DUNIACACAMARBA |
- Senarai 10 Harga Petrol TERMURAH DUNIA
- Bekas Banduan Rogol Adik Kandung Dihukum Penjara 12 Tahun, 5 Sebatan
- Felda Akan Rugi RM1.5 Bilion Jika FGV Disenaraikan
- Ku Li Bidas Najib Kerana Label Kelantan Negeri TERMISKIN
- Dr Asri: Apakah Islam Galakkan Perjuangan Perkauman?
- Tidak Tutup Aurat dengan Sempurna, Gadis Didenda
- Isu Sokongan Israel: Kenyataan TG Nik Aziz Selepas Pertemuan dengan DSAI
- [Wajib Baca] Ku Li: Penyenaraian FGVH Mengundang BAHAYA kepada Peneroka, Mengapa?
- Melacur untuk Kumpul Duit Kahwin
- Lelaki Dakwa Bekas Teman Wanita Ugut Sebar Gambar Separuh Bogel
- Lelaki Dipercayai Penagih Dadah Tetak Kepala Ibu
- Remaja "Hilang" pada Hari Kekasih, Dipercayai Ikut Kekasih Warga Pakistan
Senarai 10 Harga Petrol TERMURAH DUNIA Posted: 22 Feb 2012 07:11 AM PST | ||
Bekas Banduan Rogol Adik Kandung Dihukum Penjara 12 Tahun, 5 Sebatan Posted: 22 Feb 2012 06:24 AM PST Saya petik: [Bernama] KUALA TERENGGANU - Seorang bekas banduan menggeletar ketika membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan merogol dan mengugut adik kandungnya dengan pedang, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Fadilah Nor Wan Idris di sini hari ini. Tertuduh yang melakukan kesalahan sumbang mahram itu selepas dua hari dibebaskan daripada penjara akibat kesalahan dadah, kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan bagi kedua-dua kesalahan itu. Dia dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan bagi kesalahan merogol dan penjara setahun bagi kesalahan mengugut tetapi perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan selepas Hakim Wan Fadilah Nor memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berturutan. Terdahulu, tertuduh yang berumur 37 tahun hanya tunduk dan mengangguk faham ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadilah Nor. Dalam keadaan menggeletar, dia kemudiannya mengaku salah. Dia didakwa telah secara paksa merogol adik perempuannya yang berumur 24 tahun di belakang sebuah rumah di Kuala Besut pada 10.30 malam, 10 Februari lalu mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta boleh dikenakan sebatan. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah mengugut mangsa dengan sebilah pedang dengan tujuan menakutkan mangsa supaya tidak membuat laporan polis bersabit kejadian itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazlyza Mohd Nazri. | ||
Felda Akan Rugi RM1.5 Bilion Jika FGV Disenaraikan Posted: 22 Feb 2012 05:06 AM PST Saya petik: [MK] Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mempertahankan dakwaan mereka bahawa Felda akan mengalami defisit pendapatan antara RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion sekiranya anak syarikatnya, Felda Global Venture Holding (FGVH) disenaraikan di Bursa Malaysia. Kenyataan itu dibuat selepas mendedahkan dokumen yang menunjukkan unjuran tersebut setelah mendapat maklumat rasmi daripada agensi tanah berkenaan. Bahkan, katanya ia sekaligus menolak penafian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad yang menafikan bahawa Felda akan mengalami kerugian seperti didakwa. "Ini maklumat rasmi yang kita dapat daripada Felda. Ini merupakan kebimbangan Felda dengan apa yang berlaku terhadap pendapatan Felda jika berlaku penyenaraian," kata presiden ANAK Mazlan Aliman (kiri). Bercakap pada sidang media, semalam, beliau mendakwa antara risiko penyenaraian tersebut, bukan sahaja tanah Felda akan terjejas, bahkan ia turut menjejaskan pendapatan bulanan peneroka. Ini kerana, kata Mazlan - yang juga ahli jawatankuas PAS Pusat - pendapatan peneroka Felda diperolehi melalui pengurusan anak syarikat agensi tanah itu. Kos operasi naik "Kalaulah sekiranya operasi anak-anak syarikat terjejas dengan penyenaraian ini, adalah sesuatu yang tidak mustahil ia juga akan menjejaskan pendapatan peneroka pada setiap bulan," katanya Sehubungan itu, beliau yang juga pengerusi Lajnah Tanah Dan Pembangunan Wilayah PAS mendesak supaya kerajaan menjawab perkara itu termasuk kebimbangan yang wujud di kalangan peneroka Felda. Beliau juga mengedarkan salinan dokumen berkenaan kepada pemberita selepas sidang media itu. Minggu lalu, pakar ekonomi ANAK Dr Rosli Yaakop (kanan) dilapor mendedah unjuran defisit berkenaan sambil menegaskan pendapatan agensi itu dijangka akan berkurangan apabila Felda menyerahkan pegangannya kepada FGV. Katanya, kos operasi Felda mencecah kira-kira RM2 bilion pada 2010, sedangkan agensi itu dijangka hanya akan mendapat pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehinggga RM508 juta. Bagaimanapun Ahmad dilapor menyangkal laporan tersebut dengan menyatakan Felda telah mengariskan strategi untuk meraih pendapatan RM1.5 bilion setahun setelah FGVH disenaraikan. Katanya, Felda akan mendapat keuntungan cukup besar dari segi hasil pengapungan di Bursa Malaysia), faedah itu jika dilaburkan setiap tahun akan mendapat hasil hampir setengah bilion ringgit kepada Felda. Turut hadir dalam sidang media berkenaan beberapa ahli jawatankuasa lajnah berkenaan antaranya Dr Yaakop, peguam Haris Ibrahim dan setiausaha akhbar presiden PAS Mohd Nasaie Ismail. Empat halangan Mengulas kenyataan Ahmad itu, Dr Rosli menyifatkan ia merupakan hanya satu syor kerana mendakwa ianya tidak terdapat dalam perjanjian antara Felda Plantation dan FGVH. Sebaliknya, terdapat dua syor telah dibuat untuk meningkatkan pendapatan Felda iaitu kadar nisbah perkongsian untung dinaikkan dari 15 peratus ke 30 peratus dan kadar sewa pajakan tanah dibuat mengikut kadar semasa. Menurut Dr Rosl lagi, usaha menyenaraikan FGVH ke Bursa Saham bukan satu perkara yang mudah kerana syarikat tersebut harus berdepan sekurang-kurangnya empat halangan. Antara halangan yang bakal diterima sebelum penyenaraian itu berlaku antaranya permohonan mereka untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menghalang penyenaraian tersebut seperti yang diumumkan Mazlan sebelum itu. Selain itu, FGV juga berdepan halangan untuk menambahkan semula tempoh kelulusan pajakan tanah yang kurang daripada 99 tahun. "Kalau dia nak tambah (atau) perbaharui pajakan kepada 99 tahun, dia terpaksa pergi kepada kerajaan negeri balik, bila dia nak buat (perkara) ini. "Sebab itu kita berpandangan kemungkinan untuk disenaraikan dalam bulan April atau Jun itu, kita tidak nampak jalan," katanya ketawa. Berkaitan: ANAK mahu KPF halang Felda Global disenaraikan Ahmad Maslan sangkal Felda akan alami defisit Tiga negeri Pakatan tak akan serah tanah pada FGV ANAK dakwa Felda defisit 1.5b jika pajak tanah pada FGV FGV kini dikenali sebagai Felda Global ventures Holding Bhd PERKASA tubuh j/kuasa penyelaras Felda ANAK dakwa cubaan sogok perwakilan EGM KPF | ||
Ku Li Bidas Najib Kerana Label Kelantan Negeri TERMISKIN Posted: 22 Feb 2012 04:47 AM PST Saya petik: [HD] Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bahawa Kelantan menjadi negeri miskin tercorot sejak diperintah kerajaan PAS adalah tidak wajar dan memalukan. Katanya, adalah tidak molek untuk seorang pemimpin negara bercakap sedemikian apatah lagi dengan nada menghina negeri tersebut semata-mata kerana Kelantan diperintah oleh kerajaan PAS. "Kita tak boleh lah berbangga ini negeri sudah tidak miskin lagi, negeri Kelantan sudah jadi termiskin. "Saya tak nak dengar percakapan macam itu, buat malu sahaja," katanya yang lebih dikenali sebagai Ku Li ketika ditemui Harakahdaily semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib di satu majlis Lahad Datu, baru-baru ini kononnya Kelantan adalah negeri miskin tercorot dan bukan lagi Sabah, negeri dibawah bayu itu. Najib berkata kedudukan tercorot itu bermula sejak negeri tersebut berada di bawah pemerintahan kerajaan PAS Kelantan. "Kita boleh rasa seronok lah dengar berita ini, tapi takkan lah kita nak biar Kelantan menjadi negeri termiskin pulak. "Apakah kita ini nak terus membanding satu negeri yang miskin dengan satu negeri yang lain. Sampai bila kita nak tengok negeri ini miskin," soal Ku Li lagi yang juga anak kelahiran Kelantan dan kini ahli parlimen Gua Musang. Mengulas lanjut perkara itu Ku Li berkata, jika benar sekalipun Sabah sudah mengatasi Kelantan, seorang pemimpin negara sewajarnya memikirkan langkah penyelesaian untuk memajukan negeri yang didakwa tercorot itu, dan bukan hanya mengeluarkan kenyataan seolah-olah berbangga dengan perbezaan kedua-dua negeri tersebut. Apatah lagi katanya majoriti masyarakat di Kelantan adalah Melayu dan sewajarnya dibantu. "Macam Kelantan pulak, yang tinggal di sana anak Melayu. Takkan kita tak nak cari jalan nak perbaiki kehidupan orang Melayu di Kelantan berbanding dengan orang-orang lain. "Kita juga nak pejuangkan anak-anak Melayu dapat nikmat daripada minyak (royalti) dan sebagainya supaya kehidupan mereka berubah dan taraf hidup mereka meningkat naik berbanding orang lain," tegasnya yang juga kini sebagai Presiden NGO Angkatan Amanah Merdeka (Amanah). Sebelum ini, beberapa pihak turut menyelar kenyataan perdana menteri itu. Ianya termasuk Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang mendakwa kenyataan Najib itu hanya membuka pekung dirinya sendiri sebagai pemimpin nombor satu negara. Abu Hassan berkata, jika benar dakwaan itu, ia bermakna kegagalan kesemua enam perdana menteri termasuk Najib untuk memajukan kesemua negeri dalam Malaysia ini sejak BN memerintah lebih 50 tahun lalu. "Sekira benar Kelantan ini negeri miskin mengikut kata PM DS Najib, maka ini bermaksud benar-benar gagalnya enam orang Perdana Menteri dalam memajukan setiap pelusuk tanah air, setiap orang dari rakyatnya. "(Ini) kerana negeri Kelantan ini adalah salah satu negeri dalam gabungan 14 negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia, dan sama sekali bukan sebuah negeri yang berada di Thailand, atau Indonesia, atau Brunei, atau Kemboja, dan tidak mungkin sebuah negeri di Benua Afrika," coretnya melalui Facebooknya Hassan Hayastani. | ||
Dr Asri: Apakah Islam Galakkan Perjuangan Perkauman? Posted: 22 Feb 2012 01:00 AM PST Saya petik: [MK] Apakah Islam dan Nabi Islam Muhammad SAW menggalakkan perjuangan yang bersifat perkauman? Islam agama universal ini wajarkah dikaitkan dengan 'jihad perkauman' yang telah mencetuskan pelbagai perbalahan sepanjang sejarah? Wajarkah Islam dikaitkan dengan perjuangan perkauman? Sehingga semasa saya di Malaysia baru-baru ini, dalam seminar bersama para penulis maya, seorang tokoh agama berjawatan tinggi dalam forum melahirkan rasa tidak puas hati kerana di Tanah Melayu ini ada masjid India, Benggali dan Cina. Kelihatan, begitu sekali Islam itu diacuankan secara perkauman sehingga menafikan hak budaya muslim kaum lain. Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin sebutkan beberapa noktah berikut; Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) "dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15). Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi SAW: "Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan" (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani). Jika hal ini tidak dihayati, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal 'I have a dream' menyebut: "I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character". Maka, berdasar dua asas di atas, apa-apa sahaja tindakan atau pembahagian ekonomi dan sosial yang berasaskan bangsa terdedah kepada unsur-unsur ketidakadilan disebabkan faktor di atas. Hakikatnya, menilai berdasarkan agama lebih luas dari berasaskan bangsa. Kemudian, menilai keperluan kehidupan berdasarkan latar ekonomi seseorang lebih luas dari penilaian berdasarkan agama atau bangsa. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13). Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil "Wahai manusia!". Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini: "Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu". (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq). Maka, apa-apa sahaja tindakan atau peraturan yang boleh membawa permusuhan kaum, atau permusuhan atas dasar bangsa dan etnik, maka ia menjurus kepada unsur ketidakadilan yang ditolak oleh prinsip asas Islam. Tiada kaum yang boleh menganggap mereka 'lebih tuan' dalam ertikata racial supremacy. Adapun hadis Nabi: "Para pemimpin dari Quraish" (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi bersabda:"Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah" (Riwayat Muslim). Hadis ini menafikan ketuanan kaum (racial supremacy) tertentu. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya) "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Surah Ali 'Imran ayat 103). Menolong seseorang berdasarkan agama memberikan ruang yang lebih terbuka daripada menolong seseorang berdasarkan bangsa. Ini kerana seseorang boleh memilih agamanya, tetapi tidak boleh memilih bangsanya. Menolong Kaum Dalam Islam Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya) "Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Rum, ayat 37) Nabi juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi: "Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ertinya, walaupun Islam menentang 'asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi: "Sesiapa yang berperang di bawah rayah 'immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada 'asabiyyah atau marah kerana 'asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah". (Muslim). Rayah 'immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu 'asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi 'asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan 'asabiyyah. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi boleh menjadi keperluan sementara yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy'ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa. Ertinya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji. Namun, berjihad menentang kaum lain atas nama bangsa, bukan ajaran Islam. ----------------------------------------- Penulis bekas mufti Perlis dan kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford. | ||
Tidak Tutup Aurat dengan Sempurna, Gadis Didenda Posted: 22 Feb 2012 12:50 AM PST Saya petik: [SH] KOTA BHARU - "Saya tak tahu kalau pakai baju pendek dan tidak menutupi lengan salah di sisi undang-undang di Kelantan." Demikian kata seorang remaja perempuan selepas dikompaun RM500 dalam operasi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) semalam. Gadis itu adalah antara lima individu yang dikompaun kerana tidak menutup aurat, membuang puntung rokok di kawasan terbuka di samping tidak mempunyai lesen berniaga di kaki lima dan tidak menjaga kebersihan premis. Operasi pembersihan yang diketuai Inspektor Bahagian Penguatkuasaan MPKB-BRI, Mohamad Ali bersama empat pegawai itu bermula pada jam 10 pagi dan tamat pada jam 1 tengah hari. Kompaun yang dikenakan termasuk kesalahan tidak tutup aurat dan berniaga di kali lima tanpa lesen dikenakan denda RM500 maksimum di bawah Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 27 (A) dan buang puntung rokok di tempat awam di bawah Seksyen 10 (d) 1983 (Pindaan 1987). Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, sepanjang tahun lalu, MPKB-BRI berjaya mengumpul RM70,000 daripada 460 kompaun yang dikeluarkan iaitu 330 kes merupakan kesalahan membuang sampah di merata tempat yang dilakukan premis perniagaan dan 130 merupakan kesalahan individu. P/s: DCM menyokong tindakan tersebut yang bukan sahaja dapat membangkitkan kesedaran orang ramai agar menutup aurat dengan sempurna, malah dapat dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain agar menjunjung syariat Islam seboleh mungkin, bukan hanya mempolitikkannya untuk kepentingan sesetengah pihak. Seperkara lagi, anda tunggulah komen puak sekular tentang hal ini nanti. | ||
Isu Sokongan Israel: Kenyataan TG Nik Aziz Selepas Pertemuan dengan DSAI Posted: 21 Feb 2012 11:45 PM PST Saya petik: DATUK SERI ANWAR, PALESTIN DAN ISRAEL Pagi semalam, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung 'keselamatan Israel' yang disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu. Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulamak PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel. Majlis Syura Ulamak juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama. Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit. Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak, iaitu PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini. Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestin. Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram. Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin. Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu. Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun. Nik Abdul Aziz Nik Mat. PNB Darby Park, Kuala Lumpur. 29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012. | ||
[Wajib Baca] Ku Li: Penyenaraian FGVH Mengundang BAHAYA kepada Peneroka, Mengapa? Posted: 21 Feb 2012 10:59 PM PST Saya petik: [HD] KUALA LUMPUR, 22 Feb: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat usaha kerajaan untuk menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia sesuatu yang bahaya kepada masa depan peneroka. Ahli Parlimen Gua Musang itu yang ditemui Harakahdaily semalam berkata, beliau diberitahu banyak pihak bahawa apabila disenaraikan, bererti pemilikan harta khususnya tanah peneroka akan terdedah kepada pasaran terbuka. Apabila terdedah di pasaran terbuka katanya, sesiapa sahaja termasuk pihak asing boleh datang untuk membeli saham tersebut dengan berapa harga sekalipun sekiranya mereka mampu. Ianya akan menyebabkan peneroka bakal berdepan resiko kehilangan aset tanah-tanah mereka sekiranya pemegang saham menjual pegangan mereka. "Kalau harga melonjak naik, pemegang saham nak rasa keuntungan, sudah tentu dia akan jual (kepada pihak lain)... bodoh la kalau tak jual untuk ambik kesempatan keuntungan. "Akhirnya tanah yang kita miliki dahulu sudah hilang kerana orang lain sudah memiliki saham yang mempunyai hak ke atas tanah milik kita dahulu. Itu suatu yang bahaya!," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li. Difahamkan, menurut pelan penyenaraian yang dijadual Mei ini, sebanyak 360,000 hektar tanah Felda Palantation dipajak kepada FGVH selama 99 tahun. Selain kebimbangan hilang hak milik tanah, turut difahamkan Felda juga dijangka akan mengalami defisit tahunan sebanyak RM1.5 bilion Felda apabila menyerahkan tanah kepada FGVH. Malah, mengulas lanjut, Ku Li yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, jika nasib mereka tidak baik, peneroka mungkin akan diusir dari tanah yang mereka diami dan usahakan selama ini. "Ini mati hidup peneroka ke atas tanah yang mereka telah usahakan selama ini. Kalau tanah itu dijual oleh kerana saham dijual, maka kita tak ada lagi hubungan dengan tanah itu malah tak ada hak pun nak duduk di situ. "Saya tak tahu kerajaan ada cara lain untuk menjamin hak peneroka supaya kekal, tetapi saya tak nampak," katanya yang juga presiden NGO Amanah. P/s: Tidak habis-habis puak ini mahu menjahanamkan Melayu. Di mulut tuduh orang menggadaikan Melayu, rupa-rupanya sejak Merdeka, puak ini yang merugikan Melayu! | ||
Melacur untuk Kumpul Duit Kahwin Posted: 21 Feb 2012 08:48 PM PST Saya petik: Pelayan pusat karaoke beri alasan ketika ditahan selepas layan pelanggan [BH] JOHOR BAHRU: Seorang pelayan pusat karaoke mendakwa terpaksa menawarkan khidmat seks ketika bekerja di situ, bagi mengumpul wang untuk membiayai majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung beberapa bulan lagi. Alasan itu diberikan ketika anggota polis Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Johor menyerbu sebuah bilik hotel bajet terletak di belakang pusat karaoke tempat wanita itu bekerja, dekat Jalan Tun Abdul Razak di sini, awal pagi semalam. Ketika ditahan, wanita terbabit baru saja selesai melayan seorang lelaki yang melanggannya ketika mengunjungi pusat karaoke berkenaan. Sebaik ditahan, wanita berusia lingkungan 20-an itu menangis meminta dilepaskan kerana bimbang perkahwinan yang dirancangnya beberapa bulan lagi musnah jika kegiatan itu diketahui tunangnya. Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan, Mohammad Abd Hamid, berkata serbuan dilakukan mulai jam 12 malam selepas mendapat maklumat awam dan hasil risikan berhubung kegiatan pelacuran yang ditawarkan pusat karaoke terbabit. Katanya, dua pelayan wanita tempatan yang bekerja di pusat karaoke itu disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka dan penjaga pusat karoke terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut. "Modus operandi yang digunakan lebih kurang sama dengan pusat hiburan eksklusif yang diserbu baru-baru ini, apabila pelayan menawarkan khidmat seks ketika berada di dalam bilik karaoke sebelum menjadikan hotel murah berdekatan untuk melampiaskan nafsu untuk menutup kegiatan mereka. "Di sini, tawar menawar dibuat antara pelanggan dengan penjaga pusat karoke itu, sebelum persundalan dilakukan di hotel murah kira-kira 20 meter di belakang pusat terbabit dengan bayaran RM250," katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pelacuran, manakala penjaga premis ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 372(1)(F) kanun sama. "Operasi berterusan akan terus dilakukan bagi memastikan aktiviti persundalan dan jenayah lain dapat dibanteras. "Maklumat dan kerjasama daripada orang ramai diperlukan untuk membantu polis menangani kegiatan jenayah," katanya. P/s: Kalau benar, takziah untuk bakal suaminya! | ||
Lelaki Dakwa Bekas Teman Wanita Ugut Sebar Gambar Separuh Bogel Posted: 21 Feb 2012 06:00 PM PST Saya petik: [HM] KUCHING: "Kalau kamu tidak bayar sehingga Sabtu ini, sesuatu yang buruk pasti berlaku ke atas kamu." Itu antara kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima seorang lelaki daripada bekas teman wanita yang mengugut menyebarkan gambar separuh bogelnya di laman sosial facebook. Wanita berusia 27 tahun itu muncul semula dalam hidup mangsa selepas setahun hubungan mereka terputus dan tuntutan itu kononnya sebagai ganti rugi nilai kad prabayar digunakannya bagi menghubungi mangsa sepanjang tempoh perkenalan mereka. Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali Din, 22, berkata, dia sebenarnya tidak pernah bersua wanita dipercayai dari Sabah itu dan hanya mengenalinya menerusi facebook. "Saya menyangka tiada apa berlaku selepas hubungan itu berakhir, tetapi malangnya dia muncul semula selepas setahun dan menghantar SMS supaya saya membayar RM600 kepadanya. "Bayaran itu kononnya sebagai ganti rugi kerana sudah banyak mengeluarkan banyak wang membeli kad prabayar telefon bimbit yang digunakan untuk menghubungi saya sepanjang kami berkenalan," katanya. Menurut mangsa, oleh kerana tidak mahu perkara itu berpanjangan, dia membayar RM150 kepada bekas teman wanitanya itu dengan harapan wanita itu dapat melupakannya dan meneruskan haluan masing-masing. "Saya membayar RM150 selepas dinasihatkan rakan, namun sejak lima hari lalu, saya menerima SMS bertalu-talu daripada wanita itu yang menuntut baki bayaran. "Saya hanya mendiamkan diri sehinggalah menerima SMS berbaur ugutan jika saya berdegil tidak mahu menjelaskan baki bayaran diminta," katanya yang sudah memiliki teman wanita baru. Mangsa berkata, kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin, dia dihubungi teman wanitanya memaklumkan gambar separuh bogelnya di facebook yang dimuat naik oleh seseorang tidak dikenali. "Apabila diperiksa, teman wanita memaklumkan gambar itu dimasukkan menggunakan akaun facebook orang lain dan apabila saya cuba menjejaki akaun facebook dimaksudkan itu, ia seolah-olah sudah dipadamkan," katanya. Din berkata, dia tidak pernah bertemu atau merakam gambar bersama bekas teman wanita, malah hubungan sebelum ini sekadar menerusi telefon atau facebook. "Saya membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan kerana ia bukan saja ugutan, malah cuba mengaibkan saya dengan dakwaan tidak berasas. "Kini, saya menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan. Saya tidak pernah mengambil atau menghantar gambar kepada bekas teman wanita." katanya. Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan. P/s: Kata pengadu, dia tidak pernah berjumpa dengan suspek. Katanya lagi, "Saya tidak pernah mengambil atau menghantar gambar kepada bekas teman wanita." Jadi, mengapa takut dan bimbang? Lainlah kalau... | ||
Lelaki Dipercayai Penagih Dadah Tetak Kepala Ibu Posted: 21 Feb 2012 05:00 PM PST Saya petik:
[HM] SUNGAI PETANI: "Saya terkejut hingga menggigil bila melihat Tok Teh terbaring berlumuran darah berhampiran singki di dapur," kata Fadzilah Hussin, 26, cucu saudara A'inshon Abd Rahman, 60, yang mati ditetak dengan golok perak oleh anak lelakinya di Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri, dekat sini, semalam. Kejadian dipercayai berlaku antara jam 11.30 pagi dan jam 1 tengah hari dan mayat mangsa ditemui seorang penjual ikan yang lalu di situ sebelum terlihat warga emas itu terbaring di lantai menerusi pintu dapur yang terbuka. Difahamkan, mangsa yang memasak untuk makan tengah hari ditetak anak lelakinya berusia 26 tahun yang juga penagih dadah apabila dia tidak memberi wang yang diminta suspek. Fadzilah berkata, sebelum kejadian dia menyuruh anak lelakinya, Khainursyani Mohd Khizri, 3, ke rumah nenek saudaranya itu jam 11 pagi dan anaknya pulang membawa sebiji pisang yang diberikan mangsa. Menurutnya, dia langsung tidak mengesyaki sesuatu yang pelik kerana tidak mendengar pertengkaran mangsa dengan anak bongsunya walaupun jarak rumah mereka hanya lima meter. | ||
Remaja "Hilang" pada Hari Kekasih, Dipercayai Ikut Kekasih Warga Pakistan Posted: 21 Feb 2012 04:25 PM PST Saya petik: [Kosmo] KUALA LANGAT – Panahan asmara seorang lelaki Pakistan ke atas kekasihnya yang merupakan seorang pelajar tingkatan lima menyebabkan gadis itu bertindak membelakangkan keluarga apabila dia disyaki melarikan diri selepas cinta mereka mendapat tentangan. Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, dikatakan hilang pada Hari Kekasih 14 Februari lalu selepas tiga minggu berkenalan dan bercinta dengan lelaki dikenali sebagai Samer Khan, 20-an. Samer Khan digambarkan sebagai lelaki yang kacak tetapi keluarga Nurul Zakiah hanya mendengar cerita mengenai Samer daripada gadis itu dan tidak pernah menemuinya. Pertemuan yang tidak dirancang hingga melahirkan bibit-bibit cinta itu berlaku ketika Nurul Zakiah bekerja secara sambilan di sebuah pasar raya manakala Samer pula bekerja di sebuah kedai menjual barang-barang makanan di Pekan Banting di sini. Kedua-dua premis itu terletak berdekatan. Nurul Zakiah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini sebelum kejadian tinggal bersama ibu saudaranya, Norlaila Saad, 43, sejak 12 tahun lalu selepas kematian ibunya. Mengimbau semula kejadian itu, Norlaila memberitahu, dia menyedari kehilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Banting dekat sini itu selepas anak saudaranya tidak pulang ke rumahnya di Jalan Masjid, Kanchong Darat setelah tamat waktu belajar. P/s: Aduhai! |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan