Isnin, 12 Mac 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Kes Jenayah Peguam Negara : KEADILAN Failkan Usul Tergempar

Posted: 11 Mar 2012 11:12 PM PDT

KUALA LUMPUR 12 Feb: Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, beliau akan memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membincangkan dakwaan jenayah yang membabitkan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, seperti yang dinyatakan dalam laporan Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini menyiarkan kes luar biasa yang didakwa membabitkan bekas polis paling berkuasa di negara ini, seorang peguam negara dan juga tokoh kongsi gelap lima tahun lalu.

Dokumen itu mendedahkan maklumat yang dibekalkan oleh beberapa pemberi maklumat sehingga tertangkapnya 'ketua' kongsi gelap Johor, Goh Cheng Poh atau juga dikenali sebagai Tengku Goh pada 2007.


Dokumen yang sama itu digunakan bagi memalitkan enam pegawai polis yang menyiasat kes itu.

Sesi kelima Parlimen ke-12 bermula hari ini dengan spekulasi bahawa ia adalah sidang yang terakhir sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Sivarasa berkata, usul itu akan difailkan pada Rabu ini di bawah Perintah Tetap 18 (1) yang membolehkan Parlimen untuk membincangkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam dan bersifat segera dan khusus.

"Pendedahan mengejutkan dalam laporan Malaysiakini memenuhi semua keperluan bagi peraturan tetap yang relevan di mana usul itu akan difailkan," kata Sivarasa.

Menurut Sivarasa, Parlimen hanya membenarkan satu usul mendesak untuk difailkan dalam sehari.

Baca seterusnya di sini


Pengarah kanan NFC dijangka didakwa hari ini

Posted: 11 Mar 2012 09:41 PM PDT

Seorang pengarah kanan National Feedlot Corporation NFC dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Menurut sumber, antara pertuduhan yang akan dikenakan membabitkan sejumlah wang yang besar, dan kes itu sedang didaftarkan di pejabat pendaftaran mahkamah jenayah.

NFC terpalit dengan dakwaan penyalahgunaan dana pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan membangunkan projek ternakan lembu di negara ini dengan sasarannya memastikan bekalan daging dalam negara adalah mencukupi .


Pakatan Rakyat mendakwa, antara lain, bahawa dana itu digunakan sebagai membeli hartanah termasuk kondominium mewah di Bangsar, tanah di Putrajaya dan juga beberapa hartanah di Singapura.

Pengarah yang terbabit dalam skandal itu adalah ahli keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ini termasuk pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami Ketua Wanita Umno itu. Selain itu, beberapa anak mereka juga menduduki lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Shahrizat semalam mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 8 April, sehari sebelum tamat perlantikannya sebagai anggota Dewan Negara berakhir.


Undi kaum India beri kesan besar PRU akan datang

Posted: 11 Mar 2012 08:25 PM PDT

KUALA LUMPUR: Para penganalisis politik berpendapat sokongan pengundi India akan memberi kesan besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sama seperti pada PRU 2008.

Walaupun pengundi India hanya mewakili 1.9 juta atau 7.3 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia, tetapi kehadiran mereka begitu bermakna bagi 63 daripada 67 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.

PRU 2008 menyaksikan perubahan arus yang amat ketara apabila hampir 85 peratus pengundi India menyokong Pakatan Rakyat (PR), pakatan pembangkang yang dianggotai PKR-DAP-PAS.


PR mendapat manfaat besar daripada peralihan sokongan pengundi India apabila hanya 8.3 peratus daripada 72.4 peratus pengundi kaum itu yang menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRU 2004, menyebelahi PR pada PRU 2008 kerana terpengaruh dengan isu yang dimainkan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).

Bagaimanapun, satu arah aliran baru dikesan muncul ketika ini iaitu sokongan kaum India terhadap BN semakin meningkat, hasil daripada beberapa tindakan proaktif yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara penting yang membabitkan kaum India seperti sekolah Tamil, kuil Hindu dan pendidikan.

Merdeka Centre

Berdasarkan kaji selidik Merdeka Centre, tindakan proaktif Najib itu menyebabkan kadar sokongan terhadap beliau mengikut etnik mencatat peningkatan, dengan sokongan kaum India mencatat lonjakan paling tinggi iaitu kepada 80 peratus.

Dr Sivamurugan Pandian, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, berkata keputusan beberapa pilihan raya kecil sejak 2008 yang melibatkan kawasan Bukit Selambau, Bukit Gantang, Bagan Pinang dan Hulu Selangor dengan jelas menunjukkan peningkatan sokongan kaum India terhadap BN.

Beliau mengaitkan perkembangan itu dengan kesediaan Najib menangani isu penting yang membabitkan masyarakat India dan pola sokongan ini akan berterusan hingga PRU akan datang, terutama hasil peranan penting yang dimainkan badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum India dalam memantau pencapaian negeri yang ditadbir PR.

Ahli akademik itu berkata PR gagal memenuhi harapan NGO berasaskan kaum India, yang begitu berpengaruh dalam mengalih undi kepada Pembangkang pada 2008.

Hindraf berpecah

Selepas 2008, Hindraf berpecah kepada lima kumpulan. Satu kumpulan menyebelahi DAP, dua lagi membentuk Parti Makkal Sakti dan Parti Hak Asasi Manusia (HRPM) yang tidak didaftarkan, manakala selebihnya bergiat sebagai NGO.

Daripada lima kumpulan itu, HRPM merupakan kumpulan paling berpengaruh dan sekiranya parti ini menyertai PRU akan datang, ia mampu memecahkan sokongan terhadap BN dan PR.

Dr Sivamurugan berkata BN perlu memanfaatkan kedudukan kukuh Najib dalam kalangan masyarakat India ketika ini dengan meyakinkan kaum itu bahawa setiap undi mereka untuk BN bererti merupakan undi untuk Najib juga.

Bagaimanapun, kata beliau, untuk mewujudkan tanggapan kukuh tentang perkara itu, BN perlu mencari calon yang mampu meyakinkan pengundi bahawa itulah hakikatnya.

Ketua Pemuda MIC T. Mohan, yang juga mengesan kewujudan angin perubahan positif terhadap BN sejak kebelakangan ini, menganggarkan MIC kini mendapat sokongan daripada 60 hingga 65 peratus masyarakat India.

Sekolah Tamil

Perkembangan positif ini berlaku kerana pelbagai faktor, termasuk perubahan dalam kepimpinan parti, pertambahan jumlah pembiayaan untuk sekolah Tamil, pemberian lebih banyak tempat kepada pelajar India untuk mengikuti pengajian di peringkat matrikulasi dan paling penting, kata beliau ialah kejayaan Najib menghapuskan sebahagian besar rasa tidak puas hati kaum itu melalui program 1Malaysia yang beliau laksanakan.

Mohan berkata walaupun beberapa isu masih belum selesai, tetapi beliau yakin MIC akan mencatat kejayaan hampir dengan apa yang dicapainya pada 2004 dan menjangka 70 peratus hingga 75 peratus kaum India akan menyokong BN sekiranya parti gabungan itu meletakkan calon yang sesuai, dengan syarat "tida pihak membuat kenyataan yang boleh melukakan hati masyarakat itu".

Bagaimanapun, naib pengerusi DAP dan Anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran menolak tanggapan BN bahawa parti gabungan itu semakin mendapat sokongan masyarakat India dengan berkata dakwaan itu tidak berasas.

"PR telah mengajak MIC berbahas tentang isu berkaitan kaum India seperti perbahasan antara Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP) dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (presiden MCA). Keengganan mereka (MIC) menunjukkan mereka tidak mendapat sokongan. Mereka memang bernasib baik sekiranya menang atau dapat mengekalkan tiga kerusi parlimen yang mereka sandang sekarang," katanya.

Kulasegaran berkata banyak isu asas seperti kadar pengangguran yang tinggi, keadaan sekolah Tamil yang begitu menyedihkan, ketiadaan pinjaman pelajaran atau biasiswa dan penyertaan rendah kaum India dalam pasaran ekuiti, masih belum ditangani sepenuhnya.

Suka PR

"Saya percaya masyarakat India lebih suka kepada PR kerana sikap terbuka serta kesediaannya bersuara untuk mereka dan dalam menangani keperluan mereka. PR sanggup melantik seorang India sebagai Timbalan Ketua Menteri Pertama di Pulau Pinang dan seorang Speaker dalam Dewan Undangan Negeri Perak," katanya.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik berpendapat sesetengah NGO berasaskan kaum India, seperti Hindraf, kini mendapati PR hanya "memberi fokus utama" terhadap pengundi Melayu dan Cina atau hanya menangani isu melibatkan masyarakat India secara satu persatu hingga menimbulkan kebimbangan masyarakat itu bahawa "perwakilan" mereka melalui PR akan lenyap.

Inilah sebabnya sesetengah pihak berpendapat sokongan masyarakat India berpecah dua dan mendorong BN serta PR, masing-masing yakin bahawa mereka mendapat sokongan kaum itu.

PR akan mengalami kekalahan teruk kali ini sekiranya ia gagal meraih sokongan besar kaum India seperti yang diperolehnya sebelum ini.

Sekiranya 30 peratus pengundi India membuat keputusan untuk tidak mengundi, ertinya BN dan PR perlu bersaing untuk mendapatkan sokongan baki 70 peratus pengundi lagi, yang dalam pada itu pula perpecah kepada tiga "segmen" unik — kelas bawahan, pertengahan dan atasan.

Hilang keterampilan

Sementara itu, Hindraf masih memiliki sedikit sebanyak pengaruh. Sekiranya ia menjauhkan diri daripada PRU, PR mungkin kehilangan cengkamannya di Selangor dan Kedah.

Sebaliknya, jika PR memberi tempat kepada Hindraf, pakatan itu perlu memenuhi tuntutan HRPM, sayap politik Hindraf yang tidak didaftarkan, agar ia diberi lima hingga tujuh kerusi parlimen untuk ditandingi.

Datuk Dr Denison Jayasooria, Ketua Felo Penyelidik, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata beliau percaya kini, Hindraf sudah hilang keterampilannya akibat perbalahan dalaman yang dialaminya.

Beliau juga berpendapat sebahagian besar masyarakat kelas bawahan menyokong BN, manakala masyarakat kelas pertengahan dan atasan pula menyokong pembangkang.

Sambil menyatakan bahawa walaupun MIC mempunyai peluang lebih cerah pada PRU akan datang berbanding pada 2008, walaupun tidaklah sebaik pada 2004, tetapi perkara itu akan hanya menjadi kenyataan sekiranya parti berkenaan meletakkan calon yang berfikiran terbuka serta disenangi masyarakat lain, setelah resolusi yang dibuat berhubung isu saham MAIKA dan perubahan kepimpinan MIC, menyukarkan PR untuk mengambil sebarang kesempatan daripadanya.

- Bernama


Kes pelik bekas IGP, AG dan ketua kongsi gelap

Posted: 11 Mar 2012 04:49 PM PDT

Maklumat baru kini diperolehi bagi memperjelaskan kes luar biasa yang didakwa membabitkan anggota polis paling berkuasa di negara ini, seorang peguam negara dan juga tokoh kongsi gelap lima tahun lalu.

Dokumen yang mendedahkan bagaimana maklumat yang dibekalkan oleh beberapa pemberi maklumat sehingga tertangkapnya 'ketua' kongsi gelap Johor Goh Cheng Poh atau juga dikenali sebagai Tengku Goh pada 2007 kini dimiliki oleh Malaysiakini.

Dokumen yang sama itu digunakan bagi memalitkan enam pegawai polis yang menyiasat kes itu.


Pemberi maklumat itu kemudiannya membuat kenyataan bersumpah bahawa mereka dipksa menukar maklumat asal oleh pasukan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kemudiannya dinaikkan taraf menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Sebaliknya, enam pegawai polis dijadikan mangsa dan didakwa memalsukan bukti terhadap Tengku Goh yang didakwa terbabit dalam perjudian dan pengubahan wang haram. Mereka bagaimanapun akhirnya dibebaskan, yang terakhir adalah pada pertengahan 2011.

Mimpi ngeri pegawai polis selama empat tahun itu bermula apabila mereka atas arahan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Johari Baharum, mula menyiasat Tengku Goh (Untuk peranannya dalam skandal ini, Johari sendiri pernah dituduh mengamalkan rasuah dan juga disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah.)

Johari (kanan) kemudian mengarahakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Ramli Yusuff, yang sebelum ini adalah Ketua Polis Pahang untuk menjalankan siasatan dan bertindak.

Ramli kemudian mengumpulkan lebih kurang enam pegawainya untuk menyiasat dan semasa menjalankan tugas, mereka mendapati ketua mereka, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Johor yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 2006 juga ada kaitan dan terbabit dengan kes berkenaaan.

Siasatan JSJK mendapati bahawa meskipun Musa ketika berkhidmat di Johor - telah menututp pusat perjudian haram dan melumpuhkan sindiket pinjaman wang haram di selatan negeri itu, beliau pada masa yang sama membantu "menyusunkan semula" beberapa sindiket berkenaan yang beroperasi di bawah "sistem payung" dikawal oleh Tengku Goh.

Berbekalkan maklumat daripada pemberi maklumat, JSJK telah menangkap Tengku Goh dan beliau dihantar ke Jeli, Kelantan dan diletakkan di bawah tahanan kediaman terhad.

Bagaimanapun kes semakin pelik.

Peguam Negara Tan Sri Tan Sri Abdul Gani Patail (kiri) campur tangan dan beliau didakwa menggunakan BPR untuk mengakses fail sulit (digelar "Cicero") dalam kes itu.

Adalah difahamkan bahawa tiada sesiapa, termasuk Ketua Polis Negara mahupun Peguam Negara dibenarkan untuk mempunyai akses kepada fail 'Cicero' apabila seorang pegawai telah diamanahkan mengendalikan kes berkenaan.

Tindakan menggunakan BPR untuk campur tangan dalam kes itu mencetuskan rasa tidak puas hati di JSJK kerana ini adalah campur tangan terang-terangan dalam kerja-kerja polis.

Namun, JSJK tetap diarahkan supaya menyerahkan fail sulit berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara, dan hasilnya kertas Cicero berada di tangan BPR.

Berdasarkan maklumat dari fail sulit itu, BPR memburu pemberi maklumat yang maklumatnya digunakan sehingga tertangkapnya Tengku Goh.

BPR kemudiannya menggunakan ugutan, taktik menakut-nakutkan dan menuoal-siasat pemberi maklumat itu berhari-hari sehingga mereka menukar kenyataan sebelum ini.

http://www.malaysiakini.com/news/191771


Lagi Pemimpin Dihalang Dan Ditahan Ketika Masuk 'Negara Asing Sabah'

Posted: 11 Mar 2012 04:45 PM PDT

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman hari ini dihalang dari memasuki Sabah.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily memberitahu, beliau ditahan oleh pegawai Imigresen selepas tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu kira-kira jam 8.45 malam ini.

"Saya tiba di lapangan terbang kira-kira jam 8.45 tadi, tiba-tiba saya ditahan tanpa sebarang alasan.


"Saya diberitahu ianya arahan pihak berkuasa kerajaan negeri," katanya.

Difahamkan beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat bersama 10 lagi anggota jawatankuasa ke Sabah untuk lawatan kerja selama tiga hari.

"Yang lain semua boleh masuk kecuali saya seorang sahaja yang ditahan," katanya yang kini ditahan di pejabat Imigresen di lapangan terbang itu hampir sejam.

Beliau mendakwa dihalang masuk di bawah seksyen 65(1) Akta Imigresen 1959.

Beliau memaklumkan akan membuat satu laporan polis di sana selepas berhubung dengan peguamnya.

Mazlan ditemani pegawai khas lajnah, Fadhil Osman, Razman Zakaria (Pengerusi Bapa),Kol.(B) Nazari (Kerabat), Abd. Rahman Ramli (Bangkit).

Beliau dijadual menyertai himpunan aman 123 Bangkit esok di Kota Kinabalu dan akan menubuhkan NGO Keabat dan Bangkit bagi negeri Sabah.

Menurutnya, ketika cuba mendapatkan penjelasan mengapa ditahan, pegawai Imigresen tersebut menyatakan hanya menjalankan tugas.

Setelah ditahan hampir sejam, beliau telah diarahkan supaya pulang ke Semenanjung serta merta.


Melayu belum sedar MCA bodohkan Umno?

Posted: 11 Mar 2012 08:39 AM PDT

Di mana-mana pun sangkaan atau keyakinan seperti ini memang ada. Bunyi sangkaan dan keyakinan itu adalah, "Dalam BN, Umno kuat dan boleh kuasai MCA. Tetapi, adakah dalam gabungan Pakatan Rakyat yang masih rapuh itu, PAS boleh kuasai Dap?"

Selalunya, kata-kata ini lahir dari lidah orang-orang Umno itu sendiri. Namun, isunya di sini bukanlah persoalan benar atau pun tidak. Isu penting di sini - adakah kenyataan ini bertaraf sangkaan atau sebuah keyakinan yang cuba dijelmakan atas nama penyelidikan rambang.

Kalau benar MCA itu dikuasai Umno, maka pernahkah ahli-ahli Umno menyiasat dan membuat penyelidikan, kenapakah MCA masih diperbodohkan Umno jika benar Umno menunggang dan menguasai MCA itu?


Salah satu jawapan yang boleh menjelaskan kenapa MCA boleh dikuasai dan dipengaruhi Umno ialah - kuasa wang! Bagaimana Umno melakukannya ke atas MCA? Iaitu, melalui anugerah projek-projek dan dengan cara itulah MCA akan didiamkan.

Kedudukan ini amat merbahaya kepada Umno dan Melayu sendiri. Ini kerana, negara sedang menuju ke wilayah kemiskinan. Kedudukan perjanjian Umno dan MCA yang semangatnya berteraskan wang, projek dan kuasa ini menyebabkan MCA akan kembali menguasai dan menunggang Umno ketika parti itu semakin lemah lantaran ketiadaan wang lagi. Wang, bagi Umno adalah kekuatan paling tinggi!

Jadi perkara inilah yang paling kerap didengungkan dari telinga ke telinga masyarakat. Polemik 'siapa menunggang siapa' dalam BN atau Pakatan Rakyat adalah antara ramuan fikiran orang-ramai yang tidak kunjung berkesudahan menjadi bahan fikiran mereka.

Perkara ini penting bagi sesetengah orang Melayu sebab mereka mahu menyelamatkan survival Melayu. Jika Umno di dalam BN itu yang dianggap boleh menyelamat kepentingan Melayu, maka seburuk mana pun Umno dalam BN itu, parti itulah juga yang akan diundi Melayu lantaran parti korup itu diyakini dapat menyelamatkan kepentingan Melayu.

Soal sama ada benar atau tidak Umno dapat menyelamatkan kepentingan Melayu itu menjadi menjadi tidak penting lagi. Yang penting adalah kefahaman yang kerap berlegar dalam fikiran Melayu bahawa Umno itulah pembela Melayu di kala susah walaupun parti itu korup.

Jadi dengan mendedahkan keburukan Umno itu bukannya menjadi sebab lagi untuk menang. Yang perlu dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat ialah meyakini Melayu bahawa bangsa Melayu itu dibela terus-menerus di bawah kerajaan baru Pakatan Rakyat ini.

Maka, debat berterusan adalah cara terbaik untuk mencari arah hala tuju antara kedua-dua gabungan parti-parti besar ini. Debat, setidak-tidaknya boleh memudahkan rakyat membuat kesimpulan tentang persoalan ini, "Adakah Umno kuasai MCA atau sebaliknya? Adakah PAS kuasai Dap atau sebaliknya?"

Rakyat mahu tahu, adakah perkara di atas ini masih kekal sebagai suatu sangkaan atau kedudukan kenyataan itu masih lagi tegak berdiri sebagai sebuah tiang keyakinan yang teguh bagi sesetengah orang? Anwar Ibrahim misalnya sudah terlalu bersedia untuk berdebat, tetapi lawan Najib Razak nampaknya masih ragu-ragu, takut dan malu-malu untuk berdepan dengan debat itu.

Syahadan, baru-baru ini, pecahlah jawapan sebenar daripada lidah pemimpin nombor wahid MCA; Chua Soi Lek dalam debatnya bersama Lim Guan Eng.

Chua dengan tegasnya menyatakan: "Kita orang Cina, berani menentang-menentang dan melawan Umno terutama dalam bab hudud, adakah DAP berani dalam hal ini?"

Nampaknya, dalam pusingan ini pun, Umno sudah tewas kerana Chua sudah berani dan jelas menyatakan buah fikirannya yang menentang Hudud, dalam keadaan Umno gugup berdepan dengan pandangan itu. Maka, diketahuilah akan sekalian rakyat jelata bahawa sekalian Umno itu penakut rupa-rupanya.

Maka, terhadap kenyataan itu, Lim pun berkata: "Kita orang Dap, tidak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka, begitu juga orang PAS tidak pernah menghalang dalam bab agama kita..."

Lim tidak berkata bahawa beliau mewakili Cina walaupun memang ramai Cina dalam Dap. Tetapi, Lim berkata Dap tidak boleh halang kepercayaan orang Islam dan beliau turut mewakili suara hati PAS dengan berkata, bahawa PAS ini tidak menyekat agama lain juga.

Jadi, sudah jelas dalam pusingan awal ini, Umno memang dikuasai MCA dalam BN. Tetapi dalam Pakatan Rakyat, semangat musyawarah itu hadir. Tiada sesiapa pun yang menguasai sesiapa dalam Pakatan Rakyat ini, manakala debat-debat berlangsung dengan berterusan secara sihat.


Shahrizat Buat Drama Bollywood - Ketua Umno Cheras

Posted: 11 Mar 2012 05:13 AM PDT

Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee menganggap kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan satu 'drama'.

Syed Ali berkata, sebagai seorang menteri, Shahrizat sepatutnya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap parti dan negara dan bukan bermain tarik tali.

"Kalau berhenti, berhenti sahajalah. Tapi kenapa macam nak main tarik tali. Kenapa perlu kumpulkan wartawan hari ini sedangkan esok ramai wartawan akan buat liputan di Parlimen.


"Ini semua Bollywood punya cerita. Saya boleh katakan dia ini sebagai makcik Bollywood," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selepas kontroversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat sebentar tadi mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.

Syed Ali berkata, tindakan Shahrizat itu seolah-olah ingin menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah dan peletakan jawatan itu bukan disebabkan rasa bersalah, tetapi kerana tempoh sebagai senator sudah tamat.

"Dia nak tunjuk glamour kot supaya esok ada Wanita yang datang menangis, merayu pada dia supaya jangan letak jawatan.

"Saya bersyukur dia nak berhenti, tetapi kecewa kerana dia nak berhenti bila tamat tempoh senator. Saya tak faham kenapa. Ini menunjukkan dia tidak komitmen dan tidak berintegriti kepada parti," katanya.

"Kalau saya jadi dia, saya akan berhenti serta merta."

Umno Cheras antara bahagian paling lantang membuat desakan itu sebelum ini selain bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafizah Aziz supaya tidak menjadi beban kepada parti.


Akhirnya Shahrizat Berundur Juga..

Posted: 11 Mar 2012 04:20 AM PDT

Selepas kontoversi panjang isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu bagaimanapun akan kekal sebagai ketua Wanita Umno.

"Saya dengan ini nak memaklumkan bahawa pada 8 April apabila tamatnya penggal saya sebagai ahli Dewan Negara saya akan berundur diri sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat," katanya.


Beliau mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Berhubung jawatan sebagai ketua Wanita beliau berkata, keputusan mengekalkan jawatan itu dibuat setelah berfikir panjang kerana Wanita Umno sudah seperti keluarga baginya.

"Dan semasa jadi satu powerful force, Wanita BN kini powerful force yang bawa perjuangan untuk rakyat Malaysia.

'Nantikan hasil siasatan NFC'

Ditanya tentang isu NFC, Shahrizat menegaskan beliau tidak mempunyai kaitan dengan kes itu dan hanya berkahwin dengan pengerusinya.

"Tetapi sebagai anggota kerajaan yang bertanggungjawab, saya rasa ini tindakan tepat untuk berundur dengan baik.

"Saya ingin jelaskan, ini keputusan saya sendiri. Dan saya mahu pastikan apabila saya berundur, siasatan akan diteruskan mengikut lunas undang-undang dan kita semua nantikan hasilnya," katanya.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April ini.

Isu peletakan jawatan timbul apabila beliau terpalit dalam isu National Feedlot Corporation yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail yang terlibat dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan.

Selain desakan pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar "jangan sayang kepada jawatan."


Tiada ulasan: