Rabu, 1 Februari 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Murid Maut Dipanah Petir, 4 Ttermasuk Guru Cedera

Posted: 01 Feb 2012 01:19 AM PST

Kuala Kangsar – Seorang pelajar maut manakala empat lagi termasuk seorang guru cedera dalam tragedi panahan petir di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Mazuin di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang terkorban, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin, 11, bersama tiga rakan dan seorang guru baru sahaja selesai menjalani latihan memanah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, tiga lagi rakan mangsa berusia 10 hingga 12 tahun dan seorang guru dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Difahamkan ketika kejadian cuaca hujan dan mangsa bersama rakan-rakan masih lagi berada di padang selepas selesai menjalani latihan.

"Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pakri dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kematian disebabkan oleh 'lightning injury'.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih lagi dijalankan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Semakin Besar Bajet Untuk SPRM, Semakin Teruk Keadaan Rasuah?

Posted: 01 Feb 2012 12:30 AM PST

Perdana Menteri Najib Razak patut tinggalkan sahaja Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memerangi rasuah dalam GTP jika beliau tidak berani mewajibkan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menterinya untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai kes skandal RM250 juta "lembu dan kondo" ataupun kes wang haram berjumlah RM1,077 bilion (termasuk wang rasuah) yang telah dialirkan keluar daripada negara dari tahun 2000-2009.

Pada bulan April 2009, Perdana Menteri telah mengumumkan enam NKRA dalam GTP, dan salah satu daripadanya merupakan NKRA memerangi rasuah. Selepas hampir tiga tahun, Perdana Menteri masih tidak ada kejayaan. Malah, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) Malaysia telah menurun kepada 4.3 daripada 10 dan tangga ke-60 daripada 183 negara dalam tempoh pentadbiran beliau.

Kegagalan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), walaupun diberi bajet tahunan sebanyak lebih RM200 juta sejak 2011 hanya diatasi oleh penyalahgunaan kuasa di kalangan pegawai-pegawainya. Selain daripada dakwaan rasuah, dua kes kematian telah terjadi dalam kawasan SPRM - Teoh Beng Hock pada Julai 2009 dan pegawai kanan Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed pada 6 April 2011.

Parlimen telah memperuntukkan bajet RM202.2 juta untuk SPRM pada tahun 2011 dan hasilnya adalah kedudukan CPI terendah untuk negara kita iaitu tangga ke-60 dan juga kadar CPI terendah iaitu 4.3. Pada tahun 1996, Parlimen telah memperuntukkan bajet RM29.4 juta untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pada tahun itu Malaysia menduduki tangga ke-26 dan mencapai CPI tertinggi dalam 17 tahun iaitu 5.32.


Rakyat Malaysia berhak untuk membandingkan bajet yang diberi kepada BPR pada tahun 1996 dan SPRM pada tahun 2011, dengan CPI Malaysia pada kedua-dua tahun ini. Walaupun SPRM diberi bajet hampir tujuh kali ganda apa yang diberi pada tahun 1996, kenapakah CPI Malaysia pada tahun 2011 mendapat kedudukan yang paling rendah iaitu tangga ke-60 dan kadar CPI 4.3 apabila pada tahun 1996 kita berada di kedudukan ke-26 dengan kadar 5.32?

Nampaknya lagi besar bajet, lagi ramai staf dan lagi banyak sumber yang diberi kepada SPRM, lagi teruk keadaan rasuah di Malaysia. Ke manakah perginya lebihan sebanyak RM172.8 juta dalam bajet anti-rasuah pada tahun 2011 berbanding 1996?

1996 - 29.5 juta
1997 - 32.4 juta
1998 - 32.2 juta
1999 - 38.2 juta
2000 - 41.8 juta
2002 - 63.8 juta
2003 - 67.7 juta
2004 - 70.4 juta
2005 - 76.4 juta
2006 - 99.1 juta
2007 - 148.1 juta
2008 - 146.7 juta
2009 - 162.1 juta
2010 - 156.8 juta
2011 - 202.2 juta
2012 - 211.2 juta

Yang lebih teruknya adalah keengganan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan RCI mengenai skandal "lembu dan kondo" yang melibatkan keluarga seorang Menteri Kabinet dengan alasan lemah bahawa SPRM sedang menyiasat perkara ini. Sebenarnya, RCI diperlukan untuk menyiasat skandal "lembu dan kondo" ini kerana pihak umum sudah hilang kepercayaan dalam SPRM, seperti yang ditunjukkan oleh penurunan dalam kadar dan kedudukan TI.

NKRA memerangi rasuah yang dijuarai Perdana Menteri juga nampaknya bermasalah ekoran daripada keengganan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Pada 29 Januari 2012, Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri VK Liew telah mewajarkan keengganan beliau dengan mempersoalkan kenapa Ahli-ahli MMK (Exco) Pulau Pinang mengambil masa empat tahun untuk mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Tidakkah pemimpin-pemimpin BN berasa malu kerana Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah berjaya melakukan demikian selepas 4 tahun walhal BN telah gagal selepas 55 tahun? Pengisytiharan harta ahli-ahli MMK Pulau Pinang merangkumi juga aset dan liabiliti mereka pada 8 Mac 2008 dan setakat 31 Disember 2011. Tambahan pula, pengisytiharan harta kita dibuat secara terbuka, dimuat naik ke dalam Internet dan telah disahkan oleh sebuah firma audit dan akauntan bebas, KPMG.

Jika Perdana Menteri tidak memberi SPRM kuasa pendakwaan bebas dan kebertanggungjawaban kepada Parlimen, menubuhkan RCI untuk skandal-skandal dan mewajibkan pengisyiharan harta secara terbuka, CPI Malaysia yang dikendalikan Transparency International akan terus merosot.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Engselaku Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang.

Mangsa Serakah Sepupu 15 Kali Dirogol

Posted: 31 Jan 2012 10:30 PM PST

Kemaman – Gara-gara berajakan nafsu binatang, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun tergamak menjadikan sepupunya yang masih bersekolah rendah sebagai hamba seks dengan merogolnya sebanyak 15 kali sejak dua tahun lalu dalam kejadian di sebuah kawasan Felda di Air Putih, dekat sini.

Dalam tempoh dua tahun itu juga lantai rumah bahagian dapur bersebelahan meja makan menjadi tempat remaja terbabit melampiaskan nafsunya ketika bapa, nenek dan ahli keluarga lain nyenyak tidur diulit mimpi.

Namun perbuatan terkutuk remaja itu akhirnya terbongkar apabila bapa suspek sendiri melihatnya anaknya itu sedang memperkosa anak saudaranya yang berusia 12 tahun ketika dia mahu ke dapur dan membuka lampu dapur dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu.

Berang dan terkejut dengan perlakuan itu, bapa suspek memukul suspek dan sejurus berita buruk itu diberitahu ibu mangsa berumur 42 tahun menetap di Johor, ibu mangsa segera pulang sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Air Putih pada jam 1.06 tengah hari kelmarin dan melakukan pemeriksaan di Hospital Kemaman.

Difahamkan, mangsa dan suspek dijaga nenek kandung mereka berusia 60 tahun dan tinggal di rumah itu bersama bapa suspek dan seorang lagi bapa saudara.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, berdasarkan hasil soal siasat mangsa mengakui dalam kejadian malam Ahad lalu dia yang sedang mengemas buku di dalam bilik secara tiba-tiba didatangi sepupunya yang kemudian mengajaknya ke bahagian dapur lantas lampu dapur ditutup lalu mengajak mangsa melakukan seks sebelum perbuatan terkutuk itu disedari bapa suspek sendiri.

Hasil soal siasat, mangsa mengakui telah dirogol oleh sepupunya sebanyak 15 kali sejak dia berusia 10 tahun hingga menyebabkannya ketagihan seks dan perkara itu tidak diketahui sesiapa.

Menurutnya, bertindak daripada laporan dibuat, polis menyerbu rumah berkenaan tetapi gagal menangkapnya kerana suspek terlebih dahulu melarikan diri bersama pakaian mangsa iaitu seluar dalam, seluar dan baju dipakai ketika mangsa dirogol kali terakhir.

Katanya, sehubungan itu suspek kini sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat," katanya. -SH

Skandal NFC: PKR Desak Tubuh Suruhanjaya Diraja Jika SPRM Gagal

Posted: 31 Jan 2012 07:50 PM PST

PKR: Tubuh RCI jika SPRM gagal siasat NFC

PKR memberikan dua minggu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan dan mendakwa Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Mohamad Salleh Ismail atas dakwaan terlibat dengan rasuah.

Sekiranya gagal, PKR mengugut akan mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja (RCI) untuk menyiasat kemungkinan SPRM melindungi NFC.

"Sekiranya tidak dapat menyiasat secara bebas, kami akan panggil RCI, ini kerana melibatkan dana awam.

"Persoalannya, sehingga kini tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap Datuk Salleh,"
ujarnya.

Bagi membuktikan bahawa mereka serius, ahli parlimen Subang R Sivarasa dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini membuat laporan di pejabat SPRM di Kuala Lumpur.

Laporan itu berdasarkan dakwaan oleh ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail yang mendakwa bahawa suami Menteri Wanita, Keluarga dan Permbangunan Masyarakat - Datuk Mohamad Salleh Ismail yang juga pengerusi NFC memaksa beliau merasuah polis bagi menutup skandal syarikat berkenaan.

Beliau membuat dakwaan itu pada polis laporan yang dibuat di Hospital Besar Klang Jumaat lalu. Perkara itu didedahkan oleh PKR di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.

"Hari ini kami berdua membuat laporan kepada SPRM berdasarkan laporan polis Shamsubahrin mengatakan Datuk Salleh menekannya melalui SMS dan panggilan untuk merasuah polis bagi menutup kes NFC.

"Ini bukan tuduhan liar daripada Shamsubahrin kepada Datuk Salleh kerana ada bukti berdasarkan laporan itu," kata Sivarasa semasa sidang media selepas membuat laporan berkenaan. -mk

Tubuh Suruhanjaya Di Raja jika gagal siasat NFC – Zuraida

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin menggesa agar Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menyiasat penyelewengan itu.

"Sekiranya tidak dapat menyiasat secara bebas, kami akan panggil RCI, ini kerana melibatkan dana awam.

"Persoalannya, sehingga kini tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa terhadap Datuk Salleh,"
ujarnya.

Datuk Muhammad Salleh adalah Pengerusi NFC yang juga merupakan suami Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa hari ini, tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan RM250 juta oleh NFC.

"Hari ini kami berdua membuat laporan kepada SPRM berdasarkan laporan polis Shamsubahrin mengatakan Datuk Salleh menekannya melalui SMS dan panggilan untuk merasuah polis bagi menutup kes NFC.

"Ini bukan tuduhan liar daripada Shamsubahrin kepada Datuk Salleh kerana ada bukti berdasarkan laporan itu,"
kata Sivarasa semasa sidang media di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan.

Katanya, sebagai badan yang bertanggungjawab, SPRM diminta menyiasat segera kerana bukti SMS itu jelas menunjukkan unsur rasuah.

"Datuk Salleh mesti disiasat kerana ada unsur rasuah, tetapi orang yang tidak menjalankan rasuah itu pula yang ditangkapnya.

"Kita bukan sahaja ada bukti SMS Datuk Salleh, tetapi ada beberapa bukti SMS daripada beberapa pegawai NFC menyuruh kes tersebut ditutup,"
katanya.

Sementara itu, Zuraida mengingatkan kembali tragedi hitam melibatkan kematian saksi ketika proses siasatan dijalankan oleh SPRM.

"Kita mesti berhati-hati, takut nanti kes Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbini berulang. Kita akan menjaga saksi sebaik mungkin.

"Apa pun kita cabar SPRM siasat Datuk Salleh dan dituduh dimahkamah,"
katanya yang juga Ketua Wanita KEADILAN.

Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan bukti skandal NFC berhubung dakwaan cubaan merasuah pihak berkuasa oleh Pengerusinya, Datuk Mohamad Salleh Ismail berdasarkan laporan polis Datuk Shamsubahrin Ismail pada 27 Januari lalu di Pondok Polis Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Shamsubahrin dalam laporan itu memberitahu beliau menerima sistem khidmat pesanan ringkas (sms) dari Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, supaya merasuah anggota polis.

Shamsubahrin sebelum itu dilantik oleh NFC sebagai Perunding dan penasihat Korporat pada 24 dan 28 November tahun lalu untuk membersihkan masalah dalam NFC dengan bayaran RM1.755 juta sebagai yuran perkhidmatan yang dibayar melalui syarikatnya, Shamsubahrin Ismail Resourses Sdn Bhd.
-KD




Kuliah Ust Azhar Idrus Tarik 30,000 Jemaah Ke Masjid Shah Alam

Posted: 31 Jan 2012 05:09 PM PST

Angry bird" Cuit Hati Kuliah Uztaz Azhar

Apakah hukum lelaki simpan rambut panjang? Adakah isteri boleh simpan duit gaji suami?

Bagaimana pula dengan lelaki yang tukar jantina, tetapi mahu kembali ke jalan benar?

Ini adalah antara soalan-soalan rumit yang ditujukan kepada personaliti agama Uztaz Azhar Idrus di dalam kuliah Maghribnya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kira-kira 30,000 orang membanjiri dewan sembahyang masjid tersebut untuk mendengar ceramah Azhar pada 29 Januari.

Saksikan klip video kuliah tersebut di bawah.



MOSTI Sahkan Bunyi Aneh Itu Dari Kilang Kelapa Sawit

Posted: 31 Jan 2012 03:40 PM PST

Suara dari langit' terjawab

SHAH ALAM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menafikan dengkuran kuat diselang seli bunyi nyaring frekuensi radio di Kota Semarahan pada 11 an 12 Januari lalu berpunca daripada High Frequancy Active Auroral Research Programme(HAARP) yang dijalankan di Amerika Syarikat.

Sebaliknya bunyi berkenaan datang daripada sebuah kilang kelapa sawit di Kampung Endap.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Fadillah Yusof berkata, kilang berkenaan telah membuat pengujian terhadap tekanan dandang secara automatik pada 11 dan 12 Januari 2012 sehingga menyebabkan kewujudan bunyi seolah-olah orang sedang menjerit dan mengejutkan penduduk kampung di sekitarnya.

"Ekoran itu, Mosti telah menubuhkan satu jawatankuasa Siasatan Ngauman Langit (Sky Roar) dikendalikan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM). Siasatan mendapati aduan beberapa penduduk berkaitan bunyi yang tidak diketahui bukan seperti yang disangka.

"Ia juga tiada kaitan dengan gempa bumi di Sumatra dan High Frequancy Active Auroral Research Programme(HAARP) yang dijalankan di Amerika Syarikat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam laporan muka depan Sinar Harian 21 Januari lalu, mengatakan bunyi berkenaan berkait dengan HAARP, iaitu program penyelidikan ionosfera dan dinaungi sepenuhnya oleh US Air Force, US Navy, University of Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA).

DARPA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pelbagai senjata berteknologi tinggi untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat.

HAARP berselindung dengan aktiviti penyelidikan saintifik yang kononnya menyelidik lapisan ionosfera bagi meningkatkan lagi penggunaan sistem komunikasi dan pemantauan cuaca.

Tapak penyelidikan HAARP yang berada di Gakona, Alaska menempatkan peralatan berteknologi tinggi iaitu Ionospheric Research Instrument (IRI).

Fadillah berkata, pihaknya telah melakukan beberapa siasatan dengan menemu bual saksi-saksi kejadian, orang kampung dan membuat siasatan mengenainya serta mendapatkan khidmat pakar untuk menganalisis bunyi itu.

Bagi membuktikan kebenaran ini, katanya, Penolong Pengurus kilang, Yusmizan Desa mengakui kilangnya ada melakukan penentu kuran secara berkala yang melibatkan perlepasan wap secara besar-besaran dan menghasilkan tekanan sehingga muncul 'Nyauman Langit'.

"Yusmizan memberitahu pihak kami tujuan perlepasan tekanan dandang dilakukan semasa aktiviti pemprosesan kelapa sawit. Kami diberi penjelasan melalui corong lepasan wap ke arah kampung itu dan mereka juga melakukan demonstrasi untuk membuktikan perkara ini.

"Pihak kami dan juga saksi-saksi, terutama penduduk kampung telah berpuas hati dengan demonstrasi itu. Begitu pun, kami masih menjalankan analisis secara saintifik untuk mengkaji frekuensi itu," katanya. -SH

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




"Babi" Apa Letak Kepala Babi Di Pintu Masjid Di Rawang?

Posted: 31 Jan 2012 07:40 AM PST

Kepala babi ditemui di masjid di Rawang

Satu kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang, Selangor, awal pagi ini.

Menurut ADUN Rawang Gan Pei Nei (dua dari kiri) kepala kepala itu ditemui pada jam lima pagi oleh ahli jawatankuasa masjid apabila mereka membuka pintu pagar utama.

Pihak polis kemudiannya dihubungi dan tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi. Setelah mengambil bahan bukti dan menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, mereka kemudiannya meninggalkan masjid itu.

Gan berkata anggota polis berkenaan adalah dari balai polis Rawang dan kes itu akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah.

Beliau mengutuk tindakan itu sebagai perbuatan provokatif yang cuba menyinggung sensitiviti agama, sambil menambah bahawa ia mungkin bermotifkan politik memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Menurut Gan lagi, kejadian seumpama itu bukannya berlaku secara spontan kerana Masjid Nurul Iman telah bertapak di situ selama 48 tahun.

"Pilihan raya umum semakin hampir dan ada orang cuba untuk timbulkan masalah," katanya.

Gan menggesa pihak polis mempercepatkan siasatan dan membawa penjenayah ke muka pengadilan.

Tindakan provokatif

Ketua Polis Daerah Gombak Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kejadian itu dan berkata ia disiasat bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan.

"Kami belum buat tangkapan dan tak ada suspek lagi," katanya.

Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu yang juga meninjau masjid berkenaan berkata bahawa Gan akan mewakili kerajaan negeri pada mesyuarat jawatankuasa masjid malam ini dan melaporkan kepada Menteri Besar untuk tindakan susulan.

Liu juga mengecam tindakan itu yang dianggap sebagai provokatif tetapi bersyukur kerana semua pihak, khususnya jawatankuasa masjid berkenaan tidak bertindak sebarangan tetapi kekal tenang.

Beliau juga enggan membuat sebarang spekulasi dan berkata adalah lebih baik bagi membiarkan pihak polis melakukan siasatan mereka. -mk

Ulasan GB

Pelbagai kaedah dilakukan oleh "pihak tertentu" untuk mewujudkan suasana huru hara di dalam negara sebelum pilihanraya berlansung. Hairannya kejadian-kejadian ini rata-rata berlaku di parlimen dan kawasan dimana Pakatan Rakyat berkuasa.

Sebelum ini ada sekumpulan "samseng" pecahkan cermin kereta orang awam di Seremban.

Selepas itu dilaporkan di Petaling Jaya, berlaku kejadian kes motosikal dibakar dengan lontaran botol berisi petrol.

Kemudian di Kuantan, 13 kereta pelanggan di bengkel kereta disembur cat merah.

Kini kepala babi di Masjid Rawang.

Mungkinkah semuanya kebetulan belaka? Sukar untuk akal yang rasional menerimanya.

Kita hanya mampu berserah kepada Allah s.w.t. Yang Maha Tahu dan Maha Berkuasa.

1) Allahumma arinal haqqan, haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathilan bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kalau Dah Jadi Pak Sanggup Kepada PERKASA, Apa Perlu Kata Jadi Mangsa?

Posted: 31 Jan 2012 06:06 AM PST

Saya dijadikan mangsa rumah terbuka PERKASA'

Ahli jawatankuasa MCA bahagian Seputeh, Collin Tiew mendakwa beliau menjadi mangsa kerana membawa kira-kira 50 orang ke rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran kumpulan pendesak Melayu, PERKASA di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Dakwanya, walaupun beliau menyedari majlis itu anjuran PERKASA, namun beliau berpendapat ia hanya lawatan Tahun Baru Cina dan tidak menjangkakan tindakan berkenaan akan mengundang kontroversi.

"Bukan niat saya (untuk menyinggung sesiapa), Jika tindakan saya telah melukakan hati orang ramai, saya mohon maaf kepada masyarakat Cina," katanya.

PERKASA pada majlis rumah terbuka anjurannya Ahad lalu mengundang kontroversi selepas presidennya Datuk Ibrahim Ali memberikan 'ang pow' dalam sampul surat putih, satu amalan yang hanya dikhaskan ketika pengkebumian dalam budaya masyarakat Cina.

Tiew, yang juga ketua cawangan MCA Sri Desa, menimbulkan kemarahan warga maya apabila beliau hadir pada majlis itu.

Mempertahankan tindakannya itu, Tiew berkata beliau hadir atas kapsitinya sebagai pengerusi sebuah persatuan kebajikan dan bukannya ahli MCA.

Disoal mengapa beliau naik ke pentas semasa majlis itu dan memuji PERKASA, Liew mendakwa beliau semata-mata menterjemahkan ucapan Ibrahim untuk hadirin yang berbangsa Cina.

"Saya sedang menghadiri satu lagi rumah terbuka dan tiba ketika Ibrahim menyampaikan ucapan. Pengacara majlis tiba-tiba meminta saya untuk menterjemahkan ucapan Ibrahim.

"Saya tidak sokong apa yang beliau kata, saya hanya terjemahkan." -mk

Gerakan tuntut Ibrahim Ali mohon maaf

Gerakan hari ini menyelar tindakan PERKASA menggunakan 'angpow' sampul merah - yang dianggap menghina masyarakat Cina - dalam sambutan tahun baru kaum itu, walaupun hasrat penganjuran majlis itu dianggap baik.

Naib presidennya Mah Siew Keong berkata, pemberian angpow dalam sampul putih pada tahun baru - sebagai festival kegembiraan - menujunjukkan Presiden PERKASA Ibrahim Ali tidak sensitif.

"Setelah menjadi anggota parlimen dan berada dalam politik sudah beberapa tahun, Ibrahim Ali masih tidak tahu adam resam kaum lain, yang menjelaskan kenapa dia terus melakukan banyak kenyataan tanpa berfikir," katanya.

Dalam majlis Tahun Baru Cina NGO itu di Kelab Sultan Sulaiman yang pertama kali diadakan semalam, PERKASA mengedarkan kira-kira RM10,000 angpow menggunakan sampul putih - tindakan yang menimbulkan rasa tidak puas hati, terutama di laman maya.

Kumpulan pendesak Melayu itu bagaimanapun menjelaskan mereka tiada niat menghina kaum Cina dan pihaknya tidak tahu bahawa warna putih digunakan untuk upacara kematian.

Dalam kenyataannya hari ini, Mah menyifatkan Ibrahim sebagai pemimpin yang cuba menghalang usaha 1Malaysia perdana menteri.

Mah juga menggesa Ibrahim memohon maaf atas tindakannya itu dan mengakui tidak sensitif walaupun tindakannya tidak berniat jahat.

Bagaimanapun, tambahnya, tindakan tidak sensitif dan alpa itu tetap tidak bermakna anggota parlimen Pasir Mas itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pemuda MCA: Tidak tahu bukan alasan

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Pemuda MCA Datuk Chai Kim Sen juga menyelar tindakan PERKASA yang didakwa tidak sensitif dan patut tiada tolak ansur pada "kumpulan ekstrim" kaum dan agama.

"Sebagai anggota parlimen, dia (Ibrahim) patut bertindak atas kepentingan rakyat dan memahami masyarakat kita yang berbilang bangsa, dan pantang larang pelbagai budaya," katanya lagi.

"Alasan bahawa tidak tahu tidak boleh dijadikan alasan dalam isu ini."
-mk


Ulasan GB

Bertindak tanpa otak, itu bermakna diperlembukan.

Mengapa Setiausaha Agung Pemuda MCA Datuk Chai Kim Sen juga menyelar tindakan PERKASA tetapi tidak menyelar Collin Tiew AJK MCA bahagian Seputeh, yang bertanggungjawab membawa masyarakat Cina malah menjadi penterjemah ucapan Ibrahim Ali di majlis berkenaan?

p/s GB tak mahu fokuskan tentang warna envelop angpow, putih atau merah.

Yang kita mahu tahu juga dari mana PERKASA dapat duit banyak-banyak buat majlis CNY dengan siap bagi angpow sekali?

Najib menafikan UMNO ada kaitan (sekaligus tentu menafikan beliau "membiayai" majlis berkenaan).

Tetapi rasanya sebelum ini PERKASA ada pergi menemui tokeh lembu NFCorp dan kemudian buat pembelaan terhadap syarikat berkenaan.

Sebelumnya wujud kes tokeh lembu tersebut dikatakan telah memaksa seorang perunding bernama Datuk Samsubaharin untuk merasuah polis dengan nilai jutaan ringgit.

Jadi apakah tidak ada kemungkinan wang tersebut dari tokeh lembu tersebut?

Silap gaya Ibrahim Ali dah jadi jutawan sekarang, maka itu boleh bagi angpow kepada masyarakat Cina.

Polis dan SPRM boleh bertindak untuk menyiasat, tetapi malangnya selama ini jarang sekali polis dan SPRM berpihak kepada rakyat.

Dan GB pula tak da bukti nak buat tuduhan melulu, hanya boleh "membaca" daripada kejadian-kejadian yang berlaku. "Spekulasi" tak sama dengan menuduh. Hanya Allah jua Yang Maha Tahu dan Yang Akan Mendedahkan Segala-galanya itu.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca






13 Kereta Pelanggan Di Bengkel Kereta Disembur Cat Merah, Kerja Siapa?

Posted: 31 Jan 2012 03:42 AM PST

Tauke bengkel 'garu kepala'

KUANTAN- Seorang pengusaha bengkel kereta terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM20,000 untuk mengecat kembali 13 kereta milik pelanggan yang sedang dibaiki di premisnya di Taman Indera Sempurna, Jalan Kuantan-Pekan dekat sini apabila semua kenderaan itu disembur cat merah oleh individu tidak dikenali, malam kelmarin.

Zarin Mohd Taib, 34, berkata, dia percaya kejadian itu akibat perbuatan khianat individu tertentu walaupun dia tidak mempunyai musuh atau pernah berdendam dengan sesiapa.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku setelah empat tahun bengkelnya beroperasi.

Malah dia percaya, kejadian itu dirancang rapi oleh individu yang dengki dengannya kerana hanya kenderaan yang sedang dalam proses dan sudah dibaik pulih sahaja menjadi mangsa khianat.

"Malam sebelum kejadian, saya bersama tiga pekerja sibuk menyiapkan kereta pelanggan dan menutup bengkel kira-kira jam 4.30 pagi, 28 Januari lalu.

"Kejadian hanya disedarinya keesokan harinya apabila seorang pelanggan datang ke bengkel kira-kira jam 8 pagi untuk mengambil keretanya dan ternampak semua kereta di situ termasuk keretanya terkena semburan cat," katanya ketika ditemui di bengkelnya dekat sini, semalam.

Zarin berkata, kejadian itu dimaklumkan kepadanya lalu dia segera ke bengkel dan melihat 12 kereta serta sebuah lori dalam premis itu terdapat kesan semburan cat.

Menurutnya, kejadian dilaporkan kepada polis untuk tindakan bagaimanapun selepas peristiwa itu, dia bimbang perkara yang sama akan berulang.

"Saya menjadi takut untuk meninggalkan bengkel kerana bimbang kejadian ini akan berulang dan berapa lagi kerugian terpaksa saya tanggung untuk membaiki kereta pelanggan yang mungkin dirosakkan.

"Sebuah kereta menelan kos sehingga RM1,000 untuk dicat kembali jika melibatkan seluruh bahagian," katanya.

Dia berkata, kejadian itu juga boleh menjejaskan perniagaannya kerana pelanggan mungkin takut dan serik untuk membaiki kereta di situ bimbang perkara sama akan berulang.

Ketika ditanya adakah motif kejadian berpunca daripada persaingan perniagaan, Zarin tidak mahu membuat sebarang andaian sebaliknya menyerahkan kes kepada polis untuk menyiasatnya.

"Saya serahkan kejadian ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengesan individu terlibat namun pada masa yang sama, kami juga akan memantau bengkel ini setiap masa selepas ditutup," katanya.

Dia juga bercadang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan bengkelnya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan) Superintendan Mohd Haris Daud ketika ditemui mengesahkan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, pengadu ada membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading berhubung kejadian yang diklasifikasikan sebagai perbuatan khianat dan disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: