Ahad, 26 Februari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Phahrolrazi Nafi 'Dalangi' Guling MB Kedah

Posted: 26 Feb 2012 12:31 AM PST

Alor Setar - Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi menafikan beliau ada menubuhkan gerakan untuk menentang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Gerakan saya, gerakan Pas sahaja. Spekulasi tersebut tak benar dan dakwaan komplot menjatuhkan MB juga tidak benar," katanya ketika ditemui hari ini.

Phahrolrazi merupakan antara Exco Kedah yang disebut-sebut telah menghantar surat kepada Azizan bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu, yang dijadual diumumkan Selasa ini.

Ketika ini, beliau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Kerja Raya dan Pertanian.

Phahrolrazi dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini, dan beberapa Exco lain juga dijangka berbuat demikian.

Sementara itu, Phahrolrazi yang bercuti sehingga 1 Mac berkata, beliau belum menerima surat jemputan daripada kerajaan negeri untuk menghadiri majlis pelantikan anggota Exco bagi 2012 di Istana Anak Bukit, Selasa ini.

Katanya, beliau tidak kecewa atau kecil hati jika tidak dilantik semula memegang jawatan exco kerajaan negeri bagi 2012.

Phahrolrazi berkata, sebagai ahli Pas, perjuangan beliau bukan dengan niat menjadi Exco, sebaliknya jawatan itu dicadangkan ahli parti tersebut yang mahu beliau bertanding sebagai Exco.

"Mereka suruh saya bertanding, saya bertandinglah. Kalau tidak, saya boleh jadi pekerja biasa dalam parti, dan tak ada niat (untuk pegang jawatan Exco), itu bukan cara perjuangan kita," katanya.

Mengulas spekulasi yang mendakwa namanya tidak disenaraikan dalam pelantikan semula Exco, beliau berkata, tidak mengetahui hal itu dan mahu membiarkan Menteri
Besar sahaja yang membuat kenyataan.

Beliau yang enggan mengulas lebih lanjut berkata ini bagi mengelak berlaku sebarang kekeliruan. - Bernama

PAS yakin isu Kedah selesai dengan ukhuwah, tarbiyah

KUALA LUMPUR, 26 Feb: PAS Pusat penuh keyakinan isu yang dikatakan sedang berlaku di Kedah sekarang ini boleh diselesaikan melalui semangat ukhuwah dan tarbiyah yang sudah sekian lama dibina dalam PAS.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu kenyataannya pagi ini berkata, keyakinan itu diperolehi berdasarkan pertemuan terbaru yang mereka buat bagi membincangkan isu ini malam tadi.

Malam tadi sebahagian besar pimpinan PAS Pusat berkumpul di Pejabat Agung PAS untuk membincangkan isu ini.

Sebelum ini, beberapa siri pertemuan telah diadakan oleh pimpinan utama PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum beliau ke luar negara.

Media melaporkan beberapa exco kerajaan negeri Kedah enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri yang baru apabila mereka mengangkat sumpah 28 Februari ini.

Bagi Salahudin, PAS Pusat berkewajiban untuk memastikan apa yang berlaku di Kedah dapat berjalan dengan baik.

Beberapa siri pertemuan telahpun dan akan terus diadakan dengan semua pihak terlibat dan PAS Pusat yakin dengan pendekatan dialog dan perbincangan akan dapat melahirkan suasana yang harmoni dan mencapai matlamat supaya keadaan hari ini diatasi dengan bijak oleh semua pihak.

"PAS Pusat yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Presiden satu keadaan yang selesa akan dinikmati oleh semua yang memberikan kerjasama ke arah mencapai keputusan yang memastikan semangat ukhuwah dan kesan tarbiyah yang menunjangi perjuangan PAS," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Beliau berharap semua ahli PAS dapat memberikan kerjasama dengan tidak membuat apa-apa kenyataan prasangka yang boleh dimainkan oleh media dalam isu Kedah ini.

"Segala usaha yang sedang dilakukan hari ini akan memastikan keterlibatan semua pihak dan segala pertemuan dan perbincangan diadakan dengan hati yang terbuka," katanya.

Semua pihak juga, katanya, berjanji akan memberikan hasil terbaik untuk sama-sama perteguh kedudukan PAS di Kedah.
-HD


Ulasan GB

Alhamdulillah.

Tamatlah spekulasi yang bukan-bukan mengenai perlantikan exco Kedah.

Seperti yang GB ulas sebelum ini, GB yakin isu di Kedah sengaja digembar-gemburkan oleh media massa tertentu untuk memporak-perandakan kerajaan PR Kedah.

Dan GB yakin dengan pimpinan PAS Kedah yang matang, mereka tidak akan bertindak seperti yang cuba digambarkan oleh media massa arus perdana yang cuba menyamakan perwatakan pemimpin PAS dengan perwatakan pemimpin-pemimpin parti politik lain terutama UMNO. Kita kenal pemimpin PAS Kedah tidak seperti yang ditulis oleh wartawan-wartawan (yang ada pihak menggelar mereka sebagai wartawan pelacur) dari media massa arus perdana.

Ulasan GB sebelum ini:

GB bersama dengan MB Kedah, Ustadz Azizan Abdul Razak.

Perlantikan exco sememangnya prerogatif Menteri Besar. Beliau berhak untuk mengugurkan dan melantik exco. Jadi tidak timbul sebarang isu mengenainya.

Kepada para exco yang namanya terpalit dengan isu ini, GB yakin mereka juga dari kalangan yang matang dan tidak melakukan perkara-perkara seperti dilaporkan oleh akhbar media massa kononnya mereka tidak puas hati dengan Ustadz Azizan. Pemimpin PAS yang sebenar tidak gilakan sebarang jawatan kerana mereka tahu sesuatu jawatan samada di dalam parti atau kerajaan adalah sesuatu taklif bukan tasyrif (bebanan bukan keistimewaan).

Justeru itu GB doakan agar Ustadz Azizan diberikan hidayah dan kekuatan untuk mengatasi apa jua isu yang timbul dan semuga PAS Kedah sentiasa mendapat perlindungan dari Allah s.w.t. dari tindak-tanduk musuh yang sentiasa mengintai peluang untuk memporak-perandakan mereka.


[Video] Mesej Jelas Dari Kuantan: Tumbangkan BN Untuk Batalkan Lynas

Posted: 25 Feb 2012 11:45 PM PST

Pakatan batal Lynas jika kuasai Putrajaya

KUANTAN, 26 Feb: Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan akan membatalkan pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng oleh syarikat Lynas Advanced Material Plant (Lamp) sebaik mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan lebih 20,000 peserta Himpunan Hijau 2.0 di Padang Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4, pagi ini.

"Kami dari Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan, sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, Lynas akan dibatalkan.

"Kami juga memberi jaminan semua tindakan merosakan alam sekitar, menibdas rakyat, merosakkan rakyat...akan kami tentang," tegasnya di atas pentas disambut laungan 'lawan tetap lawan' oleh para hadirin.

Pengumuman itu juga dilihat sebagai kemuncak kepada himpunan yang dihadiri pelbagai kaum hari ini.

Sebagai menyokong kempen Anti Lynas juga, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, satu usul tergempar akan dikemukakan di Dewan Rakyat pada persidangan parlimen Mac ini.

"Pada persidangan parlimen Mac ini, kita juga akan mengemukakan usul tergempar bagi menuntut kerajaan Barisan Nasional membatalkan Lynas," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Isu Lynas, ujarnya bukannya isu perkauman seperti yang sering didakwa Umno, tetapi adalah isu keselamatan rakyat Malaysia berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak pihak kerajaan mendengar suara dan bantahan rakyat berhubung isu itu. -HD

"Tsunami hijau" melanda Kuantan: Batal projek Lynas jika Pakatan berkuasa, janji Anwar

Lebih 10 ribu manusia berbilang kaum berhimpun di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 4 pada pagi ini, dengan nada yang tegas melaungkan "Berambus Lynas!". Di samping itu, Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim berjanji untuk membatalkan projek Lynas, seandainya Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pemerintahan.

Tiada penangkapan berlaku dimaklumkan sehingga perhimpunan bersurai dengan aman pada jam 11.30 pagi. Belasan ribu orang berhimpun di Padang MPK tepat pada jam 9.30 pagi, tadi. Mereka datang dengan kad-kad dan banner yang membawa mesej "Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia", "Kita tidak mahu jadi Bukit Merah Kedua", "Kita bukan tikus putih" dan sebagainya. Polis yang hadir hanya berperanan untuk mengawal lalu lintas di sekitar bandar Kuantan.

Selain itu, Anwar Ibrahim ketika berucap pada kira-kira jam 11.20 pagi, menyatakan pendirian Pakatan Rakyat untuk membatalkan projek kilang pemprosesan nadir bumi Lynas, jikalau mengambil alih kuasa pemerintahan. Malah beliau membidas kerajaan Barisan Nasional tidak memahami hubungan antara manusia dengan alam semula jadi, kerana apa yang mereka nampak hanyalah "wang, wang, wang!"

Dalam ucapan ringkasnya kira-kira lima minit, ahli parlimen Permatang Pauh ini turut berjanji untuk membawa usul tergempar dalam sidang parlimen pada Mac akan datang, untuk membincangkan isu Lynas di Gebeng, Kuantan.

Sebelum ini, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Tan Yew Sing melaungkan "Berambus Lynas!", disahut dengan belasan ribu orang di situ. Turut hadir untuk berucap termasuklah, Pengerusi bersama BERSIH 2.0, Ambiga, wakil orang asli, wakil dari Jawatankuasa menentang penggunaan cyanide dari Bukit Koman, wakil dari penduduk Rawang yang berdepan dengan isu menara elektrik berkuasa tinggi, wakil dari Cameron Highlands yang menentang projek pembinaan incinerator dan lain-lain.

Lebih awal, Sasterawan Negara, A. Samad Said, juga pengerusi bersama BERSIH 2.0, melafazkan puisi beliau pada jam 10 pagi. Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menjadi pengacara untuk aktiviti ini, beberapa kali memimpin rakyat menyanyi lagu "Suara Rakyat", selain laungan slogan "Hancur Lynas".

Anwar Ibrahim tiba pada kira-kira jam 10.30. Selain Anwar, pemimpin Pakatan Rakyat yang turut hadir termasuklah Wan Azizah, Nurul Izzah, Tian Chua, Khalid Ibrahim, Fuziah Salleh dan lain-lain dari PKR; Lim Kit Siang, Tan Seng Ngiaw, Tony Pua, Ronnie Liu, Jenice Lee dan lain-lain dari DAP; Salahuddin Ayub dari PAS. Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan turut hadir untuk menyokong perjuangan Himpunan Hijau 2.0.

Isu Lynas dibangkitkan oleh ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh di parlimen pada November 2008. Bagaimanapun, isu ini tidak mendapat perhatian umum pada ketika itu, sehinggalah ia dilaporkan New York Time pada Mac 2011.

Penduduk tempatan menubuhkan Jawatankuasa Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia, membantah pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng. Jawatankuasa tersebut pernah bertolak ke Australia untuk membantah pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng. Selain itu, perhimpunan pertama telah diadakan pada 9 Oktober 2011, menarik kehadiran kira-kira 4,000 orang.

Meskipun dibantah keras penduduk tempatan, namun AELB (Atomic Energy Licensing Board) tetap meluluskan permit sementara untuk Lynas beroperasi, pada 1 Februari 2012.
-MR


K'jaan diberi 24 jam tutup Lynas atau hadapi Hijau 3.0

Kerajaan hari ini diberi tempoh 24 jam bagi menutup loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng atau menghadapi Himpunan Hijau 3.0.

Dengan kehadiran ribuan peserta Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan pagi ini, pengerusi jawatakuasa pemandu Wong Tack menjanjikan jumlah yang lebih ramai jika kerajaan sekarang terus berdegil tidak memperdulikan bantahan dan rayuan rakyat itu.

"Kami memberi tempoh kepada kerajaan 24 jam untuk menutup loji berkenaan, jika tidak kami akan menganjurkan demonstrasi yang lebih besar.

"Tutup kilang Lynas, atau kami akan tumbangkan kerajaan, kamu buat keputusan," katanya sambil menggesa kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan sebelum pilihan raya umum akan datang.
-mk







Laporan bergambar sebelum ini
klik untuk baca




[Bergambar] BN Boleh Tumbang: Lebih 10 Ribu Hadir Di HH 2.0 Anti-Lynas [updated]

Posted: 25 Feb 2012 09:31 PM PST

Himpunan Hijau 2.0 yang dijadualkan di padang MPK4 bidang sepanjang Jalan Tanah Putih menunju ke bandar Kuantan akan bermula pada jam 10 pagi ini.

Perhimpunan itu sebagai membantah tindakan Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng yang mahu membina sebuah loji pemprosesan nadir bumi yang berharga RM700 juta. Syarikat berkenaan awal bulan ini mendapat lesen operasi sementara dan kelulusan daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk memulakan operasi mereka.

Penganjur perhimpunan itu malam tadi, membuat pengumuman mengejutkan pada tengah malam tadi di Facebook dengan mengumumkan bahawa mereka akan berkumpul di padang MPK1 di sepanjang Jalan Mahkota pada jam 9.30 pagi.

Menurut mereka, tindakan berkumpul di padang itu yang terletak kira-kira 1.8km dari padang MPK4 bertujuan "mengelakkan kesesakan lalu lintas".

Dari padang MPK1 mereka akan berarak ke padang MPK4. Padang MPK1 sebelum ini menjadi pilihan penganjur, namun secara tiba-tiba pada Khamis lalu, pihak berkuasa tempatan -
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) - mula mendirikan pagar dengan alasan untuk "kerja-kerja menaik taraf".

Namun setelah berunding dengan polis pada Jumaat lalu, akhirnya pihak berkuasa bersetuju membenarkan perhimpunan diteruskan dan padang MPK4 diberikan kepada orang ramai yang mahu membuat bantahan itu.

LAPORAN LANGSUNG



12:00pm Orang ramai mula bersurai. Dua buah helikopter yang sebelum ini berlegar-legar di ruang udara memantau keadaan juga mula meninggalkan kedudukan mereka.

11:50am Penganjur mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai berjaya dan selaras dengan janji mereka kepada pihak berkuasa untuk menamatkan perhimpunan mereka menjelang tengahari, orang ramai diminta bersurai dengan aman.

11.27am Anwar berucap, jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, mereka akan menutupkan operasi Lynas.

"Kalau kita di Putrajaya, kita akan batalkan Lynas," tegas Anwar.

Menurutnya, gabungan itu tidak akan mempertahankan perkara yang menindas rakyat dan merosakkan alam sekitar.

"Pakatan memberi sokongan kepada kumpulan Anti-Lynas, kita minta semua kaum bersatu kerana ia isu Malaysia.

"Saya nak sampaikan mesej, kepada rakyat dan kerajaan Australia perlu bertanggungjawab dengan keselamatan rakyat Malaysia.

"Kami tidak mahu mengorbankan masa depan kami dengan projek ini," tegas ketua pembangkang itu sambil melaungkan reformasi dan Hidup Rakyat.

Beliau juga menempelak pemimpin yang didakwanya korup dan tidak menghormati kehendak rakyat.

"Mereka hanya faham duit, duit, duit," kata sambil melaungkan tolak rasuah dan bangkit rakyat. Hadirin kemudiannya menyambut laungan itu.

11.20am: Langit mulai gelap, awam hitam mula kelihatan. Peserta yang membawa anggota keluarga dilihat mula memasuki restoran bagi menghadapi kemungkinan hujan turun.

11.11am: Penganjur membacakan tiga resolusi:

1) Membatalkan projek nadir bumi.
2) membatalkan atau mengkaji semula semua projek yang merugikan rakyat Malaysia.
3) Pastikan bahawa semua projek-projek pembangunan adalah selaras dengan Piagam Bumi.

11.04am: Presiden Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur meminta orang ramai turut mengambil kira nasib Jalan Sultan di ibu negara yang menurutnya akan menjadi korban pembangunan untuk projek MRT.

"Jalan Sultan untuk semua rakyat Malaysia," kata pengerusi bersama jawatankuasa selamatkan Jalan Sultan.

1050am: Seorang wakil NGO Anti-Lynas berucap dan berkata rakyat kini sedang menunggu MB Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang mahu bersama-sama dalam perhimpunan itu.

"Dia kata, dia akan bersama dengan kita," katanya.

Menurutnya perhimpunan hari ini membuktikan rakyat Malaysia boleh mengadakan perhimpunan dengan aman tanpa provokasi.

Selain itu beliau menyeru semua pihak bertanggungjawab mendengar rungutan rakyat dan menjawab apa yang diingini.

"Kita mahu kerajaan yang mendengar kata rakyat," katanya sambil melaungkan Hancur Lynas dan Bangkit Rakyat

1050am: Seorang wakil NGO Anti-Lynas berucap dan berkata rakyat kini sedang menunggu MB Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang mahu bersama-sama dalam perhimpunan itu.

"Dia kata, dia akan bersama dengan kita," katanya.

Menurutnya perhimpunan hari ini membuktikan rakyat Malaysia boleh mengadakan perhimpunan dengan aman tanpa provokasi.
Selain itu beliau menyeru semua pihak bertanggungjawab mendengar rungutan rakyat dan menjawab apa yang diingini.

"Kita mahu kerajaan yang mendengar kata rakyat," katanya sambil melaungkan Hancur Lynas dan Bangkit Rakyat

1157am: Pengerusi BERSIH S Ambiga berucap menyatakan sokongan BERSIH kepada penduduk Kuantan.

"Hari ini, warna kuning berdiri bersama-sama warna hijau," katanya.

Menyentuh isu Lynas, Ambiga berkata keputusan menerima projek nadir bumi itu dibuat oleh orang yang berada jauh darpada Gebeng, tempat ia akan dibina.

Beliau meggesa orang ramai menolak calon pilihan raya yang menyokong projek itu.

10.57am: Di Kuantan, sistem audio bertambah baik di MPK4 membolehkan orang ramai mendengar ucapan yang diberikan. Yang tidak dapat mendengar, mereka terus berpesta, antaranya dengan menyanyi.

10.55am: Di Kuala Lumpur, perhimpunan sama berlangsung di Maju Junction dengan kehadiran kira-kira 500 orang.

10.40am: Aktivis alam sekitar mula merucap kepada peserta, termasuk aktivis anti-insinerator dari Cameron Highlands dan kumpulan penentang pembinaan tiang kabel elektrik berkuasa tinggi di Rawang.

10.40am Anwar Ibrahim sampai bersama-sama, Wan Azizah, Nurul Izzah dan Shamsul Iskandar di Pdg MPK 4.

10.30am: Semakan pada laman web Lynas Corporation mendapati ia telah digodam.

Penggodam yang menamakan dirinya HackerXL menggantikan laman itu dengan satu lagi laman bertajuk "Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia. Jangan jahanamkan negara saya".

10.20am: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang tiba dan beliau diberi tepukan gemuruh oleh hadirin.

10.17am: Kumpulan alam sekitar lain juga menggunakan Himpunan Hijau 2.0 sebagai gelanggang menyatakan bantahan mereka.

Antaranya aktivis dari Bukit Koman, Raub menceritakan kepada orang ramai berhubung perjuangan mereka terhadap aktiviti perlombongan emas yang menggunakan bahan kimia beracun cyanide.

Mereka berharap pihak berkuasa akan sedar bahawa nyawa lebih penting daripada keuntungan dan wang, semata-mata.

"Kita tidak janya mahu 1Malaysia, kita juga mahukan 1Malaysia yang sihat," kata seorang wakilnya sambil diberikan tepukan gemuruh.

10.15am: Beberapa pemimpin NGO dan Pakatan Rakyat pula dibawa ke pentas. Antara mereka adalah ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh, yang dikenali antara pemimpin paling lantang menentang Lynas.

Jumlah hadirin di padang MPK4 semakin ramai dan dianggarkan tidak kurang 10,000 sedang berkumpul.

10:05am Gililiran Sasterawan Negara Datuk Samad Said atau lebih popular dengan panggilan Pak Samad untuk berucap.

Soalnya kepada hadirin "adakah kita mahu meninggalkan (loji) ini kepada anak cucu kita". Peserta perhimpunan terus menjwab "tidak!".

"Jadi apa patut kita lakukan?" soalnya dan hadirin sebulat suara menjerit: "Hancurkan Lynas".

Pak Samad kemudian menggesa rakyat bangkit mempertahankan alam sekitar ini daripada dicemari demi masa depan anak cucu semua.

Katanya, beliau sempat menulis empat buah puisi berhubung Himpunan Hijau dalam beberapa bulan ini.

"Saya ajak rakyat lawan, dan menyediakan 'rimba yang subur' untuk anak cucu kita," katanya.

10:02am Hishamuddin kemudian memberitahu orang ramai menurut anggaran pihak penganjur tidak kurang 10,000 sedang membanjiri padang itu.

Memandangkan sistem pembesar suara yang tidak begitu, baik, beliau meminta orang ramai supaya duduk sambil tepuk tangan mengikut rentak gendang yang dipalu.

Beliau kemudiannya mengetuai orang ramai mendedangkan lagu 'Suara Rakyat' sambil diiringi paluan gendang Cina yang didatangkan khas.

10.00am: Solat hajat baru selesai. Aktivis sosial Hishammuddin Rais memberitahu para hadirin bahawa umat Islam, sebentar tadi berdoa memohon bantuan Allah supaya membantu rakyat bagi memastikan bumi ini tidak dijahanamkan oleh mereka yang korup.

Katanya lagi, mereka juga berdoa agar acara hari ini akan beroleh kejayaan.

Acara Himpunan Hijau 2.0 kini bermula secara rasmi.

Anggaran jumlah hadirin oleh polis menerusi Twitter: 4,000 - 5,000 setakat jam 9.45 pagi.

9.50am: Di lokasi satu lagi perhimpunan solodariti di Kuala Lumpur, kira-kira 200 orang yang berpakaian hijau berkumpul di Maju Junction.

9.45am Jumlah yang mula memasuki padang MPK4 semakin ramai dan setakat ini sukar bagi menganggarkan jumlah yang datang kerana ramai lagi kelihatan sedang berarak dalam beberapa kumpulan dari Kuantan menuju ke lokasi itu.

Kebanyakan yang hadir adalah penduduk sekitar termasuk keluarga mereka yang membawa anak-anak bagi membantah kilang memproses sisas radioaktif itu.

Berdasarkan jumlah orang ramai yang memenuhi lebih separuh daripada padang itu, dipercayai tidak kurang 5,000 orang yang hadir walaupun, acara secara rasmi belum lagi dimulakan.

9:26am: Pengerusi gabungan Hentikan Lynas Andansura Rabu yang diiringi kira-kira 500 ahli Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) dan aktivis PAS juga mula tiba ke padang MPK4 sambil melaungkan "Kami mahu Lynas ditutup".

Andansura adalah juga pengarah Badar. Katanya, hanya dengan menutup kilang lynas akan dapat menjamin kesihatan orang ramai.

Bersama beliau adalah naib presiden PAS Salehudin Ayub.Turut dikesan berada di lokasi ini adalah beberpa pemerhati daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan juga Majlis Peguam Malaysia.

9.20am: "Hentikan Lynas", "Hancur Lynas", "Undur Lynas" dan "Tindas Rakyat" adalah slogan popular yang terus dijerit oleh orang ramai yang berhimpun itu.

9:15am Semakin ramai ahli kumpulan hijau yang dianggarkan 2,000 orang kini bergerak ke padang MPK 4.Sepanjang perjalanan mereka dipantau oleh anggota polis.

Meskipun tidak banyak membuat bising, namun kehadiran mereka disambut oleh penduduk yang membunyikan hon kereta, tanda sokongan terthadap Himpunan Hijau.

Antara pemimpin PKR yang dilihat berarak bersama orang ramai adalah N Surendren, Sivarasa Rasiah dan Lateefah Koya.

9.10am: Meskipin cuaca di Kuantan cerah dan panas, namun di Jalan Song, Kuching - satu lagi lokasi bagi perhimpunan itu, cuaca adalah sebaliknya. Hujan menyebabkan kira-kira 30 aktivis yang berkumpul bagi menunjukkan solidariti mereka, kini bayah kuyup.

Selain Kuantan, beberapa bandar juga mengadakan perhimpunan yang sama di beberapa lokasi di seluruh negara.

Tindakan itu bagi menunjukkan bahawa rakyat di negara ini tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan mengambil risiko membina kilang radioaktif berkenaan yang dikatakan mungkin mencemarkan alam sekitar dan membahayakan kesihatan orang ramai.

9:05 am Ketika ini kumpulan yang berbaju hijau sedang berjalan di Jalan Berserah menuju ke padang MPK 4.

Polis sebentar tadi memberi kerjasama kepada mereka menunggu rakan-rakan lain yang dari Kuantan dan kawasan sekitar untuk berkumpul di padang MPK 1 sebelum bergerak.

Kira-kira 20 anggota polis juga kelihatan mengawal sekitar padang MPK 1.

9.00am: Jumlah hadirin di padang MPK4, kini dianggarkan 1,500 dengan kumpulan yang membawa belon berwarna hijau pula mengambil tempat.

Jumlah anggota polis yang hadir dianggarkan kira-kira 100 orang dengan dibantu dua ekor anjing. Helikopter yang berlegar-legar di ruang udara terus berbuat demikian.

8.58am: Suasana seolah-olah serperti pesta. Aktivis dari NGO mesra PKR, Jingga 13, mempersembahkan drama mempersendakan Menteri Besar Pahang Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Sebagai menteri besar berapa banyak awak akan beri saya untuk bina kilang?" soal seorang pelakon.

Seorang lagi yang berpakaian sebagai seorang jurutera dengan tertera perkataan "Lynas" pada bajunya menjawab: "RM700 juta!"

"Wow! Saya terima. Saya boleh ke London," jawab 'menteri besar' itu.

8:51am Ratusan peserta dari Hotel Megaview, kini berada berdekatan padang MPK1. Anggota polis kemudian meminta mereka terus ke padang MPK 4, tempat sepatutnya mereka berhimpun.

Mereka bergerak sambil terus menyanyikan lagu 'Suara Rakyat'.

8:45am Cuaca cerah di Kuantan, dengan semakin ramai yang datang. Dianggarkan tidak kurang 1,000 orang yang sedang berkumpul dan sebahagian besar mereka mencari teduh daripada bahang matahari kerana acara dijadualkan kira-kira sejam lagi.

Kumpulan aktivis Jingga 13 sedang memamlu kompang sambil menjeritkan slogan "Hentikan Lynas".

8:31am Bekas aktivis pelajar Hishamuddin Rais dilihat mengetuai orang ramai sambil menyanyikan lagu "Suara Rakyat" sebelum mereka berarak ke tempat berkumpul di padang MPK1.

Turut hadir adalah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan juga beberapa anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, termasuk Maria Chin dan Wong Chin Huat.

8:22am Sebuah helikopter polis kelihatan sedang berlegar-legar di bruang udara di kawasan sekitar, dipercayai bagi memantau kawasan sekitar.

Beberapa kumpulan NGO dan juga ahli parti-parti politik mula tiba.

Menurut seorang petugas unit amal PAS, PKR dan beberapa NGO itu akan berkumpul di Hotel Sentral di Kuantan manakala PAS pula di berdekatan pasaraya Giant, dan DAP akan berhimpun di berhampiran sebuah pasar.

Katanya, semua kumpulan itu, kemudiannya akan bergerak dan bertemu di padang MPK 4.

8:14am Kebanyakan yang hadir berpakaian serba hijau.

Turut hadir adalah penduduk Bukit Koman yang berkempen menentang perlombongan cyanidedi Raub.

8:10am Jumlah yang datang semakin ramai. Dianggarkan tidak kurang 300 mula berkumpul. Seorang peserta kelihatan membawa bendera Johor, manakala seorang lagi membawa sepanduk berbunyi: "Saya dari Klang, saya tentang kilang nadir bumi."

8:02am Pengerusi jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau Wong Tack berkata orang ramai diminta berkumpul di padang MPK1 pada jam 9 pagi dan mereka akan berarak ke padang MPK4 dari situ.

Satu lagi, tempat berkumpul adalah di pasar Kuantan dan mereka juga akan berjalan menuju ke padang MPK1 sebelum ke padang MPK4. -mk























Di Kuala Lumpur:



Nurul Aien Dirogol, Dibunuh Dan Mayatnya Dibenam Di Dalam Kolah

Posted: 25 Feb 2012 06:50 PM PST

Dibenam dalam kolah

TAIPING: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui maut, dipercayai dirogol sebelum kepalanya dibenam di dalam kolah di bilik air rumahnya di sini, petang kelmarin.

Mayat pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Dato' Wan Ahmad Rasdi (SMKDWAR) itu ditemui adik lelakinya dalam keadaan kepala dan seluruh badan dalam kolah selain cedera parah di kepala akibat dipukul benda keras.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa seorang diri di rumah sebelum kediamannya dimasuki individu tidak dikenali yang kemudian cuba merogol dan mencabul mangsa sebelum dia dibunuh.

Dalam kejadian jam 4.30 petang di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, mangsa dikenali sebagai Nurul Aien Mohd Saimon ditemui maut oleh adik lelakinya yang baru pulang dari rumah neneknya, 300 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung jam 4.30 petang. -hm

Kena bunuh di rumah sendiri

NONRI menceritakan kejadian yang menimpa anaknya kepada media, semalam.

TAIPING: Seorang ibu tunggal tidak menyangka anak perempuannya berusia 16 tahun yang ditinggalkan berseorangan dibunuh kejam suspek yang dipercayai cuba merogol dan mencabulnya di rumah mereka di Batu 9, Jalan Trong, Changkat Jering, di sini, kira-kira 4.30 petang kelmarin.

Nonri Musa, 40, yang ketika kejadian menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Wan Ahmad Rasdi, hampir pengsan melihat mayat anak ketiganya, Nurul Aien Mohd Saimon, 16, yang separuh badan termasuk kepala terendam dalam kolah yang dipenuhi air, manakala kakinya terjuntai keluar.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Nurul Aien yang juga pelajar SMK Datuk Wan Ahmad Rasdi itu turut cedera di kepala akibat hentakan objek keras.

"Ketika bermesyuarat, saya dihubungi ahli keluarga memaklumkan anak saya mati dipercayai dibunuh.

"Saya bergegas pulang ke rumah dan melihat keadaan anak yang sudah kaku. Saya tidak menyangka ada insan tidak berperikemanusiaan sanggup berbuat demikian," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, beberapa hari sebelum kejadian, dia ada melihat kelibat dua lelaki di belakang rumahnya dan apabila cuba disapa, mereka melarikan diri.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk dan tidak melaporkannya kepada polis sehinggalah semalam (kelmarin) anak saya ditemui mati," katanya.

Jiran mangsa, Abd Halim Abd Majid, 45, yang tinggal kira-kira 50 meter dari rumah mangsa berkata, anaknya Afnan, 16, rakan karib mangsa terdengar jeritan dari arah rumah mangsa, sekitar jam 3.30 petang tetapi tidak menghiraukannya kerana menyangka keluarga jirannya hanya bergaduh sesama ahli keluarga.

"Tidak lama kemudian, ada saksi memaklumkan melihat seorang lelaki keluar dari rumah mangsa dan meredah kawasan semak di belakang rumah sebelum menyeberang Sungai Limau berdekatan rumah mangsa.

"Bagaimanapun, kami tidak menghiraukan kejadian itu sehingga dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa dalam bilik air Nonri, jam 4.30 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata siasatan awal mendapati kes berkenaan tiada kaitan dengan rompakan berikutan tiada kesan pecah masuk selain tiada kehilangan barang berharga dan kesan bilik digeledah.

"Kami mengesyaki suspek cuba merogol dan mencabul sebelum membunuh mangsa dengan melemaskannya dalam kolah di bilik air rumah berkenaan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.

"Susulan siasatan itu, seorang lelaki berusia 18 tahun iaitu penduduk tempatan turut ditahan di kediamannya yang tidak jauh dari lokasi kejadian awal pagi tadi (semalam) bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, malam kelmarin untuk bedah siasat, sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 9, di sini, pagi semalam. -BH


[PANAS] Ust Badrul Amin Hantar SMS Nafi Khalwat [Updated]

Posted: 25 Feb 2012 03:59 PM PST

Pemimpin PKR ditangkap khalwat

KUANTAN – Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Selangor ditangkap kerana dipercayai berdua-duaan bersama seorang wanita, yang dipercayai isteri orang di sebuah hotel di Balok dekat sini, awal pagi tadi.

Pasangan itu diserbu pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kira-kira jam 3 pagi.

Pemimpin berkenaan dikatakan berada di hotel itu untuk satu pertemuan bersama pemimpin PKR yang lain selama tiga hari sehingga hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jaip, Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz mengesahkan mengenai kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan komen daripada pemimpin PKR berhubung kes tangkapan itu bagaimanapun gagal.

Ulasan GB

Daripada beberapa maklumat yang diperolehi, pemimpin PKR berkenaan ialah Ustaz Badrul Amin Baharom dan perempuan yang dimaksudkan ialah seorang kakitangan Kolej Komuniti yang ada masalah rumahtangga dengan suaminya.

Yang pasti berita khalwat ini akan terus menjadi modal politik UMNO/BN dan media massa arus perdana selama beberapa hari untuk memburukkan PKR.

Ustaz Badrol Amin telah menafikan dengan smsnya berbunyi:

"Kes isteri orang lari dari suami dtg ke hotel di Kuantan tmpt retreat. Suami dtg dgn gangster tuduh ana bawak lari n sorok. Kes setel 'family problem'. Mak pompuan datang. Mmg dorang nak cerai. Isteri dh selalu nak lari. Ana nasihat pulang semula"

BERITA DARI MEDIA PERDANA

Seperti yang GB tulsikan di atas "berita khalwat ini akan terus menjadi modal politik UMNO/BN dan media massa arus perdana selama beberapa hari untuk memburukkan PKR."


Pemimpin PKR ditangkap khalwat dengan isteri orang

INILAH lokasi hotel tempat Dr. Badrulamin ditangkap di Balok, Kuantan.

KUANTAN – Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditangkap atas dakwaan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang berusia 28 tahun di sebuah hotel di Balok di sini awal pagi semalam.

Pemimpin PKR itu, Dr. Badrulamin Bahron, 51, yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR ditangkap bersama wanita itu oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kira-kira pukul 3 pagi di bilik hotel berkenaan.

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Ujarnya, ahli politik itu dibebaskan dengan ikat jamin selepas kira-kira sembilan jam ditahan dan akan dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Penangkapan Dr. Badrulamin dalam kes khalwat telah disiarkan oleh beberapa blog antaranya Papagomo dan Pisau.net sejak petang semalam.

Menurut blog itu, wanita yang ditangkap khalwat bersama pemimpin PKR dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu merupakan seorang kakitangan sebuah kolej komuniti di negeri ini. -kosmo



Penjelasan Tuduhan Berniat Jahat Terhadap Dr Badrulamin Baharon

Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.

Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.

Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.


Dr Badrulamin Bahron



Polis Mahu Pengarah NFCorp Didakwa Atas Kesalahan Pecah Amanah

Posted: 25 Feb 2012 07:05 AM PST

Polis telah memohon kepada Peguam Negara supaya pengarah Pusat Fidlot Corporation (NFCorp) didakwa atas kesalahan pecah amanah selepas pemimpin pembangkang mendakwa sebahagian daripada RM250 juta pinjaman mudah kerajaan telah digunakan untuk tujuan lain., demikian lapor The Malaysian Insider.

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan mengesahkan perkara itu petang tadi kepada beberapa organisasi media.

"Kami mencadangkan Pejabat Peguam Negara supaya semua pengarah NFCorp didakwa atas kesalahan pecah amanah," katanya kepada The Malaysian Insider.

NFCorp, yang dimiliki oleh suami dan tiga anak Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, merupakan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Sebelum ini, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan National Feedlot Corporation (NFCorp) telah melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan kerajaan persekutuan.

"Dalam kata lain, telah berlaku kes pecah amanah. Duit tersebut, yang seharusnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk tujuan lain.

"Dana berkenaan telah diserahkan berdasarkan projek yang diserahkab kepada NFCorp, yang mana mereka harus menternak lembu dan menjualnya dengan kadar yang lebih rendah," jelas Nazri.

Menteri itu berkata lagi, beliau mengambil berat terhadap perkara itu dan menyatakan isu itu "tidak mati" walaupun apa pun tindakan yang diambil kerajaan, kerana rakyat ingin tahu ke mana wang itu digunakan.

"Pinjaman itu diberikan hanya bagi tujuan itu. Sekiranya dana itu digunakan bagi tujuan lain, kita tidak perlukan peguam untuk mengetahui samada berlaku pecah amanah atau tidak, sangat mudah," kata menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio undang-undang itu.

"Sekiranya penyiasatan SPRM membuktikan berlakunya pelanggaran akta, mereka akan didakwa.

"Kemudian keluarkan tender dan berikan pembida tertinggi terhadap projek itu," tambah Ahli Parlimen Padang Rengas itu lagi.

PKR telah membuat beberapa siri pendedahan terhadap penyalahgunaan dana termasuk RM62 juta untuk tanah, hartanah, dan perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan projek penternakan lembu berkenaan.

Shahrizat telah mengambil cuti tiga minggu daripada jawatan sebagai menteri bulan lepas dan kini telah kembali bertugas.

Najib Jahil Prinsip Pentadbiran Dan Federalisme - MB Selangor

Posted: 25 Feb 2012 05:38 AM PST

Pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau tidak menjemput Ketua Negeri Pakatan Rakyat pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke 114 baru-baru ini menunjukkan beliau jahil tentang prinsip pentadbiran yang baik dan mengenepikan semangat federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau hairan bagaimana Najib dengan tanpa rasa bersalah mengakui bahawa mesyuarat tersebut adalah Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Barisan Nasional(BN), sedangkan ia turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurutnya, selaku penjawat awam, KSN sepatutnya bertindak secara profesional dan tidak boleh hadir dalam sebuah mesyuarat yang berbentuk kepartian.

"Tindakan Najib ini seolah-olah mahu membina laluan kepada tindakan yang tidak demokraktik kerana tindakan beliau itu umpama memberitahu kepada kakitangan perkhidmatan awam supaya mendiskriminasikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat," katanya.

Tambahnya, KSN seharusnya bertindak untuk memberitahu Perdana Menteri bahawa mesyuarat itu adalah satu diskriminasi dan beliau (KSN) tidak sepatutnya dilibatkan.

Abdul Khalid dalam pada itu turut mempersoalkan pembiayaan mesyuarat berkenaan.

"Siapakah yang membayar untuk mesyuarat tersebut? Kerajaan Pusat atau Barisan Nasional? Jika ianya dibiayai oleh Kerajaan Pusat, mana mungkin Perdana Menteri boleh dengan angkuh mengatakan mesyuarat itu adalah amalan biasa dan tidak melanggar mana-mana aturan," soalnya.

Beliau berkata, selaku ketua negara, perdana menteri harus menunjukkan teladan yang baik terutama kepada penjawat awam sekiranya beliau benar-benar mahu melaksanakan transformasi dalam negara ini.

Ulasan GB

GB telah mengulas hal ini. Petikan:

Jika demikian halnya, iaitu hanya satu mesyuarat penyelaran maka Najib sepatutnya menggunakan jawatannya sebagai Pengerusi UMNO/BN dan mesyuarat itu dikendalikan oleh UMNO/BN bukan oleh kerajaan Pusat.

Ini kerana "peruntukan kewangan" kerajaan pusat untuk sebarang mesyuarat sepatutnya untuk seluruh rakyat tanpa mengira parti politik.

Apakah Najib cuba memperbodohkan rakyat negara ini atau apakah Najib memikirkan bahawa negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat bukan rakyat Malaysia?

Tindakan Najib itu menjelaskan bahawa beliau adalah Perdana Menteri BN bukan Perdana Menteri Malaysia.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Mahathir Tahu Najib Akan Kalah Jika Berdebat Dengan Anwar

Posted: 25 Feb 2012 04:37 AM PST

Mahathir ulangi debat Najib-Anwar tak perlu

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa debat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu meskipun ramai berpendapat debat itu harus dijalankan.

Beliau berkata, debat antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang itu hanya membuang masa dan tidak mendatangkan hasil kerana masing-masing akan tetap menegakkan pendirian sendiri.

"Buat apa nak debat, saya tidak rasa masing-masing boleh perbetulkan persepsi masing-masing hasil daripada perdebatan seumpama ini.

"Debat kalau dijalankan, tidak akan dapat mengubah pandangan Anwar mahu Najib. Justeru, tak perlulah nak diteruskan hasrat debat dia tu, biar rakyat buat penilaian sendiri kebolehan kedua-dua mereka," katanya selepas sesi soal jawab pada Program Bicara Minda anjuran Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.

Bekas Presiden Umno ini berkata, niat Anwar ingin berdebat untuk isu luar negara dan ekonomi adalah kerana merasakan dirinya lebih arif bercakap mengenai isu berkenaan berbanding soal dalam negara.

"Dia (Anwar) tidak setuju dengan Datuk Seri Najib. Bila bercakap mengenai hal luar negara dan ekonomi, dia merasakan dia dapat buktikan apa Najib buat selama ini adalah salah.

"Saya tahu, Anwar memang nak jadi perdana menteri sejak dari dahulu lagi, malangnya strategi dia buat tu salah. Dia cabar saya dulu, tapi dia gagal," katanya. -SH

Ulasan GB

Pokoknya Mahathir tahu bahawa Najib akan tewas jika berdebat dengan Anwar, justeru Mahathir cuba sedaya upaya untuk pastikan debat Anwar-Najib tidak menjadi kenyataan.

Mahathir sendiri juga tahu bahawa, tidak seperti politikus yang lain Najib naik di persada politik dengan bertakhtakan warisan emas dan kemewahan sejak kecil. Najib tidak mempunyai kekuatan selain dari kekuatan "menghulur habuan" dan "penipuan".

Mahathir menyatakan bahawa "Anwar memang nak jadi perdana menteri sejak dari dahulu lagi". So whats wrong with that?

Tambah Mahathir, "malangnya strategi dia buat tu salah".

Benar, Anwar ada melakukan kesilapan di dalam strategi. Malah GB pun pernah mengkritik pedas strategi politiknya satu ketika dulu. Tetapi, berjaya atau tidak strateginya, beliau sendiri yang menanggung risikonya.

Strategi Mahathir sendiri tak semuanya betul. Contoh paling jelas ialah perlantikan penggantinya, Abdullah Ahamd Badawi sebagai PM oleh beliau sendiri diakui olehnya sebagai strategi yang salah.


Ana Raffali, Naim Selamat Diijabkabulkan

Posted: 25 Feb 2012 02:59 AM PST

Kuala Lumpur: Penyanyi Ana Raffali, 26, akhirnya sah bergelar isteri kepada Ahmad Aznaim Abdullah, 30, selepas sekali lafaz dalam majlis pernikahan mereka yang diadakan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini, Sabtu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa Ana, Mohd Raffali Mohd Nor kira-kira pukul 12 tengah hari dengan disaksikan oleh Jurunikah Masjid Al-Hidayah, Abdullah Mat.

Acara sebelum itu dimulakan dengan majlis pertunangan antara Ana dan Naim pada pukul 11 pagi.

Majlis dihadiri kira-kira 500 jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga kedua-dua pasangan pengantin dan wakil media.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM11,412 daripada pihak lelaki.

Dalam pada itu, pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang.

Antara barang hantaran yang diberikan oleh pihak perempuan seperti bunga rampai, buah, kek, dompet, kamera, iPad, jam tangan, minyak wangi, sebentuk cincin dan sirih junjung.

Manakala pihak lelaki membalas dengan sirih junjung, coklat, telekung, minyak wangi, manisan dan gelang tangan perak. Kesemua hantaran itu direka dan digubah sendiri oleh Ana.

Ana tampak anggun dengan mengenakan busana baju kurung moden rekaan pereka fesyen, Ezuwan Ismail dari rona kelabu manakala Naim segak dengan baju Melayu lengkap bersamping dengan warna sedondon dari pereka sama.

Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan mereka turut diadakan di tempat sama sejurus selepas majlis pernikahan. -mstar

Ulasan GB

Apabila berkahwinnya seseorang itu, syaitan menangis berdukacita kerana tertutuplah satu peluang bagi syaitan untuk menggoda anak Adam supaya terjebak dengan maksiat.

Rasulullah saw juga pernah bersabda maksudnya, apabila berkahwinnya seorang anak Adam, sempurnalah separuh daripada agamanya. Maka sempurnakanlah yang separuh lagi dengan Taqwa.

Kepada Ana Raffali dan suami, diucapkan semuga berbahagia dan semuga dilimpahi rahmat dan ketaqwaan.

Tiada ulasan: