Selasa, 14 Februari 2012

shalehudin

shalehudin


HILANG AKAI: Dedah payudara dalam musim sejuk...

Posted: 14 Feb 2012 10:00 AM PST

Dedah payudara semasa cuaca sejuk melampau di Moscow

MOSCOW, Rusia - Tiga aktivis pergerakan hak wanita, FEMEN dari Ukraine sanggup mendedahkan payudara mereka semasa melakukan tunjuk perasaan dalam suasana sejuk melampau di depan ibu pejabat syarikat gergasi gas semula jadi Gazprom di sini semalam.

Mereka yang hanya memakai seluar panjang mendedahkan payudara sambil memegang poster yang mengandungi mesej mengutuk tindakan syarikat Gazprom.

Ketiga-tiga wanita itu mendedahkan payudara semasa suhu mencecah -22 darjah Celsius.

Salah satu poster itu mengandungi mesej yang menyamakan Ketua Pegawai Eksekutif Gazprom, Alexei Miller dengan ketua polis rahsia pada zaman pemerintahan pemimpin Adolf Hitler di Jerman, Heinrich Mueller.

Tunjuk perasaan itu dibuat kerana Ukraine dan Rusia gagal mencapai penyelesaian berhubung harga gas sejak beberapa bulan lalu.

Namun, ketiga-tiga wanita itu diusir keluar dari ibu pejabat tersebut oleh kakitangan lelaki syarikat Gazprom.

- Agensi

PANAS!! Bahananya bila Rosmah semak kepala...

Posted: 14 Feb 2012 08:00 AM PST

Shahrizat Bakal Di Pecat Esok?

Angin bertiup kencang dialam maya mengatakan Shahrizat bakal digugurkan daripada jawatan menteri esok. Shahrizat yang kini dilihat sebagai beban kepada Umno dan Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja. Skandal lembu NFC yang melibatkan sejumlah RM250 juta yang melekat begitu kuat dibatang tubuh Shahrizat sekeluarga.

"Terima info Shahrizat digugur menteri esok? Ada sesiapa dapat info yang sama?" dipetik daripada twitter Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.

Shahrizat yang dilihat begitu liat untuk diambil tindakan, mungkin kerana ugutannya yang berbunyi 'Menteri Umno mana yang tidak ada masalah?' bakal melondehkan pimpinan-pimpinan Umno yang punyai rekod hitam sekiranya jawatan beliau digugurkan.

Soalnya sekarang, beranikah Najib menggugurkan Shahrizat dikala momentum rakyat yang mahukan perubahan semakin kuat?

Dan siapakah pula yang layak untuk menerajui jawatan Ketua Wanita Umno yang tidak sudah-sudah dengan kontroversi sensasi.~ajijoi

Ni saja ka senjata UMNO... kahkahkah...

Posted: 14 Feb 2012 07:40 AM PST

Isu agama senjata akhir Umno?

ADA suatu catatan panjang mengenai bagaimana Umno dan British menipu Melayu dengan menggunakan isu agama ketika zaman darurat komunis. Inilah catatannya. Pertamanya, kita mesti sedar bahawa yang paling ditakuti penjajah British ialah ketika Melayu bangkit menentangnya atas nama agama, rajaraja dan penentangan bersenjata.

Penentangan ini wujud ketika zaman penaklukan British sebelum pendudukan Jepun di Malaya pada 1942-1945.

Ambil sahaja contoh penentangan Megat Terawis, pembunuhan pegawai JWW Birch di Pasir Salak, penentangan Tok Janggut (Kelantan), Abdul Rahman Limbong (Terengganu) dan Dato' Bahaman (Pahang) atau di mana-mana lagi.

Semuanya atas nama agama Islam, raja-raja Melayu dan bercorak senjata.

Golongan Melayu kiri ini menentang penjajahan British sebelum gempuran Jepun di Malaya selama tiga tahun. Ini fasa penentangan Melayu yang pertama ke atas British, iaitu lewat pem berontakan bersenjata berseruankan agama, raja-raja dan memilih pertumpahan darah sebagai langkah penyelesaian. Setelah Jepun beredar, maka British datang kali kedua dengan wajah BMA (British Military Army).

Ketika ini, dengan meninjau pengalaman lalu, British sedar bahawa perjuangan bersenjata dalam kalangan Melayu sangat berbahaya.

Tetapi, ketika penjajahan Jepun sebelum ini pun, British terlanjur dan terpaksa membentuk Force 136 dalam kalangan Melayu, sekali gus melatih Melayu dan Cina (Bintang Tiga) mengguna senjata api.

Lalu, Jepun menyerah. Dan Cina komunis (Bintang Tiga atau MPAJA; Malayan People Anti Japanese Army) pun turut menolak British yang sebelum ini pernah membantu mereka mengganyang Jepun.

Komunis Cina, dengan bantuan kepakaran yang diterima daripada British dahulu telah merekrut pengikut baharu, khasnya daripada Melayu. Igauan ngeri British terhadap pemberontakan Melayu secara berdarah ini masih ada dalam lipatan kenangan lama mereka. British tahu jika Melayu bersama komunis, maka kuasa mereka tidak kekal lama di Malaya.

Ini kerana, perjuangan komunis Melayu di hutan adalah lanjutan perjuangan Melayu (sebelum Jepun) yang melawan British dengan jalan pemberontakan seperti Tok Janggut, Mat Kilau itu.

Jadi, bagaimana British mahu jarakkan hubungan Melayu dengan komunis yang dikhuatiri akan membuat pemberontakan? Maka, salah satu perkara yang dibangkitkan British adalah komunis itu menolak faham agama, khasnya Islam. Jadi, bagaimanakah British melaksanakan kaedah ini?

Perlu diingat bahawa, Jepun meninggalkan Malaya pada 1945 dan pada masa sama, PKMM ditubuhkan.

Lalu, Umno ditubuhkan setahun kemudian (1946) dengan restu British bagi menenggelamkan kemasyhuran PKMM. Pada tahun itu juga, elit bangsawan Melayu Umno mula menurut kehendak British yang inginkan komunis dijarakkan daripada orang Melayu.

Lalu, kempen yang dibuat adalah seruan agar Melayu tidak sertai komunis yang menolak agama Islam tadi. Sentimen keagamaan mula dimainkan British buat pertama kalinya secara besarbesaran dengan propaganda British yang sungguh licik dan tersusun pada saat itu.

Rancangan Briggs bermula dengan penyusunan semula desa Melayu bertujuan menggagalkan fahaman komunis daripada meresap kepada Melayu. British sedar jika Melayu sertai komunis, maka British pasti kalah sebab Melayu pernah angkat senjata seperti pengalaman British sebelum penjajahan Jepun.

Kesimpulannya isu agama Islam pernah dimainkan British (dengan bantuan Umno) seawal kemuncak komunis mencari pengaruhnya di Malaya. British ini menakut-nakutkan Melayu (dengan bantuan Umno), kononnya jikalau Melayu mendukung komunis, maka agama Islam tercabar kerana faham komunis itu menolak agama.

Arakian, pada hari ini, setelah merdeka lima dekad, Umno mengguna strategi British yang sama, iaitu menyerang Pakatan Rakyat atas nama agama. Ada juga yang menyalur fitnah bahawa fahaman liberal Anwar Ibrahim akan menyesatkan Melayu, walhal laras bahasa faham itu terpaksa diselaraskan dengan tahap fikiran masyarakat antarabangsa sekali gus untuk mencari jalan tengah. Ini antara cara Umno untuk memikat Melayu agar menjauhi Pakatan Rakyat itu.

Arakian, baru-baru ini, Umno memperalat Dr Hasan Ali atas projek 'road-show' beliau itu dengan menyarung jubah agama. Di dalam 'road-show' itu, pakar motivasi itu berteriak menangis dengan suara sebak depan ramai orang, berdoa untuk memelihara akidah umat Islam. Maka, seperti British, Umno (anak asuhan penjajah) itu telah memperalat Hasan pula.

Jadi, bagaimanakah hal itu terjadi? Iaitu setelah disebut bahawa PAS memecatnya setelah beliau membela akidah umat Islam, maka dengan tiba-tiba beliau menyeru agar jangan mengundi Pakatan Rakyat atas pesan-pesan ketauhidan tadi. Rupanya, Umno sudah membuat kempen pilihan raya lebih awal atas nama agama de ngan mengguna Hasan Ali itu! Inilah yang terjadi hari ini sebenarnya!

FUYOO... Takutnya aku kat Hassan Ali...

Posted: 14 Feb 2012 05:11 AM PST

Beban, Bebal dan Fenomena Hasan Ali

Hafiz Zainuddin

Walaupun rakyat secara umum sudah makin celik politik, tidak dapat dinafikan, masih ramai lagi yang mengambil sikap berdiam diri.

Ada yang berpendapat, sekiranya banyak kerusi PAS tumbang pada PRU ke 13 nanti, ia disebabkan oleh Hasan Ali (gambar kanan). Dengan pengalaman sebagai motivator dan mempunyai karakter tersendiri, beliau cukup mudah memaut hati pendengar lebih-lebih lagi di kalangan ibu-ibu dan bapa-bapa. Sedikit sebanyak, kebarangkalian sokongn pengundi juga boleh berubah begitu sahaja. Legasi AKRAB tidak hilang biarpun Hasan Ali terjun ke kancah politik.

Dalam konteks Hasan Ali, isunya bukan apa yang dibawa, tetapi siapa. Contohnya kalau Umi Hafilda yang membawa isu murtad, mungkin orang tidak ambil pusing. Ya. Minda masyarakat kita telah lama dipesongkan.

Saya masih ingat bagaimana pertama kali saya mendengar pidato Hassan Ali ketika ceramah sulung beliau di Dataran Kampung Sungai Tapah, Gugusan Manjoi Ipoh sekitar awal tahun 2000 yang lalu. Dengn gaya, lenggok bahasa dan emosi yang tersusun, cukup saya katakan; pandangan baik saya terhadap UMNO berubah selama-lamanya. Orang mungkin boleh membuat andaian bahawa saya peminat Hasan Ali tapi terpulanglah. Ini pengalaman saya.

Sebab itu saya katakan, Hasan Ali sedang mencetuskan fenomena.

Beliau juga tidak malu untuk menamakan perjuangannya sebagai kuasa ketiga walaupun perkara tersebut telah lama diperkatakan sejak PRU yang lepas.

Apapun pandangan anda, bersikap sinis atau sebaginya. Fenomena Hasan Ali bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Ia tidak sama dengan Ezam Mohd Nor, Zulkifli Nordin (gambar kiri, sebelah kiri), Gobalakrishnan mahupun Ibrahim Ali (gambar kiri, sebelah kanan) yang berpaling dari perjuangan pro-demokrasi dan pro-rakyat.

Kenapa fenomena Hasan Ali? Lihatlah pada roadshow yang diadakan. Hampir semuanya mendapat sambutan. Jauh sekali dengan ceramah Zulkifli Nordin mahupun Ezam yang lebih banyak kerusi dari pendengar. Pengaruh mereka tidak sehebat Hasan Ali dan orang pun tidaklah membenci beliau sepertimana membenci Ibrahim ali.

Natijahnya, sekarang Hasan Ali bebas. Bebas bersuara dalam kerangka ruang demokrasi yang tersedia. Bebas untuk menuntut dan menyatakan pandangan-pandangan beliau yang lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kemaraan Pakatan Rakyat dengan gambaran buruk terhadap akan terhakisnya kedudukan Raja-Raja Melayu, survival umat Melayu dan Islam sebagai agama persekutuan. Turut diheret adalah PAS sendiri dengan dakwaan bahawa parti itu didominasi oleh pemimpin sekular.

Walau apapun cemuhan dan dakwaan Hasan Ali terhadap Pakatan Rakyat, kesemua tomahan tersebut sama seperti apa yang telah UMNO suarakan sebelum ini.

Dengan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat, Hasan Ali secara tidak langsung menjadi jurukempen bagi Barisan Nasional. Ironinya, ia seperti bertukarshift, beliau kini telah menggalas beban UMNO terhadap kesilapan lampau mereka sepanjang mentadbir kerajaan. Pertukaran shift ini bererti, UMNO boleh menumpukan terhadap kerja-kerja politik mereka yang lain dalam memaut semula hati rakyat.

Mungkin kalangan pimpinan maupun penyokong Pakatan Rakyat memandang sinis Fenomena Hasan Ali ini dan menyifatkannya sebagai "perkara biasa", "gila meroyan" dan sebagainya. Walau bagaimanapun, tanggapan ini mungkin saja suatu kesilapan besar.

Di saat rakyat makin terdedah dengan maklumat penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan pentadbiran Barisan Nasional, Pakatan Rakyat pula telah digoncang dengan dakwaan dan pendedahan negatif pentadbiran dan persefahaman mereka.

Kita tidak berani meletakkan apa-apa konklusi lagi terhadap penilaian rakyat melaikan selepas keputusan pilihanraya diumumkan, akan tetapi Pakatan Rakyat haruslah lebih serius dalam menangani Fenomena Hasan Ali ini.

Hasan Ali, walaupun kita mendakwa beliau sebagai orang yang mempunyai fikiran tipikal, kolot, ia langsung tidak memberi impak terhadap pandangan masyarakat yang juga masih tipikal. Inilah bahayanya. Mungkin, kuasa ketiga acuan Hasan Ali akan menambah bilangan undi rosak mahupun mengurangkan peratusan yang keluar mengundi. Apakah itu yang kita mahu?

*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia

Ishh... Aku meluat betoi ngan babi-babi nih...

Posted: 14 Feb 2012 01:00 AM PST

Siapa cemar masjid dengan babi

Oleh Subky Latif

DALAM waktu yang singkat ini sudah tiga masjid dicemar dengan melempar kepala babi ke dalamnya.

Yang pertama di Johor. Kemudian di Rawang dan yang terakhir di Sentul.

Ia angkara siapa?

Ia adalah satu penghinaan kepada umat Islam dan menjadi cabaran kepada sekalian rakyat Malaysia yang berbilang agama. Orang Islam merasa sakit hati atas kejaadian itu dan kepada pihak yang melakukannya.

Bagi mereka ia bukan sekadar satu penghinaan tetapi tindakan mempereleceh dan merendahkan orang Islam.

Orang Islam tidak percaya ia dilakukan oleh orang Melayu yang paling jahat. Mungkin ada Islam yang tidak beragama dan paling jahat, atau orang Melayu yang meninggalkan agama disebabkan oleh galaknya usaha memurtad orang Islam, tetapi lazimnya yang dinamakan Melayu itu genyi kepada babi.

Loya perut dan tekak mereka bila berdepan dengan lauk babi atau bergesel dengan babi. Anjing tidak sejijik babi, tetapi orang Melayu yang demikian pun selesa digesel anjing, maka apa lagi babi.

Bagi orang Melayu macam itu mungkin tidak ada apa-apa erti pada dosa dan haram. Tiada dosa dan tiada yang dikatakan haram. Tetapi seperti orang yang tidak makan ikan darat. Ikan itu tidak haram, tetapi mereka muntah memakannya. Pegang ikan darat pun mereka pantang.

Begitulah babi buat mereka. Oleh itu mereka sukar bergelmbang dengan babi bahkan menyentuhnya pun tak mungkin.

Tetapi adakah kita mahu bersangka buruk kepada orang Cina dan orang India, yang masing-masing tidak bermasalah untuk memegang babi kering atau basah?

Kita tidak boleh bersangka buruk kepada Cina dan India. Apa untung mereka melempar kepada babi, tulang dan kulit babi ke dalam masjid?

Orang Melayu yang tidak cerdik mudah melemparkan angkara itu kepada orang Cina dan India atau mana-mana orang bukan Islam. Mereka bukan saja marah tetapi boleh membenci orang Cina dan orang India. Ia bukan sekadar menimbulkan masalah perkauman yang lebih berat, malah boleh membenci orang Cina dan orang India.

Rasa benci itu mudah menjadikan mereka mengamuk dan menncetuskan perkelahian serta berbunuh-bunuh seperti yang berlaku 13 Mei, 1969 dulu.

Cina tidak untung, India tidak untung dan orang Melayu yang naik darah itu juga tidak untung. Sebaliknya menimbulkan huruhara dan kacau bilau.

Orang Cina dan orang India tidak mahu kejadian itu berlaku. Kalau ada Cina dan India sedia berbuat begitu, maka dia adalah Cina dan India yang tidak berhati perut. Tetapi kita tidak terfikir Cina dan India boleh berbuat begitu.

Apa lagilah parti-parti politik. Tiada untung politik bagi mereka berbuat demikian. Terutama DAP. Sekali pun orang Melayu UMNO begitu tebal tidak sukanya kepada DAP, tetapi DAP tidak cabar orang Islam dengan melempar babi ke masjid.

DAP tahu suasana politik. Sekarang adalah waktu terbaik bagi DAP untuk meraih sokongan politik dari rakyat khususnya orang bukan Melayu. Peluang DAP untuk menewaskan seramai-ramai calon MCA dalam PRU 13 adalah begitu cerah.

Apakah PAS dan PKR boleh meraih sokongan orang Islam, menjadi perhatian. Tetapi DAP senang meraih sokongan Cina dan India.

Justeru itu tidak kemugkinan langsung Cina yang menyokong DAP bermain kotor seperti itu kerana ia boleh merusakkan harapan baik DAP.

Mungkin MCA atau Gerakan yang hilang sokongan itu berbuat demikian bagi menimbulkan satu suasana supaya pilihan raya tidak diadakan gara-gara kebarangkalian huruhara yang dapat dicetuskan oleh lemparan babi ke masjid?

Tetapi kemungkinan itu sangat kurang. Apa MCA boleh dapat kalau ia upah orang buat begitu. Payah saya mahu percaya kerana kalau kacau bilau berlaku anak cucu orang MCA akan ramai yang terkorban. Tiada kemungkinan itu.

Orang Melayu tidak boleh bertindak buruk begitu terhadap kuil, gereja dan pagoda. Islam tidak mengajar berbuat begitu. Masalah tidak selesai kalau Melayu melempar kepada lembu ke kuil atau mengetuk tokong atau mencederakan gereja.

Apa yang kita boleh agak, ia adalah mainan khianat orang luar, angkara keganasan antarabangsa oleh kuasa dunia yang ada kepentingan kiranya Malaysia jadi negara huruhara.

Zionis misalnya, atau anasir Fremason yang anti kemanusiaan dan Islam, tidak senang jika Malaysia membangun dengan Islam selepas PRU 13 ini. Bimbang kerajaan yang menunggu itu boleh menguasai Putrajaya, maka Islam, keadilan, demokrasi dan kebebasan dapat ditegakkan. Ia tidak baik bagi anasir itu. Maka mereka mengupah mana-mana orang mahukan keuntungan yang sedikit.

- Harakahdaily

Sib baik aku tak pakai Proton... kahkahkah...

Posted: 14 Feb 2012 12:00 AM PST

Aduan masalah kualiti serius kereta Proton

Oleh: amkns
Diharapkan pihak Proton dapat menyiasat kesahihan aduan di bawah ini , seterusnya mengambil tindakan yang perlu agar industi otomotif negara ini sentiasa berdaya saing dan mendapat sokongan padu pengguna tempatan.

Proton Saga FLX – Enjin Mati Secara Mengejut

February 11th, 2012 -

Semalam aku mengalami pengalaman yang sama dengan Encik KHARZUL RAFI MD YAZID iaitu enjin mati secara tiba-tiba semasa sedang memandu PROTON SAGA FLX 1.3 (CVT) pada kelajuan 150km/j. Kelajuan 150km/j itu cuma dalam tempoh 15 saat sahaja semasa sedang memotong kereta.Lampu amaran CVT menyala dan pada masa yang sama enjin mati mengejut.

Cadangan: Pihak PROTON boleh buat dua pengesan suhu untuk unit CVT tersebut. Pengesan suhu pertama adalah sebagai amaran kepada pemandu dengan cara memaparkan lampu amaran CVT pada suhu tertentu sebelum mencapai suhu maksimum CVT. Lampu amaran CVT dipaparkan untuk beberapa minit sebelum enjin dimatikan. Pengesan suhu kedua adalah untuk mengesan suhu maksimum 'belt' CVT dan mematikan enjin.

Adakan 'cut off' untuk 'top speed' kereta PROTON SAGA FLX 1.3 (CVT) pada kelajuan 14okm/j. Diharap pihak PROTON yang LEBIH ARIF dengan perkara ini boleh menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin. By: MimiTaro

http://www.aduanrakyat.com.my/proton-saga-flx-enjin-mati-secara-mengejut

Kerosakan Enjin CVT Saga FLX

December 30th, 2011

Saya baru membeli proton saga flx pada 26 November 2011 di Bayangan Dinamik SB di Bandar Baru Bangi, yang merupakan pengedar sah PROTON. Kenderaan ini merupakan kenderaan utama untuk saya berulang alik ke pejabat di Putrajaya. Tetapi saya merasa sangat kecewa dan hampa apabila belumpun sampai 2 minggu kereta ini mempunyai masalah.

Berikut adalah kronologi pembelian kereta ini:

26 November 2011 – Menerima kereta daripada wakil pengedar Bayangan Dinamik Sdn. Bhd., Bandar Baru Bangi. 3 Disember 2011 – Sedang dalam perjalanan ke kedai buku di Alam Damai, kereta ini telah menunjukkan tanda amaran kegagalan CVT. Saya bersama anak-anak hampir menemui kemalangan kerana kereta tidak mempunyai pick-up langsung. Telah menghubungi dealer dan menyuruh rujuk kepada manual. Dalam keadaan panik, suami telah menelefon talian 1-800-888-398 untuk meminta bantuan. Berjaya pulang kerumah dengan keadaan kereta yang membahayakan.

9 Disember 2011 – Amaran CVT menyala lagi, semasa dalam perjalanan pulang daripada solat jumaat jam 2.30 petang di lebuhraya SILK Balakong. Hampir dilanggar oleh kereta lain, kerana secara tiba-tiba kereta bergerak perlahan. Sekali lagi menelefon talian bantuan kerosakan. Dinasihati untuk berhenti seketika. Sampai dirumah telefon semula bantuan kerosakan, bantuan lori towing hanya sampai jam 4.30 petang dan membawa kenderaan ke pusat servis di cheras. Menelefon pusat servis bertanya bila kereta akan dibaiki dan dimaklumkan kereta hanya akan dibaiki pada minggu berikutnya kerana 10 Disember 2011 (Sabtu) hanya menjalankan servis kereta yang biasa sahaja.

12 Disember 2011 – Telah menelefon pusat servis dan dimaklumkan kereta akan disiapkan pada hari itu. Setelah menunggu hingga petang, sekali lagi dimaklumkan kereta tidak dapat disiapkan.

13 Disember 2011 – Kereta telah diambil daripada pusat servis tanpa memberi apa-apa penerangan mengenai pemasalahan yang dihadapi.

24 Disember 2011 – Jam 9.30 pagi menghantar kereta ke pusat servis yang sama untuk servis 1,000km pertama. Jam 12.45 kereta baru disiapkan. Mengharapkan kereta dalam keadaan baik selepas menukar engine oil, oil filter, gasket drain plug dan magnetrap.

25 Disember 2011 – Jam 2.00 petang ketika hendak keluar bersama keluarga ke kenduri kahwin, lampu amaran CVT bernyala lagi. Dalam keadaan keadaan jalanraya yang sibuk, terpaksa memberhentikan kereta dan ini sangat membahayakan keluarga saya yang berada didalam kereta ketika itu. Telefon semula bantuan hotline, tetapi jawapan yang sama diterima.

Telah bercakap dengan salah seorang pekerja di talian bebas tol i-care dan mengadu masalah yang dihadapi, dinasihatkan untuk menghubungi proton i-care. Dengan keadaan yang telah berlaku ini, saya merasa SANGAT KECEWA, HAMPA DAN SUDAH TAWAR HATI. Inikah yang dikatakan MALAYSIA'S LEADING MANUFACTURER??

Diharap pihak PROTON menghubungi saya bagi menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi ini. Disebabkan masalah ini, saya terpaksa menyewa kereta untuk pergi bercuti kerana semuanya telah dirancang tetapi lain yang berlaku, kegembiraan menerima kereta baru hanyalah seminggu, selepas itu saya menanggung kesusahan dan penyesalan yang amat sangat dengan PROTON.

Saya memberi tempoh dua (2) minggu dari tarikh e-mail ini utnuk pihak PROTON mengambil inisiatif menyelesaikan masalah saya.

By: KHARZUL RAFI MD YAZID

http://www.aduanrakyat.com.my/kerosakan-enjin-cvt-saga-flx

Proton Persona baru mengalami masalah ECU Box

February 12th, 2012

Saya bekerja di Pulau Pinang. Pada 9hb jun 2010 saya telah membeli kereta proton persona elegent 1.6 manual di sebuah syarikat panjualan kereta di negeri ini dengan harga 53k. Pada 1hb ogos 2010 saya memandu kereta tersebut ke pahang. Pada pagi 5hb ogos 2010, saya ingin memulakan perjalanan ke Pulau Pinang semula tiba-tiba kereta saya mengalami masalah.

Timing turun naik sedangkan pada waktu itu saya tidak menekan pedal minyak. Saya hantar kereta saya ke pusat service proton di Bandar Maran untuk di periksa. Pekerja pusat service buat pemeriksaan terhadap kereta saya dan mendapati terdapat masalah pada ECU Box.

Saya bertanya pada kerani di pusat proton tersebut kenapa kereta saya mngalami masalah ecu box sedangkan kereta tu baru sahaja di beli. Kerani menerangkan pada saya, kereta proton persona elegent yang bernombor casis macam kereta saya dan ke bawah memang akan mengalami masalah ecu box.

Persoalannya, kenapa saya tidak diberitahu tentang perkara ini semasa saya hendak membeli kereta tersebut? Apa hak saya sebagai pengguna? Kenapa selepas kereta tersebut mengalami kerosakan baru maklumat ini sampai kepada saya? Itu pun selepas di tanya. Sedangkan rekod sudah ada yang mengatakan kereta saya akan mengalami masalah.

Bagaimana kalau semasa saya memandu dalam kelajuan tertentu dan kereta saya mengalami masalah tersebut? Nasib baik kejadian itu terjadi semasa saya baru hendak memulakan perjalanan. Adakah kereta buatan malaysia yang di pasarkan dalam malaysia sendiri tidak berkualiti? Saya sebagai pengguna rasa tertipu. Harap pihak yang bertanggungjawab tolong ambil serius perkara ini. Jangan bila sudah ada nyawa yang melayang di sebabkan kesilapan proton, baru nak ambil tindakan.

By: roshidi

http://www.aduanrakyat.com.my/proton-persona-baru-mengalami-masalah-ecu-box

Kerosakan serius pada Proton Persona

January 16th, 2012

Di sini saya ingin melahirkan rasa tidak puas hati yang amat-amat sangat kepada Proton dan seluruh pihak yang berkenaan. Untuk pengetahuan, saya baru sahaja membeli Proton Persona H-Line (full spec) tapi setelah saya membeli kenderaan tersebut, hanya beberapa kali sahaja dapat digunakan.

1700 km : Kerosakan pertama telah berlaku dimana kenderaan telah mengeluarkan pelbagai bunyian serta keroasakan pada brek dan penjimatan minyak. Hasilnya, terpaksa tinggal beberapa hari dengan penyelesaian yang diberikan kononnya kereta lain pun mengalami masalah yang sama. Juga telah ditipu oleh Pusat Servis Mutiara Damansara (3S center kononya yang perkhidmatan macam hampas) kononnya telah menukar dashboard tapi sebenarnya tidak.

3400 km : Kerosakan sama berulang kembali dan sekali lagi menghantar ke Pusat Servis Mutiara Damansara (3S center kononnya). dapat kembali kereta dengan masalah lain pula yang timbul dan ruang dalaman kenderaan bercalar teruk.

8100 km : Kerosakan sama berulang kembali beserta dengan kerosakan baru lagi yang muncul dan tidak dibaiki tetapi ditipu kononnya dibaiki.

10000 km : Hantar lagi ke Pusat Servis Mutiara Damansara untuk tukar dashboard serta barang yang bercalar beserta dengan timbul juga masalah baru. Boleh dikatakan sepanjang proses menghantar ke pusat servis mutiara damansara, perkhidmatan cukup-cukup mengecewakan dan masing-masing seolah melepas tangan. Tidak lag masuk terpaksa tinggal kereta sehingga kadang-kadang 4 hari untuk baiki. Berikutan daripada masalah ini, saya telah membuat laporan kepada banyak pihak dan masing-masing lepas tangan.

Telah menelefon kononnya Branch Manager Mutiara Damansara tapi tinggal harapan palsu kerana mereka ini takkan panggil balik customer. kalau saya call pun untuk beberapa kali tiada jawapan. Saya juga telah membuat aduan kepada pihak-pihak yang berkenaan yang kononnnya membela pengguna pun sama juga tidak melayan.

Antaranya saya telah membuat aduan kepada NCC, jawapan yang diberikan asyik sedang memproses aduan tanpa ada apa-apa jawapan daripada mereka selepas itu. Juga telah membuat aduan kepada KPDNKK juga cukup mengecewakan kerana katanya hanya boleh menerima aduan tapi tidak boleh mengambil apa-apa tindakan.

Yang paling mengecewakan ialah merujuk kepada Tribunal Pengguna dan jawapan yang diberikan tidak dapat menolong kerana nilai harga kenderaan itu sendiri. Saya cuba meminta nasihat daripada mereka namun jawapan yang diberikan adalah sama ditambah lagi "kalau encik nak ambil tindakan pergilah cari peguam, masuk mahkamah".

Sekarang saya tidak tahu lagi kemana harus untuk mengadu seolah-olah pengguna tiada kuasa langsung. Dimana hak kami? Cuba bayangkan lah, saya terpaksa bayar bulanan untuk benda yang saya tidak guna. Dimanakah Proton yang cakap berapi kononnya nak berikan perkhidmatan yang terbaik? Kerana kereta sayan yang bermasalah, terus aduan saya tidak dilayan dan dibakul sampahkan.

By: kamal

http://www.aduanrakyat.com.my/kerosakan-serius-pada-proton-persona

PANAS!! Berpeluh-peluh dahi Najib...

Posted: 13 Feb 2012 10:00 PM PST

Kembalinya kisah pembunuhan Altantuya setelah 2 pesalah yang akan jalani hukuman mati buat rayuan

Seorang daripada bekas pengawal peribadi Perdana Menteri Najib Razak telah lambat mengisi petition rayuan terhadap hukuman matinya yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di atas pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu.

Menurut peguam kepada ketua inspektor Azilah Hadri, beliau telah menerima hanya 40 buah daripada 57 dokumen mahkamah yang diperlukan untuk petition tersebut.

Ini telah menyebabkan kelambatan pendengaran rayuan, yang akan semestinya mengambil perhatian pihak media dan juga akan memberi publisiti buruk kepada Najib yang didakwa terlibat dalam kes tersebut walaupun telah menyangkalnya.

Pengurusan kes 9 Mac

Pada hari Jumaat, pendaftar Mahkamah Rayuan, Kanageswari Nalliah telah bersetuju untuk menetapkan 9 Mac sebagai tarikh pengurusan kes untuk membenarkan peguan Azilah, J Kuldeep Kumar untuk mendapatkan rekod yang lengkap.

Azilah, 34 dan rakan sekerja beliau, Kopral Sirul Azhar Umar, 39 telah dijatuhkan hukuman mati pada 9 April 2009 setelah hakim menetapkan bahawa mereka bersalah atas pembunuhan Altantuya di sebuah kawasan pembersihan hutan di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Oktober 2006 hingga 9.45 malam hari berikutnya. Perbicaraan mengambil masa 159 hari dan kedua-dua lelaki sedang menunggu hukuman mati.

Walaubagaimanapun, sepanjang perbicaraan yang kontroversi itu, Kedutaan AS mendapati ia tidak dilaksanakan dengan adil menurut pendedahan Wikileaks dan juga terdapat spekulasi bahawa kedua-dua lelaki tersebut hanyalah pembunuh upahan.

Pertamanya, mereka tiada motif tersendiri dan yang kedua, mereka mengaku bahawa mereka telah di minta oleh pembantu Najib, Safri Musa untuk membantu rakan Najib, Razak Baginda keluar daripada masalah yang meruncing.

Dalam kenyataan yang diberi oleh Sirul, ada laporan akhbar yang menyatakan bahawa beliau telah mengaku dibayar RM 100 000 untuk membunuh Altantuya tetapi, hakim telah menolak peguam bela untuk meyelidiki hal ini ataupun mana-mana aspek yang membawa kepada motif pembunuhan.

Pembunuhan berkait dengan pembelian Scorpenes

Kes itu sememangnya telah memberi reputasi buruk kepada sistem kehakiman Malaysia dan juga kepada Najib sendiri. Beliau dikatakan pernah menjadi kekasih Altantuya sebelum memberikan wanita itu kepada Razak Baginda. Ketiga-tiga mereka terlibat dalam perjanjian pembelian 2 kapal selam Scorpenes yang bernilai RM7 billion daripada sebuah syarikat gergasi Perancis, DCN pada 2002.

Najib pada ketika itu adalah Menteri Pertahanan dan bertanggungjawab ke atas pembelian manakala Razak Baginda adalah perunding utama beliau manakala Altantuya yang boleh berbahasa Rusia, dikatakan adalah penterjemah. Dalam perjanjian ini, Najib didakwa mendapat RM 570 juta dan Altantuya dikatakan balik ke Malaysia untuk mendapatkan bahagian beliau USD 500 000 sebagai komisyen beliau.

Walaubagaimanapun, menurut surat khabar Perancis La Liberation melaporkan bahawa Rosmah Mansur, isteri Najib enggan membayar satu sen pun kepada Altantuya. Ini telah menyebabkan Altantuya telah terang-terangan menagih Razak Baginda untuk membayarnya di rumah. Razak Baginda pula mengupah seorang penyiasat peribadi, P Balasubramanian untuk membantu beliau menghalang Altantuya sementara beliau menghubungi Azilah untuk meredakan keadaan.

Pada mulanya, Razak Baginda dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan tersebut. Kedua-dua polis itu adalah sebahagian daripada skuad elit manakala Razak Baginda adalah bekas pensyarah di Kementerian Pertahanan dan juga penganalisis politik. Razak kemudiannya dibebaskan daripada tuduhan tanpa memanggil pembelaan beliau. Ini juga telah menimbulkan pelbagai kontroversi yang menguatkan persepsi bahawa orang yang berkuasa seperti Najib yang pada masa itu adalah timbalan perdana menteri terlibat dalam konspirasi tersebut.

Melambatkan kes supaya ia tidak menarik perhatian rakyat sebelum PRU 13

Kelambatan untuk memperdengarkan rayuan dilihat sebagai usaha mengelakkan Najib daripada dimalukan sebelum PRU 13 yang dijangka akan diadakan pada tahun ini.

Menurut Kuldeep, dokumen mahkamah dihantar kepada beliau mengikut peringkat selaman 6 bulan dan ia menyebabkan kelambatan.

Sementara itu, peguam Sirul, Kitson Foong mengatakan bahawa tarikh kes didengar semula akan ditentukan mahkamah sebaik sahaja semua dokumen sudah lengkap. Kitson juga mengesahkan rayuan untuk Sirul telah difailkan dan beliau memikirkan untuk membuat rayuan untuk banyak sebab.

Dalam menjatuhkan hukuman kepada kedua-dua lelaki terbabit. Hakim Mohd Zaki Md Yasin mendapati pembelaan kedua-dua mereka hanyalah semata 'menyangkal dan menyalahi antara satu sama lain'.

Malaysia Chronicle

MENARIK: Mai kita banding kelaku Anwar ngan Najib...

Posted: 13 Feb 2012 08:00 PM PST

Mana Lebih Bahaya: Anwar atau Najib ?

Tindakan Najib menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves bersama jutaan penganut agama Hindu dengan berpakaian Kurta kuning baru-baru ini, yang kemudian disifatkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai perbuatan yang menggadai akidah dan ke arah syirik, kini menjadi isu baru yang memalukan Najib dan umat Islam seluruhnya.

Jika mengikut pandangan Harussani itu bahawa nasihat mengenai perkara itu sudah diberikannya sebelum ini tetapi tidak didengari oleh Najib, jelas memberi gambaran bahawa Najib tahu tindakannya hadir ke Batu Caves itu adakah suatu yang salah dan bertentangan dengan kehendak agama.

Apakah semata-mata Najib memikirkan kepentingan politik dan undi yang mungkin boleh diperolehi bagi meneruskan tempoh hayat UMNO dan BN sebagai parti pemerintah, maka soal akidah dan pegangan hidup boleh diketepikan begitu saja?

Jika itulah pendirian dan mazhab politik yang cuba diamalkan oleh Najib, sebenarnya tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita harapkan daripada Perdana Menteri Keenam ini? Ini kerana akidah dan pegangan hidup adalah nilai yang paling tinggi dalam kehidupan seseorang sebelum mereka mahu bercakap soal-soal lain seperti kepentingan keluarga, kasih sayang, membela rakyat, keharmonian, kekeluargaan, agama dan sebagainya.

Keikhlasan dan kejujuran seseorang akan segera diragui apabila pegangan agamanya tidak kuat dan mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang bersifat sementara dan keduniaan.

Apa yang boleh kita rasakan sebagai orang Melayu dan Islam bila Najib dikata oleh mufti telah menggadai akidahnya ialah hanya perasaan sedih dan malu kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu lemah iman sehingga sanggup tunduk kepada hal-hal sebegitu.

Di merata tempat dan di pelbagai kelompok masyarakat Melayu sekarang ini memperkatakan tentang tindakan Najib itu dan tidak ada satu pun kedengaran suara yang memuji dan menyokong beliau. Rata-rata sedih dan kecewa.

Dengan kesediaan Najib menggadaikan akidah (sebagaimana yang disebut oleh Harussani sendiri) kerana politik bermakna kebolehpercayaan rakyat terhadapnya dalam soal membantu rakyat dan memperjuangkan hak orang-orang Melayu dengan automatik terpadam sama sekali. Bagaimana kita mahu percaya Najib betul-betul serius mahu menolong rakyat dan memperjuangkan nasib masa depan Melayu sedangkan nilai paling tinggi yang ada dalam dirinya pun boleh ditolakansur dengan kepentingan lain untuk mendapatkan undi serta sokongan.

Adakah Najib berfikir bahawa nilai paling penting dalam hidup ini hanya semata-mata dapat mengekalkan jawatan Perdana Menterinya sahaja tanpa memikirkan bahawa ada kehidupan lain selepas kematian nanti?

Dalam hal ini umat Islam dan orang Melayu memang berhak berasa malu dengan tindakan Najib itu, lebih-lebih lagi beliau baru saja menunaikan haji di Mekah tahun lalu.

Dalam soal ini turut dipersoalkan ialah ke manakah perginya penasihat-penasihat agama di sekeliling beliau seperti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom, timbalannya yang petah berbicara Mashitah Ibrahim, penasihat agama di Jabatan Perdana Menteri, Dr Abdullah Md Zain dan para mufti yang semuanya berkelulusan tinggi dalam bidang agama.

Turut ditanya ialah di manakah suara Dr Hasan Ali yang baru dipecat dari PAS yang kononnya salah satu asas perjuangannya ialah berkaitan dengan Islam dan murtad?

Adakah mereka takut menegur dan menasihati Najib kerana takut kehilangan jawatan dan kemewahan dunia yang dinikmati selama ini? Atau apakah mereka beranggapan oleh kerana Najib Perdana Menteri kepada semua kaum, maka dia berhak melakukan apa saja dan tidak perlu ditegur?

Kalau sebelum ini sebahagian daripada mereka ini begitu lantang bercakap dan mengkritik Anwar Ibrahim berkaitan isu pluralisme yang kononnya diucapkan oleh Anwar di sebuah persidangan di London, apakah tindakan Najib yang dianggap menggadaikan akidah ini hanya perkara remeh dan isu kecil oleh mereka berbanding pluralisme. Lebih-lebih lagi pluralisme yang dikaitkan dengan Anwar itu pula hanya tafsiran mereka sahaja dan Anwar sendiri sudah menjelaskan pendiriannya yang tidak bermaksud demikian. Ini berbeza dengan Najib yang terang lagi nyata hadir di Batu Caves bersama-sama kaum India sambil berpakaian Kurta dan sedia pula dikalungkan dengan bunga manggar paling besar. Dalam masa yang sama, ramai juga rakyat ingin melihat sesekali Najib berjubah dan berserban ketika ke masjid pada hari Jumaat.

Jika dalam isu pluralisme, Jamil Khir begitu lantang bersuara dan mahu menyiasatnya dan meluahkan pelbagai kecaman terhadap Anwar, tidak mahukah isu akidah Najib ini turut disiasat atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai mengenainya pula.

Berbanding Anwar yang tampil berani menafikan ucapannya sebagai berunsur pluralisme, Najib sebaliknya memilih hanya berdiam diri dan bungkam seribu bahasa dalam hal ini. Ketakutan Najib untuk bersuara sama ada mengakui keterlanjurannya atau tampil dengan hujah-hujah yang menghalalkan kehadiran meraikan Thaipusam itu, tidak lain memperlihatkan bahawa Najib memang mengakui kesilapannya tetapi dalam masa yang sama juga taksub kepada undi dan kepentingan politik.

Maka berdiam diri adalah jalan terbaik sambil mengharapkan isu ini akan reda dengan sendirinya ditelan masa dan dalam masa yang sama undi kaum India yang diharap-harapkan tidak pula berkurangan. Namun hakikatnya ini memperlihatkan keperibadian Najib yang sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan politiknya. Orang Melayu mesti menghadkan sokongan kepada Najib mulai sekarang ini.

Lebih-lebih lagi dalam soal kehidupan, perbuatan menggadai akidah dan syirik adalah jauh lebih besar daripada pluralisme. Akidah bukanlah komoditi dagangan yang boleh dinilai dan ada tanda harganya. Apakah rupa manusia kalau akidah dan pegangan hidupnya sudah boleh digadai dan dijualbeli?

LAWAK: Samseng taik minyak...

Posted: 13 Feb 2012 06:00 PM PST

Lagi ceramah dibatalkan akibat gangguan samseng

Oleh: amkns

Feb 12, 2012 - Satu lagi ceramah, kali ini mengenai kebebasan akademik terpaksa dibatalkan malam tadi selepas sekumpulan remaja menganggu majlis itu dan mengepung lokasi yang dicadangkan di Kampung Idaman, Klang.

Ketika dihubungi, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab berkata "samseng" berkenaan telah memecahkan kerusi dan menyelerakkan dewan serbaguna itu sebelum ceramah bermula.

"Mereka juga mengepung lokasi itu dan kami terpaksa berlindung di sebuah gerai makanan berhampiran sementara menunggu keadaan kembali tenang," katanya.

Walau bagaimanapun, kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 70 orang, kata Ahmad Syukri, enggan berganjak dan ini memaksa pelajar yang berjumlah kira-kira 15 orang itu membuat laporan di balai polis Pandamaran.

"Kami tiba di balai polis Pandamaran pada kira-kira jam 11.30 malam, samseng itu terus ekori kami dan mula berkumpul di sana bersama motosikal mereka," katanya.

Kejadian ini adalah kali kedua apabila ceramah seumpama itu di Klang terganggu. Kali pertama, ceramah pertubuhan Asalkan Bukan Umno (ABU) 'diserang' remaja bermotosikal yang bertindak ganas dengan menyerbu lokasi di Jalan Kebun dan dilaporkan memukul seorang pemuda.

Baling batu

Menurut Ahmad Syukri, akibat keadaan yang tegang, polis Pandamaran memutuskan untuk mengiringi pelajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk membuat laporan.

"Tiga kereta polis mengiringi kami dalam konvoi lima kenderaan tetapi ketika kami keluar, mereka membaling batu dan memukul kereta kami dengan kayu. "Syukur, cermin kereta kami tidak pecah tetapi kereta (timbalan presiden, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen) Khalid Mohd Ismath kemek teruk," katanya sambil menambah polis juga tidak mampu berbuat apa-apa.

Samseng-samseng itu sekali lagi mengekori pelajar berkenaan ke ibu pejabat polis daerah Klang dan kali ini, kata Ahmad Syukri bilangan mereka meningkat kepada lebih 100 orang. "Selepas membuat laporan polis, kami dinasihatkan supaya tidak meninggalkan balai polis berkenaan demi keselamatan.

"Malah sehingga jam 4 pagi, samseng itu masih di luar, jadi kami terpaksa melarikan diri melalui pintu lain dengan bantuan penduduk tempatan," katanya. Menurut Ahmad Syukri, pelajar akhirnya berjaya meninggalkan tempat itu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan tanpa sebarang kecederaan.

Ceramah malam tadi adalah sebahagian daripada program jelajah mereka ke seluruh negara bagi menuntut kebebasan akademik. Walau bagaimanapun, ini adalah kali pertama ia diganggu.

HANGAT: Giliaq Nik Aziz tibai Anwar...

Posted: 13 Feb 2012 04:00 PM PST

Israel: Anwar tarik balik kenyataan atau saman WSJ

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya mengenai Israel seperti dilaporkan di Wall Street Journal (WSJ) atau menyaman majalah itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan membuat gesaan itu dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS.

"Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau," ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.

Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Februari 2012/ 20 Rabiul Awwal 1433H

PENTING: Jom pakat-pakat jaga senjata kita...

Posted: 13 Feb 2012 02:30 PM PST

Penghalang Doa

Blog PengjagaKubur96

Petikan Artikel Qatrunnada :

DOA merupakan senjata bagi orang Islam. Ini sebenarnya adalah hadiah Allah untuk kita. Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha Pemurah. Ada kalanya kita rasa kita telah berkali-kali berdoa tapi Allah belum memperkenankannya. Selain itu adalah ujian dari Allah ingin menguji keikhlasan dan keimanan kita; kita juga perlu mengkaji di mana silapnya kita. Sebenarnya banyak perkara yang boleh menjadi hijab atau penghalang kepada doa-doa kita itu. Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar yang pernah kita lakukan dan salah satu cara untuk mengatasinya dengan bertaubat nasuha yakni taubat yang sungguh-sungguh.

Di sini dibentangkan lapan belas perkara yang menjadi hijab atau penghalang doa:

1. Orang yang membunuh orang lain tanpa tujuan.

2. Orang yang menaburkan cerita yang belum tentu sahih

3. Orang yang melakukan pekerjaan yang serupa binatang.

4. Orang yang mengekalkan minum arak atau benda-benda lain yang boleh memabukkan.

ALLAH telah berfirman:
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu dan menghalangi kamu dari mengingati ALLAH dan sembahyang, maka berhentilah kamu dari mengerjakan pekerjaan itu. " (AI Maidah: 91).

Keterangan di atas sesuai dengan Hadis Rasulullah SA W yang bermaksud 'Semua minuman yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram. " Riwayat Muslim

5. Orang yang mengekalkan zina, iaitu dosa besar yang tidak akan diampunkan selama-lamanya.

6. Orang yang menderhakai ibubapanya atau salah seorang daripadanya. ALLAH telah berfirman; "Dan Tuhanmu telah mnnerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dari-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. Jika seseorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah tua jangan kamu keluarkan perkataan kasar terhadap keduanya dan hendaklah kamu ucapkan perkataan yang mulia (lemah-lembut). Rendahkanlah sayap kehinaan kerana cinta kepadanya dan hendaklah engkau katakan

"Wahai Tuhan kasihilah kedua ibubapa kami dan berilah Rahmat-Mu. Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar.....Untuk mengatasinya bertaubatlah dengan taubat nasuha; taubat yang sungguh-sungguh kepada keduanya, sebagaimana mereka mendidik kami di waktu kecil."
Al Israk: 23-24

7. Orang yang mengerjakan suatu pekerjaan yang menyalahi syariat seperti bermain silap mata.

8. Ahli nujum yang mengkhabarkan nasib orang lain sedangkan kehidupan kita dari alam roh hingga ke akhir hayat telahpun ALLAH tetapkan sejak azali lagi.

9. Orang yang hasad dengki sesama umat Islam. Dia suka orang lain ALLAH timpakan bala malah mencemburui seandainya orang lain yang dikurniakan nikmat Tuhan.

10. Orang yang suka mengadu domba, memukul canang kepada orang lainsupaya timbul pecah-belah antara kedua belah pihak. Kadangkala mengakibatkan kedua-dua pihak itu tidak bertegur sapa selama lebih dari tiga hari tanpa keuzuran syarie.

11. Orang yang suka mengumpat hal orang lain terutama terhadap orang-orang alim yang cinta dengan ALLAH

12. Orang yang mengambil cukai dari harta manusia tanpa redha mereka. Inilah perkara yang paling ditakutikerana ketika di dalamkubur lagi akan ditimpakan azab yang pedih.

13. Orang yang menjual barang dengan cara yang haram, mengangkat jual beli dengan sumpah yang dusta, contohnya menaikkan harga barang-barang dua tiga kali gandanya dari harga asal. Menipu dalam sukatan dan timbangan dan memakan harta riba.

14. Orang yang membenci para sahabat Rasulullah SAW.

15. Orang yang menunjuk-nunjuk diri dengan gayanya yang lemah-longlai seperti mayang di depan orang lain supaya mereka merasa kagum dengan kecantikkannya.

16. Orang yang bermain catur dan judi.

17. Orang yang bermain gendang yang kecil di tengahnya, luas di kedua tepinya tetapi tepi yang ada kulit itu lebih luas daripada yang tiada berkulit. Kalau di zaman sekarang ini kompang dan gendang yang dibubuh lingkaran rotan di dalamnya supaya terdengar bunyi gentanya yang mengasyikkan.

18. Orang yang bermain rebab, biola dan seruling (serunai).

Oleh itu sebagai nasihat kepada kita bersama, jika kedapatan perkara-perkara yang dibentangkan itu pada diri kita, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Agar kita mendapat falah (kemenangan) di Akhirat sebelum datangnya maut. Tinggalkanlah perkara-perkara yang boleh melalaikan kita dari mengingati ALLAH juga perkara-perkara yang menjauhkan diri kita dari-Nya. Semuga ALLAH SWT menggantikan dengan sebesar-besar kurnia dan RahmatNya sebagai penutup segala perbuatan jahat yang lampau.

Allah telah berfirman;
"Sesungguhnya segala amal yang baik menghapuskan akan segala perbuatan yang jahat. "

"Siapalah aku di sisi MU ya Allah"

FAKTA: Sebab musabab Ust Azhar selalu tibai JKKK... kahkahkah...

Posted: 13 Feb 2012 12:00 PM PST

Zaman aku dedulu orang kampung panggil JKKK ni sebagai Jin Kapiaq Kacau Kampung... kahkahkah...
Rupa-rupanya betoi kata depa... bukan jin liaq tapi jin ada tuan...
Dari dulu, kini dan selamanya... JKKK tetap ngan perangai Jin depa...
Patut pun Ust Azhar selalu sangat dok tibai JKKK dalam ceramah-ceramah dia... kahkahkah...

Tiada ulasan: