Ahad, 12 Februari 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Isu pasir: Adun Seri Muda cabar Raja Petra

Posted: 11 Feb 2012 11:12 PM PST

Oleh: Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Tindakan undang-undang hanya boleh dilakukan setelah blogger, Raja Petra Kamaruddin kembali ke negara ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Wakil rakyat PKR itu berkata, semua pihak termasuk pihak polis masih menunggu Raja Petra kembali ke tanah air bagi membantu siasatan termasuk berkaitan kenyataan yang ditulis dalam blognya, sebelum ini.

"Saya mencabar beliau balik ke Malaysia untuk membuktikan bahawa dakwaan beliau terhadap saya itu benar.

"Tuduhan terbaru ini adalah satu percubaan untuk memudahkan beliau kembali ke Malaysia tanpa dikenakan tuduhan yang berat oleh pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Raja Petra susulan dakwaan beliau bersama Adun Batu Caves, Amirudin Shari terlibat dalam skandal rasuah syarikat perlombongan pasir.

Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang tindakan diambil dalam siasatan mereka pada Julai 2010.

"Oleh yang demikian, tidak timbul soal saya mengisytiharkan diri sendiri bersih dari SPRM seperti didakwa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin," katanya.

‘Jangan halang Nik Aziz tanding PRU13 jika masih mampu’ kata Harussani

Posted: 11 Feb 2012 09:21 PM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 12 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yakin Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih mampu untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13, menambah agar jangan mempersoalkan kelebihan Mursyidul Am PAS itu.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini mengumumkan akan menyertai pilihan raya umum ke-13 walaupun didesak berundur oleh Umno.

Pemimpin veteran PAS berusia 81 tahun ini mula bertanding sejak pilihan raya umum 1967 dan mengetuai pentadbiran Kelantan selepas pilihan raya umum 1990 sehingga kini.

Menurut Harussani, Nik Aziz masih mampu untuk meneruskan perjuangan Islam walaupun dianggap "sudah terlalu uzur" untuk terus melibatkan diri dalam arena politik negara.

"Masalah perjuangan tidak kira umur, kalau beliau (Nik Aziz) mampu untuk teruskan mengapa perlu dihalang?

"Walaupun beliau lebih berusia daripada saya tetapi saya sudah tidak mampu untuk menyertai politik...saya juga tidak larat untuk melawat kawasan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru Harussani menegaskan semua pihak termasuk pemimpin Umno tidak mempersoalkan kesediaan Nik Aziz untuk terus terlibat dalam politik dan pilihan raya umum ke-13.

"Selagi beliau mampu (untuk berpolitik), itu terpulang kepada beliau," katanya.

Akhbar rasmi Umno, Utusan Malaysia minggu lalu menyifatkan kesediaan Nik Aziz untuk terus bertanding pada pilihan raya umum ke-13 membuktikan beliau tidak memahami realiti bahawa sudah uzur.

Mengambil contoh umur Nik Aziz, akhbar milik Umno itu mendakwa pemimpin berusia 81 itu masih "ghairah untuk berkuasa" walaupun sudah memimpin Kelantan selama empat penggal atau lebih 21 tahun.

"Tidak sangka dalam keadaan yang agak uzur, Nik Aziz masih mahukan jawatan tersebut. Khabarnya, hendak menyampaikan taklimat kepada beliau juga sukar atas masalah pendengaran dan fikirannya yang tidak lagi tajam," kata akhbar itu dalam ruangan Awang Selamat.

Salahuddin: Kubu kuat Johor akan runtuh

Posted: 11 Feb 2012 04:18 PM PST

Oleh: NORSHIKIN MOHD SALLEH

SKUDAI – Pakatan Rakyat (PR) berkeyakinan dapat menakluki Johor sekali gus memadamkan stigma bahawa negeri itu kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Keyakinan tersebut disuarakan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang diuar-uarkan akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Salahuddin berkata, persoalan siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Johor jika PR berjaya menakluki negeri ini bukan menjadi matlamat utama mereka.

"Soal siapa jadi Menteri Besar, itu perkara tidak berapa penting. Tetapi apa yang menjadi keutamaan ialah memastikan PR menang di Johor pada PRU13.

"Saya lihat politik perkauman tidak ada tempat dalam negara mahupun di Johor ini. BN tidak boleh berbangga Johor akan menjadi kubu kuat mereka kerana kita akan meruntuhkan kubu kuat ini," katanya dalam ucapan sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR Johor, di sini, semalam.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Salahuddin juga menegaskan hanya akan memberi kepastian sama ada dirinya bertanding di Johor, akhir bulan ini.

Sementara itu, desas-desus untuk meletakkan Salahuddin sebagai Menteri Besar Johor semakin kuat apabila pemilihan beliau mendapat lampu hijau PKR Negeri.

Pengerusinya, Datuk Chua Jui Meng mengakui tindakan Pas membawa balik Salahuddin untuk bertanding di negeri ini memberi peluang besar dalam usaha PR menakluki Johor.

"Dia (Salahuddin) berasal dari Tanjung Piai dan dia seharusnya balik ke Johor. Beliau akan membantu mengetuai Pas dalam PRU13 dan PKR Negeri mengalu-alukan kepulangannya ke sini.

"Kita belum bincang siapa menjadi Menteri Besar, biar kita menang dulu baru boleh bercakap mengenai siapa jadi Menteri Besar. Saya percaya kehadiran beliau bertanding di negeri ini menyumbang kepada kemenangan PR di negeri ini.

"Beliau merupakan calon yang progresif Pas dan diterima semua kaum. Beliau adalah calon muka baru bagi Johor dan akan membantu PR menang di sini," katanya.

Turut hadir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Ong Kaw Meng bersama hampir seribu orang awam yang turut serta ke majlis rumah terbuka yang diadakan dari jam 11 pagi hingga 2 petang itu.

Dalam pada itu, Jui Meng juga tidak menolak kemungkinan PKR akan mengikut jejak langkah Pas untuk menurunkan calon dari Pusat bagi bertanding di kerusi di negeri ini.

Tiada ulasan: