Rabu, 14 Mac 2012

.

.


Ulasan Berita

Posted: 14 Mar 2012 01:55 AM PDT

Apakah Dakwaan Abu Bakar Ada Kena Mengenakan Dengan RM700 Juta?

Apakah dakwaan oleh Abu Bakar Hassan berhubung tindakan Tabung Haji (TH) dikatakan telah menganiayakan usahawasan Bumiputera ada kena mengena dengan pendedahan rambang yang saya buat menerusi blog ini beberapa minggu lalu yang mana TH bakal kehilangan wang pendeposit bakal haji sebanyak RM700 juta apabila syarikat yang dijamin gagal atau mengalami kerugian.

Katanya wang pendeposit itu bila-bila masa sahaja akan dikeluarkan hanya menanti pihak bank menuntut dari TH. Syarikat yang dijamin TH katanya sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup.

Pihak TH tidak membuat sebarang penafian ke atas pendedahan itu, hanya diam membisu saja. Menteri yang menjaga urusan TH yang dikaitkan dengan wang zakat juga tidak 'berketek' – diam membisu, nafi pun tidak mengiya pun tidak.

Semalam seorang pengarah syarikat yang mendapat projek dari TH Abu Bakar mendedahkan bagaimana TH telah menganiaya usahawan bumiputera bila mana TH meluluskan projek itu kepada syarikat bukan milik Islam.

Kata Hasan mulanya projek untuk membangunkan sistem giliran beraturan untuk urusan kaunter asalnya dianugerahkan kepada salah satu syarikat TH, Tetha Edge Berhad.

Bagaimana pun syrikat itu tidak membangunkan sendiri tetapi diberikan kepada syarikat milik bukan orang Islam. Beliau menyifatkan pemberian itu sebagai pecah amanat dan khianat. Umum tahu pendeposit dalam TH adalah orang Islam yang menyerahkan wang mereka untuk diurus dan ditabirkan secara Islam.

Tindakan itulah juga didakwanya perbuatan yang menganaktirikan syarikat milik orang Islam, sedangkan syarikat beliau sendiri, Virtual Softnet Solutions Sdn Bhd mampu menjalankan projek tersebut.

Sehubungan itu Abu Bakar membuat pededahan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk menanganinya. Kalau boleh PPIM juga patut menyiasat dakwaan rambang oleh sumber dalaman berhubung TH bakal kehilangan RM700 juga. Penyiasatan jangan ditangguh-tangguhkan tetapi perlu disegerakan. [wm.kl.5:00 pm 14/03/12]

Susupan Petang

Posted: 13 Mar 2012 10:24 PM PDT

Isu SBPA Jelaskan Kelemahan Najib

Di Parlimen
semalam Mahfuz Omar membangkitkan perihal SBPA yang telah berkuat kluasa 1 Januari lalu kemudian dibatalkan dan diganti semua dengan SSB dengan sedikit pembaikian. Koner balik kata orang. Mahfuz ingin tahu macam mana boleh jadi demikian, membatalkan semula setelah ia dilaksanakan.

Mahfuz juga ingin tahu apa jadi dengan 26 orang Ketua Setiausaha Kementerian yang pun diarah bersara dan sudah mendapat nikmat gaji baru yang diperkenalkan menerusi SBPA itu. Apa yang menghairankan Mahfuz kenapa saraan gaji itu jadi sorong tarik.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menarik perhatian isu gaji pegawai perkhidmatan awam itu juga seperti mahu mempersendakan Yang Dipertuan Agung bila mana sesuatu yang sudah ditanda tangani Agung dibatalkan begitu saja. Kesilapan sebegitu tidak sepatutnya berlaku.

Selain itu Mahfuz juga ingin tahu macam mana atau apa makenisme untuk kerajaan mengambil balik wang yang sudah dibayar kepada 26 orang pegawai primer itu? Malangnya Najib tidak menjawab persoalan penting dibangkitkan oleh Mahfuz.

Apa yang dijawab Najib dengan menempelek Mahfuz dengan mengatakan, pembangkang hendak jadi juara kepada 26 orang pegawai itu manakala kerajaan memikir kepada nasib ribuan pegawai lain.

Isunya di sini bukan Mahfuz hendak bela sesiapa, dan keputusan membatalkan semula SBPA itu satu tindakan yang baik. Kalau tidak dibatalkan sudah pasti pegawai kerajaan akan memboikot UBN. Umum sudah dapat baca kesilapan itu boleh menimbulkan masalah kepada UBN. Jadi untuk mengatasi itu maka ia ditarik balik walaupun boleh menjejaskan wibawa Agung.

Tetapi apa yang hendak diketahui ialah macam mana kerajaan boleh membolak balik keputusannya. Kerajaan macam budak-budak yang boleh mengubah kata-kata dan keputusannya. Pembatalan itu atau pun kurang cermat memberi kebenaran untuk membuat semakan saraan hidup (gaji) itu menunjukkan kelemahan kerajaan. Dalam hal ini menjelaskan kelemahan Najib sebagai perdana menteri.

Jarang berlaku dalam sesebuah kerajaan perdana menteri melakukan kesilapan ketara begitu yang boleh menjejaskan wibawanya sebagai pemimpin. Isu SBPA ini telah membuktikan akan kelemahan Najib sebagai perdana menteri. Yang boleh disimpulkan Najib kurang berhati-hati dalam menilai apa-apa keputusan yang dibuat atas arahannya. Keduanya, Najib dengan senang boleh dieksploitasikan oleh pihak tertentu.

Hal-hal penting seperti kajian atau semakan gaji itu perkara besar yang melibatkan perdana menteri secara langsung. Sebelum bersetuju untuk dilaksanakan perdana menteri perlu semak dan menghalusinya sedalam mungkin. Apa lagi sebelum ia ditanda tangani oleh Agung. Benar juga permasalahan ditimbulkan oleh Mahfuz itu cara SBPA dilaksana kemudian ditarik balik telah mempersendakakan Agung. Seolah-olah Najib menghidangkan sesuatu hidangan yang belum masak untuk santapan Agong.

Dari sudut ini sama ada SBPA diteruskan atau tidak ia menjelaskan kelemahan besar Najib sebagai perdana menteri dan apa-apa perubahan yang dibuat bukan atas dasar kebaikan rakyat dan negara tetapi demi masa depan UBN. [wm.kl.1:36 pm 14/03/12]

Catatan Perjalanan

Posted: 13 Mar 2012 05:44 AM PDT

Empangan Bukit Kwong
Keindahan Yang Tak Dimanfaatkan


Adakalanya
kita terlupa atau pun tidak perasaan kepada keindahan alam sekitar di tempat kita. Kita mudah terpegun dengan keindahan ataupun kecantikan kampung halaman orang lain atau orang asing walaupun ianya tidak seberapa mana.

Sikap ini juga terjadi kepada diri saya. Saya terlupa dan hampir tidak mengingati langsung kepada Bukit Kwong di Padang Bukit di Rantau Panjang.

Di sini ada sebuah tasik besar yang kini menjadi empangan. Empangan ini dibawah seliaan Jabatan Parit dan Saluran (JPS) Kelantan. Tidak ada catat sejarah bagaimana empangan ini terbentuk. Tiada pula lagenda atau mitos mengenai empangan ini di ceritakan orang tua-tua. Tidak terdengar di tasik ini ada misteri tertentu.

Tetapi yang jelasnya ia wujud sejak lama dulu. Masa remaja saya selalu bersiar-siar di empangan ini.

Tiada catat rasmi mengenai empangan ini. Masa saya semakan geoogle tidak terdapat banyak gambar empangan ini yang dimasukkan. Ini menunjukkan empangan ini tidak menjadi daya tarikan ramai. Tidak diketahui berapa kedalamannya dan keluasanya. Fakta-fakta asas mengenai tiada langsung.

Dulu empangan Bukit Kwong ini tiada apa-apa yang menarik selain dari keasliannya. Ia hanya menjadi tumpuan kaki pancing atau pun penangkap ikan. Musim tungkuh ramai yang ke empangan ini memuakat, mejala dan marawai ikan. Berbagai jenis ikan sungai seperti toman, haruan, baung dan sebagainya mendiami empangan ini.

Semasa menghadiri majlis kenduri anak buah di Padang Bukit Sabtu lalu saya menyempatkan diri untuk melihat empangan berkenaan dan mengutip jejak-jejak rindu di masa remaja. Sudah lebih 30 tahun saya tidak menjengoknya.

Begitu melihat empangan berkenaan alangkah terkejutnya saya. Saya tidak percaya apa yang terbentang di hadapan masa saya ialah sebuah empangan yang terletak di negara ini apa lagi Rantau Panjang.

Menakjubkan, itulah yang terdetik di hati saya. Keluasannya sejauh mana memandang menjadikan terasa ia bukan Bukit Kwong yang saya saksi 30 tahun lalu. Air yang jernih dismbah awan membentuk dua dimensi yang merujakan perasaan. Dari kejauhan pula kelihatan sayup-sayupan bukit bukau yang seolah-olah mengeliling empangan.

Rupa empangan itu sudah diperindahkan dengan binaan tembok sebagai benteng. Kawasan empangan ini juga saya rasakan semakin luas. Dulu ada dataran di tasik yang boleh dijadikan padang untuk bermain bola ataupun diadakan apa-apa majlis keramaian ataupun pesta.

Sesuatu yang lebih bererti mungkin boleh difikirkan macam mana untuk manfaatkan empangan ini melewati apa yang ada sekarang ini. Apa kata kalau ia diusahakan untuk dijadikan pusat tarikan pelancong. Mana-mana pelancongan yang memasuki pekan Rantau Panjang boleh dibawa mengunjungi empangan berkenaan.

Untuk menjadi daya tarikannya mungkin bolreh diwujudkan pusat membeli belah atau penjualan barang keraf tangan Kelantan di sekitar empangan berkenaan. Jabatan Kebudayaan atau agensi lain juga mungkin boleh memikirkan untuk mengadakan pesta tahunan di empangan berkenaan. Misalnya kerajaan Kelantan menerusi agensi tertentu boleh berusaha mewujudkan pesta tradisional di situ yang tidak bercanggah dengan syariat.

Bila adanya pesta tahunan itu disitu menjadikan empangan Bukit Kwong akan lebih dikenali lagi. Dan sekiranya berkemampuan pesta air juga boleh diadakan di empangan itu, seperti lumba kayak, boat dan sebagainya.

Sayang kalau empangan yang indah dan mendamaikan perasaan itu tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Sekiranya empangan itu dimajukan sebagai pusat pelancongan ia juga boleh mengatasi masalah sosial yang dikatakan berlaku di sekitarnya di mana kini ia menjadi tempat remaja berpelesaran di dalam semak samun berdekatan empangan itu. [wm.kl.12:46 t/hari 14/03/12]

Ulasan Isu

Posted: 13 Mar 2012 05:11 AM PDT

Sejauh Mana Kesan Pemberian BR1M RM500

Di Parlimen hari ini Ha Najib Razak memberi tahu sebanyak RM1.92 billion wang rakyat yang diuruskan kerajaan di bawah bantuan BR1M telah diagihkan kepada 3.8 juta isi rumah sejak 1 Mac lalu. Wang itu bukan wang Umno tetapi wang rakyat.

NONESejak 1 Mac sebanyak 4.78 juta permohonan diterima dan setakat ini 3.74 juta diluluskan dimana kira-kira 80 peratus.

Permohon yang tidak berjaya dengan pelbagai sebab sebanyak 972,000 atau 20 peratus.

Pemberian bantuan seumpama itu RM500 untuk satu keluarga itu pertama kali dilakukan kerajaan. Justeru ada yang beranggapan ia adalah umpan politik UBN untuk memancing rakyat. Apa lagi pemberian itu dilakukan saat-saat perlimen hendak dibubarkan.

Bagaimana pun Najib menafikan yang ia adalah pemberian politik. Katanya untuk masa akan datang kalau kerajaan mampu, pemberian itu akan diteruskan. Tidak ada siapa yang menerima penafian Najib itu. Bercakap atau memberi tahu budak-budak mungkin boleh, tetapi tidak bagi mreka yang boleh berfikir.

Melihat kepada cara dan kaedah pemberiannya jelas menunjukkan ia adalah pemberian politik. Mereka yang mendapat bantuan itu terlebih dahulu dipanggil ke majlis tertentu dan mendengar ceramah politik orang Umno memburuk kerajaan. Setengah majlis memakan masa sehari suntuk di mana orang kampung dikurung untuk mendengar dakwah Umno terhadap pembangkang.

Wang itu yang disediakan menerusi peruntukan khas dari Bajet 2012 adalah bertujuan untuk menarik perhatian rakyat supaya memilih UBN. Kalau bukan kerana motif politik kenapa ia dibuat pada waktu ini?

Persoalnya sejauh manakah bantuan wang rakyat itu menguntung dan memberi kesan baik kepada UBN? Atau pun pemberian bantuan itu seperti mencurah air ke daun keladai sahaja.

Kebetulan dua hari lepas saya berada di kampung dan memasuki dua buah kedai kopi yang menjadi 'parlimen' orang kampung. Antara topik yang dibicarakan ialah mengenai pemberian wang RM500 itu. Saya bertanya langsung kepada mereka apakah dengan penerimaan wang itu mereka akan undi UBN dalam pilihan raya akan datang.

Mengejutkan saya bila mana ada yang menjawab wang itu tidak ada kena mengena dengan Umno. Kata mereka wang itu wang kerajaan yang mereka faham ia adalah wang mereka juga. Adapun Umno yang sibuk-sibuk menyampaikan wang itu hanya menangguk di air keruh saja. Kata mereka Umno tidak ada wang.

Berdasarkan hakikat itu katanya wang RM500 itu bukan bayaran kepada mereka untuk mengundi UBN. Walaupun semasa mendengar taklimat dan ceramah sebelum wang itu disampaikan ada pemimpin Umno berpesan agar mengenang budi kerajaan (Umno), namun mereka tidak mudah akur kepadanya.

Yang lebih memeranjatkan lagi ada kalangan mereka menyatakan keyakinan kalau Pakatan Rakyat menjadi kerajaan mungkin wang bantuan untuk rakyat lebih besar lagi. Mendengar cakap-cakap di kedai kopi kalangan penerima itu dapat disimpulkan pemberian RM500 itu tidak memberi kesan besar kepada UBN dalam pilihan raya nanti.

Rakyat juga sudah cerdik apa-apa habuan yang mereka terima dari atas saluran politik tidak semestinya mereka berterima kasih dan mengenang budi kerana hal-hal seperti itu mereka anggap satu tanggungjawab yang akan dilakukan oleh sesiapa sahaja yang berkuasa. [wm.kl.8:40 pm 13/03/12]

Renungan Senja

Posted: 08 Mar 2012 10:24 PM PST

Macam Mana Dengan Inchek Ibrahim Ali

Dalam kubang politik bila disebut nama Pasir Mas orang akan ingat kepada Inchek Ibrahim Ali yang menang dikerusi parlimen itu atas tikit Pas. Persoalan yang timbul kini atas tikit apakah pula dia akan bertanding untuk mengekalkan kerusi berkenaan. Tikit Pas sudah pasti tidak, tikit PKR dan tikit DAP jauh panggang dari api.

Bagi DAP baik bubuh kerbau daripada Ibrahim di Pasir Mas kalau Ibrahim teringin mahukan DAP.

Manusia Ibrahim ini dia tidak akan peduli apakah ideologi sesebuah parti itu. Bagi orang yang tidak ada moral dan prinsip berparti dia tidak kisah. Baginya yang penting asalkan dia mendapat kemenangan. Sebelum ini Ibrahim adalah ahli Umno, dia juga menjadi ahli Semangat 46, sebelum dari itu dia juga adalah ahli kepada Berjasa. Dalam pilihan raya lalu dia melakukan 'koner baring' dengan bertanding atas tikit Pas.

Semua jalan-jalan dilalui Inchek Ibrahim menghasilkan natijah dikehendakinya. Dalam Umno dia menang walaupun dalam parti ini juga dia kalah. Dengan menggunakan tikit Pas dia juga menang.

Jadi macam mana nasib Ibrahim kali ini? Apakah dia akan berakhir, dan akan menendang saka dalam pilihan raya ke-13 ini. Ibrahim kena tahui bahawa angka 13 adalah sial bagi orang Cina. Apakah angka ini membawa sial dan majal kepadanya? Ibrahim juga merupakan seorang politik yang mengambil kira soal-soal angka ini.

Dia katanya kini sedang berusaha untuk mendapat restu UBN untuk bertanding di Pasir Mas. Katanya dia tidak mengharap akan dapat bertanding atas tikit BN kerana dia dipecat seumur hidup kerana telah menentang UBN dalam pilihan raya 2004. Jadi apa yang diharapkan UBN akan memberi laluan seperti mana Pas lakukan 2008. Apakah dia akan bertanding atas tikit bebas untuk mencatat sejarah bahawa lambang bebas juga akan memberi kejayaan kepadanya?

Sebab itu dia kini cuba mengendurkan gendang gedebenya biar sesuai dengan tarian UBN. Dia sudah puja dan puji Najib Razak semula. Bukan saja setakat Najib Rosmah juga katakan dia telah cium tangan basuh kencing Rosmah. Semua itu dilakukan Inchek Ibrahim Ali demi survival politiknya.

Semasa Najib ke Kelantan baru-baru ini dia sibuk, 'bersigalan' menanti kehadiran Najib. Inchek Ibrahim pandai dan tebal muka, dia cuba adjust juga untuk duduk sepentas dengan Najib. Orang tebal muka sepertinya akan dapat apa yang dikehedakinya. Katanya dia dapat duduk sepentas dengan Najib tetapi tidak mendapat sorotan televisyen.

Umno Pasir Mas katanya sudah surender kepada Ibrhaim Ali. Ketua bahagian Hanafi Mamat dikatakan sedia memberi laluan kepada Ibrahim. Sebagai pertukarannya Hanafi akan bertanding di Dun Tendong, di mana Dun yang dianggap sebagai kubu Ibrahim Ali. Mungkin ada jaminan dipihak Ibrahim untuk kemenangan Hanafi dengan syarat, Hanafi memberi laluan kepada Ibrahim di kerusi Parlimen Pasir Mas.

Apakah formula itu berlaku di antara keduanya sahaja? Kalau formula itu hanya berlaku di antara mereka berdua sahaja ia tidak mudah untuk menjadi kenyataan yang boleh membawa kejayaan kepada kedua-dua pihak. Pasti kena ada konsensus dengan semua pihak dalam Umno di Pasir Mas dengan Ibrahim.

Hanafi mungkin merasa selesa kerana kedudukannya selamat. Apa pula dengan orang lain yang juga mencari peluang untuk menang? Apakah mereka akan sedia akur dengan kehendak Hanafi itu dan sedia pula untuk mengundi Ibrahim?

Apakah bekas Adun Tendong Fauzi Mohamad akan merelakan begitu saja. Bolehkan dijamin Hanafi akan selamat di Tendong? Perlara ini Hanafi harus mencongakkan sebaik mungkin. Jangan pula dia tertipu hidup-hidup oleh Ibrhaim Ali. Logiknya Fauzi Mohamad tidak akan mudah untuk menerima kehadiran Hanafi ke dalam kawasannya. Pasti akan berlaku cantas mencantas di sini. Hanafi merupakan musuh Fauzi begitu juga sebaliknya.

Demikian juga di peringkat Kuala Lumpur. Najib Razak sedang berfikir apakah implikasi kalau UBN beri laluan kepada Ibrahim di Pasir Mas. Sebelum sudah ada seorang pemimpin UBN berkata, mereka akan keluar dari Barisan Nasional (BN) kalau Najib memberi laluan kepada Ibrahim atas tikit BN. Mungkin kata-kata itu boleh dianggap sebagai ugutan semata-mata tetapi ia tidak mustahil menjadi kenyataan.

Orang Cina tidak boleh menerima cara dan stail Ibrahim berpolitik. Ibrahim dianggap sebagai rasis dan Melayu yang redikal. Walaupun dia sudah cuba berbaik dan menjinaki kaum Cina dengan memberi angpaw dalam sampul putih tetapi tektik itu tidak begitu berkesan. Orang Cina tidak mudah termakan dengan bujukan Ibrahim Ali. Mereka tidak mudah dapat disihirkan Ibrahim dalam tempoh satu malam.

Inilah yang sedang difikirkan oleh Najib sekarang ini. Najib sedang menghitung dan menimbang mana lebih untung ambil Ibrahim tetapi mengenepikan perasaan Cina, atau menjaga perasaan Cina mengenapikan Ibrahim. Dalam hitungan umum Najib akan dapat laba besar kalau dia menjaga hati Cina dan sedia mengecewakan Ibrahim Ali. Apa lagi pengaruh Ibrahim di Pasir Mas tidak sebesar mana pun. Ibrahim hanya ada penyokong setiap kira-kira 3,600 orang sahaja di Pasir. [wm.kl.7:16 pm 13/03/12]

Tiada ulasan: