Kekalnya jasad para Nabi Posted: 20 Mar 2012 05:31 AM PDT Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILANDI antara sala h faham yang berlegar di kalangan umat adalah tanggapan bahawa mereka yang sudah berpindah ke alam barzakh sudah terputus langsung hubungan dengan yang masih hidup. Sedangkan nas-nas dan huraian ulama seperti yang sedang kita bentangkan menunjukkan sebaliknya, terutamanya bagi mereka yang istimewa kedudukannya di sisi Allah seperti para Anbia dan Syuhada. Antara bukti keistimewaan mereka ini di alam barzakh adalah kekalnya jasad mereka dan tidak reput seperti mayat manusia biasa. Kekalnya jasad mereka ini adalah tanda bahawa kehidupan roh mereka juga berbeza berbanding dengan roh manusia biasa.
Telah diriwayatkan hadis daripada Aus ibnu Aus RA, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya, di antara hari yang paling mulia bagi kalian adalah hari Jumaat; pada hari itu diciptakan Adam RA, pada hari itu juga nyawa Adam AS dicabut, hari itu jugalah ditiup sangkakala dan pada hari itu jugalah semua makhluk dimatikan. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian dibentangkan kepadaku."
Mereka bertanya: "Bagaimanakah selawat kami itu boleh dibentangkan kepadamu, sedangkan kamu telah pun binasa." Maka Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi."
Maka ketahuilah bahawa hadis, "Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi", diriwayatkan daripada banyak jalan; sepertimana yang telah dikumpulkan oleh al Hafiz al Munziri di dalam bahagian yang khusus.
Beliau berkata di dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib: Bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang baik. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban di dalam kitab Sohihnya. Manakala al-Hakim mensohihkannya.
Ibnu Qayyim berkata di dalam Kitabnya al-Ruh yang dinaqalkannya daripada Abi Abdullah al-Qurtubi: "Adalah sohih riwayat daripada Nabi SAW, bahawa bumi tidak memamah jasad-jasad para nabi. Sesungguhnya Nabi SAW telah berhimpun bersama mereka pada malam Israk di Baitulmaqdis dan juga di langit, teristimewanya bersama Nabi Allah Musa AS.
Baginda SAW juga mengkhabarkan dengan sabdanya: "Setiap Muslim (yang telah mati) apabila diucapkan salam kepadanya, maka Allah SWT akan mengembalikan rohnya sehinggalah dia dapat menjawab salam tersebut."
Begitu juga dengan hadis-hadis lain; yang kesimpulannya memutuskan bahawa kewafatan para nabi sebenarnya bermaksud hilangnya mereka daripada pandangan kita, iaitu kita tidak dapat melihat mereka, sekalipun mereka sentiasa wujud dan hidup.
Hal ini adalah sama seperti malaikat; mereka itu hidup dan sentiasa wujud, akan tetapi kita tidak dapat melihat mereka.
Di sini, dinaqalkan perkataan Imam al-Qurtubi yang juga telah diakui oleh Syeikh Muhammad al-Safarini al-Hanbali di dalam syarah Kitab Aqidah Ahli Sunnah sebagaimana nasnya yang berbunyi: Telah berkata Abu Abdullah al-Qurtubi: Telah berkata guru kami Ahmad ibnu Umar al Qurtubi, pengarang Kitab al-Mufhim fi Syarh Muslim: Apa yang dapat menghilangkan kerumitan ini ialah kematian itu bukanlah bermaksud betul-betul tiada, akan tetapi ia bermaksud perpindahan dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Hal ini dibuktikan berdasarkan keadaan para syuhada selepas mati dan dibunuh, mereka itu hidup dengan gembira dan diberikan rezeki di sisi Tuhan mereka.
Ini adalah sifat-sifat orang-orang yang hidup di dunia. Sekiranya hal ini berlaku kepada syuhada, maka para nabi adalah lebih berhak dan lebih utama untuk mendapat keistimewaan ini. Imam al-Qurtubi ada menyebut, bahawa jasad-jasad para nabi tidak akan hancur ditelan zaman.
Al-Imam al Hujjah Abu Bakar ibnu al Husin al-Baihaqi telah mengarang sebuah risalah khusus mengenai tajuk ini. Di dalamnya, beliau telah menghimpunkan sejumlah daripada hadis-hadis yang menunjukkan hidupnya para nabi di alam barzakh dan kekalnya jasad-jasad mereka.
Begitu juga al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti. Beliau telah mengarang sebuah risalah khusus berkenaan tajuk ini.
'Hidupnya' para Nabi di alam barzakh dengan cara yang tersendiri baik dari segi roh dan jasad seperti yang kita bahaskan menunjukkan bahawa wajarlah kita melayan mereka dengan cara yang tersendiri juga.
Wajarlah menziarahi kubur mereka dikira sebagai suatu yang digalakkan seperti menziarahi mereka ketika masih hidup. Adalah salah jika perbuatan menziarahi kubur dan menghormati orang-orang soleh yang telah meninggal dunia dianggap serong dan sesat. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan