Sabtu, 11 Februari 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Najib Tidak Peduli Nasihat Mufti

Posted: 11 Feb 2012 12:58 AM PST

MSO


Ada orang bertanya kepada saya - memusykilkan, kenapa Hasan Ali alias Hasan Akidah tidak menegur kehadiran Ha Najib Razak bersama isterinya Rosmah Mansor ke Batu Cave untuk menyambut perayaan keagamaan Thaipusam.

Saya tidak menjawab atau memberi andaian di atas apa yang berlaku itu, cuma berkata; "Hasan tidak membuat apa-apa teguran kerana Ngo yang dibentuk untuk memperjuangkan akidah ummah bernama Jati selepas beliau dipecat Pas masih belum dilancarkan lagi. Menurut Hasan Ngo akan dilancarkan pada 21 Februari ini.

Kata saya kepada si penanya itu sambil berseloroh mungkin selepas 21 Februari ini baru Hasan Akidah akan memberi komen dan fatwanya terhadap tindakan Najib itu. Mungkin menjadi kesalahan atau tidak valid kalau dia menegur sebelum Ngo itu dilancarkan.

Orang itu berkata kepada saya secara bercanda juga, apakah setelah dirasmi baru boleh tegur Najib, atau memang Hasan Akidah penakut dan membuat kritikan memilih bulu? Sepatutnya sebagai ulamak tersohor memiliki Phd beliau harus menegur sesiapa saja. Saya tidak memberi jawaban kerana persoalan itu saja-saja dilepaskan. Sedangkan orang itu saya kira dia sudah tahu kenapa Hasan tidak bingkas dan 'melembu' untuk mengkritik Najib seperti dia membedal Pas.

Kenapa saya berfikir begitu, pertama saya kira dia merasa ilmu Hasan tidak cukup, kedua kerana orang yang hendak ditegur itu perdana menteri yang kini sudah menjadi idolanya selepas Najib mengambil pendekatan Islam Wasatiyyah. Cuba kalau pergi ke batu Cave itu Abdul Hadi Awang atau Anwar Ibrahim berkebut dikritiknya.

Kalau begitu kata orang itu lagi macam mana dia (Hasan Akidah) mendabit dada sebagai pejuang akidah. Apakah soal akidah itu terkena ke atas Pas dan Anwar sahaja dan Najib tidak? Saya malas juga untuk menjawabnya dan saya biarkan kepadanya. Saya dah jelas seperti di atas tadi.

Barang kali mungkin Hasan Akidah fikir tidak menjadi masalah sebab Najib orang Umno. Orang Umno yang menganut faham sekular merasakan tidak menjadi kesalahan untuk hadir ke tempat-tempat begitu. Bagi Hasan mereka yang berfahaman asabiyyah dibenarkan untuk memasuki rumah ibadat agama lain dan turut meraikan perayaan keagamaan itu. Tidak pelik bagi Umno tetapi pelik kepada Pas.

Dan hari ini bila mana Mufti Perak Harussani Zakaria menegur perbuatan Najib itu jelas pegangan dan keyakinan agam syariat agama Hasan Akidah tidak sejauh mana atau mazhab Hasan Akidah menghalalkan perbuatan Najib itu. Atau pun beliau tidak jujur dalam membuat teguran dan memilih bulu. Asalkan Pas tidak boleh asalkan Anwar tidak boleh, kalau Umno orang yang ingin dikawaninya boleh?

Harussani tanpa kompromi menyatakan terkilan atas perbuatan Najib itu yang diibaratkan sebagai menggadai akidah dan perbuatan itu sebagai syirik. Sebelum ini Harussani sudah pun memberi nasihat tetapi nampaknya Najib masih mengulangi perkara yang sama. Apakah yang boleh dihukum kepada manusia yang degil dan terus bergelumang dengan kekufuran?

Harussani berkata majlis-majlis keagmaan seperti Thaipusam itu bukan patut dihadiri tetapi perlu dihindari kerana ia kurafat kerana ia majlis keagamaan dan budaya.

Dalam pada itu Harussani juga hairan kenapa Menteri Agama tidak menasihati Najib? Sepatutnya Jamil Khir Bahrum memberi pandangan dari segi agama dan tidak begitu mementingkan soal politik. Benar agama tidak boleh dipisahkan dari politik, tetapi agama itu ialah Islam bukan dengan agama-agama lain.

Sebenarnya Harussani tidak merasa hairan kalau Jamil Khir tidak berkata apa-apa kepada Najib. Kalau wang zakat beliau boleh benarkan untuk disalah gunakan apalah sangat dengan kunjungan Najib yang lengkap dengan memakai Kurta baju raya Thaipusam itu mengujungi batu Cave.

Mungkin Jamil berfikir anak tangga untuk naik ke batu Cave tidak akan berubah dengan kunjungan Najib itu?

Percayalah saya. Awak tolong saya, saya tolong awak…

Posted: 11 Feb 2012 12:53 AM PST

Oleh Fairuz Azhan


"Percayalah saya" – satu "perutusan" Datuk Seri Najib Razak sempena Thaipusam di Batu Caves Selasa lalu jelas memberi satu lagi petanda kebimbangan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Isi penting ucapan Najib yang ditayangkan oleh TV3 pada malam tersebut adalah, "awak tolong saya, saya tolong awak". Kalau dulu, Perdana Menteri menawarkan perkara yang sama kepada kaum Cina, kini sasarannya kaum India pula.

Kita tidak tahu sama ada itu berbaur ugutan dari seorang pemimpin atau pun seorang pemimpin lemah yang cuba mengemis sokongan. Apa-apa hal pun, yang jelas adalah fakta bahawa tertimbulannya dua persoalan.

Yang pertama, perlukah masyarakat India menagih ehsan daripada seorang Perdana Menteri agar menerima 'pertolongan' tersebut? Dan yang kedua, bukankah tugas seorang Perdana Menteri memberi khidmat kepada rakyat jelata tanpa mengira latar belakang mereka?

Sudahlah orang Melayu sudah ditanam dengan mentaliti pencacai di bawah UMNO, kini masyarakat India secara terang-terangan ditawarkan yang sama.

Mesej Najib adalah: jika masyarakat India mahukan pertolongan dan pembelaan daripada BN, maka mereka terpaksa mengundi BN dalam PRU akan datang. Jika tidak, masyarakat India tidak akan mendapat bantuan.

Jelas, ia lebih bersifat ugutan daripada rayuan. Dan nampak pula keangkuhannya kerana terlalu yakin bahawa UMNO-BN akan terus kekal berkuasa.

Selama lebih setengah abad, orang Melayu ditekan dan dibasuh pemikiran agar menerima mentaliti bergantung kepada UMNO. Kini Najib cuba memperluaskannya kepada masyarakat India (setelah masyarakat Cina memandang sepi tawaran/ugutan tolong-menolong ini).

Tuntutan sebenar rakyat

Apa yang dituntut oleh rakyat jelata adalah pemerkasaan, pengiktirafan, dan penghormatan. Rakyat tidak mahu lagi demokrasi terpimpin – amalan di mana hanya UMNO-BN yang lebih tahu apa yang baik untuk rakyat jelata yang dianggap sebagai kurang cerdik.

Sebenarnya, ugutan politik ini bukanlah perkara baru bagi UMNO-BN yang memang tidak ikhlas membela rakyat dan hanya mengutamakan panglima-panglima dalam parti.

Apa sudah jadi dengan royalti minyak di Kelantan di bawah perjanjian kerajaan negeri Kelantan dan Petronas? Terengganu yang suatu waktu dahulu menerima royalty minyak, kini hanya mampu bersyukur dengan 'wang ehsan'.

Semuanya berlaku kerana rakyat di negeri-negeri tersebut telah memilih PAS. Malah apabila Terengganu dimenangi semula oleh BN, peruntukan royalti minyak tidak dikembalikan.

Amalan ugutan dan merampas hak rakyat atas politik kepartian dan perkauman sememangnya merugikan masyarakat.

Yang pertama, ia merupakan kezaliman kerana menafikan hak rakyat. Yang kedua, ia memencilkan tanggapan dan minda masyarakat tentang peranan mereka yang sepatutnya dalam konteks dinamika politik. Yang ketiga ia hanya mencipta pencacai-pencacai yang tidak mandiri dan percaya mereka adalah hamba kepada kerajaan.

Rakyat berhak mendapat, bukan meminta ehsan daripada kerajaan. Pembelaan kerajaan terhadap setiap warga negara merupakan tanggungjawab dan bukannya keistimewaan. Keangkuhan dan cengkaman kuasa terhadap institusi yang sepatutnya bebas merupakan antara sebab mengapa kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat ini tidak diambil tindakan.

Rakyat hilang sabar

Tetapi seperti mana lumrah dan lazim seorang manusia, semakin lama maka semakin cerdiklah seseorang itu. Disuburkan pula dengan kematangan melalui pengalaman hidup, seseorang dapat belajar.

Kini Malaysia dan rakyatnya yang berbilang bangsa sudah lebih pandai dan lebih matang untuk menilai bahawa amalan-amalan politik perkauman tidak lagi mempunyai tempat di negara ini.

Rakyat sedar bahawa mereka tidak perlu takut kepada kerajaan tetapi kerajaan yang harus takut pada rakyatnya. Rakyat sudah hilang sabar dengan politik zalim yang menjadi amalan UMNO-BN.

Apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat jelas lebih baik daripada yang sedia ada. Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak perlu melakuan ugutan politik. Mereka tidak merampas hak rakyat atas pemikiran kolot dan sempit kepartian, malah mereka mengajak rakyat memperkasakan diri mereka bukan menjadi pencacai.

Kerajaan bersih rakyat senang

Di negeri-negeri Pakatan Rakyat, jelas mengamalkan tender terbuka. Tidak perlu menjadi pencacai politik mana-mana pihak. Melayu tidak perlu pengaruh UMNO, Cina tidak perlu menjadi pencacai MCA, India tidak perlu tunduk kepada MIC.

Yang layak tetap mendapat hak. Yang kurang kemampuan diberi bantuan. Tidak perlu kabel politik. Tidak perlu tawar rasuah. Dan pentadbiran perlahan-lahan menjadi semakin bersih dan adil.

Jika sebuah kerajaan boleh mentadbir dengan baik, maka peluang-peluang tersebut akan dicipta dan kemakmuran dapat dirasai semua tanpa mengira latar belakang politik atau warna kulit kita. Contohnya di Pulau Pinang di mana sesiapa sahaja boleh bersaing untuk mendapat tender-tender kerajaan negeri yang terbuka. Maka dengan jelas polisi seperti ini mencipta dan mendatangkan kemakmuran kepada negeri dan kemakmuran itu diagihkan kepada rakyat negeri sehingga terhapusnya kemiskinan tegar di negeri tersebut.

Kata-kata "awak tolong saya, saya tolong awak" hanya memberi gambaran kerendahan akhlak politik. Pemimpin yang adil lagi bersih dalam menjalankan tanggungjawab akan berkata, "saya akan tolong awak walau apa pun keadaannya kerana itu adalah tanggungjawab saya". – Roketkini.com

Taman Tasik Shah Alam Jadi Zon Bersih

Posted: 11 Feb 2012 12:46 AM PST

Oleh TVSelangor


SHAH ALAM : Taman Tasik Shah Alam di ibukota Selangor telah dijadikan Zon Bersih pertama pada tahun 2012 manakala daerah dan bandaraya lain akan turut serta dengan mengenalpasti tempat tumpuan awam di kawasan mereka untuk juga dijadikan Zon Bersih.

Klasifikasi taman itu sebagai Zon Bersih bermakna Majlis Bandaraya Shah Alam akan memberi lebih tumpuan bagi memastikan sampah dikawasan tersebut dikutip dan peralatan seperti bangku dan tempat senaman diselengara dengan baik.

Difahamkan, penguatkuasaan undang-undang anti-vandalisme dan pembuangan sampah juga akan lebih intensif di kawasan Zon Bersih dan mereka yang didapati membuang sampah merata atau merosakkan harta benda awam akan di ambil tindakan segera.

Pengumuman Taman Tasik Shah Alam sebagai Zon Bersih dibuat di majlis pelancaran Zon Bersih peringkat Negeri 2012 di sini hari ini oleh Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

"Melalui Kempen Zon Bersih sebenarnya kita mahu mengajak semua peringkat dan golongan masyarakat untuk bersama-sama memastikan kawasan persekitaran dan negeri kita ini sentiasa bersih dan selamat untuk dilawati.

Ia secara tidak langsung dapat membuka serta menukar minda masyarakat dalam meningkatkan tahap kebersihan, khususnya di lokasi-lokasi tumpuan para pengunjung," kata Jaafar di dalam ucapannya.

Hadir bersama EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu Tian Khiew.

"Pada tahun ini, setiap PBT (pihak berkuasa tempatan) dikhendaki untuk memilih satu kawasan komersil atau lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk dijadikan sebagai lokasi zon bersih.

"Majlis pelancaran ini menandakan kawsan Taman Tasik Shah Alam sebagai kawasan zon bersih peringkat Shah Alam.

Matlamat kempen Zon Bersih, yang bermula setahun selepas Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Selangor, adalah untuk memupuk kesedaraan dan budaya cintakan kebersihan serta menjadikan Selangor negeri yang paling bersih berbanding negeri lain.

Kempen Zon Bersih tahun 2011 ditumpukan kepada kawasan setinggan dan kampung di seluruh negeri.

Hishamuddin Rais: Kita ke jalan raya kerana kita hendak pilihan raya!

Posted: 11 Feb 2012 12:44 AM PST

Lim Hong Siang


"Kita di jalan raya itu bukan (kerana) kita menolak pilihan raya. Kita ke jalan raya kerana kita hendak pilihan raya. Ini jelas!"

Demikianlah penegasan Hishamuddin Rais (gambar kanan), aktivis sosial yang mendukung demonstrasi jalanan untuk menuntut pendemokrasian. Koleksi tulisan beliau pernah diterbitkan dengan judul "Pilihan raya atau Pilihan jalan raya" ketika zaman "Reformasi", malah beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri 1960 (ISA) selama dua tahun. Beliau yang masih giat terlibat dalam demonstrasi jalanan, diajukan soalan sebagaimana tajuk bukunya, dalam satu forum semalam.

Hishamuddin Rais menjelaskan, padahal kita tidak mempunyai pilihan, melainkan pilihan raya sebagai cara untuk memilih pemimpin. Apapun aliran politik, sama ada sayap kiri, kanan, tengah, Islam atau sebaliknya, akan menyokong pilihan raya, katanya. Bagaimanapun, perbincangan terhadap pemilihan demokratik ini berterusan, berkisar pada sistem pengundiannya, misalnya first-past-the-post dan sebagainya.

"Apa yang dipertikaikan di negara kita ini, pilihan raya di negara kita ini tidak adil!" tegasnya, sebelum menjelaskan bahawa komponen parti Pakatan Rakyat dan parti-parti pembangkang seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebenarnya bukan berlawan dengan UMNO-Barisan Nasional, tetapi polis, askar, special branch, pegawai kerajaan yang mempertahankan UMNO-BN.

"United Malays National Organisation (UMNO) dah lama mampus dah!" kata Hishamuddin Rais, sebelum menambah, "Kalau demokrasi proses, tujuh tahun dah jatuh dah. Dah lama bungkus dah!"

Oleh itu, BERSIH menganjurkan agar gelanggang pilihan raya disamaratakan dengan lapan tuntutan reformasi sistem pilihan raya, katanya. Hishamuddin Rais menekankan bahawa pada saat-saat ini, pilihan raya tidak bersih dan tidak adil. Maka seandainya parti politik bukan BN mengambil bahagian, maknanya mereka akan ditipu. Beliau mengambil contoh bagaimana "Balai Polis Kampung Kerinchi", "Kampung Baru" wujud sebagai nama pengundi dalam senarai daftar pemilih, membuat ramalan pesimis bahawa Pakatan Rakyat mungkin kehilangan kuasa di negeri Selangor - dengan berleluasanya taktik kotor sebegini.

Hishamuddin Rais berkata demikian dalam "Forum Kiri: Kebangkitan Dunia Arab: Apa telah terjadi selepas satu tahun?", anjuran PSM di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Selain Hishamuddin Rais, panelisnya termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Penyelaras Antarabangsa PSM Choo Chon Kai. Bilik auditorium penuh sesak dengan kehadiran kira-kira 150 orang.

Mat Sabu: Jangan balas dendam

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika diminta mengulas kenyataan Hishamuddin Rais, menambah dengan statistik bahawa terdapat 1.2 juta orang pegawai kerajaan, ditambah dengan kira-kira 250 ribu orang polis dan tentera, membuatkan angkanya kira-kira 1.5 juta. Seandainya dikali tiga dengan ahli keluarganya, maka jumlahnya 4.5 juta. Jikalau BN menguasai 70% daripada 4.5 juta orang pengundi ini, ditambah dengan FELDA, maka ia halangan yang besar buat Pakatan Rakyat dalam pilihan raya, akui Mat Sabu.

Dalam sesi soal-jawab, Timbalan Presiden PAS ini turut diajukan soalan bagaimana untuk mengendali pemimpin-pemimpin dalam bekas regim, sambil diberi contoh bagaimana hukuman seperti pancung kepala dijatuhkan kepada pemimpin bekas regim di luar negeri.

Mat Sabu (gambar kanan) bermula dengan menyatakan bahawa seandainya Pakatan Rakyat berkuasa, Buku Jingga akan dijadikan panduan, dan tidak disebut "potong kepala pemimpin regim lama" dalamnya. Beliau juga mengisahkan pengalaman ketika dirinya mengajukan soalan di majlis ceramah, sama ada hadirin bersetuju untuk menahan Mahathir Mohamad di bawah ISA?

"Semua bersetuju. Bila kita bersetuju, bererti kita mengulangi kezaliman orang lain," katanya, disambut dengan tepukan dari bawah pentas. Mat Sabu berkata, sementara pembangkang mengambil alih kuasa dari pemerintah, pembangkang juga harus bersedia mendidik masyarakat. Mengimbas sejarah, "membalas dendam" kepada regim lama adalah perkara yang berlaku pada 1930-an, 1940-an, namun tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang, menurutnya.

Mat Sabu berkata, "Kita lebih beradab dan kita mesti hidupkan kedaulatan undang-undang. Kebebasan kehakiman mesti menjadi jaminan kita," sebelum beliau mengingatkan, "Jangan ada langsung perasaan untuk membalas dendam!"

Tinggalkan isu yang remeh-temeh


Sebelum mengakhiri ucapan, Hishamuddin Rais menyeru agar satu perikatan dari semua kumpulan dilahirkan, "...Tidak mengira parti politik kiri kanan, dengan satu tujuan untuk menjatuhkan kerajaan United Malays National Organisation. Ini jelas."

Beliau berharap agar perbezaan dikurangkan dan ditanamkan buat ketika ini, sambil mengambil dirinya sebagai contoh, "Saya dengan Pemuda PAS ni saya tak suka sebab saya celebrate Valentine's Day (menyambut Hari Kekasih). Dia tak mengerti Valentine's Day. Tapi untuk itu (menjatuhkan UMNO) saya tinggalkan (perbezaan ini). Kerana kita ada agenda yang lebih fundamental daripada Valentine's Day (tepukan)."

"Kerana itu (menjatuhkan UMNO), Valentine's Day tidak penting. Agenda kita adalah untuk menjatuhkan United Malays National Organisation. Kerana ini kita harus fokus. Yang ni Valentine, anti-konsert, remeh! Ini betul-betul leceh!" katanya, disambut tepukan dan gelak ketawa dari bawah pentas.

Baca: Mat Sabu: Perubahan pemerintahan bukan matlamat akhir perjuangan rakyat

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.

Berapa lagi perjanjian pinjaman seperti NFC?

Posted: 11 Feb 2012 12:40 AM PST

Rafizi Ramli


Saya merujuk kepada kenyataan Wan Shahinur Izmir Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif NFC yang mendakwa bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta yang dimeterai NFC dan Kerajaan Malaysia tidak menetapkan syarat bagaimana wang tersebut boleh digunakan. NFC menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang tersebut bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

Pengakuan ini menimbulkan seribu satu persoalan baru:

1. Apakah hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian wang sejumlah RM250 juta kepada keluarga menteri untuk dibelanjakan sesuka hati mereka?

2. Bagaimanakah dasar memberikan pinjaman yang longgar begini boleh menjamin projek negara seperti Pusat Fidlot Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan berkesan?

3. Berapa banyak lagi perjanjian-perjanjian pinjaman seperti ini yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang rakyat telah diberikan kepada syarikat-syarikat dan orang peribadi yang ada kaitan dengan pimpinan kerajaan?

4. Apakah pemilik dan pengurusan NFC yang terdiri dari kaum keluarga Shahrizat Jalil memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman?

Untuk merungkai segala persoalan ini, saya mengesyorkan supaya Najib Razak dan Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada umum supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar.

Pendedahan ini juga mengukuhkan lagi gesaan Pakatan Rakyat bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara.

*Rafizi Ramli (gambar atas, kiri) ialah Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.

Dr Khir Toyo: BN tidak benarkan operasi pasir

Posted: 11 Feb 2012 12:36 AM PST

"Pendapatan dari perlombongan pasir tidak dapat membaiki kerosakan alam sekitar" kata beliau.



SHAH ALAM: Selangor tidak membenarkan pengeluaran pasir di negeri bagi mengelak kerosakan alam sekitar di kawasan perlombongan, kata bekas Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo.

"Pendapatan dari perlombongan pasir tidak dapat membaiki kerosakan alam sekitar. Kalau kita korek dan keluarkan pasir 100 ekar, berapa kos untuk menimbusnya semula?

"Sebab itu saya tidak luluskan lesen perlombongan pasir semasa saya menjadi menteri besar.

"Masa saya, pasir bukan pendapatan utama kepada Selangor" kata beliau.

Dr Khir melepaskan jawatan menteri besar yang dipegangnya sejak 2001 selepas BN kalah dalam pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan Selangor sekarang yang meluluskan lesen pasir sebagai salah satu pendapatan negeri.

Dakwaan RPK

Dakwaan terbaru dari pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin ialah dua Adun PKR iaitu Suhaimi Shafie (Sri Muda) dan Amiruddin Shaari (Batu Caves) mendapat kontrak pasir di Selangor.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka menafikan dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr Khir mendakwa kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meluluskan terlalu banyak pusat hiburan sejak tiga tahun lalu.

"Jumlah sekarang ialah antara 4, 000 dan 5, 000 – terlalu banyak. Masa saya hanya 700 sahaja," tambahnya.

Dr M: Proton tidak senang disebut kereta murah

Posted: 11 Feb 2012 12:32 AM PST

FREE MALAYSIA TODAY

Beliau berkata, kereta murah tidak boleh memiliki kualiti dan peralatan kereta impot yang lebih mahal.



PETALING JAYA: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pegawai dan pekerja Proton tidak senang dengan anggapan kereta nasional berharga murah.

"Orang di Proton tidak senang dengan reputasi ini. Mereka merasa adalah hal yang salah jika mereka tidak boleh membuat kereta dengan teknologi terkini ," kata penasihat Proton itu dalam blognya.

Beliau berkata, kereta murah tidak boleh memiliki kualiti dan peralatan kereta impot yang lebih mahal.

Proton sedang mengembangkan sebuah kereta berjenama Proton yang kualitinya tidak kalah dengan buatan Eropah.

Proton P3-21A

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menyebut nama tetapi beberapa laman web menyebut kereta itu adalah Proton Persona generasi terbaru yang diberi kod Proton P3-21A.

"Kemarin saya mencubanya di sirkit Shah Alam. Saya boleh memastikan pengguna Proton dan masyarakat Malaysia umumnya, model baru ini boleh menyaingi kualiti kereta Jepun dan Eropah. Sangat mudah memandunya," ujarnya.

Kereta itu kata Dr Mahathir memiliki mesin 1.6 liter turbocharged yang setara dengan tenaga dari mesin 2.0 liter dengan emisi yang memenuhi Euro5.

"Saya yakin ini adalah kereta yang hebat dan Proton boleh berbangga dengannya. Ringgit yang lebih banyak anda keluarkan untuk kereta ini akan sepadan," beliau menambah.

Anak mahu halang EGM KPF 22 Feb ini

Posted: 11 Feb 2012 12:30 AM PST

Bimbang kemungkinan besar unsur sogokan terhadap perwakilan EGM bagi membolehkan usul untuk menyenaraikan KPF dalam Bursa Malaysia dipersetujui dan disokong.



KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mahu menghalang Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) daripada meneruskan agenda Mesyuarat Agung Khas (EGM) yang dijadualkan pada 22 Februari depan.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata, difahamkan EGM yang menelan kos RM1juta itu nanti akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Perdana Felda di sini dan akan mengumumkan 'durian runtuh' kepada perwakilan.

"Kalau ianya berlaku ini satu rasuah dan kita akan minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau sebelum dan semasa perjalanan sepanjang EGM berlangsung," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan menghantar permohonan kepada Lembaga Pengarah Felda di Ibu Pejabat Felda di Jalan Maktab di sini Khamis depan untuk mengadakan EGM KPF berlainan bagi menghalang KPF terlibat dengan Felda Global Ventires Holdings (FGVH) disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

"Dalam EGM itu nanti kami juga mahu KPF dilarang sama sekali melupuskan ekuiti milik KPF dalam Felda Holding Berhad (FHB) dan 10 anak-anak syarikat milik FHB keapda FGVH atau kepada mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB atau FGVH.

"Kami juga mahu KPF melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti milik KPF dalam FHB," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Isa guna wang Felda

Katanya, tuntutan EGM itu akan dibuat di bawah Fasal 29(1) Undang-Undang Kecil dan Seksyen 40 (1) Akta Koperasi 1993 yang membolehkan minimum 5 hingga 100 ahli koperasi menghadiri EGM.

Dalam masa yang sama, peguam mewakili peneroka Mohd Haris Abdullah berkata pihaknya akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Jumaat depan bagi menuntut supaya EGM pada 22 Februari nanti dibatalkan.

"Jika gagal, kita akan memfailkan injuksi interim bagi menghalang Felda melaksanakan resolusi yang dipersetujui dalam EGM KPF," katanya.

Sementara itu, Mazlan dalam siri pendedahan kedua penyelewengan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad mendakwa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu membelanjakan sejumlah RM353,375 wang Felda bagi tujuan jamuan Aidilfitri di kediamannya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mengikut laporan penyata kewangan 2011, jamuan itu dibuat pada 10 September tahun lalu dan dihadiri kakitangan Felda seluruh negara.

Namun katanya, jumlah itu belipat kali ganda daripada jumlah sebenar yang diperuntukkan Felda dan bertentangan dengan anjuran oleh pengerusi Felda sebelum ini dengan memperuntukkan hanya RM30, 000 dan perlu dibuat di Ibu Pejabat Felda sahaja.

Selain itu, lebih mengejutkan dalam laporan kewangan Felda apabila isteri Isa, Bibi Sharliza Mohd Khalid turut membuat jamuan yang sama dengan menggunakan dana Felda berjumlah RM17,875 pada 17 September lalu di Taman Fatimah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Bagaimana peruntukan Felda ini dikeluarkan kepada isteri Pengerusi Felda.

"Selepas ini kita akan dedahkan lagi siapa Isa yang membelanjakan wang Felda berjuta ringgit dan melesapkan wang peneroka untuk kerja politik peribadi beliau," soalnya yang akan mengemukakan laporan kepada SPRM dalam masa terdekat.

Amirudin dan Shuhaimi jawab Raja Petra

Posted: 11 Feb 2012 12:07 AM PST

Shuhaimi Idris dan Amiruddin Shari,



TUDUHAN UMNO MELALUI RAJA PETRA: TIDAK ADA SALAHGUNA KUASA, PENYELEWENGAN MELAINKAN CUBAAN BARISAN NASIONAL MENAWAN SELANGOR


Saya merujuk kepada penulisan Raja Petra Kamaruddin bertajuk "The Selangor Sand Mining Scandal" di dalam laman webnya yang mempunyai banyak kesalahan fakta dan berniat amat jahat dengan memutar belitkan beberapa perkara untuk memberi gambaran saya dan sdr Amiruddin terbabit dengan salahlaku rasuah.

Artikel beliau itu ditulis secara berhati-hati untuk memberi gambaran seperti berikut:
1.
Bahawa saya dan YB Amiruddin Shari menubuhkan sebuah syarikat; atau terbabit dengan sebuah syarikat bernama Double Dignity (M) Sdn Bhd dengan tujuan mendapatkan kerja-kerja pembersihan pasir dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) secara tidak sah;
2.
Bahawa saya dan YB Amiruddin Shari adalah ahli politik yang makan rasuah dengan menuntut pelbagai bayaran dari Double Dignity (M) Sdn Bhd; dan
3.
Bahawa saya dan YB Amiruddin Shari adalah dalang aktiviti kecurian pasir yang berlaku di Selangor pada ketika itu.

Penjelasan saya mengenai Double Dignity (M) Sdn Bhd bakal membuktikan bagaimana Raja Petra Kamaruddin hanya menggunakan beberapa insiden biasadengan menyembunyikan perkara sebenar bertujuan untuk mencemar imej Pakatan Rakyat, Wakil Rakyat KEADILAN dan memfitnah saya serta YB Amiruddin Shari.

LATAR BELAKANG DOUBLE DIGNITY (M) SDN BHD

Saya mengenali En Adnan iaitu tuan punya Double Dignity (M) Sdn Bhd melalui seorang kenalan. Kenalan tersebut mohon berjumpa dengan saya untuk memperkenalkan En Adnan kepada saya dalam bulan Januari 2009.

En Adnan memperkenalkan Double Dignity (M) Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat yang ditubuhkan untuk melaksanakan aktiviti perladangan kelapa sawit di Sabah.

Saya menjelaskan secara tegas kepada beliau bahawa saya tidak punya kuasa untuk mempengaruhi apa-apa keputusan Kerajaan Negeri di Selangor.

En Adnan memaklumkan bahawa Double Dignity (M) Sdn Bhd tidak mempunyai rancangan untuk menjalankan aktiviti di Selangor dan mahu menumpukan aktiviti perladangannya di Sabah.

Selepas pertemuan awal itu, saya tidaklah selalu berjumpa En Adnan seperti yang cuba digambarkan oleh Raja Petra Kamaruddin dan sebarang pertemuan adalah dalam tugasan saya sebagai wakil rakyat.

LANTIKAN KE LEMBAGA PENGARAH DOUBLE DIGNITY (M) SDN BHD

Menjelang Mei 2009, En Adnan menyatakan hasrat beliau untuk menjemput saya menganggotai Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd. Beliau menyebut bahawa syarikat tersebut berhasrat untuk membayar elaun ahli Lembaga Pengarah sebanyak RM5,000 sebulan sebagai permulaan.

Berikutan dari tawaran tersebut, saya ada meminta pegawai saya dan kenalan untuk menyemak latar belakang En Adnan, termasuklah memastikan bahawa beliau dan isteri beliau benar-benar duduk serumah untuk mengelakkan perangkap seperti yang berlaku di Perak.

Semakan awal pegawai dan kenalan saya menunjukkan bahawa En Adnan dan isterinya serta seorang lagi rakannya adalah individu yang sah dan syarikat Double Dignity (M) Sdn Bhd benar-benar wujud. Salah seorang Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat ini adalah anak saudara kepada seorang Wakil Rakyat dari UMNO.

Oleh kerana bersangka baik dan hubungan atas dasar profesionalisme perniagaan, saya memberikan persetujuan untuk dilantik ke Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd bermula bulan Jun 2009. Saya telah menyerahkan dokumen dan maklumat yang dimohon untuk menyempurnakan perlantikan tersebut dalam bulan Jun 2009.

Saya tidak dimaklumkan oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd bahawa perlantikan saya ke Lembaga Pengarahnya hanya disempurnakan pada 18 Januari 2010 seperti yang ditunjukkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia; bertepatan dengan tarikh 18 Januari 2010 dalam satu surat sokongan yang disiarkan oleh Raja Petra Kamaruddin.

Gambaran yang cuba diberikan seolah-olah perlantikan saya ke Lembaga Pengarah adalah sebagai balasan untuk mendapatkan kontrak pembersihan pasir dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd adalah berniat jahat dan tidak tepat, kerana perlantikannya saya dibuat lebih awal.

Menjelang September 2009, En Adnan menawarkan satu lagi jawatan ahli Lembaga Pengarah dan memohon bantuan saya mengenalpasti calon-calon yang bersesuaian.

Saya memperkenalkan YB Amiruddin Shari dan selepas beberapa kali perbincangan, YB Amiruddin Shari bersetuju untuk turut dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd.

Segala butiran yang diperlukan untuk menyempurnakan perlantikan YB Amiruddin Shari diberikan kepada Double Dignity (M) Sdn Bhd dalam bulan September 2009.

TUDUHAN PERMOHONAN KONTRAK PEMBERSIHAN PASIR OLEH DOUBLE DIGNITY (M) SDN BHD

Raja Petra menuduh bahawa saya mengarahkan Double Dignity (M) Sdn Bhd untuk menghantar permohonan membersihkan pasir kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd di dalam satu mesyuarat bertarikh 29 May 2009.

Seterusnya beliau cuba bermain kata-kata dengan menyebut bahawa pada 18 Januari 2010, Double Dignity (M) Sdn Bhd telah menghantar permohonan tersebut dan menyalinkannya kepada saya dan YB Amiruddin.

Raja Petra juga menyebut bagaimana permohonan itu disertakan dengan surat sokongan dari YB Amiruddin Shari.

Rekod Kumpulan Semesta Sdn Bhd menunjukkan bahawa:
1.
Double Dignity (M) Sdn Bhd tidak pernah pun berdaftar dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd sehingga ke hari ini (hanya syarikat yang berdaftar dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang layak membuat sebarang permohonan);
2.
Double Dignity (M) Sdn Bhd tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk apa-apa kerja pembersihan pasir dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd; dan
3.
Double Dignity (M) Sdn Bhd tidak pernah diberikan apa-apa kerja pembersihan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn BHd.

Maknanya, Raja Petra mereka-reka cerita dengan berniat buruk dan memberi gambaran bahawa penglibatan saya dengan Double Dignity (M) Sdn Bhd adalah bagi tujuan mendapatkan kontrak pembersihan pasir, sedangkan syarikat terbabit tidak pernah sekalipun terlibat dalam sebarang urusan dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd mahupun permohonan mencuci pasir di Selangor.

Oleh yang demikian;
1.
Tuduhan bahawa saya mengarahkan Double Dignity (M) Sdn Bhd membuat permohonan dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd adalah satu pembohongan; dan
2.
Tuduhan bahawa pada 18 Januari 2010, satu permohonan telah dibuat oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd juga satu pembohongan.
3.
Perlu diketahui bahawa permohonan untuk mencuci muka sauk seperti dipohon dalam surat yang dikemukakan oleh Raja Petra seharusnya ditujukan kepada pihak yang menjaga kawasan terlibat iaitu PUAS bukannya Kumpulan Semesta.

Jika dilihat kembali, tarikh 18 Januari 2010 dipilih sebagai tarikh penting dalam fitnah ini kerana ia adalah tarikh lantikan saya dan YB Amiruddin Shari ke Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd, walaupun butiran saya dan YB Amiruddin Shari telah diberikan jauh lebih awal dari itu.

Tarikh 18 Januari 2010 juga ditulis dengan tangan oleh individu dari Double Dignity (M) Sdn Bhd pada surat sokongan dari YB Amiruddin Shari – bermakna ia dirancang sedemikian rupa untuk memfitnah kami.

Malangnya, Raja Petra dan pihak yang mahu memfitnah saya terlupa untuk merekacipta satu permohonan palsu di Kumpulan Semesta Sdn Bhd agar dapat dipadankan dengan tarikh 18 Januari 2010 itu.

SURAT SOKONGAN KEPADA PERMOHONAN DOUBLE DIGNITY (M) SDN BHD

Raja Petra menulis untuk memberi gambaran bahawa YB Amiruddin Shari mengeluarkan surat sokongan bagi mempengaruhi keputusan permohonan Double Dignity (M) Sdn Bhd mendapatkan kerja-kerja pembersihan pasir.

YB Amiruddin Shari mengesahkan surat tersebut dikeluarkan tetapi dengan syarat ketat bahawa ia perlu mematuhi prosedur dan tata kerja yang ditetapkan, sebagai isyarat kepada mana-mana pihak yang ditunjukkan surat itu supaya mematuhi semua peraturan.

Oleh kerana syarat tersebut ditetapkan, ia tidak mempunyai apa-apa kesan untuk mempengaruhi apa-apa keputusan.

Pun begitu, sebagai wakil rakyat telah menjadi kebiasaan orang ramai datang mendapatkan surat sokongan bagi pelbagai tujuan. Apabila bertepatan dengan tugas seorang wakil rakyat dan tidak melanggar peraturan (melalui syarat yang jelas yang ditulis di dalam surat sokongan), ada waktunya surat sokongan sedemikian rupa dikeluarkan.

Bezanya dengan surat sokongan yang menjadi amalan Barisan Nasionalialah wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak campur tangan dan tidak menghubungi pegawai yang berkenaan untuk mengenakan tekanan dan mempengaruhi keputusan.

Dalam kes Double Dignity (M) Sdn Bhd ini, permohonan pun tidak pernah dibuat kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd – maka tidak ada sebarang salahguna kuasa mahupun penyelewengan.

Walau bagaimana pun, saya dan YB Amiruddin Shari mengakui bahawa tindakan mengeluarkan surat sokongan perlu lebih perhatian dan wajar dihentikan sama sekali memandangkan ia boleh dijadikan perangkap untuk memfitnah Pakatan Rakyat, seperti yang berlaku dalam kes ini.

BAYARAN OLEH DOUBLE DIGNITY (M) SDN BHD

Artikel Raja Petra cuba memberi gambaran bahawa saya memeras ugut dan menuntut bayaran yang berterusan dan melampaui batas dari Double Dignity (M) Sdn Bhd.

Hakikatnya, urusan saya dan YB Amiruddin Shari dengan Double Dignity (M) Sdn Bhd adalah hubungan profesional dalam kapasiti saya dan beliau sebagai ahli Lembaga Pengarah.

Bayaran-bayaran yang disebut oleh Raja Petra sebahagian besarnya adalah elaun ahli Lembaga Pengarah sebanyak RM5,000 sebulan seperti yang ditawarkan oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd.

Saya senaraikan setiap pembayaran dan pembohongan Raja Petra seperti berikut:

TARIKH 15 Ogos 2009

JUMLAH (RM) 3,000

TUJUAN PEMBAYARAN -Pembayaran elaun Lembaga Pengarah oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd bagi bulan Jun 2009

TARIKH 25 Ogos 2009

JUMLAH (RM) 2,000

TUJUAN PEMBAYARAN -Pembayaran elaun Lembaga Pengarah oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd bagi bulan Jun 2009

TARIKH 9 September 2009

JUMLAH (RM) 10,000

TUJUAN PEMBAYARAN -Pembayaran elaun Lembaga Pengarah oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd bagi bulan Julai danOgos 2009. Tuduhan bahawa saya menuntut dan menerima bayaran RM35,000 pada tarikh tersebut adalah pembohongan semata-mata.

Tuduhan bahawa saya menuntut bayaran untuk menampung perbelanjaan aktiviti Ramadhan juga adalah pembohongan semata-mata

TARIKH 16 dan 17 September 2009

JUMLAH (RM) 5,000

TUJUAN PEMBAYARAN -Tuduhan bahawa saya mengarahkan En Adnan mengadakan satu majlis buka puasa adalah satu pembohongan.

Saya dan YB Amiruddin Shari dijemput menghadiri majlis buka puasa syarikat, atas kapasiti saya sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat.

Bayaran yang diberikan sebanyak RM5,000 adalah elaun Lembaga Pengarah bagi bulan September 2009 yang dibayar awal. En Adnan menyatakan pembayaran bagi bulan Septemberdibuat awal memandangkan beliau tidak akan ada di Kuala Lumpur semasa hujung bulan kerana pulang beraya di kampung

TARIKH 30 September 2009

JUMLAH (RM) 10,000

TUJUAN PEMBAYARAN -Saya mengesahkan bahawa saya ada memohon sumbangan derma kepada aktiviti jamuan raya yang diadakan di kawasan saya dari En Adnan.Di peringkat awal beliau yang menawarkan membantu kerana kami adalah rakan perniagaan bersama.

Saya juga mengesahkan bahawa saya ada menerima RM10,000 bagi tujuan tersebut melalui pegawai pejabat saya

TARIKH 5 Januari 2010

JUMLAH (RM) 50,000

TUJUAN PEMBAYARAN - Ini adalah pembohongan paling besar yang cuba memutar belitkan keadaan sebenar untuk memfitnah saya.

Seorang kenalan saya (tidak dinamakan untuk menjaga aib beliau, dirujuk sebagai A), menghubungi saya untuk mendapatkan bantuan meminjam wang bagi menjelaskan bayaran beliaupada kontraktor yang mengubahsuai pusat asuhan beliau. Beliau sedang ubahsuai pejabat dalam usaha membuka sebuah pusat Smartreader di Kota Damansara pada ketika itu.

Saya ada menanyakan beberapa orang rakan yang lain untuk meminjamkan wang RM50,000 yang diperlukan bagi pihaknya sementara pinjaman rakan A diluluskan oleh PNS.

Akhirnya saya bertanya rakan niaga iaitu, En Adnan yang bersetuju memberikan pinjamantersebut.

Walau bagaimana pun, saya tidak berada di Kuala Lumpur pada masa itu dan A memerlukan wang dengan segera untuk membayar kontraktor yang sedang mengubahsuai pusat Smartreadernya iaitu kontraktor bernama Smart Renovators Sdn Bhd.

Oleh sebab itulah, saya memohon supaya wang RM50,000 dimasukkan ke dalam akaun seorang lagi rakan saya iaitu Ashmali dan isterinya Puan Norlela untuk diuruskan. Oleh kerana saya menjamin pinjaman tersebut, saya tidak mahu menyerahkan keseluruhan RM50,000 kepada A dan mahukan bayaran dibuat terus kepada kontraktor, agar wang tidak diselewengkankegunaannya.

Puan Norlela membantu saya menguruskan pemindahan wang tersebut seperti berikut:

RM27,500 dibayar terus dalam bentuk cek bank kepada kontraktor

RM12,500 dibayar terus dalam bentuk cek kepada rakan kongsi A, iaitu Puan Farah

Kesemua cek dan baki RM10,000 diserahkan oleh Puan Norlela kepada Azmin Karim iaitu Pegawai Khas Pejabat saya, bagi pihak sayayang kemudiannya disampaikan kepada A.

Tidak ada satu sen pun dari wang tersebut yang diberikan kepada saya, ia adalah satu urusan berhutang peribadi biasa di antara seorang ahli perniagaan kepada seorang rakan yang lain.

Saya hanyalah peminjam dan penjamin yang menjadi orang tengah dan kini menjadi mangsa fitnah apabila urusan peribadi ini diputar belitkan.

Dalam perkara ini kesemua rakan saya turut menjadi mangsa keadaan yang diputarbelitkan dan saya amat simpati dengan mereka yang tertarik bersama dalam 'permainan' ini


Oleh yang demikian, selain dari sumbangan bagi jamuan hari raya berjumlah RM10,000 pada 30 September 2009 – semua bayaran yang dibuat kepada saya adalah dalam kapasiti saya sebagai Lembaga Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd.

Sepanjang penglibatan saya dan YB Amiruddin Shari di dalam Double Dignity (M) Sdn Bhd, saya hanya menerima 6 kali pembayaran elaun iaitu bagi tempoh Jun hingga Disember 2009. YB Amiruddin pula menerima 3 kali iaitu bagi tempoh Oktober hingga Disember 2009.

Ia langsung tidak ada kena mengena dengan sebarang bayaran bagi tujuan mendapatkan kontrak atau pun tuntutan bayaran bagi perbelanjaan saya seperti yang dituduh Raja Petra.

PERBUALAN TELEFON DAN CUBAAN MENGAITKAN YB AZMIN ALI

Saya menafikan perbualan telefon yang disiarkan oleh Raja Petra. Saya yakin seperti juga pembohongan yang dibuat mengenai permohonan kontrak oleh Double Dignity (M) Sdn Bhd yang tidak wujud dan bayaran-bayaran yang tidak wujud, perbualan telefon itu juga adalah rekaan putar belit dialog yang diselang seli dengan perbualan sebenar yang di mungkin di rakam

Saya juga mengecam sekeras-kerasnya cubaan untuk mengaitkan fitnah ini dengan YB Azmin Ali kerana beliau langsung tidak terbabit di dalam perkara ini.

Saya mengesyaki bahawa pihak yang mendalangi fitnah ini terkeliru dengan Azmin Karim, iaitu pegawai saya yang banyak menjalankan tugas bagi pihak saya.

Kesimpulannya, Raja Petra menulis artikel tersebut dengan niat jahat untuk memberikan gambaran buruk sedangkan realitinya adalah berlainan sekali.

Saya yakin beliau kini bersekongkol dengan anasir-anasir Barisan Nasional yang cuba mengalihkan perhatian dari skandal NFC yang semakin memuncak. Harapan mereka dengan menimbulkan fitnah sebegini, ia menimbulkan keraguan dan ketidakyakinan rakyat kepada mana-mana parti politik Pakatan Rakyat

Saya juga ingin menyebut bahawa kes ini telah disiasat sepenuhnya oleh SPRM dan sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan lanjut. Saya menceritakan kesemua perkara di atas semasa saya di siasat SPRM pada Julai 2010 lepas. Saya juga dimaklumkan secara peribadi oleh pegawai penyiasat SPRM bahawa tuduhan ini tidak benar dan tidak melibatkan salahguna kuasa.

Ini bukanlah kali pertama Barisan Nasional dan mereka yang bersekongkol seperti Raja Petra mengambil beberapa insiden dan diputar belitkan untuk memfitnah Pakatan Rakyat di Selangor. Saya dan YB Amiruddin Shari bernasib baik kerana kami masih hidup dan tidak menerima nasib yang menimpa mendiang Teoh Beng Hock, yang turut dijadikan mangsa sebegini semata-mata untuk memfitnah Pakatan Rakyat.

Akhir sekali, cabaran saya dan YB Amiruddin Shari kepada Barisan Nasional dan Raja Petra – kalau benarlah saya dan YB Amiruddin Shari telah melakukan salahguna kuasa, menuntut bayaran untuk mempengaruhi keputusan dan sebagainya – sila senaraikan segala keputusan yang telah dipengaruhi termasuklah kawasan-kawasan balak, pasir dan tanah yang telah diluluskanbagi kepentingan peribadi kami. Nyatakan kawasan mana sebagai dorongan bagi setiap bayaran yang dilakukan jika benar berlakunya salahguna kuasa.

Tuduhan yang hendak dibuat perlulah mempunyai bukti yang kukuh, seperti mana yang dibawa oleh KEADILAN dalam kes NFC. Jika tidak, ini hanyalah satu lagi fitnah bersiri untuk menggoyang keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

SHUHAIMI BIN HAJI SHAFIEI
ADUN SRI MUDA

AMIRUDDIN SHARI
ADUN BATU CAVES

10 FEBRUARI 2012

Nota: Kesemua nama yang disebut diatas sudahpun memberi keterangan kepada SPRM pada Julai 2010.

SPR didakwa ada sesuatu yang disembunyikan

Posted: 11 Feb 2012 12:06 AM PST

Harakahdaily,

IPOH: PAS Perak bimbang ada sesuatu disembunyikan dalam rang daftar pemilih yang sedang dipamerkan sekarang ekoran terlalu banyak fakta yang tidak dinyatakan sebagaimana sebelum ini.

(Asmuni [kanan sekali] bersama kakitangannya menunjukkan rang yang dipamerkan tetapi banyak perkara yang tidak ada)

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak, Haji Asmuni Awi dalam sidang medianya hari ini mendakwa, sekurang-kurangnya 17 perkara tidak dinyatakan dalam rang yang dipamerkan kali ini.

Menurut beliau, rang kali ini hanya menyatakan tiga perkara sahaja tetapi tidak mempamerkan 17 perkara yang biasanya dipamerkan sebelum ini.

"Kami yakin rang kali ini mungkin rang yang terakhir yang akan disahkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

"Persoalan yang timbul, adakah SPR menyembunyikan sesuatu pada rang kali ini?" kata beliau dalam sidang media itu.

Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Perak setelah menerima Rang Daftar Pemilih Tambahan suku ke – 4 / 2011 (RDPTs4/2011) yang telah mula dipamerkan.

Ia di pamerkan di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Negeri Perak, Pejabat-Pejabat Daerah dan Pejabat Pos Malaysia (POS) terpilih di seluruh negeri mulai 8 Februari 2012 hingga 14 Februari 2012 (selama 7 hari).

Namun, ia perlu diperjelaskan dengan kadar segera berikutan beberapa maklumat yang diberikan tidak lengkap, kata Asmuni.

Pihak SPR yang membekalkan kepada semua parti politik rang kali ini yang berlainan daripada rang-rang yang pernah diberikan amat ketara sekali.

PAS Perak hanya menerima maklumat yang terhad kepada kod seperti berikut:-

i) kod 10 – status pengundi baru
ii) kod 20 – status pengundi berpindah masuk
iii) kod 31 – status pengundi berpindah keluar

Status kod lain yang tidak diberikan adalah seperti berikut:-

iv) kod 32 – rekod berganda
v) kod 33 – kematian
vi) kod 34 – hilang kelayakan sebagai pengundi pos
vii) kod 35 – bersara polis/tentera
viii) kod 39 – tentera diragui
ix) kod 3A – polis diragui
x) kod 3B – tiada rekod di JPN
xi) kod 3C – bukan warganegara
xii) kod 3f – dilucutkan kewarganegara
xiii) kod 3G – masuk tentera
xiv) kod 3H – masuk polis
xv) kod 3J – silap pendaftaran
xvi) kod 3K – tidak ditemui
xvii) kod 3L – awam dalam lokaliti pth
xviii) kod 3M – pengenalan diri tidak lengkap
xix) kod 3N – rekod tidak aktif di JPN
xx) kod 3o – hilang layak pengundi awam

Termasuk dua kod baru yang diwujudkan oleh SPR pada Rdpt kali ini ialah:-

i) kod 38- awam diragui
ii) kod 3p- pulang dari luar negeri

"Oleh yang demikian, kami memberikan tempoh seminggu kepada SPR untuk menyelesaikan persoalan ini dan membekalkan segala maklumat tersebut kepada parti politik sepertimana sebelum ini.

"Dan kami mendesak agar RDPTs4/2011 yang dalam tempoh semakan tersebut perlu ditangguhkan dari diwartakan sehingga segala keperluan ini dipenuhi!" katanya dalam sidang media itu.

Veteran yakin Kelantan kekal di bawah PAS

Posted: 11 Feb 2012 12:01 AM PST

Aslani M,

KOTA BHARU: Veteran-veteran PAS di Kelantan melahirkan komitmen terhadap kemampuan parti itu mempertahankan negeri ini pada pilihan raya umum ke-13, meneruskan kesinambungan sejak 1990.

Faktor dirumuskan mereka apabila kekuatan dalaman mantap dan tidak berlaku perpecahan seperti pernah berlaku pada 1978.

Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad berkata, kekalahan yang berlaku pada 1978 kerana faktor perpecahan dalaman sehingga lahirnya Berjasa, menjadi duri dalam daging.

"Berjasa ditaja Umno untuk bertanding berdepan PAS dengan harapan dapat memecah undi PAS. Berlaku pertembungan tiga penjuru sehingga memberi kemenangan kepada Umno dan BN," katanya pada seminar 3 Dekad Kebangkitan PAS Kelantan di Pondok Pasir Tumbuh di sini, petang ini.

Kertas kerja yang dibentangnya bertajuk 'Kebangkitan Sokongan Rakyat Mendepani Cabaran Umno dari tahun 1982-1990' . Kertas kerja itu kemudian diulas bekas wakil rakyat PAS pada 1974, Hashim Omar.

Hashim juga melahirkan keyakinan PAS akan tetap utuh di Kelantan bagi mempertahankan kerajaan sekiranya tidak wujud masalah dalaman parti.

Mengimbau perpecahan dalaman yang berlaku pada 1970-an katanya, Umno secara terang-terangan menaja Berjasa yang ditubuh Datuk Mohamad Nasir untuk berdepan dengan PAS pada pilihan raya 1978.

Katanya pada pilihan raya tersebut sebanyak 11 kerusi Berjasa bertanding melawan PAS sehingga mewujudkan pertandingan tiga penjuru, yang membawa kemenangan kepada Umno pada 1978.

"Kalau berjasa tidak masuk pecahkan undi, kita yakin boleh menang kerusi tersebut. Umno satu lawan satu dengan PAS di 9 kerusi. BN juga taja kerusi bebas di Tok Uban.

Biar pun BN melakukan banyak strategi bagi melemahkan PAS, namun PAS masih lagi dapat bangkit. Sepatutnya dengan taktik tersebut PAS sudah kalah teruk di Kelantan.

KWSP bukan tabung buluh kerajaan

Posted: 10 Feb 2012 11:58 PM PST

Idris Ahmad,

Wang KWSP ialah wang simpanan hari tua, ia bukan tabung buluh kerajaan BN untuk dibelanja sewenang-wenangnya bagi maslahat politik.

Terbaru Senator Datuk Nong Chik mengumumkan kerajaan akan menggunakan wang KWSP sebanyak RM1.5 bilion untuk membantu 20,000 penyewa di Kuala Lumpur membeli rumah.

Kenapa wang KWSP yang digunakan? Kenapa kerajaan tidak menggunakan dana kerajaan sendiri? Apakah ini petanda kerajaan BN sudah kritikal dari segi kewangan sehingga terpaksa mengguna dana awam?

Bagaimana pula nasib rakyat di luar Kuala Lumpur yang menjadi penyumbang kepada KWSP? Kenapa mereka dianak tirikan? Rakyat Sabah dan Sarawak juga perlukan rumah.

Adakah ini hanya projek untuk mengambil hati pengundi di Parlimen Lembah Pantai yang bakal ditandingi oleh Senator Datuk Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Paling menyedihkan sekali menurut Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Komersial Sabah (SCEU) Rebecca Chin tidak dimaklumkan semasa beliau menghadiri mensyuarat Lembaga Pengarah KWSP.

Beliau mewakili kesatuan di lembaga KWSP dari tahun 2007 hingga 31 Januari 2012.

Sebelum ini dana KWSP juga digunakan untuk valueCap sebanyak RM5 bilion, Felda RM6 bilion, pinjaman kepada GLC tanpa penjamin RM55.1 bilion.

Dana KWSP untuk simpanan hari tua, bagaimana nasib para pekerja selepas bersara, terutama mereka yang berpendapan rendah. Dividen KWSP hanya berkisar 5 hingga 6 peratus. Sedangkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera boleh memberi sebanyak 15 peratus.

KWSP berada di tangga ke 9 pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 di tangga ke 18. Ini menunjukkan pungutan KWSP setiap tahun meningkat. Anggaran setiap bulan KWSP memungut sebanyak RM500 juta. Malangnya ia tidak diurus dengan baik oleh kerajaan BN.

Awas jerat Valentine

Posted: 10 Feb 2012 11:55 PM PST

Jakim,

Fenomena sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine's Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan "Valentine" berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud "Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa". Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi "To be my Valentine?", maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi "Sang Maha Kuasa" dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh-tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Oleh itu, mimbar ingin menegaskan bahawa pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.

Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku? Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:

Maksudnya: "Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:

Maksudnya: " Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar. "

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.

Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207:

Bermaksud: " Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya."

Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar mewar-warkan larangan Sambutan Valentine's Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita ini, jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine's Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:

Pertama: ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;

Kedua: umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;

Ketiga: menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;

Keempat: menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan

Kelima: meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:

Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Artikel di atas adalah petikan khutbah Jumaat pada 10 Februari 2012 yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

MB: KSSB dipantau SPRM, TI sejak awal

Posted: 10 Feb 2012 11:54 PM PST

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang menjalankan operasi pasir diuruskan secara telus dan bertanggungjawab, kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat terlebih dahulu telah mengambil langkah perlu seawal memegang pemerintahan negeri.

Antara inisiatif itu kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim termasuklah memberi kebenaran kepada pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

"Ketika KSSB dikritik pada 2009, saya telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan SPRM diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan dan menawarkan mereka untuk menempatkan pegawai-pegawai di pejabat KSSB.

"SPRM menerima menerima tawaran ini dan sejak itu pegawai dan kakitangan SPRM bebas keluar masuk ke pejabat KSSB," katanya semalam ketika mengulas dakwaan rasuah melibatkan operasi pasir di Selangor yang disiarkan di sebuah laman blog.

Dipantau Transparency International

Menurut Khalid lagi, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International (TI) dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

"Kita meminta Transparency International mencalonkan dua nama untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB kerana kita berpendapat, sekiranya lantikan dibuat oleh kerajaan negeri, individu berkenaan mungkin tidak berlaku bebas.

"Transparency International telah melantik Chong Seng Gee dan Sabtu Md Ali untuk menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu," katanya sambil menambah, KSSB juga diaudit setiap suku tahun oleh juruaudit bebas.

Menteri Besar berkata beliau tidak akan menghalang sesiapa yang ingin memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat.

"Kita bersedia menerima maklumat daripada orang ramai untuk membantu Kerajaan Negeri dan anak syarikat supaya lebih telus dan bertanggungjawab. Kita serius membanteras rasuah dan kerana itu kita telah mengambil langkah-langkah tertentu sejak beberapa tahun lalu.

Pemuda PAS lapor polis terhadap Hasan Ali

Posted: 10 Feb 2012 11:51 PM PST

Harakahdaily,



KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat satu laporan polis terhadap Datuk Dr Hasan Mohd Ali ekoran kenyataan bekas exco Selangor itu yang didakwa boleh mencetuskan suasana tegang dan mengancam keselamatan negara.

Ianya merujuk kepada kenyataan Hasan ketika berceramah pada 31 Januari lalu di Padang Awam Seksyen 2, Bandar Baru Bangi yang dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah negara republik.

Di samping itu, Hasan Ali yang dipecat keahlian dari PAS awal Januari lalu itu juga dilaporkan mendakwa bahawa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

"Ucapan ini pada kita sangat bahaya dan boleh mengundang ketidakharmonian antara kaum.

"Ia juga satu kenyataan berniat jahat yang cuba menghasut masyarakat membenci PAS serta parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat," kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily selepas selesai membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Turut serta dalam rombongan itu, exco Dewan Pemuda PAS Pusat termasuk Mohd Sany Hamzan dan Mohd Adram Musa.

"Kalau ianya tidak benar, dia (Hasan Ali) kena nafikan lah, namun sehingga hari ini belum ada sebarang penafian dari beliau.

"Jadi untuk permulaan kita serah kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan kita telah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut selepas itu," kata Raja Ahmad.

PAS dituduh sesat

Posted: 10 Feb 2012 11:47 PM PST

Abu Bakar Chik,


Datuk Ahmad Said Menteri Besar Terengganu telah membuat satu kesilapan besar apabila beliau bertindak menyambung lidah musuh-musuh Islam dan kuasa kuffar antarabangsa dengan melemparkan tuduhan kesat kepada PAS yang didakwa oleh beliau sebagai Parti Ajaran Sesat.

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam di Malaysia kini mengalami nasib serupa dengan gerakan - gerakan Islam lain di seluruh dunia apabila dituduh dengan pelbagai tuduhan yang tidak masuk aqal seperti pengganas, komunis dan kini pembawa ajaran sesat.

Tidak hanya penjajah yang menuduh pejuang Islam dalam negara ini seperti Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong sebagai pemberontak dan pengganas, kini Datuk Ahmad Said pula melangsungkan peranan penjajah untuk melabelkan pejuang dan jamaah yang memperjuangkan Islam dengan label yang jahat.

Umum mengetahui bahawa PAS adalah sebuah pergerakan Islam, didokong pula oleh para alim ulama' yang menyambung warisan perjuangan untuk mendaulatkan Islam di bumi bertuah ini.

Menuduh PAS sebagai Parti Ajaran Sesat adalah percubaan jahat yang dilakukan oleh Datuk Ahmad Said untuk menyamatarafkan PAS (sebagai sebuah parti yang sah dan perlembagaannya meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan) dengan pergerakan sesat yang dibawa oleh Ayah Pin.

Perkataan Datuk Ahmad Said sungguh buruk dan hasratnya kelihatan sungguh busuk. Bankrap modal politik serta tandus isu membuatkan Datuk Ahmad Said bertindak jahat dan tidak waras.

Beliau diberi masa selama 3 hari untuk menarik balik semua tuduhan liar dan tidak berasas yang dilemparkan kepada kami khasnya rakyat Terengganu.

Kegagalan Datuk Ahmad Said untuk menarik balik dan memohon maaf kepada PAS secara rasminya dalam masa 3 hari ini, maka saya akan berbincang dengan pihak tertinggi parti untuk mengambil tindakkan tegas.

*Abu Bakar Chik adalah AJK PAS Pusat

Gadai akidah: Mufti perlu berani tegur Najib

Posted: 10 Feb 2012 11:45 PM PST

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Pusat mahu lebih ramai para ulama, mufti dan golongan agamawan tampil menyatakan pandangan terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir ke upacara agama di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam minggu lalu.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohamad Nor berkata, golongan itu perlu berani untuk menyatakan kebenaran seperti yang ditunjukkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang membantah tindakan Najib itu dan menyifatkannya sebagai 'menggadai akidah'.

"Pemuda PAS melihat keberanian inilah yang perlu ditunjukkan oleh para Mufti di negara ini apabil melihat kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengira siapa pun pelakunya.

"Soal aqidah umat mesti menjadi keutamaan dan para ulama tidak harus berdiam diri apabila melihat aqidah umat rapuh atau runtuh," katanya.

Menurutnya, kehadiran Najib sempena perayaan Thaipusam sememangnya mengundang kegelisahan umat Islam di negara ini.

Meskipun Datuk Seri Najib hadir atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada penganut agama Hindu, disisi Islam katanya perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan.

Tambahnya lagi, walaupun agama Islam tidak pernah melarang penganut agama lain merayakan perayaan masing-masing, namun Islam tetap mengharamkan umatnya menyambut perayaan agama lain kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

"Kehadiran Najib dikhuatiri akan merosakkan aqidah beliau dan umat Islam yang lain memandangkan beliau adalah Perdana Menteri di negara ini, dan tindakan beliau pasti akan diikuti oleh rakyat jelata.

"Perdana Menteri tidak perlu hadir ke Batu Caves hanya untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan atau menyerahkan kepada pemimpin MIC untuk mengucapkan selamat menyambutnya," tegasnya.

Langgar syariat demi sokongan

Selain itu Riduan berkata, dewan pemuda PAS melihat Perdana Menteri bertindak demikian kerana amat kemaruk untuk mendapatkan pengaruh dan populariti bagi mengekalkan kuasa beliau sehingga sanggup melanggar syariat dan aqidah.

"DPPM hairan mengapa penasihat agama beliau termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tidak tampil lebih awal memberikan nasihat supaya beliau tidak hadir ke Batu Caves bagi mengelakkan kritikan rakyat," soalnya lagi.

Sehubungan itu, mereka meminta lebih ramai para mufti, para ulama dan agamawan di negara ini bersuara bagi menyatakan kebenaran di sebalik isu ini.

Bagi mereka, apa juga pandangan ulama perlu diambil kira biarpun hasilnya pahit untuk ditelan.

"Demi aqidah umat, tiada siapa harus berdiam diri atau menyembunyikan kebenaran," tegasnya.

Isa guna RM353,000 wang Felda buat rumah terbuka?

Posted: 10 Feb 2012 11:43 PM PST

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mendakwa Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menyalahgunakan wang Felda sejumlah RM353,375 bagi mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, September tahun lalu.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, Isa tidak mengadakan rumah terbuka di Ibu Pejabat Felda seperti kebiasaannya, sebaliknya memilih untuk mengadakannya di kediamannya di Port Dickson.

"Sepatutnya Felda mengadakan rumah terbuka di ibu pejabatnya dengan kos lebih kurang RM30 ribu.

"Tapi Tan Sri Isa buat di kediaman sendiri. Jadi sudah tentu memerlukan peruntukan yang banyak untuk tujuan pengangkutan dan sebagainya, dan dia guna duit Felda, sudah tentu duit peneroka," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Selain itu, turut dipersoal isteri Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga mengadakan rumah terbuka, juga menggunakan duit Felda.

Kos rumah terbuka tersebut mencecah RM17,875 dan diadakan di Taman Fatimah, Kuala Pilah.

"Apa gunanya isteri dia buat rumah terbuka guna anam sendiri dan peruntukan Felda? Sepatutnya cukuplah pengerusi Felda sahaja yang buat," katanya.

Sehubungan itu, Anak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan tersebut.

"Kami akan buat laporan ke SPRM dan SPRM dapat menyiasat perkara ini," katanya.

Khuatir disogok, SPRM digesa pantau EGM KPF

Posted: 10 Feb 2012 11:40 PM PST

Hazayani Zakaria,

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau perjalanan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas (EGM) Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF), 22 Februari ini.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya khuatir wujud penyelewengan dan sogokan dalam EGM itu berdasarkan maklumat yang diterima bahawa kos EGM tersebut mencecah RM1 juta.

Katanya, Anak menerima maklumat perwakilan akan diberi habuan agar menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Anak meminta SPRM membuat pemantauan sebelum dan semasa EGM ini berlangsung kerana kosnya begitu besar.

"Kita tak pasti kos apa yang begitu besar sebab itu wujud kebimbangan akan ada sogokan kepada perwakilan," kata Mazlan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Sementara itu, Anak melalui peguamnya, Mohd Harris Abdullah akan sekali lagi memfailkan saman pemula memohon injunksi mahkamah bagi menghalang EGM itu diadakan.

Saman itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan, 17 Februari ini.

Menurut Harris, beliau akan berbuat demikian setelah diminta oleh ahli KPF yang tidak menyokong EGM tersebut, selepas menerima notis panggilan mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat Felda, Jalan Maktab, dekat sini.

Notis bertarikh 31 Januari di bawah Fasal 30 (1) Undang-undang Kecil KPF itu antaranya menyatakan agenda EGM untuk membincangkan perkara berkenaan usul-usul Lembaga KPF dan/atau Rekuisisii tersebut mengenai cadangan penjualan pegangan KPF sebanyak 51% dalam Felda Holdings Berhad melibatkan 10 anak syarikat Felda.

Ia berhubung penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

"Ahli KPF sudah menerima notis panggilan mesyuarat yang akan fokus kepada penyenaraian FGVH.

"Seperti sebelum ini, saya akan failkan injunksi agar mahkamah menghalang EGM ini," katanya.

Mesyuarat agung khas halang penyenaraian

Bercakap pada sidang media yang sama, Mazlan berkata, pihaknya akan akan memanggil mesyuarat agung khas dengan persetujuan perwakilan atau pemegang saham KPF bagi menghalang penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Anak akan menuntut mesyuarat agung tersebut menggunakan peruntukan fasal 29 (1) Undang-undang Kecil KPF.

Menurut Undang-undang Kecil KPF, Lembaga pada bila-bila masa boleh, dan apabila ada rekuisisi yang ditandatangani oleh sekurang-kurangnya satu perlima atau satu ratus perwakilan mengikut mana yang kurang hendaklah memanggil suatu mesyuarat agung perwakilan khas mengikut subseksyen 40 (1) Akta.

Sehubungan itu, Anak akan menyerahkan notis tersebut kepada setiausaha KPF di Ibu Pejabat Felda Khamis ini.

Menurut Harris, mesyuarat itu meminta KPF tidak dikaitkan dengan menyenarai FGVH dalam apa cara sekali pun.

"KPF dilarang sama sekali untuk lupuskan ekuiti milik KPF dalam Felda dan sepuluh anak syarikat milik Felda kepada FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh Felda atau FGVH," katanya.

Selain itu, mereka juga menuntut agar KPF melarang sebarabg jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti milik KPF dalam Felda dan sepeuluh anak syarikat Felda oleh mana-mana pihak termasuk Felda atau FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh Felda.

"Kita akan ke Ibu Pejabat Felda jam 11 pagi Khamis ini bagi bertemu dengan lembaga pengarah," katanya.

2 ADUN dicabar saman Raja Petra

Posted: 10 Feb 2012 11:38 PM PST

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Shuhaimi Shafie dan Amiruddin Shari dicabar menyaman pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin sekiranya dakwaan pembabitan mereka dalam skandal rasuah pasir di negeri itu tidak benar.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan segera bagi membuktikan kedua-dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak terlibat sekali gus membersihkan integriti dan nama baik mereka.

"Shuhaimi yang suatu ketika dahulu lantang bersuara dalam isu rasuah pasir di Selangor perlu tampil membela diri dengan memberi penjelasan bagi menafikan penglibatan beliau dalam isu tersebut.

"Ini sekali gus dapat membersihkan nama beliau selaku pemimpin masyarakat, bukan mengalih perhatian rakyat dengan menghentam Raja Petra di dalam blognya.

"Saya juga ingin menasihatkan Amiruddin supaya tidak membuat sindrom sepi atau membisu. Beliau perlu berani ke depan membuat kenyataan bagi membersihkan keadaan, bukannya menghilangkan diri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.-Utusan

‘Spekulasi penyingkiran jika benar tidak beretika’

Posted: 10 Feb 2012 11:30 PM PST

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, jika benar ada usaha Pas Kelantan mahu menyingkirkan beliau daripada mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti, ia merupakan perbuatan yang tidak beretika.

Katanya, usaha itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan amalan politik serta ukhuwah dalam Pas.

Bagaimanapun beliau tidak mengesah mahu pun menafikan dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi itu, sebaliknya hanya akan memberi penjelasan mengenai perkara itu apabila tiba masanya nanti.

"Saya sudah 30 tahun berkhidmat dalam parti dan pada setiap pilihan raya saya akan berusaha memastikan Pas menang dengan cemerlang termasuk pada PRU-13 nanti.

"Spekulasi yang mengatakan ada usaha untuk menyingkirkan saya dari Kelantan jika benar, ia merupakan perbuatan yang tidak beretika, tidak bertanggungjawab dan bukan dasar parti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Naib Presiden Pas itu diminta mengulas kenyataan Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengenai ura-ura beliau akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum nanti ekoran penolakan pemimpin dan penyokong Pas Kelantan terhadapnya.

Menurut Mohd. Puad, penyingkiran itu menggambarkan pemimpin Pas yang berasal dari Johor itu sudah tiada tempat di Kelantan kerana dianggap sebagai orang luar.

Salahuddin memberitahu, beliau bersedia untuk diletakkan bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum nanti sekiranya diputuskan oleh parti.

Beliau akur jika diarah bertanding di Johor dan seterusnya berkemungkinan dilantik sebagai menteri besar jika pakatan pembangkang berjaya menawan negeri itu.

"Buat masa ini biarlah dahulu, saya akan jawab dakwaan Mohd. Puad serta memberi kenyataan penuh mengenai perkara itu (penyingkiran oleh Pas Kelantan) apabila tiba waktunya," katanya.-Utusan

PKR buat persiapan terakhir sebelum PRU13

Posted: 10 Feb 2012 11:28 PM PST




Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PKR akan menyertai pilihanraya dengan barisan yang bersatu dan bersih. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Sebuah pertemuan khas PKR penghujung bulan, juga perjumpaan terbesar seumpamanya setakat ini, akan digunakan untuk mengemaskini strategi pilihan raya sebelum pilihan raya umum yang dijangka berlangsung 14 bulan lagi.

Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon perdana menteri Pakatan Rakyat (PR), yang turut akan menerangkan rancangan akhir pasca-pilihan raya termasuk kemungkinan Barisan Nasional (BN) melancarkan tindakan kecemasan yang memungkinkan pakatan berkenaan hilang kuasa.

Pertemuan khas yang akan diadakan di Lumut bermula 24 hingga 26 Febuari akan melibatkan bukan sahaja pemimpin atasan parti, bahkan juga ketua-ketua cawangan bagi kerusi yang bakal mereka tandingi bagi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

"Kebiasaannya, hanya majlis tertinggi dan biro politik akan menghadiri acara itu, namun, pemimpin di peringkat akar umbi akan turut serta pada kali ini, dengan penyertaan dijangka seramai 200 peserta, perhimpunan terbesar dalam sejarah parti," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, dengan matlamat parti untuk menawan Putrajaya, mereka akan menyertai pilihanraya dengan barisan yang bersatu dan bersih.

Bekas timbalan perdana menteri, Anwar telah mengetuai perikatan longgar antara DAP, PAS, dan PKR, dan merekodkan kemenangan ketika plihan raya 2008, dengan PKR menjadi pembangkang terbesar di Parlimen selepas memenangi 31 kerusi persekutuan.

Ketika itu, ketiga-tiga parti tersebut berjaya membina perikatan untuk menumbangkan Barisan Nasional daripada menguasai tiga per empat kerusi Parlimen.

Mereka berjaya menawan 82 kerusi persekutuan dan menawan lima negeri, termasuk negeri terkaya, Selangor dan Pulau Pinang.

Pakatan pembangkang percaya mereka sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya, namun pemerhati politik melihat ketiga-tiga parti tersebut bertelagah sesama sendiri.

PKR, DAP, dan PAS dilihat gagal mencapai kata putus berkenaan pelaksanaan undang-undang Islam, tindakan terhadap hubungan berbilang agama, dan rakyat majmuk di negara ini.

"Kami akan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil bagi mengatur kembali gerakan perjuangan parti terhadap isu yang sukar untuk menarik pengundi," jelas Rafizi dan menambah Anwar berjumpa dengan pemimpin di peringkat akar umbi bagi menjelaskan isu yang akan digunakan menghadapi pilihan raya.

Kepimpinan pusat turut akan berhubung dengan pimpinan akar umbi berkenaan pelan tindakan "kemungkinan berhubung GE13."

"Kami akan mengenal pasti apa tindakan yang boleh dilakukan sekiranya kami tewas dua per tiga, sekiranya status quo itu kekal, kami menang, kami menang dua per tiga, sekiranya kami menang dan BN mengumumkan tindakan kecemasan. kami akan tahu tindakan yang akan dibuat dan pelan tindakan terlibat," kata Rafizi.

Menurutnya, idea berkenaan akan disampaikan kepada rakan-rakan PR bagi menghadapi pilihan raya yang akan menjadikannya kali pertama penguasaan BN tidak diganggu gugat sejak Kemerdekaan.

Walaupun terdapatnya spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan beberapa minggu lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata "kerajaan masih lagi sedang menunaikan janji-janjinya, dan amat penting buat rakyat untuk merasai perubahan yang dijanjikan akan memanfaatkan mereka."

Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang memerintah selama 22 tahun dan masih berpengaruh mencadangkan agar Najib menangguhkan tarikh pilihan raya dan mendapatkan sokongan penuh untuk BN.

MP Segambut jadi orang tengah selesaikan isu KFC

Posted: 10 Feb 2012 11:26 PM PST

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, beliau bersedia untuk mendapatkan Danny Ng, mangsa yang dikasari seorang pekerja KFC i-City minggu ini, untuk berdamai sekiranya pelaku terbabit meminta maaf.

NONEKatanya, beliau akan cuba untuk meyakinkan mangsa supaya berjabat
tangan dan berdamai dengan mereka yang mengkasarinya di KFC jika pelaku itu meminta maaf.

Tawaran tersebut dibuat beberapa jam sebelum Ng dijadualkan menghadiri sesi cam pelakunya, di balai polis Shah Alam petang ini.

Ng telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut Rabu lalu.

Bercakap dalam satu sidang media hari ini, beliau berkata, pihak pengurusan KFC bersetuju untuk menemui Ng minggu depan di ibupejabatnya.

Lim berkata, Ng akan diiringi peguam DAP di kedua-dua pertemuan tersebut.

Najib, Muhyiddin perlu dedah butiran perjanjian NFC

Posted: 10 Feb 2012 11:12 PM PST


MALAYSIA KINI

PKR hari ini menuntut perdana menteri dan timbalannya supaya mengarahkan pihak-pihak bertanggungwab termasuk syarikat projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman mudah RM250 juta yang diterimanya daripada kerajaan diumumkan kepada orang.

NONE"Untuk merungkai segala persoalan ini, saya mengesyorkan supaya Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada umum.

"Ini supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar," kata pengarah strategi PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NFC Wan Shahinur Izmir Salleh bahawa Kementerian Kewangan tidak mengenakan sebarang syarat-syarat mengenai bagaimana pinjaman RM250 juta itu boleh digunakan.

azlanMenurut beliau, suami dan anak Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang berkenaan bagi tujuan peribadi termasuklah mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

"Pengakuan ini menimbulkan seribu satu persoalan baru.

"Apakah hak menteri-menteri terbabit meluluskan pemberian wang sejumlah RM250 juta kepada keluarga menteri untuk dibelanjakan sesuka hati mereka?" soalnya.

Rafizi juga menuntut kerajaan mendedahkan berapa banyak lagi perjanjian-perjanjian pinjaman seumpama itu yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada peminjam membelanjakan wang
rakyat telah diberikan berkenaan.

azlan"Apakah pemilik dan pengurusan NFC yang terdiri dari kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) dan mencagarkan harta peribadi mereka sebagai sebahagian dari syarat perjanjian pinjaman?" soalnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan Rakyat terus menuntut agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal NFC kerana penyelewengan dan kecuaian yang berlaku melibatkan pimpinan tertinggi negara.

Panel SPRM bincang tiga kes profil tinggi

Posted: 10 Feb 2012 11:08 PM PST

MALAYSIA KINI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membincangkan tiga kes berprofil tinggi, termasuk melibatkan National Feedlot Center dalam satu mesyuarat jawatankuasa penilaiannya pada 23 Februari.

Satu kenyataan dikeluarkan suruhanjaya itu menyebut, perbincangan itu juga melibatkan siasatan ke atas dua orang ADUN PKR Selangor – Amirudin Shari dan Shuhaimi Shafiei – berhubung dakwaan penyelewengan dan sindiket kecurian pasir di negeri itu.

Satu lagi kes yang akan dibincangkan melibatkan dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman.

Siasatan lengkap ke atas kes berkenaan telahpun lengkap dan dikaji oleh Pejabat Peguam Negara dan akan dikemukakan kepada panel berkenaan.

"Panel ini adalah satu mekanisme bebas yang telah dibentik oleh kerajaan bagi memastikan SPRM menjalankan tugas dengan bebas, telus without fear and favour," kenyataan itu dipetik.

Terma rujukan untuk panel yang dipengerusikan bekas ketua audit negara Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil itu antara lainnya menyatakan bahawa ia dibentuk untuk meneliti kes melibatkan suspek yang telah ditahan dan dilepaskan dengan jaminan melebih enam bulan oleh SPRM.

Selain itu, panel itu juga akan menerima laporan daripada SPRM berhubung kertas siasatan yang tidak mendapat apa-apa keputusan selepas tempoh melebihi enam bulan.

Panel itu juga dibentuk untuk menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung Kertas
Siasatan yang mana tempoh siasatan melebihi tempoh 12 bulan.

Laporan tahunan dan ulasan panel berkenaan berhubung perjalanan operasi siasatan SPRM akan diserahkan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: