Khamis, 2 Februari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Petronas Digesa Utamakan Yang Utama, Bayar Royalti Minyak Kelantan Dahulu

Posted: 02 Feb 2012 01:20 AM PST

Petronas dipandang tinggi jika bayar royalti Kelantan

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Petronas sepatutnya mengutamakan tanggungjawabnya di segi perundangan dahulu sebelum melaksanakan tanggungjawab sosialnya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, walaupun pembinaan laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang adalah sumbangan yang sangat dialu-alukan, tetapi lebih penting lagi Petronas mengutamakan perlaksanaan tanggungjawabnya di sisi undang-undang.

"Sehingga kini Peronas tidak melaksanakan legal responsibiliti atau tanggungjawabnya di sisi undang-undang dan membayar royalti minyak kepada Kelantan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin, jika Petronas melaksanakan tanggungjawab perundangannya itu dan membayar royalti minyak kepada Kelantan dan negeri lain yang berhak mendapat royalti tersebut, syarikat minyak nasional itu akan dipandang tinggi sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

Sehingga kini, kerajaan negeri Kelantan terus disekat dan dinafikannya haknya untuk menerima royalti yang termaktub dalam Akta Petroleum itu.

Menurut The Star, laluan pejalan kaki berhawa dingin bernilai RM100 juta itu dibiayai oleh Petronas di bawah program sumbangan sosialnya.

Bagaimanapun, harga RM100 juta untuk laluan berhawa dingin sepanjang 562 meter dan selebar lima meter itu dipertikaikan oleh blogger pro-Umno sendiri.

Blogger itu menyifatkan harga laluan pejalan kaki itu, iaitu RM3,307 sekaki persegi terlalu mahal.

Menurut blogger itu, harga RM3,307 sekaki persegi untuk laluan pejalan kaki itu enam kali ganda lebih mahal dari harga kondominium enam bintang di Mont Kiara.

Kos sedemikian, katanya, "lebih teruk dari kondo lembu".

Laluan pejalan kaki berhawa dingin yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merentasi kawasan sibuk di Jalan Pinang, Jalan Perak dan Jalan Raja Chulan dengan pintu masuk bereskalator dan bertangga serta pintu keluar di lokasi strategik dan selesa.

Bahagian lainnya terdiri daripada sebuah terowong pejalan kaki dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur yang sekarang bersambung dengan terowong sedia ada ke kompleks beli-belah Suria KLCC.

Hujan Batu & Angin Puting Beliuang Landa Kulim

Posted: 02 Feb 2012 12:24 AM PST

Ribut hujan batu rosakkan 57 rumah di empat mukim di Kulim

KULIM - Sebanyak 57 rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di sini, petang semalam. Kejadian pada pukul 6 petang di empat mukim itu menerbangkan 28 bumbung rumah terbabit.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim Rohana Yusuf berkata 35 rumah yang rosak itu ialah di Mukim Padang China, 16 di Mukim Keladi, lima di Mukim Lunas dan satu di Mukim Sungai Seluang.

"Kawasan yang paling teruk dilanda ribut ialah Taman Mutiara, Sungai Kob di Mukim Padang China," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian ribut mendapati banyak dahan, batang dan ranting pokok buah-buahan dan pokok hiasan bertaburan dan pokok yang tumbang telah dipotong dan dikumpul di tepi jalan untuk memudahkan laluan.

Seorang pekerja kilang, Hafizah Md Hasan, 40, berkata beliau yang mendukung anak bongsunya Norshafiq Hani, 2, nyaris ditimpa sebatang pokok mempelam ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari rumah pengasuh di Taman Mutiara, Sungai Kob.

"Dalam keadaan saya bersama anak basah kuyup akibat hujan lebat, saya hampir terjatuh berikutan angin kuat ketika berada berhampiran sebatang pokok mempelam...beberapa saat selepas itu, saya dapati pokok mempelam itu tumbang hampir menimpa saya dan anak," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN) Padang Serai Dr Chin Tung Leung, Setiausaha Umno Bahagian Padang Serai Drs Ahmad Zubib Saad dan Ketua Umno Cawangan Taman Mutiara Dr Zainal Abidin Raja Mohd Hashim melawat rumah-rumah mangsa untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerugian yang dialami mereka.- Bernama


Muka 'dilibas' angin puting beliung

KULIM: "Sebaik melintasi pokok mempelam milik jiran, saya terdengar dentuman sebelum pokok itu tumbang, manakala saya yang sedang mendukung anak kecil tiba-tiba terjatuh ke atas jalan selepas muka seolah-olah 'dilibas' angin puting beliung."

Begitu kata pekerja kilang, Hafizah Md Hassan, 43, yang menceritakan semula detik cemas selepas terkena 'libasan' angin kuat dalam kejadian ribut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Mutiara, Sungai Kob, di sini, petang kelmarin.

Hafizah berkata, dalam kejadian jam 5.40 petang itu, dia bersama seorang anaknya, Nurshamila Shetri, 12, ke rumah pengasuh untuk mengambil bayi perempuannya, Nursyafiah Hany, 18 bulan, dalam hujan renyai-renyai.

"Sebaik pulang dari tempat kerja, saya mengajak Nurshamila menemani untuk mengambil Nursyafiah di rumah pengasuh kira-kira 80 meter dari rumah.

"Kami bertiga berjalan pulang dalam hujan semakin lebat dan angin mulai kencang. Kami bergerak cepat dengan menggunakan payung berikutan bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini.

"Tiba-tiba pokok mempelam milik jiran mengeluarkan bunyi kuat sebaik kami melintasinya lalu tumbang dan muka saya seperti ditolak menyebabkan saya dan dua anak jatuh terduduk di atas jalan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ketika itu pandangannya menjadi kabur apabila melihat suasana menjadi putih seperti kabus lalu bingkas bangun dan menarik anak berlari ke rumah selepas payung turut diterbangkan angin kuat.

Katanya, beberapa minit kemudian dia terdengar pula dentuman kuat dari luar rumah dan mendapati bumbung rumah jiran, Mohd Dahar Yusoff pula diterbangkan angin. -hm

Lagi Kepala Babi Diletakkan Depan Masjid, Kali Ini Di Sentul

Posted: 01 Feb 2012 10:01 PM PST

Kuala Lumpur - Selepas penemuan kepala babi di sebuah masjid di Rawang kelmarin, Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini turut dikejutkan dengan insiden yang sama.

Kepala babi yang dibungkus dengan plastik disedari oleh seorang tukang sapu yang sekitar jam 7.30 pagi tadi. Ia diletakkan di depan pagar utama kawasan masjid berkenaan.

Kehadiran bungkusan itu disedari kira-kira jam 11 malam tadi oleh bilal masjid yang awalnya menyangkakan ia hanya sampah selepas ia menghalang pagar daripada ditutup.

Dalam plastik berkenaan terdapat kaki, kepala, kulit dan bebeapa anggota badan babi.

Unit forensik sedang menjalankan siasatan dan kawasan masjid berkenaan kini menjadi tumpuan awam. -SH

Kepala babi ditemui di masjid di Sentul pula

Kepala babi ditemui pula di sebuah masjid di Sentul, Kuala Lumpur hari ini, menjadikannya kes kedua dalam tempoh kurang seminggu.

Menurut ahli parlimen Batu Tian Chua, kali ini kepala babi itu ditinggalkan di Masjid Hidayat Sentul, di kawasan parlimennya.

"Pihak tidak bertanggungjawab meninggalkan kepala babi di Masjid Hidayat Sentul. Percaya cakap saya, sesiapa yang bermain dengan api ini, kita akan berikan mereka neraka!" tulisnya di Twitter pada kira-kira jam 10 pagi ini.

Ketika dihubungi, Chua berkata beliau sedang bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa masjid mengenai perkara itu dan akan mendedahkan lebih banyak butiran selepas mesyuarat berkenaan.

Selasa lalu, satu kepala babi ditemui di sebuah masjid di Rawang oleh ahli jawatankuasa masjid sebelum solat subuh.

Polis sedang menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan. -mk




Harimau Jadian Yang Menipu Haiwan Liar Dan Manusia Juga

Posted: 01 Feb 2012 08:18 PM PST

Harimau jadian

KOTA BHARU: Bukan saja haiwan liar tertipu, manusia juga tertipu. Itu yang berlaku kepada penduduk di Kampung Manjor, Kuala Krai apabila membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas melihat patung harimau yang disangka harimau sebenar.

Insiden melucukan itu berlaku apabila seorang penduduk di kampung berkenaan meletakkan dua patung harimau di kawasan rumah dan kebunnya dengan tujuan menghalau haiwan liar. Dalam kejadian Isnin lalu, sepasukan anggota Perhilitan yang mendapat laporan bergegas ke kampung berkenaan sebelum mendapati dua ekor harimau yang dilaporkan itu sebenarnya patung harimau sepanjang kira-kira 1.3 meter.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani berkata, kejadian berkenaan berlaku apabila pihaknya menerima laporan kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu daripada seorang penoreh getah yang datang ke pejabat Perhilitan di Kota Bharu memaklumkan ada penduduk di kampung berkenaan membela harimau.

Katanya, seramai 11 anggota Perhilitan dihantar ke kampung berkenaan pada jam 3 petang, hari yang sama dengan membawa beberapa kelengkapan termasuk senjata api, namun tidak menemui jejak harimau seperti dilaporkan.

"Kita melakukan pula siasatan di rumah milik Mohd Azari Said, 39, iaitu orang didakwa memelihara dua ekor harimau itu. Sebaik bertanyakan lelaki terbabit mengenai harimau yang dikatakan oleh penduduk kampung, dia mengaku mempunyai dua ekor harimau, yang mana seekor diletakkan di kebun untuk menghalau kera dan babi hutan manakala seekor lagi dijadikan mainan oleh anaknya.

"Ketika itu, barulah kita tahu yang kelibat harimau yang didakwa dilihat oleh penduduk hanyalah patung harimau yang banyak dijual di kedai," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu amat melucukan kerana sejak seminggu lalu ada penduduk yang melaporkan kepada Perhilitan bahawa Mohd Azari dan anaknya membawa salah seekor harimau itu 'makan angin' menggunakan motosikal.

"Lelaki terbabit mendakwa membeli setiap patung harimau itu dengan harga RM70 kerana tertarik dengan saiznya selain dikatakan berkesan bagi menghalau kera dan babi hutan.

"Walaupun tidak mengeluarkan sebarang bunyi seperti mengaum serta langsung tidak bergerak ia berkesan menghalau haiwan liar lain," katanya. -hm

Berita berkaitan

Monyet, babi hutan tertipu



PORT DICKSON: "Sudah habis cara kami lakukan untuk menghalau monyet liar dan babi hutan, sehinggalah seorang rakan memberi idea supaya meletakkan 'harimau' di laman rumah," kata Norehan Nordin, 55, yang meletakkan patung harimau di hadapan rumahnya bagi menghalau haiwan liar itu daripada mengganas dan merosakkan tanaman di kebunnya di Kampung Telok Pelandok, di sini.

Lebih mengejutkan, idea itu ternyata berkesan apabila ratusan monyet liar tidak lagi menghampiri kawasan rumahnya kerana bimbang 'dimakan' harimau itu.

"Tidak sangka idea ini berkesan berikutan monyet liar lari bertempiaran selepas melihat patung harimau itu dan tidak lagi berani menghampiri rumah dan tanaman kami.

"Saya bercadang mahu 'membela' lagi harimau kemudian diletakkan di seluruh rumah bagi menakutkan monyet dan babi hutan berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Norehan berkata, patung harimau itu perlu dipilih dengan betul iaitu mulutnya mestilah terbuka seperti sedang mengaum supaya kelihatan garang dan saiznya mestilah sama dengan harimau sebenar.

"Saya mengetahui taktik itu sebaik diberitahu pekedai di Ayer Itam, Johor, yang menyarankan saya membeli patung harimau mulut terbuka.

"Walaupun harganya mencecah RM120 seunit, namun berbaloi untuk menakutkan monyet yang sentiasa ada di sekitar rumah. Jika tidak, kawasan lapang hadapan rumah menjadi tempat haiwan itu berkeliaran," katanya.

Menurut suaminya, Abu Bakar Yusof, 58, rumah itu peninggalan ayahnya sejak 50-an dan menjadi tempat berkumpul monyet liar.

"Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, monyet berkenaan membiak hingga kadang-kadang boleh mencapai beribu ekor hingga menakutkan cucu saya," katanya. Abu Bakar berkata, sejak rumahnya meletakkan harimau itu, ia menjadi ikutan kepada jiran yang turut meletakkan patung harimau di halaman rumah mereka.

"Dulu jika kami leka, monyet akan masuk ke dalam rumah dengan membuka pintu kemudian memakan makanan yang diletakkan di atas meja.

"Saya berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat melakukan sesuatu berikutan sudah beberapa kali aduan dibuat ke jabatan itu, namun tiada tindakan," katanya.




Gadis Dibelasah Berebut Lelaki Di Facebook

Posted: 01 Feb 2012 06:47 PM PST

Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah

KANGAR – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini teruk 'dikerjakan' sekumpulan 15 pelajar perempuan lain gara-gara pertelingkahan berebut teman lelaki sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.

Gambar: NOOR yang cedera selepas dibelasah 15 pelajar perempuan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar semalam

alam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang kelmarin berhampiran sekolah itu yang terletak dekat sebuah taman perumahan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Noor, 15, mendakwa dia ditampar, dipukul dan dipijak oleh kumpulan pelajar tersebut yang mengamuk selepas menuduhnya merampas kekasih mereka.

Serangan ganas itu berlaku ketika mangsa baru keluar dari sekolah untuk pulang dengan menunggang basikal selepas selesai mengikuti latihan sukan.

Kumpulan pelajar perempuan itu didakwa sudah menunggu mangsa sebelum mereka terus membelasahnya. Pada masa itu mangsa yang tinggal di Pangsapuri Sena kira-kira 500 meter dari sekolahnya dalam perjalanan pulang seorang diri.

Setelah puas dikerjakan hampir 15 minit, Noor yang dalam kesakitan terpaksa mengagahkan diri mengayuh basikal pulang ke rumah. Kejadian malang yang menimpanya tidak dimaklumkan kepada ibunya.

Bagaimanapun, pada pukul 12 tengah malam, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibunya setelah dia muntah-muntah.

Mengimbas kejadian itu, Noor memberitahu, pertelingkahan tersebut berpunca apabila dua orang daripada kumpulan pelajar perempuan yang dikenalinya itu mendakwa dia mempunyai hubungan dengan teman lelaki mereka.

"Saya beritahu saya tiada apa-apa hubungan namun kedua-dua pelajar itu tidak berpuas hati dan terus menarik rambut dan memukul saya sebelum rakan lain ikut serta membelasah saya," kata pelajar itu ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.

Noor, anak kedua daripada tiga beradik, baru sebulan belajar di SMK Perlis itu setelah berpindah dari Sungai Petani, Kedah bagi mengikuti ibunya yang bekerja di kedai makan di sini. Mangsa telah pun kematian bapa.

Katanya, dia langsung tidak menyangka kumpulan pelajar terbabit akan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila tergamak membelasahnya sehingga dia hampir terjatuh ke dalam longkang.

"Malah ketika itu ada dua remaja lelaki iaitu teman lelaki kepada dua pelajar yang menuduh saya menjalin hubungan dengan kekasih mereka.

"Namun, kedua-dua remaja lelaki itu termasuk seorang yang bersekolah di sekolah sama dengan saya tidak membantu menjelaskan keadaan sebenar, sebaliknya kedua-dua lelaki itu turut menonton dan bersorak apabila melihat saya dibelasah.

"Hanya tiga pelajar perempuan dalam kumpulan itu yang saya kenal termasuk dua pelajar yang menuduh saya mempunyai hubungan dengan kekasih mereka. Ketiga-tiga pelajar itu sebaya dengan saya dan sama kelas dengan saya," ujarnya. -kosmo

Perang Facebook, pelajar perempuan dibelasah

KANGAR: Akibat perang Facebook, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dibelasah, termasuk dipijak dan ditendang sekumpulan kira-kira 15 pelajar perempuan dari sekolah sama berhampiran sebuah sekolah menengah di sini, petang kelmarin.

Mangsa dipercayai diserang berikutan beberapa komennya di dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini, yang dikatakan mengeluh kerana asyik dibuli sejak lebih sebulan berpindah ke sekolah itu, awal tahun ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu cedera di tangan dan badan, selain lebam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, berikutan muntah dan mengadu sakit dada.

Dalam kejadian itu, mangsa yang baru berpindah dari Sungai Petani, Kedah, dikatakan dikerumuni kira-kira 15 pelajar perempuan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai menjalani latihan sukan di sekolah kira-kira jam 6.30 petang.

Mangsa yang menaiki basikal seorang diri dikatakan dikepung dan basikalnya ditendang tiga hingga empat daripada 15 pelajar berkenaan, sebelum terjatuh di kawasan taman perumahan di belakang sekolahnya di Jalan Raja Syed Alwi di sini.

Apabila terjatuh, seorang pelajar lain memijak dan memukul mangsa sebelum disertai pelajar lain yang turut sama memukul dan menendang kepala mangsa selain menarik rambutnya.

Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Latifah, 30-an, berkata dia sedih dan kesal kerana tiada seorang pun pelajar yang menyaksikan kejadian berani membantu anaknya yang ketika itu menjerit meminta tolong.

Anak saya dibelasah teruk berdekatan sekolah, namun, tiada seorang pun berani membantunya. Malah, dua pelajar lelaki dari sekolah sama yang menyaksikan kejadian itu hanya ketawa melihat anak saya dibelasah.

Dia (mangsa) yang lemah tidak berdaya selepas dibelasah. Dalam kesakitan, dia berjalan sendiri untuk pulang ke rumah selepas ditinggalkan kumpulan pelajar terbabit, katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kangar.

Mangsa yang dibenarkan pulang selepas diberi rawatan pesakit luar, bagaimanapun dihantar ke HTF semalam dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selepas mengadu sakit dada serta muntah di rumah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Kita sedang menyiasat jumlah pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan sudah kenal pasti empat pelajar perempuan berusia 15 tahun daripada sekolah sama yang disyaki terbabit, katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, selain Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.
-BH


Ulasan GB

Hebat remaja kini. Biasanya kita dengar lelaki berebutkan perempuan. Di dalam kes di atas perempuan berebutkan lelaki, pelajar sekolah tingkatan 3 pula. Boleh bentuk semacam "kelab penyokong" pula. Angkara facebook.

Kepala Babi: Pihak Masjid Anjur Solat Hajat!

Posted: 01 Feb 2012 04:27 PM PST

Tindakan Cemar Masjid Dengan Kepala Babi Dikecam, Kariah Tolak Hasutan.

Tapi mujurlah pihak masjid hanya akan menganjurkan siri munajat dan solat hajat agar si pelaku diberi hidayah jika pihak Masjid mendoakan supaya si pelakunya diazab....sendiri mahu ingatlah.......

SHAH ALAM, 1 FEB : DAP mengecam tindakan meletakkan kepala Babi di sebuah Masjid di Rawang sebagai tindakan pengecut dan provokasi yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama diambang Pilihan Raya Umum.

Parti itu menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berpendirian bahawa tidak ada ruang di Malaysia bagi tindakan-tindakan yang sia-sia dan menjijikkan seperti ini.

Dalam pada itu, Nazir Masjid Nur Iman, Batu 18 Ilham Akhbar Harun itu berkata, qariah tidak terpedaya dengan usaha untuk mengugat keamanan di komuniti mereka dan menolak perkauman sempit yang dimainkan pihak-pihak tertentu.

Lim, di dalam kenyataan medianya, berkata tindakan tersebut bertentangan dengan sifat masyarakat yang aman dan berbilang budaya.

"Kami menyeru supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak bertindak balas kerana tindakan ini jelas dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan motif yang jahat.

"Kita menyeru agar semua pihak bersatu untuk mengutuk penodaan dan pengotoran mana-mana tempat beribadat, biarpun masjid atau gereja atau kuil, dan berharap agar pihak Kerajaan akan serta merta menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya," kata beliau dalam kenyataan media.

Pengunjung Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang, Selangor, menemui sebuah kepala babi di depan pintu pagar masjid itu awal pagi semalam.

Sementara itu, menurut Adun Rawang, Gan Pei Nei, tahap keselamatan masjid itu akan dipertingkatkan dengan pemasangan CCTV,lampu limpah dan pengawal agar kejadian sedemikian tidak berulang.

"Dan hasil perbincangan dengan jawatankuasa masjid, mereka akan cadangkan untuk mengetatkan kawalan keselamatan sebab lokasi masjid tersebut terletak di tepi jalan utama dan ia menjadi tempat yang mudah untuk orang luar masuk dan walaupun pintu pagar dikunci tetapi ia boleh dipanjat untuk masuk ke pekarangan masjid.

"Semua cadangan ini, saya bawa kepada pihak Menteri Besar dan Exco untuk permohonan daripada kerajaan negeri bagi memberikan bantuan bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan masjid." kata Pei Nei yang dihubungi TVSelangor.

Menurut Pei Nei, masyarakat di Rawang merasakan tindakan tersebut adalah tindakan provokasi untuk mencetuskan perasaan tidak puas hati antara agama.

"Selama ini di Rawang semua masyarakat pelbagai bangsa boleh hidup aman harmoni antara satu sama lain , jadi mereka nampak apabila hendak pilihanraya ia merupakan satu provokasi yang berunsur politik," katanya.

Beliau juga berharap pihak polis dapat mengambil tindakan segera menangkap dan mendakwa pihak yang menjadi dalang dalam insiden itu agar tidak berulang lagi di masa hadapan.

"Pihak-pihak yang memainkan sentimen bersifat perkauman dan keagamaan, kita gesa perlu hentikan perkara ini, dan kita perlu memandang kehadapan dengan mengadakan perbincangan dan dialog jika ada perkara-perkara sensitif dan bukan cara seperti melontarkan kepala babi ke masjid untuk provokasi memainkan sentimen perkauman secara ekstrem," ujarnya.

Nazir Masjid Nurul Iman Ilham Akhbar Harun berkata kariah itu terkejut dengan kejadian yang mungkin dilakukan agar berlakunya kejadian permusuhan kaum dan ketegangan agama.

"Tanpa menuduh mana-mana pihak, kami berpendapat perkara seumpama ini tidak harus berlaku di rumah Allah yang suci ini. Kami pentadbir dan Jawatankuasa MNIR membantah tindakan yang biadab ini dan sama sekali tidak akan menyokong sebarang provokasi sempit yang boleh mengeruhkan suasana harmoni sedia ada," katanya.

Beliau berharap seluruh anak kariah masjid agar bertenang dengan kejadian ini dan yakin pihak terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang segera.

"Pihak masjid akan menganjurkan siri munajat dan solat hajat agar si pelaku diberi hidayah dan keharmonian kaum dapat dikekalkan.

"Sesungguhnya kami cinta kepada kedamaian dan yakinlah setiap kejadian yang menimpa itu pasti mempunyai hikmahnya," katanya. -naimnikmat

Ulasan GB

Sekalipun solat hajat dilakukan supaya pelaku yang melakukan tindakan tersebut diberikan hidayah, namun turunnya hidayah Allah adalah menikut bentuk dan kehendak Dia.

Dia boleh saja menurunkan hidayah dengan pelbagai cara sekalipun dengan azab atau bala dan bencana.

Seringkali manusia mendapat hikmah dan hidayah selepas berlaku sesuatu azab dan sengsara menimpanya.

Justeru itu beringatlah wahai pelaku tersebut.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Kanak-Kanak Guna Telefon Bimbit Tonton Bahan Lucah Meningkat

Posted: 01 Feb 2012 02:33 PM PST

Ibu bapa diingatkan supaya mengawasi anak mereka dalam mengguna telefon bimbit pintar selepas kajian terbaru menunjukkan sebahagian besar mereka menggunakannya untuk mengakses gambar dan video lucah. Gambar fail

Hanya 13 peratus kanak-kanak itu dilengkapi dengan ciri pengawasan pada telefon masing-masing, menurut laporan yang dikeluarkan di London semalam.

Angka itu jauh berbanding dengan yang dipasang pada komputer dan komputer riba di rumah sementara 84 peratus komputer kanak-kanak mempunyai perisian anti-virus.

Kajian itu yang dilakukan oleh YouGov menyelidik tingkah laku web telefon bimbit kanak-kanak berusia lapan hingga 15 tahun.

Ia mendapati, seorang daripada lima atau 21 peratus kanak-kanak pernah mengakses laman web tidak sesuai menerusi telefon bimbit mereka, meningkat sepertiga di kalangan mereka yang berusia 14 hingga 15 tahun.

Sama ada mereka tidak sengaja menemui laman web yang tidak sesuai itu, ramai kanak-kanak dikatakan membaca atau melihat perkara yang mereka tahu hanya untuk orang dewasa.

Kajian itu juga menunjukkan ramai kanak-kanak turut mengaku berdepan dengan tindakan ibu bapa dan guru mereka kerana mengakses laman web yang sepatutnya mereka tidak layari menerusi telefon bimbit mereka. – DM

[Bergambar] Al-Quran Tidak Terbakar Sekalipun Rumah Kedai Hangus

Posted: 01 Feb 2012 07:31 AM PST

Satu kebakaran melibatkan rumah kedai dilaporkan berlaku di No. 28, Jalan Adil 25/10, Taman Sri Muda, Shah Alam semalam.

Jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam kemudiannya dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman api di lokasi yang dimaksudkan.

Namun sebaik saja operasi selesai, anggota bomba bertugas dikejutkan dengan penemuan senaskah kitab tafsir Al-Quran yang langsung tidak terjejas keadaan fizikalnya.

Walaupun rumah tersebut musnah akibat kebakaran, namun kitab itu tidak 'terusik' dek api dalam kejadian itu.

Naskah berkenaan juga tidak basah dan rosak walaupun pihak bomba menggunakan air dalam kuantiti yang agak banyak dalam operasi tersebut.

Ingatlah! Sesungguhnya mereka (yang kufur ingkar) sentiasa berada di dalam keadaan SYAK – RAGU-RAGU tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu. Fussilat 41:54

Inilah yang dikatakan kebesaran Allah.

Kami akan perlihatkan kepada mereka TANDA-TANDA KEKUASAAN KAMI DI MERATA-RATA TEMPAT (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? Fussilat 41:53

Semoga ia boleh memberi iktibar dan renungan kepada kita semua. Wallahualam – Oleh SYAHRIL A. KADIR / Gambar dari Facebook Jabatan Bomba Dan Penyelamat Shah Alam





Ulasan GB

Firmanullah

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur'an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Al-Hijr :9)


[Video] Skim 1 Care - Gaji Dipotong 10% Untuk Bayar Insuran Kesihatan

Posted: 01 Feb 2012 05:37 AM PST

Khabar angin skim '1 Care' akan kenakan cukai ke atas pesakit

KUALA LUMPUR, 1 Feb - Kemarahan umum meningkat terhadap cadangan "1 Care" skim penstrukturan semula sistem penjagaan kesihatan, pengkritik mendakwa ia memaksa pekerja dan perniagaan untuk memberikan 10 peratus pendapatan bulanan mereka kepada agensi menguruskan dana kesihatan kerajaan.

Walaupun maklumat terperinci skim masih samar-samar dan pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan menyifatkan masih "terlalu awal" untuk mengkritik, pengamal perubatan dan persatuan pengguna memboikot cadangan itu sejak Disember lalu bermula kempen "Tak Nak 1 Care", berharap Putrajaya mengkaji semula sebelum dikuatkuasa.

Menggelar diri mereka "Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan", kumpulan ini telah menggunakan media alternatif dengan menggunakan laman sosial Facebook, Twitter, blogs dan Youtube untuk menyebarkan maklumat tentang skim seterusbya mendapat sokongan orang ramai.

Kumpulan ini antara lain telah membuka laman komuniti di Facebook yang dinamakan "#TakNak1Care", Twitter menggunakan akaun @taknak1care dan memuatnaik beberapa video klip di Youtube, menggesa rakyat menolak skim itu.

Usaha itu mendapat perhatian dengan cepat di Internet malah menarik perhatian Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang terlibat secara peribadi dalam perbincangan dengan kumpulan itu di laman Facebook.

The Malaysian Insider difahamkan skim "1 Care" dimodelkan selepas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS), satu sistem pembiayaan penjagaan kesihatan dan telah ditekankan dalam Rancangan Malaysia ke-10 untuk Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2011 - 2015.

Difahamkan skim mempunyai lima fasa dan kini sudah memasuki fasa ketiga dan inisiatif penuh, perbincangan dengan doktor dan farmasi seluruh negara, akan dibentangkan kepada Kabinet pada Mac

Menurut anggota CHC, "1 Care" akan menggantikan sistem dua peringkat (awam dan swasta) penjagaan kesihatan dengan memiliki maklumat sulit hospital awan dan swasta, dengan harapan dapat memastikan ia lebih "saksama" kepada rakyat merentasi sosioekonomi.

Di bawa sistem dua peringkat, rakyat Malaysia boleh memilih rawatan di klinik swasta atau hospital dn pembayaran ditanggung sendiri atau melalui tuntutan insurans atau mendapatkan rawatan di klinik kerajaan atau hospital dan pembayaran di bawah kos minima, di bawah subsidi penjagaan kesihatan.

Melalui "1 Care", CHC berkata ia akan mewajibkan semua individu yang berpendapatan termasuk kakitangan kerajaan dan pesara, perniagaan dan menyumbang 10 peratus pendapatan mereka kepada agensi kerajaan, Skim Insurans Kesihatan Sosial (SHI) .

"Jadi sesiapa yang mampu bayar akan bayar, mana yang dikecualikan membayar seperti orang miskin dan sebagainya akan tetap mendapat faedah perubatan asas percuma yang ditawarkan di bawah skim itu. Pada asasnya mereka yang mampu akan bayar bagi mereka yang tidak boleh," kata anggota CHC.

Tetapi, selain sistem "perkhidmatan-sebelum-bayar" di bawah "1 Care", CHC juga mempersoalkan faedah penjagaan kesihatan yang terhad di bawah skim itu seperti jika seorang pesakit dirujuk kepada doktor pakar (GP); rawatan hanya enam kali sehari; rawatan hanya seorang pesakit setiap kali memberi perkhidmatan dan pembekal penjagaan kesihatan (PHCPs) dinilai di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diberikan penalti.

"Dalam sistem ini, keuntungan PHCPs dengan mengiklan perkhidmatan SHI. Seperti semua insurans, SHI tidak meluluskan semua tuntutan. PHCPs mungkin dikenakan tindakan kerana memberi terlalu banyak perkhidmatan atau merujuk terlalu ramai pesakit ke hospital atau pakar.

"Doktor mungkin perlu kurangkan khidmat penjagaan kesihatan bagi mengelak penalti...tetapi anda tidak berhenti membayar atau bayar kurang ke SHI," dakwa kumpulan itu dalam video di Youtube.

Menjelaskan perkara ini, anggota CHC memberitahu The Malaysian Insider, "1 Care" memperuntukkan tuntutan maksimum RM360 setiap pesakit untuk GP dari SHI, dengan RM60 setiap kali rawatan.

"Dan dengan kuota-kuota KPI, GP akan cuba melengah-lengahkan dari merujuk terlalu ramai pesakit ke hospital. Sesiapa yang memerlukan rawatan segera, yang perlu ke hospital sendiri dan membayar sendiri," adu anggota itu.

Semasa cuba mengurangkan kebimbangan ke atas "1 Care" baru-baru ini, Dr Noor Hisham menjelaskan ia hanya "peringkat konsep" dan penstrukturan semula sistem penjagaan kesihatan negara amat diperlukan.

"Sekarang sektor awam akan membelanjakan RM16 bilion dan mendapatkan semula dua peratus. Sebaliknya kami tidak mahu membebankan rakyat tetapi melihat pelbagai pilihan dan model.

"Pada ketika ini tiada apa yang telah dipersetujui sehingga semuanya mendapat persetujuan orang ramai dan kami perlu mengkaji kos analisis. Bagaimanapun ada banyak andaian dan spekulasi dan imej buruk seperti kempen TAK NAK.

"Saya hairan dari mana mereka mendapatkan angka-angka itu tanpa disokong data substantif," katanya dalam satu respons.

Namun dakwaan CHC, ia dipercayai undang-undang baru "Akta 1 Care" dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi, kemungkinan pada awal Mac.

CHC akan menemui pemberita untuk memberitahu mengenai perkara itu esok, disusuli Forum Awam Kesihatan Selangor-Kuala Lumpur pada 12 Februari.

The Malaysian Insider difahamkan forum itu akan dirasmikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan pegawai Kementerian Kesihatan. -TMI



Facebook #taknak1care

IKHLAS Kecam Ali Rustam: Macam Pelakon Hindustan, Janji Lain Buat Lain

Posted: 01 Feb 2012 03:30 AM PST

IKHLAS dakwa KM Melaka ibarat pelakon Hindustan

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah mengganggap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam seorang pelakon yang hebat dalam menyelesaikan isu 11 peniaga di Taman Mini Malaysia, Ayer Keroh.

Beliau mendakwa, kerajaan negeri Melaka gagal mengotakan janji membenarkan mereka berniaga di lokasi itu ketika kerja naik taraf taman berkenaan dilaksanakan.

Malah mereka turut kecewa dengan projek yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) itu berikutan nilai pampasan ditawarkan yang dianggapnya tidak masuk akal
.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, terbaru peniaga terbabit menerima notis arahan berpindah ke gerai sementara berhampiran Taman Lebah, pada 29 Januari lalu.

"Notis arahan berpindah ini bertentangan dengan apa yang sudah dipersetujui ketika rundingan peniaga bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada November lalu.

"Lebih kurang ajar apabila ada pegawai PKNM yang cuba mengugut untuk merobohkan premis peniaga sekiranya mereka enggan berpindah,
" katanya pada sidang media mengenai masalah berkenaan di Taman Mini Malaysia di Melaka, hari ini.

Menurut Mohd Ridzuan, sewaktu rundingan November tahun lalu yang dipengerusikan ketua menteri, mereka arahkan pemaju berunding soal pampasan namun sehingga saat ini tidak ada seorang pun wakil tampil untuk berbincang.

Bawa ke PM

"Saya anggap sikap kerajaan negeri Melaka ini, tidak ubah seperti pelakon Hindustan dalam menyelesaikan isu ini kerana dalam perbincangan awal lain tetapi kemudiannya lain pula jadinya.

"Sekiranya masalah ini masih gagal diselesaikan, pihaknya bercadang membawa isu terbabit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memohon supaya pihak berkenaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Malaysiakini sebelum ini pernah beberapa kali melaporkan tentang isu peniaga di Taman Mini Malaysia yang timbul sejak kerajaan negeri memutuskan untuk menaiktaraf pusat pelancongan itu, April lalu.

Projek di bawah PKNM itu pada awalnya menawarkan gerai sementara berhampiran Taman Lebah yang sudah ditamatkan operasinya dan bayaran pampasan RM500 sebulan kepada setiap peniaga bagi tempoh enam bulan, sepanjang kerja naik taraf taman.

Bagaimanapun, 11 peniaga terbabit menolak tawaran itu yang dianggap mereka terlalu rendah dan langsung tidak munasabah.

Mereka kemudian menghantar memorandum bagi menuntut pampasan RM5,000 sebulan untuk setiap peniaga sebelum jumlah itu dikurangkan menjadi RM3,000.

Ia bagi menampung kehilangan pendapatan ketika tempoh itu selain merayu tidak dipindahkan ke gerai sementara pada April lalu.

Tak akan pindah

Sementara Pengerusi IKHLAS Negeri Melaka, Mohd Ahyad berkata, mereka tidak akan berpindah selagi tiada kata putus daripada kerajaan negeri dan PKNM berhubung hasil rundingan yang dipersetujui pada pertemuan ketiga-tiga pihak pada November lalu.

"Kami bukan mahu menentang kerajaan dan bukan juga berdegil kerana kami tidak pernah gagal hadir pada setiap perbincangan dan rundingan yang dilakukan pihak berkenaan sebelum ini.

"Apa yang hanya kami mahukan ialah pampasan setimpal dan tidak berpindah ke gerai sementara," katanya yang juga salah seorang peniaga di situ.

Sementara itu, peniaga, Joanne Low, 54, yang sudah berniaga di taman itu sejak 21 tahun lalu, berkata beliau berharap pihak berkenaan menunaikan janji mereka semasa rundingan November lalu dan membayar pampasan setimpal kepada peniaga.

"Kerajaan menyediakan bantuan khas kepada rakyat berpendapatan kurang daripada RM3,000, bagaimana mungkin PKNM boleh bercadang membayar pampasan sebanyak RM500 sebulan sahaja kepada kami? Jumlah itu terlalu rendah.

"Kami juga mempunyai banyak tanggungan lain yang perlu dibayar setiap bulan, justeru, saya berharap Ketua Menteri dapat melihat semula masalah ini dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

"Mengenai gerai sementara yang ditawarkan juga tidak menepati dari segi lokasi dan saiznya berikutan kawasan berkenaan sudah jarang dikunjungi pelawat serta dikhuatiri menjejaskan perniagaan kami.

"Ia juga satu pembaziran kerana lebih baik perbelanjaan membina gerai berkenaan diberi dalam bentuk bayaran pampasan kepada peniaga," katanya. -mk

Tiada ulasan: