Jumaat, 10 Februari 2012

shalehudin

shalehudin


TERBAIK lah Bob Lokman... hihi...

Posted: 10 Feb 2012 10:00 AM PST

"Alahaaii...
"Aku orang jahat, tapi aku cari jalan nak buat kerja baik..."
"Tapi korang tu orang yang baik-baik yang sedang cari jalan buat kerja jahat..."
"Ini perbezaan kita sekarang.........."

PELIK!! Mufti ni tetiba ja frust menonggeng... kahkahkah...

Posted: 10 Feb 2012 08:35 AM PST

Najib 'gadai akidah' hadir Thaipusam - Harussani

Syed Mu'az Syed Putra,

(Najib menyertai perayaan Thaipusam di batu Caves)

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang "menggadai akidah" apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

"Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

"Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

"Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

"Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan," katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

"Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.

"Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang," kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.

PANAS!! Sekoq raja kaki pembohong...

Posted: 10 Feb 2012 07:55 AM PST

 Patrick Wong diklasifikasi kes bunuh sejak awal lagi: Polis


KUALA LUMPUR- Polis hari ini menjelaskan kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong pada 2009 diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak awal lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Persekutuan, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata demikian sebagai merujuk kepada artikel bertajuk "Episode 2: The Murder of a Whistleblower" yang disiarkan oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin dalam portal berita online Malaysia Today.

"Polis menyangkal andaian bahawa kami memutuskan bahawa kematian Datuk Patrick Wong adalah akibat jatuh," kata Mohd Bakri dalam kenyataan hari ini.

"Dari awal lagi, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kes masih belum ditutup dan penyiasatan masih diteruskan," katanya.

Mohd Bakri merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar tampil dan membantu siasatan polis.

Dalam artikel itu, Raja Petra membangkitkan persoalan berhubung kematian Wong, mendakwa ahli pernigaaan itu telah mengumpulkan maklumat mengenai skandal perlombongan pasir di Selangor sejak beberapa tahun sebelum kematiannya.

Raja Petra mendakwa Wong mati di tangan pembunuh upahan dan bukannya akibat rompakan.

- BERNAMA

BANGANG tu simpan kat Rosmah sama... kahkahkah...

Posted: 10 Feb 2012 05:40 AM PST

Najib dinasihat henti cakap soal Negara Berkebajikan

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 9 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan supaya berhenti dari bercakap soal agenda Negara Berkebajikan PAS kerana beliau jelas tidak faham apa yang dimaksudkan PAS.

AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, nampak jelas sangat Najib tidak faham "samada tak membaca atau tidak diberikan maklumat yang betul tentang hal tersebut."

Bagi beliau, tindakan Najib yang mengulangi lagi bahawa negara berkebajikan PAS itu sama dengan Welfare State di negara Barat atau Scandinavian kerana beliau mengulangi lagi bahawa negara akan mengalami masalah kewangan dan kegawatan ekonomi kalau dilaksanakan bahkan boleh bankrap.

"Najib wajar diperingatkan bahawa Negara Berkebajikan PAS mempunyai falsafah, prinsip, program dan cara perlaksanaan yang jauh berbeza dengan Welfare State di Barat yang seluruhnya berteraskan sistem pencukaian pendapatan yang tinggi.

"Meskipun di sudut-sudut kebajikannya ada persamaan namun ia tidak serupa - sama tapi tak serupa!" tegas Dr Dzulkefly yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Bagi beliau, Najib sewajar memberi perhatian terhadap laporan terkini ekonomi dan kewangan negara seperti yang disiarkan dalam The Edge Financial Daily semalam.

(Dr Dzulkefly nasihatkan Najib agar jangan komen kalau tidak faham)

"Para penganalisa cemas dengan persoalan hutang awam dan juga hutang swasta di negara kita. Ya , kita mungkin sahaja boleh bankrap dengan beban hutang ini, dan bukan kerana perlaksanaan Negara Berkebajikan PAS atau Pakatan Rakyat!" tegas beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor.

Bagi beliau, kemungkinan bankrap itu ditambah dengan urus-tadbir yang tempang, tiris dan bocor sarat dengan rasuah dan amalan kronisme, monopoli yang kesemuanya menjadikan pasaran atau 'market'' tidak efisien bahkan dihalang dari berperanan dengan berkesan.

Ia ditambah lagi dengan campurtangan atau intervensi kerajaan dalam bentuk penglibatan kepentingan kerajaan melalaui GLCs yang mengherotkan lagi pasaran dan persaingan, katanya.

"Najib wajar diperingatkan bahawa setelah banyak yang dislogankan dengan GTP, ETP dan MEB sebagainya, ekonommi negara masih di ambang ancaman besar kerana urus-tadbir tempang dan ketidaktentuan ekonomi global," katanya berhujjah dengan tuduhan Najib kepada dasar PAS itu.

Fakta Hutang Negara

Mengikut Laporan IMF (International Monetary Fund - "Ëconomic Outlook) bulan September 2011, kedudukan hutang negara sangat membimbangkan.

1. Hutang awam kerajaan Malaysia (gross) adalah 56 % dari KNDK adalah tertinggi berbanding dengan negara ASean-5 iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Malaysia, yang purata adalah 30 % dari KDNK.

2. Hutang isi-rumah Malaysia telah melonjak dari 69 % KDNK dalam tahun 2006 ke paras 76 % dalam tahun 2010 dan kini melonjak terus keparas 78 % KDNK.

Dalam jumlah absolutenya, hutang isi-rumah adalah 47 % atau RM583.3 bilion dalam tahun 2010 berbanding RM395.5 bilion pada 2006.

Namun yang melegakan sedikit adalah kerana hutang tak berbayar masih pada paras rendah iaitu 2.3 % dalam tahun 2010 berbanding 7.1 % pada tahun 2006.

3. Pinjaman Kerajaan Pusat dalam tahun 2010 adalah 53.2 % KDNK dan terus meningkat ke paras 55 % dengan defisit fiskal dalam lingkungan 4-5 % setiap tahun.

Dalam laporan yang sama Defisit Fiskal Asean-5 adalah pada paras 2.4 % KDNK.

Sekali lagi Malaysia adalah tertinggi dari segi Fiskal Defisitnya berbanding ASEAN-5! Sementara negara Asean yang membangun yang lain juga adalah pada paras 2 % KDNK!

ANEH: Shamsul Iskandar sunyi sepi macam lembu kenyang... kahkahkah...

Posted: 10 Feb 2012 01:30 AM PST

Hasil sawit peneroka Felda turut dijual ke Israel?

KUALA LUMPUR 9 Feb: Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendedahkan bahawa salah satu syarikat yang menghantar minyak kelapa sawit ke Israel, ada kaitan dengan Felda.

Semalam, Badrul mengadakan sidang media di Komtar Pulau Pinang, menunjukkan dokumen membuktikan wujud hubungan dagang secara terus dengan Israel melibatkan syarikat Malaysia.

Dua dokumen itu, katanya, melibatkan dua syarikat berpengkalan di Johor yang didapati menghantar minyak sawit dari Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas terus ke Ashdod, iaitu pelabuhan terbesar Israel yang terletak 40 kilometer dari Tel Aviv.

"Melalui carian di laman rasmi salah satu syarikat tersebut ada kaitan dengan Felda. Persoalannya adakah minyak hasil sawit peneroka Felda turut terlibat dihantar ke Israel?," kata Badrul atau Chegu Bard dalam satu kenyataan yang disiarkan di blog beliau.

Menurut Chegu Bard, hasil dokumen yang berjaya diakses menunjukkan tidak kurang dari 100 metrik tan minyak sawit yang dibekalkan ke Israel.

"SAMM yakin jumlahnya lebih dari itu kerana terdapat banyak penghantaran, tetapi sehingga kini SAMM cuma mempunyai dokumen membuktikan dua penghantaran dan menurut sumber ada lebih dari dua penghantaran setiap bulan.

"Rakyat sering didera dengan putus bekalan minyak sawit di pasaran tempatan tetapi dalam masa sama negara terus membekalkan minyak sawit lebih dari cukup untuk Israel," ujarnya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Rembau.

Chegu Bard turut mengecam media milik Umno dan pimpinannya yang memutar belitkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara dengan Wall Street Journal pada 26 Januari lalu.

Bagaimanapun, kata Chegu Bard, hipokrasi kerajaan terdedah pada November tahun lalu melalui sidang dewan rakyat apabila Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa membangkitkan persoalan mengenai hubungan dagang Malaysia-Israel.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir kemudian mengakui hubungan dagang memang wujud tetapi hanya dagangan 'terkawal' melibatkan syarikat asing (Multi Nasional Company-MNC) yang beroperasi di negara ini.

Menurut Chegu Bard, tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Er Teck Hwa bangun mencelah beberapa kali dengan menyebut hubungan dagang itu bukan transaksi biasa.

Teck Hwa mendedahkan kewujudan borang JK 69 yang mempunyai pengesahan kastam dan Miti yang menunjukkan syarikat yang beroperasi di Malaysia mengambil barang tidak siap dari Israel dan kemudian memasangnya di kilang di Malaysia.

Chegu bard berkata, panik dan tidak mampu menjawab pendedahan itu, maka akhirnya Er Teck Hwa diarahkan keluar dari dewan.

MENARIK: Kajian pasai kudis buta di Malaysia...

Posted: 10 Feb 2012 12:00 AM PST

Kudis politik Malaysia

Di Malaysia, tidak berlaku kes-kes perkauman yang menjerut mata dan hati seperti yang pernah berlaku di Amerika bermula semenjak abad ke-17 hinggalah ke lewat 1960-an.

Yang terburuk pernah berlaku pun adalah pada 13 Mei 1969 di mana terjadi pergaduhan kaum selepas pilihan raya umum. Namun sifat rakyat yang tidak suka kepada keganasan dan pertumpahan darah cepat-cepat meredakan keadaan itu.

Suka atau tidak, kita juga harus berterima kasih kepada pihak berwajib yang berjaya mententeramkan keadaan sungguh pun pihak pemerintah telah mengambil kesempatan mencari kambing hitam untuk menahan beberapa orang tokoh politik pembangkang, kononnya atas nama keselamatan negara.

Walau pun keadaan tidak seburuk di Amerika di zaman lampau, ia tidak bermakna diskriminasi perkauman tidak ada di Malaysia. Dalam maksud lain, tidak nampak secara terang-terangan tidak bermakna ia tidak wujud.

Demokrasi cacat

Politik Malaysia pada hari ini hanya berorientasikan matlamat jangka pendek atau mahu menang pilihan raya untuk merebut kuasa semata-mata. Proses demokrasi kita diterjemahkan agak sempit bila mana kekuatan politik dikira berdasarkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sahaja.

Senario amalan demokrasi Malaysia yang sempit ialah pilihan raya lima tahun sekali. Politikus berebut-rebut mahu menjadi calon untuk mengisi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.

Tahap demokrasi kita hanya ada dua peringkat, pusat dan negeri sahaja tanpa pilihan raya kerajaan tempatan (dewan bandaraya, majlis perbandaran atau majlis daerah). Ruang kecil dan sempit ini digambarkan oleh pemerintah sebagai demokrasi.

Parti-parti yang memerintah menggubal undang-undang. Sama ada undang-undang itu adil atau tidak, ia tidak penting kerana "demokrasi" telah pun menjadi amalan. Rakyat tidak boleh bersuara sama sekali kerana undang-undang tidak membenarkan, malah tidak menggalakkan rakyat bersuara secara bebas.

Justeru, amalan referendum (pungutan suara), proses melahirkan masyarakat madani (sivil) dan demokrasi akar umbi hampir-hampir tidak wujud sama sekali. Sebaliknya, wujud jurang yang amat luas di antara pemerintah dan rakyat.

Sepanjang lima tahun (biasanya empat tahun sahaja) penggal pemerintahan, rakyat diajar supaya akur dan menerima sahaja keputusan kerajaan. Sepanjang penggal itu rakyat hanya menahan diri melihat gelagat, salah guna kuasa, penyelewengan dan perkauman yang berlaku, dan semuanya itu disahkan sebagai "harus" oleh media massa yang dikawal pemerintah.

Hegemoni demokrasi cacat

Maka budaya politik kita sempit dengan perjuangan yang hanya mahu menang semata-mata tanpa mempeduli nilai moral dan kesan budaya baik kepada pengamal politik mahu pun masyarakat.

Jalan mendapat kemenangan yang mudah dan cepat adalah dengan kempen pecah perintah – divide and rule. Elemen-elemen perkauman adalah ramuan paling utama pada amalan politik sebegini.

Bukan sahaja dalam amalan seharian serta propaganda media, malah kanak-kanak dan pelajar juga dididik di sekolah dan pusat pengajian tinggi awam bahawa dimensi politik demokrasi itu hanya hitam putih – kaum itu dan kaum ini, agama itu dan agama ini. Ia tidak mempedulikan bahawa pigmen warna demokrasi sebenar adalah penuh dengan warna-warni dan kepelbagaian bentuk.

Bagi menghalalkan demokrasi yang cacat ini, maka jadilah ia satu pakej demokrasi "acuan kita" yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang paling terkenal dengan dolak-dalik dan intrik politik tanah air.

Hikmah dari demokrasi dinamik

Ini tidak pula bererti demokrasi Barat atau lebih tepat lagi demokrasi ala Amerika merupakan sistem pemerintahan yang terbaik. Negarawan Inggeris Winston Churchill pernah mengatakan bahawa demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang paling buruk sekali tetapi ia jauh lebih baik daripada segala apa sistem pemerintahan yang pernah ada.

Kita tidak alpa dengan ilusi dasar luar Amerika Syarikat yang menggunakan demokrasi sebagai acuan sehingga sanggup melahirkan pemerintahan autokrasi seperti yang pernah berlaku di benua Asia dan Amerika Selatan.

Itu soal dasar luar. Amalan dalamannya pula sebenarnya bersifat demokrasi dinamik. Demokrasi Amerika juga telah melahirkan ramai tokoh terkenal yang bijaksana lagi celik jiwa mereka.

Daripada negarawan-filosuf Benjamin Franklin dan Thomas Jefferson kepada Abraham Lincoln dan pejuang pembebasan hambad abdi Frederick Douglass sepanjang abad ke-18 dan 19, serta tokoh-tokoh pelbagai bidang abad ke-20 seperti Franklin Roosevelt, Albert Einstein, Mark Twain, Alexander Graham Bell, Thomas Edison, Muhammad Ali, Bill Gates, Steve Jobs, Martin Luther King dan Malcom X.

Perkauman itu kudis politik

Memetik ungkapan Malcolm X, seorang tokoh pejuang yang menentang politik perkauman Amerika:

"Aku sudah muak dengan propaganda orang lain. Aku berjuang untuk kebenaran, tidak kira siapa yang menyebutnya. Aku berjuang untuk keadilan, tidak kira untuk siapa, sama ada yang menyokong atau yang menentangnya. Aku adalah seorang manusia, dan kerana itu aku berjuang untuk sesiapa sahaja dan apa sahaja yang berfaedah untuk kemanusiaan".

Kata-kata tokoh kulit hitam Malcolm X atau El-Hajj Malik El-Shabazzi datangnya dari hati seorang insan yang sudah benci dengan amalan perkauman, baik dalam aspek politik, sosial mahu pun ekonomi.

Aktiviti perkauman ini dilihat oleh beliau sebagai penggagal kepada segala pengetahuan dan kebijaksanaan manusia dalam menjalani kehidupan mereka.

Perjuangan dengan jiwa yang besar akan membentuk ruang demokrasi yang luas, perjuangan politik dengan hati dan minda yang terbuka akan membentuk amalan politik yang waras. Ia akan membunuh kudis-kudis perkauman dalam masyarakat kita.

Dengan akal yang rasional maka aktviti manusia itu akan kembali menjadi waras, inilah perjuangan untuk kebenaran. Berapa keratkah ahli politik kita yang besar jiwa berbanding nafsunya yang gilakan kuasa? – Roketkini.com

BETOI ka Robert Mugabe tu abang Mahathir... kahkahkah...

Posted: 09 Feb 2012 10:00 PM PST

Sekat Anwar: Akankah UMNO jadi ganas dan akankah dunia luar memberi bantuan?


Kepada ramai rakyat Malaysia, kelihatan seperti UMNO dan Presidennya PM Najib Rzak tidak dapat dipercayai. Yang pertama adalah mereka telah kehilangan integriti dengan merompak kekayaan negara dan menjadikan Malaysia seperti harta mereka sendiri, walaupun kebanyakkannya disambar oleh kroni mereka.

Najib bukanlah satu-satunya pemimpin UMNO yang dituduh penipu. Yang peliknya beliau langsung tidak peduli jika ada yang menyedarinya. Beliau tidak merasa malu menaburkan janji palsu dan bersikap seperti seorang diktator.

Seorang itu sangat konfiden dan seorang lagi penuh dengan bangga diri dan mabuk khayalan

Berbeza dengan Anwar yang bersikap lebih konsisten. Dari mula lagi beliau bersetuju dengan hak Peguam Negara untuk merayu dan apabila mereka melakukannya, Anwar tidak marah walaupun hampir seluruh negara marah. Kita tahu sekarang, daripada ahli Parlimen Permatang Pauh itu bahawa rayuan ini tidak akan merosakkan peluang Pakatan Rakyat untuk merampas kerajaan persekutuan daripada Najib dan UMNO. Kenyataan ini adalah kenyataan daripada seseorang yang percaya pada dirinya dan kebolehannya. Anwar bukanlah seorang yang sering gagal.

Kita tahu bahawa alim ulama,pensyarah universiti, pegawai bank, ahli perniagaan, polis, tentera, badan kehakiman dan banyak lagi sememangnya dipergunakan oleh BN. Hakim pun boleh dibeli seperti yang dibuktikan oleh rakaman video Lingam. Dalam perbicaraan Liwat II, Najib dan UMNO boleh menyangkal kepercayaan kebanyakkan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia bahawa keputusan hakim adalah selari dengan keputusan Najib.

Oleh itu, tidak hairanlah selepas hakim mengumumkan keputusan tidak bersalah, dan menunjukkan pada bukti yang tidak kukuh; peguam negara masih boleh merayu- sama dengan pendiriran bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang secara terang-terangan mengatakan bahawa tidak salah untuk kerajaan mempersoalkan keputusan itu. Jelaslah bahawa daripada susun atur peristiwa ini, Anwar sememangnya tidak boleh dilepaskan.

Najib adalah keldai yang memandu troli atau adakah dia troli yang dipandu keldai?

Mahathir dan orang-orang kuat UMNO sememangnya mahu Anwar masuk penjara kerana ia akan memberi keselesaan untuk mereka terus berkuasa seraya melemahkan pembangkang. Najib berpura-pura bahawa keputusan untuk merayu itu tiada kaitan dengan beliau kerana beliau tidak begitu menunjukkan pendirian beliau mengenai kes itu.Beliau boleh mengatakannya dengan tenang seolah-olah ia suatu kebenaran.

Tapi, siapakah yang akan percaya kepada beliau lagi? Mungkin beliau mahu kes Liwat II sampai ke penghujungnya tetapi dengan duduk dan membenarkan Mahathir dan rakan-rakan memalukan negara dengan merayu beliau sebenarnya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai perdana menteri. Memang malang Malaysia mempunyai PM yang sangat lemah. Beliau tidak dapat mengawal parti tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

Dunia percayakan Anwar bukan Najib

Malangnya, reaksi dunia kepada pembebasan dan laporan itu mendapat tempat di muka depan pelbagai akhbar utama dunia, menunjukkan bahawa bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi komuniti antarabangsa yang percaya Anwar telah difitnah oleh Najib dan UMNO!

Bagaimana Anwar diberi perhatian dan dihomati adalah isyarat jelas bahawa kerajaan lain di dunia ini percaya bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang terbaik untuk membawa Malaysia keluar daripada masalah.

Sementara itu, tidak banyak yang dapat dilakukan pembangkang untuk membantu Anwar kerana mahkamah jelas berpihak kepada BN. Tetapi, berita baik adalah disebalik rayuan itu, ia tetap tidak melenyapkan skandal RM250 juta Shahrizat –NFC. Ini menunjukkan bahawa rakyat sudahpun membuat pilihan siapa yang mereka mahu jadikan PM. Jelas ia bukan Najib.

Lebih daripada itu, harapan disandarkan kepada Anwar untuk memulihkan gejala rasuah yang merosakkan negara dan membawa ke muka pengadilan mereka yang melakukan penipuan dan penyalahgunaan kuasa serta membawa RM888 biliion dana negara secara haram keluar dari negara dari tahun 2000 hingga 2009.

Pemerintahan kejam tidak kekal selamanya

Ramai percaya bahawa keputusan tidak bersalah Anwar itu adalah gimmick politik Najib. Tetapi, ingat bahawa Najib tidak berminat dengan keadilan. Beliau Cuma tidak mahu dinobatkan dalam sejarah negara sebagai PM yang memenjarakan Anwar buat kali kedua atas kesalahan liwat dan PM yang mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat yang melakukan protes jalanan. Ketiga-tiga letupan yang dilakukan selepas keputusan tidak bersalah diumumkan berlaku di kawasan yang dikawal ketat pihak polis. Hanya mereka dan agen mereka sahaja yang mampu meletakkan bahan letupan itu yang telah mencederakan beberapa orang penyokong Pakatan.

Namun, UMNO dan Najib bukanlah tuhan. Tuhan maha adil dan tidak akan membiarkan pemerintahan zalim berlaku selama-lamanya. Tuhan mempunyai caranya sendiri untuk membalas Najib dan UMNO. Seperti yang ditunjukkan oleh kebangkitan Arab, siapa sangka takdir yang berlaku ke atas Ben Ali dari Tunisia, Hosni Mubarak dari Mesir dan Muammar Ghadafi pemimpin Libya?

Janji Najib; RELA akan berhadapan dengna rakyat mungkinkah menerusi penangkapan dan pembunuhan?

Memenjarakan Anwar akan membakar semangat pemimpin pembangkan dan penyokong mereka untuk berusaha lebih keras menyingkirkan UMNO-BN. Lebih penting, rakyat telah menerima pembebasan dan rayuan sebagai bukti bahawa Anwar sememangnya tidak bersalah. Ramai yang berpendapat Mahathir dan Najib yang menjadi dalang Liwat I pada 1998 dan Liwat II pada 2008 untuk mejatuhkan Anwar dan memenjarakan beliau.

Jad, biarlah UMNO bermain permainan kotor mereka. Jika Anwar dan Pakatan menang PRU 13 dan Najib dan UMNO cuba membuat percubaan memporak perandakan negara dengan menggunakan pihak RELA untuk memulakannya, mereka akan menyalahkan DAP, PKR dan PAS. Ini hanya akan membuatkan campur tangan dari kuasa luar dan penangkapan beramai-ramai dan juga pembunuhan pemimpin Pakatan dan juga penyokong mereka.

Apabila keadaan sudah kecoh, RELA akan turut serta dengan kerajaan untuk mempertahankan negara. Jangan melakukan kekecohan dalam negara ini kerana 2,8 juta ahli RELA tidak akan melihat begitu sahaja dan membiarkan kekecohan itu," Malaysian Insider melaporkan Najib sebagai berkata pada Sabtu lalu.

Kata-kata itu jauh sekali daripada yang dicanangnya pada 'Global Movement of Moderates' lebih kurang 2 minggu lalu. Beliau juga menyeru kepada keamanan dunia dan kesejahteraan. Jika ini bukan perilaku 2 personaliti berbeza, Najib jelas seorang pembohong!

Ya dengan BN berkuasa, Malaysia tidak jauh beza dengan Zimbabwe di mana ia diterajui oleh abang kepada Mahathir Mohamad- Robert Mugabe.

Malaysia Chronicle

PANAS!!! Nik Aziz tibai Fuad... kahkahkah...

Posted: 09 Feb 2012 08:00 PM PST

Menjawab komen Fuad Zakarshi

Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Merujuk kepada komen Fuad Zakarshi (UM & BH 8 Februari 2012) yang mencadangkan agar saya ditarbiyah semula atas sebab enggan memberi komen terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas isu negara Israel. Ia sesuatu yang jelas tersesat.

Saya amat kesal atas pemikiran sekular seorang timbalan menteri juga bekas seorang guru Yayasan Anda di bawah bumbung ABIM yang dikatakan pernah menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim kelihatan begitu dungu dalam menilai mana satu yang benar dan mana pula yang salah.

Sepatutnya sebagai seorang yang pernah mengagumi Anwar Ibrahim dan pernah duduk sebumbung Yayasan Anda/Markaz ABIM sepatutnya sudah tahu permainan kotor media tajaan Barat (WSJ) itu yang kerjanya untuk menjatuh kredibliti seorang yang tidak sebulu dengan Israel.

Begitu juga akhbar Barat dan pro-Barat juga yang acapkali mengulang-ulang kes liwat (menuduh Anwar) atas sebab untuk memalukan hamba Allah ini.

Apakah hak Fuad Zakarshi mencadang saya ditarbiyah semula? Sedang beliau sendiri sudah dilihat gagal memahami prinsip tarbiyah. Kalau benar dia memahami tarbiyah, masakan boleh membuat respon atas fakta yang diputar oleh WSJ, hantu media Barat yang sentiasa bertindak untuk memecah belah umat Islam. Logikkah saya mengulas atas fakta yang belum pasti benar kerana ia bukan dari sumber pertama.

Sebaiknya Fuad dapat berjumpa sendiri Anwar jika benar ingin mencari pencerahan. Kerana Anwar pernah jadi ketuanya.

Justeru adalah sesuai kalau dia ingin mencari kebenaran, baik sahaja pergi beribadat di masjid. Tapi bagi seorang yang mendokong ideologi kebangsaan sekular, sudah tentu tidak sesuai mencari kebenaran di masjid.

Saya cadangkan lebih baik mencari kebenaran di bilik tandas. Kerana dalam tandas sudah tentu sesuai––banyak syaitan dan iblis yang boleh merangsang fikirannya––menjadi waras selari dengan otak sekular.

Maka, tak payahlah asak dan menyibuk untuk mentarbiyah semula orang lain. Kerana asas tarbiyah itu hendaklah dipaksikan dengan keredahaan Allah.

Mana ada hak bagi manusia seumpama Fuad Zakarshi untuk mentarbiyah orang lain, sedangkan dia sendiri sedang menganut ideologi yang bercanggah dengan keredhaan Allah SWT.

PELIK!! KM Guan Eng vs MB Azizan

Posted: 09 Feb 2012 06:00 PM PST

Pemerintahan siapa lebih Islamik: Ustaz Azizan atau Lim Guan Eng?

Oleh DINSMAN

Mahu tak mahu, suka tak suka, orang hari ini sedang membandingkan imej PAS dengan imej DAP. Memang, soal imej ini bukanlah sesuatu yang muktamad dan tepat. Kadang-kadang memang tak tepat pun.

Ada orang mengambil keperibadian dan ketokohan Tok Guru Nik Aziz sebagai imej PAS. Maka terbinalah gambaran PAS itu sebagai sebuah agama yang bertoleransi, baik sesama manusia, lembut, tidak ganas dan sebagainya.

Ada pula orang yang melihat ketokohan dan keperibadian Ustaz Azizan Ab Razak, Menteri Besar Kedah itu sebagai lambang atau imej PAS. Maka lainlah pula gambaran yang terbina hasil daripada itu.

Demikianlah juga ada orang mengambil Lim Kit Siang dan Karpal Singh sebagai melambangkan imej DAP. Maka gambaran yang terbina adalah berbeza dengan mereka yang mengambil ketokohan dan keperibadian Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang itu, sebagai mewakili imej DAP.

Walaupun imej bukanlah sesuatu yang pasti dan muktamad tetapi ia sangat penting, terutamanya dalam politik, kerana imej adalah sesuatu yang terlekat dalam kepala kita dan gambaran yang akan segera muncul apabila disebut mengenai sesuatu, walaupun ia bukan sesuatu yang tepat dan muktamad.

Ada orang akan tergambarkan Nik Aziz apabila disebut PAS. Ada orang akan tergambarkan Haji Hadi. Ada orang akan tergambarkan Ustaz Azizan. Ini reaksi spontan, yang kita tak boleh nak buat apa-apa. Ia sangat personal. Walaupun mengenai hal yang umum, tetapi ia lahir dalam diri seseorang secara yang sangat personal.

Sepertilah juga di peringkat antarabangsa, ada orang akan tergambarkan menara WTC yang terbakar diserang kapalterbang itu, apabila disebut Islam. Kita kata, apa kena mengenanya? Tetapi itu gambaran di dalam otak orang itu, hasil daripada asakan pelbagai media dan sekitarannya. Kita tak boleh nak buat apa-ap. Memang kita boleh mengubahnya, tetapi akan memakan masa yang panjang.

Siapakah yang bertanggungjawab menyebabkan itu? Bukan kita yang bertanggungjawab. Itu kerja Amerika. Dan Amerika sangat pandai dalam hal-hal seperti ini. Kita perlu bercakap soal muzik, soal filem, soal pengiklanan, kalau kita hendak bercakap soal kerja Amerika mempengeruhi otak manusia di dunia.

Tapi sekarang kita nak bercakap soal imej PAS dan imej DAP. Sebab apa? Sebab perkara ini sudah menjadi perbualan orang ramai. Sesuatu yang tak pernah terduga dan tak pernah terfikirkan pun lima tahun yang lalu. Siapa pernah terfikirkan lima tahun yang lalu orang boleh bertanya: Antara Lim Guan Eng dengan Azizan Razak siapa lebih Islamik pentadbirannya?

Itu 'kan soalan gila tu! Ya, memang itu soalan gila, tapi kita tak boleh halang kebebasan otak manusia untuk berfikir hal-hal yang walaupun segila itu, dan kemudian mereka bercakap hal itu di mana-mana. Itu adalah hasil daripada imej-imej yang terlekat dalam otak mereka, akibat daripada apa yang berlaku di sekitar.

Hari ini orang sedang membandingkan imej PAS dengan imej DAP, mana lebih baik dan sesuai kalau kita hendak menjadi ahli parti politik dan aktif berpolitik. Hata Wahari bekas Presiden NUJ itu sudahpun memilih parti DAP. Dan khabarnya ramai lagi yang lain, generasi muda Melayu, memilih parti DAP.

Kenapa mereka tidak memilih PAS? Nah, ini soalan sensitif, yang boleh membawa kepada jawapan yang lebih sensitif.

PAS dan DAP sama-sama dalam Pakatan Rakyat. Masuk PAS pun tak mengapa, masuk DAP pun tak mengapa. Akhirnya akan mengundi Pakatan Rakyat juga. Tetapi apabila orang ramai mula membandingkan antara kedua parti itu mana yang lebih Islamik, itu sudah lain implikasinya. Pelik sangat!

PAS itu parti Islam. DAP bukan parti Islam. Hanya Lim Guan Eng saja yang sering menyebut dia ingin mentadbir negeri sepertimana Umar Abdul Aziz mentadbir, dengan dasar 'Amar makruf nahyi mungkar'nya. Dan bukan itu saja. Dia juga telah menunjukkan banyak ciri-ciri pentadbiran yang bersifat Islamik.

Maka akibat daripada itu dia telah membentuk satu imej DAP yang agak mesra kepada rakyat dan kepada orang Melayu. DAP tidak lagi menjadi parti Cina yang anti Melayu dan anti Islam. Orang sudah lupakan kata-kata Karpal Singh yang anti Negara Islam dulu.

Inilah peranan besar 'imej'. Boleh menyebabkan orang sukakan sesuatu dan boleh menyebabkan orang bencikan sesuatu. Dan inilah yang menyebabkan saya sangat bimbang dan risau sekarang. Apabila orang mula membandingkan antara imej PAS dengan imej DAP, dan imej PAS itu pula bukan yang terbina oleh kerja baik Nik Aziz di Kelantan, tetapi oleh faktor lain.

Ada pimpinan di kalangan pimpinan PAS yang dikatakan pantang ditegur. Memang dia berjaya menakut-nakutkan orang-orang di sekitarnya hingga tidak ada yang berani membantah dia, apatah lagi menegur dia. Tetapi di luar daripada lingkungan itu orang bercakap. Dan cakap-cakap yang seperti ini mudah dan cepat merebaknya. Ia sudah menjadi bualan orang ramai di mana-mana.

Memang kita boleh berkata apa hak orang lain untuk masuk campur dalam urusan pemimpin yang seorang itu. Memang! Kita boleh berkata apa pun. Berat mata memandang berat lagilah bahu yang memikul. Memang! Tetapi kita pun tak boleh menghalang orang daripada bercakap negatif hal kita, atau menulis hal-hal yang negatif mengenai kita di dalam blog, FB dan sebagainya.

Dan apabila orang mula membuat bandingan antara imej PAS dengan imej DAP begitu, itu bukan lagi urusan sesiapa. Itu sudah menjadi urusan semua orang.

HEBAT!! Tok Guru Nik Aziz dah bagi lampu hijau...

Posted: 09 Feb 2012 04:00 PM PST

Kelantan sedia lepaskan Salahuddin

Rizal Tahir,

KOTA BHARU, 9 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersedia melepaskan Naib Presiden Salahuddin Ayub (gambar)sekiranya Johor memerlukan beliau walaupun keberatan.

Tuan Guru berkata, pucuk pimpinan parti bersedia memberi laluan kepada Salahuddin untuk bertanding di negeri Johor yang juga tempat kelahirannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekiranya Anggota Parlimen Kubang Kerian itu lebih diperlukan di sana.

"Saya sedia lepaskan dia (Salahuddin) bertanding di sana (Johor), jika PAS Johor betul-betul perlukan khidmatnya," ujarnya.

Tuan Guru berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed untuk menarik Salahuddin bertanding di negeri itu.

Selain itu, Nik Aziz juga berharap dengan perpindahan Salahuddin itu juga dapat mengukuhkan lagi kedudukan Pakatan Rakyat yang semakin diterima masyarakat di negeri itu.

"Apa-apa pun biar PAS Johor berbincang dahulu dan tentukannya.

"Jika itu adalah untuk kemenangan parti, kita kena lepaskannya," katanya keberatan.

Nik Aziz berkata, di samping akur kepada keputusan pucuk kepimpinan beliau juga memberi ruang kepada Salahuddin bertanding di mana-mana kerusi yang bersesuaian.

Semalam, Salahuddin dalam kenyataannya menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding di mana-mana kawasan.

Bagaimanapun tidak bermaksud untuk menjadikan tawaran sebagai Menteri Besar sebagai matlamat utama perjuangannya dalam parti.

"Saya hanya menerima keputusan parti,"ujarnya semalam.

HASSAN Ali wajib sangat baca nih...

Posted: 09 Feb 2012 02:30 PM PST

Surat terbuka buat Hasan Ali: Rashid Ghannoushi bapa parasit?

Oleh Dr Maszlee Malik

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato' juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato' sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato' sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato' menceburkan diri ke dalam bidang politik.

Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato' mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah Dato' lemparkan kepada mantan parti Dato' sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Dato' di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato' yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato' untuk menilai beberapa kenyataan Dato' dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik.

Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato'. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato' mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato'.

Saya kira Dato' mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring).

Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: 'Wacana Islam moderat yang segar'; Kesediaan 'perkongsian kuasa' (power sharing); dan juga 'pengaruh di kalangan rakyat' melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti.

Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik 'Dawlah Islamiyyah' (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam 'secara paksaan' seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka.

Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut.

Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu.

Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan.

Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep 'Negara Berkebajikan', PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato' merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato' tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato' dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi'i bagi sebuah gerakan Islam yang matang.

Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit?

Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Yakinlah Dato', sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji.

Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang.

Malang sekali apabila Dato' pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato' menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.

Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Dato' lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato' untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya.

Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato' ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa'ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato' tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu 'Negara Berkebajikan' pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen 'Negara Berkebajikan' PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing.

Saya berkeyakinan gagasan 'Negara Berkebajikan' merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual 'Negara Berkebajikan' yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS.

Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato', malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Dato' anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai.

Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang 'discursive' PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui 'Kelab Penyokong PAS'.

Akhirkata, jika Dato' benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato' lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato'. Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato' untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato' miliki.

Mungkin juga Dato' boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato' sibuk dengan tugas exco, kini Dato' lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato' yang ingin menjaga aqidah itu.

Saya kira Dato' juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato' itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato' untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato' kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato' berdakwah seperti itu, Dato' akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai 'pejuang aqidah yang sebenar!'.

Tiada ulasan: