sebagai 'Rang' dikemaskini setiap tiga bulan juga perlu dipamerkan.

"Setiap nama pengundi baru, pengundi keluar, pengundi yang berpindah, pengundi yang mati dan masuk tentera perlu dipamer. Bagaimana pemotongan dibuat SPR tanpa makluman?" katanya.

"Selepas pewartaan dibuat, kita terpaksa pula membuat semakan sekali lagi, sedangkan ini bukan tugas Ahli Parlimen. Bukankah SPR mempunyai pegawai IT dan jaringan dengan Jabatan Pendaftaran Negara?" soal Fuziah lagi.

"Sebelum ini SPR mengaku memotong lebih 70,000 nama dan itu pun tidak diwartakan dalam Rang. Apakah mereka tak tahu apa yang berlaku?

"Kita masih ingat 10,000 nama pengundi di Sabah yang dibantah, namun SPR kata tidak boleh 'suka-suka' untuk keluarkan. Tetapi bagaimana mereka boleh mengeluarkan 106,255 ini?

"Saya cabar SPR untuk membuat audit," kata Fuziah menuntut kemaskini semula senarai pemilih oleh SPR sebelum pilihan raya umum ke-13.

‘Saya tak beli undi seperti pemimpin Umno lain’ – Kadir Sheikh Fadzir

Posted: 15 Mar 2012 04:03 AM PDT

Oleh: Aedi Asri



SERI KEMBANGAN : Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini menegaskan selama tiga puluh tahun menjadi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, beliau tidak pernah membeli undi pengundi semasa pilihan raya, seperti amalan biasa Umno.

"Saya sangat sensitif apabila tuduhan itu dibuat. Ia sangat menghina penduduk Kulim-Bandar Baharu, walhal mereka menyokong saya selama 30 tahun, dan saya sifatkan mereka sebagai manusia mulia dan intan permata," ujarnya.

Mengulas pendedahan yang dibuatnya sebelum ini tentang amalan membeli undi oleh Umno, Abdul Kadir berkata, pendedahan itu dibuat beliau untuk kebaikan negara.

"Pandangan saya sebelum ini hanya untuk melengkapkan transformasi politik yang dilaungkan kerajaan, bukan kerana merasa kecewa tidak dilantik memimpin syarikat berkaitan kerajaan.

"Perdana Menteri tidak boleh hanya membuat pengumuman, tanpa disusuli dengan pelaksanaan. Rakyat sekarang sudah pandai dan terdedah dengan pelbagai maklumat", ujar Abdul Kadir pada sidang medianya di Seri Kembangan.

Beliau juga menjawab tuduhan segelintir pemimpin Umno kononnya beliau kecewa kerana dipinggirkan, dan tidak dilantik menjadi Pengerusi MAS selepas tidak lagi menjadi menteri.

"Saya tidak pernah meminta apa-apa dari pemimpin tertinggi. Saya yakin mereka akan membantu sekiranya saya meminta apa-apa jawatan atau kontrak. Saya dalam Umno cukup lama", jelas Abdul Kadir.

Beliau juga mengkritik kerajaan Umno BN kerana gagal mengangkat kedudukan ekonomi Melayu ke tahap yang disasarkan, walaupun selepas lebih 50 tahun memerintah.

Akibatnya, terdapat beberapa pemimpin Umno mengancam untuk membawanya ke Jawatankuasa Disiplin Umno.

Abdul Kadir pernah menjadi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu selama 5 penggal, dan memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan Menteri Penerangan.

Beliau sekarang adalah Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), badan yang ditubuhkan veteran Umno, Tengku razaleigh Hamzah.

15 Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera pilihanraya BN merasuah pengundi semasa kempen pilihan raya umum.

1Care: Tiong Lai kelirukan Parlimen – Fuziah Salleh

Posted: 15 Mar 2012 04:01 AM PDT


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kesal sikap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berdolak dalik dalam isu Skim Penjagaan Kesihatan NAsional.

Menurut Fuziah, Tiong Lai mengelirukan Dewan apabila mengatakan 1Care masih di peringkat perbincangan dan belum diputuskan secara muktamad.

Ini kerana menurut Fuziah, beliau mempunyai bukti kertas konsep daripada Kementerian Kesihatan yang dikemukakan kepada Majlis Ekonomi pada 11 Ogos 2009.

"Sebagai Menteri Kesihatan, beliau seharusnya berbincang dengan 'stakeholder', kemudiaan diikuti dengan 'concept paper' dan 'blueprint'. Ini kertas konsep dah siap, bila kita dedahkan mereka pula nafikan," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Media sebelum ini melaporkan cadangan skim itu, yang mewajibkan rakyat memotong 10 peratus pendapatan bulanan mereka untuk satu agensi mengurus dana kesihatan negara.

Dilaporkan, pengamal perubatan dan persatuan pengguna memboikot cadangan itu sejak Disember tahun lalu, bermula dengan kempen 'Tak Nak 1 Care' dan menggesa kerajaan mengkajinya semula.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendesak kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital kerajaan dan bukan melaksanakan skim 1 care yang menggunakan caruman wang rakyat.

"Pada 2009 rawatan di klinik swasta dalam lingkungan 74 juta rawatan manakala rawatan di klinik kerajaan hanya 24 juta sahaja. 60 Peratus rakyat melaysia memilih pergi ke hospital swasta kerana perkhidmatan lebih baik.

"Ini sepatutnya jadi tumpuan kementerian untuk menambah baik perkhidmatan kerajaan tapi mereka terlalu 'asyik' dengan 1Care 1Malaysia dengan tujuan meringankan beban kementerian dan membebankan pihak yang lain," katanya.

SPR sabotaj kerusi MB Selangor

Posted: 15 Mar 2012 03:55 AM PDT

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nampaknya ditukar tanpa pengetahuannya, seperti yang terbukti menerusi carian di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semakan di laman web tersebut mendapati Khalid (kanan) kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai yang diwakili Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, lapor Malaysiakini.

Lokaliti mengundi beliau disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti di bawah daerah mengundi Universiti.

Bagaimanapun, Khalid sebelum ini difahamkan mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Ketika dihubungi, seorang pegawai pejabat Menteri Besar yang enggan namanya disiarkan, mengesahkan Khalid tidak membuat sebarang perubahan pada kawasan mengundinya atau dalam kad pengenalannya.

"Setakat yang beliau tahu, beliau masih pengundi di Petaling Jaya (Selatan) dan alamat pada kad pengenalan beliau adalah di Pasir Tuntung, Kuala Selangor – bandar kelahirannya," kata sumber yang rapat dengan Khalid Ibrahim.

Sumber itu menambah bahawa Menteri Besar yang telah dimaklumkan mengenainya "memandang berat" perkara itu dan akan menyemak dengan SPR dan Jabatan Pendaftaran.

Tindakan mensabotaj MB?


Malaysiakini membuat semakan tersebut selepas Ketua Pemuda Umno Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, menyiarkan di blognya bahawa Khalid Ibrahim kini pengundi berdaftar di Lembah Pantai.

Mohd Razlan juga mendakwa peralihan kawasan mengundi itu, yang hanya boleh berlaku jika Khalid menukar alamat pada kad pengenalannya, adalah kerja dalam untuk mensabotaj Khalid.

Khalid tidak boleh bertanding sebagai ADUN di Selangor jika kad pengenalannya menunjukkan dia bermastautin di Kuala Lumpur.

Menurut peraturan SPR, calon yang bertanding kerusi DUN mesti menjadi penduduk negeri berkenaan.

Pertukaran saham MAS-AirAsia gagal, CIMB perlu pulangkan yuran

Posted: 15 Mar 2012 03:54 AM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Manifesto Pakatan Rakyat mendesak agar yuran yang dibayar kepada CIMB Bank sewaktu menjadi pihak tengah pertukaran saham MAS-AirAsia dituntut kembali kerana urusniaga itu terbukti gagal.

"Yuran nasihat yang dibayar kepada GLC yang memudahcara urusniaga tersebut – CIMB Bank – perlu dituntut semula kerana urusniaga itu jelas gagal sama sekali.

"Dalam masa kurang daripada enam bulan selepas urusniaga itu MAS dilaporkan mengalami kerugian yang besar," kata Jawatankuasa itu yang terdiri daripada Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

9 Ogos lalu, Tony Fernandes dan syarikatnya, Tune Air Sdn Bhd menukarkan 10 peratus kepentingan saham dalam AirAsia dengan 20.5 peratus saham dalam MAS.

CIMB Bank merupakan pihak tengah yang mengaturkan pertukaran saham di antara dua gergasi penerbangan negara itu.

Hujung Februari lalu pula, Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan syarikat berkaitan kerajaan itu rugi bersih RM2.52 bilion bagi tahun kewangan 2011.

Bagi tempoh suku keempat pula, syarikat penerbangan negara itu merekodkan RM1.28 bilion kerugian bersih, dengan hasil pusing ganti sebanyak RM3.68 bilion.

Berdasarkan spekulasi semasa, menurut jawatankuasa itu, terdapat kemungkinan Perdana Menteri Najib akan mengarahkan Khazanah untuk membeli semula saham MAS yang telah ditukar dengan Tune Air.

"Merujuk perkembangan ini, kami berharap Khazanah tidak akan bertindak menyelamatkan Tune Air.

"Mengambil kira fakta bahawa MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2.52 bilion untuk tahun 2011, kerugian paling besar dalam sejarah, Khazanah hanya perlu membeli semula saham tersebut pada harga yang lebih rendah bersesuaian dengan prestasi buruk MAS selepas urusniaga itu dimeterai," kata jawatankuasa itu.

Sejak pertukaran saham itu berlaku juga, menurut mereka, banyak laluan penerbangan dikurangkan dan kebanyakannya melibatkan MAS.

Ia juga membunuh Firefly (syarikat penerbangan murah MAS) yang merupakan pesaing terdekat kepada AirAsia selama ini.

"Jelas, ini adalah satu sikap anti-persaingan yang ditunjukkan MAS-AirAsia. Ketua Eksekutif AirAsia, Tony Fernandes dan Timbalannya, Kamarudin Meranun yang menyertai Lembaga Pengarah MAS hanya memastikan kepentingan MAS terpelihara dan pengguna AirAsia diketepikan," kata mereka.

Perkara ini, kata jawatankuasa itu mengesahkan unjuran Refsa (Research for Social Advancement) yang dibuat sekitar Ogos 2011.

Refsa mengunjurkan bahawa pertukaran saham itu akan menyebabkan kurangnya kekerapan penerbangan, kekurangan prospek kerja untuk kakitangan syarikat penerbangan, dan kurangnya peluang untuk berhubung sesama rakyat Malaysia.

Ekonomi Malaysia merudum di Asia Tenggara kerana rasuah – Anwar

Posted: 15 Mar 2012 03:50 AM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Gejala rasuah yang berleluasa dalam negara menyebabkan Malaysia semakin merosot dari segi ekonomi berbanding rakan-rakan negara Asia Tenggara yang lain.

Perkara itu dinyatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyampaikan ucaptama pada Public Relations World Congress di Dubai semalam.

Menurut Anwar, walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan dasar pasaran bebas, manfaat daripada dasar itu kurang dirasai akibat amalan nepotisme dan kurangnya ketelusan dalam urusniaga.

"Anda tidak boleh beri kontrak kepada ahli keluarga dan menamakannya sebagai penswastaan, anda tidak boleh berikan tender tanpa prosedur sempurna – ini akan mengakibatkan kerugian.

"Kerajaan melaporkan kerugian sebanyak $6 bilion kerana rasuah, dalam sebuah negara yang kecil seperti Malaysia," katanya.

"Dari segi kebolehan bersaing, pelaburan asing dan pertumbuhan, kami kalah kepada Indonesia, Thailand, Vietnam dan juga Singapura," kata Anwar.

Di tanah air, skandal penyelewengan NFC mencuri perhatian ramai apabila kerajaan Umno BN memberikan RM250 juta kepada NFC yang dimilki keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Keluarga Shahrizat dilapor gagal membekalkan lembu untuk pasaran tempatan seperti dikehendaki tetapi mereka menggunakan wang itu untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan penternakan lembu.

Di antaranya, keluarga Shahrizat melalui NFC didedahkan membeli dua kondominium mewah di Bangsar, sebuah kondominium mewah di Singapura, membiayai lawatan ke luar negara serta melangsaikan hutang kad kredit berjumlah lebih RM30,000 setiap bulan.

The Star putar belit laporan sendiri tentang Guan Eng dan SM Mohamed Idris

Posted: 15 Mar 2012 03:48 AM PDT

Roketkini.com



GEORGE TOWN: The Star telah memanipulasi dan memutar belit laporan medianya sendiri untuk memberi gambaran palsu bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah melakukan serangan peribadi terhadap Presiden CAP, SM Mohamed Idris.

Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Zairil Khir Johari berkata, Guan Eng telah dituduh melakukan serangan peribadi terhadap Mohamed Idris dengan memanggilnya "orang tua".

Menurutnya, kenyataan itu tidak benar dan mengelirukan, kerana mengikut laporan The Star pada 8 Mac 2012, Ketua Menteri telah dipetik berkata, "SM Mohamed Idris adalah seorang yang tua dan dihormati".

"Dalam konteks yang penuh dan betul, adalah jelas bahawa Ketua Menteri telah memberi penghormatan kepada seorang warga tua.

"Malangnya, pemimpin-pemimpin BN sudah mula menyerang Ketua Menteri atas sebab beliau telah (dilaporkan oleh The Star) memanggil Mohamed Idris "orang tua", tanpa mengambil kira kenyataan lanjutannya bahawa beliau adalah seorang yang "dihormati".

"Yang lebih mengejutkan pula, The Star enggan melaporkan dengan penuh kenyataan Ketua Menteri yang terbaru dalam suratkhabarnya pada 14 Mac 2012," katanya dalam satu kenyataan.

Zairil menjelaskan, tindakan The Star yang sengaja tidak menyiarkan kenyataan penuh Ketua Menteri bahawa SM Mohamed Idris adalah seorang yang "dihormati" dan kemudiannya menyindir bahawa Ketua Menteri telah menggunakan ayat yang tidak pernah beliau gunakan, seperti "orang yang hilang ingatan", bukan sahaja bercanggah dengan laporan-laporan sebelumnya tetapi adalah tidak beretika langsung.

Menurutnya, The Star juga telah memilih hanya untuk melaporkan secara ringkas kenyataan akhbar Ketua Menteri semalam berkenaan dengan proses rundingan umum yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam cadangan 4 projek infrastruktur untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di bahagian pulau.

Katanya, projek-projek berkenaan adalah pembinaan terowong bawah laut 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth), jalan 15km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang, jalan pintas 5km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong eu serta jalan pintas 5km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Tambah beliau, Ketua Menteri telah menjelaskan secara terperinci bagaimana 4 projek infrastruktur ini akan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Pulau Pinang, serta bagaimana beliau telah meminta pandangan umum dan berunding dengan NGO-NGO seperti CAP, yang telah diwakili oleh Rudhrapathy Vijayala (Ravi).

Jelasnya lagi, CAP bukanlah satu-satunya organisasi yang membantah 4 projek infrastruktur tersebut kerana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menentang pembinaan terowong bawah laut dari Gurney Drive ke Bagan Ajam, dalam kenyataannya pada 17 November 2011.

Namun begitu, Zairil berkata, maklum balas daripada orang ramai di Pulau Pinang, khususnya mereka di Gurney Drive dan SPU, telah menunjukkan bahawa majoriti menyokong dan menghendaki supaya projek-projek infrastruktur ini diteruskan.

"Walau pun NGO-NGO seperti CAP mempunyai hak untuk berbeza pendapat dengan proses rundingan umum yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri, Ketua Menteri percaya bahawa perbezaan pendapat ini harus disuarakan secara sopan.

"Oleh itu, Ketua Menteri telah memberi jaminan bahawa beliau masih akan menjemput NGO-NGO seperti CAP untuk pusingan kedua rundingan umum apabila reka bentuk, pemilihan laluan dan kajian kesan alam sekitar untuk projek terowong bawah laut dijalankan pada tahun ini, ujarnya.

Jelas beliau, dalam proses pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, kerajaan BN tidak pernah melakukan rundingan umum seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Pun begitu, Kerajaan PR Pulau Pinang telah dikutuk dengan teruk kerana menjalankan proses yang lebih telus dan bertanggungjawab berbanding dengan kerajaan negeri BN sebelum ini," katanya. – Roketkini.com

1Care: Pakatan Rakyat tanya, Menteri Kesihatan tak boleh jawab

Posted: 15 Mar 2012 03:42 AM PDT

Roketkini.com



KUALA LUMPUR, 15 MAC: "Kita sendiri pun tidak ada butiran."

Itulah jawapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai apabila ditanya oleh Ahli Parlimen DAP Kota Melaka Sim Tong Him tentang:

* Anggaran perbelanjaan skim kesihatan cadangan kerajaan UMNO-BN, iaitu 1Care;

* Bagaimana tabung skim tersebut dapat menjana dana; dan

* Adakah ia akan berusaha sama dengan pihak swasta.

Sebaliknya, Liow memberi syarahan pendek kepada Dewan Rakyat hari ini tentang pelan kesihatan yang dikatakannya lestari dan kepentingan menjaga kesihatan masyarakat yang semakin terdedah kepada risiko kencing manis dan darah tinggi.

Liow yang juga Timbalan Presiden MCA menuduh bahawa laporan media dan pihak-pihak berkepentingan terhadap 1Care adalah semata-mata putar belit dan spekulasi terhadap satu cadangan yang masih belum disepakati dan mendapat kata putus.

Beliau memberi jaminan bahawa rakyat, dan pihak-pihak berkepentingan akan dijemput menyertai konsultasi awam untuk mendapat maklum balas dan respon terhadap apa-apa perancangan kerajaan tentang penambahbaikan sistem kesihatan.

Apabila disoal oleh Lee Boon Chye (PKR – Gopeng) berkenaan kedudukan kertas konsep 1Care yang telah didedahkan kepada umum, Liow sekadar menyebut bahawa itu hanyalah kertas konsep yang dibentang pada sebuah mesyuarat.

Pada sidang media di luar dewan selepas itu, Liow tidak pula menyebut jika terdapat sebarang cadangan lain untuk menambah baik sistem kesihatan yang ada selain 1Care yang dibentangkan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Dato Dr Maimunah Hamid pada Februari 2010.

Skim 1Care menerima kritikan daripada banyak pihak berikutan maklumat bahawa skim tersebut akan menjadi mandatori dan menuntut hampir 10% daripada gaji bulanan untuk pembayaran premium skim tersebut. – Roketkini.com

Tanah YBK: Tujuan Najib kelirukan rakyat Selangor

Posted: 15 Mar 2012 01:05 AM PDT

HARAKAH DAILY




KUALA LUMPUR:
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa usaha transformasi gagal kerana Kerajaan Negeri Selangor merampas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) amat tidak bertanggungjawab yang bertujuan menggelirukan rakyat Selangor khususnya.

"Perdana Menteri sedia maklum tindakan ini adalah jalan terakhir yang terpaksa diambil kerajaan negeri selepas banyak peluang diberikan kepada pengurusan YBK kerana tidak membayar cukai tanah dan melanggar syarat-syarat tanah yang ditetapkan," kata Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin (gambar).Katanya, kerajaan negeri perlu bertindak adil kepada semua pihak hatta melibatkan anak syarikat milikan penuh atau agensi di bawah kerajaan negeri.

Jelasnya, YBK yang diberikan tanah secara percuma sepatutnya melunaskan tunggakan cukai tanah dan menggunakan tanah-tanah yang diberikan itu untuk program kebajikan bukan membangunkan dengan projek pembangunan untuk keuntungan kroni-kroni.

"Inilah sikap jijik pemimpin Umno yang tidak pernah mengaku salah sebaliknya menuding jari kepada orang lain," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Perdana Menteri sepatutnya meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana tindak tanduk YBK yang merugikan harta rakyat.

Kerajaan negeri, katanya telah mendedahkan senarai syarikat yang mendapat manfaat daripada projek pembangunan tanah yang diberikan kepada YBK dan akibatnya, kerajaan negeri telah disaman tetapi kemudian ditarik balik oleh YBK.

"Jika dakwaan ini salah, sudah tentu YBK tiada alasan menarik semula saman ini," ujarnya lagi.

Ujarnya, Perdana Menteri sepatutnya menjadi seorang yang jujur seperti mana yang dituntut dalam Islam.

"Beliau tidak boleh berterusan menggunakan taktik menipu rakyat semata-mata untuk menang pilihan raya," ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri telah membantu banyak badan bukan kerajaan (NGO) dengan mendermakan dana atau bantuan lain dan akan sentiasa menyokong usaha-usaha murni mereka.

"Banyak NGO ini yang berjaya membantu golongan memerlukan dan mempunyai aset jutaan ringgit walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan negeri," katanya.

Ini, jelasnya amat berbeza sekali dengan YBK yang mendapat banyak bantuan termasuk pemberian tanah percuma tetapi tiada impak besar kepada golongan sasar sebaliknya golongan kaya yang mendapat faedah.

"Inilah natijahnya apabila badan kebajikan diuruskan orang politik yang berselindung di sebalik kerja-kerja kebajikan," katanya lagi.

Wasatiyyah Najib tak sama dengan cara Rasulullah

Posted: 15 Mar 2012 01:01 AM PDT

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR:
Konsep wasatiyyah yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya menjadi gagasan kerajaan disifatkan sebagai kosmetik semata-mata.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) berkata, kaedah wasatiyyah yang diperkenalkan oleh Najib adalah wasatiyyah ciptaannya sendiri.

Katanya, Perdana Menteri tidak boleh menggunakan perkataan wasatiyyah ketika mengemukakan dasar-dasar dalam negara kerana ia terikat dengan dasar Islam.

"Kaedah wasatiyyah yang sebenar adalah daripada agama Islam itu sendiri, jadi semua prinsip atau pendekatan yang diguna pakai bercanggah dengan Islam tidak dikira sebagai wasatiyyah.

"Jadi PM kena faham bila sebut wasatiyyah mesti rujuk apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, wasatiyyah adalah kaedah yang digunakan Rasulullah yang diterjemahkan oleh baginda di Mekah dan Madinah.

Tegasnya, wasatiyyah yang pernah dilaksanakan oleh masyarakat sehingga kiamat mesti berpaksi pada kaedah yang ditetapkan dalam Islam.

Wasatiyyah yang ditetapkan dalam Islam, katanya terdapat perkara yang boleh dibincangkan dan ada perkara tidak boleh dirunding iaitu yang membabitkan dasar-dasar Islam.

"Jadi kalau kita lihat dua kaedah ini yang dibawa oleh Rasulullah, perkara ini tidak wujud langsung dalam pentadbiran Umno BN hari ini, barangkali ada hanya segelintir sahaja," katanya.

Misalnya, kata beliau, wasatiyyah yang diamalkan oleh Rasulullah membabitkan peraturan, perundangan negara atau dasar yang diamalkan dalam negara.

Justeru katanya, dasar Islam adalah dasar wasatiyyah yang memberi keadilan kepada semua kaum dan agama, jadi apa yang berlaku dalam negara pada hari ini memperlihatkan dasar ini ditolak oleh Umno dengan mengambil dasar lain.

Terdahulu, Najib dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 12 Mac, menegaskan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah sebagai pemangkin kepada Gagasan 1Malaysia.

Ekoran itu, kerajaan telah mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah yang akan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala kerusi wasatiyyah diwujudkan di Universiti Malaya yang akan menjadi pemangkin kepada gerakan kesederhanaan di Malaysia.

Air di Malaysia diguna untuk kayakan individu

Posted: 15 Mar 2012 12:58 AM PDT

Harakahdaily,

(Khalid berucap dalam Forum Air Sedunia di Marseille)


MARSEILLE, Perancis: Menteri Besar Selangor memberitahu Forum Air Sedunia kali keenam hari ini bahawa penswastaan perkhidmatan air di Malaysia gagal kerana telah disalahgunakan untuk memanfaatkan golongan rentier menggunakan kos yang ditanggung pengguna.

Bercakap pada sesi Pihak Berkuasa Tempatan dan Serantau sempena Forum Air Sedunia kali keenam di Marseille, Perancis, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,walaupun terdapat kes kejayaan penswastaan air di peringkat antarabangsa, namun keadaan sedemikian tidak berlaku di Malaysia.

"Ini adalah contoh klasik kegagalan percubaan menswastakan kemudahan awam yang diburukkan dengan dua faktor iaitu pertembungan antara politik dan perniagaan di mana keuntungan kepada individu diutamakan di samping konflik kepentingan politik," kata Menteri Besar.

Beliau menegaskan teori penswastaan tidak salah kerana antara lain bertujuan menggurangkan beban kerajaan dan meningkatkan kecekapan sekali gus menambahkan daya saing,

"Namun di Selangor, syarikat konsesi swasta yang dipilih untuk merawat dan menyalurkan air kepada pengguna tidak mahir dan tidak berpengalaman dalam industri perkhidmatan air. Tanpa suntikan kewangan, syarikat-syarikat ini mula berkompromi dengan kualiti air dan penyampaian perkhidmatan air, memaksa tarif air yang tinggi kepada pengguna," katanya.

"Separuh daripada 13 negeri berdepan kewangan defisit dalam operasi air yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion. Melantik pihak luar untuk menguruskan perkhidmatan industri air bukan saja mengurangkan kecekapan malah soal pembiayaan tidak ditangani sebaiknya," katanya yang menambah, kelemahan syarat perjanjian konsesi juga antara punca kegagalan penswastaan air.

"Perjanjian ini sepatutnya memasukkan fasal secara spesifik dan terperinci mengenai denda kepada konsesi yang gagal mematuhi syarat. Dalam kes kita, penjanjian konsesi sangat lemah. Apabila syarikat konsesi berdepan masalah kewangan, Kerajaan Pusat akan menanggung hutang-hutang ini," katanya.

Beliau berkata, perjanjian antara negeri dan syarikat swasta sepatutnya mengandungi klausa yang melindungi kedua-dua pihak selain butiran terperinci bahawa perbelanjaan modal oleh kerajaan dengan peraturan jelas serta telus berhubung pemberian kontrak untuk projek-projek utama.

"Jelas penswastaan perkhidmatan air di Malaysia banyak silapnya. Persoalan dihadapi kerajaan negeri adalah sama ada penswastaan berkesan dan jika ya, bagaimana melakukannya? Di Malaysia, perkhidmatan air digunakan oleh golongan rentier, pelopor penswastaan tempatan dan pembuat dasar politik menggunakan hubungan yang sedia ada.

Beliau berkata, jalan penyelesaian ialah dengan merawat air secara holistik dan Kerajaan Negeri telah berusaha melakukannya seperti termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang digubal untuk menggabungkan industri air di mana pembubaran penswastaan merupakan satu kemungkinannya.

Walaupun akta ini diluluskan peringkat persekutuan, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional keberatan melaksanakannya ekoran kemenangan mengejut Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

"Apabila tiba masa Kerajaan Negeri membeli saham syarikat konsesi (seperti yang ditetapkan dalam akta), Kerajaan Pusat bertindak balas dengan menunjukkan sikap bermusuhan," katanya.

Menteri Besar menjelaskan Kerajaan Negeri telah membuat tawaran rasmi melalui tiga kali rundingan, tetapi syarikat konsesi menuntut pampasan tinggi bagi penjualan saham serta ekuti dan keadaan ini tiada perubahan sehingga kini.

Beliau menekankan bahawa kepentingan politik menjadi faktor penghalang kepada perubahan ini. Kerajaan Pusat mendesak kerajaan negeri segera membeli syarikat konsesi air sebagai cara penyelesaian holistik, tetapi pada masa sama melanjutkan tempoh pajakan kepada syarikat konsesi ini.

"Walaupun atas nama Persekutuan, kuasa kerajaan negeri telah dinafikan sejak sekian lama. Ini kerana Kerajaan Persekutuan di Malaysia mengawal polisi utama dan ini menambah kesukaran kepada kami sebagai sebuah kerajaan negeri untuk membuat keputusan terhadap sumber yang menjadi milik kami," katanya.

Menteri Besar antara tujuh ketua negeri yang dijemput menyampaikan ucapan pada sesi itu yang bertemakan 'Towards Better Water Governance' yang dihoskan Region United (FOGAR) sempena Forum Air Sedunia.

Ini kali pertama Kerajaan Negeri membangkitkan isu air di peringkat antarabanga selepas lebih dua tahun berunding untuk mengambil alih industri perkhidmatan air. Menteri Besar dijangka berucap mengenai isu yang sama ketika berada di London pada Jumaat ini.

Soalan jawab lisan ahli Parlimen PAS 15 Mac

Posted: 15 Mar 2012 12:52 AM PDT

Harakahdaily,


Berikut adalah soalan-soalan bagi jawab lisan ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini, 15 Mac 2012.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan sumbangan besar kepada Negara dari Kajian Kutub.

Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan perancangan pihak Kerajaan untuk membangunkan dan memperbaiki imej Pasar Chow Kit dan kawasan di sekelilingnya.

Dr. Mujahid bin Haji Yusof Rawa [Parit Buntar] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan berapakah kos yang dibelanjakan oleh Kerajaan dalam menjayakan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan yang diadakan di Parit Buntar, Perak pada 13 hingga 16 Januari 2012 yang lalu.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik jenayah rogol yang berlaku di Malaysia dari tahun 2003 hingga 2011.

Puan Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan kedudukan terkini nasib anak-anak luar nikah di seluruh negara kerana angkanya yang semakin meningkat dan apakah jalan penyelesaiannya.

Beri bukti Najib belanja sendiri majlis peribadi

Posted: 15 Mar 2012 12:50 AM PDT

Muhammad Faizal,

SHAH ALAM: Jingga 13 membuat dua laporan berhubung pembabitan Pejabat Perdana Menteri (PMO) terhadap dua program peribadi Datuk Seri Najib Razak iaitu pertunangan anakanya dan sambutan hari jadi.

Ketua Koordinatornya, Fariz Musa memberitahu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat apabila tiada bukti kukuh menunjukkan ia dibiayai sendiri Najib seperti mana yang dinyatakan oleh PMO mahupun pihak Hotel Shangri-La.

"Apa yang kami perolehi dan mengikut 'Banquet Event Order' (BEO) ia dialamatkan serta dibiayai oleh PMO, walaupun ada penafian dari kedua-dua pihak sama ada PMO mahupun hotel," jelasnya.

Tambahnya, kalau betul ia dibiayai oleh Najib sendiri kenapa pada BEO tersebut meletakkan nama Pejabat Perdana Menteri serta 'Majlis Pejabat Perdana Menteri' dan akaun serta bilnya adalah dihantar ke PMO bukannya atas nama Najib.

"Seperti mana majlis pertunangan anak perempuannya sebelum ini, PMO hanya membuat penafian tanpa disertakan bukti jelas.

"Kita mahu Najib tampil buat pengakuan sendiri terhadap kedua-dua program peribadinya itu bersama-sama dengan dokumen yang kukuh bahawa ia dibiayai sepenuhnya oleh beliau sendiri," katanya kepada media di perkarangan lobi SPRM di sini, hari ini.

Fariz berkata, integriti dan kreadibiliti Najib sebagai Perdana Menteri dipertikaikan oleh seluruh rakyat terhadap sikap yang ditonjolkan bukan sahaja berlaku unsur salahguna kuasa tetapi juga penyelewangan wang rakyat terhadap perbelanjaan mewah peribadi.

"Kalau betul Najib mengeluarkan duitnya sendiri kita ingin tahu dari mana beliau memperolehi wang tersebut yang mencecah setengah juta ringgit.

"Jika ada syarikat mahupun individu yang menaja mereka perlu tampil membuat pengakuan kerana kita tidak mahu dana awam digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan," sambung beliau lagi.

Kontraktor Melayu sokong 4 projek k’jaan negeri

Posted: 15 Mar 2012 12:44 AM PDT

Harakahdaily,


GEORGETOWN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang (PKMMPP) menyatakan sokongan di atas hasrat kerajaan negeri untuk membina empat projek infrastruktur yang dicadangkan.

Projek-projek infrastruktur itu ialah terowong bawah laut 6.5 km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth), jalan 15 km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang, jalan pintas 5 km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintas 5 km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

"Kami sangat mengalu-alukan projek-projek tersebut kerana ia bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang serta akan memacu pembangunan ekonomi negeri, terutamanya di SPU," kata Timbalan Yang Dipertua PKMMPP, Datuk Izham Omar Merican.

Beliau berkata, projek-projek yang dicadangkan itu akan membawa faedah kepada semua rakyat SPU termasuk masyarakat Melayu yang merupakan majoriti di SPU.

Justeru, katanya terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Ajam dengan Gurney Drive akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang kritikal.

Tambahnya, terowong tersebut akan melengkapkan kesalinghubungan di antara Seberang Perai dan Pulau Pinang, kerana Jambatan Pertama berada di SPT manakala Jambatan Kedua akan berada di SPS.

"Hanya SPU masih tidak mempunyai hubungan dengan pulau," katanya di dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, terowong bawah laut itu akan sekaligus memastikan bahawa orang Melayu di SPU akan dapat menikmati pembangunan yang setara dengan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang.

"Tambahan pula, kami yakin bahawa projek-projek ini, khususnya terowong bawah laut, tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang mudarat kepada penghuni-penghuni kawasan-kawasan yang terbabit. Malah, kami rasa ia akan membawa kemajuan kepada mereka," ujarnya lagi.

Beliau menambah, pihaknya juga juga bersetuju dan yakin dengan janji kerajaan negeri bahawa semua prosedur dan peraturan yang berkenaan akan dituruti, seperti proses rundingan umum untuk rekabentuk, pemilihan laluan dan juga kajian kesan alam sekitar.

Beliau berkata, semua proses-proses ini hendaklah dipersetujui terdahulu sebelum kelangsungan projek-projek tersebut.

Menurutnya, sekiranya terdapat masalah yang tampil semasa proses-proses tersebut, dan jika projek-projek tersebut didapati kurang sesuai, maka ia tidak akan dilaksanakan.

"Sungguhpun begitu, kami yakin bahawa semua syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan akan dipatuhi dan diluluskan.

"Justeru, saya ingin menyatakan sekali lagi sokongan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang ke atas projek-projek infrastruktur yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang," katanya lagi.

Gerakan pinggir Ku Li di Gua Musang

Posted: 15 Mar 2012 12:41 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


GUA MUSANG- Legasi Umno Gua Musang di bawah Tengku Razaleigh Hamzah yang kini melewati 43 tahun mungkin tidak mampu bertahan lagi ekoran muncul suara-suara sumbang di bahagian berkenaan kebelakangan ini.

Malah sekarang muncul pihak yang menggelarkan mereka sebagai Kumpulan 16 secara terang-terangan mengharapkan anggota parlimen terbabit berundur.

Anggota Jawatankuasa Umno Gua Musang, Abdul Wahab Yunus tampil mendedahkan perkara itu berkata, sudah sampai masanya Ku Li berundur dan tidak lagi mempertahankan kerusi parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

"Pembangunan Gua Musang bukan lagi hasil usaha Ku Li, tetapi sejak PAS mentadbir Kelantan sehingga kini melewati tahun ke-22 pembangunannya saya lihat lebih pesat.

"Saya tidak nampak lagi apa peranan ahli Parlimen Gua Musang sekarang. Bantuan kerajaan pun lebih banyak disalur agensi-agensi kerajaan pusat seperti Kesedar," katanya ketika ditemui sini.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan Tengku Razaleigh tetap mahu mempertahan kerusi parlimen Gua Musang biar pun tidak dicalonkan Umno.

Hasrat Ku Li itu turut mendapat sokongan Adun Galas, Abdul Aziz Yusof yang juga Setiausaha Umno Gua Musang.

Abdul Wahab yang mendakwa mengetuai ketua-ketua cawangan Umno Gua Musang berkata, Ku Li akan berdepan kesukaran lagi mempertahan parlimen tersebut kerana popularitinya semakin menurun.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Datuk Bazlan Baharuddin pernah dilapor mahu mencabar kedudukan Ku Li pada pemilihan Umno akan datang.

Difahamkan Bazlan juga mendapat sokongan Ketua Wanita Umno Bahagian, Senator Hazani Mohd Noor dan dikatakan bergabung pula dengan bekas Adun Galas, Saupi Deraman.-Harakahdaily

Kenapa media Umno serang saya - Kadir

Posted: 15 Mar 2012 12:36 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


SERDANG- Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, segala kritikannya terhadap kerajaan Umno BN bukan kerana kecewa tidak diberi jawatan, sebaliknya mahu membetulkan apa yang tidak betul dilakukan pemimpin negara.

Menurutnya, pandangan yang diutarakannya jika dikaji secara terperinci, ianya adalah sesuatu yang baik untuk melengkapkan transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malang katanya, media arus perdana yang dikuasai Umno telah memutar belit kenyataannya dan menyerangnya secara berterusan.

"Saya tidak ada sebarang kekecewaan dalam hidup saya, lebih-lebih lagi sekarang ini, saya bahagia.

"Pandangan saya ini sebagai orang lama dalam Umno. 56 tahun dari hidup saya, saya beri kepada Umno. Buat apa ahli Umno duk bedai (bedal) orang Umno (macam saya)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di sini.

Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pilihan raya umum.

Dalam isu agenda Bumiputera pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputera di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, jika beliau mahukan jawatan mahupun projek, itu bukan sesuatu yang sukar kerana yakin pimpinan parti akan membantunya atas menghargai khidmatnya yang lama.

"Saya tak pernah jumpa mereka nak mintak jawatan atau projek.

"Kalau saya nak jawatan, di kemuncak karier saya sebagai menteri, saya berhenti buat apa, munasabah ke," soalnya.

Nafi beli undi

Dalam pada itu, bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi itu juga turut kesal kerana dituduh membeli undi dari pengundi di kawasan parlimennya di Kulim Bandar Baharu.

Sambil menyifatkannya sebagai fitnah, beliau juga menafikan pernah mendakwa penduduk di parlimen itu perlu dibeli untuk mendapat undi.

"Saya sensitif jika ini dikaitkan dengan kawasan parlimen yang saya wakili selama 30 tahun. Bukan sahaja ahli Umno malah seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau fahaman politik ibarat manusia intan permata dan tersangat mulia.

"Kami di Kulim Bandar Baharu tidak pernah dan tidak perlu membayar wang untuk membeli undi sama ada semasa pemilihan parti ataupun pilihan raya umum," tegasnya bersungguh.-harakahdaily

Kesatuan pekerja MAS bertindak membawa isu MAS-AA ke Parlimen

Posted: 15 Mar 2012 12:32 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR — Kesatuan dan pertubuhan yang mewakili pekerja Penerbangan Malaysia (MAS) bercadang membawa usul melupuskan perjanjian usahasama antara MAS dengan Air Asia ke Parlimen ekoran perjumpaan dengan Perdana Menteri bulan lepas.

Tindakan tersebut akan mengetengahkan kepentingan politik yang tertera dalam perjanjian antara bekas pesaing, AirAsia dan MAS, di mana kesatuan mendakwa majoriti ahli kesatuan kini beralih kesetiaan kepada pihak pembangkang kerana ketidakpuas hatian terhadap perjanjian usahasama yang dimeterai.

Setiausaha Umum Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU) Abdul Malek Ariff telah memberitahu The Malaysian Insider mereka akan menghantar memorandum sama yang telah diserahkan kepada Datuk Seri Najib Razak menentang pakatan MAS-AA kepada ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat (PR).

"Langkah seterusnya adalah untuk bertemu YB-YB di Parlimen," beliau berkata.

Abdul mendedahkan bahawa Najib, semasa perjumpaan selama sejam dengan kesatuan, telah menyatakan beliau bersimpati dengan keluhan ahli kesatuan, namun perdana menteri belum lagi memberikan kata pemutus.

Pemimpin kesatuan itu turut mendakwa berikutan perjumpaan itu, perdana menteri telah membuat panggilan kepada pengerusi MAS, pengarah besar dan pegawai Khazanah Nasional Berhad tentang aduan bersama yang dibuat pekerja. Telah difahamkan bahawa pengarah besar Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar telah berjumpa dengan Najib tentang aduan pekerja itu.

Abdul berkata MASEU bercadang untuk mendesak wakil-wakil politik untuk menghentikan kerjasama MAS-AA kerana "tidak adil" kepada MAS, dan turut menambah bahawa perjanjian itu telah menerima tindakbalas negative daripada ahli kesatuan.

"Apabila Cawangan Khas (SB) memanggil saya bertanyakan bagaimana pekerja MAS akan mengundi kelak, saya kata dulu 50:50 tapi kini 90 peratus akan memilih pembangkang, " katanya. "Bila bercakap dengan para pekerja, mereka semua mengeluh tentang kerajaan."

MASEU, organisasi yang berpusat di Semanjung, mempunyai lebih 7,000 pekerja namun Abdul berkata tujuh lagi kesatuan dan pertubuhan mewakili pekerja MAS, pengurus dan juruterbang termasuk daripada Sabah dan Sarawak juga diwakili dalam memorandum, membawa kepada jumlah 13,000 hingga 14,000 pekerja.

Abdul berkata isu utama bagi ahli kesatuan adalah mereka "tidak percayakan" AirAsia.

"Perundingan pekerja sudah parah apabila kepercayaan sudah tidak wujud," beliau berkata.

Antara rungutan yang diketengahkan MASEU termasuk cadangan memotong gaji dan faedah pekerja sehingga 30 peratus dan kemasukan bekas pekerja AirAsia mengambil alih jawatan penting MAS.

The Malaysian Insider melaporkan pada 9 Mac bahawa Putrajaya akan mengkaji semula kerjasama berusia lapan bulan antara MAS dengan AirAsia setelah ia gagal menunjukkan sebarang kemajuan mahupun menaikkan semangat pekerja seramai 20,000 orang di penerbangan yang mencatat kerugian RM2.52 billion dalam 2011.

Kerajaan turut mempertimbangkan menswastakan MAS dengan mengarah pengurus asset negera Khazanah untuk membeli balik 20.5 peratus kepentingan saham yang diberi kepada Tune Air Sdn Bhd, pemilik majoriti Air Asia, yang ditukarkan dengan kepentingan 10 peratus dalam AirAsia.

Khazanah dan Tune Air telah bersetuju kepada pertukaran saham itu Ogos lepas, setelah empat percubaan memeterai perjanjian antara MAS dan AirAsia gagal.

Bank CIMB milik Khazanah menjadi penasihat dalam perjanjian itu, yang dilihat sebagai percubaan terakhir menyelamatkan MAS walaupun telah berlakunya program bantuan dalam 2001 yang dirancangkan badan perunding BinaFikir Sdn Bhd.

MAS mencatatkan kerugian tahunan paling besar pernah dialami, RM2.52 billion, bulan lepas, menyebabkan CEO MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata penerbangan itu menghadapi "krisis".

Penerbangan itu berkata kerugian disebabkan kenaikan harga minyak, yang naik daripada US$95 setong pada 2010 ke US$133 setong dalam 2011.

Kerugian diluar jangkaan itu juga disebabkan peruntukan "one-off" seperti penghantaran semula kapal terbang, kemerosotan nilai kapal pengangkut dan stok lapuk.

MAS bercadang untuk memuktamadkan dan mengumumkan rancangan mendapatkan dana dan mengukuhkan lembaran imbangan

Rancangan itu penting kerana penerbangan itu berhasrat mendapatkan 23 kapal terbang baru yang akan membawa kos kira-kira 6 billion.--The Malaysian Insider

Pakatan beri amaran berlaku undi rosak jika pengiraan awal dihentikan

Posted: 15 Mar 2012 12:30 AM PDT

Oleh Shazwan Mustafa Kamal



KUALA LUMPUR — Cubaan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menghentikan pengiraan awal kertas undi dalam pilihan raya akan datang berkemungkinan menyebabkan berlakunya undi rosak, demikian menurut pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan "tergesa-gesa" suruhanjaya berkenaan dengan menegaskan perkara itu tidak seharusnya dilaksanakan tanpa berbincang dengan parti politik dan pemerhati pilihan raya Bersih 2.0.

"SPR sedang merancang untuk berlakunya kerosakan besar terhadap pengundian di dalam negara. Sistem sedia ada sudah berkesan, mengapa perlu mengubahnya?" kata Ahli Parlimen DAP Charles Santiago kepada The Malaysian Insider.

Beliau menuduh SPR cuba menggangu proses pengundian, dan berkata tiada bukti berlakunya perubahan corak mengundi sekiranya pengiraan awal dibuat.

"Perkara ini perlu dibincangkan dengan mereka yang terlibat. Turut dipersoalkan adalah soal ketelusan. Bagaimana kita akan tahu yang undi tersebut tidak dirosakkan?" soal Ahli Parlimen Klang ini.

Kecanggihan teknologi Komunikasi seperti Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan media baru telah menyebabkan berlakunya kebocoran awal maklumat keputusan pilihan raya menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil keputusan untuk menghentikan sebarang pengiraan undi lebih awal untuk pilihan raya akan datang.

SPR mendapati perkara itu berlaku ketika pilihan raya di Sarawak April lalu, dan menjelaskan tindakan itu akan memberikan kesan terhadap pusat pengundian kecil di Sabah dan Sarawak yang ditutup awal kerana jumlah pengundi yang sedikit.

Timbalan Pengarah SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) mengingatkan bahawa pemberitahuan awal terhadap keputusan pilihan raya adalah "salah" di sisi undang-undang dan hanya pihaknya dibenarkan untuk mengumumkan keputusan penuh pilihan raya.

Namun begitu, Naib Presiden PKR Fuziah Salleh menjelaskan beliau memahami maksud SPR tersebut, terdapat lagi "kerisauan" bahawa akan berlakunya undi rosak sekiranya tindakan tersebut dilaksanakan.

"Tindakan itu disasarkan untuk kawasan pengundian, pusat pengiraan undi, dengan populasi yang rendah, kawasan pedalaman, yang ditutup pada jam 2 petang kerana kurang bilangan pengundi.

"Tapi, pengiraan dibuat selepas atau sebelum peti undi di bawa ke pusat pengundian? Bagaimana kita hendak memastikan sama ada pengiraan itu sah?" katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata agen pengundian PR dan Barisan Nasional (BN) harus hadir bagi menjadi saksi kepada pengiraan undi yang harus dilaksanakan sebaik sahaja proses mengundi tamat pada jam 5 petang.

"Mereka harus mengira undi tersebut sebelum membawanya ke pusat pengiraan undi," tambahnya.

Tambahnya, perkara itu akan mempengaruhi corak pengundian dan mengganggu proses pilihan raya sekiranya parti-parti politik menyambut kemenangan awal mereka sedangkan pengundi di kawasan lain masih lagi membuang undi.

"Sepatutnya calon ini menang dalam peti undi tertentu, dan agen yang mengira undi tersebut memberikan jumlah tersebut melalui SMS ... kemudian pemimpin parti, tanpa mengendahkan peti lain masih lagi menjalankan proses pengundian telah mengumukan kemenangan mereka.

"Perkara seperti ini bertentangan dengan undang-undang keana pengumuman hanya boleh dibuat setelah keseluruhan peti undi dikira," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof di Kota Kinabalu semalam berkata bahawa pengiraan awal kertas undi tidak akan dibenarkan ketika pilihan raya umum depan.

Menurut laporan The Star Online, Abdul Aziz berkata pihaknya telah mengesan terdapatnya individu yang menjadi agen kepada calon membocorkan maklumat awal melalui SMS ataupun Twitter.

Wan Ahmad menjelaskan, keputusan itu dibuat setelah mengalami "beberapa pengalaman buruk" sewaktu pilihan raya di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, sesetengah kawasan pengundian di Malaysia Timur ditutup awal sekitar 1 petang dan SPR membenarkan pengiraan boleh dimulakan pada jam 2 petang.

"Tetapi, satu atau dua pemimpin parti berhasrat untuk bercakap kepada media ... malah mereka telah mengumumkan kemenangan mereka, termasuk majoriti sekali.

"Matlamat mereka hanyalah untuk mengganggu moral lawan, namun ini juga merupakan gangguan terhadap pengundi yang masih lagi mengundi," katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, SPR hanya akan membenarkan pengiraan undi dibuat pada jam 5 petang selepas semua proses pembuangan undi di pusat pengundian tamat.

"Kami tidak mahu kesilapan ini berulang lagi. Kami akan kembali kepada kaedah lama, iaitu pengiraan undi hanya selepas selesai proses pengundian," katanya.

Menurut Wan Ahmad, perubahan itu hanya melibatkan pindaan terhadap undang-undang SPR.

Pengarah NFCorp keluarkan RM12 juta daripada dana awam dakwa DAP

Posted: 15 Mar 2012 12:27 AM PDT


Ketua Publisiti DAP Tony Pua. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — DAP hari ini mendedahkan dokumen yang menunjukkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah mengeluarkan RM12 juta daripada RM250 juta pinjaman mudah untuk skandal projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Ketua Publisiti DAP Tony Pua, merujuk kepada audit syarikat keluarga tersebut Global Biofuture yang berpangkalan di Singapura menjelaskan suami Shahrizat Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak mereka berhutang sejumlah RM12 juta kepada syarikat berkenaan.

Menerangkan hubungan antara Global Biofuture dan NFC, Pua mendakwa syarikat itu adalah salah satu syarikat yang diuruskan oleh keluarga Shahrizat daripada dana RM250 juta.

Kenyataan itu dikemukakannya berdasarkan RM19 juta hutang kepada syarikat lain yang dikaitkan dengan keluarga Ketua Wanita Umno itu seperti yang dinyatakan oleh audit Global Biofuture pada 31 Disember 2010.

"Kami mempunyai sebab kukuh yang percaya Global Biofuture adalah sebahagian daripada 'keluarga Shahrizat' termasuk beberapa syarikat lain seperti National Meat and Livestock, Real Food Company dan Meatworks, yang kesemuanya daripada pinjaman RM250 juta," katanya.

Pembangkang sebelum ini telah membuat dakwaan bahawa RM81 juta pinjaman yang diberikan kepada Pusat Fidlot Nasional (NFC) dipengerusikan oleh Salleh untuk mengusahakan NFC telah di pindahkan terhadap syarikat tersebut.

"Tiada sebarang penafian terhadap pengarah yang telah mengeluarkan dana hampir RM12 juta secara langsung daripada Global Biofuture. Saya merasakan RM12 juta itu diambil daripada pinjaman NFC," kata Pua kepada The Malaysian Insider.

Salleh tidak mengaku salah Isnin lalu atas dakwaan pecah amanah dan pelanggaran Akta Syarikat terhadap RM49 juta dana kerajaan yang diberikan kepada NFCorp yang telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) terpaksa menghadapi serangan memandangkan pilihan raya semakin hampir.

Shahrizat Ahad lalu telah mengumumkan untuk tidak menyambung jawatan di Kabinet sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Beliau bagaimanapun akan meneruskan tugas sebagai Ketua Wanita Umno walaupun telah lebih empat bulan setengah menerima tekanan berhubung skandal NFC.

NFC telah menajdi topik hangat selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati projek berkenaan gagal menepati sasaran.

Polis turut mencadangkan kepada Peguam Negara supaya membuat pendakwaan terhadap pengarah NFCorp atas kesalahan pecah amanah, namun Peguam Negara mengarahkan pihak berkuasa berkenaan supaya menjalankan siasatan terperinci terhadap Mohamad Salleh.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini turut mengedarkan salinan yang didakwa audit yang menunjukkan Global Biofuture telah memperolehi S$2.94 juta (RM7.08 juta) sejak enam tahun terakhir 2010.

Tapi 97.6 peratus S$2.87 juta (RM7.08) daripada keuntungan adalah untuk "entiti berkaitan dengan pengarah."

"Persoalan yang timbul adalah mengapa pengarah mewujudkan syarikat yang mana menjalankan perniagaan untuk diri mereka sendiri," katanya.

Tiada ulasan: