Muslimeen United |
- Jawatan Menteri Besar Tidak Penting – Salahuddin
- GEMPAR!: Pemimpin JI atau Kumpulan Mujahiddin Malaysia, Zulkifli Abdul Hir masih hidup
- Mami Ijat ke SPRM
- Hasan diminta telus sebab jumpa Umno pada 2008
- JADI BAIK DIHINA, JADI JAHAT DIPUJA?
- PAS bantah tiada perarakan calon p’raya
- Kereta Siapa Yang Rempuh Gerai, Kereta Polis Atau Kereta Suspek?
- Tuan Guru Haji Yusuf Rawa : Musyidul Am PAS yang pertama
Jawatan Menteri Besar Tidak Penting – Salahuddin Posted: 08 Feb 2012 08:03 AM PST BESUT – Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob berkata jawatan Menteri Besar Johor tidak penting berbanding memastikan seluruh rakyat menyokong Pakatan Rakyat dan menguasai Putrajaya. "Apa pun ramalan, bilakah pilihanraya tidak penting, hari ini, (sejak) dua tiga hari (lalu) sibuk , kononnya saya akan jadi Menteri Besar Johor, itu juga tidak penting, "yang penting kali ini, kita mahu rakyat Malaysia pastikan (pada) pilihanraya akan datang, Pakatan Rakyat akan tawan Putrajaya, InsyaAllah,"ujarnya Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ceramah Perdana PRU13, Operasi Tawan Besut (OTB 4 + 1) yang diadakan di Dataran PGU Jerteh, dekat sini semalam, 7 Februari. Menurutnya, hasrat menawan Putrajaya itu tidak akan tercapai sekiranya, Umno Terengganu tidak ditumbangkan dan Parlimen Besut dan setiap DUN dalam Parlimen Besut di menangi oleh PAS. Katanya, keputusan itu bergantung kepada samada seluruh rakyat Besut berani atau tidak membuat perubahan pada PRU13. Katanya, ada banyak sebab mengapa Umno dan Barisan nasional perlu 'direhatkan' dari mentadbir Negara ini. Antaranya menurut beliau adalah masalah tanah dan kelangsungan hidup orang-orang Melayu. Beliau menegaskan, dalam soal yang amat penting itu, Umno mengkhianati orang Melayu dan gagal membela nasib orang Melayu. "apa yang umno buat pada perjuangan orang Melayu, sampai kepada peringkat (soal) tanah yang merupakan aset, merupakan harta yang pastinya sangat diperlukan oleh orang Melayu, "itu pun hari ini, Umno tak boleh bela, jadi apa lagi yang tuan-tuan (kita) nak tunggu (harap daripada Umno),"katanya. Turut berucap pada Majlis tersebut adalah Yang DiPertua Pas Besut, ustaz wan Azhar Wan Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Kampung Banggol Donas Haji salleh embong dan bekas Ketua Puteri Umno, Puan Rusni Hassan. -BO |
GEMPAR!: Pemimpin JI atau Kumpulan Mujahiddin Malaysia, Zulkifli Abdul Hir masih hidup Posted: 08 Feb 2012 08:02 AM PST ZULKIFLI ABDUL HIR MASIH BERNAFAS! Oleh : MUTALIB M.D MENGEJUTKAN! Pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) atau Kumpulan Mujahiddin Malaysia, Zulkifli Abdul Hir yang didakwa terbunuh dalam serangan pihak berkuasa Filipina sebelum ini, sebenarnya masih bernafas dan dipercayai telah keluar daripada Filipina menuju ke destinasi yang tidak diketahui. Koresponden Sabahkini.net, Pingganan Janjalani memberitahu usaha pihak berkuasa Filipina dan Malaysia mencari jenazah Zulkifli buntu kerana tidak ada sebarang kesan atau darah Zulkifli ditemui dan dipercayai terselamat dalam serangan berkenaan, sekalipun rumah penginapannya musnah terkena bom. Sebelum ini pihak berkuasa Filipina mengesahkan selain Zulkifli, sejumlah 15 militan terbunuh dalam serangan itu, termasuk pemimpin Abu Sayyaf warga Filipina, Umbra Jumdail @ Dr Abu dan warga Singapura, Abdullah Ali alias Muawiyah. Zulkifli dianggap pemimpin kanan dalam JI dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menawarkan hadiah berjumlah AS$5 juta (RM15.5 juta) untuk membunuh atau menangkapnya, dan AS$50,000 (RM155,000) bagi penangkapan atau pembunuhan Abdullah. Serangan awal pagi khamis yang dilancarkan pihak berkuasa Filipina di pekan Parang, Pulau Jolo yang menjadi kubu kuat Abu Sayyaf dan sekutu mereka daripada JI yang berpangkalan di Indonesia gagal membunuh Zulkifli yang dipercayai dapat menyusup keluar dari kepungan dan serangan tersebut bersama tiga pengikutnya; namun Dr Abu yang sebelum ini berjaya bolos dalam beberapa serangan, tewas. Pada 2 Ogos 2007, Mahkamah di California, Amerika Syarikat telah mendakwa Zulkifli dan abangnya, Rahmat Abdul Hir, 43, warga Amerika yang ditangkap sehari sebelum hari beliau didakwa di mahkamah, di atas tuduhan-tuduhan berkaitan dengan keganasan. Rahmat yang berada di Amerika Syarikat dituduh mengirimkan pelbagai peralatan seperti radio dua hala, magazin senjata Colt .45, teropong, teropong senjata, pakaian dan lain-lain kepada adiknya yang berada di selatan Filipina di antara Jun 2006 hingga Jun 2007. Zulkifli, pakar penyamaran yang menggunakan pelbagai nama seperti Marwan, Zulkifli Abd Hir, Zulkifli Bin Abdul Hir, Hulagu, Holagu, Lagu, Musa Abdul Hir, Zulkifli Abdul Hir, Zulkifli bin Hir, Abdul Hir bin Zulkifli, Abduhir Bin Hir, Bin Abdul Hir Zulkifli, Zulkifli, Zulkifli Hir, Musa, Abdulhir Bin Hir, Ahmad Shobirin, Armand Escalante, Hassan, Hendri Lawi, Henri Lawi, Hogalu, Hugalu, Muslimin Abdulmotalib, Norhana Mohamad, Normina, Hashim, Omar Salem, Salim Alombra dan sebagainya menguasai pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Tagalog dan Arab; berjuang bersama kumpulan Abu Sayap sejak 2003. Walaupun Ketua Gerak Khas Malaysia mengenai keganasan, Ayob Khan Mydin Pitchay mengalu-alukan berita kematian Zulkifli, namun bak kata pepatah berpantang maut sebelum ajal, Zulkifli tetap menjadi ancaman kepada keselamatan di Rantau Asia. Dalam pada itu, Pingganan turut memaklumkan bahawa anak saudara GabenorTawi-Tawi yang tinggal di Kota Kinabalu, Datu Naufal telah berlepas ke Jolo untuk merundingkan pembebasan peniaga tokek, Nazarudin Saidin setelah pihak penculik bersetuju untuk berunding bagi membebaskan mangsa dengan bayaran T & T sejumlah Ph 3 Juta Pesos (RM212,971). Percubaan koresponden Sabahkini.net untuk menghubungi Gabenor Tawi-Tawi dan Naufal untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal kerana dipercayai berada di kawasan pedalaman yang tidak mendapat liputan talian./sabahkini.net |
Posted: 08 Feb 2012 02:53 AM PST |
Hasan diminta telus sebab jumpa Umno pada 2008 Posted: 08 Feb 2012 02:53 AM PST Hasan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan bekas exco kerajaan negeri itu, dipecat daripada parti itu baru-baru ini kerana menimbulkan masalah kepada parti. Husam (kiri) berkata Hasan harus telus mengenai peranannya dan sebab-sebab beliau bertemu dengan pemimpin Umno sejurus selepas pilihan raya umum 2008, dan bukan sebaliknya mencaci PAS dalam program jelajahnya. Beliau mendedahkan bahawa Hasan telah menemui pemimpin Umno di Selangor pada 10 Mac - dua hari selepas Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum tersebut, dalam percubaan untuk membentuk kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno. "Tetapi pemimpin PAS telah menolak terus idea tersebut, maka beliau tidak berjaya dalam percubaannya untuk menjalin hubungan antara parti kita dan Umno," kata Husam ketika ditemui di Pulau Pinang. Husam, yang juga ADUN Salor berkata, beliau berada di Kedah pada 9 Mac 2008 untuk membantu Kedah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan kerajaan negeri yang baru. Pada 10 Mac beliau berada di Perak, untuk membantu menubuhkan "kerajaan rakyat" sebelum negeri itu dirampas oleh BN pada bulan April, selepas tiga ADUN meninggalkan Pakatan. "Saya telah dimaklumkan mengenai rancangan Hasan (kanan) kerana pada hari yang sama, beliau telah mengatur mesyuarat dengan (pemimpin) Umno dan topik perbincangan ialah untuk menggabungkan PAS dan Umno. "Jika rancangan itu berjaya, Hasan sepatutnya menjadi menteri besar Selangor. "Tetapi kerana prinsip dan komitmen kami kepada Pakatan Rakyat, maka pemimpin PAS menolak cadangan tersebut," tegas Husam yang juga exco kerajaan negeri Kelantan. Hasan, ADUN Gombak Setia, telah menafikan pernah mahu menyertai Umno, dan menegaskan beliau disingkir daripada PAS kerana pendirian tegasnya mempertahankan Islam dan kempen menentang kes murtad yang "berleluasa" di kalangan umat Islam. Tetapi, tegas Husam lagi, Hasan masih bercita-cita untuk menjadi MB, dan ini, tambah naib presiden PAS itu, terbukti melalui kecaman berterusan (Hasan) terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. -M'kini |
JADI BAIK DIHINA, JADI JAHAT DIPUJA? Posted: 07 Feb 2012 06:47 PM PST Dihina, diusik dan dilabel dengan pelbagai gelaran seperti 'ustazah jadi-jadian' selain dipulau rakan, saudara-mara dan adik beradik antara cabaran kehidupan empat artis ini selepas mendekatkan diri ke jalan Allah. Pada zaman kemuncak mereka, siapa tidak kenal Catriona Noorhayati Ross Bahrain Ross (Cat), Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge) dan Zafri Nanarudin (Zaf VE). Mereka bukan asing dalam industri hiburan tanah air. Masing-masing pernah merasai dunia glamor dan menyemarakkan dunia lakonan dan muzik melalui genre R&B dan hip-hop hingga menjadi kegilaan ramai, terutama anak gadis. Cat kini bergelar penceramah bebas, manakala tiga lagi artis lelaki itu menubuhkan kumpulan nasyid Al Mawlid bersama Abdullah Ahmad (Lah VE) dan Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge). Sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, keempat-empat artis ini mengambil kesempatan berkongsi cabaran dan pengalaman dalam mengharungi fasa baru dalam hidup mereka. Sumber : FB |
PAS bantah tiada perarakan calon p’raya Posted: 07 Feb 2012 06:46 PM PST KUALA LUMPUR, 8 Feb: PAS mengambil pendirian dengan tegas menolak cadangan ditiadakan perarakan calon semasa hari penamaan calon dalam pilihan raya umum akan datang. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan tiada sebarang alasan yang munasabah diberikan untuk memansuhkan perarakan itu khususnya daripada sudut keselamatan. Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan media cetak beberapa hari lalu melaporkan bahawa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah mencadangkan perarakan calon semasa hari penamaan calon ditiadakan dalam pilihan raya umum nanti. "Perarakan calon semasa penamaan calon pilihan raya ini sudah dilaksanakan sejak sebelum merdeka lagi dan ianya telah menjadi sebahagian dari proses demokrasi berpilihanraya di dalam negara kita ini," kata Tuan Guru Abdul Hadi kepada Harakahdaily. PAS juga, katanya ingin mengingatkan SPR, supaya tidak sibuk merangka peraturan baru yang belum dibuktikan mengganggu proses pilihan raya, sedangkan 8 tuntutan rakyat terhadap proses pilihan raya yang lebih adil dan telus masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Tambahnya, PAS ingin menegaskan bahawa pilihan raya bukan sekadar memangkah calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen semata-mata tetapi melibatkan seluruh proses demokrasi dan menunaikan hak rakyat untuk mendapat maklumat secara adil dan saksama. "Sepatutnya SPR juga memberikan perhatian untuk menghalang aktiviti merasuah dan mengugut pengundi oleh parti yang memegang tampuk kekuasaan selama lebih 50 tahun ini agar dihentikan dengan segera," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang. -Hrkh |
Kereta Siapa Yang Rempuh Gerai, Kereta Polis Atau Kereta Suspek? Posted: 07 Feb 2012 06:29 PM PST Polis yang rempuh gerai atau suspect yang rempuh gerai neh? - UPDATED! Ini bukan posting nak kutuk polis. Jangan salah faham. Kita faham tugas polis. Dan kita juga faham bahawa polis ialah manusia biasa yang tidak lepas daripada kesilapan dan kesalahan. Kadang2 bila mengejar suspect, kita boleh terbabas sehingga terlanggar harta benda orang awam. Bukan isu pun. Orang awam faham dan kami rakyat malaysia juga faham. Cuma yang buat kita tak faham ialah penyelewengan maklumat. Itu jek. Kenapa ye apa yang tersebar di facebook berbeza dengan apa yang tersebar di akhbar. Siapa puncanya? Polis yang bagi info salah kepada wartawan ataupun wartawan yang tersalah tulis? Lihat bawah neh ; Kisah yang tersiar di hm pula ialah seperti berikut ; Rempuh gerai lari dari polis PUCHONG: Tindakan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta melarikan diri daripada pemeriksaan polis mengundang padah apabila kenderaan itu merempuh sebuah gerai makan menyebabkan dua wanita di dalam premis berkenaan cedera. Bagaimanapun, dalam kejadian di Seksyen 5, Taman Kinrara di sini, jam 7 malam tadi itu, seorang daripada suspek terbabit ditahan. Dalam kejadian itu polis yang melakukan rondaan cegah jenayah menahan sebuah Proton Perdana dinaiki dua lelaki berusia 30-an di Seksyen 5, Taman Kinrara, di sini. Menurut sumber, dalam pemeriksaan berkenaan mereka memberikan kerjasama dengan menyerahkan kad pengenalan untuk diperiksa sebelum kad pengenalan itu dipulangkan. "Ketika anggota polis ingin melakukan pemeriksaan terhadap penumpang pula, pemandu kereta terbabit memecut kenderaannya ke Bandar Puchong. "Kereta itu melakukan pusingan U di Bukit Jalil sebelum berpatah balik ke Taman Kinrara," katanya ketika dihubungi di sini ,semalam. Sumber itu berkata, ketika tiba di Jalan 5/8 di Taman Kinrara, kereta suspek yang dipandu laju gagal dikawal lalu merempuh sebuah gerai makan di tepi jalan. "Seorang suspek berusia 30-an ditahan polis manakala rakannya melarikan diri. Akibat rempuhan itu, dua wanita yang masing-masing peniaga dan pelanggan mengalami kecederaan," katanya. Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Sementara itu, saksi, Norizan Baharom, 39, berkata dia dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki di bahagian belakang rumahnya sambil mengacukan pisau dan merayu jangan menjerit kerana dia diburu polis. Bagaimanapun, dia yang terkejut menjerit meminta tolong sebelum lelaki itu melarikan diri. Katanya, sebaik saja penjenayah itu melarikan diri, dia menghubungi suaminya. "Saya sangat takut dengan kejadian yang berlaku petang tadi (semalam). Saya risaukan keselamatan anak-anak apabila melihat lelaki terbabit memegang pisau," katanya. Ini penaakulan aku. Boleh terima dan boleh juga tidak terima. 1. Jika kenderaan suspect yang merempuh gerai sudah tentu gambar kereta suspect yang berada di dalam akhbar metro. Ini disebabkan selepas merempuh gerai, suspect keluar dari kereta dan melarikan diri [lihat berita penuh]. 2. Jadi kenapa metro hanya paparkan gambar kereta polis? Takan polis alihkan kereta suspect sebelum mengambil gambar di lokasi kejadian? Gambar di lokasi kejadian ialah bukti kes. Ini prosuder biasa bagi siasatan polis. 3. Point baru masuk hasil penaakulan sahabat fb. Rupanya dalam gambar kedua, kereta polis ada tersembul keluar airbag nya. Kenapa ye? Hahaha.. 4. Jika benar polis yang ter-rempuh gerai orang awam, rasanya tidak perlu menyeleweng maklumat tersebut. Kita rakyat malaysia sangat matang dan bijak menganalisis satu2 isu ikut topic. Kita tidak akan marah dan menyangka yang bukan2 pada polis. Kita faham tugas mereka menahan penjenayah. 5. Cuma bila maklumat2 seperti ini disorokkan dan bila kita dapat tahu, akan timbul persepsi macam2. Ini sebenarnya lebih teruk kesannya berbanding menceritakan kisah asal ikut kronologi sebenarnya. Yang lebih baik adalah berterus terang sahaja. Kita sangat2 faham tugas polis. Jangan sampai orang hilang kepercayaan terhadap polis. Apatah lagi mangsa2 dalam kes neh masih hidup. Mungkin mereka tutup mulut depan media tetapi siapa boleh jamin mereka tutup mulut di hadapan rakan2 dan sedara terdekat kan? Aku bukan nya apa. Aku tak kesah larh kalau polis dah terlanggar gerai ke apa. Aku percaya orang awam boleh tuntut gantirugi dari balai polis atas kejadian yang berlaku neh. Cuma aku tak berapa gemar kisah asal ditutup atas alasan2 yang tak logik. Aku tak nampak kesan negatif kalau sungguh pun polis ter rempuh gerai tue berbanding kesan negatif andai orang tahu bahawa kisah sebenar telah di spin. Bagi aku, menipu dan terkantoi lebih teruk berbanding bercakap benar. Itu je. Tapi kisah sebenarnya masih polis, orang yang terlibat, dan orang yang menyaksikan kejadian itu sahaja yang tahu. Aku sekadar buat penaakulan bukan nya tuduhan ataupun meletakkan kesimpulan. Harap maklum. Bai. - UPDATED ; Ini ada gambar di lokasi kejadian. Kalau nak nafikan lagi selepas neh taktahu lah nak cakap apa lagi. Hahaha.. -sozcyili.blogspot.com |
Tuan Guru Haji Yusuf Rawa : Musyidul Am PAS yang pertama Posted: 07 Feb 2012 06:27 PM PST Latar Belakang Yusof bin Haji Abdullah dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922. Bapanya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat seperti tasbih, sejadah dan lain-lain. Pendidikan awal Tuan Guru Yusof Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan kemudiannya di Sekolah Charausta. Pendidikan menengah beliau ialah di Government English School dan kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge. Selepas itu bapanya menghantar beliau ke Makkah untuk menuntut dalam bidang agama. Semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus menetap di Makkah untuk mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun. Menghadapi Ujian Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, kawasan tempat tinggal keluarga Tuan Guru Yusof Rawa dihujani dengan bom dari pesawat udara Jepun. Bapanya, Hj Abdullah Hj Nordin sempat menyelamatkan anak-anak dan isterinya. Walau bagaimanapun, tatkala keluar sekali lagi untuk mengambil sesuatu yang masih tertinggal di kedainya, sebutir bom gugur dekat dengannya. Hj Abdullah terkorban dan tubuhnya berkecai. Peristiwa itu berlaku semasa Tuan Guru Yusof Rawa berada di Makkah. Semasa di Makkah di zaman remajanya, Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah diburu oleh pihak polis Masjidil Haram. Beliau terpaksa bersembunyi beberapa hari untuk mengelakkan daripada ditangkap polis. Peristiwa ini berlaku ekoran perkelahian di antara anak-anak Jawi dengan remaja Arab Makkah. Sekembalinya Tuan Guru Yusof Rawa dari Makkah, beliau menerbitkan majalah Al-Islah. Di atas kegiatannya ini beliau ditahan oleh penjajah Inggeris yang mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir. Penglibatan dalam PAS Tuan Guru Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951. Pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. Beliau kemudian dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Pusat yang ketika itu didominasi oleh pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan Kedah. Sejak dari zaman Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Tuan Guru Yusof Rawa sudah pun dianggap sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS. Menjelang penghujung tahun 1970an, Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama dan Naib Yang Dipertua kedua adalah Ustaz Fadzil Noor. Krisis kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Hassan Adli mengosongkan jawatannya. Tuan Guru Yusof Rawa mencabar Dato' Abu Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah. Pada tahun 1981, Tuan Guru Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS dan menang. Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah memaksa Dato' Mohd Asri Muda meletakkan jawatan. Jawatan Yang Dipertua PAS telah dipangku oleh Tuan Guru Yusof Rawa. Dalam Muktamar PAS ke-29 pada tahun 1983, Tuan Guru Yusof Rawa telah sebulat suara dilantik Yang Dipertua PAS. Apabila Majlis Syura Ulama' diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Tuan Guru Yusof Rawa telah dipilih sebagai Mursyidul Am yang pertama pada tahun 1987. Di atas sebab-sebab kesihatan, Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal memegang jawatan sebagai Mursyidul Am. Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Mursyidul Am pada tahun 1993. Jawatan itu dipegang seterusnya oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang kedua. Menangani Krisis Peralihan Tuan Guru Yusof Rawa mengambil alih kepimpinan ketika PAS berhadapan bukan hanya dengan kemelut dalaman PAS tetapi juga dalam angkatan gerakan Islam. Kemelut dalaman PAS berlaku apabila terpinggirnya Dato' Asri dan angkatan pemimpin-pemimpin eranya. Ekoran itu berlaku pula tindakan dan ancaman terhadap PAS daripada penyokong-penyokong Dato' Mohd Asri. Kemelut dalaman di kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku apabila rakan kongsi perjuangan Islam, Anwar Ibrahim daripada ABIM membuat keputusan untuk menyertai UMNO. Tuan Guru Yusof Rawa amat kecewa apabila Anwar Ibrahim mengambil keputusan menyertai UMNO. Dalam perbualan telefonnya dengan Anwar, Tuan Guru Yusof Rawa menyatakan: "…tindakan anda itu umpama menikam kami dari belakang" Dengan pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan sikap keterbukaan dan kesederhanaannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam arus perdana perjuangan Islam di negara ini. Pendekatan dan mesej perjuangan Islam yang dibawa oleh Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam menyertai PAS. Dalam menangani era peralihan ini, Tuan Guru Yusof Rawa amat beruntung kerana dibantu oleh tokoh-tokoh besar seperti Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Hasan Shukri, Mustafa Ali dan tokoh-tokoh muda PAS yang lainnya. Menangani Gejala Dalaman Setelah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua, Dato' Mohd Asri Muda balik ke Kelantan dan mengadakan perjumpaan terbuka dengan penyokongnya mengecam pimpinan baru regu Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor. Kumpulan ini mengancam untuk bertindak menggempur pimpinan baru PAS. Laporan yang diterima dari Kelantan melihat ancaman itu membahayakan perpaduan jamaah. Demi menjaga keutuhan parti, Tuan Guru Yusof Rawa melalui mesyuarat Jawatankuasa Disiplin telah membuat satu keputusan yang amat berat sekali. Keputusan tegas dan berani telah dibuat dengan Ustaz Hasan Shukri selaku Setiausaha Agung telah mengeluarkan surat kepada Dato' Mohd Asri Muda yang menyebut: "Jawatankuasa Disiplin parti menggantung keahlian saudara daripada menjadi ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mulai dari tarikh keputusan ini dibuat sehingga kepada masanya diberitahu kelak. Dengan demikian maka terlucutlah segala hak keahlian saudara dalam PAS seperti yang disebutkan oleh Fasal 14(10(a) hingga (e) mula tarikh di atas, 9 Rabiul Akhir 1403/23 Januari 1983 hingga masanya diberitahu kelak" Bersama-sama Dato' Mohd Asri Muda yang dikenakan tindakan disiplin ialah 12 orang lagi yang mana ada di antaranya dipecat, digantung dan diberi amaran. Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli Jawatankuasa Agung. Tindakan ini dikira sebagai tindakan paling berani yang diambil oleh gandingan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil demi menyelamatkan parti daripada ancaman krisis. Mengasaskan Kepimpinan Ulama' Isu kepimpinan ulama' timbul dalam PAS apabila krisis melanda PAS di bawah kepimpinan Dato' Mohd Asri Muda, terutama pada tempoh terakhirnya. Ia bermula dengan polimik apakah PAS parti Islam atau parti nasionalis? Walaupun PAS tidak pernah berganjak bahawa ia adalah sebuah jamaah Islam, namun pandangan yang melihat PAS sebagai lebih kepada arah nasionalis amat berpengaruh pada era Dato' Mohd Asri Muda. Pertembungan pemikiran ini melemahkan daya tahan pimpinan angkatan Dato' Mohd Asri Muda. Ada yang berpandangan bahawa malang yang merundung PAS ialah kerana ia tidak dipimpin oleh ulama'. Tidak pula dinafikan pengaruh daripada kepimpinan ulama' dalam Revolusi Iran mempengaruhi suasana dalam PAS pada masa itu. Kejayaan umat Islam meruntuhkan rejim zalim Shah Iran dilihat sebagai kejayaan cemerlang kepimpinan ulama'. Dalam suasana inilah tampil tokoh besar dalam PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh pelapis seperti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang. Berlatar belakang senario ini, Tuan Guru Yusof Rawa merintis jalan ke arah kepimpinan ulama'. Sikap keterbukaan dalam gaya kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa telah menjadikan seluruh lapisan keahlian menerima dan terus memartabatkan kepimpinan ulama' dalam PAS. Dengan itu, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya memantapkan paksi perjuangan PAS sebagai parti politik Islam, gerakan dakwah dan harakah Islamiyyah melalui konsep kepimpinan ulama'. Pindaan Perlembagaan 1983 Setelah memantapkan PAS di segi dalaman, Tuan Guru Yusof Rawa berusaha meletakkan semula PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berwibawa di negara ini. Peluang tersebut muncul apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambil langkah untuk menyekat kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983. Tuan Guru Yusof Rawa menerajui PAS membantah langkah Dr. Mahathir. PAS mengambil sikap mempertahankan hak raja-raja Melayu dan menyekat pembolotan kuasa kerajaan yang cuba dilakukan oleh Dr. Mahathir. Tindakan ini sekali gus berjaya menampilkan PAS sebagai juara umat Islam dan bangsa Melayu. Walaupun langkah ini diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa, dasar PAS tetap selaras dengan Islam. Ini kerana sepanjang sesi 1984-85, PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sering berbicara mewakili golongan mustadafin dan menentang golongan mustakbirin. Dalam tempoh tersebut, PAS memperkenalkan secara terbuka perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kefasadan. Seterusnya pada tahun 1985, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS meningkatkan kempen menentang segala bentuk asabiyyah, terutama asabiyyah UMNO dan Barisan Nasional. Kebijaksanaan Tuan Guru Yusof Rawa merebut peluang daripada langkah Dr. Mahathir untuk menyekat hak raja-raja Melayu telah memberi ruang yang seluasnya bagi beliau menempatkan PAS kembali sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang relevan dan berwibawa di negara ini. Tragedi Memali Tragedi Memali yang tercetus pada 18 November 1985, berlaku semasa PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa. Tragedi ini merupakan pembunuhan kejam Ustaz Ibrahim Libya dan tigabelas muridnya akibat serangan kira-kira 4,000 anggota polis. Empat anggota polis turut terkorban. Tragedi Memali bermotifkan politik. Peristiwa ini berlaku apabila sokongan orang Melayu yang semakin meningkat terhadap PAS lantaran penerimaan mereka terhadap kewibawaan PAS dan kepimpinan ulama'. Tragedi Memali didahului sebelum itu dengan beberapa operasi penahanan ISA terhadap tokoh-tokoh Pemuda PAS. Tuan Guru Yusof Rawa dengan tenang menangani tragedi di Memali. Tugas ini diserahkannya dengan penuh bijaksana kepada timbalannya, Ustaz Fadzil Noor, yang juga pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah. Di bawah kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, PAS menegaskan bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya gugur sebagai syuhada'. Pendirian ini dipertahankan oleh Tuan Guru Yusof Rawa walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan dianggap sebagai syibghul bughah. Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sebagai bughah, atau penderhaka, Tuan Guru Yusof Rawa tetap cekal mempertahankan pendirian PAS bahawa mereka semua adalah mati syahid. Menentang Kezaliman ISA Semasa PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa, pemimpin-pemimpin PAS terutama tokoh-tokoh Pemuda sering berhadapan dengan tangkapan di bawah ISA. Semasa Dato' Mohd Asri Muda menerajui PAS, pendirian PAS terhadap ISA adalah seperti yang diungkapkan sendiri olehnya sebagai: "PAS merasakan betapa perlunya undang-undang itu bagi sebuah negara merdeka yang masih muda seperti Persekutuan Tanah Melayu demi menjaga keamanan negara dan mengawasi serta mencegah gerakan subversif, apatah lagi gerakan komunis yang amat memerlukan pengawasan dan prihatin daripada seluruh rakyat yang cintakan keamanan. Sikap ini menjadi bukti kerana sekalipun PAS berada di pihak pembangkang, PAS tidaklah mengambil sikap menentang secara melulu, mentang-mentang menjadi golongan pembangkang, maka semua yang datang daripada kerajaan ditentang" Berlainan dari zaman Dato' Mohd Asri Muda, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS mengambil sikap dan pendirian yang berbeza terhadap ISA. Perubahan ini ketara dalam Ucapan Dasar Tuan Guru Yusof Rawa pada tahun 1985. Di mana katanya: "Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri yang diluluskan oleh Parlimen dan pindaan-pindaan yang telah dibuat ke atasnya lebih kejam lagi. Undang-undang ini tidak terikat kepada mana-mana prinsip sekalipun, kecuali kepada keinginan Menteri Dalam Negeri. Mangsanya dihukum tanpa memerlukan apa-apa pembuktian, sama ada dari yang dituduh atau yang menuduh" Menyentuh penahanan pemimpin-pemimpin muda PAS seperti Ustaz Abu Bakar Chik, Abdul Razak Daud, Mohamad Sabu, Ustaz Bunyamin Ya'kub dan Suhaimi Said, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan: "Penahanan mereka hanyalah semata-mata di atas keinginan Menteri Dalam Negeri yang didesak berulang kali oleh wakil-wakil dalam Perhimpunan Agung UMNO Bahaya kepada UMNO dianggap sebagai bahaya kepada keselamatan negara. Kemerosotan sokongan kepada UMNO dianggap perpecahan dan ancaman yang membahayakan orang-orang Melayu. Inilah lojik dan cara berfikir pemimpin yang mengamalkan prinsip diktator berparlimen" "Undang-undang ini nyata sekali bertentangan dengan keadilan" Dalam Ucapan Dasar pada tahun 1988, menyentuh tangkapan ISA terhadap sepuluh orang pemimpin muda PAS di bawah Operasi Lalang, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan: "Sebenarnya tindakan ini bukan kerana keselamatan negara, tetapi adalah kerana muslihat pemimpin-pemimpin yang sudah terpisah dari orang ramai, terpisah dari perjuangan rakyat dan partinya sendiri, malah terpencil dari kliknya sendiri. ISA pada prinsipnya adalah undang-undang yang zalim kerana ia tidak memberi peluang membela diri kepada mangsanya dalam apa bentuk pun" Dasar yang diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa terhadap ISA adalah jelas berdasarkan prinsip. PAS menolak ISA kerana ia zalim! Kejelasan pendirian dalam isu ISA inilah yang diwarisi oleh Ustaz Fadzil Noor ketika menerajui PAS. Sumbangan kepada Gerakan Islam: Sikap Terbuka dan Sederhana Sumbangan terbesar Tuan Guru Yusof Rawa terhadap gerakan dan perjuangan Islam di Malaysia adalah di atas tindakannya untuk mengukuhkan serta menempatkan kembali PAS dalam arus perdana politik dan dakwah di negara ini. Kepimpinannya yang terbuka memberi ruang yang seluas-luasnya kepada tokoh dan tenaga muda pelapis dalam PAS untuk melakar dan mencorakkan peta baru perjuangan Islam di Malaysia melalui PAS. Konsep kepimpinan ulama' yang diterajuinya memartabatkan kedudukan gerakan Islam di atas paksi ilmu, syaksiyyah dan akhlak mulia pemimpin-pemimpin yang tinggi cita-cita perjuangan Islamnya. Peralihan daripada sebuah gerakan yang dianggap sebagai nasionalis Islam kepada sebuah harakah Islamiyyah telah menarik minat golongan teknokrat, intelektual, para lepasan universiti tempatan dan luar negara serta pelbagai lapisan pencinta perjuangan Islam di negara ini. Tuan Guru Yusof Rawa turut memberi ruang yang luas kepada barisan pimpinan pelapis untuk meneroka kerjasama politik dengan kaum bukan Islam. Beliau merintis jalan ke arah penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council. Dalam konteks pengukuhan unsur-unsur dalaman PAS, Tuan Guru Yusof Rawa membuka ruang seluas-luasnya kepada pendekatan tarbiyyah dan harakiyyah. Pendedahannya di luar negara serta pengetahuannya tentang perjuangan gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin dan gerakan-gerakan pembebasan yang lain, memberi keupayaan kepada Tuan Guru Yusof Rawa untuk mencorakkan gerakerja haraki dalam PAS. Sikap ini telah berjaya memberi laluan kepada pendokong-pendokong Islam daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai dan terlibat aktif dalam PAS. Demikian juga bagi mereka yang mendokong pendekatan Revolusi Islam Iran. Sikap terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa telah memberi ruang bagi mereka terlibat memberi sumbangan perjuangan Islam dalam PAS. Di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan bahawa apa yang boleh dianuti adalah semangat revolusi di segi menentang penindasan pemerintah yang zalim, tetapi bukan di segi anutan mazhabnya. Namun di sebalik sikap terbuka dan sederhananya, PAS di bawah teraju kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa tidak pernah berkompromi dengan kezaliman, penindasan dan kemungkaran. Pendirian inilah yang menampilkan identiti PAS sebagai parti politik Islam dan sebuah harakah Islamiyyah. Di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, ditegaskan dengan jelas bahawa kepimpinan ulama' bukan sahaja membawa makna kepimpinan mesti diterajui oleh ulama'. Hakikat yang lebih utama adalah kepimpinan ulama' berkehendakkan kepada kandungan perjuangan yang berteraskan ciri-ciri tarbiyyah, dakwah, ilmu dan satu pergerakan atau harakah yang menjadikan cita-cita Islam sebagai paksinya. Jelas, di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah meletakkan paksi penting perjuangan PAS selepas mengambilalih daripada Dato' Mohd Asri Muda. Pencapaian Sebagai Ahli Politik Islam Kemenangan awal dalam penglibatan politik Tuan Guru Yusof Rawa ialah pada pilihanraya tahun 1969 apabila berjaya mengalahkan Dr. Mahathir Mohamad bagi kerusi Parlimen Kota Setar Selatan. Sebelum penyertaan PAS dalam kerajaan Perikatan lagi, Tuan Guru Yusof Rawa telah diberikan kepercayaan oleh Tunku Abdul Rahman pada awal tahun 1970an untuk menganggotai delegasi negara melawat umat Islam di Taiwan. Perlantikan ini dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan kemampuan Tuan Guru Yusof Rawa bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Apabila PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1973, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik sebagai wakil Malaysia ke PBB untuk membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia. Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau Pinang. Beliau tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara di PBB. Sekembalinya dari New York beliau menyertai pilihanraya tahun 1974 dan menang tanpa bertanding. Sejurus selepas itu, sebagai salah seorang pemimpin kanan dalam parti, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Menterinya pada masa itu adalah Tan Sri Musa Hitam. Perlantikan ini menjadikan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai anak Melayu Pulau Pinang pertama menjawat jawatan politik setinggi itu. Selepas itu, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik pula sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran. Ketika itu Shah Iran masih memerintah Iran. Dengan tugas sebagai Duta ke Iran, Tuan Guru Yusof Rawa juga ditauliahkan ke Turki dan Afghanistan. Semasa menjalankan tugas tersebutlah Tuan Guru Yusof Rawa belajar bahasa Farsi dan bahasa Perancis di samping mengekalkan kefasihannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Apabila PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada tahun 1978, Tuan Guru Yusof Rawa kembali dari Iran pada tahun 1979 apabila tamat tempoh khidmatnya. Tuan Guru Yusof Rawa kemudian memilih berkhidmat dengan PAS dan meninggalkan kerajaan. Tuan Guru Yusof Rawa juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang pada tahun 1992. Penghormatan Terakhir Tuan Guru Yusof Rawa menghembuskan nafas terakhir setelah solat subuh pada hari Jumaat, 28 April 2000. Penuh sesak orang membanjiri Masjid Gelugor pada solat Jumaat dan solat jenazah untuk Tuan Guru Yusof Rawa. Sepanjang jalan dari Gelugor ke Kampong Makam yang terletak di pinggir bandar Georgetown dipenuhi oleh orang ramai yang datang untuk memberi penghormatan terakhir. Kaum Cina dan India juga datang untuk memberikan penghormatan terakhir. Turut hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Koh Tsu Koon. Pada penghujung hayatnya, Tuan Guru Yusof Rawa menyaksikan penzaliman yang dilakukan terhadap Anwar Ibrahim. Beliau mendoakan agar Anwar bersabar dan tabah di atas penzaliman tersebut. Apa yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim itu ditegaskan oleh Tuan Guru Yusof Rawa sebagai kemuncak kezaliman Dr. Mahathir yang tidak dapat lagi membezakan antara kebinatangan dan kemanusiaan! -Kota Putera |
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan