Muslimeen United |
- Jui Meng : Idealisme Politik Islam Membawa Kemakmuran Bagi Semua
- Mengundi wajib, sokong tegak Islam juga wajib
- Tuntutan Palsu: Mahkamah Dapati MP Sabak Bernam Bersalah
- Kasut Tak Lekang Dari Tangan Pemuda PERKASA Ini
- Menjelang PRU13; Orang Cina Kena Ingat Peristiwa 1999
- DAP dedah lagi salah guna kuasa NFCorp
- Saham Lynas menjunam selepas Himpunan Hijau
Jui Meng : Idealisme Politik Islam Membawa Kemakmuran Bagi Semua Posted: 29 Feb 2012 07:41 AM PST Shah Alam, 28 Feb: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng meminta rakyat memilih pemimpin yang menganjurkan perjuangan berteraskan al-Quran dan Hadis kerana idealisme perjuangan politik Islam menekankan kebaikan untuk semua. Tegasnya, walaupun terdapat perbezaan pendapat antara parti komponen Pakatan Rakyat, namun Pas, DAP dan PKR tidak memperjuangkan kepentingan kaum tertentu. Sebaliknya, Pakatan memperjuangkan hak semua kaum berlandaskan Perlembagaan. "Saya 40 tahun dalam Barisan Nasional (Umno-BN), kita tidak begitu faham Islam. Tetapi sekarang kita bersama dengan Pas dan PKR, saya faham atas idealisme Islam itu yang nak membawa kemakmuran kepada semua," kata Jui Meng yang pernah menyandang jawatan Naib Presiden MCA. "Dulu Umno tidak beritahu dan mengajar saya berkaitan al-Quran, Hadis dan lain-lain termasuk Menteri Agama," katanya dalam Wacana anjuran Sinar Harian yang bertajuk 'Mengapa Undi Melayu Berpecah'. Jelas beliau, perosalan adakah undi Melayu pecah tidak relevan kerana perkara pokok yang perlu ditumpukan adalah memastikan hak semua terbela meskipun terdapat perbedaan dari segi fikiran, prinsip dan idealisme. "Bila saya masuk kampung Melayu semasa menjadi Menteri Kesihatan dulu, saya tengok ramai orang Melayu yang miskin. Dan, ada anak-anak Orang Asal saya diberitahu mereka sanggup meletakkan pasir bagi mengisi perut. Kita sepatutnya memusatkan kepentingan rakyat, bukan kroni," katanya. Ideologi memperjuangkan hak semua kaum merupakan tunjang kepada dasar-dasar di dalam Buku Jingga Pakatan, katanya. Jui Meng berkata keberkesanan Buku Jingga telah dibuktikan oleh kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid yang memperkenalkan gaji minima RM1,500 kepada anak syarikat kerajaan negeri bermula tahun ini. -tvsnews | ||
Mengundi wajib, sokong tegak Islam juga wajib Posted: 29 Feb 2012 05:35 AM PST KUANTAN, 29 Feb: PAS Pahang mengalu-alukan kenyataan Mufti Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (kiri) hari ini bahawa tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum (PRU) adalah wajib demi memilih sebuah kerajaan membela kesucian agama dan keamanan. Ketua Penerangannya, Ustaz Suhaimi Saad (kanan) berkata, lanjutan daripada itu wajib juga memilih calon dan kumpulan yang memperjuangkan dan menegakkan Islam kerana barulah menepati kehendak kefarduan mengundi itu sendiri. "PAS alu-alukan kenyataan Mufti Pahang itu bahkan itulah yang PAS perjelaskan selama ini. "Cuma wajib juga bagi individu muslim supaya memilih calon yang tidak rasuah, tidak mengkhianati hak rakyat, tidak pecah amanah serta amar makruf nai mungkar kerana itulah ciri-ciri Islam," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Pahang hari ini bahawa warga negara yang layak mengundi adalah wajib berbuat demikian. Seperti yang disebut melalui agensi berita Bernama, mufti itu berkata mereka yang layak mengundi wajib berbuat demikian dalam membentuk sebuah kerajaan yang dapat membela kesucian agama dan keamanan. Tambahnya, pada zaman Rasulullah SAW dahulu ketika baginda wafat, waktu untuk pengebumian terpaksa ditangguh sebentar sebelum dikebumikan bagi melantik seseorang yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah. "Daripada situ kita sudah dapat melihat betapa penting pelantikan khalifah itu kepada masyarakat untuk melaksanakan agenda seterusnya ke jalan yang benar," katanya kepada pemberita. Beliau berkata mengundi adalah satu fardu kifayah, bagaimanapun sekiranya ramai tidak melaksanakannya sehingga boleh menjejaskan pembentukan sesebuah kerajaan, maka tanggungjawab itu akan menjadi fardu ain. Suhaimi berkata, dalam konteks sebuah negara yang majoritinya umat Islam sudah tentu kumpulan yang memperjuangkan Islam wajib diundi manakala pemimpinnya diangkat menjadi pemimpin negara. "Jika dalam sebuah negara Islam bagaimana mahu dipilih pemimpin yang belum beramal sepenuhnya dengan hukum Islam seperi membiarkan isteri tidak menutup aurat, berkata bohong atau mengamalkan rasuah. "Jadi jika dikaitkan pentingnya memilih pemimpin yang boleh memikul tanggungjawab sebagai khalifah, sudah tentu yang dilantik itu sendiri mestilah berkeperibadian muslim. "Itu yang saya katakan mengundi wajib, memilih pemimpin yang memperjuang dan mengamalkan Islam juga wajib," ujarnya. -Hrkh | ||
Tuntutan Palsu: Mahkamah Dapati MP Sabak Bernam Bersalah Posted: 29 Feb 2012 05:35 AM PST Shah Alam: Ahli Parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri hari ini didapati bersalah terhadap lapan pertuduhan tuntutan palsu yang berjumlah RM80,000, tiga tahun lalu. Abdul Rahman, 46, didakwa melakukan kesalahan itu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar mewakili Barisan Nasional (BN). Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti tanpa keraguan munasabah. Selain itu, mahkamah turut mendapati pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 43, bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dalam melakukan semua lapan kesalahan yang didakwa. Hakim bagaimanapun bersetuju untuk menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Rahman dan Rosli pada pukul 11 pagi esok. Ini berikutan permintaan peguam bela mewakili kedua-dua tertuduh Affifuddin Hafifi dan Lim Kon Keen yang mahukan sedikit masa untuk menyediakan mitigasi serta rayuan terhadap hukuman yang bakal dikenakan. Tuntutan palsu Selaku ejen kerajaan Malaysia, Abdul Rahman didakwa dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya dengan menggunakan surat Adun yang mengandungi butiran palsu membuat tuntutan ke atas program atau aktiviti yang sebenarnya tidak dilaksanakan. Antaranya pembelian hadiah dan cenderamata serta penganjuran jamuan Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasannya. Beliau juga didakwa membuat tuntutan menggunakan butiran palsu mengenai Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga KRT di Dun Sungai Air Tawar, Program Forum Perdana Peringkat Mukim Bagan Nakhoda Omar, program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Guru-guru Kemas serta Program Mesra Rakyat serta sambutan Maulud Nabi. Semua tuntutan palsu itu membabitkan jumlah RM10,000 setiap satu. Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 21 Januari hingga 12 Februari 2008 di Pejabat Daerah Sabak Bernam. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa. Kes sebelum ini dibicarakan di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Shah Alam. -FMT | ||
Kasut Tak Lekang Dari Tangan Pemuda PERKASA Ini Posted: 28 Feb 2012 11:19 PM PST Perkasa tunjuk kasut kerana 'kecewa' dengan Guan Eng GEORGETOWN - Ketua Wira Perkasa Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin menjelaskan tindakannya menunjukkan kasut di hadapan kereta Ketua Menteri, Lim Guan Eng Ahad lalu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau. Guan Eng dilantik sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum 2008. Rizuad berkata, Guan Eng mampu meluangkan masa untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0 sebagai membantah projek Lynas di Gebeng, Pahang demi modal politiknya. "Guan Eng didapati mengambil kesempatan dalam perhimpunan itu untuk berucap sambil memperkecilkan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi slogon 1 Malaysia yang dianggapnya sebagai satu pembohongan. "Padahal, beliau sendiri sebagai Ketua Menteri belum menyelesaikan beberapa persoalan yang dikemukakan oleh beberapa badan bukan kerajaan melibatkan masalah penduduk negeri. Tetapi beliau lebih sibuk dengan hal yang berlaku di negeri lain," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini. Beliau meluahkan kekecewaan ini berikutan keengganan Guan Eng memberi respons yang baik ketika meminta untuk berjumpanya bagi membincangkan hal berkaitan penduduk tempatan. "Guan Eng cuba mengalihkan permintaan NGO dengan mendakwa kami adalah orang Umno, padahal beliau sendiri tahu bahawa kami adalah ahli Perkasa. "Perkataan diungkap oleh Guan Eng mencetuskan kemarahan sehingga kami hilang sabar sebelum bertindak mengepung kereta beliau sambil menunjukkan kasut kepadanya," katanya. -SH Begitu karenahnya kesamsengan pemuda Perkasa. Tak lekang kasut dari tangannya. Agaknya jika orang lain tak puashati dengan Perkasa, masing-masing tunjuk kasut kepadanya apamacam? -GB | ||
Menjelang PRU13; Orang Cina Kena Ingat Peristiwa 1999 Posted: 28 Feb 2012 11:17 PM PST -Jangan Terpedaya Janji Manis BN KUALA TERENGGANU – Masyarakat Cina di negara ini amnya dan di negeri Terengganu khususnya diingatkan supaya tidak 'termakan' denganjanji-janji manis MCA dan Barisan Nasional (BN). Menurut Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Ng Chai Hing, MCA telah menyelamatkan Umno dengan mengumpan janji kepada masyarakat Cina pada tahun 1999 yang menyebabkan BN kembali berkuasa. Sedangkan, katanya, pada waktu itu, Umno telah kehilangan undi Melayu kerana protes ekoran gerakan reformasi dan isu pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. "sebanyak 54% undi telah diraih oleh Barisan Alternatif waktu itu tetapi kerana termakan dengan janji manis MCA, masyarakat Cina telah memberi undi kepada Umno dan menyambung talian hayat BN,"katanya ketika ditemui [Gambar - Chai Hing memberikan ang pow kepada massyarakat Cina Dungun dalam meraikan sambutan tahun Baru Cina ] Namun, menurutnya, sebaik sahaja BN mendapat kuasa masyarakat Cina telah didakwa dengan pelbagai tuduhan dan dilemparkan dengan 'gelar' yang sangat hodoh dan perkauman. Beliau berkata, Perdana Menteri ketika itu yang juga Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memanggil orang-orang Cina sebagai ekstrimis dan cauvinis sebaik menang pilihanraya ke 10 tahun 1999. Mengulas kenyataan Pengerusi MCA Terengganu yang juga ADUN Bandar dan Exco negeri Terengganu, Chai Hing bekata, beliau tidak sepatutnya mengambil remeh dan sambil lewa masalah bangunan dan binaan yang sering runtuh di negeri ini. Sebagai seorang bekas kontraktor binaan, Chai Hing menyifatkan kenyataan Dato' Toh Chin Yau sebagai satu kenyataan yang 'bodoh sombong'. "sebagai seorang bekas kontraktor binaan, YB Toh tidak boleh memandang remeh dan sambil lewa kerana bangunan dan binaan yang runtuh itu melibatkan wang rakyat, wang pembayar cukai, "ia satu kenyataan yang bodoh sombong oleh seorang bekas kontraktor binaan,"tegasnya. Dato' Toh Chin Yau, dilaporkan pada 21 Februari lalu menganggap kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh, adalah perkara biasa. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar UPSR Yayasan Terengganu Kali Ke 33, 2012 di Dewan Tuanku Abdul Rahman. -BO | ||
DAP dedah lagi salah guna kuasa NFCorp Posted: 28 Feb 2012 06:16 PM PST Sehubungan itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata parti itu menuntut supaya Peguam Negara bertindak segera ke atas NFCorp, bukan sahaja dalam kes pecah amanah (CBT) tetapi juga atas kesalahan melanggar Akta Syarikat. Kataya, beliau, sebelum ini, telah mendedahkan bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta di antara kerajaan Malaysia dan NFCorp hanya boleh digunakan untuk menubuhkan dan menjalankan operasi Pusat Fidlot Nasional selaras dengan dasar kerajaan Malaysia untuk membangun, memupuk dan mempromosikan pengeluaran daging lembu. Namun, Pua berkata, jelas bahawa wang pinjaman itu telah digunakan untuk tujuan selain daripada menternak lembu, dan kesalahan ini termasuk membeli kondominium mewah di Malaysia dan Singapura, serta membuat pelaburan dalam perniagaan di Singapura. Menurutnya, pemilikan harta dan pelaburan berkenaan dengan pinjaman kerajaan tidak dibuat melalui NFCorp tetapi melalui pengarah-pengarah individu dalam syarikat. "Ini bermakna NFCorp telah meminjamkan wang dari kerajaan kepada pengarah-pengarah individu dalam syarikat atau terus kepada syarikat-syarikat yang mempunyai para pengarah yang sama dalam syarikat. "Syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan para pengarah tersebut termasuklah Meatworks (Singapore) Pte Ltd yang tidak dimiliki oleh NFCorp tetapi dimiliki oleh pengarah-pengarah individu dalam NFCorp," katanya dalam satu kenyataan, semalam dan disiarkan diportal Roketkini. Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, bukan sahaja penggunaan wang itu melanggar perjanjian pinjaman, ia juga dilarang melakukan pemberian pinjaman seumpama di bawah Akta Syarikat. Katanya, Seksyen 133 dan 133A Akta Syarikat di bawah kategori "pinjaman-pinjaman yang dilarang" menjelaskan bahawa mana-mana syarikat tidak dibenarkan memberi pinjaman kepada pengarah syarikat atau syarikat yang dianggap berkaitan dengan syarikat tersebut, atau mewujudkan apa-apa jaminan berkaitan dengan pinjaman kepada pengarah berkenaan oleh orang lain. Beliau menjelaskan, dalam keadaan di mana sesetengah jenis pinjaman dibenarkan seperti pinjaman perumahan kepada pekerja dan bayaran awal (advance), ia hanya sah di sisi undang-undang jika para pemegang saham memberi kebenaran terlebih dahulu. "Sudah jelas dalam kes ini bahawa tidak ada sebarang kebenaran diberikan daripada Kementerian Kewangan yang memegang saham utama (golden share) dalam NFCorp," katanya. -M'kini | ||
Saham Lynas menjunam selepas Himpunan Hijau Posted: 28 Feb 2012 06:15 PM PST KUALA LUMPUR, 29 Feb: Harga saham operator kilang rare-earth Lynas yang berpusat di Australia menjunam Isnin lalu akibat Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan dan bandar-bandar lain yang berkempen untuk kilangnya di Gebeng ditutup serta saman mencabar keputusan pemberian lesen operasi sementara (TOL) kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. Saham Lynas, yang disenaraikan di Australian Securities Exchange ditutup 4.65 peratus lebih rendah pada A$1.23 Isnin lalu selepas berita saman oleh 10 penduduk Gebeng mencabar keputusan pemberian lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. Dalam permohonan itu, mereka memohon satu perintah certiorari supaya mahkamah membatalkan keputusan lembaga itu pada 30 Jan lalu, memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia untuk menjalankan operasi di tapak Loji Lynas Advanced, di Gebeng. Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) iaitu yang mengawal dan menyelia produksi, aplikasi dan penggunaan bahan tenaga atom dan radioaktif, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd telah dinamakan sebagai responden. Awal bulan ini, AELB telah memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas untuk beroperasi di Gebeng walaupun dibantah keras oleh rakyat Malaysia. Akibat itu, harga saham naik mendadak ke A$1.59. Walaupun ditentang hebat daripada penduduk sekitar dan rakyat Malaysia yang bimbang terhadap sisa radioaktif yang bakal ditinggalkannya, Lynas tetap yakin bahawa kilangnya di Malaysia tidak akan ditutup. "Walaupun Lynas menghormati kebimbangan penduduk dan masyarakat tempatan, namun ia tidak percaya kepada dakwaan yang tidak berasas dalam saman tersebut. Lynas akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mempertahankan haknya seperti yang dituntut dalam saman tersebut," kata syarikat itu yang dipetik daripada The Australian. Tindakan kerajaan Malaysia untuk mengemukakan bantahan awal terhadap saman 10 wakil dari Gebeng semalam telah memberikan signal bahawa kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak akan mempertahankan Lynas. Sejurus selepas Himpunan Hijau Ahad lalu, Najib bertegas mempertahankan Lynas dengan menyatakan bahawa "dari segi fakta, dari segi scientific evidence projek Lynas ini tidak akan membawa kemudaratan kepada masyarakat." Ekoran bantahan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tertinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini menetapkan 20 Mac untuk 10 penduduk Gebeng menjawab hujahan bantahan awal yang dikemukakan oleh kerajaan Najib. Cara pelupusan bahan sisa radioaktif telah menjadi isu utama dalam bantahan kepada projek Lynas. Bulan lepas, Lynas telah membuat iklan di akhbar-akhbar tempatan untuk menyakinkan penduduk tempatan terhadap keselamatan kilangnya. -Hrkh |
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan