Politiksukusakat |
Ucapan Sayyid Ali Khamenei: Persidangan Antarabangsa Pemuda Dan Kebangkitan Islam Posted: 29 Feb 2012 10:59 PM PST Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang Saya ucapkan selamat datang kepada kesemua para tetamu kehormat kami, para belia, yang menjadi pemangkin kepada masa depan yang gemilang buat umat Islam. Setiap daripada kamu adalah lambang kepada kenikmatan hidup yang berkekalan. Apabila para belia bangkit di sesebuah negara, maka harapan kepada kebangkitan secara menyeluruh di negara itu akan meningkat. Pada hari ini, belia-belia dikalangan kita telah bangkit di seluruh dunia Islam. Terdapat begitu banyak jerat yang menanti di hadapan mereka, namun belia-belia Islam yang beriman dan punya kesungguhan yang luar biasa ini telah berjaya melepasi segala halangan tersebut.Lihatlah sendiri kepada apa yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yemen dan Bahrain serta pergerakan yang telah mula menapak di negara-negara Islam yang lain. Jelas sekali segalanya ini adalah lambang kepada kegemilangan yang bakal dikecapi. Apa yang ingin saya sampaikan kepada kamu, wahai anak-anakku, adalah kamu seharusnya tahu bahawa sejarah dunia dan juga sejarah kemanusiaan sudah sampai ke titik perubahan. Ini adalah permulaan kepada sebuah era baru di seluruh dunia. Sebuah tanda yang besar dan jelas kepada era ini adalah kepekaan kepada Yang Maha Esa serta memohon kepada sumber kuasaNYA yang tidak terbatas dan kebergantungan kepada kalimah-kalimahNYA yang suci. Minda manusia sudah melangkaui pemikiran dan ideologi yang berasaskan semata-mata kepada materialistik. Hari ini, Marxisme sudah tiada daya tarikannya, begitu juga demokrasi liberal ciptaan barat, lihatlah sendiri apa yang sedang berlaku di negara-negara kelahiran demokrasi liberal ala barat ini, di Amerika dan Eropah, mereka telah menjadi punca kepada kejatuhan mereka sendiri, begitu juga dengan figur-figur sekular nasionalis yang tidak lagi menjadi tarikan. Hari ini, tarikan yang paling tinggi dikalangan umat Islam adalah agama Islam itu sendiri, iaitu kepada kitab suci Al-Quran, kepada agama Ilahi kerana Allah telah menjanjikan bahawa Islam dan kalimah-kalimahnya yang suci mampu membimbing manusia ke arah kesejahteraan. Apa yang berlaku kini adalah sebuah fenomena yang amat penting dan bermakna. Di negara-negara Islam pada hari ini, warganya telah bangkit menentang diktator-diktator boneka barat, yang menjadi lambang kepada kebangkitan ke atas pemerintahan diktator global di peringkat antarabangsa iaitu rangkaian pemerintahan daripada rejim Zionis dan kuasa-kuasa bongkak yang zalim dan tidak amanah. Dewasa ini, mereka telah memaksakan sistem diktator mereka ke atas seluruh dunia melalui berbagai cara dan kaedah. Apa yang sedang kamu lakukan di Mesir, Tunisia, Libya, Yemen dan Bahrain, motif-motifnya semakin jelas terserlah di negara-negara lain. Ia adalah suatu perjuangan menentang pemerintahan diktator yang merbahaya dan juga memudharatkan yang telah menjadi punca kepada berbagai kesengsaraan manusia sejak dua kurun yang terakhir ini. Detik bersejarah yang saya sebutkan ini, adalah titik perubahan daripada dominasi kuasa diktator kepada kebebasan negara-negara berasaskan kepada nilai-nilai pemerintahan berbentuk spiritual dan Ilahiyyah yang pasti akan menjelang tiba, janganlah sesekali ragu terhadapnya. Ini adalah antara janji Allah bahawa "Allah akan membantu sesiapa sahaja yang membantuNYA." Allah swt ingin menekankan bahawa jika kamu membantu di dalam kerja-kerja agamanya, maka Allah juga akan membantu kamu. Perkara ini mungkin agak mustahil di dalam kaedah pemikiran bersifat biasa dan materialistik. Walaubagaimanapun, banyak perkara yang kelihatan mustahil, namun kini menjadi kenyataan. Pernahkah terlintas di pemikiran kamu setahun yang lalu, bahawa si zalim yang memerintah di Mesir akan diaibkan serta dijatuhkan sedemikian rupa ? Jika ada sesiapa pada waktu itu yang menyatakan bahawa rejim Mubarak yang zalim akan runtuh, kamu pasti meraguinya, namun ia telah benar-benar berlaku. Jika ada sesiapa yang mendakwa bahawa kejadian-kejadian yang pelik akan berlaku di Afrika Utara, maka pasti ramai akan meraguinya. Jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa di dalam sebuah negara kecil seperti Lebanon, sekumpulan pemuda beriman akan mengalahkan rejim Zionis dan juga tenteranya yang lengkap dengan senjata moden, tiada siapa akan mempercayainya, namun ia telahpun menjadi kenyataan. Jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa Republik Islam ini akan mampu bertahan menghadapi segala bentuk tekanan daripada timur ke barat dan malah mampu untuk menjadi lebih kuat, progresif dan berdaya maju, tiada sesiapapun yang akan mempercayainya, namun ia telah benar-benar berlaku."Allah telah menjanjikan kamu berbagai bentuk ganjaran yang mampu diperolehi, dan DIA telah mengurniakannya kepada kamu sebelum ini, dan DIA telah mencegah tangan-tangan manusia daripada kamu, agar ia menjadi tanda kepada orang yang beriman, dan agar DIA membimbing kamu ke jalan yang benar." Kejayaan-kejayaan ini adalah suatu tanda Ilahiyah, ini adalah tandanya kekuasaan Allah yang tiada tolok bandingannya, yang sedang ditunjukkan kepada kita semua. Sebaik sahaja kita masuk ke medan perjuangan, medan perjuangan yang telah kita jejaki pada waktu ini, maka kejayaan akan pasti datang daripada Allah. Allah swt akan tunjukkan jalannya kepada kita. "Dan sesiapa yang berjuang di jalan KAMI, maka KAMI akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan KAMI." Allah membimbing, membantu dan juga merealisasikan impian-impian manusia dengan syarat kita sentiasa hadir di medan perjuangan tersebut. Apa yang telah berlaku sehingga hari ini adalah sangat menakjubkan. Barat telah mendominasi umat-umat Islam selama dua ratus tahun melalui kemajuan saintifik mereka, mereka menjajah negara-negara Islam, samada secara jelas atau melalui diktator tempatan. Britain dan Peranchis dan juga sudah pasti Amerika Syarikat, yang merupakan syaitan besar, telah mendominasi umat-umat Islam. Mereka melakukan segala yang termampu untuk mengaibkan masyarakat Islam, mereka menanam sebuah ketumbuhan kanser Zionisme di tengah-tengah rantau Timur Tengah, sebuah rantau yang amat sensitif, dan memberikan bantuan sepenuhnya demi memastikan segala matlamat dan polisi mereka akan tercapai di bahagian dunia yang amat penting ini. Walaubagaimanapun, aspirasi yang berteraskan kepada agama dan kepada Islam dan kehadiran masyarakat manusia di medan perjuangan telah merentap segala matlamat durjana tersebut, mereka telah berjaya menyekat kemaraannya. Hari ini, kuasa global yang bongkak merasa tertekan di hadapan kebangkitan Islam ini. Anda telah berjaya, anda telah menang, masa depan bakal menjadi milik anda. Apa yang telah dilakukan setakat ini adalah sangat baik, namun ia masih belum sampai ke penghujungnya, dan ini adalah amat penting, ini adalah hanya permulaannya, ia baru sahaja bermula.Masyarakat Islam perlu meneruskan perjuangan mereka agar mereka akan mampu memusnahkan pihak musuh di arena yang berbeza. Perjuangan ini adalah berlandaskan kepada aspirasi, kesungguhan dan kemahuan. Mana-mana pihak yang punya kesungguhan yang lebih teguh , akan menang. Pihak itu, yang hati-hati mereka bersandar sepenuhnya kepada Yang Maha Esa, akan mencapai kemenangan. "Jika Allah membantu kamu, maka tiada sesiapa yang mampu menewaskan kamu." Jika kamu mendapat anugerah bantuan daripada Allah, tiada siapa yang akan menang ke atas kamu dan kamu akan terus mara. Kami mahukan negara-negara Islam yang membentuk masyarakat Islam yang besar untuk menjadi bebas, merdeka, dihormati dan tidak diaibkan, kami mahu agar mereka dapat menguruskan kehidupan mereka berasaskan kepada hukum-hakam Islam yang mulia dan juga progresif, dan Islam mampu membantu mereka. Mereka telah membantutkan pencapaian kita di bidang sains begitu lama sekali, mereka mencemar budaya kita dan merampas kebebasan kita. Namun, hari ini kita telah trersedar dari lena yang panjang. Kita akan merajai arena-arena saintifik satu demi satu. Sewaktu Republik Islam ini ditubuhkan 30 tahun yang lalu, pihak musuh dengan yakin menyatakan bahawa Revolusi Islam telah menang, namun ia tidak akan mampu menguruskan bidang-bidang kehidupan yang asas dan akan runtuh dengan sendirinya.Namun begitu, hari ini para belia kami, terima kasih kepada Islam, telah berjaya mencapai kejayaan yang besar di dalam bidang sains yang mereka sendiri tidak pernah jangkakannya di suatu masa dahulu. Hari ini, hasil daripada kebergantungan mereka kepada Allah, para belia Iran telah berjaya mencapai kejayaan yang menakjubkan di dalam bidang sains. Mereka mengayakan uranium, menghasilkan dan membiakkan sel stem (stem cells), terus berkembang di dalam bidang bioteknologi, telah sampai ke angkasa lepas, semuanya dilakukan dengan bergantung sepenuhnya kepada Allah dan dengan slogan 'ALLAH MAHA BESAR." Kita tidak seharusnya merendahkan keupayaan sendiri. Antara tribulasi terbesar yang telah ditimpakan oleh kebudayaan barat ke atas negara-negara Islam adalah dua ilusi yang palsu dan menyimpang. Salah satunya adalah menanam kepercayaan akan ke tidakmampuan umat-umat Islam, menjadikan mereka percaya bahawa mereka tidak mampu melakukan apa-apapun, samada di bidang politik, ekonomi dan sains. Mereka mengatakan, "anda amat lemah." Kita di dalam negara-negara Islam telah kekal dengan pandangan yang salah ini selama puluhan tahun dan sentiasa ketinggalan. Kepercayaan kedua yang telah mereka tanam ke dalam diri kita adalah kekuatan dan kegagahan luar biasa yang diperolehi oleh pihak musuh. Oleh itu mereka menjadikan kita yakin bahawa Amerika tidak mampu ditewaskan, pihak barat tidak mampu diundurkan, dan kita terpaksa mengalah dan menerima apa jua nasib yang menimpa dalam konfrontasi dengan mereka. Namun hari ini telah jelas kepada masyarakat Islam bahawa kedua-dua kepercayaan ini adalah tidak benar sama sekali. Negara-negara Islam mampu bergerak jauh ke hadapan, mereka mampu mengembalikan keagungan dan kehebatan umat Islam yang pernah berada di kemuncak kejayaan bidang sains, politik dan sosial sehingga pihak musuh terpaksa mengalah di dalam bidang-bidang ini. Zaman ini adalah zamannya Islam. Zaman ini adalah zaman spiritual. Islam mengurniakan kepada umatnya rasional dan juga spiritual, Islam yang penuh dengan sifat rasional, Islam yang dinaungi dengan unsur renungan dan pemikiran, Islam yang diselubungi dengan sifat spiritual, Islam yang bergantung sepenuhnya kepada Allah, Islam yang punya nilai jihad, Islam yang penuh dengan daya usaha, Islam yang disertai dengan tindakan, kesemuanya adalah ajaran-ajaran yang diterapkan di dalam Islam. Apa yang jelas hari ini adalah pihak musuh, yang sedang kalah di Mesir, Tunisia, Libya dan negara-negara lain di rantau ini, sedang berusaha merancang konspirasi-konspirasi baru. Setiap kita harus peka dengan perancangan mereka. Kita harus berwaspada agar mereka tidak mampu menceroboh revolusi rakyat ini dan meyimpangkan hala tujunya. Belajarlah dari pengalaman orang lain. Pihak musuh sentiasa berusaha untuk mensasarkan setiap revolusi itu dari hala tujunya yang sebenar, untuk meredakan semangat sebuah pergerakan, untuk menggagalkan cita-cita dan memperkecilkan darah-darah yang telah ditumpahkan, kita harus berwaspada, kita harus peka. Kamu para belia adalah nadi kepada gerakan-gerakan sebegini, berhati-hatilah. Kami telah punya pengalaman yang banyak sepanjang 32 tahun yang lepas. Kami telah bertempur dengan pihak musuh selama 32 tahun, kami sentiasa menentang dan kami telah berjaya menewaskan mereka.Mereka tidak pernah gagal untuk melaksanakan apa jua bentuk perancangan ke atas kami. Namun mereka tetap gagal melakukan apa-apa, kerana mereka sebenarnya tidak mampu melakukaknnya. Mereka melakukan segala yang termampu namun setiap kali itulah mereka akan ditampar pada mulut dan ditewaskan. Selepas ini juga mereka akan tetap gagal berhadapan dengan Republik Islam ini. Ini adalah janji Allah kepada kami dan kami tidak sedikitpun meraguinya. Kami tidak pernah ragu dengan kebenaran janji-janji Allah. Tidak pernah wujud rasa syak kami terhadap Allah, dan Allah tidak menyukai sesiapa sahaja yang meragui janji-janjinya, dan "Dia akan menghukum orang-orang munafik, lelaki dan wanita, dan lelaki dan wanita yang mempercayai leboh dari satu Tuhan, yang bersangka buruk terhadap Allah. Ke atas mereka adalah unsur kejahatan, siksaan Allah akan ditimpakan ke atas mereka. Allah telah melaknat mereka dan menyediakan buat mereka api neraka, dan sebuah perjalanan yang penuh dengan kesengsaraan." Janji-janji Allah adalah janji yang benar. Kami sudahpun terjun ke medan perjuangan, warga Iran telah menampilkan segala kemampuan mereka di pentas ini, oleh itu, janji-janji Allah ini adalah sesuatu yang pasti. Ia adalah sama di kesemua negara. Namun kita harus berhati-hati. Kita semua harus berhati-hati dengan tipu-daya musuh. Pihak musuh akan sentiasa mematikan pergerakan dan memarakkan api perpecahan. Dewasa ini, pergerakan Islam tidak mengenal samada Syiah atau Sunnah, tidak membezakan antara Shafiee dengan Hanafi atau Jaa'fari atau Maliki atau Hambali atau Zaidi, tidak mengenal bangsa Arab, Parsi atau bangsa-bangsa yang lain.Dalam perjuangan ini, kesemua kita hadir bersama.Kita harus berusaha agar musuh gagal memecah-belahkan kita. Kita harus pupuk semangat persaudaraan dan menetapkan matlamat yang jelas. Matlamatnya adalah Islam. Matlamatnya adalah kerajaan Islam yang berasaskan kepada Al-Quran. Sudah tentu terdapat banyak persamaan dikalangan negara-negara Islam, dan wujud juga perbezaan. Tidak pernah wujud satu corak kehidupan yang sama di antara negara-negara Islam. Di negara yang berbeza, keadaan geografi, sejarah dan juga sosial adalah amat berbeza, namun di dalamnya tetap wujud prinsip yang sama, kita semua adalah musuh kepada kuasa bongkak dunia, kita membantah dominasi dan pemerintahan jahat pihak barat dan kesemua kita membantah kewujudan negara kanser Israel. Di mana sahaja kita dapat merasakan bahawa apa yang dilakukan memberikan manfaat kepada Israel dan Amerika Syarikat, di situlah kita perlu lebih peka, kita perlu sedar bahawa tindakan sebegitu adalah tindakan pihak luar, pihak asing, yang tidak bermanfaat. Apabila sahaja terdapat tindakan yang bersifat Islam dan anti Zionis, anti kebongkakan, anti penindasan dan anti rasuah, di situlah kita perlu tahu tindakan tersebut adalah tindakan yang benar, di situlah letaknya sahabat-sahabat kita, kita adalah Syiah, kita adalah Sunni, kita berasal daripada negara itu dan ini. Tidak wujud perbezaan besar di situ, kita harus punya fokus pemikiran yang sama. Contohnya apa yang boleh kita lihat pada hari ini, hampir kesemua pihak media di dunia cuba untuk mengasingkan para penduduk Bahrain dan kebangkitan di Bahrain. Apakah dakwaan mereka dalam isu ini ? Ini adalah sebuah isu Sunnah dan Syiah. Mereka mahu mencipta perpecahan, perbezaan dan garis sempadan. Tidak wujud banyak perbezaan antara umat Islam yang menganut mazhab yang berbeza. Persamaan yang jelas antara mereka adalah Islam itu sendiri. Fokus utamanya adalah kepada kesatuan umat Islam. Kunci utama kepada penerusan dan kemenangan kebangkitan ini adalah dengan berseah sepenuhnya kepada Allah, keyakinan kepada Allah, kepercayaan kepada Allah serta mengekalkan perpaduan dan integriti. Wahai para belia yang amat dikasihi, anak-anakku, berwaspadalah agar pihak musuh tidak akan menyekat kebangkitan kamu. Allah telah berfirman kepada Rasulullah saw sebanyak dua kali, "Oleh itu, berdiri dengan teguh (atas jalan kebenaran) sebagaimana yang diperintahkan kepada kamu." Berdiri dengan teguh bermakna kita harus sentiasa menentang, berusaha, terus berjuang dan tidak akan sesekali berhenti. Itulah kunci utamanya. Kita perlu terus mara. Kebangkitan ini adalah suatu pergerakan yang berjaya kerana ia punya masa depan yang cerah. Masa depannya adalah amat cerah. Akan tiba harinya di mana umat Islam, berbekalkan kuasa dan kekuatan Allah swt, akan dijulang ke puncak kekuasaan dan kebebasan. Umat Islam, dalam pada mereka mengekalkan nilai-nilai dan keistimewaan mereka serta berdiri di bawah sebuah panji yang akan membawa mereka ke arah Allah dan juga Islam, harus sentiasa bersatu. Melalui kesatuan inilah hanya akan umat Islam mencapai kegemilangannya. Negara-negara kita mengandungi banyak sumber-sumber semulajadi, terletak di kawasan strategik, punya banyak kemudahan semulajadi, figur-figur yang luarbiasa, berbakat serta sumber tenaga manusia yang berdaya maju, kita perlu berusaha dengan kurniaan-kurniaan yang ada ini. Allah akan merahmati segala usaha ini, Insya Allah. Saya perlu khabarkan kepada kamu bahawa masa depan bakal menjadi milik kamu, Dengan kuasa Allah swt dan dengan izinNYA, anda akan mampu mewariskan kejayaan ini ke generasi yang akan datang. Salam sejahtera ke atas kamu beserta dengan rahmat dan keberkatan Allah swt. |
You are subscribed to email updates from Politiksukusakat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan