Rabu, 15 Februari 2012

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Pakatan desak SPR batal daftar 42,000 pemilih ragu

Posted: 15 Feb 2012 08:31 AM PST

Apakah perlu saya kepada Valentine's Day?

Posted: 15 Feb 2012 05:03 AM PST

Apakah perlu saya kepada Valentine's Day?

Kongsi |

Dalam Bahasa Malaysia Valentine's Day diterjemahkan sebagai Hari Kekasih, dan pada setiap 14 Februari ia muncul dalam kalendar Barat sebagai hari yang dikaitkan dengan pasangan kekasih yang bercinta serta mengharapkan kasihnya berbahagia dan berpanjangan. Tidak ada masalah sangat tentang nilai yang hendak dibawa kerana memadu kasih adalah usaha berterusan bagi mana-mana pasangan kerana kasih adalah satu anugerah yang Allah campakkan dalam diri manusia bagi memperlihatkan kebesaranNya.

Islam tidak menentang sifat ini dalam diri manusia kerana Islam adalah agama fitrah yakni cocok dengan naluri manusiawi. Bezanya Islam dalam menyatakan sifat kasih ini ialah dengan mengikatkannya melalui ikatan suci yang dinamakan sebagai perkahwinan. Naluri kasih jika tidak disalurkan melalui ikatan suci dikhuatiri meletakkan manusia dalam perbuatan yang dilarang oleh Islam iaitu seks sebelum berkahwin. Malah tabiat Islam yang mahukan perhubungan yang suci dari kasih-sayang menutup segala peluang dan ruang yang memungkinkan seseorang itu terjebak dalam kegiatan seks sebelum berkahwin. Ini adalah kerana walaupun pasangan itu tidak melakukan seks sebelum berkahwin tetapi tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi jaminan bahawa ia akan selamat dari perbuatan sumbang itu. Matlamat kepada pengharaman ini adalah untuk mencapai kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh dan memelihara jangkamasa panjang wujudnya generasi yang sihat secara moralnya. Sebab itu dalam memadu kasih Islam mengkehendaki umatnya diikat dengan ikatan suci perkahwinan.

Tapi kenyataan di atas belum menjawab apa sebenarnya yang melingkungi permasalahan Valentine's Day sehingga ia mencetuskan kontraversi setiap tahun? Saya sempat melayari beberapa laman web yang menceritakan sejarah Valentine's Day ini. Secara ringkasnya ia dinamakan di atas seorang Rahib yang bernama Valentine dikatakan meninggal di tangan kezaliman Rome di bawah Claudius. St Valentine meninggal pada tahun 269 Masehi dan hanya pada tahun 496 Masehi, Pope Gelasius memperingati kematian Rahib Valentine pada setiap 14 Februari.

St Valentine dikatakan sebagai rahib yang mempelopori kasih sayang antara pasangan suami isteri, anak-anak muda dan kecintaan dan gambarnya sering dikaitkan dengan simbol kasih dari gambar burung-burung cinta dan bunga ros yang menjadi simbol kasih antara pasangan. Valentine dalam bahasa latin membawa makna sesuatu yang berharga. Malah sebab kepada pembunuhannya oleh Claudius Gothicus, Raja Rom ketika itu ialah kerana dia mengahwinkan pasangan-pasangan dengan cara Kristian yang dimusuhi oleh Rom ketika itu.

Secara susur-galurnya fakta Valentine's Day berkait rapat dengan kisah seorang Rahib dari sejarah Era konflik Kristian dan Empayar Rom. Bagi umat Islam sejarah ini bukan dari susur-galurnya dan apabila ia dianggap sebagai hari memperingati sejarah Kristian post Nabi Isa alahi salam, umat Islam dilarang meraikannya dalam apa juga bentuk. Ini bukan bermakna umat Islam menolak nilai-nilai baik dari kasih sayang yang dipelopori oleh St Valentine kepada pasangan-pasangan yang diikat dengan ikatan suci, tetapi susur-galur dan sejarahnya tidak ada kena mengena dengan sejarah umat Islam. Fatwa juga telah dikeluarkan oleh Muzakarah jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada November 2005 bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam manakala roh perayaannya mempunyai unsur-unsur Kristian, apatah lagi jika ia dicampur dengan kegiatan maksiat yang dilarang oleh Islam.

Soal menyambut Hari Kekasih atau Valentine's Day tidak timbul bagi umat Islam, adapun bagi yang bukan Islam mereka bebas untuk menyambutnya sebagaimana hari-hari agama masing-masing jika kita memahami bahawa hari tersebut adalah untuk memperingati seorang Rahib yang bernama Valentine. Mesej kasih yang dibawa oleh Valentine bebas dilihat oleh bukan Islam sebagai satu nilai yang mereka hargai mengikut perspektif apa yang diizinkan oleh agama masing-masing. Adapun umat Islam mereka tidak perlu memperingati mana-mana tokoh untuk berkasih-kasihan kerana Al-Quran sendiri memerintahkan umatnya dalam surah Al Rum (21) bahawa:

"Di antara tanda-tanda KeagunganNya ialah dijadikan kamu berpasang-pasangan (suami-isteri) supaya kamu dapat hidup dalam ketenangan dan dicampakkan dalam diri kamu perasaan Kasih yang penuh dengan Kerahmatan, Sesungguhnya dalam itu ada petunjuk bagi mereka yang mahu berfikir".


Saya tidak setuju jika kita mahu memaksa orang lain yang bukan Islam supaya tidak merayakannya kerana itu adalah hak mereka. Saya bersetuju jika umat Islam yang tidak faham sejarah ini diberikan penjelasan bahawa hari Valentine adalah hari yang bersusu-galur dari sejarah Kristian. Saya juga tidak bersetuju jikalaupun dirayakan oleh bukan Islam, ia mewajarkan pergaulan bebas dan seks sebelum berkahwin.

Bagi saya kasih adalah sesuatu yang suci maka sucikanlah ia dengan ikatan yang suci, malah ikatan suci ini menambahkan pahala bagi pemiliknya untuk melayari kehidupan yang berbahagia sepanjang hayat. Bagi saya Hari Kekasih adalah setiap hari untuk isteri saya yang tercinta dan ayat 21, Surah Al Rum itu menjadi bacaan saya setiap hari untuk saya mendapatkan anugerah ilahi.

Apakah perlu saya kepada Valentine's Day? Anda boleh menjawabnya setelah selesai membaca tulisan ini.

Baca: Kelompok anti-Hari Kekasih patut hentikan fikiran lucah mereka

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kanan) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Saifuddin: Dasar luar Malaysia terhadap Palestin berkiblatkan Amerika Syarikat dan Israel

Posted: 15 Feb 2012 05:02 AM PST

Saifuddin: Dasar luar Malaysia terhadap Palestin berkiblatkan Amerika Syarikat dan Israel
Saifuddin Nasution | Feb 15, 2012

Kongsi |

Saya merujuk kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang membidas Anwar Ibrahim sebagai bersikap dua wajah (two-faced) dan menegaskan kononnya Malaysia sentiasa memberi sokongan secara konsisten terhadap perjuangan Palestin.

Apakah PM Najib perlu diingatkan bagaimana layanan kerajaan Malaysia terhadap pemimpin negara Palestin yang sah dipilih secara demokrasi pada pilihanraya 25 Jan 2006?

Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh dipilih sebagai ketua kerajaan yang kemudiannya melantik Menteri Luarnya Dr.Mahmoud AlZahar. Malaysia pada Mei 2006 telah menjadi tuanrumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) anehnya telah membelakangkan kehadiran Dr Mahmoud AlZahar sebagai Menteri Luar sah kerajaan Palestin dan sebaliknya mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu Bekas Menteri Luar Palestin (sewaktu kerajaan Fatah sebelum Pilihanraya 25 Januari 2006). Pada persidangan tersebut Farouk Qadummi dijemput berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin.

Hal ini tidak sukar difahami kerana PM Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili HAMAS yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas. Hakikat bahawa HAMAS menang pilihanraya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap HAMAS yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah. Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Adalah menjadi pengetahuan umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan FATAH yang tewas pilihanraya.

Dr Mahmoud AlZahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudiannya memulau persidangan NAM tersebut. Beliau menemui pimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden ketika itu Ustaz Nasaruddin Mat Isa. Dr Zahar turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau. Malahan Ustaz Nasaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai "biadap".

Insiden tersebut memberikan bukti jelas bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin. Insiden ini menjadi bukti bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin. Insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihanraya. Hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS pada ketika itu maka Malaysia juga akur. Bukankah fakta ini dengan sendirinya menolak kenyataan PM Najib sebaliknya mengesahkan bahawa dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin sebenarnya tidak konsisten?

*Kenyataan media oleh Saifuddin Nasution Ismail (gambar atas) selaku Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.

DEB Gagal: Teguran Istana Takkan Dipeduli Umno/BN

Posted: 15 Feb 2012 01:36 AM PST




SHAH ALAM, 15 FEB : Kerajaan Umno/BN tidak akan sesekali beri perhatian terhadap sebarang teguran untuk penambaikkan pentadbirannya biarpun teguran tersebut datangnya dari orang kuat istana, ujar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad.

Semalam, Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah menegur kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai sasaran kerana kemungkinan terdapat penyelewengan di peringkat perlaksanaanya.

"Saya sifatkan teguran itu sangat bertepatan. Orang politik sudah lama tegur, Ketua Audit juga selalu dan sekarang orang istana pula yang memberi teguran kepada kerajaan.

"Kita berharap dengan teguran ini dapat membawa penambahbaikkan dalam perlaksanaan dasar kerajaan," tegas Idris yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun beliau meragui teguran ini akan diberi perhatian ekoran segala teguran yang berlandaskan fakta dan angka sekalipun tidak pernah diperduli oleh Umno/BN malah segala teguran itu sering diperlekehkan mereka.

"Sebaliknya kita memerlukan transformasi politik dan juga perubahan sikap di kalangan kepimpinan negara.

"Sebagai contoh pemimpin Pakatan Rakyat telah terbukti dan teruji mentadbir negeri yang diperintah dengan baik," ujar Idris yang turut menjelaskan Pakatan berjaya mentadbir walaupun terdapat kekangan sumber kewangan daripada Kerajaan Pusat.

Idris turut bersetuju dengan kenyataan Raja Dr Nazrin bahawa kegagalan DEB merupakan kesan daripada pemimpin yang tidak amanah mentadbir dana yang seharusnya disalurkan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat.

Katanya selain amalan rasuah, amalan kronisme, sogokan dan salah guna kuasa telah menjadi budaya dikalangan pemimpin dan pentadbiran Umno/BN sehingga tidak lagi mampu dibendung.

"Sejak dari RMK1 hingga ke RMK10, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM 1.2 trillion dan setiap RMK diberi dana besar untuk membela rakyat yang susah yang kebetulan majoritinya Melayu.

"Malangnya DEB sentiasa gagal akibat pemimpin yang korup. Mereka hanya ingat rakyat menjelang PRU dan selepas menang mereka lupa rakyat dan berpaling mengutamakan kroni-kroni mereka," jelas Idris kesal.

Bagaimanapun, Idris yakin rakyat kini sudah mampu memilih antara pentadbiran yang telus membela rakyat dan kerajaan yang hanya bekerja mengikis harta dan khazanah milik rakyat.

"Kita lihat sahaja negeri Kelantan yang mana pada tahun 1990 berada di tangga ke-dua kedudukan negeri termiskin. Namun kini Kelantan sudah menurun kedudukannya dan menduduki tangga ke-enam.

"Sebaliknya Sabah menduduki tangga teratas diikuti Terengganu walaupun kedua-dua negeri pentadbiran Umno/BN ini kaya dengan sumber hasil bumi petroleumnya," akhiri Idris.

Kroni Umno di Cabar Beli Tanah Di Bayan Mutiara Pada Harga RM420 Sekaki Persegi

Posted: 15 Feb 2012 01:34 AM PST

GEORGE TOWN, 15 FEB: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang (Pakatan) mencabar Umno atau kroni-kroninya untuk membeli tanah seluas 102.6 ekar di Bayan Mutiara pada harga RM420 sekaki persegi memandangkan sebelum ini mereka mendakwa nilai tersebut merupakan harga pasaran.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri boleh menerima RM1.873 bilion berbanding dengan RM1.07 bilion yang diterima pada harga RM240 sekaki persegi jika Abdul Rahman atau kroni-kroni Umno boleh membayar RM420 sekaki persegi.

"Abdul Rahman harus menunjukkan bukti bahawa tanah itu telah dijual secara rundingan. Projek ini telah melalui tender terbuka yang diiklankan dalam suratkhabar.

"Jika harga pasaran tanah di Bayan Mutiara adalah RM420 sekaki persegi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mencabar Umno atau kroni-kroninya untuk membeli 102.6 ekar tanah di Bayan Mutiara pada harga RM420 sekaki persegi," katanya.

Tegasnya, jika Umno atau kroni-kroninya tidak berani menyahut cabaran dan membeli tanah ini pada harga RM420 sekaki persegi, maka mereka dibuktikan sebagai penipu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Umno Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan begitu terdesak ingin mengaitkan Kerajaan Negeri Pakatan dengan skandal yang tidak berasas.

Beliau mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak menjualkan 102.6 ekar tanah secara tender terbuka tetapi dengan cara rundingan pada harga yang rendah iaitu RM240 sekaki persegi dan bukan harga pasaran RM420 sekaki persegi.

Tambah Guan Eng, pimpinan Umno yang lain juga telah menipu bahawa Ivory Properties Group Bhd, pemaju yang telah memenangi tender terbuka, telah dikecualikan daripada pembinaan perumahan kos sederhana rendah di kawasan pulau dan dibenarkan untuk membina perumahan tersebut di Batu Kawan.

Umno turut mendakwa bahawa tidak ada kawasan yang diperuntukkan untuk sekolah atau surau.

"Itu semua fitnah belaka. Pihak pemaju tidak diberi apa-apa pengecualian dan dikehendaki untuk membina perumahan kos sederhana rendah di kawasan Pulau serta memperuntukkan tanah untuk sekolah-sekolah dan tempat-tempat beribadat seperti yang disyaratkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Projek perumahan yang melibatkan hampir 12,000 unit rumah mampu milik di Batu Kawan adalah inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai tambahan kepada perumahan kos sederhana rendah yang mesti dibina oleh Ivory," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menggunakan keuntungan RM500 juta daripada penjualan tanah di Bayan Mutiara untuk membina perumahan mampu milik di kawasan pulau dan juga di Batu Kawan.

Katanya, ini adalah jumlah "one-off" yang terbesar pernah diperuntukkan oleh mana-mana kerajaan negeri untuk perumahan mampu milik di Malaysia.

"Projek Batu Kawan merangkumi 12,000 unit rumah mampu milik dan akan menjadi perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di Malaysia. Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya bahawa golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang layak hidup dalam rumah dan bukan "kotak" supaya anak-anak mereka boleh membesar dengan sihat dan selamat.

"Daripada meniru yang terbaik, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik perancang perumahan mampu milik yang paling terbilang di dunia - Housing Development Board (HDB) Singapura," katanya.

Jelas Guan Eng, perlantikan HDB Singapura hanya untuk merancang dan mereka bentuk perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di Malaysia sementara kerja-kerja pembinaan pula akan diberikan melalui tender terbuka kepada kontraktor-kontraktor tempatan.

Beliau menegaskan, dakwaan Umno bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih mempercayai kontraktor Singapura berbanding dengan kontraktor tempatan dalam pembinaan rumah mampu milik adalah tidak benar sama sekali kerana kerja-kerja pembinaan belum lagi ditawarkan lagi.

Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri tidak akan memohon maaf kerana melantik HDB Singapura sebagai perunding perancang kerana mereka merupakan pereka bentuk perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di dunia.

"Kenapakah apabila firma Singapura datang ke Iskandar Johor, mereka dialu-alukan dan disanjung tetapi apabila firma Singapura datang ke Pulau Pinang mereka diserang dan dikritik?

"Dwistandard oleh UMNO ini jelas bermotif politik untuk mengapi-apikan sentimen perkauman di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada serangan perkauman dan akan berdiri teguh dalam objektif untuk menyediakan perumahan mampu milik yang terbaik di Malaysia untuk semua rakyat Pulau Pinang, tidak kira kaum atau agama, dengan melantik pihak yang terbaik di dunia untuk membantu kita," katanya.

Malaysia Henti Bekal Minyak Sawit Ke Iran Kerana Ikut Telunjuk Israel

Posted: 15 Feb 2012 01:33 AM PST

SHAH ALAM, 15 FEB : Keputusan kerajaan pusat menghentikan pembekalan minyak kelapa sawit kepada Iran disifatkan suatu tindakan pro-Zionis, ujar Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard.

Alasan penghentian ini adalah kononnya untuk menghalang program pembinaan senjata nuklear oleh Iran sedangkan perkara ini telah berulang kali dinafikan oleh Iran.

"Jika benar sekalipun Iran merancang untuk membina senjata nuklear, negara yang paling terancam ialah Israel kerana Iran pernah mengugut untuk memusnahkan negara haram tersebut.

"Jika bukan kerana Malaysia lebih mendahulukan Israel dari Iran yang merupakan negara Islam, mungkin juga minyak kelapa sawit keluaran Malaysia dikawal  pengedarannya oleh Israel," jelas Chegu Bard.

Ini adalah berdasarkan kepada dakwaan Israel Funding Corperation bahawa mereka merupakan wakil yang dilantik untuk menjual dan membeli minyak kelapa sawit mentah berkuatkuasa dari 1 Januari 2005 hingga 1 Januari 2030 dan Malaysia tersenarai sebagai antara pembekal untuk pengedaran mereka.

"Sekiranya semua ini adalah benar, dan tiada penafian daripada pihak yang berwajib, maka sah lah rakyat Malaysia sekali lagi telah diperbodohkan oleh Kerajaan Umno/BN selama 54 tahun ini,"ujar Chegu Bard dalam kenyataan medianya.

Kenyataan ini dibuat ekoran dari laporan Reuters edisi US bahawa Malaysia telah menghentikan pembekalan minyak kelapa sawit kepada Iran yang melibatkan penghantaran sebanyak 30,000 tan minyak sawit.

Tiada ulasan: