Selasa, 28 Februari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pasangan Pelajar Asing Lakukan Seks Dalam Kereta Di Kota Damansara

Posted: 28 Feb 2012 01:00 AM PST

Aksi terlampau tepi surau

Kota Damansara - Tindakan sepasang pelajar asing membuat hubungan seks di dalam kereta di tepi sebuah surau di Seksyen 6, kelmarin mengundang kemarahan penduduk setempat.

Perbuatan tidak senonoh pasangan warga Afrika disedari oleh seorang ahli jawatankuasa surau yang kebetulan melalui blok rumah yang menempatkan asrama pelajar sebuah kolej kira-kira jam 10 pagi.

Kelakuan tersebut menyebabkan penduduk berang dan bertindak memancitkan tayar kereta tersebut.

Ahli Jawatankuasa Surau An-Nur Flat Gugusan Seroja, Harun Ali berkata, dia sangsi selepas melihat kereta Myvi berwarna putih di letakkan di parkir blok berkenaan bergoyang.

"Bila saya pergi lihat di tingkap kereta terbabit, saya lihat pasangan warga Afrika sedang melakukan hubungan seks di belakang kereta," katanya. -SH

Lapan Exco Kedah Angkat Sumpah, 2 Exco Lagi Di Majlis Kedua

Posted: 27 Feb 2012 11:09 PM PST

Azizan dan Lapan Exco Angkat Sumpah

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan lapan anggota exco kerajaan negeri pada Selasa mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini. Gambar: NST

Lapan exco itu ialah Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Lim Soo Nee, Abd Ghani Ahmad, Tan Joon Long @ Tan Chow Kang, Datuk Siti Ashah Ghazali dan S. Manikumar, yang masing-masing menerima tawaran pelantikan semula.

Azizan sebelum ini mengumumkan hanya lapan exco akan mengangkat sumpah jawatan bagi sesi 2012 walaupun lazimnya exco kerajaan negeri dibarisi 10 anggota.

Dua exco sedia ada yang tidak termasuk dalam senarai mengangkat sumpah sumpah hari ini ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr. Ismail Salleh.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah tiga lagi anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Kedah merupakan satu-satunya negeri dengan jawatan pengerusi jawatankuasa peringkat negeri (exco) perlu diperbaharui setiap tahun.

Sebelum ini, Phahrolrazi dan Dr. Ismail telah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan mereka dilantik semula ke jawatan itu. — BERNAMA


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (lima dari kiri) bersalaman dengan Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul sambil di perhatikan tujuh lagi Exco baru selepas majlis mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini. - Foto Syaharim Abidin


8 Exco selamat angkat sumpah

ALOR SETAR, 28 Feb: Lapan orang Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari ini di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah. Gambar: Bernama

Dua lagi exco dijangka akan mengangkat sumpah jawatan mereka selepas ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Kedah apabila Tuanku Sultan Kedah kini menjadi Yang Dipertuan Agung.

Azizan dalam sidang media sebelum ini berkata, hanya lapan Exco akan mengangkat sumpah jawatan hari ini manakala dua lagi dijangka mengangkat sumpah jawatan dalam majlis kedua, memandangkan tempoh lantikan bagi penggal 2011 hanya akan berakhir 7 Mac ini.

Azizan berkata, beliau sedia melantik semula semua exco Kedah yang ada sebagaimana yang diarahkan oleh PAS Pusat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya semalam memaklumkan, Presiden PAS telah mengarahkan agar kesemua 10 Exco Kedah dipilih dan dilantik semula.

Lapan yang mengangkat sumpah jawatan hari ini ialah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Agama, Pelajaran dan Koperasi), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan).

Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib (Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan), Datuk Siti Ashah Ghazali (Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat) dan Abd Ghani Ahmad (Penerangan dan Pembangunan Usahawan).

Tiga Exco dari PKR, Datuk S Manikumar (Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam), Lim Soo Nee (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia) dan Tan Chow Kang (Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan).
-HD




Ulasan GB

Seperti yang GB ulas sebelum ini, segala rancangan musuh PAS untuk menghuru-harakan kerajaan PR Kedah akan menemui kegagalan.

Sebaliknya merekalah yang ditimpa kehinaan.

Sebagai sebuah parti Islam, insyaAllah PAS akan dijaga oleh Allah s.w.t. sendiri. Jemaah PAS akan semakin kuat apabila ia diuji dan difitnah dan apabila ia dibersihkan dari parasit-parasit seperti Hassan Ali dan seumpamanya.

Kepada dua orang exco yang (jika benar) telah berjaya diperguna dan diperalatkan musuh PAS itu, ambillah iktibar, kembalikah ke "jalan yang benar" dan masukkan semula diri tuan-tuan ke dalam saf dengan merendah diri dan tawadhu'.

Wanita Kes Dr.Badrulamin - Beliau Berkata: 'Fitnah, Saya Tak Khalwat'

Posted: 27 Feb 2012 10:10 PM PST

Rompin - Media digemparkan dengan berita anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrolamin Bahron ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Kuantan, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam Sinar Harian semalam, Badrolamin menafikan laporan tersebut dan menegaskan, beliau hanya mahu membantu seorang wanita yang berhadapan dengan masalah keluarga.

Sinar Harian berjaya menjejak wanita didakwa berkhalwat dengan Badrolamin itu. Apa sebenarnya kisah di sebalik kejadian?

Walau enggan namanya disiarkan, namun wanita itu tidak keberatan berkongsi cerita dan menerangkan kedudukan sebenar kepada pembaca Sinar Harian khasnya. Ikuti pengakuan eksklusif daripada beliau.

"Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!

"Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrolamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!

"Saya berada di luar bilik hotel. Bukan bersama ustaz dalam sebuah bilik seperti dakwaan.

"Namun kerana tindakan khianat itu, ustaz kena kurung dan dibelasah dalam biliknya.

"Saya pergi menemui ustaz Badrolamin atas tujuan mahu melarikan diri daripada suami, bersama anak saya yang berusia dua tahun. Saya bimbang keselamatan kami terancam.

"Saya sudah puas berusaha dan tidak mampu lagi menanggung segala bebanan ini.


"Saya memang kenal rapat ustaz dan isterinya sejak mengikuti rombongan umrah pada 1 Mei tahun lalu dan kami sering berhubung antara satu sama lain.

"Ustaz pun ada datang ke sini (Rompin) dan saya juga mengenali rapat isteri beliau. Malah isterinya juga menasihatkan saya supaya bersabar menghadapi kes fitnah ini.

"Saya juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menuding jari tanpa beri kami peluang untuk bela diri, sedangkan kes ini belum diputuskan di mahkamah.

"Tambah kesal kerana ada pihak menabur fitnah dengan meletakkan gambar palsu dan wajah yang tersebar di Internet bukan saya," katanya.

Kakitangan di Kolej Komuniti Rompin berusia 28 tahun itu ke mahkamah semalam, bagi sebutan kesnya di hadapan Hakim Syarie, Abu Kasim Pilus, kira-kira jam 11.15 pagi, sebelum keluar semula kira-kira 10 minit selepas memberi keterangan.

Beliau hadir seorang diri di Mahkamah Rendah Syariah Rompin pada jam 9 pagi semalam. Beliau ke sana bagi proses tuntutan penceraian terhadap suaminya.

"Saya nekad mengemukakan tuntutan cerai memandangkan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga gagal.

"Itulah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan dan masa depan saya serta anak terbela," katanya.

Ketika ditanya adakah punca dia menuntut cerai disebabkan sikap suaminya, wanita itu enggan mengulas dan mahu isu berkenaan diselesaikan di mahkamah nanti. -SH

[Video] Filem Iran, A Separation Kalahkan Filem Israel Untuk Anugerah Oscar 2012

Posted: 27 Feb 2012 07:30 PM PST

Teheran - Televisyen milik pemerintah Iran mengisytiharkan kemenangan pertama ke atas Israel semalam apabila filem A Separation arahan pengarah negara ini memenangi kategori filem berbahasa asing terbaik pada Anugerah Academy yang turut dikenali sebagai Oscar Kali Ke-84 di Los Angeles, Amerika Syarikat kelmarin.

DUA orang penduduk Yahudi menunggu untuk menonton filem A Separation di sebuah pawagam di Baitulmuqaddis kelmarin.

Filem itu yang dibintangi oleh aktres Iran, Leila Hatami mengalahkan filem Footnote dari Israel yang merupakan musuh ketat Iran.

Ia diarahkan oleh Asghar Farhadi yang mengisahkan satu pasangan yang berkahwin dan berdepan dengan dilema sama ada untuk meninggalkan Iran demi keluarga mereka.

Israel dan AS tidak menolak kemungkinan akan melakukan serangan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear Iran.

Kedua-dua negara itu mendakwa kemudahan nuklear itu dibina dengan tujuan untuk membangunkan teknologi senjata.

Kejayaan filem itu turut dikongsi penduduk Iran.

"Saya bangun awal untuk menonton Oscar dan saya berasa gembira bahawa kami menang.

"Saya berharap terdapat lebih banyak kebebasan untuk pengarah Iran menyuarakan idea bijak mereka," kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Sara. - Agensi

Berikut adalah senarai penuh penerima Oscar 2012:

Filem Terbaik

The Artist

Pengarah Terbaik

The Artist, Michel Hazanavicius

Pelakon Lelaki Terbaik

Jean Dujardin, The Artist

Pelakon Wanita Terbaik

Meryl Streep, The Iron Lady

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

Christopher Plummer, Beginners

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

Octavia Spencer, The Help

Filem Cereka Animasi Terbaik

Rango, Gore Verbinski

Pengarahan Seni Terbaik

Hugo, Dante Ferretti (Rekaan Produksi) dan Francesca Lo Schiavo (Dekorasi Set)

Sinematografi Terbaik

Hugo, Robert Richardson

Rekaan Kostum Terbaik

The Artist, Mark Bridges

Suntingan Terbaik

The Girl with the Dragon Tattoo, Kirk Baxter dan Angus Wall

Filem Bahasa Asing Terbaik

A Separation, pengarah Asghar Farhadi (Iran)

Solekan Terbaik

The Iron Lady, Mark Coulier dan J. Roy Helland

Suntingan Bunyi Terbaik

Hugo, Philip Stockton dan Eugene Gearty

Adunan Bunyi Terbaik

Hugo, Tom Fleischman dan John Midgley

Dokumentari - Cereka

Undefeated, TJ Martin, Dan Lindsay dan Rich Middlemas

Dokumentari - Pendek

Saving Face, Daniel Junge dan Sharmeen Obaid-Chinoy

Kesan Visual Terbaik

Hugo, Rob Legato, Joss Williams, Ben Grossman dan Alex Henning

Muzik (Skor Asal Terbaik)

The Artist, Ludovic Bource

Muzik (Lagu Asal Terbaik)

Man or Muppet, muzik dan lirik Bret McKenzie, The Muppets

Filem Pendek (Animasi) Terbaik

The Fantastic Flying Books of Mr. Morris Lessmore, William Joyce dan Brandon Oldenburg

Filem Pendek (Aksi Langsung) Terbaik

The Shore, Terry George dan Oorlagh George

Penulisan (Lakon Layar Adaptasi) Terbaik

The Descendants, oleh Alexander Payne dan Nat Faxon & Jim Rash

Penulisan (Lakon Layar Asal) Terbaik

Midnight in Paris, oleh Woody Allen






Ulasan GB

Satu pengajaran terutama untuk pengusaha filem tempatan.

Filem dari negara Iran itu, A Separation, tidak perlukan adegan-adegan seks dan lucah, tidak perlukan unsur tahyul dan khurafat, tidak perlukan artis-artis memakai pakaian dedah sana dedah sini, tetapi masih mampu memenangi Anugerah Oscar Antarabangsa.

Filem Malaysia?

Himpunan Hijau 3.0 Tetap Diadakan Sebagai Respons Kepada Keangkuhan Najib

Posted: 27 Feb 2012 05:40 PM PST

Himpunan Hijau 3.0 protes Lynas sah diadakan

SHAH ALAM - Penganjur Himpunan Hijau 2.0, yang membantah projek nadir bumi Lynas, menegaskan pihaknya sudah memutuskan untuk mengadakan perhimpunan susulan ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengatakan bahawa operasi loji itu akan diteruskan.

"Akhirnya, kami menerima respons pertama daripada Perdana Menteri kita. Kami rasa bersemangat (dengan kenyataan beliau), tetapi malangnya, jawapan itu tidak seperti yang kami telah harapkan.

"Oleh itu, kami mengesahkan bahawa Himpunan Hijau 3.0 akan diteruskan,"
kata Pengerusi Himpunan Hujan 2.0, Wong Tack dalam satu kenyataan hari ini.

Himpunan Hijau 2.0 telah diadakan di padang MPK4, Kuantan semalam.

Dalam reaksi semalam, Najib berkata kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat.

Perdana Menteri berkata, kebimbangan rakyat daripada segi psikologi bahawa projek tersebut akan membawa kesan buruk juga diambil kira oleh kerajaan.

Katanya, kerajaan juga mengenakan syarat yang cukup ketat untuk operator Lynas termasuk syarat di mana sisa-sisa dari kilang tersebut perlu dilupuskan di tempat yang jauh dari penempatan masyarakat.

"Dan kita tidak akan beri 'lesen operasi' melainkan kita berpuas hati bahawa masyarakat tempatan boleh menerima bahawa projek ini selamat dari segi kepentingan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata pembangkang sengaja mengunakan isu sedemikian untuk menyerang kerajaan dan mendapatkan sokongan rakyat.

Semalam, penganjur memberi 24 jam kepada kerajaan pusat dan negeri akan mengambil pendirian membatalkan projek tersebut- SH

Protes hijau kuning pula dirancang selepas ini

Sehari selepas Himpunan Hijau 2.0, jawatankuasa penganjur mengumumkan bahawa satu lagi perhimpunan yang digelar 'Himpunan Hijau 3.0' akan diadakan kerana kegagalan kerajaan menutup loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Himpunan Hijau 2.0 Wong Tack berkata Himpunan Hijau 3.0 tidak dapat dielakkan dan mereka sedang mempertimbangkan untuk bergabung dengan BERSIH 2.0 untuk mengadakan protes "hijau kuning".

Katanya, pihak mereka juga tidak puas hati dengan kenyataan oleh Datuk Seri Najib Razak yang berkata, kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi itu dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat.

Dengan kehadiran ribuan peserta Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan, Wong semalam memberi Najib 24 jam bagi menutup loji pemprosesan sisa radioaktif itu.

"Kami memberi tempoh kepada kerajaan 24 jam untuk menutup loji berkenaan, jika tidak kami akan menganjurkan demonstrasi yang lebih besar.

"Tutup kilang Lynas, atau kami akan tumbangkan kerajaan, kamu buat keputusan," katanya sambil menggesa kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Mengulas bantahan hampir 15,000 rakyat itu, Najib semalam berkata, kebimbangan rakyat daripada segi psikologi bahawa projek tersebut akan membawa kesan buruk juga diambil kira oleh kerajaan.

Tetapi setelah fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat, katanya, kerajaan mengeluarkan lesen operasi kepada Lynas dengan mengenakan syarat yang cukup ketat.

Antaranya, sisa-sisa dari kilang tersebut perlu dilupuskan di tempat yang jauh dari penempatan masyarakat.
-mk



[Bergambar & Video] GERAKAN Pun Malu & Jijik Dengan Politik Samseng UMNO Di Pulau Pinang

Posted: 27 Feb 2012 03:37 PM PST

Seorang pemimpin gerakan Pulau Pinang hari ini membuat kecaman ke atas tindakan politk samseng Umno pada hari protes Anti-Lynas di Himpunan Hijau di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade semalam.

Ketua Biro Undang-undang & Hak Asasi Manusia Gerakan Pulau Pinang, Baljit Singh memberi amaran kepada UMNO supaya menghentikan cara berpolitik sedemikian, lapor FreeMalaysiaToday.

Jika tidak, menurutnya Barisan Nasional perlu mengucapkan selamat tinggal kepada Putrajaya di dalam pilihanraya akan datang.

Baljit menambah aksi keganasan yang dicetuskan oleh samseng-samseng UMNO tersebut amat memalukan dan memberi impak buruk bukan saja kepada UMNO tetapi juga kepada parti-parti komponen BN yang lain.

"Rakyat Pulau Pinang benci kepada para samseng ini. Anggota komponen BN yang lain rasa bersalah bersekongkol dengan Umno selama ini. Rakyat mempersoalkan integriti dan maruah parti-parti selain UMNO di dalam BN," katanya hari ini.

Baljit berkata lebih banyak Umno melakukan perkara sedemikian, lebih teruk BN akan kehilangan undi dari rakyat Pulau Pinang dan lain-lainnya.


Beliau mengingatkan Umno bahawa BN telah kehilangan banyak sokongan pada 2008 akibat dari kebencian rakyat terhadap keangkuhan dan kesombongan Umno.

Beliau menambah parti komponen BN menerima kesan buruk begitu dasyat akibat bersekongkol dengan Umno dan berkata Umno mesti sedar bahawa mereka adalah sebahagian dari BN, dan mereka bukan ketua feudal.

"Jika UMNO tidak boleh bekerja sebagai anggota di dalam kumpulan BN, mereka patut tahu apa yang perlu mereka lakukan," kata Baljit.

'Kenapa Di tempat dan masa yang sama?'

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin telah mengakui bahawa samseng yang terlibat adalah ahli mereka dari UMNO bahagian Tanjung.

Bagaimanapun, beliau cuba mendakwa penyokong anti-Lynas yang memprovokasi ahli pemuda UMNO berkenaan.

Namun bagu Baljit, yang ada memerhati demonstrasi berkenaan, mempersoalkan tujuan Pemuda UMNO tersebut menganjurkan demonstrasi pro-Lynas pada tempat dan masa yang sama.

"Mengapa mereka tidak boleh mengadakan demonstrasi itu di hujung minggu ini? Kenapa mereka perlu lakukan pada hari yang sama? Tidakkah Umno boleh menghormati demokrasi?" soalnya.

Semasa Himpunan Hijau di Sudut Pidato, Padang Kota semalam, ia dicemari apabila kira-kira 50 orang, termasuk pemimpin tempatan dari Pemuda Umno dan kumpulan pendesak Melayu, PERKASA mengganggu acara yang dijalankan itu.

Ketika acara itu dimulakan pada jam 6 petang, kumpulan itu mula menjerit kepada orang ramai yang berhimpun secara aman itu

Kumpulan berkenaan terus mencaci Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan melemparkan kata-kata kesat ke atas setiausaha agung DAP itu. Para hadirin kemudian bertindak dengan mem-boo mereka.

Berikutan itu, Lim mula meninggalkan pentas dan menyertai orang ramai tetapi kumpulan itu mula mengasak para hadirin sehingga mengakibatkan berlakunya pertengkaran.

Menurut orang saksi, seorang wartawan dan seorang jurugambar sebuah akhbar berbahasa Cina cedera didakwa dipukul dengan topi keledar.

Mereka dikenal-pasti sebagai wartawan dan jurugambar akhbar Kwong Wah Jit Poh iaitu Andrew Chew, 29, dan Lee Hong Chun, 25, masing-masing cedera di bahagian badan dan kepala.

NUJ bidas serangan, mahu polis bertindak

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini mahu polis bertindak tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab mencederakan dua wartawan yang membuat liputan perhimpunan solidariti bagi menyokong Himpuan Hijau 2.0 di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade, Pulau Pinang, semalam.

"NUJ mengutuk kumpulan yang dipercayai didalangi penyokong PERKASA dan Umno kerana menyerang dua ahli media yang bertugas meliputi perhimpunan solidariti di Pulau Pinang, petang semalam," kata presiden NUJ Chin Sung Chew.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Chin berkata tidak ada sebarang alasan bagi mereka menyerang wartawan.

"Para wartawan hanya ditugaskan untuk membuat liputan acara berkenaan dan saya pasti orang ramai, termasuk kumpulan itu dapat mengenal pasti anggota media yang bertugas," katanya.

Pada kejadian semalam, wartawan Kwong Wah Yit Poh Adam Chew dan Lee Hong Chun diserang selepas pertengkaran yang tercetus pada perhimpunan itu.

Akibat kecederaan yang dialaminya, Chew terpaksa memerlukan lapan jahitan, manakala Lee hanya luka dan lebam di kepalanya

Menurut Chin, NUJ membidas keganasan yang disasarkan terhadap wartawan yang menjalankan tugas mereka. NUJ juga menasihati ahli-ahli media untuk berhati-hati pada masa akan datang.

"NUJ akan memantau kes ini dengan teliti kerana kita tidak mahu ia menjadi satu trend di mana petugas media diserang semasa menjalankan tugas," katanya.

Semua Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di seluruh negara bagi membantah keputusan kerajaan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Advanced Material Plant (Lamp) beroperasi di Gebeng, Pahang semalam berjalan lancar kecuali di Pulau Pinang.

Malah acara utama di Kuantan, Pahang, menyaksikan kira-kira 15,000 orang ramai berhimpun membantah loji pemprosesan itu kerana bimbang berlakunya pencemaran radioaktif.

Pemuda PKR dukacita dengan polis

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Lee Khai Loon berkata, pihaknya dukacita dengan tindakan polis yang didakwa lewat mengawal keadaan dan menuduh penganjur tidak memaklumkan kepada mereka lebih awal.

Lee (kiri) alam kenyataannya hari ini juga mendakwa, gambar yang direkodkan menunjukkan kemunculan seorang pemimpin kanan Umno bahagian Bukit Gelugor bersama "samseng" yang membuat kecoh dan provokasi.

"Oleh itu, AMK menyeru agar polis mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang memukul dan mencederakan wartawan dan orang awam.

"Polis perlu bersikap neutral serta profesional dalam menyiasat insiden tersebut agar mengembalikan kewibawaan polis," katanya.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bayan Baru pula berkata, tindakan pihak yang didakwa "samseng-samseng Umno" dianggap sebagai tindakan "fasis" yang menggunakan ketegangan untuk mempertahankan kepentingan pemerintah.

"Keganasan berbentuk fasis sebegini hanya membuktikan bahawa Umno adalah panghalang utama dalam perkembangan demokrasi di bumi Malaysia," kata Pengerusi PSM Bayan Baru Choo Chon Kai dalam kenyatannya hari ini.
-mk











Gambar Terbaru Dr Badrulamin Bersama Isteri Tiba Di JAIP Beri Keterangan

Posted: 27 Feb 2012 07:39 AM PST

Badrulamin disiasat Jaip hampir 3 jam

KUANTAN - Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Badrulamin Bahron yang kini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berkata, beliau akan "berehat" dari menjalankan semua tugas dan tanggungjawab parti dan kerajaan supaya perkembangan semasa tidak memudaratkan jamaah, lapor Sinar Harian. Gambar dari Bernama/mstar.

"Saya akan berehat dulu daripada semua jawatan parti dan kerajaan," kata beliau ketika ditemui di pekarangan pejabat Jaip di sini petang.

Beliau yang sekali lagi menafikan laporan media bahawa ditahan Jaip berhubung isu berkhalwat tiba di pejabat agensi agama itu kira-kira 2.40 petang dan meninggalkan premis tiga jam kemudian.

Dengan ditemani isteri dan tiga peguamnya, Badrolamin tiba di pekarangan Jaip kira-kira jam 2.40 petang tadi.

Dalam pada itu, pasangannya pula tiba jam 3.05 petang dengan ditemani dua orang.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas tidak masuk mencampuri isu Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrolamin Bahron, yang ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) di Kuantan, kelmarin.

Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, Pas menyerahkan sepenuhnya kepada PKR untuk menyelesaikan perkara itu.

"Biarlah PKR yang selesaikan. Pas tak mahu masuk campur.

"Siasatan pun masih dijalankan, lebih baik mereka (PKR) selesai sendiri," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di ibu pejabat Pas Pusat hari ini.

Badrolamin, yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, petang ini hadir di pejabat Jaip untuk membantu siasatan.

Kerajaan Selangor pula tidak akan terlibat dalam isu khalwat yang mempunyai kaitan dengan ketua penerangannya, Datuk Dr Badrulamin Bahron.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia terpulang kepada pihak berkuasa agama di Kuantan untuk menyelesaikan perkara itu.

"Kami tidak akan terlibat dalam perkara ini dan tidak mahu sebarang penjelasan daripada Dr Badrulamin," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Sekolah Monfort Boys Town di sini, Isnin.

Semalam Dr Badrulamin Bahron telah dinasihat mengambil cuti selama sebulan sehingga beliau dibersihkan dari tuduhan dikatakan berkhalwat pada Sabtu lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar, kerajaan negeri telah menerima penjelasan Dr Badrulamin berhubung kejadian itu.

Khalwat: Badrulamin Dakwa Didalangi Umno

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrulamin Bahron mendakwa insiden beliau ditangkap khalwat dengan seorang wanita bersuami pada Sabtu lalu merupakan perangkap terancang yang didalangi Umno.

Malah menurut beliau, suami wanita berkenaan yang dikenali sebagai Faizal turut terlibat dalam usaha menganiaya dan menghancurkan karier politiknya.

"Faizal yang merupakan suami kepada wanita berkenaan dipercayai terlibat dalam rancangan untuk memerangkap saya.

"Malah saya diberitahu oleh bapa wanita itu bahawa seorang pemimpin Umno menghubungi dia bagi mendapatkan nombor telefon bimbit Faizal. Jadi saya percaya semua ini ada pertalian dan hubung kait bagi memerangkap saya,"
katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Pada Ahad Badrulamin tampil menafikan bahawa beliau ditangkap khalwat bersama seorang wanita berstatus isteri orang oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) pada awal pagi Sabtu di sebuah hotel di Balok..

Malah Badrulamin mendakwa kejadian berkenaan merupakan tindakan terancang pihak tertentu untuk memerangkap dan mengaibkan beliau.

Dalam pada itu ditanya kemungkinan peragkap yang dimaksudnya itu didalangi oleh ahli PKR dan penyokong pembangkang sendiri, Badrulamin menolak perkara berkenaan.

"Saya tak fikir rakan-rakan saya terlibat. Saya yakin dalam perjuangan kami bersama, mereka tidak akan khinati saya," katanya.

Pada pukul 3 petang ini Badrulamin akan hadir ke pejabat Jaip ditemani peguamnya, Ahmad Nizam Hamid bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
-mstar


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




[WASPADA] Tragedi Menyamai Adik Nurin Jazlin Berlaku Lagi

Posted: 27 Feb 2012 05:03 AM PST

Bapa dakwa anak cuba diculik

TIKAM BATU – Satu percubaan kes culik dilaporkan menggunakan taktik sama ala arwah Nurin Jazlin pada 2007 di Seksyen 1, Wangsa Maju yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu dikatakan berlaku semula dua minggu lalu.

Bapa mangsa, yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 37, berkata, peristiwa yang berlaku kepada anaknya mengimbau kembali kisah tragis lima tahun lalu.

Menceritakan kejadian itu, Ahmad berkata, selepas pulang dari sekolah, anak lelaki sulungnya yang juga merupakan murid tahun dua sebuah sekolah terus tidur tanpa menceritakan kejadian kemungkinan masih trauma sehinggalah pada sebelah malam.

"Anak menceritakan kepada saya dia didatangi seorang wanita berusia 30-an mengumpan RM5 kepadanya ketika bersama kawan-kawan sedang menunggu kenderaan untuk pulang dari sekolah," katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad berkata, pada mulanya anaknya sulung itu yang sukar menerima pelawaan mana-mana pihak enggan mengikut wanita itu yang memintanya ke van yang terletak di luar pagar sekolah bagi mengambil wang berjumlah RM5 yang dijanjikan.

"Anak saya bertegas tidak mahukan wang itu tetapi tangannya direntap dan ditarik menuju ke van yang sudah sedia menunggu bersama seorang pemandu.

"Bagaimanapun, tindakan wanita menarik anak saya sehingga hampir sampai ke van itu dilihat agak mencurigakan oleh seorang penduduk kampung yang secara kebetulan melalui laluan sama, " katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian mengarahkan wanita berkenaan melepaskan genggaman tangan, tetapi dia mengakui mahu membawa 'anaknya' pulang.

"Dalam masa sama, anak saya pula meronta dan menjerit bahawa wanita itu bukanlah ibu kandung serta tidak mengenalinya," katanya.

Menceritakan kejadian selanjut, anaknya yang berjaya melepaskan genggaman semasa pertengkaran itu terus berlari ke arah rakan sekolah yang masih berada di pekarangan sementara wanita bersama pemandu van terus melarikan diri.

Ahmad berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki ia mungkin percubaan menculik setelah diceritakan anaknya namun sifat keibuan isterinya mula mencurigai sesuatu.

Ahmad yang bimbang dengan kejadian itu terus menyiasat perkara berkenaan dengan menemui pihak sekolah serta membuat laporan polis di balai berdekatan.

Dia bimbang sekiranya kisah culik seperti Nurin Jazlin berulang kembali dan mahukan semua pihak lebih mengetatkan undang-undang demi keselamatan kanak-kanak.

Seperti dilaporkan media, Nurin Jazlin Jazimin, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam berdekatan rumahnya 20 Ogos 2007 selepas saksi terlihat mangsa ditarik menaiki sebuah van berwarna putih.

Bagaimanapun, kehilangannya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah beg yang ditinggalkan di tangga premis kedai, Taman Petaling Utama 27 hari kemudian. -SH

Najib Akui BN Buat Silap Di Selangor, Tetapi "Minta Nyawa" Rakyat Pilih BN Semula

Posted: 27 Feb 2012 03:23 AM PST

Najib akui BN ada buat kesilapan di Selangor

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui kerajaan BN ada membuat sedikit kesilapan pada masa dulu hingga menyebabkan rakyat tidak lagi menyokong mereka.

Namun katanya, BN kini sudah insaf daripada kesilapan sebelum ini dan juga memohon maaf kepada rakyat di Selangor.

"Kita akui mungkin kita ada buat sedikit sebanyak kesilapan pada masa dulu sebab itu rakyat tidak menyokong kita. Tapi kita sudah insaf daripada kesilapan dulu dan kita mohon maaf kepada rakyat Selangor kalau ada apa-apa kesilapan.

"Dan kita berikrar daripada kesilapan itu, atas kesedaran itu, kita akan bangunkan satu kekuatan baru untuk mengubah landskap di Selangor supaya di bawah kepimpinan BN, kita akan menjurus kepada masa depan yang lebih baik lagi," katanya dipetik Bernama pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Selangor di Pelabuhan Kelang, hari ini.

Sehubungan itu, Najib juga dipetik Bernama sebagai berkata Pakatan Rakyat tidak perlu diberi "tempoh lanjutan" untuk terus memerintah Selangor yang menyaksikan banyak janjinya tidak tertunai malah membebankan rakyat dengan pelbagai masalah.

Dakwanya, Selangor selama ini maju kerana dasar-dasar dan prasarana yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini, dan pihak pembangkang tidak boleh mendapatkan pujian terhadap hasil titik peluh BN itu.

"Sudah cukup empat tahun Selangor di bawah pakatan pembangkang, jangan kita bagi tempoh lanjutan sebab kalau bagi tempoh lanjutan nanti susah nak dapat balik. Inilah peluang terbaik untuk mengembalikan bumi Selangor kepada BN," katanya.

Bernama bagaimanapun tidak melaporkan sama ada Najib ada menyatakan kesilapan-kesilapan BN itu dan di bawah Menteri Besar manakah perkara itu berlaku.

Pada ucapan selama setengah jam itu, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor berkata sejak dua minggu lepas, beliau telah turun padang ke Perak, Melaka, Kedah dan hari ini di Selangor, dan mendapati suasana dalam negara kini menjurus menyokong BN pada pilihan raya umum kelak.

Sambil memanggil hadirin yang hadir sebagai 'bala tentera BN Selangor', Najib berkata BN boleh merampas kembali Selangor jika bilangan bala tentera itu lebih ramai, lebih berani, pintar dan nekad serta sanggup bekerja lebih keras daripada pihak lain.

"Semangat dah ada, matlamat sudah dapat dilihat, perancangan sudah ada... semuanya sudah lengkap... ayuh kita turun berjuang habis-habisan," kata Najib.

Menurut beliau, anggota BN perlu akur dengan pucuk pimpinan dalam soal pemilihan calon dan memberi sokongan penuh kepada mereka yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya nanti.

"Jangan sabotaj parti kita sendiri sebab jika kita sabotaj parti, ibarat kita menjaringkan gol sendiri dan bila jaring gol sendiri kita akan kalah dan seterusnya kita akan merana," tegas Perdana Menteri," katanya.

Najib juga mengingatkan calon-calon BN supaya menjaga kepentingan semua kaum dan bukan hanya kaum tertentu kerana ini menjadi asas dalam memastikan kemenangan BN.

Katanya semangat BN menjadi pudar kerana terkena tsunami politik pada pilihan raya umum lalu.

"Tetapi dalam tempoh empat tahun kita telah bina semula jentera BN di Selangor sedikit demi sedikit, semangat kita yang pudar itu, moral kita yang luntur itu hari ini telah bertukar wajah," katanya. -mk

Ulasan GB

Mengaku buat salah, minta maaf, tapi nak harapkan rakyat terus undi BN di Selangor. Kan bingai punya statement.

Rakyat tidak akan memberi peluang kedua lagi kepada yang dah melakukan kesilapan yang selepas melakukan kesilapan berterusan mencari undi dengan menggunakan taktik-taktik yang tidak beretika dan tidak demokratik.

Kerajaan PR Selangor telah membuktikan keupayaan memerintah jauh lebih baik dari BN.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 secara umumnya telah berpuas hati dengan prestasi kewangan yang ditunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Secara keseluruhannya, analisis Audit mendapati kedudukan kewangan Kerajaan Negeri adalah memuaskan," laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang itu dipetik.

Menurutnya, Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri meningkat sejumlah RM266.91 juta (20.2 peratus) kepada RM1,586.88 juta pada 2010.

Perbelanjaan mengurus pula menurun sejumlah RM382.56 juta menjadi RM1,447.26 juta, sekaligus menunjukkan perbelanjaan berhemat yang dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Dalam laporan itu juga dinyatakan kerajaan negeri berjaya mengurangkan tunggakan hasil berjumlah RM99.87 juta kepada RM502.05 juta berbanding tahun sebelumnya.

"Usaha memperkukuhkan ekonomi, menambah hasil dan belanja berhemat tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, sistem penyampaian awam dan sumbangan kepada rakyat dapat membantu mempertingkatkan lagi kedudukan kewangan kerajaan negeri," laporan itu dipetik.


Justeru itu tiada sebab untuk rakyat untuk menggantikan kerajaan Pakatan Rakyat dengan BN di dalam pilihanraya akan datang ini.


Tiada ulasan: