Khamis, 2 Februari 2012

shalehudin

shalehudin


Spesis Berahim katak dalam PAS...

Posted: 02 Feb 2012 10:00 AM PST

Israel: Pemuda PAS Ibarat Katak Bawah Tempurung

TARING pemuda PAS semakin hari semakin tumpul. Daripada gerakan orang muda yang boleh diharap untuk menjayakan agenda Pakatan Rakyat, pemuda PAS sudah semakin hilang kewibawaan apabila sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

Reaksi penulis ini adalah lanjutan dari beberapa kenyataan oleh kepimpinan pemuda PAS mengenai negara Israel, dalam mengulas kontroversi ciptaan UMNO berhubung dari temubual Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan The Wall Street Journal pada 26 Januari 2012.

Antara yang mendapat perhatian penulis ialah kenyataan dari Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS disini, Riduan Mohd. Nor (gambar) yang lantang berkata Israel wajib diperangi.

Penulis tidak faham, apa keperluannya Riduan mengeluarkan kenyataan keras seperti itu? Adakah dengan berkata demikian Riduan dan pemuda PAS akan kelihatan hebat?

Ya, penulis faham, majoriti pemuda PAS perasan diri mereka sehebat pejuang-pejuang Islam zaman dahulu kala. Masing-masing berimpian untuk mati syahid demi mempertahankan Islam, dalam konteks ini negara Palestin yang dizalimi Israel, siapa yang tidak?

Tapi apa ada dengan itu semua kalau masing-masing hanya berani berkokok di tanah air sendiri?

Terimalah hakikat bahawa Israel adalah sebuah negara yang sah dan telah diterima menjadi anggota pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Banyak negara Islam telah mengadakan hubungan dengan Israel seperti Mesir, Turki dan sebagainya, tapi itu tidak sama sekali menghalang negara-negara tersebut dari mengecam Israel kerana tindakan zalimnya ke atas rakyat Palestin.

Seperti yang disebutkan Datuk Seri Anwar dalam temubual dengan TWSJ, soal mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, sehingga ke tahap membuka pejabat kedutaannya disini tidak timbul sama sekali, selagi Israel tidak menghormati hak-hak rakyat Palestin.

Itu sudah jelas. Sementara soal melindungi keselamatan Israel itu adalah selari dengan konsep Penyelesaian Dua Negara dan Inisiatif Dunia Arab, bukan seperti yang diputarbelitkan oleh media UMNO.

Jadi tindakan pemuda PAS mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian dalam mengulas isu temuramah Anwar dengan TWSJ itu, hanya memburukkan lagi keadaan yang sedia buruk.

Hanya pemuda PAS sahaja yang kelihatan begitu aktif mengulas isu ini walaupun sedar ia adalah perangkap yang dipasang oleh UMNO.

Dalam hal ini penulis mengucap setinggi tahniah kepada kematangan Angkatan Pemuda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang mengelak daripada mengulas tentang isu ini dan sepert diulas di atas, masuk perangkap UMNO.- SPR

Tolong check sat dia ni mabuk ka dak...

Posted: 02 Feb 2012 09:05 AM PST

KITA akan bubar, kembali ke pangkal jalan

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Parti KITA pimpinan Datuk Zaid Ibrahim akan dibubarkan tidak lama lagi melalui satu mesyuarat agung luar biasa.

Keputusan ini perlu dibuat untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa parti itu tidak memihak kepada pembangkang, terutama dengan beberapa anggota-anggota kami di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka yang mengkritik Pakatan Rakyat.

"Mereka telah melakukan perbuatan ini secara berterusan," kata satu kenyataan yang dibuat melalui laman web partikita.com hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat oleh Datuk Zaid sendiri namun tidak ada sebarang nama diletak pada kenyataan itu.

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) ialah parti politik yang dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

KITA ditubuh secara rasmi dibawah pimpinan Datuk Zaid pada 15 Disember 2010 apabila beliau dilantik sebagai presiden baru parti ini dalam sebuah mesyuarat agung.

KITA dilancarkan secara rasminya pada 19 Januari 2011 oleh Datuk Zaid di Kuala Lumpur.

(Gambar fail: Datuk Zaid ketika melancarkan parti KITA dengan penuh gilang gemilang di Kuala Lumpur)

Kenyataan yang dikeluarkan hari ini memetik, peribahasa Melayu ada menyebut, "jika sesat di penghujung jalan, kembalilah ka pangkal jalan".

"Saya sedar sekarang bahawa penubuhan KITA adalah satu kesilapan. Saya berhasrat untuk memberi idea-idea alternatif dalam politik dan membawa kepelbagaian bakat yang lebih luas kepada kepimpinan pembangkang," katanya.

Menurut kenyataan itu, idea beliau untuk menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

"Saya tidak berjaya membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti di kalangan pegawai-pegawai awam.

"Saya juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti, dan teman-teman yang telah berjanji untuk membantu telah akhirnya memutuskan untuk menarik balik," katanya.

Kecenderungan media yang mendalam dalam melaporkan isu-isu remeh yang memberi kesan kepada parti akan terus memberi kesukaran kepada kami, katanya.

"Cukup ramai orang di luar sana yang hanya berminat dalam mengkritik kepimpinan saya di dalam KITA, dan yang menggemburkan cerita-cerita dengan tujuan untuk mencemuh saya," katanya lagi.

"Saya telah membuat banyak kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati. Saya tetap yakin bahawa perubahan akan datang untuk kebaikan negara ini dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya di dalam mencapai tujuan itu," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, dia tidak akan menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mempercayai bahawa kenikmatan dalam memberi perkhidmatan kepada awam, dan boleh menjalankan perkhidmatan ini dengan kehormatan dan maruah.

"Kepada anggota-anggota parti yang setia yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini, saya memohon ampun.

"Saya menghargai sokongan mereka dan saya berharap mereka akan menerima keputusan ini, kerana ia adalah untuk kebaikan yang lebih besar kepada pihak pembangkang," katanya.

Mai tengok camana Haji Hadi tibai Najib... kahkahkah...

Posted: 02 Feb 2012 07:30 AM PST

Konsep al-wasatiyyah

Mutakhir ini perkataan al-Wasatiyyah diwar-warkan, menggantikan slogan Islam Hadhari yang ditenggelamkan entah di mana dan tidak diketahui sampai ke mana. Jangan terjebak dengan apa yang disebut oleh ucapan Sayyidina Ali K.W.

كلمة حق أريد بها باطل
(Kata-kata yang benar dijadikan tujuannya kebatilan)

Kebenaran yang mutlak tanpa dipertikaikan ialah kenyataan daripada Allah. Marilah kita berpegang kepadanya.

Firman Allah (maksudnya):
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad S.A.W) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah: 143)

Dari sini bertolaknya konsep al-Wasatiyyah. Perkataan al-Wasatiyyah (الوسطية) dalam bahasa Arab adalah daripada perkataan al-Wasat (الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.

Apabila menafsirkan al-Quran dan menghuraikan hadith daripada perkataan al-Wasat adalah tidak tepat dengan makna zahir bahasanya sahaja, sehingga membawa maksud pertengahan di antara baik dan buruk secara bercampur aduk atau adil dan zalim sama-sama dilakukan, dengan maksud boleh dikumpulkan benar dan salah, makruf dan munkar, buat baik dan buat maksiat kerana mesej Islam yang bersumberkan al-Quran dan ditafsirkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W membawa mesej pelaksanaan kebaikan yang terbaik dengan betul dan istiqamah serta meninggalkan segala kemunkaran dan mencegahnya secara hikmah.

Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan menegakkan makruf dan menentang kemunkaran atau tidak bercita-cita melaksanakan Islam sepenuhnya, dibuktikan dengan lebih setengah abad berpeluang mendapat kuasa politik memegang amanah.

Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga meninggalkan syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya menjadi pengajaran kepada umat Islam.

Firman Allah (maksudnya):
Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah: 42)

Apabila Islam keseluruhannya adalah panduan dan petunjuk jalan serta batas sempadan perjalanan kehidupan manusia, jika meninggalkannya atau pelaksanaannya tidak sempurna, menyebabkan berlakunya banyak perkara-perkara yang merosakkan kehidupan manusia dan alam sekelilingnya, maka Islam pula yang dipersalahkan.

Perlu difahami bahawa setiap aspek ajaran Islam yang berkait dengan akidah dengan setiap rukun dan cabangnya, syariat dalam segala urusannya, akhlak dalam segala hubungannya dan sistem pelaksanaannya secara menyeluruh adalah mata rantai yang tidak boleh dipisahkan atau dikurangkan.

Zahir ayat Ummat Wasatiyyah tersebut menegaskan bahawa umat Islam dijadikan contoh di kalangan seluruh manusia dan layak menjadi saksi bagi pihak Rasul terhadap manusia pada hari kiamat kelak, bahawa para Rasul telah menyampaikan petunjuk Allah yang bernama Islam dengan amanah dan sempurna, sehingga mengharungi perjuangan bersama Rasul atau meneruskan perjuangannya yang penuh pengorbanan harta dan jiwa raga, bagi mengislamkan manusia dalam seluruh cara kehidupannya dari dunia dan berwawasan hari akhirat, bukan sekadar wawasan 2020.

Mengikut kaedah ilmu tafasir, al-Quran hendaklah ditafsirkan mengikut keutamaan. Sekiranya ada ayat-ayat al-Quran sendiri yang menafsirkan al-Quran hendaklah didahulukan, kemudian diikuti dengan sunnah Rasulullah S.A.W yang menafsirkan al-Quran, seterusnya diikuti dengan tafsir para ulama sahabat yang menerima secara berdepan dan menyaksikan tafsiran Rasulullah S.A.W secara menghayatinya, kemudian tafsir para ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan mutakhir) yang menafsirkan al-Quran mengikut Ulum al- Quran (Ilmu-Ilmu alat bagi memahami al-Quran). Begitulah caranya al-Quran ditafsirkan dengan tepat, mengikut perintah Allah dan petunjuknya melalui Rasulullah S.A.W supaya diamalkan dengan berdasarkan iman. Kalau tidak maka tafsirnya salah dan berdosa besar atau menyeleweng sehingga sesat dan menyesatkan. Kalangan ulama yang mengambil pendekatan begitu adalah mengambil contoh golongan ahli kitab yang dimurka Allah (al-Maghdub alaihim dalam surah al-Fatihah) atau ulama jahat.

Firman Allah menunjukkan adanya kalangan ulama seperti ini (maksudnya):
Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.

Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim. (Surah al-A'raf: 175-177)

Para ulama tafsir menceritakan ayat-ayat ini berkait dengan ulama yang disuap dengan kesenangan dunia sehingga sanggup memutar belit ayat-ayat Allah.

Al-Quran tidak boleh diseleweng dan dipermainkan kerana tetap dipelihara oleh Allah. Al-Quran itu hendaklah ditafsirkan mengikut ilmu-ilmu yang berkait dengannya iaitu ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah, sastera Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Ilmu asbab al-nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh dan mansukh dan juga ilmu riwayat dan dirayat.

Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat.

Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):

Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) المائدة

(Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang bangun menegakkan agama Allah kerananya (dengan ikhlas), supaya menjadi para saksi dengan adil, dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil Berlaku adillah, kerana lebih hampir kepada sifat taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha teliti pengetahuannya terhadap apa-apa yang kamu lakukan). (Surah al-Maidah: 8)

Rasulullah S.A.W memulakan pembangunan insan generasi awal yang pertama menjadi contoh Ummatan Wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah. Apabila ditawarkan melalui Abu Talib yang paling disegani menjadi Raja atau Ketua dengan harta kekayaan dikumpulkan untuknya, tawaran yang mahal ini ditolak dengan tegas, sabdanya :

يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته .

السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 474)


(Wahai bapa saudara kesayanganku, sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam) sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati kerananya nescaya aku tidak meninggalkannya).

Al-wasatiyyah dalam agama dan sistem cara hidup

Kedatangan Rasulullah S.A.W membawa Islam agama Allah adalah kesinambungan risalah para Rasul sebelumnya, setelah ajaran Rasul terdahulu dipesong menjadi sesat. Dua agama samawi, Yahudi dan Kristian yang terserlah sudah dipinda dan diubah oleh para pendeta dan paderi yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim di zaman masing-masing, sehingga berlaku penindasan agama terhadap masyarakat dengan mengadakan hukum yang tidak diizin oleh Allah.

Agama yang tidak samawi pula lebih sesat, sehingga menjadikan manusia memuja makhluk seperti batu dan binatang yang tidak berakal, serta menyanjung para sami seperti Tuhan. Islam berada ditengah-tengah penyelewengan agama, membawa Aqidah Tauhid mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup, menentang penyelewengan agama samawi dan tidak samawi. Menentang agama yang menjadikan manusia seperti malaikat dan meletakkan manusia seperti binatang dan lebih rendah daripada binatang dan makhluk yang lain.

Berdasarkan firman Allah (maksudnya):
Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam (manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (Surah al-Israk: 70)

Islam meletakkan manusia mengikut konsep Wasatiyyah, ada ruh berhubung dengan Tuhan tidak seperti malaikat, ada jasad dan hawa nafsu tidak seperti binatang dan boleh bergerak tidak seperti batu dan kayu.

Islam juga tidak melampau seperti Kristian yang memuja Rasul sehingga diletakkan setaraf ketuhanan dan tidak seperti Yahudi yang menolak Rasul dengan keras sehingga membunuhnya dan meminda ajarannya mengikut hawa nafsu.

Maka Islam adalah wasatiyyah di kalangan agama, kerana meletakkan manusia mengikut fitrahnya dengan tepat dan terbaik mengikut ketentuan Allah, sekiranya manusia itu berpegang dengan Islam dan beramal sepenuhnya dalam cara beragama, bukan dengan makna agama secara sekularisme.

Dalam aspek politik, wujudnya pemerintahan diktatur (kuku besi) yang memberi kuasa mutlak kepada seseorang atau kumpulan. Kemudiannya lahir amalan teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada ahli agama, dan demokrasi Barat yang dikatakan hak kepada rakyat secara mutlak. Maka Islam berbeza dengan semua teori tersebut dengan menyerlahkan wasatiyyah menentang diktatur dan teokrasi serta menentang penipuan terhadap rakyat di atas nama hak rakyat tanpa mengira jahil dan terdesak, dengan menyatakan batas sempadan ketaatan kepada pemimpin dan para ulama dan hak rakyat dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada sesiapa.

Meletakkan batas sempadan perkara-perkara kemampuan manusia dan di luar kemampuan manusia. Islam menegaskan syarat iman, ilmu dan akhlak mengikut perhitungan agama yang adanya muhasabah halal dan haram, serta dosa dan pahala dalam amalan politik, bukan sahaja dalam perkara ibadat, kerana Islam tidak memisahkan politik daripada agama. Menerima apa yang baik dan bijaksana walaupun datang daripada mana tanpa mengira timur dan barat, dan menolak yang buruk dan jahat walaupun dilahirkan di bumi Makkah.

Dalam aspek ekonomi pula Islam menentang teori kapitalisme yang membebaskan hak individu sehingga mengorbankan hak masyarakat dan menentang komunisme dan sosialisme yang merampas hak individu di atas nama keadilan terhadap masyarakat, dan semua teori tersebut berteraskan kebendaan samada memisahkan kewajipan agama dalam ekonomi atau menafikan adanya peranan agama dalam kehidupan manusia.

Islam mengizinkan miliki harta dan mengurusnya, tetapi wajib menunaikan kewajipan bermasyarakat dengan zakat dan lain-lain.

Firman Allah (maksudnya):
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian. (Surah az-Zariyat: 19)

Islam juga memerintahkan supaya membelanjakan harta secara sederhana, tidak boros dan tidak bakhil. Firman Allah (maksudnya):
Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal. (Surah al-Israk: 29)

Dalam kehidupan berkeluarga Islam tidak seperti agama yang mengharamkan paderi dan saminya berkahwin seperti malaikat dan ajaran yang membebaskan pergaulan seperti binatang, kerana kedua-duanya bertentangan dengan fitrah manusia. Maka Islam menetapkan hukum berkeluarga bermula daripada pertunangan, sehinggalah perkahwinan, nafkah dan perceraian.

Islam juga menetapkan ajaran yang berkait dengan adab pergaulan dalam keluarga dan masyarakat yang luas, daripada hukum berpakaian sehingga hukum bergaul dan bermuamalat, bagi menjaga akhlak manusia dan keharmonian kehidupan mereka.

Bagi menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta yang menjadi rukun kehidupan manusia maka Allah mewajibkan undang-undang jenayah, qisas dan hudud secara nas dalam hanya beberapa perkara yang tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang tetap bersifat makhluk yang lemah. Bagi perkara-perkara yang boleh dicapai dengan ilmu dan pengalaman, maka Islam mengizinkan kebijaksanaan akal dan pengalaman dengan panduannya.

Islam juga berkonsepkan al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa, perdamaian adalah konsep pertama yang wajib didahulukan, dalam masa yang sama mengakui bahawa adanya peperangan yang menjadi fitrah manusia, kerana adanya perbezaan yang membawa pergeseran dan wujudnya manusia yang menjadi pengikut syaitan yang wajib ditentang dengan cara peperangan apabila diceroboh dengan zalim, tetapi diharamkan melampau menggunakan senjata, ketika berperang dan selepasnya walaupun mencapai kemenangan.

Firman Allah (maksudnya):
Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-Baqarah: 190)

Islam mendahulukan perdamaian

Firman Allah (maksudnya):
Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin. (Surah al-Anfal: 61-62)

Al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa bermakna wajib berlaku adil di masa damai dan perang, tidak menyerah kalah terhadap kezaliman dan tidak melampau apabila bertindak.

Al-Wasatiyyah mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W menjadi ikutan adalah tetap, teguh dan istiqamah, bukan slogan politik sementara seperti Islam hadari, bersih cekap dan amanah, kepimpinan melalui teladan, yang pelaksanaannya tidak cukup dan tidak berpijak di bumi nyata, tenggelam dalam gejala keruntuhan yang tidak mampu dibaiki dengan islah kerana prinsip yang salah dan konsep yang tempang dan didatangi masalah baru yang bertalu-talu.

Makna wasatiyyah bukan melaksanakan Islam tidak sempurna atau secara terpilih atau campur aduk. Bukan sekadar mendirikan masjid tanpa sempurna mendirikan sembahyang, mengadakan Bank Islam tanpa kuasa mencegah kemunkaran riba, mengadakan musabaqah sekadar mendengar suara tanpa menjadikan petunjuk dalam amalan dan akhlak, kehilangan harta dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan salah urus lebih besar daripada bantuan kepada yang berhak dan kesimpulannya menegakkan kebaikan yang tidak sempurna membiakkan kemunkaran yang meningkat. Maka tidak layak bersifat al- Wasatiyyah untuk menunjukkan model Islam dan tidak layak menjadi saksi di dunia dan akhirat.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Mampuih baham tanah la UMNO Perlis... kahkahkah...

Posted: 02 Feb 2012 01:30 AM PST

Haron Din Tanding PRU13, Ketuai Pas Perlis

KANGAR : Pas Perlis mengesahkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din akan bertanding pada pilihan raya umum ketiga berturut-turut sekali gus mengetuai Pas negeri itu dalam usaha menawan Perlis dari tangan Barisan Nasional (BN).

Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, pengesahan itu dibuat bagi menutup desas-desus pelbagai pihak mendakwa Haron Din tidak akan bertanding lagi pada pilihan raya umum (PRU) kali ini disebabkan masalah kesihatan.

Menurutnya, Pas Perlis sudah mengemukakan tawaran bertanding PRU kepada tokoh pengamal perubatan Islam itu sejak setahun lalu dan baru menerima jawapan positif beberapa minggu lalu.

"Haron Din bersedia bertanding buat kali ketiga walaupun dua kali tertewas dalam PRU terdahulu dan Pas bersedia menyerahkan mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai untuknya.

"Bagaimanapun, saya yakin beliau akan menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen sahaja dan mampu menang pada kali ini berdasarkan sokongan padu ditunjukkan rakyat Perlis," katanya pada sidang media di Kompleks Pas Perlis semalam.

Hashim berkata, Pas menaruh keyakinan penuh mampu menawan Perlis kali ini berdasarkan trend sokongan padu ditonjolkan rakyat sehingga ramai pihak yang berebut-rebut menyampaikan sumbangan kepada parti bagi persiapan PRU.

Menurutnya, trend itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka apabila boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang datang berjumpa dengan pemimpin Pas negeri untuk menyampaikan sumbangan sehingga kadang-kadang mencecah ribuan ringgit.

Hashim turut menyifatkan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) kini mendapat jaminan padu rakyat bukan Islam Perlis untuk bersama-sama mereka setelah bosan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada.- SPR

Best betoi dia ni tibai parasit dalam Pakatan...

Posted: 02 Feb 2012 12:00 AM PST

Benarkah Dewan Ulamak PAS Sejahil Itu? Jawapan Buat Ibrahim Baba

MEMBACA tulisan Ibrahim Baba di dalam Tranungkite, jelas dan nyata penulis sememangnya menjadi barua kepada sekutu Apco iaitu Parti Kebangsaaan Melayu Bersatu itu. Tiada hujah, tiada fakta selain dari andaian jahat beliau untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat menjelang PRU ke 13 tidak beberapa lama lagi.

Di dalam tulisannya, lebih jahat lagi beliau melabelkan Ulamak PAS seolah-olah tidak berilmu dan bertaqwa dengan hukum Allah. Tuduhan beliau yang menyebut bahawa ramai di kalangan Ulamak di dalam Dewan Ulamak PAS percaya kepada video seks Datuk T adalah merupakan satu tuduhan jahat kepada Alim Ulamak. Apakah Ibrahim Baba merasakan Ulamak PAS seperti beliau yang jahil sejahil-jahilnya tentang hukum Islam? Apakah Ulamak PAS boleh terpedaya dengan `hukum video' ciptaan Munafikun daripada hukum Allah? Tetapi, itulah anggapan Ibrahim Baba.

Muslimat PAS

telah diperjelaskan secara berani dan terang oleh DS Anwar. DS Anwar tidak berselindung kerana di dalam dunia yang tiada sempadan ini mana mungkin beliau boleh berselindung dengan setiap kenyataannya? Masalahnya, kejahilan mereka yang tidak memahami sesuatu isu dan mengandaikan DS Anwar cuba berbohong. Di mana kekuatan bagi seseorang `pembohong' untuk berdebat dengan Sang Penguasa? Mengapa Sang Penguasa terlalu bacul untuk berdepan dengan Ketua Pembangkang ini? Jika benar DS Anwar melakukan apa yang disebut oleh Ibrahim Baba, sudah pasti DS Anwar tidak akan berani berdepan dengan Sang Penguasa.

 
 
Boleh dikatakan majoriti yang hadir di dalam Himpun 901 adalah penyokong PAS

Jika Sang Penguasa mempunyai bukti kukuh bahawa segala yang disebut oleh Ibrahim Baba itu benar, maka pastinya DS Anwar akan dilondeh semahu-mahunya oleh mereka di dalam debat yang dinantikan rakyat itu. Tetapi, mengapa ianya tidak diambil kesempatan oleh Sang Penguasa? Jawapannya mudah, mereka tidak mempunyai hujah dan fakta untuk melondehkan Ketua Pembangkang tersebut.

Kononnya, Ibrahim Baba mendakwa kurangnya sokongan ahli-ahli PAS kepada DS Anwar sewaktu perhimpunan 901 yang lalu. Adakah Ibrahim Baba tidak hadir waktu itu? Jelas, malah dapat disaksikan bahawa paling ramai yang hadir adalah terdiri dari penyokong-penyokong PAS. Daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Pemuda dan Muslimat PAS telah hadir. Malahan, Mursyidul Am PAS yang keuzuran telah mewakilkan anaknya Us Nik Abduh untuk hadir. Lebih-lebih lagi Mursyidul Am sendiri telah berdoa sebelum keputusan mahkamah untuk DS Anwar, berpuasa tanda bersyukur sejurus DS Anwar dibebaskan. Adakah ini tidak melambangkan sokongan PAS?

Sejak dari awal memang PAS berpendirian, kehadiran mereka bukan atas faktor DS Anwar tetapi atas faktor kezaliman yang dilakukan ke atas Ketua Pembangkang ini. Itu lah juga faktor sokongan rakan-rakan lain di dalam PR dari Keadilan dan DAP. Mungkin Ibrahim Baba mempertikaikan mengapa tiada Ketua Dewan Ulamak PAS yang hadir atau AJKnya. Kita semua maklum, semenjak bila Dewan Ulamak hadir di dalam satu-satu perhimpunan atau demontrasi? Bukan di dalam kes melibatkan DS Anwar sahaja, malahan di dalam Himpunan BERSIH sebelum ini juga sukar untuk menyaksikan kehadiran mereka. Adakah ini bererti mereka tidak menyokong tuntutan BERSIH?

Di atas beberapa sebab yang saya nukilkan di atas, kesimpulannya saya melihat tulisan Ibrahim Baba ini hanyalah semata-mata untuk mendatangkan keraguan sesama Pakatan Rakyat, sekaligus untuk membantu Umno untuk terus berkuasa selama-lamanya.

Tak baik woi kata Hassan Ali suka telanjang... kahkahkah...

Posted: 01 Feb 2012 10:00 PM PST

Hasan Ali telanjangi diri sendiri.
Kes Hasan Ali mengingatkan kita kepada kumpulan Islah yang ditubuhkan selepas PAS mengikat kerjasama dengan Semangat 46. Cuma bezanya, Islah bertindak secara kumpulan manakala Hasan Ali di lihat lebih kepada individu.

Kumpulan Islah pertama timbul hasil daripada tindakan pimpinan PAS membawa PAS menjadi ahli kompenen BN tahun 1974. Hasil kerjasama itu MB Kelantan daripada PAS.

Kumpulan Islah kedua wujud hasil ketidakpuas hati ahli PAS terhadap pimpinan PAS yang berkerjasama dengan S46. Mereka berdalilkan S46 adalah berkulitkan UMNO juga. Hasilnya mereka bertanding melawan calon PAS dan hilang wang pertaruhan ! Dan PAS berjaya menawan semula Kelantan tahun 1990.

Mulanya kumpulan Islah mendapat simpati ahli PAS bawahan, tetapi apabila kumpulan Islah mula menyerang dan memaki hamun pimpinan ulamak PAS, nilai moral kumpulan Islah jatuh merudum.

Begitulah juga kisah Dr Hasan Ali. Beliau hebat dengan ucapan motivasi. Malangnya beliau tidak dapat bezakan antara bidang motivasi dengan politik.

Barangkali mulanya simpati terhadap beliau daripada ahli PAS adalah tinggi. Bahkan ramai yang sayangkan beliau dengan memberi nasihat agar beliau banyak bersabar dan membuat rayuan.

Malangnya tindakan beliau menghentam dasar parti dan pimpinan dengan ucapan persis Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan sewaktu dengannya menimbulkan tandatanya ahli PAS yang mulanya simpati dengan beliau.

Dulunya ahli menganggap krisis beliau bersifat peribadi dengan Khalid Samad. Tetapi akhir-akhir ini melihat kepada ucapan beliau macamlah beliau begitu gilakan jawatan terutama jawatan MB seperti yang ditawarkan oleh UMNO Selangor pasca PRU 12 !

Ucapan beliau di pentas penuh dengan kutukan terhadap pimpinan PAS, ego, sombong dan takbur.

Hasan Ali kini bukan lagi dikenali sebagai bekas pimpinan PAS, pakar motivasi tetapi jelmaan semula pegawai BTN.

Macam bibiaq mulut Rosmah... kahkahkah...

Posted: 01 Feb 2012 08:00 PM PST

UMNO Akan Jadi Dinasour...

Soal masa depan Umno kini menjadi bualan di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja. Selain hidup mati Umno dikatakan akan ditentukan oleh keputusan PRU 13 akan datang, soal bagaimana wajah dan rupa bentuk Umno di masa hadapan turut menjadi perhatian. Dengan wajahnya seperti sekarang, apakah Umno akan wujud 50 tahun atau 100 tahun akan datang? Atau apakah Umno perlu merubah wajah dan rupa bentuknya untuk disesuaikan dengan kehendak zaman dan generasi mendatang?

Berdasarkan keputusan piliharaya 2008 dan perkembangan mutakhir ini, jelas bahawa Umno kini semakin dipertikai dan dijauhi oleh orang-orang Melayu sendiri. Golongan muda, profesional dan pertengahan ke atas seperti tdak lagi menjadikan Umno sebagai sandaran dalam menentukan hidup mati atau jatuh bangun masa depan mereka. Wujud atau tidak Umno,tidak ada bezanya bagi mereka.

Umno kini hanya menjadi parti orang-orang Melayu di kampung dan mereka yang berpendapatan sederhana rendah yang tinggal di bandar atau pinggir bandar. Di bandar cawangan Umno hanya wujud di kawasan perumahan kos rendah, flat, kawasan setiggan dan PPRT dan mesyuarat Umno cawangan di kawasan ini agak aktif dengan pelbagai tuntutan dan permintaan. Cawangan Umno tidak wujud atau hampir tidak aktif di kawasan perumahan mewah seperti Bukit Damansara, Mont Kiara, Tropicana, Taman TAR di Ampang dan seumpamanya meskipun di situlah kebanyakan pemimpin Umno tinggal dan menjadi tempat anak isteri mereka mempamerkan kekayaan.

Dengan arus pembangunan yang mungkin menjadikan kampung-kampung turut dimajukan dan orang Melayu sendiri menjadi pandai, berpendidikan serta menjadi kelompok elit dan menengah, apakah Umno dengan wajahnya sekarang mampu untuk terus bertahan?

Selain wajah Umno dihodohkan dengan perangai pemimpin dan mereka yang diberi kuasa tetapi bersikap tidak amanah dan tidak ikhlas dalam perjuangan sehingga dicemari dengan pelbagai isu skandal, rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, penipuan malahan pembunuhan sekalipun, struktur dan wajah Umno yang bersifat hanya untuk satu kaum sahaja turut menjadikan ia lemah dibawa perubahan zaman. Dan semua ini, hari demi hari, menjadikan Umno semakin hodoh dan hilang seri di mata rakyat.

Malaysia sejak kewujudannya adalah sebuah negara berbilang kaum namun jarang berlaku persengketaan kaum kerana masing-masing menyedari pentingnya menjaga keharmonian kaum. Seruan terhadap integrasi kaum juga sering dilaungkan meskipun pada awalnya Umno, Mca dan Mic memperjuangkan kepentingan dan hak kaum masing-masing.

Namun setelah lebih 50 tahun merdeka dan selepas pilihanraya 2008, soal kaum dalam perjuangan politik seakan mula memasuki dimensi baru. Penolakan rakyat terhadap Umno bukan sahaja disebabkan wajah hodohnya yang dipamerkan melalui perangai kebanyakan pemimpinnya tetapi juga kerana sifat perkaumannya. Parti berunsur satu-satu kaum mulai ditolak manakala parti pelbagai kaum seperti Pkr dan Dap mulai mendapat sambutan. Ada pula yang meninggalkan Mca dan Mic untuk menyertai parti pelbagai kaum dalam gabungan BN seperti Gerakan dan PPP. Parti baru yang ditubuhkan selepas pilihanraya 2008 seperti KITA juga bersifat pelbagai kaum.

Semua ini memperlihatkan kesedaran yang makin tinggi bahawa perjuangan politik dalam sebuah negara majmuk tetapi hanya berasaskan satu-satu kaum sudah mulai ketiggalan zaman. Kemudian apabila dua bekas pemimpin Umno iaitu Datuk Ariff Sabri, bekas Adun Pulau Manis, Pahang dan Aspan Alias dari Negeri Sembilan serta bekas Presiden NUJ, Hata Wahari mengambil keputusan menyertai Dap, jelas memperlihatkan parti pelbagai kaum sudah mulai menyusup jauh.

Beberapa individu seperti Tengku Abdul Aziz dan Zairil Khir Johari sudah pun menyertai Dap sebelum ini dan diterima dengan baik dalam parti itu.

Dengan Pkr yang diterajui oleh Anwar Ibrahim, juga bersifat pelbagai kaum dan diterima baik oleh rakyat bersama gabungan dengan Pas dan Dap, kebarangkalian untuk melihat Umno akan beransur-ansur tenggelam, dilupakan dan menjadi dinasour adalah amat besar sekali, kecuali ia segera merubah struktur dan rupa wajahnya bukan saja untuk disesuaikan dengan keperluan zaman tetapi juga dengan hakikat negara sendiri yang berbilang kaum.

Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar pernah mencadangkan supaya Umno terbuka kepada semua kaum tetapi beliau telah ditentang ketika itu sehingga disingkirkan daripada Umno. Tetapi melihat perkembangan semasa dan akan datang yang dijangka terus mahukan isu-isu perkauman diketepikan, janganlah terperanjat kiranya di masa akan datang Umno akan terus mengecil jika kekal dengan rupa bentuknya seperti sekarang.

Selain Umno dijauhi kerana generasi akan datang lebih berminat menyertai parti pelbagai kaum seperti Pkr dan Dap, sebahagian Melayu yang lain pula memilih menyertai Pas yang juga bukan bersifat perkauman tetapi berlandaskan Islam. Bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Haji Soberi Shafie telah meninggalkan Umno untuk menyertai Pas.

Adalah dijangkakan menjelang pilihanraya atau selepas pilihanraya akan datang ini, lebih ramai lagi orang-orang Melayu sama ada daripada kalangan tidak berparti atau bekas ahli Umno, akan turut menyertai Dap. Ini kerana Dap yang selama ini digembar-gemburkan sebagai parti perkauman Cina dilihat bersungguh-sungguh mahu menghakis tanggapan itu, sesuai matlamat asal penubuhan dan perlembagaannya sendiri yang bersifat untuk semua kaum, mempertahan Raja-Raja dan Perlembagaan negara.

Pkr memang dilihat tidak ada masalah untuk menarik orang Melayu menyertai, bersimpati dan menyokong mereka kerana parti itu mempunyai banyak isu dan ramai pemimpin Melayu didalamnya yang membolehkan ia mudah diterima. Berbeza dengan Dap, kiranya keputusan PRU 13 ini memperlihatkan calon-calon Melayunya diterima oleh pengundi, ia akan menyaksikan lebih ramai orang Melayu menyertainya selepas itu.

Dalam hal ini Umno tidak ada pilihan kecuali berubah sesuai dengan kehendak generasi akan datang dan kedudukan masyarakat majmuk negara ini. Jika ia gagal atau tidak mahu berubah, Umno akan menjadi dinasour yang akhirnya pupus ditelan zaman kerana gagal menyesuaikan diri. Di Sabah misalnya, Umno turut dianggotai oleh kaum Bumiputera lainnya selain Melayu. Jika Umno Sabah hanya untuk Melayu sahaja, sudah lama ia gulung tikar dan menadi sejarah.

Saoal bagaimana bentuk perubahan itu mahu dilakukan, terserahlah kepada pimpinan dan ahli Umno sendiri menentukan tetapi ia harus dilihat dengan serius selepas pilihanraya umum akan datang. Lagi pula parti-parti politik di negara lain yang penduduknya lebih daripada satu kaum seperti Amerika, Britain dan Australia juga tidak bersifat perkauman. Tidak ada parti yang hanya untuk orang kulit putih atau kulit hitam sahaja di negara-negara tersebut. Tambahan pula parti yang bersifat perkauman yang kekal sebagai pemerintah hanya tinggal di Malaysia sahaja.

Pilihan nampaknya hampir tidak ada jika Umno ingin dilihat terus kekal kewujudannya.

Dey ane, luluk liam-liam boleh kaa... kahkahkah...

Posted: 01 Feb 2012 06:00 PM PST

Anwar nasihatkan Mahathir supaya 'duduk diam-diam'

Hazlan Zakaria

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed supaya "duduk diam-diam di rumah dan jaga cucu di rumah" serta tidak 'menyerangnya' tanpa sebarang asas.

Katanya, beliau sudah lali dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya sejak bertahun-tahun itu.

"Itu orang tua belum habis lagi ka? Sudah la tu. Dia dan keluarga sudah kaya-raya, Mirzan dah berbilion.

"Cukuplah, duduk diam-diam di rumah dan jaga cucu di rumah," katanya kepada lebih 1,000 hadirin di acara rumah terbuka Tahun Baru Cina PKR Batu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jinjang Selatan, Kuala Lumpur.

Anwar yang juga ketua umum PKR mengulas serangan bekas ketuanya pada Isnin lalu yang berkata bekas timbalan perdana menteri itu memang mempunyai hubungan rapat dengan Yahudi dan malah berkawan dengan anggota kongres Amerika Syarikat yang berbangsa Yahudi.

Mahathir juga dilaporkan berkata Anwar suka jika dipuji oleh orang Barat.

"Dia kata saya dekat dengan orang Israel. Dulu dia kata saya ikut orang Cina. Kalau jadi PM, saya akan jual negara ini pada orang Cina."

"Dey ane! Mana satu ini.

"Hari itu saya pergi majlis Ponggal, saya pakai topi India. Macam MGR (bintang filem India). Nanti dia kata saya ikut orang India pula!" sindir Anwar.

Ucapannya disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin yang sebahagian besarnya masyarakat Cina yang telah menyambut beliau dengan paparan tarian singa sebelumnya.

Anwar juga diraikan dengan hidangan 'yee sang' dan disertai oleh pemimpin-pemimpin PKR serta komponen Pakatan yang lain.

Turut hadir Naib Presiden PKR yang juga ahli parlimen Batu, Tian Chua dan ahli parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.

Selain di Jinjang, Anwar turut mengunjungi Tokong Pooling Keong, di Setapak, perumahan rakyat di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Little India di Brickfields.

Anwar juga berkata, Pakatan Rakyat mahu mengambil alih Putrajaya dari kerajaan yang mengamalkan rasuah dan dasar memecah belahkan kaum.

"Kita tak mahu kerajaan yang 'pu hau' (tidak baik) dan 'siau ren' (orang yang bingung)

"Di sini dia (kerajaan) cakap tentang satu Malaysia, tapi di sana ada kes baling kepala babi (di masjid). Di sini dia kata nak jaga rakyat, tapi tanah, balak beri pada anak bini menteri.

"Sampai 'lembu' pun dia nak angkat," katanya merujuk skandal National Feedlot Corporation (NFC), sambil disambut ketawa orang ramai.

Justeru, katanya, rakyat tidak ada pilihan selain menolak kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Ustaz berjubah pi Gereja...

Posted: 01 Feb 2012 04:00 PM PST

Satu Kisah Di Gereja

Hari itu, hari jumaat. Aku dijadualkan berkhutbah jumaat di Masjid haji kamaruddin, PJ. Dalam perjalanan, tiba-tiba telefon aku berderingan. Aku lihat di screen, nama seorang ahli politik yang berjawatan Ahli Parlimen.

"apa pula pak haji ini? ada benda yang dia nak lanya la tu" bisik hatiku sendirian.

Aku angkat telefon, kami berbual-bual. Dia bertanya khabar dan kemudiannya bertanyakan tentang satu hadis yang bermaksud, "sesiapa yang menyakiti hati Zimmi, maka dia adalah menyakiti hatiku juga".

Aku menjawab, bahawa hadis itu bukan perkataan Nabi Muhammad SAW, tetapi ia adalah perkataan Umar Abd al-Aziz. Lalu aku mencadangkan satu hadis lagi yang sememangnya saheh dan terbukti bahawa ia perkataan nabi SAW.

Aku pun membaca matan arabnya, lalu menterjemahkan hadis tersebut, "barangsiapa yang menzalimi Mu'ahid (non Muslim), atau mengurangkan haknya, atau membebankan kepadanya luar dari kemampuannya, maka akhirat nanti aku akan penghujjah untuknya (non Muslim itu)".

Dia bertanya matan arab untuk dicatit. Aku membaca satu kalimah demi satu kalimah untuk memudahkan ahli parlimen itu mencatit matan arab bagi hadis tersebut.

Selesai dari itu, aku bertanya, "nak buat apa Tanya hadis ni tuan haji?"

Aku agak janggal nak membahasakan diri kami dengan YB, tetapi lebih senang dengan tuan Haji, sebab kami mengenali satu sama lain sebelum lagi dia bergelar YB.

"Ana ada dialog dekat gereja dengan paderi di PJ lepas jumaat ini" jawabnya ringkas.

"Eh.. ana nak tumpang pegi dengar, boleh tak?" aku mencelah.

"Boleh.. datang je.. gereja xevier, PJ…kita jumpa sana".

"Ok.. lepas jumaat ana terus ke sana. Lagi pula ana berkhutbah di kawasan PJ juga ni". Ujarku

[2]
Selesai solat jumaat aku terus ke sana. Memandangkan aku selesai solat jumaat, maka aku memakai jubah. Sesampai sahaja, majlis baru bermula.

Berlaku dialog yang cukup sihat dan menarik. Menterujakan sungguh, apabila disebelah pihak masing-masing mengemukakan idealogi pemikiran masing-masing. Perbincangan keagamaan dari sudut politik.

Yang menyebabkan aku terkejut,apabila Ahli parlimen terbabit membacakan satu hadis yang aku ajarnya sebelum solat jumaat terbabit selepas dia mengupas beberapa bukti tentang keadilan islam. Apabila selesai dia menterjemah sahaja hadis terbabit, didapati semua hadirin yang beragama kristian, juga dua orang paderi yang hadir sebagai pendengar menepuk tangan.

Aku terkejut melihat keadaan itu. Aku merasakan, ini satu budaya baru dalam kerangka PAS. Ia tidak pernah aku lihat sebelum ini.

"kalaulah benda ini Berjaya disuburkan oleh PAS, tidak hairan dalam jangka kurang 10 tahun, Islam akan Berjaya terlaksana di Malaysia" bisik hatiku.

Inilah Khalid Samad, seorang ahli politik memegang jawatan ahli Parlimen Shah Alam dari PAS.

Rumah hangus tapi Al-Quran tak terbakar...

Posted: 01 Feb 2012 02:30 PM PST

[Bergambar] Al-Quran Tidak Terbakar Sekalipun Rumah Kedai Hangus

Satu kebakaran melibatkan rumah kedai dilaporkan berlaku di No. 28, Jalan Adil 25/10, Taman Sri Muda, Shah Alam semalam.

Jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam kemudiannya dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman api di lokasi yang dimaksudkan.

Namun sebaik saja operasi selesai, anggota bomba bertugas dikejutkan dengan penemuan senaskah kitab tafsir Al-Quran yang langsung tidak terjejas keadaan fizikalnya.

Walaupun rumah tersebut musnah akibat kebakaran, namun kitab itu tidak 'terusik' dek api dalam kejadian itu.

Naskah berkenaan juga tidak basah dan rosak walaupun pihak bomba menggunakan air dalam kuantiti yang agak banyak dalam operasi tersebut.

Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan SYAK – RAGU-RAGU tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu. Fussilat 41:54

Inilah yang dikatakan kebesaran Allah.

Kami akan perlihatkan kepada mereka TANDA-TANDA KEKUASAAN KAMI DI MERATA-RATA TEMPAT (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? Fussilat 41:53

Semoga ia boleh memberi iktibar dan renungan kepada kita semua. Wallahualam – Oleh SYAHRIL A. KADIR / Gambar dari Facebook Jabatan Bomba Dan Penyelamat Shah Alam

 
 

Ulasan GB

Firmanullah

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Al-Hijr :9)

Tiada ulasan: