Sabtu, 11 Februari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Ada Juga Lembu NFC Yang Masih Mahu Shahrizat Jadi Menteri

Posted: 11 Feb 2012 12:20 AM PST

Umno: Sharizat tidak perlu letak jawatan

JENGKA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak ada sebab untuk meletakkan jawatan ekoran isu kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC), kata Datuk Ahmad Maslan.

Ketua Penerangan Umno berkata, Shahrizat tidak seharusnya meletakkan jawatan kerana suaminya yang merupakan Pengerusi Eksekutif NFCorporation tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.

"Shahrizat tidak seharusnya dibebani dengan masalah NFC ini kerana beliau tidak ada kena-mengena dengan syarikat tersebut walaupun suaminya mempunyai kaitan.

"Itu adalah satu kebetulan. Shahrizat tidak mempunyai kuasa untuk menghalang suaminya untuk berniaga. Tambahan pula, jika suami atau isteri menteri tidak berniaga, apa lagi kerja yang mereka boleh lakukan," katanya di sini, malam tadi.

Ahmad berkata demikian sebagai respons kepada desakan beberapa pihak supaya Ketua wanita Umno itu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti bagi melicinkan proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu NFC.

Beliau turut berkata, geran bernilai RM250 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat tersebut bukan diperuntukkan secara percuma, sebaliknya ia adalah satu bentuk hutang yang perlu dibayar.

"Selain itu, NFC, sama seperti lima atau enam syarikat lain, mereka turut bertanding untuk mendapatkan tender di mana mereka akan membuat pembentangan atau taklimat dan hanya syarikat terbaik sahaja yang terpilih.

"Tambahan pula, syarikat tersebut mendapat kelulusan projek dari Kementerian Pertanian (dan Industri Asas Tani) dan bukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipegang oleh Shahrizat," katanya.

Beliau turut menegaskan, jawatankuasa NFC juga telah memutuskan bahawa Shahrizat tidak ada kaitan dengan syarikat tersebut. -SH

Umno Cheras: Selesaikan isu NFC sebelum p'raya

Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata kontroversi yang timbul berhubung isu syarikat National Feedlot Corporation perlu diselesaikan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Katanya, beliau tidak mahu isu yang membelenggu ketua sayap wanita parti itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menghakis sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Isu tersebut bakal menjadi beban besar kepada Umno sekiranya tidak ditangani, katanya seperti dipetik blog umnobahagiancheras.blogspot.com.

"Jangan salahkan rakyat (pengundi) jika mereka beralih sokongan disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu berkaitan kepentingan umum termasuk NFC," katanya lagi.

Kenyataannya itu timbul berikutan pendedahan terbaru PKR semalam berhubung dakwaan pembelian dua lagi kondominium, bernilai RM34.6 juta di di kawasan mewah Pusat Kewangan Marina Bay, Central Boulevard, Singapura.

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli semalam berkata, pembelian tersebut dipercayai diluluskan oleh bank-bank terbabit sebagai urusan timbal balik kerana National Feedlot Centre dan syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki keluarga Shahrizat mempunyai deposit yang besar di bank-bank tersebut.

Deposit berkenaan didakwa merupakan sebahagian daripada dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi National Feedlot Centre.

Kedua-dua hartanah itu dimiliki oleh suami Shahrizat, Datuk Mohd Salleh Ismail dan anak mereka, Wan Shahinur Izran.

Syed Ali juga menegaskan bahawa rakyat mahu isu yang mendapat perhatian media antarabangsa itu dijelaskan secara sahih.

"Jika semua dakwaan pembangkang terutama PKR itu fitnah, saya minta pihak berkenaan menafikannya secara terbuka berserta bukti atau fakta yang tepat bagi meyakinkan rakyat," katanya lagi.

Masyarakat umum mungkin membentuk persepsi bahawa dakwaan tersebut sebagai sesuatu yang "benar" sekiranya tidak dinafikan oleh keluarga Shahrizat, tambahnya.

Katanya lagi, keluarga Shahrizat juga tidak perlu takut jika mereka benar-benar tidak terlibat dalam penyelengan mahupun salahguna kuasa dalam kes tersebut.
-mk


Berita Harian Tarik Balik Rayuan, Mahfuz Kekal Terima Gantirugi RM150,000

Posted: 10 Feb 2012 10:35 PM PST

Mahkamah batal rayuan Berita Harian ke atas Mahfuz

PUTRAJAYA, 10 Feb: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan Berita Harian ke atas Datuk Mahfuz Omar tanpa kos setelah peguamcara Berita Harian memaklumkan kepada Mahkamah anakguam mereka menarik balik rayuan tersebut.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri dari Yang Arif Hakim Datuk Jeffery Tan, Datuk Clement Skiner dan Datuk Aziah Ali membenarkan permohonan Berita Harian untuk menarik balik rayuan tersebut apabila peguamcara Datuk Mahfuz, Mohamed Hanipa Maidin tidak membantah permohonan peguam Berita Harian tersebut.

Beita Harian pada 23 September 2009 memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan atas keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Haji Mohd Yazid bin Mustafa yang membenarkan tuntutan gantirugi Mahfuz ke atas Berita Harian sebanyak RM150,000-00.

Tuntutan itu dibuat di atas laporan berita yang disiarkan di akhbar tersebut bertarikh 9/11/2000 di muka hadapan akhbar bertajuk " Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk".

Atas berita yang bersifat fitnah tersebut, Mahfuz telah melalui peguamnya memfailkan writ saman ke atas Berita Harian dengan menamakan Ketua Pengarang akhbar tersebut pada masa itu Datuk Ahmad Rejal Arbee dan penerbit dan pencetak akhbar tersebut The News Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Di dalam artikel bertajuk 'Mahfuz ajak wakil BN bertumbuk' akhbar tersebut antara lain telah memfitnah kononnya Mahfuz telah mencabar Datuk Shaziman Abu Bakar bertumbuk di luar Dewan Rakyat semasa perbahasan usul membantah tindakan ganas polis kepada peserta perhimpuna di Klang pada tahun 2000.

Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan berita tersebut adalah fitnah ke atas Mahfuz kerana menurut hakim laporan akhbar berkenaan bercanggah dengan laporan Hansard Parlimen yang menunjukkan bahawa cabaran bertumbuk sebenarnya datang dari Datuk Shaziman Abu Bakar dan bukannya Mahfuz.

Mahfuz sebelum ini telah memfailkan permohonan Notis Usul untuk membatalkan rayuan tersebut kerana terdapat kecacatan serius dalam proses rayuan tersebut yang menjejaskan keesahan rayuan tersebut.

Akibat dari tindakan Berita Harian menarik balik rayuannya, peguamcara Mahfuz juga menarik balik Notis Usul tersebut tanpa perintah terhadap kos.

Sebelum ini Mahfuz juga telah berjaya di dalam samannya ke atas Utusan Malaysia apabila mahkamah mengarahkan Utusan membayar gantirugi RM120,000-00 dan kos ke atas Mahfuz kerana memfitnah beliau kononnya ingin mengguling kerajaan dengan kekerasan.

Berita Harian diwakili oleh Tetuan Shearn Delamore & Co manakala Mahfuz pula diwakili Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. -HD

Takda Rupa Hasan Ali Boleh Bentuk "Third Force"

Posted: 10 Feb 2012 08:11 PM PST

Hasan Ali - Dari UMNO beliau datang, kepada UMNO jugalah beliau akan kembali

Dr Hasan Ali, bekas Exco kerajaan (PAS) negeri Selangor, yang dipecat dari PAS baru-baru ini nampaknya mendapat tempat di media perdana terutamanya di TV3. Setiap malam kita melihat Hasan Ali diliputi oleh TV3 dan beliau ditonjolkan sebagai seorang pelakon Bollywood seperti Shah Rukh Khan.

Kita melihat lakunannya setiap hari dengan berdoa sambil menangis serta kembali bercakap dengan nada yang tinggi beserta dengan gerak tangannya yang menunjukkan beliau memang hebat berlakon dan berdrama.

Hasan akhir-akhir ini selalu menggunakan air mata beliau dalam membahaskan isu politik untuk menagih sokongan ramai. Beliau boleh menangis serta merta jika perlu dan air matanya jelas meleleh keluar.

Beliau mendapat liputan TV3 setiap hari dan kenapa beliau diberi tempat didalam media eletronik ini tanpa henti itu memang sudah menjadi perkara yang maklum kepada orang ramai. Berbagai-bagai cara beliau menonjolkan diri seperti bintang filem Bollywood. Yang belum beliau lakukan hanyalah menari dari gunung hingga ketepi laut sambil menyanyi dan naik kembali kegunung dengan pakaian yang bertukar-tukar silih berganti.

Sesungguhnya Hasan tidak selayaknya menjadi ahli politik. Oleh itu selepas beliau dipecat dari PAS ini, saya mencadangkan supaya Hasan pergi ke India dan menguji bakat lakonan bersama ramai yang minat berlakon dalam Industri filem di Bollywood. Beliau sememangnya mempunyai bakat berlakon dan saya merasakan beliau tidak akan melalui jalan sukar untuk berjaya dalam uji bakat berlakon di situ. Beliau memang seorang yang sangat berbakat dalam lakonan.

Walaupun saya tidak pernah kepanggung wayang sejak puluhan tahun yang lalu, saya berjanji akan membeli tiket yang secukupnya untuk se isi keluarga saya pergi menonton lakonan beliau dalam filem pertama yang beliau lakunkan nanti. Saya percaya pihak yang beliau caci sekarang ini iaitu PAS, PKR dan DAP tidak teragak-agak untuk bersama-sama menonton lakonan beliau.

Hasan merupakan seorang 'failed broker' kerana niatnya untuk menjadi orang penting dalam usaha penyatuan UMNO dengan PAS telah menemui kegagalan. Kegagalan untuk menyatukan UMNO dan PAS itu telah meranapkan cita-citanya untuk menjadi MB Selangor. Hasan mengharapkan untuk menjamah kerusi MB itu jika UMNO dan PAS bersatu kerana jika itu berlaku maka beliau akan berjaya melaksanakan 'intrigue' politik seperti mana yang telah berlaku di Perak sebelumnya.

Apabila niat dan matlamat untuk menjayakan 'compromise' di antara UMNO dengan PAS itu maka beliau terus sahaja membidas PKR dan DAP dan menjadikan Anwar sebagai 'punching bag' untuk beliau melakukan serangan kepada pihak-pihak yang telah menggagalkan niat beliau untuk mendapat munafaat jika UMNO dan PAS berjaya di satukan.

Rasa kempunan beliau inilah yang menyebabkan Hasan sudah hilang arah politiknya. Beliau rasa malu yang besar kerana disebabkan tapak dan langkahnya telah dengan mudah dapat dikesan dan difahami oleh semua pihak yang telah memerhatikan lagak dan lakunannya sejak usaha untuk merapatkan UMNO dan PAS itu jatuh sebelum 'taking off'.

Sekarang Hasan sedang mengaruk dan beliau menyalahkan semua pihak dalam Pakatan Rakyat. PAS dan DAP itu adalah pihak yang salah kepada Hasan PKR pula salah kerana jawatan MB yang beliau hendak tagih itu datangnya dari PKR. Hasan juga menyanggah secara peribadi terhadap Khalid Samad yang pernah menjadi timbalanya dalam PAS Selangor. Hasan juga membidas Anwar kerana kononnya PAS tidak mahu mengikut kehendaknya (Hasan) adalah kerana pengaruh Anwar Ibrahim.

Sekarang Hasan telah menyalahkan semua pihak dalam PR kecuali peribadi beliau sendiri. Beliau kini bergerak untuk mewujudkan 'force ketiga' untuk kononnnya untuk menjadi penentu dalam pilihanraya nanti. Bagi saya, Hasan tidak mempunyai rupa untuk menjadi 'third force' dalam politik tanah air sekarang ini.

Dalam situasi politik kali ini mana-mana pihak yang cuba untuk meletakkan diri mereka sebagai 'middle left' atau 'middle right' tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Rakyat kini mahukan kumpulan yang 'decisive', samada kanan atau pun kiri. Tetapi jika diselidik kepada keadaan hari ini, Hasan mungkin menyertai UMNO juga akhirnya. UMNO adalah parti yang beliau pernah sertai sebelum isu Anwar pada tahun 1998 dahulu.

Jika Hasan kembali menyertai UMNO maka 'dari UMNO beliau datang, kepada UMNO jugalah beliau akan kembali'. Buat sementara waktu Hasan boleh bersalaman ketat-ketat dengan Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan Zaharin Hashim. -aspanalias

Najib Perlu Selesaikan Kemiskinan Melampau Di Pekan

Posted: 10 Feb 2012 05:50 PM PST

Najib diminta selesai kemiskinan di Pekan

PEKAN, 10 Feb: Daripada terus menabur janji merata-rata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar tidak lupa menangani kemiskinan melampau di kawasan parlimennya sendiri.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, antara kawasan yang paling daif keadaan ekonomi dan sosialnya di sini ialah di Kuala Pahang.

Tambah Abu Kassim, meskipun penduduknya merupakan warga tempatan namun keadaan hidup, ekonomi dan sosial mereka tidak sebaik nasib 'penduduk import' orang Kemboja di kampung Tanjong Agas dan orang Myanmar di Sungai Miang.

"Kebanyakan mereka nelayan dengan pendapatan tak tetap dan rezeki menyara keluarga bergantung kepada hasil laut yang tidak menentu, ditambah pula musim tengkujuh selama tiga bulan.

Gambar kanan: Ust Abu Kassim manaf

"Sekarang ini tiap-tiap hari orang Kuala Pahang datang minta bantuan di Pusat Khidmat PAS Pekan, ini mumbuktikan kerajaan dan ahli parlimennya sendiri gagal membela nasib mereka.

"Nasib mereka tak terbela sejak berpuluh tahun sedangkan kelompok inilah yang memenangkan Umno dan BN selama ini," katanya.

Difahamkan, pernah Umno menjalankan program 'Gempur Kemiskinan' dengan inisiatif mewujudkan pusat jahitan semasa Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri. Namun tiada perubahan yang dicapai dan penduduk terus dibelenggu kemiskinan jauh sekali daripada hidup selesa.

Tinjauan Harakahdaily ke lokasi baru-baru ini mendapati keadaan penempatan penduduk tidak menggambarkan berada di kawasan Perdana Menteri kerana rumah yang buruk dan berhimpit-himpit sehingga menyakitkan mata.

Menurut penduduk, kerajaan telah beberapa kali berjanji terutama menjelang pilihan raya untuk membina kediaman tersusun yang tidak jauh dari sini. Malangnya sehingga hari ini, di lokasi tersebut hanya tapak sahaja yang ada.

Tambah mereka lagi, ketika Tun Razak menjadi Ahli Parlimen Pekan atas usaha beliau telah membina perumahan kos rendah rakyat di Kuala Pahang pada tahun 1969 dengan bayaran sebanyak RM10 sebulan. Manakala rumah pemindahan banjir pula penduduk membayar RM15 sebulan pada tahun 1971.

Apa yang mengecewakan mereka, pada zaman Najib menjadi ahli parlimen dan Perdana Menteri ini tiada usaha serius untuk mengubah nasib mereka.

Bagi menambah pendapatan penduduk, kerajaan juga telah membina kolam simen yang besar untuk mereka memelihara ikan terutama pada musim tengkujuh. Namun setakat ini tiada ikan yang diisi.

Abu Kassim berkata, di Kuala Pahang masyarakatnya tidak tersusun sebab itu selain daripada masalah ekonomi, keadaan sosial di sini juga teruk dengan penagihan dadah dan gejala anak luar nikah.

"Itu yang kami kesal sedangkan Parlimen Pekan sudah melahirkan dua Perdana Menteri, tiga Menteri Besar dan dua Timbalan Menteri Besar. Tetapi nasib penduduk Kuala Pahang tidak berubah," katanya.

Sekolah Cina ini majoriti muridnya di kalangan pelajar Melayu.

Perdana Menteri yang berasal dari Pekan ialah Tun Razak Hussein dan anaknya Najib. Manakala Menteri Besar Pahang yang datang dari daerah ini ialah Datuk Mohamad Jusoh, Najib dan Tun Khalil Yaakob.

Timbalan Menteri Besar pula ialah Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.

Dewan Undangan Negeri Kuala Pahang (kini Peramujaya) pernah dimenangi PAS pada pilihan raya umum (PRU) 1999 melalui Mohd Iqbal Hamdy Rusdi. Sementara Najib pula hanya menang tipis pada tahun tersebut dengan majoriti 241 undi.

"Sekarang ini Najib dan pemimpin Umno lain berjanji di negeri-negeri seperti Selangor dan Kelantan jika pilih BN semua masalah akan selesai. Kami minta selesaikanlah dulu masalah di Kuala Pahang ini," tegas Abu Kassim. -HD

Ana Raffali Bertudung... Semuga Lebih Ramai Selebriti Ikut Jejak Langkahnya

Posted: 10 Feb 2012 03:32 PM PST

Penyanyi yang bakal ke jinjang perkahwinan pada 25 Februari ini, Ana Raffali, mengambil keberkatan Maulidur Rasul untuk mengenakan hijab serentak kehadiran hari besar junjungan Nabi Muhammad SAW.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Tolong Ingatkan Aku' ini menegaskan keputusan diambil bukan atas desakan sesiapa namun keinginan itu lahir atas kesedaran diri sendiri.

Ana juga menjelaskan tiada sebarang keraguan yang bermain dalam fikiran untuk bertudung malah bersyukur keinginan itu mendapat sokongan ramai terutama daripada keluarganya.

Tanpa berselindung Ana juga menjelaskan dirinya semakin tenang walaupun kini sibuk menguruskan majlis perkahwinannya yang berbaki dua minggu sahaja lagi.

"Semasa sambutan Maulidur Rasul tempoh hari, Ana terasa satu keinginan, dorongan… Susah sebenarnya Ana nak jelaskan tetapi pada hari itu, Ana nak sangat-sangat pakai tudung," kongsi Ana Raffali dengan GUA sebentar tadi mengenai keputusannya untuk bertudung.

"Ketika Ana bersiap nak keluar, Ana pun pakai. 'It felt right.' Ana tak berbincang dengan sesiapa. Cuma dengan Naim (bakal suami), Ana ada beritahu, hari ini Ana nak pakai tudung. Dia kata 'Alhamdullilah'.

Ibu bapa Ana turut gembira melihat anak perempuan mereka berubah menjadi lebih baik. Sebelum ini, Ana biasanya memakai tudung untuk majlis-majlis keagamaan dan sepanjang zaman persekolahannya.

"Ana membuat keputusan ini atas kehendak dan keinginan Ana sendiri. Ana gembira dan bagi Ana, ini jawapan kepada doa-doa mereka di luar sana. Sebelum ini bila ada yang bertanya (bila Ana nak bertudung), Ana tak pernah ada jawapan. Ana cuma minta mereka doa-doakanlah.

"Ana berasa lebih tenang sekarang dan dengan penghijrahan ini, Ana mengharapkan yang terbaik. Ana masih seperti yang anda semua kenali dulu cuma Ana melihat diri Ana kini mempunyai kehidupan yang lebih sempurna."

Sumber: Media Hiburan dan Gua


Bertudung sebab diri sendiri




BERKAT 12 Rabiulawal sempena kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, 27, membawa arus perubahan besar dalam hidup dan kerjayanya dengan tampil bertudung.

Selepas mengejutkan banyak pihak menerusi pengumuman majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka kelahiran Selangor, Ahmad Aznaim Abdullah atau dikenali sebagai Naim, 30, gadis yang menggunakan nama pentas Ana Raffali itu sekali lagi membuka mata ramai terutama peminatnya.

Melangkah setapak lebih dekat dengan tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi, Ana yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, semalam mengakui dia kini merasakan dirinya lebih dekat dengan Maha Pencipta.

"Saya tak melihat pemakaian tudung sebagai satu imej atau trend, ini merupakan pelaksanaan tanggungjawab saya. Sebagai seorang wanita beragama Islam, tidak salah untuk saya mendekatkan diri dengan ajaran agama yang memayungi saya sejak dari kecil," ujarnya yang ditemani buah hatinya yang juga seorang jurufoto bebas itu ketika sesi fotografi tersebut.

Jujur, tatkala lensa kamera jurufoto Kosmo! ,Jeffri Iran membidik tepat ke arah dirinya, si gadis itu kelihatan lebih manis dan tenang.

Kata Ana, penghijrahan itu merupakan doa daripada peminat dan individu sekeliling yang sentiasa menyokongnya selama ini.

"Ramai orang tanya bila nak pakai tudung dan saya jarang memberikan komen mengenai perkara itu. Malah, tidak sesekali saya menangkis atau menolak untuk memakai tudung.

"Dan sekarang syukur Alhamdulillah, doa anda semua dimakbulkan Allah. Jodoh pun sudah ketemu dan kini tanggungjawab saya sebagai seorang wanita beragama Islam semakin lengkap," katanya.

Perasaan yang menusuk terus ke dalam sanubarinya saat dia memutuskan untuk bertudung dirasakan anugerah teragung baginya.

"Alhamdulillah sekarang rasa lebih tenang dan sewaktu hari saya nak pakai tudung itu pun perasaan itu datang dengan sendirinya dan bukan secara mengejut atau tiba-tiba.

"Sebelum keluar makan petang bersama Naim, saya terasa mahu memakai tudung dan saya rasa sangat selesa. Ini perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya, ditambah pula dengan keberkatan Maulidur Rasul pada hari itu," ucap Ana setinggi-tinggi pujian kepada yang Maha Esa atas sinar yang ditunjukkan.

Bertudung bukan satu perkara asing bagi Ana kerana setiap kali menghadiri majlis keagamaan mahupun kenduri dia bakal mengenakan hijab di kepalanya. Malah, dari zaman belajar lagi menurut Ana, dia sememangnya bertudung.

Jatuh Cinta

Menyangkal sama sekali seandainya ada dakwaan yang mengatakan bahawa dia bertudung disebabkan perjalanan hidupnya yang bakal berkahwin tidak lama lagi, ditambah pula dengan faktor latar belakang keluarga Naim yang bersangkut paut dengan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan). Bapa Naim sebenarnya pernah bekerja di Jawi.

"Saya bertudung bukan disebabkan keluarga Naim tapi sebab diri saya sendiri, saya bersyukur kerana dikurniakan nikmat dan rezeki yang melimpah ruah dari Allah.

"Beginilah cara saya membalas kasih sayang-Nya kepada saya iaitu kepercayaan bukan saja dari dalaman tapi juga secara lahiriah. Allah bukakan hati dan mata saya untuk mendapat kesedaran secara halus," luah Ana.

Tambahnya, sepanjang jalinan hubungannya dengan Naim dia tidak pernah dipaksa untuk bertudung dan disebabkan itu mereka berasa semakin selesa dan serasi.

"Kami pun banyak berbincang mengenai hal agama dan masing-masing memberikan pendapat masing-masing," katanya.

Ditanya mengenai persiapan Ana menuju hari bahagianya bersama jejaka yang dipanggilnya Naim, jawab Ana segalanya berada di landasan yang tepat.

"Alhamdulillah sedang berjalan lancar, hantaran sikit lagi nak siap, kami sudah buat perjumpaan kedua-dua belah pihak begitu juga dengan pihak masjid dan aturcara majlis pun dah siap," katanya yang bakal menggunakan khidmat Ezuwan Ismail dan Safura Azali sebagai pereka pakaian nikah dan resepsi nanti.

Menerusi perbincangan yang sudah dibuat, tambah Ana, sebanyak tujuh dulang hantaran dari pihak lelaki dan sembilan dulang hantaran dari pihak perempuan sudah dipersetujui.

FIGURA yang dikenali dengan imej sopan ini mengakui dirinya kini semakin dekat dengan Tuhan.


Sementara, mas kahwin dan perkara lainnya masih dalam proses perbincangan.

Memikul tanggungjawab bergelar isteri pastinya sedikit sebanyak menghadiahkan jiwa gemuruh buat Ana. Diakui sendiri oleh empunya badan, katanya lagi: "Saya bersyukur sangat-sangat, senang cerita perasaan saya gemuruh dan gembira. Semuanya bercampur-baur."

Memilih untuk berkahwin tatkala karier masih berada di puncak sekali gus bersama satu tanggungjawab yang makin berat, Ana menegaskan dia tidak akan sesekali meninggalkan kariernya sebagai anak seni.

"Saya akan terus berkarya dan insya-Allah pada bulan Mei nanti saya bakal muncul bersama album kedua saya yang memuatkan 10 buah lagu termasuk sebuah lagu baharu, Lisa Jatuh Cinta.

"Material semua dah ada cuma konsepnya masih belum diputuskan. Biar tanggungjawab saya sudah bertambah tapi saya tetap Ana Raffali yang anda semua kenali," tegasnya.

Bingkisan lagu buat Naim

Sebagai seorang karyawan merangkap penulis lirik dan komposer muda yang berbakat, Ana Raffali tidak ketinggalan mendedikasikan sebuah lagu khas buat sang kekasih, Ahmad Aznaim Abdullah, 30.

Lagu Sampai Bila dihasilkannya dua tahun lalu dan katanya tidak sengaja ditujukan khas buat bakal suaminya itu.

"Dua tahun lalu kalau tak silap saya cipta lagu itu dan yang menariknya setiap intipati dalam lagu itu menceritakan kisah saya dan dia (Naim)," singkapnya.

Secara literal, lagu itu menurut Ana berkisar tentang kisah kekasih yang sudah sekian lama bercinta. Jadi sudah sampai masanya untuk setiap pasangan itu meneroka peringkat lebih tinggi dalam sesebuah ikatan perhubungan untuk menyatukan dua hati.

"Lagu ini sebagai pesanan mesra kepada mereka yang sedang bercinta dan merancang masa depan bersama," ucap Ana.
-kosmo


Ulasan GB

Tahniah dan syabas kepada Ana Raffali.

Semuga berkekalan dan semuga lebih ramai selebriti dikurniakan hidayah mengikuti jejak langkah Ana Raffali untuk menyahut seruan Allah agar menutup aurat. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Firmanullah:


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً

Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya. Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Najib Lakukan Kerja Syirik, Kenapa Jamil Khir & Hassan Ali Tidak Bersuara?

Posted: 10 Feb 2012 07:31 AM PST

Najib 'gadai akidah' hadir upacara Thaipusam di Batu Caves, tegas Harussani

KUALA LUMPUR, 10 Feb — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang "menggadai akidah" apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

"Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

"Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.

"Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.

"Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan," katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.

Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.

Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.

"Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan kufur yang boleh merosakkan akidah.

"Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang," kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan. -TMI

Ulasan GB

Itu teguran dari Mufti Perak, Harussani.

Dimana gerangannya Menteri Agama, Jamil Khir Baharum yang selama ini menjadi peneman Najib? Malah beliau menjadi menteri pengiring kepada PM semasa menunaikan haji dan lantang membela Najib semasa ditegur oleh Mufti perlis tentang kenyatan salah Najib di twitternya yang menyatakan beliau telah selesai tugas haji di saat orang lain masih bersaei.

Mengapa Jamil Khir tidak menasihati Najib di dalam hal-hal yang membatalkan syahadah seperti perbuatan syirik yang ditegur oleh Mufti Perak berkenaan?

Mana Hassan Ali yang ingin menjadi hero memperjuangkan aqidah? Kenapa tidak mahu ditegur perbuatan Najib yang "terang-terangan" melakukan kerja syirik dan murtad tersebut?

Apakah Jamil Khir & hassan Ali serta ahli-ahli UMO yang lain redha dengan perbuatan Najib dan sedia berkongsi saham hasil perbuatan Najib tersebut?

Pendedahan Rasuah: Kadir Selar UMNO Mahu Ambil Tindakan Disiplin Terhadapnya

Posted: 10 Feb 2012 04:52 AM PST

Kadir: Apa dah jadi dengan Umno...

Timbalan Presiden Angkatan Amanah Rakyat (Amanah) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir berkata Jawatankuasa Displin Umno "tidak perlu bersusah payah" untuk menyiasat kenyataan akhbar dan rakaman temubualnya di internet TV yang dianggap satu kritikan terhadap parti.

Sebaliknya, beliau sendiri akan menghantar rakaman "penuh dan tidak diedit" kepada jawatankuasa displin pada minggu depan.

Katanya, kenyataan dan rakaman temubual dengan Malaysiakini, Harakahdaily dan MOBTV serta ucapannya di Seminar ASLI telah direkodkan dalam DVD dan akan diserahkan pada minggu depan.

"Saya buat apa. Kalau benda ini, tak boleh beri pandangan, apa dah jadi dengan Umno.

"Itu sahaja, sebab saya kenal Umno. Tahun 50-an, 60-an dan 70-an, Umno memang demokratik, boleh kritik pemimpin, tak ada tindakan displin," katanya.

Bercakap dalam sidang media, Kadir mendesak supaya Umno mengkaji terlebih dahulu "kritikannya" sebelum tindakan diambil.

Kaji dahulu 'kritikannya'

Bercakap dalam sidang media, Kadir yang juga bekas menteri pelancongan mendesak supaya Umno mengkaji terlebih dahulu "kritikannya" dan melaksanakannya kerana beliau yakin ia akan membawa kebaikan kepada semua bagi jangka masa pendek atau panjang.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor berkata jawatankuasa displin parti itu mempunyai kuasa untuk bertindak terhadap ahli yang melanggar etika parti termasuk jawatankuasa itu akan merujuk kenyataan Kadir yang didakwa menjejaskan kepentingan parti.

Mengulas lanjut, Kadir berkata beliau menerima rombongan ahli keluarga rapatnya yang meminta supaya "jangan buat itu dan buat ini", bahkan dihubungi pihak media meminta komen berhubung jawatankuasa displin yang diminta menyiasat kenyataannya.

Antaranya cadangan dan pandangannya kepada Umno yang dilaporkan pihak media, yang dianggap sebagai "kritikan" ialah berhubung dakwaaan rasuah politik untuk mendapat tempat dalam parti termasuk jawatan tertinggi dalam parti.

Kadir menganggapnya ianya satu perkara "keji dan jijik" dan mendesak kerajaan dan parti supaya menghentikan apa yang didakwanya "pemberian rasuah" - secara langsung atau tidak - kepada rakyat untuk menjadi popular dan mendapat undi dalam pilihan raya.

"Saya yakin ada cara-cara lain yang lebih berkesan dan berkekalan untuk mencapai objektif tersebut.

'Kita diperhati'

"Percayalah bukan sahaja rakyat dalam negeri tetapi masyarakat antarabangsa juga sedang memerhati kita. Perbuatan ini adalah hodoh dan ketinggalan zaman," tegasnya.

Kadir yang juga bekas menteri pelancongan mendakwa pengedaran wang tunai kepada rakyat, akan merosakkan nilai murni dan cara hidup mereka.

"Adakah ini yang kita hendak wariskan kepada generasi akan datang?" soalnya.

Selain itu, Kadir turut membangkitkan berhubung kegagalan pemimpin bumipitera meletakkan kedudukan sosio-ekonomi bumiputera ditempat seadil dan sepatutnya.

Menurutnya, pandangan yang diberikan dalam rakaman tersebut "tidak sampai 10 peratus" daripada yang dilakukannya sewaktu beliau menjadi exco Pemuda Umno pada tahun 60-an dan 70-an termasuk berhujah, mengkritik dan memberi pandangan.

Beliau yang pernah bekerja di bawah bekas ketua Pemuda Umno ketika itu Allahyarham Datuk Harun Idris, ketika itu bukan sahaja tidak perlu menghadapi jawatankuasa displin teatpi sebaliknya diberikan peluang berkhidmat dengan pelbagai jawatan.

"Saya sendiri dilantik oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dan kemudiannya menyambung jawatan sebagai setiausaha politik kepada menteri-menteri kabinet. Allahyarham Tun Hussein Onn pula memilih saya untuk bertanding di kawasan parlimen Kulim-Bandar Baharu pada tahun 1978.

"Oleh yang demikian saya ingin mengingatkan semua yang berkaitan janganlah menghina Umno yang sepatutnya terus dikekalkan sebagai sebuah parti demokratik.

"Ahli di semua peringkat harus dibenar bersuara dan pemimpin pula harus mengkaji hujah-hujah dari ahli ini," katanya sambil menyatakan keyakinan hujah itu akan menyubur dan menguatkan perjuangan parti.

Menjawab soalan pemberita mengenai statusnya dalam parti, Kadir yang juga bekas menteri penerangan menjawab beliau masih lagi ahli Umno.

Ditanya sama ada beliau bersedia berdepan dengan apa sahaja tindakan jawatankuasa displin, Kadir yang juga bendahari Umno Kulim-Bandar Baharu berkata beliau "tidak ada masalah".

"Saya tak ada masalah apa. Saya pun tidak bergantung hidup dengan parti....Tak ada masalah, cuma saya kesianlah bahawa kita sudah menyimpang jauh daripada perjuangan asal. Itu sahaja," katanya. -mk



Juruteknik Ditemui Mati Tergantung

Posted: 10 Feb 2012 03:05 AM PST

Juruteknik ditemui mati dalam keadaan tergantung

KAPAR - Seorang Juruelektrik swasta sempat memohon maaf daripada isteri, keluarga dan rakan melalui sepucuk surat yang ditulis sendiri sebelum ditemui mati berhampiran kediamannya di Jalan Sungai Kapar Indah 6C, Taman Sungai Indah, di sini semalam.

Mangsa dikenali, Kong Ben Chung, 52, ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebatang pokok oleh orang ramai yang melalui kawasan itu kira-kira jam 7.10 pagi.

Melalui surat yang ditemui dalam poket seluar mangsa turut menyebut, mendiang meminta isterinya melangsaikan segala hutang.

Mangsa yang disahkan mengidap kanser otak itu dipercayai bertindak sedemikian kerana mempunyai kaitan dengan masalah hidup yang dihadapi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada orang ramai sebelum sepasukan anggota bergegas ke rumah teres dua tingkat milik mangsa.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menemui seorang lelaki dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok dengan menggunakan tali keselamatan elektrik.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa sudah meninggal dunia akibat jerutan pada leher menggunakan tali keselamatan elektrik yang dipercayai milik mangsa sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Shukor berkata, berdasarkan makluman daripada isteri mangsa, suaminya masih berada dalam bilik tidur kira-kira jam 3 pagi.

Bagaimanapun, dia tidak menyedari bila suaminya keluar dari bilik mereka dan menghampiri pokok di hadapan­ rumah itu.

Katanya, berdasarkan keterangan isteri mangsa, tiada sebarang salah faham berlaku antara mereka, tetapi Ben Chung dikatakan sanggup bertindak sedemikian kerana tertekan selepas disahkan menghidapi kanser otak, baru-baru ini.

"Siasatan polis terhadap mangsa juga tidak menemui sebarang unsur jenayah, kita percaya mangsa bertindak memanjat pokok di hadapan rumahnya dengan mengikat badan menggunakan tali keselamatan elektrik sebelum terjun," katanya.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -SH

Tiada ulasan: