Rabu, 29 Februari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Isu Exco: Phahrolrazi beri Amirudin kata dua

Posted: 29 Feb 2012 03:16 PM PST

Oleh: ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Pas kawasan Kuala Kedah memberi kata dua kepada Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan itu kerana didakwa melanggari keputusan mesyuarat jawatankuasa yang diadakan pada 17 Februari lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, sebaik Amiruddin mengangkat sumpah jawatan Exco kelmarin, tindakannya itu menyalahi keputusan dan Amiruddin diberi dua pilihan dalam tempoh 14 hari.

"Kita beri kata dua kepada beliau, jika ingin bersama Pas Kuala Kedah, kena letak jawatan Exco dan kita anggap isu ini selesai. Jika Amiruddin ingin bersama Menteri Besar, beliau bukan lagi sebahagian
daripada Pas Kuala Kedah," katanya.

Menurutnya, ini bermakna Amiruddin tidak dibenarkan terlibat dalam gerak kerja parti atau pengurusan Pas kawasan itu, dan beliau perlu bergerak secara sendirian sebagai Adun Anak Bukit.

Bagaimanapun, Phahrolrazi berkata,tindakan yang akan diambil terhadap Amiruddin bergantung kepadanya dan beliau diberi tempoh 14 hari untuk menghantar surat jawapan.

"Apabila Amiruddin menerima tawaran sebagai Exco Kerajaan Negeri dan mengangkat sumpah jawatan, ini bermakna beliau ingkar arahan. Setiausaha Pas Kuala Kedah, Aris Awang akan menghantar surat rasmi
kepada Amiruddin hari ini (semalam), tindakan selanjutnya akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang," katanya.

Menurutnya, antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah Pas Kuala Kedah sebulat
suara menyokong pendirian Phahrolrazi untuk tidak menerima jawatan Exco bagi penggal seterusnya.

Arahan turut dikeluarkan kepada semua Adun dalam kawasan Kuala Kedah iaitu Phahrolrazi (Pengkalan Kundor), Amiruddin (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) supaya tidak menerima tawaran untuk dilantik sebagai Exco.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Phahrolrazi itu bagaimanapun tidak dihadiri Amiruddin yang ketika itu mempunyai urusan di luar kawasan manakala Mohd Nasir selaku Naib Yang Dipertua Pas Kuala Kedah hadir.

"Berkisar kepada keputusan mesyuarat inilah, tindakan diambil. Keputusan ini juga sudah dimaklum pada Amiruddin dan beliau memaklumkan tidak dapat terima arahan ini dan mengangkat sumpah jawatan Exco Selasa lalu," katanya.

Phahrolrazi berkata, walaupun Amiruddin sudah menjelaskan alasannya berbuat demikian, namun Pas Kuala Kedah menolak penjelasan itu.

Ditanya sama ada Amiruddin berdepan tindakan disiplin atau digantung keahliannya, Phahrolrazi berkata, hanya Pas Pusat yang layak memutuskan perkara itu.

Baik Tun Mahathir Diam Dari Bising Yang Memalukan Diri Sendiri

Posted: 29 Feb 2012 04:58 AM PST

Mahathir: Kit Siang patut jadi Presiden Pas

Oleh: NORSHAHZURA MAT ZUKI

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kesediaan Pas untuk melantik Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sebagai 'langkah terbaik'.

Sehubungan itu beliau menyindir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya dilantik menjadi Presiden Pas.

"Dulu Pas kata kita kafir, sekarang mereka nak terima orang bukan Islam sebagai pemimpinnya.

"Dulu Pas kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam Pas? Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden Pas kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan rombongan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno menegaskan, sekarang pemimpin bukan Islam belajar mengenai agama Islam antaranya boleh memberikan syarahan dengan menggunakan ayat al-Quran.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan Pas bersedia menerima seorang Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Dzulkefly berkata, dalam Islam terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah. Contoh perkara yang boleh berubah ialah perkara politik.

Ditanya mengenai kenyataan Dzulkefly, perpecahan Melayu memberikan hikmah, Mahathir menegaskan perpecahan baik untuk Pas.

"Saya sokong, Pas mesti berpecah. Sudah cukup Melayu berpecah, kita pecah semua parti.
"Pas patut berpecah lagi," katanya.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, perpecahan undi di kalangan Melayu dilihat sebagai satu kebaikan dan hikmah malah mampu menjadikan rakyat di negara ini matang dalam membuat pemilihan terbaik pada pilihan raya umum.

Menurutnya, sebelum ini, rata- rata pemimpin politik dan penganalisis mendakwa orang Melayu sudah berpecah kepada tiga kumpulan sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Kesian Kat Guru Di Kelantan. Sekarang Di Paksa Datang Ke Majlis Hasan Ali Pula

Posted: 29 Feb 2012 02:29 AM PST

Guru diarah hadir program Hassan Ali

Harakahdaily

KOTA BHARU, 29 Feb: Guru-guru agama sekolah di bawah Jabatan Pelajaran Negeri dikatakan diarah menghadiri program ceramah bekas ahli PAS yang dipecat Datuk Dr Hassan Ali malam ini.

Ceramah itu akan diadakan di padang awam Taman Guru, Pintu Geng dekat sini. Risalah dan poster ceramah tersebut diedar secara meluas di beberapa jajahan sejak beberapa hari lalu.

Menurut sumber arahan berkenaan dibuat secara lisan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) kepada guru-guru agama yang mengajar di kawasan parlimen Kota Bharu.

Katanya guru agama yang diarah hadir termasuk guru-guru yang mengajar Jawi, Quran dan Fardhu Ain (J-QAF) dan kelas fardhu ain (Kafa).

"Arahan dibuat secara lisan dan bukannya secara bersurat. Kami hairan apa pula kaitan Hassan Ali dengan PPD," kata sumber terbabit.

Katanya juga penganjuran program berkenaan ada kaitan langsung dengan Umno, biar pun dibuat atas nama sebuah NGO baru diberi nama Jati.

Manakala sumber lain pula memberitahu sehingga hari ini sebanyak tiga kali guru-guru agama diarah hadir pada program anjuran Umno Kota Bharu.

Kata mereka bukan sekadar program anjuran Umno Bahagian Kota Bharu, sebaliknya program wanita Umno juga mengarahkan kehadiran guru-guru agama terutamanya yang mengajar di sekolah rendah.

Malah dakwanya, pada tahun lepas diarah semua guru Kafa yang mengajar di sekitar kawasan parlimen ini memindahkan alamat tempat mengundi ke Dun Bunut Payong.

Sindiket itu difahamkan dikendalikan petugas Umno dengan harapan dapat memenangkan calon parti itu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Ini semua ada urua-ura seorang pegawai di PPD Kota Bharu yang disebut-sebut mahu menjadi calon di Dun Bunut Payong pada pilihan raya umum ini," ujarnya.

MP Sabak Bernam didapati bersalah buat tuntutan palsu

Posted: 29 Feb 2012 12:54 AM PST

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mendapati Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri, bersalah atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwa.

Abdul Rahman, 47, dari Umno dituduh membuat lapan tuntutan palsu dengan nilai RM10,000 setiap satu yang berjumlah RM80,000 daripada peruntukan kawasannya berhubung majlis yang tidak pernah dijalankan.

Dia dituduh membuat tuntutan itu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi ADUN Sungai Ayer Tawar.

Sementara itu, pembantu beliau Mohd Rusli Busro, yang didakwa bersubahat dalam membuat tuntutan palsu juga didapati bersalah.

Abdul Rahman didakwa mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan.

Majalah-Majalah Yang Dihidangkan Apabila Anda Ke Pejabat Agama Islam Terengganu

Posted: 28 Feb 2012 07:21 PM PST

http://a7.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/s720x720/419749_337324379642938_1872044575_n.jpg

Tutup kes Ariffahmi bersih nama Kerajaan Negeri

Posted: 28 Feb 2012 07:04 PM PST

Wartawan Sinar Harian


KOTA BHARU – Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes penyalahgunaan kuasa Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abd Rahman secara tidak langsung membersihkan nama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Exco Kerajaan Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, beliau bersyukur dengan penutupan kes tersebut walaupun kecewa kerana mengambil masa agak lama untuk diselesaikan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Ariffahmi dan seluruh anggota keluarga, saya mendoakan agar segala kepedihan dan pengorbanan semasa berhadapan kes tersebut mendapat ganjaran besar ALLAH SWT.

"Saya dari dahulu lagi saya yakin bahawa beliau tidak bersalah dalam hal ini namun biarlah proses perundangan diberikan ruang berperanan," katanya.

Mohamed Fadzli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, apabila kes itu ditutup tanpa sebarang pendakwaan, ia bukan saja membersihkan nama Ariffahmi tetapi juga nama Nik Abdul Aziz dan Kerajaan Negeri Kelantan.

Berkat doa daripada orang yang dizalimi, katanya, niat pihak tertentu menggunakan kes tersebut untuk menjatuhkan Ariffahmi dan Menteri Besar sekali lagi menemui kegagalan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana menjalankan tugas secara profesional," katanya.

Sebelum ini, Abdul Ariffahmi Abd Rahman bersyukur kerana nama beliau dibersihkan Panel Penilaian Operasi SPRM.

Katanya, siasatan kes tersebut memakan masa yang agak lama iaitu semenjak September 2009 dan melibatkan banyak pihak yang bersangkutan.

Penantian untuk mendapatkan keputusan kes yang dilihat tergantung sepanjang tahun 2010 dan 2011 itu, katanya, mungkin kerana dipengaruhi pelbagai faktor politik, terutama musuh Pas apatah lagi suasana menjelang pilihan raya umum.

'Pertemuan dengan 2 Exco Kedah positif'

Posted: 28 Feb 2012 06:59 PM PST

ROSNANI SAAD

ALOR SETAR - Pertemuan antara Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dengan dua pemimpin Pas Kedah semalam membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.

Salahuddin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.

"Pertemuan hari ini (semalam), membuahkan cadangan, buah fikiran dan pendapat yang positif ke arah penyelesaian isu di Kedah.

"Selaku perantara, saya akan membawa semua cadangan, pemikiran dan pendapat ini dalam mesyuarat khas Pas Pusat yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur malam esok (hari ini)," katanya.

Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Saya nampak ada harapan yang positif ke arah penyelesaian isu ini. Bagaimanapun sebarang keputusan akan dimaklumkan selepas mesyuarat," katanya.

Ditanya sama ada pertemuan turut melibatkan seorang lagi Exco yang didakwa menolak untuk dilantik semula, Dr Ismail Salleh, beliau berkata, pertemuan dengan Azizan dan Phahrolrazi sudah memadai.

Kehadiran Salahuddin ke negeri ini bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.

Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung pagi semalam.

Phahrolrazi: Keputusan saya sendiri, jangan kaitkan 'Anwarism'

Posted: 28 Feb 2012 04:08 PM PST

MOHD IDROS MOHD ALI & ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Datuk Phahrolrazi Nawawi menegaskan beliau sendiri membuat keputusan untuk tidak menyambung tugasnya sebagai Exco Kerajaan Negeri disebabkan perbezaan pendapat yang agak ketara dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, tindakan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak seperti yang dikaitkan sebelum ini iaitu Anwarism atau Erdogan untuk mendesak Azizan melepaskan jawatannya dalam kerajaan.
Menurutnya, ia tiada kaitan dengan sesiapa kerana lebih kepada perbezaan pendapat dengan Azizan.

"Kalau berbeza sedikit dan masih boleh tahan, saya akan duduk. Tetapi apabila menjadi ketara, saya rasa lebih baik duduk di luar sebab tidak boleh lagi bekerjasama untuk membuat keputusan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

"Kalau daripada 10 perkara, perbezaannya adalah enam atau tujuh, ia adalah besar dan perlu melakukan sesuatu untuk kebaikan bersama," katanya pada sidang media di rumahnya petang semalam.

Mengenai pengaruh Anwar, Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah berkata, beliau tiada apa-apa hubungan dengan ketua pembangkang itu.

"Saya pun jarang berjumpa atau bercakap dengan Anwar," katanya.

Menurutnya, pandangan dan tindakannya itu turut dkongsi oleh Dr Ismail Salleh yang berpendapat untuk tidak meneruskan perkhidmatan sebagai Exco disebabkan tidak dapat membuat keputusan secara bersama.

Ditanya tindakannya itu adalah untuk mendesak Azizan melepaskan jawatan Menteri Besar, beliau berkata, ia langsung tiada kena-mengena.

"Jika saya nak mendesaknya letak jawatan, kenapa saya perlu keluar dari kerajaan. Adalah lebih mudah jika saya berada di dalam," katanya.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa tindakannya itu dikaitkan pertembungan antara golongan profesional dan ulama, beliau berkata ia adalah tidak benar.

"Adakah saya dianggap sebagai golongan profesional sedangkan tindakan saya ini mendapat restu Dewan Ulama Pas Kedah. Azizan juga ulama tetapi dapat sokongan pemuda dan muslimat Pas Kedah. Jadi tidak timbul soal itu," katanya.

Ditanya sama ada tindakannya itu boleh memecahbelahkan perpaduan parti, Phahrolrazi yang juga Adun Pengkalan Kundor berkata, ia tiada kena mengena dengan Pas sebaliknya hanya melibatkan urusan Kerajaan Negeri.

Ditanya bila mengambil keputusan untuk meletak jawatan, secara berseloroh beliau berkata tidak ingat tarikhnya.

"Seronok juga bila tiada jawatan dalam kerajaan. Bangun pagi boleh berehat sambil baca surat khabar sebab tiada tugas rasmi untuk dilakukan," katanya.

Tiada ulasan: