Rabu, 15 Februari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Abdullah Ali Sertai PAS, UMNO Pula Bakal Buru Pemain Bolasepak Selepas Ini

Posted: 15 Feb 2012 12:11 AM PST

Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali sertai PAS

KOTA BHARU, 14 Feb: Lagenda bola sepak negara, Abdullah Ali, 57, hari ini menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada majlis ringkas di sini sebentar tadi.

Anak kelahiran Bukit Payong, Kuala Terengganu itu hari ini mengisytiharkan secara rasmi untuk menyertai PAS memandangkan parti itu satu-satunya yang memperjuangkan Islam.

Hadir pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan di JKR 10. Pemimpin PAS Terengganu yang turut hadir meraikan penyertaan Abdullah itu ialah timbalan-timbalan pesuruhjaya, Muhyiddin Abdul Rashid dan Dr Alias Razak, bendahari dan ketua penerangan, M Shukrimun Shamsudin dan Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Selain Abdullah, turut menyerahkan borang keahlian lagenda bola sepak Kelantan yang juga pemain Olimpik 1972, Salleh Ibrahim dan Kamarudin Abdullah yang juga pemain kebangsaan.

Abdullah yang juga bekas Pengurus Petronas (Dagangan), berkata dengan rasuah, ketidakdilan yang berlaku dan kerajaan yang dipimpin Umno dan BN tidak ada sebab untuknya menyertai parti itu.

"Saya yakin dengan perjuangan PAS yang memperjuangkan Islam, dengan dasar perjuangannya, dengan model yang ditonjolkan oleh pemimpinnya membuatkan saya yakin inilah parti yang wajar diberi sokongan," ujarnya.

Abdullah juga turut berhasrat untuk turun berkempen pada pilihanraya umum nanti di seluruh negara sekiranya beliau diperlukan oleh parti.

"Insyaallah saya bersedia turun membantu untuk berkempen," ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur dengan penyertaan lagenda bola sepak negara itu untuk menyertai PAS.

Tuan Guru berharap, semoga dengan penyertaan Abdullah Ali akan lebih ramai lagi yang akan menyertai PAS memandangkan tidak ada sebab rakyat di negara ini menolak perjuangan yang berlandaskan Islam itu.

"Saya benar-benar berbangga dan bersyukur," ujarnya sambil tersenyum.

Abdullah menyertai ahli PAS seumur hidup dan borang keahliannya diserahkan terus kepada Takiyuddin untuk diurus segera di peringkat PAS Pusat.

"Insya Allah bulan hadapan permohonan ini akan selesai," ujarnya ketika ditemui pada majlis itu. -HD

Ulasan GB

UMNO tidak boleh senang duduk dengan berita di atas.

Selepas ini, sama seperti kes selebriti menyertai PAS, akan berlaku pula beberapa pemain bolasepak akan diburu UMNO untuk buat perisytiharan besar-besaran mereka telah menyertai UMNO untuk lawan berita Abdullah Ali dan beberapa pemain bolasepak kebangsaan sertai PAS.

MIMOS Dapati 200,000 Pengundi Mencurigakan Di dalam Daftar Pemilih

Posted: 14 Feb 2012 10:05 PM PST

Semakan audit dapati lebih 200 ribu pengundi diragui

Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini dimaklumkan bahawa semakan audit yang dijalankan ke atas daftar pemilih mendedahkan wujudnya jumlah amat besar pengundi yang meragukan.

Mimos Bhd, sebuah syarikat teknologi milik penuh kerajaan yang membuat semakan audit itu pada taklimatnya kepada PSC berkata terdapat sekurang-kurangnya 230,000 pengundi yang mencurigakan.

Menurut ahli PSC Anthony Loke, taklimat telah diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Abdul Wahab Abdullah semasa mesyuarat dua jam, semalam.

Turut hadir semasa mesyuarat dan taklimat berkenaan adalah pengerusi PSC Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili.

Loke berkata Mimos pada taklimatnya memberitahu pihaknya mengesan 820 kes di mana terdapat lebih daripada 100 pengundi yang menetap di alamat yang sama.

"Selain itu, kami mendapati 1,259 kes di mana antara 51-100 pengundi tinggal di alamat yang sama, 3,254 kes di mana terdapat antara 21-50 pengundi tinggal di alamat sama, dan 6,002 kes yang melibatkan antara 11 hingga 20 pengundi di rumah sama.

"Tempat-tempat ini termasuk kem tentera," katanya kepada Malaysiakini.

Turut dipertikaikan adalah alamat yang mencurigakan di mana pengundi didaftar dengan alamat yang tidak lengkap ataupun tidak sah. Sebagai contoh, katanya: "Tiada alamat atau rumah 62, Lembah Pantai dan E6, Seputeh".

Menurut Loke, PSC telah memberikan Mimos tempoh dua minggu untuk menjalankan semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengemaskini nama-nama dan alamat mencurigakan itu.

"PSC itu tidak bincang lanjut bagaimana untuk membetulkan perkara itu dan Mimos akan kembali dalam masa dua minggu," katanya.

Belum boleh bubar parlimen

Memandangkan jumlah pengundi yang meragukan sebegitu ramai, Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu memastikan daaftar pemilih dibersihkan sebelum beliau membubarkan parlimen supaya pilihan raya umum dapat diadakan.

Pemimpin DAP itu berkata Mimos turut mengenal pasti 785 polis dan anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos dan pada masa yang sama, juga sebagai pengundi biasa.

Semasa laporan awal PSC dibentangkan pada Disember, selepas jawatankuasa itu mengadakan beberapa pendengaran awam, mereka telah membuat beberapa cadangan, termasuk semakan audit pengundi.

Mimos kemudian ditugaskan untuk memeriksa daftar pemilih bagi mengesan nama atau kad pengenalan yang sama ataupun bertindih, pengundi berusia lebih 100 tahun dan mengesahkan butiran pengundi dengan pangkalan data dari agensi-agensi kerajaan yang lain.

Loke juga mendedahkan bahawa Mimos berjaya mengesan 22,076 pemilih berdaftar yang berumur lebih 90 tahun. -mk

Ulasan GB

GB sudah nyatakankan sebelum ini bahawa bukan sahaja daftar pemilih perlu dibersihkan malah SPR dan JPN perlu dibawa ke muka pengadilan akibat dari berlakunya penyelewengan dan salahlaku yang ketara di dalam daftar pemilih. Petikan:

Perkara pokok yang perlu dilaksanakan sekarang ialah daftar pemilih yang meragukan itu perlu dibersihkan.

Dan di dalam waktu yang sama sebuah Suruhanjaya Siasatan perlu dilakukan untuk menyiasat SPR dan JPN yang sudah tercemar dengan pelbagai konspirasi dan salah-laku.

Yang bersalah perlu didakwa dan dihukum seadil-adilnya sebelum rakyat bangkit secara menyeluruh menuntut kebenaran dan keadilan dilaksanakan.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Mayat Melekat Pada Mesin Melentur Logam

Posted: 14 Feb 2012 07:52 PM PST

Kuching: Seorang pekerja kilang keluli mati dalam keadaan mengerikan apabila kepala dan tangan kirinya hancur akibat terperosok dalam mesin melentur logam di sebuah kilang di Jalan Datuk Stephen Yong, di sini, semalam.

Mayat Hamid Bujang, 32, dari Kampung Tanah Putih, Serian, ditemui rakan sekerjanya yang curiga apabila ternampak satu 'objek' melekat pada mesin berkenaan ketika mahu memulakan kerja, kira-kira jam 6 pagi.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dipercayai cuba membengkok besi tanpa menyedari kepala serta tangannya terlalu dekat dengan mesin berkenaan.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, selepas ternampak mangsa tersangkut pada mesin dalam keadaan tidak sedarkan diri, dia segera menutup suis mesin berkenaan, namun usahanya terlambat kerana mangsa sudah meninggal dunia.

"Dia (Hamid) berpengalaman lebih 10 tahun bekerja dan mengendalikan mesin di kilang ini. Kebiasaannya, ada beberapa pekerja lain ditugaskan mengendali mesin di kilang ini, tetapi pada hari kejadian, hanya dia seorang saja yang bekerja.

"Terkejut dengan kejadian itu, saya kemudian menghubungi Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Sepasukan anggota polis turut bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu bagi menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa yang sudah berkahwin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke HUS untuk bedah siasat.

"Keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. -hm



Ujian Air Kencing Saiful Apek Positif Dadah - Saksi

Posted: 14 Feb 2012 05:20 PM PST

Petaling Jaya: Seorang anggota polis pada Selasa memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa ujian saringan awal air kencing pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya yang lain didapati positif dadah.

Gambar: PELAWAK dan pelakon, Mohd Saifulazam Mohamad Yusoff atau dikenali Saiful Apek bersama peguamnya, Mohd Fadly Hashim hadir pada hari pertama perbicaraan kesnya yang didakwa mengambil ganja bersama tiga rakan lain, termasuk seorang wanita di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Sarjan M.Sanggar, 48, berkata beliau menjalankan ujian air kencing terhadap Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, Noremy Mohamad, 28, selepas selesai melakukan satu operasi serbuan di sebuah rumah di Bandar Sunway dekat sini.

"Hasil keputusan ujian air kencing itu didapati kesemua tertuduh positif dadah," kata saksi kedua pendakwaan ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.

Sanggar yang bertugas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berkata beliau kemudiannya menyerahkan sampel air kencing kesemua tertuduh kepada Pegawai Penyiasat Insp Rozlia Razali untuk tindakan seterusnya.

Pada 1 November tahun lepas, Saiful Apek dan tiga rakannya termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000.

Terdahulu Pegawai Risikan Cif Insp Mohd Shaifuddin Zulkifli, 31, yang bertindak sebagai ketua dalam operasi serbuan pada jam 10 malam bertarikh 12 Jun 2010 itu turut memaklumkan bahawa hasil serbuan di dalam rumah itu pasukannya telah menemui ganja.

Mohd Shaifuddin berkata beliau telah mengarahkan Sanggar dan Rozlia untuk menjalankan ujian air kencing terhadap kesemua tertuduh.

"Saya menerima sampel ujian air kencing mereka daripada Rozlia pada jam lebih kurang 11.15 malam dan pada jam 12.05 minit pagi hari berikutnya (13 Jun 2010) saya menyerahkan botol spesimen air kencing mereka kepada pegawai penyiasat kes narkotik iaitu Insp Syed Mohd Rohayat Syed Ramlee.

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Zambri Idrus dan Mohd Fadli Hashim.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid bersambung 27 Mac depan. BERNAMA

Perbezaan Sekatan Jalanraya Di Malaysia Dengan Luarnegara

Posted: 14 Feb 2012 03:24 PM PST

Ini Sesuatu Yang Polis Perlu Ambil Tahu

Setiap kali polis di Kuala Lumpur buat sekatan jalan, tidak kira siang atau malam, jalan kita akan jadi sesak.

Bukan polis tidak boleh buat sekatan, itu hak mereka, buatlah seberapa kali yang perlu, namun rasanya kena ada pendekatan baru sikit.

Sekatan jenis 'aku polis, aku boleh buat camna yang aku suka' kena ubah la sikit.

Kalau tengok gambar di bawah, memang jelas itulah kaedah polis Malaysia buat sekatan jalan.


Daripada tiga atau empat lorong, yang akan dibuka atau dibenar lalu hanya satu lorong.

Mengapa perlu buat camtu?

Kalau tengok gambar satu lagi, bagaimana polis negara luar buat kerja, nampak profesional kan?

Bukan kita hendak mengagungkan negara lain atau barat, tapi apa yang baik dan bijak itu jadikanlah ikutan.

Kalau buat cam negara barat, kan senang. Semua lorong dibuka, hanya satu digunakan untuk menahan kereta yang perlu diperiksa lebih lanjut.

Seperti yang ditulis awal tadi, polis Malaysia tak boleh la nak ada sikap 'aku polis, aku boleh buat camna yang aku suka'. Sebagaimana polis ada hak untuk melakukan sekatan dan pemeriksaan, mereka perlu lakukan dengan sebaik mungkin dan mengurangkan kesusahan kepada anggota masyarakat dan pengguna jalan raya.

Pemandu di atas jalan tu pun ada kerja nak buat, ada tempat yang hendak dituju.

Bayangkan pemandu yang berhemah, tak buat salah pun terpaksa tunggu terlalu lama semata-mata kerana kaedah pemeriksaan yang diamalkan ialah 'aku polis, aku boleh buat camna yang aku suka'…ada tiga lorong, aku tutup dua, cuma bukak satu sahaja sebab aku hebat, aku leh buat camtu!.

Jangan bagi alasan kurang anggota, kerajaan duk tambah bilangan anggota keselamatan hampir setiap tahun.

Jangan cakap kalau tiga lorong kang ada yang tak berhenti, terus pecut. Itu alasan paling tak masuk akal…pasal satu lorong boleh tak berhenti jugak kalau dia penjenayah yang nak melarikan diri.

Ambilah yang baik dan positif sebagai ikutan.

Peace!!!

Sumber: AK-47

NFCorp Langgar Syarat Pinjaman, Telah Melakukan Pecah Amanah - Nazri

Posted: 14 Feb 2012 07:27 AM PST

NFCorp melanggar syarat pinjaman, kata Nazri

KUALA LUMPUR, 14 Feb — Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata, National Feedlot Corporation (NFCorp) telah melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan kerajaan persekutuan.

"Dalam kata lain, telah berlaku kes pecah amanah. Duit tersebut, yang seharusnya digunakan untuk tujuan penternakan lembu telah digunakan untuk tujuan lain.

"Dana berkenaan telah diserahkan berdasarkan projek yang diserahkab kepada NFCorp, yang mana mereka harus menternak lembu dan menjualnya dengan kadar yang lebih rendah," jelas Nazri kepada pemberita di sini.

"Pinjaman itu diberikan hanya bagi tujuan itu. Sekiranya dana itu digunakan bagi tujuan lain, kita tidak perlukan peguam untuk mengetahui samada berlaku pecah amanah atau tidak, sangat mudah," kata menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio undang-undang itu.

Malah, Nazri (gambar) turut menafikan laporan akhbar yang menyatakan bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan yang menyuruh rakan Kabinetnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memulangkan sejumlah RM250 juta yang dipinjam daripada kerajaan untuk Pusat Fidlot Nasional (NFC).

"Kerajaan berkuasa untuk menarik semula pinjaman berkenaan sekiranya berlaku aktiviti pecah amanah. Saya kata NFCorp perlu kembalikan duit itu semula, saya tidak menyebut beliau (Shahrizat), tidak ada kene mengena dengannya," katanya.

Nazri menegaskan, itu merupakan pandangan beliau selaku menteri berkaitan undang-undang, dan kerajaan masih lagi sedang menyiasat pertuduhan terhadap dakwaan berlakunya penyalahgunaan dana kerajaan persekutuan itu.

Menteri itu berkata lagi, beliau mengambil berat terhadap perkara itu dan menyatakan isu itu "tidak mati" walaupun apa pun tindakan yang diambil kerajaan, kerana rakyat ingin tahu ke mana wang itu digunakan.

"Sekiranya penyiasatan SPRM membuktikan berlakunya pelanggaran akta, mereka akan didakwa.

"Kemudian keluarkan tender dan berikan pembida tertinggi terhadap projek itu," tambah Ahli Parlimen Padang Rengas ini lagi.

Menurutnya, perletakan jawatan Shahrizat ketika ini tidak akan memberi "kesan" dan berkemungkinan akan lebih berkesan sekiranya dibuat lebih awal.

"Kita perlu tunggu sehingga siasatan selesai ... masyarakat kurang sabar, tiada petunjuk, dan tiada arah ke mana mereka hendak tuju," tambah Nazri.

PKR telah membuat beberapa siri pendedahan terhadap penyalahgunaan dana termasuk RM62 juta untuk tanah, hartanah, dan perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan projek penternakan lembu berkenaan.

Shahrizat telah mengambil cuti tiga minggu daripada jawatan sebagai menteri bulan lepas dan kini telah kembali bertugas.

Rabu lalu, beliau telah dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM di Putrajaya.

Timbalan Perdana Mnerteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan melantik juru audit bagi menyemak semula laporan kewangan NFC namun enggan mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat NFC. -TMI


DAP mahu Najib arah NFC bayar pinjaman

DAP hari ini menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengulas kenyataan seorang menteri kabinetnya bahawa keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu membayar balik pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kerajaan kepada syarikat projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) milik mereka itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata jawapan Perdana Menteri adalah penting kerana sebagai menteri yang bertanggungjawan ke atas hal ehwal undang-undang Datuk Seri Nazri Abdul Aziz telah mengaitkan hubungan langsung antara Shahrizat dan skandal NFC.

"Ini adalah pengakuan kali pertama oleh seorang menteri kabinet bahawa Shahrizat bukan sahaja terlibat kepada skandal lembu dan kondo tetapi juga (mengakui) bahawa kesalahan telah berlaku," kata Lim yang juga mempersoalkan mengapa wang berkenaan harus dikembalikan jika tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Beliau merujuk kepada laporan Sinar Harian, semalam yang memetik Mohd Nazri meminta keluarga Shahrizat membayar balik pinjaman yang diberikan kerajaan itu.

Harus letak jawatan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata dengan berbuat demikian, maka Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno boleh mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Namun, menurut Lim, pengembalian wang itu tidak memadai kerana tindakan juga harus diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab, selain Shahrizat juga harus meletak jawatan.

"Ini bukan sahaja tidak boleh diterima tetapi merupakan penghinaan kepada standard kebiasaan kewangan, amanah dan kebertanggungjawaban. Rakyat Malaysia menuntut supaya tindakan diambil serta merta.

"Kegagalan untuk bertindak menunjukkan kegagalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membasmi rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan," katanya.
-mk


Pertemuan Anwar Dengan Pemimpin Hamas Palestin Musnahkan Fitnah UMNO

Posted: 14 Feb 2012 05:40 AM PST

Hamas iktiraf Anwar, bukti sokong perjuangan Palestin

KUALA LUMPUR 14 Feb: Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan tertinggi Hamas adalah bukti beliau menyokong perjuangan rakyat Palestin, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau mengulas pertemuan Anwar bersama pemimpin Hamas, Khalid Mash'ad ketika kunjungan Ketua Umum KEADILAN itu ke Qatar baru-baru ini.

Pertemuan itu, kata Muhammad Nur, sekaligus menangkis serangan jahat yang dilakukan pemimpin Umno-Barisan Nasional kononnya Anwar menyokong Israel dan menafikan hak rakyat Palestin.

"Khalid Mashal adalah pengerusi Biro Politik Hamas dan salah seorang tokoh pimpinan Hamas tertinggi dan dihormati. Justeru pertemuan Anwar-Khalid itu dengan sendirinya membuktikan Anwar istiqamah dalam perjuangan dunia Islam," tegas beliau.

Pengerusi Biro Politik Hamas adalah jawatan paling kanan dalam Hamas selepas pengasas pertubuhan itu sendiri.

Ketika penglibatnnya dalam Hamas, Khalid Mashal, hampir dibunuh ejen Mosad atas arahan perdana menteri Israel, Benjamin Netayahu.

Menurut Dr Muhammad Nur, berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Anwar dilihat lebih dipercayai gerakan Islam kerana sejarah perjuangannya bermula sejak zaman mahasiswa.

"Ini kerana faktor Anwar yang istiqamah dalam perjuangan dan pada masa yang sama realistik dengan politik dunia.

"Hamas juga menyedari realiti politik semasa dan tetap mempertahankan perjuangan rakyat Palestin yang mahukan negara mereka sendiri selaras dengan Resolusi 242 pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1997," ujarnya.

Anwar kebelakangan ini difitnah Umno, kononnya menyokong penubuhan negara Israel dengan memutarbelitkan kenyataannya yang disiarkan dalam satu wawancara dengan Asian Wall Street Journal.

Ketika di Qatar, selain Khalid, Anwar turut bertemu ulama tersohor dunia, Sheikh Dr Yusuf Al Qaradawi. Beliau juga turut mengadakan perjumpaan dengan menteri kebudayaan Qatar, Dr Hamad Abdul Aziz dan tokoh ilmuan Islam, Jaser Audah. -KD

Penantian 30 Tahun Untuk Dapat Geran Tanah Berakhir Apabila PR Memerintah

Posted: 14 Feb 2012 03:37 AM PST

Sabak Bernam : Umur Rasib Ghazali sudah mencecah 72 akan tetapi, harapan penduduk Kampung Hala Cara Baru itu untuk mendapat geran tanah bagi tapak rumahnya tidak kesampaian hingga semalam.

Penantian Rasib dan 116 penduduk kampung di daerah Sabak Bernam selama lebih 30 tahun berakhir apabila mereka diberikan notis 5A, iaitu notis yang mengakui mereka pemilik tanah yang sah, oleh Kerajaan Selangor.

Perasaan lega dan gembira jelas kelihatan di wajah Rasib dan penerima-penerima lain dari kampung Kampung Nelayan Haji Dorani, Kampung Jalan Pantai Sekendi dan Kampung Hala Cara Baru Sungai Panjang.

"Hampir-hampir 30 tahun lah. 30 tahun saya tunggu tak dapat-dapat. Sampai sekarang dah dapat Alhamdulillah," kata Rasib apabila ditemui di dalam majlis penerimaan borang tersebut di sini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berkata pemberian geran kepada pemilik tanah yang sah adalah usaha berterusan pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahu bersikap adil kepada rakyat yang sudah berpuluh tahun menanti tetapi masih belum mendapat geran tanah. Di sesuatu kawasan, mereka sebagai pemilik yang sah. Inilah antara usaha dan janji kita kepada rakyat Selangor.

"Kita dapati dari kajian kita bukan sedikit. Lebih daripada 80,000 rakyat peneroka tanah di Selangor akan menerima geran sah (notis 5A) milik kepada mereka," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Borang Notis 5A Dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Seri Bernam di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Zainal Mohd Nor.

Seorang lagi penerima Rahani Siran, 71, dari Kampung Hala Cara Baru berkata, beliau menanti saat itu lebih dari 20 tahun dan berasa amat gembira pada hari ini.

"Tinggal kampung di sana tu dalam tahun 1989, dalam 22 tahunlah," katanya.

Seorang lagi, Mohd Sulaiman Yunus, 74, dari Kampung Nelayan Haji Dorani mengungkapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri.

"Alhamdulillah sangatlah kepada Kerajaan Negeri Selangor yang telah memberi notis 5A dan kebenaran untuk saya menduduki tanah Kampung Nelayan ini dan masalah ini selesailah," kata Mohd Sulaiman.

Kerajaan Negeri juga akan mengurangkan bayaran premium hingga ke RM1,000 kepada penerima geran dan sekiranya masih tidak mampu menjelaskannya, mereka tetap dibantu oleh Tabung Kebajikan.

Pada majlis yang sama seramai 120 pewaris turut menerima RM1,500 seorang dari Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

"Dasar Kerajaan Pakatan Rakyat adalah untuk menyelesaikan keseluruhannya dan tanpa mengambil kira fahaman politik kerana mereka semua adalah rakyat Selangor. Mereka berhak mendapat geran tersebut," kata Abdul Khalid semasa memberi sumbangan SMUE. -tvsnews





Tiada ulasan: