Khamis, 2 Februari 2012

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Fuziah: AELB, Lynas akan jadikan penduduk Kuantan sebagai ‘tikus makmal’

Posted: 02 Feb 2012 05:08 AM PST

Jika anda membuat carian di mudah .com mengenai rumah di Kuantan, anda akan dapati lebih banyak dari kawasan-kawasan lain dimana penghuninya semakin banyak mahu menjual rumah mereka.Adakah ini tidak mendapat perhatian dari orang besar-besar di Kuantan sana?.....jangan jadikan peristiwa Bukit Merah melanda kawasan anda


Fuziah: AELB, Lynas akan jadikan penduduk Kuantan sebagai 'tikus makmal'


KUALA LUMPUR, 2 Feb — Fuziah Salleh hari ini mendakwa, persetujuan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) terhadap kontroversi Lynas Corporation, berhubung pembinaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan bakal menjadikan penduduk Kuantan sebagai "tikus makmal".

Ahli Parlimen Kuantan itu menjelaskan, adalah tidak munasabah AELB memberikan Lesen Operasi Sementara (TOL) bagi tempoh 10 bulan untuk menyediakan Pelan Pengurusan Sisa Buangan dalam bentuk PDF (Permanent Disposal Facility) tanpa mengambil kira apa pun R&D yang telah dilakukan oleh pihak Lynas untuk pengkormersialan sisa radioaktif tersebut.

Jelas beliau (gambar), perkara itu tentu sekali boleh di tangguh sehingga Lynas menunjukkan kesungguhan menguruskan sisa toksik dan radioaktif mereka secara bertanggung jawab.

"Keputusan ini tidak lain dan tidak bukan membuktikan bahawa AELB bersekongkol dengan Lynas untuk menjadikan warga Kuantan sebagai bahan ujikaji dan seperti 'tikus makmal didalam tempoh 10 bulan kehadapan ini.

"Akan tetapi sebaliknya, AELB telah membuat satu keputusan yang tidak munasabah dan tidak masuk akal sama-sekali," tegasnya.

AELB semalam mendedahkan, mereka telah memberikan TOL dengan nilai RM2.5 billion kepada Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di kawasan perindustrian Gebeng, yang terletak dalam lingkungan 25km daripada Kuantan.

Keputusan tersebut akan membolehkan Lynas beroperasi, dan dikhuatiri akan mencemarkan kawasan sekitar dengan radiasi terutamanya kepada penduduk tempatan.

Pengarah AELB, Raja Abdul Aziz Raja Adnan bagaimanapun menjelaskan, syarikat Australia itu dikenhendaki memenuhi beberapa syarat atau risiko TOL mereka digantung atau ditarik balik, dan pihaknya akan membuat pemantauan terhadap syarikat tersebut dalam tempoh dua tahun.

Tambah beliau, kilang dan lokasi untuk PDF harus dibentangkan oleh Lynas selepas tempoh 10 tahun, dan pelombong berkenaan dikehendaki membayar seumlah USD50 juta (RM152 juta) sebagai jaminan kepada kerajaan.

Fuziah turut mendesak kerajaan menangguhkan TOL tersebut sehingga PDF tersebut diselesaikan Lynas.


"Kerajaan yang bertanggungjawab dan benar-benar meletakkan keselamatan rakyat sebagai utama, tentu sahaja boleh memberi amaran kepada Lynas bahawa lesen tidak boleh dikeluarkan

kecuali setelah syarat-syarat pengurusan sisa radioaktif di sediakan dalam bentuk PDF," tegasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan yang baik juga akan memastikan setiap dakwaan yang dilaporkan akan di kajian dengan teliti berdasarkan kualiti dan spesifikasi pembinaan kilang LAMP dan bukan setakat mensyaratkan keatas prosedur semata-mata.

Lynas menjelaskan, operasi mereka boleh dimulakan dalam masa enam minggu selepas mendapat kebenaran, dan akan menghasilkan nadir bumi yang diperlukan dalam pembuatan produk berteknologi tinggi seperti turbin angin, kereta hybrid, dan telefon pintar.

Himpunan Hijau 2.0: Kelulusan lesen operasi sementara Lynas harus ditolak!

Posted: 02 Feb 2012 04:58 AM PST

Himpunan Hijau 2.0: Kelulusan lesen operasi sementara Lynas harus ditolak!

Wong Tack | Feb 02

"Kami amat terkejut dan kesal dengan keputusan AELB bagi meluluskan lesen operasi sementara bagi sebuah projek yang begitu merbahaya, berisiko tinggi serta mempunyai pelbagai syarat yang masih belum dipenuhi ini. Keputusan ini adalah tidak logik dan tidak harus diterima sama sekali!" kata Wong Tack, Pengerusi Himpunan Hijau 2.0.

Menurutnya juga, "Pengeluaran lesen operasi sementara ini hanya akan membawa makna pihak berkuasa masih tidak mengetahui tentang risiko dan kesan yang akan diakibatkan projek ini. Penduduk Kuantan tidak harus dijadikan TIKUS MAKMAL untuk eksperimen ini. Malahan juga, kelulusan lesen ini seolah-olah diberi di bawah tekanan daripada pihak-pihak tertentu."

Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 berpendapat bahawa lesen tidak harus diluluskan tanpa persediaan yang mencukupi daripada pihak berkuasa dan Lynas. Lesen telah diluluskan tanpa menjalani proses DEIA yang lengkap. Lebih-lebih lagi, adakah bayaran insurans USD50 juta yang disyorkan oleh Lynas ini setara dengan harga rumah penduduk-penduduk di Kuantan? Bagaimanakah pula dengan nyawa 700 ribu orang penduduk berserta kehidupan anak-anak kita pada generasi yang akan datang? Tanpa persetujuan penduduk-penduduk sekitar Gebeng dan Kuantan, operasi kilang ini harus ditangguhkan.

"Tindakan pihak berkuasa yang bercanggah dengan hak asasi manusia ini telah mengetepikan proses demokrasi berparlimen di Malaysia. Kerajaan telah bersikap pekak tanpa mempedulikan pandangan dan kehidupan rakyat, tetapi memilih untuk memelihara kepentingan kroni-kroni tertentu. Ini jelas bertentangan dengan konsep Perdana Menteri kita yang begitu lantang dilaungkan - Rakyat Didahulukan," kata Wong Tack.

Maka, kami memberi jaminan kepada pihak berkuasa dan Lynas bahawa perjuangan kita tidak akan berhenti setakad ini. Kami tidak akan mengalah, sebaliknya akan gigih berjuang dengan kekuatan dan komitmen yang lebih tinggi untuk menjatuhkan kilang ini! Kami berpegang kepada apa yang telah diberitahu sebelum ini bahawa, "Tanpa persetujuan rakyat, kilang Lynas tidak akan berjalan. Tanpa mempedulikan apa jua lesen yang telah diperoleh Lynas, sama ada dari pintu depan atau pintu belakang, kami penduduk-penduduk Kuantan dan Gebeng berazam untuk menghentikan operasi kilang itu!"

"Kami tidak akan mendiamkan diri apabila melihat kesihatan dan kehidupan anak-anak kita terancam. Kami tidak akan membenarkan sekali bahan-bahan mentah untuk mendarat di tanah air kita. Datanglah jika anda ingin membawa masuk bahan mentah, dan kami menjamin bahawa kehadiran bahan mentah anda akan disambut oleh kami, rakyat-rakyat yang tolak Lynas," kata Wong Tack.

Menurutnya lagi, "Keadaan kini amat kritikal, setiap rakyat tidak harus mendiamkan diri lagi mahupun lemah semangat."

Dengan ini, Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 menyeru seluruh rakyat Malaysia bangkit dan hadirkan diri ke Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan pada 26 Februari 2012 di Kuantan pada jam 9.30 pagi. Datanglah beramai-ramai bagi menyuarakan bantahan serta kemarahan anda, serta menunjukkan kepada mereka bahawa keputusan ini tidak akan diterima oleh rakyat Malaysia!

Himpunan Hijau merupakan inisiatif yang diadakan bagi menyatupadukan sesiapa yang berdedikasi untuk keadilan alam sekitar dan isu-isu kemanusiaan. Ini merupakan sebuah platform bagi meraih sokongan daripada semua individu bagi menentang ketidaksaksamaan yang makin berleluasa menimpa ke atas masyarakat Malaysia.

Himpunan Hijau yang pertama telah diadakan pada 9 Oktober 2011 dan dihadiri oleh lebih daripada 80 NGO, parti-parti politik serta persatuan-persatuan setempat dan sejumlah 5000-7000 orang telah bersama dengan kita. Kali ini, kami yakin bahawa orang ramai yang hadir ke Himpunan Hijau 2.0 akan melipat ganda.

Pilihan di tangan kita.

*Kenyataan media oleh Wong Tack, selaku Pengerusi Himpunan Hijau 2.0.

Provokasi kepala babi: Rakyat masih sehati

Posted: 02 Feb 2012 04:55 AM PST

Provokasi kepala babi: Rakyat masih sehati

Ng Eng Kiat | Feb 02, 2012 01:19:21 pm

Sementara parti pemerintah sibuk bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang, pelbagai insiden jijik berlaku untuk menguji slogan 1Malaysia yang dilaungkan Najib Razak. Insiden terbaru, kepala babi ditinggalkan di Masjid Hidayat Sentul, dua hari selepas insiden yang sama di perkarangan Masjid Nurul Iman, Rawang (gambar bawah).

Sekali lagi, orang ramai pasti terkilan dengan kejadian provokasi tidak waras sebegini. Tetapi, apakah kita masih lagi perlu terkejut? Tidakkah rakyat berasa jemu dengan cubaan berulangkali untuk memecahkan perpaduan kita?

Sekiranya kejadian "kepala babi" ini terjadi 40 tahun lalu, kemungkinan besar huru-hara telahpun berlaku. Malah, seandainya insiden ini terjadi sebelum 3 Mac 2008 pun, ketika isu-isu agama menjadi punca ketegangan - misalnya isu dialog antara agama (Interfaith Dialogue), perebutan jenazah, dan pertukaran agama yang agak meruncing waktu itu - belum tentu masyarakat Malaysia dapat menanganinya dengan kesabaran yang telah ditunjukkan dalam masa dua hari yang lepas.

Bagaimanapun, masyarakat Malaysia pasca-2008 sudah menunjukkan kematangan yang baru, di mana walaupun tempat beribadat disimbah cat merah, dibakar api, ataupun dihina dengan pelbagai cara jijik seperti menggunakan kepala binatang, rakyat Malaysia secara umumnya tidak menunjukkan reaksi yang melulu, melampau, atau terlalu beremosi.

Sungguhpun begitu, pastinya kita bersedih kerana di sebalik kemajuan masyarakat dan hubungan etnik pada asasnya sejak 13 Mei 1969, masih ada unsur-unsur subversif yang ingin mencetuskan ketegangan etnik. Kejadian terbaru ini bukan kali pertama vandalisme dilakukan ke atas tempat beribadat sama ada masjid, surau, gereja, atau kuil. Malangnya, aksi-aksi sebegini tidak akan berhenti selagi politik negara terus didominasi elemen kaum dan agama. Tidak dinafikan, perkara kaum dan agama sukar dipisahkan daripada wacana kebangsaan. Namun, pada masa politik perkauman yang sedang merosot diancam politik baru yang berasaskan keadilan sosial, saya percaya pergelutan ini akan menghasilkan peluang supaya perubahan boleh berlaku.

Walaupun aman dan damai pada hari biasa, keadaan hubungan etnik di Malaysia sukar diukur kerana sekiranya seseorang membaca akhbar Utusan Malaysia setiap pagi, seolah-olah ada sahaja pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memporak-perandakan hubungan antara kaum. Sekiranya mendengar ugutan-ugutan PERKASA dan pertubuhan-pertubuhan satu kaum (1Kaum?) yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan pasca-8 Mac 2008, seolah-olah wujud ancaman besar terhadap hak-hak Bumiputera. Sekiranya melihat kembali tunjuk perasaan mengheret kepala lembu memprotes tapak sebuah kuil hindu pada tahun 2009 dan insiden-insiden vandalisme tempat beribadat sejak 2010 (termasuk 12 kejadian dalam bulan Januari 2010 sahaja), keadaan hubungan etnik di Malaysia nampaknya tidak boleh dibanggakan langsung.

Namun, adakah perkara-perkara yang disebut di atas membayangkan realiti hubungan etnik di Malaysia? Ataupun adakah ia sebenarnya hanya berunsur acara pseudo untuk mengalih fokus orang ramai dan mempengaruhi pendapat umum? Dalam konteks ini, apakah kempen 1Malaysia Najib bermakna ataupun juga sekadar retorik sahaja?

Amat sukar untuk rakyat biasa menerima 1Malaysia apabila penyokong terbesar propaganda Najib ialah Ibrahim Ali dan kumpulannya PERKASA yang terus gagal untuk menghormati masyarakat minoriti. Untuk membuktikan beliau benar-benar mahukan pembaikan hubungan etnik, Najib harus segera menyeru supaya segala unsur provokasi diberhentikan. Lebih penting lagi, beliau perlu mengajukan seruan ini bukan sahaja secara umum, tetapi spesifik kepada kumpulan-kumpulan yang telah memainkan peranan dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dalam masa beberapa tahun lalu. Tidak ada gunanya bercakap pasal ETP dan GTP apabila gagal memimpin dalam perkara seasas keharmonian hubungan antara kaum.

Tentunya, ada juga mereka yang akan menuduh kemelut hubungan etnik kita sejak tahun 2008 adalah kesan langsung pemerkasaan barisan pembangkang. Walaupun tidak logik, hujah ini akan diulangi lagi pada pilihan raya akan datang. Strategi UMNO di Selangor dan Pulau Pinang jelas menunjukkan tren bahawa mereka sedang merayu undi masyarakat Melayu dengan mencetuskan rasa takut di kalangan mereka. Di Pulau Pinang khususnya, berpuluh-puluh protes sudah diadakan untuk menggambarkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai seorang yang meminggirkan masyarakat Melayu. Di Selangor, isu agama pula digunakan.

Pakatan Rakyat bawa kucar-kacir, DAP mahu hilangkan hak Melayu, PKR mahu menghalalkan seks sejenis, dan PAS tidak lagi mempertahankan Islam. Begitulah seruan yang akan digunakan Barisan Nasional. Kadang-kadang, saya terfikir, susah juga untuk bergelut dengan lawan yang enggan bergusti secara adil. Minta debat pasal skandal lembu, dia sembunyi dan bersorak pasal skandal seks. Minta pulihkan pilihanraya kerajaan tempatan, dia bicara pasal buah dada. Minta berhentikan projek Lynas di Gebeng, dia buat tak tahu. Minta deklarasi aset menteri, dia pula pergi "shopping" di Australia. Minta pilihanraya adil, dia dakwa Ambiga anti-Islam. Sudahlah itu, lepas rakyat kecewa dan minta "Asalkan Bukan UMNO", dia datang menghayun batang kayu.

Begitulah cara UMNO menanggani kontroversi. Tiap kali ada orang persoalkan sesuatu, timbulkan sahaja keadaan kurang tenteram. Ugut sahaja kalau terus persoal akan terjadilah huru-hara dan pertumpahan darah. Namun, dengan adanya media sosial yang secara relatif bebas dari kawalan langsung pemerintah BN, taktik-taktik kotor UMNO mendapat perhatian ramai melalui perbincangan yang lebih terbuka dan bebas.

Di medan Internet, idea baru yang hebat akan cepat mendapat sambutan hangat. Sebaliknya, idea yang basi tidak mampu bersaing dari segi impaknya. UMNO ketahui hakikat ini. Mereka sedar tidak ada wacana logik yang boleh terus menghalalkan niatnya untuk terus berkuasa. Oleh itu, "cybertrooper" dan "blogger" pro-UMNO tidak berdebat dasar dan pendekatan politik. Fokus mereka? Apa lagi kalau bukan skandal seks dan sentimen perkauman?

Rakyat perlu sedar, perpaduan dan kesefahaman kita lebih kuat dari apa-apa skandal dan provokasi yang dimainkan. Mereka yang meletakkan kepala babi di pintu masjid tidak semestinya membenci agama atau orang Islam. Tapi, yang pasti, mereka mahu supaya golongan Islam hilang rasa percaya terhadap perpaduannya dengan orang bukan-Islam. Namun, saya yakin rakyat biasa di Rawang, Sentul dan di seluruh pelosok tanahair akan mengatasi kontroversi ini dengan penuh sabar dan tabah.

Syabas kepada wakil rakyat Rawang dan ahli EXCO negeri Selangor, kedua-duanya bukan-Islam, yang segera melawat Masjid Nurul Iman pada pagi kejadian. Begitu juga wakil rakyat Batu Tian Chua yang hadir untuk mengecam tindakan provokasi tersebut.

Yang penting, mulakan usaha supaya rakyat setempat membina hubungan yang lebih erat untuk hilangkan apa-apa rasa syak wasangka. Sekiranya gerakan rakyat mampu membina muafakat dari bawah, sekiranya fokus tidak lagi mudah dialih tiap kali provokasi dibuat, dan sekiranya kita bersatu, akan satu hari nanti kita bangga sebab kita benar-benar rakyat Malaysia.

*Ng Eng Kiat ialah aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Mohamad Nur: BN Takut Istihar Harta Kerana Banyak Rasuah

Posted: 02 Feb 2012 04:52 AM PST

SHAH ALAM 2 FEB : Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata keengganan dan ketakutan pemimpin-pemimpin Umno/BN untuk mengistiharkan harta mereka serta keluarga mereka disebabkan amalan rasuah yang berleluasa dalam pentadbiran kerajaan sejak sekian lama.


Menurut beliau cadangan pengisytiharan harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada semua pemimpin negara serta keluarga mereka merupakan satu langkah baik dalam membuktikan ketelusan kepada rakyat.

Katanya, amalan ini sudah menjadi kebiasaan di barat dan perkara ini tidak bertentangan dengan prinsip Islam yang menganjurkan sikap amanah dan ketelusan menjadi seorang pemimpin.

"Tidak patut pimpinan Umno berasa khuatir dan takut serta menggunakan alasan kononnya boleh melibatkan persoalan keselamatan negara.

"Kalau pemimpin yang bersih dan memperoleh sumber harta yang halal, tidak akan timbul kebimbangan untuk mengumumkan harta mereka.

"Persoalannya mengapa pemimpin-pemimpin kerajaan takut untuk istihar harta mereka, setentunya ada sesuatu yang tidak kena dengan harta-harta yang diperoleh tersebut,

"Rakyat sebenarnya menunggu-nunggu pimpinan Umno mengisytiharkan harta mereka dan kita dapat melihat bagaimana pimpinan kerajaan Pulau Pinang berbuat demikian baru-baru ini dan ianya menambahkan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Sebelum ini, Mantan Perdan Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melihat cadangan ini adalah wajar dilakukan namun maklumat tersebut tidak perlu dimaklumkan kepada masyarakat umum kerana ia akan mengundang pelbagai spekulasi dan fitnah.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz mendakwa pengisytiharan harta menteri dan ahli keluarga mereka akan 'mengundang bahaya'.

Sebelum ini isu politik wang yang menjadi barah dalam setiap kali pemilihan dalam perhimpunan Agung Umno yang melibatkan puluhan juta ringgit.

Amalan rasuah, sogokan dan salahguna kuasa dalam pentadbiran kerajaan Umno/BN juga bukan lagi sesuatu yang mustahil lagi.

Manakala kebocoran dan ketirisan wang rakyat sebanyak RM24 bilion setiap tahun sebagaimana di umumkan ketua Audit negara menunjukkan betapa amalan tidak bermoral dikalangan pemimpin-pemimpin Umno/BN sudah berleluasa sejak sekian lama.

Justeru pelbagai alasan diberikan oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN termasuk Dr Mahathir untuk mengelak dari rakyat mengetahui kekayaan serta punca kekeyaan mereka sememangnya sudah dijangkaan.

Tambah Dr Mohamad Nor, pemimpin Umno sepatutnya insaf dengan tuntutan rakyat sekiranya mereka benar-benar telus.

Jika perkara ini dilaksanakan di negara ini, bukan sesuatu yang ganjil malah menambahkan keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan.

Memandangkan sistem masyarakat yang semakin kompleks masa selain mewujudkan satu sistem pemerintahan yang stabil, beliau mencadangkan agar perkara ini dijadikan sebagai polisi bersama Pakatan Rakyat tidak kira di peringkat pusat mahupun negeri.

"Sebaik-baiknya pengisytihaaran harta ini dibuat setiap tahun memandangkan pemimpin itu memperoleh pendapatan dan elaun tetap. Ini memberikan keyakinan dan bukannya gimik dalam menunjukkan contoh pentadbiran di negara ini," katanya.

Tian: Isu Kepala Babi Di Lakukan Pihak yang Sama

Posted: 02 Feb 2012 04:48 AM PST

SHAH ALAM 2 FEB : Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menganggap isu kejadian kepada babi yang ditemui di beberapa masjid sebagai bermotifkan politik serta dilakukan oleh pihak yang sama.

"Ini semua seolah-olahnya dibuat oleh golongan yang sama bermotif politik," katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya kaedah digunakan pihak tidak dikenalpasti itu sudah diketahui umum dan beliau berharap masyarakat bertenang serta tidak terperangkap dengan isu ditimbulkan ini.

Isu kepada babi timbul dan diperkatakan semula dengan kejadian terbaru berlaku di Masjid Nurul Iman, Rawang pada 31 Januari lalu dan Masjid Al-Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini kejadian hampir sama berlaku beberapa bulan lalu di sebuah masjid Kampung Datuk Harun, Kuala Lumpur serta juga masjid di Johor Bahru.

Tian menjelaskan isu meletakkan kepada babi di masjid itu adalah sesuatu yang sensitif dan ia dilihat satu pendekatan bagi mewujudkan ketegangan kaum.

"Nampaknya macam ingin melaga-lagakan masyarakat dan mengalih pandangan daripada isu pokok yang kita hadapai sekarang iaitu seperti ekonomi dan rasuah.

"Yang kita khuatir ada golonan tertentu cuba menggunakan isu ini untuk memberi justifikasi dan menekan hak asasi serta mengambil kesempatan juga menakutkan masyarakat. Ini yang kita khuatir," katanya beliau yang juag Naib Presiden PKR.

Beliau berharap pihak polis menjalankan siasatan rapi berhubung perkara itu kerana ia telah berlaku beberapa kali dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Katanya, isu seperti itu tidak seharusnya berlarutan dan menjadi sesuatu yang tidak disenangi masyarakat.

Idris Ahmad: Provokasi Kepala Babi Petanda PRU13 Makin Dekat

Posted: 02 Feb 2012 04:43 AM PST

SHAH ALAM 2 FEB : Pelbagai provokasi dan amalan fitnah yang dicetuskan golongan berkepentingan serta media arus perdana yang cuba mencetuskan ketegangan kaum menjadi penanda PRU13 semakin hampir.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, melahirkan kekesalan berhubung insiden meletakkan kepala babi yang berlaku di Masjid Al-Hidayah Sentul seperti yang dilaporkan hari ini.

Dalam reaksinya kepada TVSelangor berkata, kejadian ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan kejadian ini merupakan kes kedua dalam tempoh seminggu.

Awal minggu ini menyaksikan satu kepala babi ditemui di sebuah masjid di Rawang oleh ahli jawatankuasa masjid sebelum solat subuh.

Justeru, beliau meminta pihak polis bertindak tegas bagi mencari pihak yang bertanggungjawab memandangkan perkara ini dilihat sebagai satu bentuk provokasi sentimen keagamaan menjelang Pilihanraya ke-13 (PRU-13).

"Jika perkara ini berlaku dalam era tahun 60an, sudah pastinya perkara yang tidak diingini akan berlaku di negara ini," katanya.

Selain itu sentimen perkauman bukan sahaja melibatkan usaha provokasi keagamaan seperti isu kepala babi dan kepala lembu turut melibatkan kenyataaan pemimpin-pemimpin Umno dan NGO (Perkasa) yang bersifat perkauman.

Media milik Umno juga hampir setiap hari cuba mencetuskan suasana tidak harmoni dengan meniup api perkauman dan pelbagai bentuk fitnah.

Keadaaan ini dianggap sebagai disengajakan oleh pihak tertentu bertujuan meraih sokongan kaum tertentu setelah merasakan tiada jalan lain untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Beliau menambah, perkara sebegini merupakan 'bunga-bunga PRU-13' yang bakal berlangsung bila-bila masa.

Insiden meletakkan kepala babi ini tercetus selepas Pakatan Rakyat berjaya menawan beberapa buah negeri selepas PRU-12 bermula di Petaling Jaya yang melibatkan dua buah masjid diikuti kejadian sama yang berlaku di Johor.

Selain itu, insiden provokasi bermotifkan sentimen keagamaan ini turut belaku melibatkan kejadian kebakaran gereja di Taman Melawati dan simbahan cat merah di sebuah surau di Seremban.

Merujuk kepada kejadian sebelum ini, sehingga kini belum ada sebarang tangkapan yang dilakukan.

Tiada ulasan: