Isnin, 13 Februari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Mana Lebih Bahaya: Anwar atau Najib ?

Posted: 13 Feb 2012 03:00 PM PST

Oleh Shahbudin Husin

Tindkan Najib menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves bersama jutaan penganut agama Hindu dengan berpakaian Kurta kuning baru-baru ini, yang kemudian disifatkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai perbuatan yang menggadai akidah dan ke arah syirik, kini menjadi isu baru yang memalukan Najib dan umat Islam seluruhnya.

Jika mengikut pandangan Harussani itu bahawa nasihat mengenai perkara itu sudah diberikannya sebelum ini tetapi tidak didengari oleh Najib, jelas memberi gambaran bahawa Najib tahu tindakannya hadir ke Batu Caves itu adakah suatu yang salah dan bertentangan dengan kehendak agama.

Apakah semata-mata Najib memikirkan kepentingan politik dan undi yang mungkin boleh diperolehi bagi meneruskan tempoh hayat UMNO dan BN sebagai parti pemerintah, maka soal akidah dan pegangan hidup boleh diketepikan begitu saja?

Jika itulah pendirian dan mazhab politik yang cuba diamalkan oleh Najib, sebenarnya tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita harapkan daripada Perdana Menteri Keenam ini? Ini kerana akidah dan pegangan hidup adalah nilai yang paling tinggi dalam kehidupan seseorang sebelum mereka mahu bercakap soal-soal lain seperti kepentingan keluarga, kasih sayang, membela rakyat, keharmonian, kekeluargaan, agama dan sebagainya.

Keikhlasan dan kejujuran seseorang akan segera diragui apabila pegangan agamanya tidak kuat dan mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang bersifat sementara dan keduniaan.

Apa yang boleh kita rasakan sebagai orang Melayu dan Islam bila Najib dikata oleh mufti telah menggadai akidahnya ialah hanya perasaan sedih dan malu kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu lemah iman sehingga sanggup tunduk kepada hal-hal sebegitu.

Di merata tempat dan di pelbagai kelompok masyarakat Melayu sekarang ini memperkatakan tentang tindakan Najib itu dan tidak ada satu pun kedengaran suara yang memuji dan menyokong beliau. Rata-rata sedih dan kecewa.

Dengan kesediaan Najib menggadaikan akidah (sebagaimana yang disebut oleh Harussani sendiri) kerana politik bermakna kebolehpercayaan rakyat terhadapnya dalam soal membantu rakyat dan memperjuangkan hak orang-orang Melayu dengan automatik terpadam sama sekali. Bagaimana kita mahu percaya Najib betul-betul serius mahu menolong rakyat dan memperjuangkan nasib masa depan Melayu sedangkan nilai paling tinggi yang ada dalam dirinya pun boleh ditolakansur dengan kepentingan lain untuk mendapatkan undi serta sokongan.

Adakah Najib berfikir bahawa nilai paling penting dalam hidup ini hanya semata-mata dapat mengekalkan jawatan Perdana Menterinya sahaja tanpa memikirkan bahawa ada kehidupan lain selepas kematian nanti?

Dalam hal ini umat Islam dan orang Melayu memang berhak berasa malu dengan tindakan Najib itu, lebih-lebih lagi beliau baru saja menunaikan haji di Mekah tahun lalu.

Dalam soal ini turut dipersoalkan ialah ke manakah perginya penasihat-penasihat agama di sekeliling beliau seperti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom, timbalannya yang petah berbicara Mashitah Ibrahim, penasihat agama di Jabatan Perdana Menteri, Dr Abdullah Md Zain dan para mufti yang semuanya berkelulusan tinggi dalam bidang agama.

Turut ditanya ialah di manakah suara Dr Hasan Ali yang baru dipecat dari PAS yang kononnya salah satu asas perjuangannya ialah berkaitan dengan Islam dan murtad?

Adakah mereka takut menegur dan menasihati Najib kerana takut kehilangan jawatan dan kemewahan dunia yang dinikmati selama ini? Atau apakah mereka beranggapan oleh kerana Najib Perdana Menteri kepada semua kaum, maka dia berhak melakukan apa saja dan tidak perlu ditegur?

Kalau sebelum ini sebahagian daripada mereka ini begitu lantang bercakap dan mengkritik Anwar Ibrahim berkaitan isu pluralisme yang kononnya diucapkan oleh Anwar di sebuah persidangan di London, apakah tindakan Najib yang dianggap menggadaikan akidah ini hanya perkara remeh dan isu kecil oleh mereka berbanding pluralisme. Lebih-lebih lagi pluralisme yang dikaitkan dengan Anwar itu pula hanya tafsiran mereka sahaja dan Anwar sendiri sudah menjelaskan pendiriannya yang tidak bermaksud demikian. Ini berbeza dengan Najib yang terang lagi nyata hadir di Batu Caves bersama-sama kaum India sambil berpakaian Kurta dan sedia pula dikalungkan dengan bunga manggar paling besar. Dalam masa yang sama, ramai juga rakyat ingin melihat sesekali Najib berjubah dan berserban ketika ke masjid pada hari Jumaat.

Jika dalam isu pluralisme, Jamil Khir begitu lantang bersuara dan mahu menyiasatnya dan meluahkan pelbagai kecaman terhadap Anwar, tidak mahukah isu akidah Najib ini turut disiasat atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai mengenainya pula.

Berbanding Anwar yang tampil berani menafikan ucapannya sebagai berunsur pluralisme, Najib sebaliknya memilih hanya berdiam diri dan bungkam seribu bahasa dalam hal ini. Ketakutan Najib untuk bersuara sama ada mengakui keterlanjurannya atau tampil dengan hujah-hujah yang menghalalkan kehadiran meraikan Thaipusam itu, tidak lain memperlihatkan bahawa Najib memang mengakui kesilapannya tetapi dalam masa yang sama juga taksub kepada undi dan kepentingan politik.

Maka berdiam diri adalah jalan terbaik sambil mengharapkan isu ini akan reda dengan sendirinya ditelan masa dan dalam masa yang sama undi kaum India yang diharap-harapkan tidak pula berkurangan. Namun hakikatnya ini memperlihatkan keperibadian Najib yang sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan politiknya. Orang Melayu mesti menghadkan sokongan kepada Najib mulai sekarang ini.

Lebih-lebih lagi dalam soal kehidupan, perbuatan menggadai akidah dan syirik adalah jauh lebih besar daripada pluralisme. Akidah bukanlah komoditi dagangan yang boleh dinilai dan ada tanda harganya. Apakah rupa manusia kalau akidah dan pegangan hidupnya sudah boleh digadai dan dijualbeli?

Kenyataan Media Edaran Segera: Nik Aziz Gesa Anwar Tarik Balik Kenyaatan

Posted: 13 Feb 2012 07:56 AM PST

Israel: Nik Aziz gesa Anwar tarik balik kenyaatan

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menggesa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.

"Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.

Nik Abdul Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.

Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, Pas mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Kata beliau, negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia.

Oleh itu katanya, wajib bagi umat Islam, bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya.

"Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka Pas menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

"Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Sabtu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pendiriannya menolak formula penyelesaian dua negara bagi mengatasi konflik Asia Barat membabitkan Israel dan Palestin sambil menyifatkan adalah "haram menerima kewujudan negara haram."

Sehubungan itu kata Abdul Hadi, bagi pihaknya hanya ada satu negara Palestin bagi penduduknya yang berhak manakala Israel tidak wujud sama sekali.
Kedua-dua pemimpin Pas ini melahirkan pendirian ini ketika kenyataan Anwar mengenai Israel, dalam satu temu bual bersama WSJ baru-baru ini, menjadi isu kontroversi.

Pandangan Anwar itu berhadapan dengan kritikan dan kecaman pemimpin-pemimpin BN dan sebahagian pertubuhan bukan kerajaan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, pihak berkenaan perlu menyedari bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja.

Petang tadi, PR mengadakan mesyuarat kepimpinan pusat di Petaling Jaya.

Berikut kenyataan penuh beliau.


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.


Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.


Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.


Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.


Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Februari 2012/ 20 Rabiul Awwal 1433H







PAS dan negara haram Israel


Bumi Palestin dimuliakan sejarahnya oleh Nabi Ibrahim A.S. Bapa kepada para nabi selepasnya yang diiktiraf oleh semua penganut agama samawi. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan daripada zuriatnya yang dihantar ke Makkah, yang dianugerah Allah kepada Ibrahim A.S. kerana jasa perjuangannya yang besar menentang syirik dan zalim oleh kuasa terbesar dunia di zamannya iaitu kerajaan Babylon yang diperintah oleh Raja Namrud.


Bumi Palestin adalah salah satu daripada tiga tanah suci bagi umat Islam, selepas Makkah yang dibuka oleh Ibrahim A.S. dan Madinah tempat Hijrah Rasulullah S.A.W. Palestin dimuliakan kerana ramainya para Rasul dilahirkan di situ dan berpijak di atasnya kaki para anbiya' dan banyak darah para syuhada daripada kalangan Nabi dan ulama, kerana dibunuh oleh bangsa Yahudi dengan zalimnya, menyebabkan mereka dilaknat Allah sehingga hari Qiamat. Allah juga menjadikan kiblat pertama bagi umat Islam di bumi Palestin. Di sini juga tampat berakhirnya Isra' dan bermulanya Mikraj Rasulullah S.A.W. ketika dijemput menjadi tetamu Allah. Maka yang layak memakmurkan Palastin ialah mereka yang beriman dan budiman.


Agama Islam mewajibkan penganutnya memegang amanah memelihara bumi Palestin dan tidak melarang penganut Yahudi dan Kristian melakukan ibadat mengikut agama mereka dan mengunjungi tempat suci mereka. Sejarah membuktika hanya pemimpin Islam sahaja dapat menunaikan amanah memakmurkan bumi Palestin dengan memberi hak yang adil kepada semua.


Kejayaan tentera Islam di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. membebaskan Palestin daripada penjajahan Romawi disambut oleh Paderi besarnya dengan meminta Khalifah Umar datang menyaksikannya. Maka Khalifah Umar datang sehingga mengunjungi gereja besarnya, kemudian dimeteraikan perjanjian yang memberi hak yang adil kepada semua, kerana selama ini penjajah Romawi Byzantin yang beragama Kristian mazhab Ortodok, tidak melayani mereka yang tidak semazhab dengannya dan kerajaan Yahudi pula menzalimi mereka yang tidak seagama dengannya. Hal yang sama berlaku dalam era kelemahan kerajaan Islam, sehingga tentera salib menakluk Palestin. Keadaan menjadi baik semula, setelah Sultan Salahuddin Al Ayyubi daripada bangsa Kurdis dapat mengalahkan tentera Salib yang zalim dan membebaskan semula bumi Palastin. Lalu melayani semua pengunjungnya dengan adil.


Di zaman mutakhir, malapetaka menimpa bumi Palestin dengan memuncaknya keganasan, setelah Palestin dirampas dengan ganas oleh penjajah Barat yang menyimpan dendam terhadap Islam dan mengambil kesempatan daripada kelemahan umat Islam Arab yang memperkecilkan Islam dan membesarkan kebangsaan Arab sehingga melebihi Islam dan mengatasinya. Dalam pembahagian tanah air yang dijajah di kalangan penjajah barat, maka Palastin jatuh ke dalam bahagian penjajahan British. Perjanjian Balfore dimeteraikan di antara pemimpin Zionis Yahudi dangan Menteri Luar British, Lord Balfore bagi menyerahkan bumi Palastin kepada golongan Zionis untuk mendirikan negara kebangsaan Yahudi dinamakan Israel. Kalangan penganut mazhab Ortodok Yahudi menentangnya dan memberi amaran bahawa tindakan ini bercanggah dengan ajaran mereka dan boleh menguburkan bangsa Yahudi. Kalangan sekular yang memisahkan agama Yahudi daripada politik melakukan kesalahan besar ini, semata-mata menegakkan semangat kebangsaan dengan alasan sejarah bohong, bagi negara agung Israel yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman A.S. sehingga menakluk dunia.


Negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak Allah mencipta bumi. Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas perang dunia kedua, bagi mengotakan perjanjian Balfore yang melibatkan British yang dibantu oleh zionis Yahudi, sejak perang dunia pertama lagi. Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan undang-undang antarabangsa ciptaan manusia. Ini kerana ia merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka. Negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka. Bahkan sebahagian pemimpin negara itu dibantu oleh wang dan media golongan zionis untuk berkuasa.


Dalam pertarungan politik dan ekonomi antarabangsa yang didalangi oleh kuasa besar dunia pula, menjadikan negara haram Israel rakan strategik untuk menjaga kepentingan mereka dirantau paling banyak membekalkan sumber tenaga kepada dunia, dan juga bertindak menjadi polis bagi pihak Barat terhadap dunia Islam.


Perkara ini ditambah lagi dengan sikap tidak saksama negara besar yang menghalalkan negara haram Israel memiliki senjata pemusnah yang diharamkan kerana tanpa perikemanusiaan. Israel sudah membinanya sejak tahun enam puluhan lagi dan menghalang dengan apa cara sahaja bagi melindungi jenayah kemanusiaan yang dilakukannya. Walaupun melalui badan antar bangsa yang paling besar dan berpengaruh, sehinggalah menggunakan kuasa veto paling zalim.


Bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut kedudukan masing-masing di tempat yang jauh. Haram menerima kewujudan negara haram. Maka PAS yang berdasarkan Islam menolak penyelesaian wujud dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis. Bagi kami, hanya satu negara Palestin sahaja bagi penduduknya yang berhak.


Walau pun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, ketahuilah bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja. Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah menggali kubur untuk kaum Yahudi sendiri, yang disedari melakukan jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan ulama yang soleh.


Bagi Penganut Islam, bacalah firman Allah dalam beberapa surah. Di antaranya firman Allah:


وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (61 ) البقرة.


61. Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat durhaka dan melampaui batas.


Firman Allah:


إنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (21) أُولَئِكَ الَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (22 ) آل عمران .


21. Sesungguhnya orang-orang yang engkar kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tak dibenarkan dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka, bahawa mereka akan menerima siksa yang pedih.


22. Mereka itu adalah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong.


Bagi penganut Islam yang mendirikan solat lima waktu yang diwajibkan, memanjatkan doa pada tiap-tiap rakaat sembahyangnya supaya dijauhkan bersifat golongan yang dimurkai Allah, maksudnya seperti golongan Zionis Yahudi tersebut.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,


Presiden PAS

Peniaga tarik balik saman, ketepi perintah injuksi terhadap PKNS

Posted: 13 Feb 2012 06:56 AM PST

SHAH ALAM - Seramai 100 peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menarik balik saman serta perintah injunksi terhadap perbadanan itu berhubung isu kenaikan sewa premis perniagaan terbabit.

Peguam Kamarudin Ahmad berkata, peniaga berkenaan membuat keputusan itu selepas mencapai persetujuan dengan pihak PKNS mengenai tuntutan saman yang difailkan Persatuan Peniaga kompleks tersebut pada hujung tahun lepas.

"Kita telah tarik balik saman dan ketepikan perintah injunksi pagi tadi selepas dipersetujui oleh para peniaga PKNS," katanya.

Beliau berkata ekoran perkembangan terbaru itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman tersebut serta mengetepikan perintah injunksi terhadap PKNS.

Pada 14 Disember lepas, peniaga berkenaan memperoleh perintah injunksi bagi menghalang PKNS menaikkan kadar sewa ruang niaga di kompleks itu sebanyak 70 hingga 100 peratus mulai tahun ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Peniaga PKNS Amran Yahya berkata satu perjumpaan telah diadakan pada 8 Februari lepas dengan Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan) PKNS Noraida Mohd Yusof dan satu persetujuan telah dicapai berhubung isu kenaikan sewa.

"Pihak PKNS memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kenaikan sewa sehingga persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak iaitu para peniaga dan PKNS," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, isu itu akan dibawa ke mesyuarat lembaga pengarah PKNS pada 28 Februari ini dan perbadanan tersebut juga berjanji mengkaji semula kenaikan sewa pada kadar baru yang berpatutan.

Amran turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar yang prihatin dengan isu berkenaan.

Noh berkata kerajaan BN berjanji tidak akan menaikkan kadar sewa di premis berkenaan sekiranya berjaya memerintah semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pada 15 Januari lepas, Noh turut mengumunkan BN Selangor akan membiayai kos guaman berjumlah RM50,000 dalam kes itu.

Sementara itu, Noraida berkata PKNS bersetuju menangguhkan kenaikan sewa premis terbabit selepas peniaga menarik balik saman tersebut serta mengetepikan perintah injunksi terhadap perbadanan berkenaan.

"Ia merupakan keputusan bersama antara pihak PKNS dan peniaga, kita akan teruskan rundingan sehingga kedua-dua pihak puas hati dan bersetuju," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengesahkan isu kenaikan sewa itu akan dibawa ke peringkat atasan pengurusan PKNS dalam satu mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 28 Februari ini. - Bernama

Memang Betul La Cakap Orang Yang Ahmad Maslan Ni Bodoh. Tertekan Beb!

Posted: 13 Feb 2012 04:29 AM PST

Ahmad Maslan 'bakul sampahkan' Buku Jingga

Jimadie Shah Othman

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari ini mencampak Buku Jingga ke dalam tong sampah tanda tidak puas hati terhadap dasar bersama Pakatan Rakyat dalam isu Felda yang dipertikaikannya.

Menurutnya, beliau bertindak demikian dalam majlis perjumpaan bersama kepimpinan tanah rancangan itu di Kuala Lumpur hari ini kerana beberapa perkara yang diketengahkan pembangkang didakwa tidak berdasarkan maklumat tepat.

Tindakan simbolik itu dibuat di pentas ketika sesi penerangan lebih dua jam kepada pemimpin Felda daripada keseluruhan 317 tanah rancangannya berlangsung hari ini.

Malaysiakini dan portal berita Merdeka Review bagaimanapun tidak dibenarkan membuat liputan pada acara itu dan hanya dibenarkan menghadiri sidang media selepas majlis berkenaan.

Buku Jingga yang memuatkan tawaran 100 hari sekiranya berjaya menawan Putrajaya antaranya berjanji akan membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketika Felda.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Ahmad yang juga ketua penerangan Umno berkata tindakannya memasukkan Buku Jingga ke dalam tong sampah memang dimaksudkan kerana hujah pembangkang didakwa "amat salah".

Bantu keluarga miskin

"Pertama, mereka sebut tanah itu milik Felda Plantations. Felda Plantations tak ada tanah. Itu pun dah salah, belum lagi ulasan yang saya sebut (dalam sesi penerangan)," katanya.

"Itu sebabnya saya masukkan dalam tong sampah di depan peneroka, sebab mereka tak sudah-sudah pergi bagi borang tanah. Macam mereka ini DO (pegawai daerah). Nak faraid tanah, kononnya tanah Felda Plantations."

Sebaliknya, jelas Ahmad, Felda Plantations hanya mengurus dan pemilik sebenar tanah adalah "the big Felda" selepas kerajaan tidak lagi memberikan tanah kepada peneroka pada 1990 supaya ia dapat berdikari dan mendapat keuntungan.

"Dan itu sepatutnya bantu keluarga miskin lain. Jadi tanah itu tidak boleh nak serahkan pada anak peneroka. Dan kalau kita beri tanah pada anak peneroka, orang kampung yang ayah dia tak dapat tanah, Cina tak dapat tanah, India tak dapat tanah...

"Tiba-tiba nak lagi pada orang yang ada tanah tanah. Adil ke tu? Sebab itu saya campak buku tadi dalam tong sampah," soalnya lagi dengan sinis.

Ahmad juga berkata keuntungan Felda juga, antaranya melalui tindakan terbaru untuk menyenaraikannya di Bursa Malaysia pada Mei akan diserahkan kembali kepada rakyat.

"Itu jauh lebih baik daripada Buku Jingga dan 'Negara Berkebajikan' PAS yang juga sebut pasal Felda ini," katanya lagi.

Dewan ulama mahu Hadi terus pimpin Pas

Posted: 13 Feb 2012 04:24 AM PST

Tarikh: February 13, 2012

KUALA LUMPUR - Dewan Ulama Pas Pusat mahu presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus memimpin parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya Datuk Harun Taib berkata kepimpinan Abdul Hadi diperlukan bukan sahaja di peringkat parlimen bahkan di peringkat negeri Terengganu.

Keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh semua anggota jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat pada mesyuaratnya baru-baru ini, katanya dalam satu kenyataan pada laman web rasmi Pas hari ini.- Bernama

Kalau Ianya Fitnah, Kenapa Mahathir Takut Nak Saman

Posted: 13 Feb 2012 12:19 AM PST

Tun M: Dzaiddin buat tuduhan tidak berasas, fitnah

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membidas kenyataan bekas Ketua Hakim Tun Mohd Dzaiddin Abdullah yang menyatakan beliau menjadi punca kepada badan kehakiman negara tunduk kepada ahli politik, dan menegaskan, dakwaan itu merupakan satu fitnah terhadapnya.

Namun begitu, Dr Mahathir berkata, beliau bagaimanapun tidak akan menyaman mereka kerana menurutnya, itu adalah perbuatan sia-sia.

"Itu suatu fitnah, kalau mereka nak, mereka boleh semak semula peruntukan itu, dan jelaskan bahagian mana yang menyatakan perkara itu.

"Tapi saya tidak akan saman mereka, itu tindakan sia-sia," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Perkim di sini.

Beliau turut menjelaskan, tuduhan-tuduhan itu tidak berasas dan sekiranya benar seperti dakwaan tersebut, beliau sudah pasti akan menukarkan jawatan ramai individu dalam badan guaman ketika zaman pemerintahannya itu.

"Tiada peruntukan seperti itu, dan kalau saya ada kuasa, saya akan tukar ramai orang kalau saya boleh buat demikian," katanya lagi.

Mohd Dzaiddin Jumaat lalu dalam ucapan dasarnya meraikan ulang tahun Tunku Abdul Rahman dan Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS) di Tunku Abdul Rahman Memorial berkata, pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan semasa pentadbiran Dr Mahathir pada tahun 1980-an telah melemahkan sayap badan kehakiman.

"Akibat pindaan, kuasa kehakiman mahkamah-mahkamah telah dikurangkan dan mereka hanya mempunyai kuasa apabila diberikan Parlimen," kata Mohd Dzaiddin, dan menambah bahawa "Parlimen lebih hebat daripada badan kehakiman".

Menurut Mohd Dzaiddin, pada tahun 1988, Ketua Hakim Tun Mohamed Salleh Abas telah disingkirkan oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir

Mohd Dzaiddin berkata kejadian itu adalah disebabkan perbezaan dalam pendapat antara Dr Mahathir dan Salleh atas peranan-peranan dua cabang kerajaan berkenaan.

Namun demikian, Dr Mahathir menjelaskan, perkara itu bukan berlaku di atas kehendaknya, sebaliknya berdasarkan persetujuan daripada Agong ketika itu.

"Agong yang hendak Salleh Abas digugurkan, bukan atas kehendak saya," katanya lagi.

Wow! Cara Penyucian Dosa Lembu Untuk Sharizat Daripada Nazri

Posted: 12 Feb 2012 07:07 PM PST

KUALA KANGSAR – Menteri Pembangunan Wa nita, Keluarga dan Masya rakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dinasihatkan supaya membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kepada syarikat milik keluarganya untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz yang menasihatkan demikian berkata, itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan.

"Beliau tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan," katanya.

Nazri berkata, dengan penyelesaian seperti itu, kerajaan masih boleh meneruskan projek NFC.

"Tetapi selepas ini, adalah lebih baik dijalankan secara tender terbuka bagi mengelak masalah hal yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Larian Ria di pekarangan pejabat Umno Bahagian Padang Rengas di sini, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: