Sabtu, 4 Februari 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Jati, Kita Dan Amanah

Posted: 04 Feb 2012 05:03 AM PST

MSO


[kemaskini] Dalam tempoh 73 jam lalu banyak perkara yang berlaku termasuk isu-isu yang boleh dikaitkan dengan politik. Sekurang-kurangnya ada tiga perkara atau kejadian yang menyendak dalam minda saya, di mana kalau saya tidak 'kehek' (melepaskannya) menyebabkan saya tak boleh melelapkan mata sampai ke pagi.

Lagipun di dalam PM (personal masej) dan kotak e-mail saya ada beberapa penjengok yang meminta saya memberi ulasan dan pandangan segera terhadap tiga perkara yang saya maksudkan. Selain dari tiga perkara itu saya juga menerima e-mail yang meminta saya memberi pandangan dan sorotan mengenai Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), perihal khutbah di Kelantan yang dianggap tidak bertenaga dan tidak ketinggalkan juga fasal pilihan raya umum ke-13.

Ramai yang bertanya fasal pilihan raya umum apabila mereka dapat merasakan ia tidak mungkin diadakan pada Mac ini seperti mana diramalkan ramai.

Malam ini saya akan ulas mengenai perkara yang terngian-ngian di cuping telinga saya dulu, lagi pun saya sudah janji. Perkara itu ialah mengenai Jati, Kita dan Amanah. Jati adalah sebuah Ngo baru yang akan diumumkan penubuhannya (perlancaran) pada 21 Februari ini. Kita ialah parti Kesejahtraan Insan Tanah Air (betulkah sebutan tu?) dan ketiga mengenai Amanah. Adapun Perkasa(m) saya tidak sudi untuk mengulasnya kerana tersangat busuk kohong.

Jati adalah milik Hasan Akidah. Hasan Akidah membuat pengumuman dia akan menubuhkan sebuah Ngo bernama Jati. Dia akan jadikan Jati sebagai platformnya untuk mengerakkan kuasa politik ketiga seperti mana dimaksudkan itu. Katanya Jati tidak semestinya menyokong UBN. Katanyalah. Sebagai ahli motivasi yang masih menggunakan pendekatan lama menjual bual, Hasan boleh berkata apa yang disuaki kerana retorik adalah permainannya.

Apakah benda Jati ini? Saya tenguk di dalam wall Fb saya ada ditagkan gambar supik (guni) beras bernama Jati dengan gambar Hasan Akidah. Mulanya saya ingat syarikat pengeluar dan pengimport beras berjenama Jati telah menlantik Hasan sebagai duta iklannya. Tetapi tidak rupanya ia satu ejekan kepada Hasan. Ngo Jati itu sudah diperli dengan nama beras Jati. Diperlekeh-lekehkan oleh orang.

Ramai yang tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan Jati itu. Akroni Jati ialah Jalur Tiga (Jati). Apa dia jalur tiga. Jalur tiga ialah, 1. Islam, 2. Melayu 3. Raja. Ia juga disebut sebagai IMR - Islam, Malayu, Raja. Itu merupakan asas atau prinsip perjuangan Hasan Akidah selepas keluar Pas. IMR itu merupakan modal terbarunya untuk menjual bual.

Anihnya dalam jelajah yang dibuat atas nama Akidah yang dibelasah ialah Pas dan Anwar Ibrahim.

Rupa akidahnya terpesong sebelum ini diperbetulkan dengan memasukkan tiga elemen berkenaan. Sebenarnya website Jalur 3 ini sudah pun beroperasi beberapa hari lalu yang membuat posting di sekitar kegiatan Hasan Akidah menjelajah menghentam Pas. Website berkenaan bukan membawa maksud perjuangan IMR itu tetapi lebih mirip kepada website peribadi Hasan untuk membelas dendam. Serentak dengan pengumuman Jati website berkenaan telah bertukar logo dan nama dari Jalur 3 kepada Jati.

Tidak mengapa negara ini adil dan mengamalkan demokrasi tulen bukan jati? Hasan boleh buat apa sahaja selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang. Jalur 3 ke jalur lapan ke atau jalur 17 dia boleh lakukan apa saja. Malahan jalur 1000 pun bisa. Selagi ada orang sedia untuk memberi wang buatlah beberapa jalur pun. Jalur akan berjalur mengikut seberapa banyak wang yang di sedekahkan. Jangan persoalkan apakah wang itu halal atau haram yang penting ia berjalur.

Cuma yang dihairankan dia berpegang kepada tiga jalur - IMR itu tetapi kenapa dalam ceramah-ceramahnya yang dihentam Pas dan Anwar Ibrahim. Janji untuk mempertahankan akidah, mengawal kegiatan Kristinisasi, maksiat sudah tidak kedengaran lagi. Yang banyak mengutuk Pas dan Anwar. Rasanya elok kalau Hasan memasukkan dalam Jalur tiga itu dua jalur lagi, Pas dan Anwar Ibrahim, biar jadi IMRPA.

Mengenai Jalur 3 atau Jati ini hendak jadi kuasa ketiga, saya kira itu hanya ilusi dan mimpi Hasan Akidah sahaja. Dari mana ia hendak mendapat kekuatan untuk wujud sebagai kuasa ketiga. Kuasa ketiga tidak akan menjadi kenyataan kalau setakat dengan air liur. Zaman orang telan air liur dan terpesona dengan ucapan seseorang sudah berlalu. Zaman kini zaman realiti dan hakiki.

Kalau tidak silap Tengku Razaleigh Hamzah juga pernah menyebut soal kuasa ketiga. Bagi Tengku Razaleigh kuasa ketiga adalah dari kalangan orang muda. Orang muda akan menjadi kuasa ketiga yang akan bangkit untuk membahawa pembaharuan dan berjuang memenuhi aspirasi muda mereka. Sample kuasa ketiga yang diambil Tengku Razaleigh ialah dengan apa yang berlaku di Mesir. Kebangkitan semangat revolusi anak-anak mudalah menjatuhkan Hosni Mubarak.

Difahami dari apa yang disebut Tengku Razalegih itu anak muda akan bangkit apabila mereka mempunyai kepedulian kepada diri dan digerak. Untuk menggerak mereka disamping ia perlu mengenengahkan isu mereka ia memerlukan seorang idola. Dalam hal ini saya melihat Hasan Akidah tidak ada daya tarikan itu. Jiwanya untuk golongan remaja berbilang kaum kering. Nyanyian dondang sayang Hasan untuk memeprtahankan akidah, mencegah maksiat secara konversional, itu tidak disukai anak muda. Anak muda akan menjauhi dan menjebeh Hasan.

Saya melihat kuasa ketiga dari anak-anak muda ini akan terbangkit dengan apa diusahakan oleh Ustaz Azhar Idrus hari ini. Cara Azhar mendekati dan mengajak anak muda mendekati Islam ada satu pendekatan yang digemari oleh anak-anak muda. Anak muda tidak merasakan pelawaan Azhar itu sebagai kerahan tenaga seperti untuk berperang mempertahankan Islam di tengah padang pasir. Bayangkan apa akan jadi kalau puluhan ribu yang menjadi peminat Azhar hari ini diberikan suntikan pelali jihad, boleh tenguk macam mana mereka akan bangkit mengikut nafiri politik Azhar.

Justeru nyanyian dan semburan Hasan untuk mengolahkan kuasa ketiga menerusi motivasi basinya akan sia-sia sahaja. Kuasa ketiga tidak akan berlaku dengan cakap-cakap dan bual-bual sahaja. Kalau kuasa ketiga yang cuba dibawa oleh Raja Petra Kamarudin yang berlandaskan kepada konsep liberalisme dan demokrasi boleh hancur sebelum mantari senja jatuh, apa lagi dengan kuasa ketiga Hasan yang baru diangan-angankan itu. Ia akan lebur lebih cepat dari parti Kita.

Apapun selamat berjuang duhai si Hasan dengan Jati anda itu. Moga dia akan tidak menjadi jeti yang reput dan hanyut selepas ini ia akan menghanyutkan Hasan bersama beberapa kerat orang yang menjadi mengikut setianya yang tidak sampai 20 orang itu. Sekiranya niat dan nawaitu Hasan betul dan benar nescaya Allah akan memberi kejayaan kepadanya. Dan jika niatnya tidak betul dan busuk sama-sama kita mendoakan agar Tuhan menitik taufik dan hidayah kepadanya.

Strategi Pembangunan Manjung

Posted: 04 Feb 2012 05:00 AM PST

Oleh: MSK

Satu masa dulu, Perak adalah negeri yang paling kaya kerana lombong bijih timah. Ipoh adalah bandar yang paling sibuk dan merupakan bandar dimana mempunyai Mercedes Benz yang paling tinggi didunia..sehinggakan Syarikat Merc memasang logo Merc diatas bukit,berhadapan dengan Hotel Hillcity sekarang.

Tapi dalam masa yang sama, bandar Ipoh dikuasai oleh pembangkang dari PPP. Disebabkan politik, Ipoh perlu dimatikan supaya BN boleh berkuasa. PPP akhirnya berkubur dan sejak itu, BN memegang kuasa di bandaraya Ipoh. Sejak BN pegang kuasa, Ipoh semakin mati. Pekan Ipoh sekarang dah tak ada apa waktu malam…yang sibuk sekitar Jalan Yang Kalsom.

Hangpa nak China Doll, Vietnam Girl, Minah Indon, semua ada. Bapuk pun makin lama makin ramai. Kalau cakap Nasi Ganja..semua orang tau. Tingkat atas kedai Nasi Ganja tu hangpa tau ka ada apa?

Selepas Ipoh, Pulau Pinang menjadi bandar tumpuan. Pulau Pinang adalah bandar pelabuhan bebas cukai. Tapi pasai Pulau Pinang juga dikuasai oleh pembangkang maka Pulau Pianang mesti dimatikan. Akhirnya, status bandar pelabuhan bebas cukai Pulau Pinang ditarik balik pada tahun 1977. Lepas tu Pulau Pinang macam tempat lain juga. Makin lama makin kotor dibawah BN.

Apa akan jadi pada Manjung pada tahun 2020?

Pertama sekali, sebelum kita pergi secara detail, kita tengok dulu Strategi Pembangunan Negeri Perak dibawah BN.

1 STRATEGI PEMBANGUNAN NEGERI PERAK

Strategi Pembangunan Seimbang dan Bersepadu (SPSB) merupakan asas penting di dalam penyediaan RSN Perak 2020. Oleh itu, proses penyediaan RT Daerah Manjung (Pengubahan) 2020 ini memastikan penentuan matlamat pembangunan daerah adalah selaras dan mendokong matlamat pembangunan negeri perak iaitu "Menjadikan Negeri Perak K-State Yang Maju dan Makmur Melalui Pembangunan ICT, Sumberjaya Asli, Modal Insan, Ekonomi, Infrastruktur, Kecemerlangan Urus Tadbir dan Pengekalan Kesejahtaeraan Alam Sekitar"

Kerajaan negeri telah menggunapakai dua strategi utama dalam pembangunan negeri iaitu Strategi Pembangunan Lestari Negeri Perak dan Strategi Pembangunan Seimbang dan Bersepadu (SPSB). Strategi Pembangunan Lestari Negeri Perak merupakan pendekatan strategi bukan reruang yang menggariskan pembangunan secara lestari untuk diterapkan di setiap peringkat perancangan dan pembangunan negeri. SPSB pula merupakan pendekatan strategi reruang yang bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan reruang negeri secara seimbang dan bersepadu melalui gabungan kekuatan, potensi dan kedapatan sumberjaya tempatan di semua daerah.

Rangka kerja perancangan dan pembangunan negeri telah digubal dari perspektif makro dengan membahagikan Negeri Perak kepada empat zon perancangan iaitu :
i. Zon Perancangan Metropolitan Lembah Kinta;
ii. Zon Perancangan Lembah Bernam;
iii. Zon Perancangan Kerian, Larut Matang dan Selama;
iv. Zon Perancangan Hulu Perak;

Dalam konteks negeri, Daerah Manjung termasuk dalam Zon Perancangan Metropolitan Lembah Kinta yang merupakan kawasan tumpuan utama pembangunan bagi kawasan tengah perak terutamanya pembangunan perumahan, perbandaran, perindustrian, institusi, infrastruktur dan utiliti, dan pelancongan.

2 STRATEGI PEMBANGUNAN ZON PERANCANGAN METROPOLITAN LEMBAH KINTA DALAM KONTEKS RSN PERAK 2020

RSN Perak 2020 telah menggariskan beberapa fokus dan tema pembangunan bagi Zon Perancangan Metropolitan Lembah Kinta iaitu :

i. Ipoh-Seri Iskandar-Lumut-Manjung sebagai Koridor Pertumbuhan Utama Negeri yang dibangun berkonsepkan "Koridor Bistari".
ii. Kuala Kangsar sebagai Bandar DiRaja dan Kebudayaan.
iii. Industri pelancongan berkonsepkan eko, agro, warisan sejarah, maritim dan komersial.
iv. Penyumbang utama sumber makanan negeri.
v. Lumut-Damar Laut-Segari sebagai "Silver Coast" (Pusat Pelancongan Antarabangsa).
vi. Pangkor sebagai Pusat Pelancongan Antarabangsa dan Gugusan Pulau Sembilan sebagai Taman Laut Negeri.
vii. Lumut sebagai Bandar Pelabuhan dan Kawasan Bebas Cukai.
viii. Sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan sumber manusia (Segi Tiga Bandar Mesra Ilmu).
ix. Desa Perlombongan Bijih Timah di Tg. Tualang sebagai tarikan pelancongan
x. Tumpuan kepada pembangunan industri berat dan sederhana yang disokong oleh industri hiliran (IKS).

So…dah dapat sedikit gambaran tentang apa yang dirancangkan?

Masa nak pilihanraya dulu, BN kata Lumut adalah "Bandar Tentera Laut". Itu cuma cakap politik sebab nak dapat undi dari tentera Laut. Tapi tak sebut pun "Bandar Tentera Laut" dalam RSN Perak 2020!!

Apa yang dirancangkan ialah Bandar Pelabuhan dan Kawasan Bebas Cukai. So…orang Lumut jangan senang-senag jual tanah macam orang Langkawi!! Ini adalah salah satu cara untuk menghalau orang Melayu dari kampung asal mereka. Kalau hangpa tak halang dari sekarang, tahun 2020 nanti hangpa duduk flat..orang Brazil duduk banglo kat Kampung Pasir Panjang!!

Yang diatas itu adalah Strategi Pembangunan Negeri. Macam mana pulak Strategi Pembangunan Manjung?

Strategi Pembangunan Ekonomi Manjung
SPE 1 : MEMPELBAGAI DAN MENINGKATKAN SUMBER PENDAPATAN DAN MENUKAR CORAK HIDUP PENDUDUK SETEMPAT KE TAHAP YANG LEBIH BAIK

Langkah-langkah perlaksanaan :

i. Membangunkan Port City di kawasan persisiran pantai bermula dari Kampung Pasir Panjang hingga ke Batu 8 Lekir. Pembangunan Port City ini bukan sahaja membuka peluang-peluang pekerjaan baru malah juga akan menjadi pemangkin pembangunan khususnya di kawasan selatan Daerah Manjung.
ii. Membina Lebuhraya BASeL yang menyambungkan Lebuhraya BASe di Bagan Datoh dengan Lebuhraya SILEX. Pembinaan Lebuhraya BASeL ini akan menjadi pemangkin pembangunan ke kawasan-kawasan di bahagian selatan Daerah Manjung khususnya Batu 7 Lekir hingga ke Kayan.
iii. Membangunkan kawasan perindustrian berasaskan maritim dan bioteknologi di kawasan Tanjung Hantu, Tanjung Batu dan Teluk Mengkudu.
iv. Mewujudkan kawasan perindustrian kecil dan sederhana di Sungai Wangi dan Pantai Remis.

SPE 2 : MENGGALAKKAN KEMASUKAN PELABURAN LUAR TEMPATAN DAN
ANTARABANGSA

Langkah-langkah perlaksanaan :

i. Mewujudkan Zon Ekonomi Eksklusif Manjung (ZEEM) – "Perak Silver Coast" di sepanjang kawasan persisiran pantai dan juga kawasan persisiran Sungai Dinding sehingga ke Jambatan Tuanku Permaisuri Bainun.
ii. Membangunkan rangkaian sistem perhubungan daerah yang komprehensif dengan cadangan pelabuhan baru, lapangan terbang,
hub terminal pengangkutan dan lebuhraya-lebuhraya baru.

DAERAH MANJUNG SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN YANG UNGGUL DAN MENJADIKAN SEKTOR PELANCONGAN SEBAGAI SALAH SATU TONGGAK PEMBANGUNAN EKONOMI DAERAH

Langkah-langkah perlaksanaan :

Mempelbagaikan mod pengangkutan di Daerah Manjung dengan pembinaan lebuhraya-lebuhraya baru, hub terminal pengangkutan, pelabuhan dan lapangan terbang.
ii. Memelihara aset-aset pelancongan sediada seperti Pulau Pangkor, Pangkor Laut, Gugusan Pulau Sembilan, Teluk Senangin, Damar Laut dan Teluk Batik dengan kawalan pembangunan yang ketat.
iii. Membuat perancangan dan pembangunan semula petempatan petempatan setinggan dan perkampungan nelayan di Pulau Pangkor yang tidak teratur pembangunannya. Ini adalah bagi meningkatkan imej Pulau Pangkor sebagai sebuah destinasi pelancongan.
iv. Mengekalkan dan memelihara kawasan semulajadi termasuk hutan simpan dan paya bakau sebagai kawasan pelancongan berasaskan eko-lancong.

Yang ini yang kita kena tengok dan perati baik-baik. Aku bukan town planner…sebab aku cuma tengok dari sudut alam sekitar dan sosial. Tapi aku tak dapat nak bayangkan, macam mana industri dan pelancongan boleh duduk sebelah menyebelah. Sebelah resort..sebelah kilang…tak boleh nak fikir.

Apa yang jelas disini, Lumut akan dijadikan bandar pelabuhan dan perindustrian..manakala Pangkor akan dijadikan kawasan pelancungan. Nak tengok contoh…tengok Pulau Pinang sekarang. Seberang Perai..dari Teluk Air Tawar sampai Batu Kawan dah jadi kawasan perindustrian, manakala Pulau Pinang jadi pusat pelancongan.

Tapi kat Penang pun ada industri di Bayan Lepas.

Pusat pelancongan terdapat disepanjang Gurney Drive sampai Teluk Bahang. Kalau dulu perkampongan Melayu terdapat disepanjang pesisir pantai tersebut, tapi sekarang semuanya berpusat di rumah pangsa Tanjong Tokong dan Teluk Bahang. Orang Melayu Penang semua duduk flat..yang beli rumah kat Straits Quay semua Mat Saleh.

Butterworth sekarang menjadi bandar yang paling panas di Semenanjung. Bagus la…tak lama lagi, Lumut akan mengambil alih Butterworth sebagai bandar yang paling kotor dan panas. Pulau Pinang akan menjadi lebih bersih dan teratur. butterworth akan menjadi bandar industri Hi-tech yang tidak mengeluarkan pencemaran yang teruk..Pangkor dan Lumut akan mengambil alih.

Suspek Kes Bunuh Pelajar Malaysia Di Malang, Indonesia Ditangkap

Posted: 04 Feb 2012 04:58 AM PST

Post Pic


ANTARA POS.COM


JAKARTA : Polis Indonesia semalam menangkap seorang lelaki berusia 52 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan pelajar Malaysia di Malang, Adrian Jay Prereira, kira-kira tiga bulan lalu.

Atase Pendidikan yang juga Setiausaha I Education Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ludinata Misnun berkata penangkapan suspek yang berasal dari bandar Malang itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Malang, Teddy Minahasa Putra hari ini.

Katanya,lelaki itu ditangkap setelah polis menemui beberapa bukti miliknya di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihak polis memberitahu bahawa suspek dibantu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun dalam kejadian pembunuhan itu dan polis kini masih memburu rakannya itu.

Dalam kejadian pada malam 7 November lepas, Adrian mati dibunuh ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumahnya di bandar Malang, Jawa Timur.

Wanita BN Perlu Lebih Istiqomah, Kata Shahrizat

Posted: 04 Feb 2012 04:53 AM PST

Post Pic



BERUAS : Ketua Wanita Barisan Nasional, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil meminta wanita BN agar terus istiqamah dalam perjuangan parti sekali gus memantapkan kerjasama sebagai satu pasukan biar apa pun halangan yang mendatang.

Sehubungan itu, wanita BN perlu melebarkan sayapnya dengan bekerja keras untuk memastikan parti itu berjaya merampas kembali negeri-negeri yang ditadbir pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

"Kemenangan BN Perak pada PRU 13 terletak di atas bahu wanita BN.

"Selagi diberi mandat, percayalah wanita akan menjadi penentu dan tulang belakang kepada kemenangan BN," katanya di hadapan kira-kira3,000 perwakilan wanita daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP, IPF dan KIMMA pada program Pemantapan Jentera Pilihanraya Jalinan Rakyat Wanita Barisan Nasional Perak.

Shahrizat berkata, bagi memantapkan lagi perjuangan parti wanita UMNO kini sedang merangka beberapa program untuk rakyat.

"Kita sedang melebarkan skuad sayang kepada semua tak kira siapa pun.

"Mesti memantapkan jalinan kerja ini bagi memastikan kemenangan pru akan datang.

"Malah kita juga minta wanita BN mempertingkatkan ilmu dalam penggunaan IT dan kita mahu mereka menjadi cybertroopers bagi terus mempertahankan segala tuduhan yang tidak berasas yang dibuat oleh pihak sana," tegasnya.

Selain itu, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut meminta semua pemimpin wanita terus bangkit berani berdepan dengan masalah serta pelbagai halangan dari pihak pembangkang untuk melemahkan perikatan itu.

"Saya dulu adalah Ketua Wanita Cawangan dan saya bangun daripada bawah.

"Saya faham apa yang anda lalui sebab saya pernah lalui sebelum ini dan saya faham isi hati anda semua tentang apa yang saya lalui sekarang.

"Sebagai ketua kita tidak boleh gentar hadapi apa pun masalah dan anda kena kuat berdepan dan hadapi pilihan raya akan datang ini," katanya yang mahukan wanita BN terus istiqamah dalam perjuangan sebenarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan pihak pembangkang yang melihat wanita BN sebagai 'lembik' untuk berdepan dengan masalah.

"Wanita akan terus setia dengan BN biarpun berdepan dengan macam-macam masalah.

"Wanita akan terus setia memberi sokongan kepada PM, Datuk Seri Najib Razak dan pimpinan Datuk Zambry," katanya yang turut sama meyakinkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir yang wanita akan cuba pertahankan Perak daripada dirampas pembangkang.

Shahrizat hari ini memulakan tugas pertamanya selepas beliau pulang daripada menunaikan umrah semasa cuti tiga minggu susulan isu Perbadanan Fedlot Kebangsaan (NFC) yang membelenggui keluarganya.

UMNO-BN perlu belajar dari PAP Singapura untuk atasi rasuah, penyelewengan

Posted: 04 Feb 2012 04:52 AM PST

Oleh Amaluddin Zhafir dan Mazir Ibrahim


KUALA LUMPUR: Para pemimpin UMNO sering memandang serong dan mengutuk kepimpinan PAP di Singapura, khususnya apabila cuba menimbulkan isu perkauman yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara rakyat.

Namun, apa yang jarang dibangkitkan pula ialah kerajaan PAP Singapura – walau pun di segi kebebasan dan hak asasi ia masih tidak memuaskan seperti mana pentadbiran UMNO-Barisan Nasional di Malaysia – ia berusaha untuk mengurangkan gejala rasuah, korupsi dan penyelewengan.

Justeru, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said mencadangkan kepada para pemimpin UMNO-BN supaya belajar dari kepimpinan Singapura untuk mencegah dan mengurangkan gejala buruk itu yang memyebabkan rakyat menderita.

Beliau berkata, para pemimpin UMNO-BN perlu meneladani pemimpin-pemimpin PAP di Singapura, terutamanya usaha sebuah pulau kecil mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Ambil contoh (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Kuan Yew. Beliau cuma bercakap tentang lunas-lunas yang penting sahaja.

"Tidak seperti (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), semua perkara beliau nak cakap… Masih bergantung dengan Ibrahim Ali dan Perkasa. Malah tidak mustahil suatu hari nanti akan bergantung dengan Jati (NGO yang ditubuhkan oleh Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat oleh PAS)," katanya kepada Roketkini.

Tambah beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, perbuatan suka memainkan isu perkauman dan agama hanya akan memusnahkan jalan siasah.

"Dan tentunya musuh mereka (UMNO-BN) yang utama, DAP lah. Oleh kerana kebetulan sahaja DAP melalui sejarah dari PAP.

"Tapi kan sudah 54 tahun (Merdeka). Dan contoh baik dari pemimpin-pemimpin Singapura harus kita hormati, boleh dikata sedikit sangat yang rasuah. Itu jenis pemimpin yang kita mahu di sini," tegasnya.

Sehubungan itu, Pak Samad memuji pimpinan DAP yang menurutnya ramai yang boleh dipercayai, sambil merujuk negeri-negeri Pakatan Rakyat yang semakin mapan ekonominya.

"Pemimpin-pemimpin yang sejauh ini tidak rasuah, ini membangunkan sebuah masyarakat Malaysia," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Bersih berkata, Melayu tidak perlu takut dengan ancaman perkauman terhadap DAP kerana yang perlu ditakuti ialah pemimpin Melayu sendiri yang menjahanamkan bangsanya.

Beliau mengulas kenyataan Hassan Ali yang menuduh DAP jika diberi kuasa akan menggabungkan Malaysia dan Singapura untuk menubuhkan negara republik, serta DAP didakwanya akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan unsur-unsur Islam di Malaysia.

Tegas Pak Samad: "Kuasa di tangan orang Melayu, mengapa kita perlu katakan orang Melayu itu dalam bahaya? Semua Perdana Menteri Melayu, Raja dan Sultan semua Melayu, Menteri Besar semua Melayu…Mengapa kita nak waraskan yang Melayu dalam bahaya?"

Mengulas kemasukan Melayu ke dalam DAP, tokoh sasterawan itu meletakkan harapan agar Melayu yang menyertai DAP dapat membantu menyumbang kepakaran mereka secara jujur, dan telus selain memahami hukum-hakam perjuangan parti.

"DAP haruslah menilai watak-watak (Melayu) yang diterimanya itu. Sebab kalau tidak nanti, orang sediakan RM2 juta (rasuah), lompat pula," katanya.

Beliau turut memuji Melayu yang berani menyertai DAP dan menganggap ia adalah perkembangan yang bagus buat DAP menonjolkan lagi sebagai sebuah parti bersifat kebangsaan. – Roketkini.com

Najib, Mahathir jalin hubungan dengan Israel sekian lama- AMK

Posted: 04 Feb 2012 04:42 AM PST

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pimpinan Umno lainnya bersikap talam dua muka berhubung dasar luar negara dengan menjalinkan hubungan dengan Israel sejak sekian lama.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas kenyataan semborono pemimpin Umno, termasuk bekas presidennya, Tun Dr Mahathir Mohammad yang menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ketua pembangkang itu menyokong Israel.

Dokumen EU menunjukkan Malaysia di kedudukan ke 15 menjalin hubungan dagang dengan Israel

Menurut Shamsul, Malaysia menduduki tangga ke 15 sebagai rakan dagang utama dengan Israel pada 2010, melalui dokumen rasmi yang didedahkan oleh Kesatuan Eropah (EU), selain kapal Israel dibenarkan berlabuh di perairan Malaysia.

"Pendedahan dokumen yang menyatakan Malaysia menduduki tangga ke 15 sebagai 'The Major Trade Partner 2010′ dengan rejim Israel membuktikan sikap sebenar hipokrasi Umno.

"Namun di dalam negara, mereka (pemimpin Umno) cuba menyatakan Malaysia tiada hubungan langsung dengan Israel, samada secara rasmi atau tidak rasmi," katanya.

Selain itu, katanya, Najib melantik syarikat perunding komunikasi Israel, Apco Worldwide untuk menaikkan imej kerajaan dengan membayar sebanyak RM77 juta setahun kepada syarikat zionis itu.

Manakala Mahathir pula mengakui pernah membayar seorang pelobi Zionis, Jack Abramoff bagi menemui bekas Presiden Amerika Syarikat, George Bush.

"Najib mengupah Apco dan Dr Mahathir pula membayar pelobi zionis jutaan ringgit, ini semua mengukuhkan lagi sikap bermuka-muka Umno yang mempercayai kepakaran Israel berbanding keupayaan rakyat Malaysia sendiri.


"Sebab itu fitnah Umno bersama media kawalannya kononnya Anwar menyokong Israel jelas menggambarkan sikap hipokrit dan bertujuan cuba mengalih isu sebenar," jelas beliau kepada keadilandaily.com

Sebelum ini, pentadbiran Najib membayar RM77 juta setahun kepada Apco Wordwide, untuk tujuan perundingan komunikasi selain mengilhamkan slogan 1 Malaysia yang meniru konsep One Israel.

Pendedahan itu pada Mac tahun lalu menyebabkan Anwar dan tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat hampir setengah tahun.

Selain Apco, pentadbiran Najib turut mengupah syarikat komunikasi, FBC media yang terlibat dalam kempen menyokong serangan tentera Israel terhadap konvoi misi bantuan Mavi Marmara ke Gaza, Mei 2010.

FBC yang dibayar kerajaan Malaysia RM94 juta turut memuji tindakan Israel menghentikan misi bantuan kemanusian kapal Mavi Marmara ke Gaza, yang menyaksikan beberapa orang terkorban.

Najib masih guna khidmat pegawai Israel- Tian Chua

Posted: 04 Feb 2012 04:40 AM PST

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin Umno bersama media kawalannya memainkan isu kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong Israel menyerlahkan sikap hipokrit mereka, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Ini kerana menurut Tian Chua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menggunakan khidmat seorang pegawai Israel bernama Paul Stadlen, sebagai pegawai media.

Beliau difahamkan sehingga kini, Paul Stadlen – bekas Pengarah Urusan APCO di Malaysia- masih berkhidmat untuk Najib di Jabatan Perdana Menteri.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua

"Sehingga kini Datuk Seri Najib Razak masih mengupah Paul Stadlen sebagai pegawai media yang cukup penting dan berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri.

"Siapa Paul ini? Beliau ialah bekas Pengarah Apco di Malaysia yang kini antara tugasnya menonjolkan imej baik Najib," kata Tian kepada Keadilandaily.com hari ini.

Menurut beliau lagi, Najib sebelum ini juga bersetuju supaya Malaysia menyertai pasukan keselamatan yang ditaja oleh kerajaan Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan, ketika bertemu Presiden Barrack Obama tahun lalu.

"Lagi bukti betapa pentadbiran Najib merupakan balaci Israel ialah dalam pertemuan dengan Obama tahun lalu, beliau menyatakan persetujuannnya agar Malaysia menyertai pasukan keselamatan Amerika di Iraq dan Afghanistan selepas Amerika menyerang negara Islam berkenaan.

"Hakikatnya dunia Islam tahu dalang serangan Amerika ini didalangi Zionis-Israel dan ditentang majoriti negara Islam seluruh dunia," tegasnya.

Sekatan terhadap Iran

Dalam pada itu, beliau turut kesal dengan tindakan tidak konsisten pentadbiran Najib berhubung sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat terhadap Iran.

"Iran kita tahu adalah negara Islam dan sekatan ekonomi Amerika ini hasil desakan 'Negara' Israel dan Najib membisu berhubung sekatannya itu semata-mata mahu menjaga hubungan dengan Amerika-Israel.

"Kalau Najib tidak menyokong Israel, kita cabar beliau desak Amerika tarik balik sekatan ekonomi itu," katanya.

Pentadbiran Najib sebelum ini membayar RM77 juta setahun kepada Apco Wordwide, sebuah syarikat perunding perhubungan pro Zionis-Israil.

Syarikat itu juga dibayar untuk mengilhamkan slogan 1 Malaysia yang meniru konsep One Israel.

Pendedahan itu pada Mac tahun lalu menyebabkan Anwar dan tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat hampir setengah tahun.

Shahrizat perlu letak semua jawatan jika ada maruah- Zuraida

Posted: 04 Feb 2012 04:37 AM PST

KEADILAN DAILY


AMPANG: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu berundur dari semua jawatannya samada dalam politik mahupun kerajaan, sekiranya beliau mempunyai maruah, tegas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida mengulas desakan beberapa pihak khususnya dari pimpinan Umno sendiri yang mahu Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu, meletak jawatan, selepas keluarganya dikaitkan dengan skandal NFC.


"Kalau Shahrizat seorang pemimpin yang ada maruah, kita nasihatkan beliau berundur dan meletakkan semua jawatannya dalam politik dan kerajaan," katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Semalam, bekas menteri dan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz menggesa supaya Shahrizat berundur, selain desakan serupa turut disuarakan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Rafidah dalam wawancara dengan The Malay Mail dilapor berkata, keputusan berundur merupakan tindakan paling matang untuk berdepan dengan masalah yang dihadapi Shahrizat.

Manakala Syed Ali pula menulis di blognya mengakui rakyat kini mula menyindir umno berhubung skandal berkenaan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, skandal NFC yang dikaitkan dengan keluarga Shahrizat itu bukan sahaja memalukan beliau dan keluarganya, tetapi juga rakyat malah partinya sendiri.

"Maknanya, partinya sendiri tidak mahu beliau dan eloklah beliau berundur terus," tegas Zuraida.

Penyelewengan NFC sebelum ini dikesan melalui pendedahan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan akhir tahun lalu.


Ekoran itu, KEADILAN membuat pendedahan bersiri terhadap salahguna dana sebanyak RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Antaranya pembelian unit kondominium di Bangsar dan Singapura masing-masing berharga RM13.8 juta dan RM9.9 juta, kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya.

Wang NFC juga diguna membiayai percutian keluarga Shahrizat di luar negara, selain disalurkan kepada restoran-restoran mewah yang juga milik keluarga Shahrizat.

KEADILAN turut mendedahkan penggunaan kad kredit oleh keluarga Shahrizat sebanyak RM593,500 pada tahun 2009 dengan dibiayai oleh dana NFC.

Isu Teoh Beng Hock: Tempoh 14 Hari Untuk Keluarga Buat Rayuan

Posted: 04 Feb 2012 04:36 AM PST

Oleh Lizawati Madfa


PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan keluarga mendiang Teoh Beng Hock membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini yang menolak kebenaran membuat semakan kehakiman berhubung keputusan terbuka inkues kematian mendiang.

"Jadi Mahkamah hari ini bersetuju untuk memberikan kami kebenaran untuk membawa isu undang-undang ini untuk kami mendapatkan satu keputusan berkenaan perkara berkenaan," jelas peguam keluarga mendiang, Gobind Singh Deo.

Sehubungan itu, pihak keluarga Beng Hock diberi masa selama 14 hari untuk memfailkan notis rayuan bermula daripada hari ini dan mahkamah akan mengumumkan tarikh perbicaraan.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir memberi sokongan moral ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraidah Kamaruddin, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, NUrul Izzah.

Paling mencuri tumpuan adalah kehadiran anak mendiang Beng Hock yang baru mencecah usia 2 tahun selain kehadiran kedua ibubapa dan keluarga mendiang.

Selain itu, puluhan penyokong juga turut hadir memakai t-shirt dan banner tertera kata-kata sokongan demi menegakkan keadilan dalam perbicaraan kes kematian mendiang Beng Hock.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.

SPR Tidak Boleh Nafikan Hak Rakyat Malaysia Di Luar Negara Mengundi

Posted: 04 Feb 2012 04:34 AM PST

Oleh Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi dengan alasan bukan pembayar cukai adalah langkah kebelakang dan merupakan penafian hak rakyat , tegas MPP PKR Elizabeth Wong.

Menurut Elizabeth yang juga ADUN Bukit Lanjan berkata walaupun cadangan itu adalah terhad kepada rakyat Malaysia di luar negara buat masa ini, namun mencerminkan sikap SPR terhadap pengundian yang ia adalah satu keistimewaan, bukan hak.

"Dengan menafikan hak perlembagaan rakyat Malaysia untuk mengundi,SPR telah sekali lagi menunjukkan pandangan samar-samar mengenai proses demokrasi.

Menghubungkan cukai dengan mengundi bermakna melebarkan jurang yang luas dalam masyarakat termasuk pelajar, belia dan seluruh warga negara di semua peringkat.

Ini menandakan satu trend yang bahaya dalam politik Malaysia daripada pengukuhan demokrasi," kata Elizabeth dalam kenyataan medianya.

Menurut Elizabeh ,sebaliknya, bagi kebanyakan negara-negara demokratik,mengundi di luar negara semata-mata melibatkan satu proses yang mudah dengan mendaftar di kedutaan yang terdekat atau Konsulat.

Tidak mengejutkan, cadangan itu disokong oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, membuktikan mencabut mutlak parti itu daripada aspirasi rakyat Malaysia biasa yang menunjukkan sokongan itu adalah bukti bahawa MCA semakin menjadi parti elitis.

Tambahan pula, contoh Chua, Amerika Syarikat sebagai hanya memberikan undi tidak hadir kepada pembayar cukai adalah tidak benar. Malah, pindaan perlembagaan Amerika Syarikat ke-24 secara khusus menyatakan bahawa hak rakyat untuk mengundi tidak boleh dinafikan atau diringkaskan oleh sebab kegagalan untuk membayar apa-apa cukai pungutan suara atau cukai lain.

"Saya ingin mengingatkan SPR, Chua dan MCA bahawa mengundi adalah satu asas hak semua rakyat. Ia bukan mereka untuk membuat keputusan yang seseorang itu dapat mengundi ataupun tidak," katanya.

Idris Ahmad: Provokasi Kepala Babi Petanda PRU13 Makin Dekat

Posted: 04 Feb 2012 04:33 AM PST

Oleh Afix Redzuan


SHAH ALAM : Pelbagai provokasi dan amalan fitnah yang dicetuskan golongan berkepentingan serta media arus perdana yang cuba mencetuskan ketegangan kaum menjadi penanda PRU13 semakin hampir.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad, melahirkan kekesalan berhubung insiden meletakkan kepala babi yang berlaku di Masjid Al-Hidayah Sentul seperti yang dilaporkan hari ini.

Dalam reaksinya kepada TVSelangor berkata, kejadian ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan kejadian ini merupakan kes kedua dalam tempoh seminggu.

Awal minggu ini menyaksikan satu kepala babi ditemui di sebuah masjid di Rawang oleh ahli jawatankuasa masjid sebelum solat subuh.

Justeru, beliau meminta pihak polis bertindak tegas bagi mencari pihak yang bertanggungjawab memandangkan perkara ini dilihat sebagai satu bentuk provokasi sentimen keagamaan menjelang Pilihanraya ke-13 (PRU-13).

"Jika perkara ini berlaku dalam era tahun 60an, sudah pastinya perkara yang tidak diingini akan berlaku di negara ini," katanya.

Selain itu sentimen perkauman bukan sahaja melibatkan usaha provokasi keagamaan seperti isu kepala babi dan kepala lembu turut melibatkan kenyataaan pemimpin-pemimpin Umno dan NGO (Perkasa) yang bersifat perkauman.

Media milik Umno juga hampir setiap hari cuba mencetuskan suasana tidak harmoni dengan meniup api perkauman dan pelbagai bentuk fitnah.

Keadaaan ini dianggap sebagai disengajakan oleh pihak tertentu bertujuan meraih sokongan kaum tertentu setelah merasakan tiada jalan lain untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Beliau menambah, perkara sebegini merupakan 'bunga-bunga PRU-13' yang bakal berlangsung bila-bila masa.

Insiden meletakkan kepala babi ini tercetus selepas Pakatan Rakyat berjaya menawan beberapa buah negeri selepas PRU-12 bermula di Petaling Jaya yang melibatkan dua buah masjid diikuti kejadian sama yang berlaku di Johor.

Selain itu, insiden provokasi bermotifkan sentimen keagamaan ini turut belaku melibatkan kejadian kebakaran gereja di Taman Melawati dan simbahan cat merah di sebuah surau di Seremban.

Merujuk kepada kejadian sebelum ini, sehingga kini belum ada sebarang tangkapan yang dilakukan.

Tian: Isu Kepala Babi Di Lakukan Pihak yang Sama

Posted: 04 Feb 2012 04:30 AM PST

Oleh Hafizan Taib


SHAH ALAM : Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menganggap isu kejadian kepada babi yang ditemui di beberapa masjid sebagai bermotifkan politik serta dilakukan oleh pihak yang sama.

"Ini semua seolah-olahnya dibuat oleh golongan yang sama bermotif politik," katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya kaedah digunakan pihak tidak dikenalpasti itu sudah diketahui umum dan beliau berharap masyarakat bertenang serta tidak terperangkap dengan isu ditimbulkan ini.

Isu kepada babi timbul dan diperkatakan semula dengan kejadian terbaru berlaku di Masjid Nurul Iman, Rawang pada 31 Januari lalu dan Masjid Al-Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini kejadian hampir sama berlaku beberapa bulan lalu di sebuah masjid Kampung Datuk Harun, Kuala Lumpur serta juga masjid di Johor Bahru.

Tian menjelaskan isu meletakkan kepada babi di masjid itu adalah sesuatu yang sensitif dan ia dilihat satu pendekatan bagi mewujudkan ketegangan kaum.

"Nampaknya macam ingin melaga-lagakan masyarakat dan mengalih pandangan daripada isu pokok yang kita hadapai sekarang iaitu seperti ekonomi dan rasuah.

"Yang kita khuatir ada golonan tertentu cuba menggunakan isu ini untuk memberi justifikasi dan menekan hak asasi serta mengambil kesempatan juga menakutkan masyarakat. Ini yang kita khuatir," katanya beliau yang juag Naib Presiden PKR.

Beliau berharap pihak polis menjalankan siasatan rapi berhubung perkara itu kerana ia telah berlaku beberapa kali dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Katanya, isu seperti itu tidak seharusnya berlarutan dan menjadi sesuatu yang tidak disenangi masyarakat.

Isu Sekolah Cina : Wee Kaa Siong Diminta Henti Pembohongan

Posted: 04 Feb 2012 04:20 AM PST

Oleh Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Ketua Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong digesa untuk berterus terang kepada masyarakat Cina di negara ini dan mengakui bahawa beliau tidak berupaya untuk membantu sekolah-sekolah Cina,tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim.

Menurut Teresa yang juga Adun Kinrara berkata, Ka Siong juga perlu menghentikan tindakan mengubah fakta dan bercakap bohong berkaitan dengan usaha Kerajaan Selangor yang menyediakan tanah untuk sekolah-sekolah Cina seperti yan telah diluluskan.

"Adalah jelas bahawa sebab Wee Ka Siong adalah berkali-kali memberitahu mengenai perkara itu - dengan menuduh kerajaan negeri Selangor hanya memberikan surat sokongan dan tidak memberi sekolah tanah rizab untuk SMJK Katholik dan SJKC Yak Chee untuk membina sekolah-sekolah cawangan.

"Ianya untuk menutup hakikat bahawa MCA tidak mempunyai kuasa dalam kementerian pendidikan dan mereka tidak dapat untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk kedua-dua buah sekolah untuk membina sekolah-sekolah cawangan," kata Teresa dalam kenyataan medianya semalam.

Tambah Teresa, hakikatnya adalah kerajaan Selangor telah memutuskan dalam mesyuarat Exco pada 23 September 2011 lepas dengan memperuntukkan tanah lot 65768 dan lot 65766 di Tasik Prima Puchong kepada SJKC Yak Chee, Sekolah Tinggi Katolik dan sebuah pusat latihan autisme .

Kertas Exco mengenai keputusan ini adalah Kertas MMK. No 46/40/2011. Selain itu,jawatankuasa pembangunan sekolah-sekolah Cina Daerah Petaling Jaya dan lembaga sekolah dan PIBG telah diberikan kertas keputusan itu.

Disamping itu, surat yang dikeluarkan oleh Kerajaan negeri Selangor kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, mengumumkan kelulusan tanah dan menyokong hasrat sekolah untuk membina cawangan, telah disediakan untuk pelbagai pihak.

Oleh itu sekarang, selagi Kementerian Pelajaran meluluskan pembinaan kedua-dua sekolah cawangan ini maka sekolah-sekolah boleh mengemukakan permohonan untuk memulakan kerja-kerja.

"Wee Ka Siong terus berbohong untuk mengelirukan orang ramai dan ingin menghina kerajaan negeri dan menghina kebijaksanaan pemimpin jawatankuasa lembaga sekolah dan PIBG kedua-dua sekolah," kata Teresa.

Justeru, tegas Teresa agar muslihat politik oleh MCA ini dihentikan daripada terus mempengaruhi pihak yang tidak bersalah seperti sekolah-sekolah dan pelajar yang mahu peluang menikmati persekitaran pendidikan yang selesa.

Simpanan Negeri Melonjak Ke Hampir RM2 billion

Posted: 04 Feb 2012 04:18 AM PST

Oleh Afeeqa Afeera


SUBANG : Kecekapan dan ketelusan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam mentadbir negeri Selangor sejak 2008 terbukti apabila hasil simpanan tunai kerajaan negeri meningkat kepada RM1.9 bilion.

Ini merupakan peningkatan daripada RM1.2 bilion yang dilaporkan tahun lepas.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya semasa menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Pekan Subang hari ini.

Menurut Abdul Khalid, pengurusan wang yang beramanah sebagaimana dilakukan kerajaan Selangor membuktikan komitmen PR terhadap pemerintahan yang adil dan tidak berbelah bahagi.

"Ini menunjukkan bahawa negeri Selangor yang ditadbir PR boleh menjaga wang rakyat dengan baik, selaras dengan tema Selangorku : Hasil Negeri Untuk Rakyat. Kerajaan terdahulu (Umno-BN) tidak pernah membela nasib rakyat.

Perkara ini juga sekaligus membuktikan PR boleh mentadbir negeri Selangor jauh lebih baik berbanding kerajaan Umno-BN," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru rakyat untuk menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang ditawarkan kerajaan pusat kepada setiap keluarga yang memiliki pendapatan kurang daripada RM3000.

"Rakyat perlu menggunakan peluang yang ada ini untuk segera mengambil bantuan yang diberikan kerajaan persekutuan kerana wang itu adalah hak milik rakyat yang dikembalikan semula.

Saya juga menyeru kepada setiap wakil rakyat untuk sama-sama membantu mereka yang berkelayakan ini segera mengisi borang," tegasnya.

Zaid Ibrahim: Penubuhan KITA adalah satu kesilapan

Posted: 04 Feb 2012 04:15 AM PST

Zaid Ibrahim


Sebuah Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan tidak lama lagi untuk membubarkan KITA. Keputusan ini perlu dibuat untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa kami tidak memihak kepada pembangkang, terutama dengan beberapa anggota-anggota kami di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka yang mengkritik Pakatan Rakyat.

Mereka telah melakukan perbuatan ini secara berterusan. Ini jelas membuktikan bahawa mereka tidak berminat dalam isu-isu sebenar yang memberi kesan kepada negara dan semata-mata mahu memalukan dan mencemuh pihak pembangkang.

Idea saya untuk menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

Saya tidak berjaya membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti di kalangan pegawai-pegawai awam.

Saya juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti, dan teman-teman yang telah berjanji untuk membantu telah akhirnya memutuskan untuk menarik balik.

Kecenderungan media yang mendalam dalam melaporkan isu-isu remeh yang memberi kesan kepada parti akan terus memberi kesukaran kepada kami. Cukup ramai orang di luar sana yang hanya berminat dalam mengkritik kepimpinan saya di dalam KITA, dan yang menggemburkan cerita-cerita dengan tujuan untuk mencemuh saya.

Peribahasa Melayu ada menyebut, "jika sesat di penghujung jalan, kembalilah ka pangkal jalan". Saya sedar sekarang bahawa penubuhan KITA adalah satu kesilapan.

Saya berhasrat untuk memberi idea-idea alternatif dalam politik dan membawa kepelbagaian bakat yang lebih luas kepada kepimpinan pembangkang. Ini belum pernah berlaku sebelum ini.

Saya telah membuat banyak kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati. Saya tetap yakin bahawa perubahan akan datang untuk kebaikan negara ini dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya di dalam mencapai tujuan itu.

Saya tidak akan menarik balik kenyataan saya sebelum ini yang mempercayai bahawa kenikmatan dalam memberi perkhidmatan kepada awam, dan kita boleh menjalankan perkhidmatan ini dengan kehormatan dan maruah.

Kepada anggota-anggota parti yang setia yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini, saya memohon ampun. Saya menghargai sokongan mereka dan saya berharap mereka akan menerima keputusan ini, kerana ia adalah untuk kebaikan yang lebih besar kepada pihak pembangkang.

Kemandirian demokrasi bergantung kepada daya maju pembangkang itu sendiri. Sekiranya ia dimusnahkan, seperti yang ingin diperlakukan oleh Barisan Nasional - maka tidak akan ada demokrasi, tiada kebebasan dan tiada dasar-dasar yang bersifat sederhana lagi.

*Kenyataan Zaid Ibrahim selaku Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), dipetik dari laman rasminya.

Provokasi kepala babi: Rakyat masih sehati

Posted: 04 Feb 2012 04:13 AM PST

Ng Eng Kiat


Sementara parti pemerintah sibuk bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang, pelbagai insiden jijik berlaku untuk menguji slogan 1Malaysia yang dilaungkan Najib Razak. Insiden terbaru, kepala babi ditinggalkan di Masjid Hidayat Sentul, dua hari selepas insiden yang sama di perkarangan Masjid Nurul Iman, Rawang (gambar bawah).

Sekali lagi, orang ramai pasti terkilan dengan kejadian provokasi tidak waras sebegini. Tetapi, apakah kita masih lagi perlu terkejut? Tidakkah rakyat berasa jemu dengan cubaan berulangkali untuk memecahkan perpaduan kita?

Sekiranya kejadian "kepala babi" ini terjadi 40 tahun lalu, kemungkinan besar huru-hara telahpun berlaku. Malah, seandainya insiden ini terjadi sebelum 3 Mac 2008 pun, ketika isu-isu agama menjadi punca ketegangan - misalnya isu dialog antara agama (Interfaith Dialogue), perebutan jenazah, dan pertukaran agama yang agak meruncing waktu itu - belum tentu masyarakat Malaysia dapat menanganinya dengan kesabaran yang telah ditunjukkan dalam masa dua hari yang lepas.

Bagaimanapun, masyarakat Malaysia pasca-2008 sudah menunjukkan kematangan yang baru, di mana walaupun tempat beribadat disimbah cat merah, dibakar api, ataupun dihina dengan pelbagai cara jijik seperti menggunakan kepala binatang, rakyat Malaysia secara umumnya tidak menunjukkan reaksi yang melulu, melampau, atau terlalu beremosi.

Sungguhpun begitu, pastinya kita bersedih kerana di sebalik kemajuan masyarakat dan hubungan etnik pada asasnya sejak 13 Mei 1969, masih ada unsur-unsur subversif yang ingin mencetuskan ketegangan etnik. Kejadian terbaru ini bukan kali pertama vandalisme dilakukan ke atas tempat beribadat sama ada masjid, surau, gereja, atau kuil. Malangnya, aksi-aksi sebegini tidak akan berhenti selagi politik negara terus didominasi elemen kaum dan agama. Tidak dinafikan, perkara kaum dan agama sukar dipisahkan daripada wacana kebangsaan. Namun, pada masa politik perkauman yang sedang merosot diancam politik baru yang berasaskan keadilan sosial, saya percaya pergelutan ini akan menghasilkan peluang supaya perubahan boleh berlaku.

Walaupun aman dan damai pada hari biasa, keadaan hubungan etnik di Malaysia sukar diukur kerana sekiranya seseorang membaca akhbar Utusan Malaysia setiap pagi, seolah-olah ada sahaja pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memporak-perandakan hubungan antara kaum. Sekiranya mendengar ugutan-ugutan PERKASA dan pertubuhan-pertubuhan satu kaum (1Kaum?) yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan pasca-8 Mac 2008, seolah-olah wujud ancaman besar terhadap hak-hak Bumiputera. Sekiranya melihat kembali tunjuk perasaan mengheret kepala lembu memprotes tapak sebuah kuil hindu pada tahun 2009 dan insiden-insiden vandalisme tempat beribadat sejak 2010 (termasuk 12 kejadian dalam bulan Januari 2010 sahaja), keadaan hubungan etnik di Malaysia nampaknya tidak boleh dibanggakan langsung.

Namun, adakah perkara-perkara yang disebut di atas membayangkan realiti hubungan etnik di Malaysia? Ataupun adakah ia sebenarnya hanya berunsur acara pseudo untuk mengalih fokus orang ramai dan mempengaruhi pendapat umum? Dalam konteks ini, apakah kempen 1Malaysia Najib bermakna ataupun juga sekadar retorik sahaja?

Amat sukar untuk rakyat biasa menerima 1Malaysia apabila penyokong terbesar propaganda Najib ialah Ibrahim Ali dan kumpulannya PERKASA yang terus gagal untuk menghormati masyarakat minoriti. Untuk membuktikan beliau benar-benar mahukan pembaikan hubungan etnik, Najib harus segera menyeru supaya segala unsur provokasi diberhentikan. Lebih penting lagi, beliau perlu mengajukan seruan ini bukan sahaja secara umum, tetapi spesifik kepada kumpulan-kumpulan yang telah memainkan peranan dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dalam masa beberapa tahun lalu. Tidak ada gunanya bercakap pasal ETP dan GTP apabila gagal memimpin dalam perkara seasas keharmonian hubungan antara kaum.

Tentunya, ada juga mereka yang akan menuduh kemelut hubungan etnik kita sejak tahun 2008 adalah kesan langsung pemerkasaan barisan pembangkang. Walaupun tidak logik, hujah ini akan diulangi lagi pada pilihan raya akan datang. Strategi UMNO di Selangor dan Pulau Pinang jelas menunjukkan tren bahawa mereka sedang merayu undi masyarakat Melayu dengan mencetuskan rasa takut di kalangan mereka. Di Pulau Pinang khususnya, berpuluh-puluh protes sudah diadakan untuk menggambarkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai seorang yang meminggirkan masyarakat Melayu. Di Selangor, isu agama pula digunakan.

Pakatan Rakyat bawa kucar-kacir, DAP mahu hilangkan hak Melayu, PKR mahu menghalalkan seks sejenis, dan PAS tidak lagi mempertahankan Islam. Begitulah seruan yang akan digunakan Barisan Nasional. Kadang-kadang, saya terfikir, susah juga untuk bergelut dengan lawan yang enggan bergusti secara adil. Minta debat pasal skandal lembu, dia sembunyi dan bersorak pasal skandal seks. Minta pulihkan pilihanraya kerajaan tempatan, dia bicara pasal buah dada. Minta berhentikan projek Lynas di Gebeng, dia buat tak tahu. Minta deklarasi aset menteri, dia pula pergi "shopping" di Australia. Minta pilihanraya adil, dia dakwa Ambiga anti-Islam. Sudahlah itu, lepas rakyat kecewa dan minta "Asalkan Bukan UMNO", dia datang menghayun batang kayu.

Begitulah cara UMNO menanggani kontroversi. Tiap kali ada orang persoalkan sesuatu, timbulkan sahaja keadaan kurang tenteram. Ugut sahaja kalau terus persoal akan terjadilah huru-hara dan pertumpahan darah. Namun, dengan adanya media sosial yang secara relatif bebas dari kawalan langsung pemerintah BN, taktik-taktik kotor UMNO mendapat perhatian ramai melalui perbincangan yang lebih terbuka dan bebas.

Di medan Internet, idea baru yang hebat akan cepat mendapat sambutan hangat. Sebaliknya, idea yang basi tidak mampu bersaing dari segi impaknya. UMNO ketahui hakikat ini. Mereka sedar tidak ada wacana logik yang boleh terus menghalalkan niatnya untuk terus berkuasa. Oleh itu, "cybertrooper" dan "blogger" pro-UMNO tidak berdebat dasar dan pendekatan politik. Fokus mereka? Apa lagi kalau bukan skandal seks dan sentimen perkauman?

Rakyat perlu sedar, perpaduan dan kesefahaman kita lebih kuat dari apa-apa skandal dan provokasi yang dimainkan. Mereka yang meletakkan kepala babi di pintu masjid tidak semestinya membenci agama atau orang Islam. Tapi, yang pasti, mereka mahu supaya golongan Islam hilang rasa percaya terhadap perpaduannya dengan orang bukan-Islam. Namun, saya yakin rakyat biasa di Rawang, Sentul dan di seluruh pelosok tanahair akan mengatasi kontroversi ini dengan penuh sabar dan tabah.

Syabas kepada wakil rakyat Rawang dan ahli EXCO negeri Selangor, kedua-duanya bukan-Islam, yang segera melawat Masjid Nurul Iman pada pagi kejadian. Begitu juga wakil rakyat Batu Tian Chua yang hadir untuk mengecam tindakan provokasi tersebut.

Yang penting, mulakan usaha supaya rakyat setempat membina hubungan yang lebih erat untuk hilangkan apa-apa rasa syak wasangka. Sekiranya gerakan rakyat mampu membina muafakat dari bawah, sekiranya fokus tidak lagi mudah dialih tiap kali provokasi dibuat, dan sekiranya kita bersatu, akan satu hari nanti kita bangga sebab kita benar-benar rakyat Malaysia.

*Ng Eng Kiat ialah aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Azizan vs Mahasiswa

Posted: 04 Feb 2012 04:12 AM PST

Dr.Mujahid Yusof Rawa


Negeri-negeri Pakatan Rakyat sememangnya tidak sunyi daripada pelbagai ujian. Ada ujian yang tidak dapat dikawal dan ada ujian yang dapat dikawal tetapi ada yang lebih buruk daripada itu, ialah ujian yang kita sendiri cipta dan ini yang paling sukar. Dalam suasana kerapuhan parti-parti dalam Pakatan Rakyat hari ini, kita tidak mampu untuk berhadapan dengan ujian yang kita cipta sendiri untuk menanggungnya. Terkini ialah ujian bagi sebuah kerajaan PR di Kedah dan ia bukan calang-calang ujian, ia merupakan ujian yang memulakan tahun naga dengan penuh kelicikan dan kebijaksanaan.

Kolej Universiti Insaniah adalah satu-satu IPT di Kedah yang menjadi kebanggaan Menteri Besar Azizan Razak (gambar kiri). Saya tidak terkejut dengan kebanggaan yang menjadi modal politik Azizan kerana sebagai seorang ahli akademik, Azizan sangat memahami betapa kualiti pendidikan akan memberikan satu implikasi politik yang besar kepada kepimpinannya. Tapi buat masa ini harapan besar Azizan terganggu dengan isu tindakan disiplin ke atas lima pelajarnya yang menjadi mangsa tatatertib. Soalannya, apakah Azizan terlalu personal dengan cita-citanya dengan KUIN sehingga isu AUKU dianggap terlalu kecil atau Azizan terlalu marah kerana beberapa pelajar telah menyentak impiannya dan mencabarnya?

Isu ini tidaklah sebesar mana tetapi saya lebih berminat melihat bagaimana Azizan mengendalikannya. Pertama, Azizan telah menunjukkan sikapnya yang sukar dirundingi dengan kenyataannya yang tidak mesra Pakatan. Logik responsnya agak melucukan, katanya, "Buku Jingga bukan Al Quran!" merujuk kepada soalan tindakan KUIN tidak selaras dengan buku jingga yang mahu menggantikan AUKU. Bagi saya, ini kenyataan yang meragukan dari sudut ianya benar tetapi tujuan penghujahannya adalah salah. Dengan mengatakan demikian ia telah secara sendirinya memandang rendah kesepakatan PR sebagai tawaran kepada rakyat.

Kedua, Azizan mengatakan bahawa Kedah tak semestinya ikut Buku Jingga, merujuk kepada tindakan yang bertentangan dengan tawaran Pakatan. Agak pelik seorang yang berstatus MB dari negeri Pakatan mengatakan dia tak perlu ikut Buku Jingga? Ini sememangnya menggambarkan profile Azizan yang cuba membawa pemikirannya sendiri dalam menguruskan kerajaan Pakatan di Kedah. Entahlah sejauhmana kebenaran pandangan orang ramai terhadap Azizan yang dianggap ada mimpi lain dari mimpi Pakatan?

Ketiga, walaupun jawapan Azizan tentang tindakan ke atas lima pelajar KUIN secara objektifnya dijawab lewat namun Azizan telah memberi peluru kepada musuh Pakatan untuk menyerang betapa inkonsistennya Pakatan dari sudut tawaran dan praktiknya. Diburukkan lagi isu ini dibawa ke mahkamah seolah-olah Azizan gagal mencari jalan penyelesaian yang lebih berhikmah walaupun menurut Azizan, pelajar yang mengheret isu ini ke mahkamah. Bayangkan seorang MB diheret oleh pelajar di bawah kerajaan negerinya semata-mata tidak ada jalan rundingan. Siapa yang akan dilihat tidak matang dalam menyelesaikan masalah ini? Anda sendiri yang menentukannya.

Keempat, isu pemecatan pelajar KUIN dikaitkan dengan penggunaan AUKU yang penuh kontraversi. Ini adalah kerana semua MP PR berdebat dalam Dewan menentang AUKU, asasnya ialah ia menyekat pelajar IPT dari terdedah kepada makna politik yang luas sehingga usaha advokasi terbantut. Begitu juga tentang undang-undang yang dikawal ketat oleh kuasa HEP yang besar sehingga aktiviti pelajar dibatasi. Dengan kata lain AUKU menutup perundingan yang lebih matang dan pelajar dilihat menjadi mangsa kepada kehendak pentadbiran.

Azizan cuba mententeramkan keadaan bahawa tindakan ke atas pelajar KUIN adalah tindakan tatatertib kerana melanggar keputusan KUIN. Tidak kira apa peruntukan yang digunakan samada untuk IPT atau IPTS, persepsi awam terhadap inkonsistennya PR melaungkan hak pelajar menjadi semakin jelas dan ini bukanlah berita baik untuk PR yang memerlukan keyakinan rakyat untuk PRU akan datang.

Bola berada di tangan Azizan sebenarnya untuk membentuk persepsi yang baik, bukankah Azizan seorang ahli politik yang bijak membaca keadaan? Ataukah Azizan mempunyai egonya sendiri sehingga gagal melihat kepentingan PR yang lebih besar?

Jarum jam sedang bergerak sambil kita semua membuat kiraan pada tarikh PRU ke 13. Masing-masing dari BN dan PR mengeluarkan peluru menyerang antara satu sama lain. Kadang-kadang lawannya membiarkan musuhnya sehingga habis peluru, barulah ia akan menyerang. Atau membiarkan musuhnya menyerang untuk mengalih pandangan? Apakah Azizan menggunakan taktik untuk membiarkan musuhnya menyerangnya sehingga habis peluru ataukah Azizan mahu musuhnya lalai? Bagaimana penyokong PR menerima situasi di Kedah hari ini dan yang lebih penting ialah adakah pengundi atas pagar akan terkesan?

Saya yakin Azizan tidak semudah yang dijangka oleh sesetengah orang kerana dia terkenal dengan ketajaman politiknya, pasti Azizan sedang membuat percaturan tertentu dan pastinya pertembungan Azizan vs Mahasiswa yang tidak berpuas hati tidak dapat dielakkan lagi. Mungkin mahasiwa ini mahu mengatakan kepada Azizan "jumpa anda di mahkamah!"

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kanan) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Dr Khir Toyo: Saya serik jadi Menteri Besar Selangor

Posted: 04 Feb 2012 04:08 AM PST

"Tidak ada satu pengiktirafan yang saya dapat, sebaliknya cacian walaupun saya menjalankan tugas dengan baik," kata beliau.



Bahagian 2

SHAH ALAM: Dr Mohd Khir Toyo berkata beliau serik menjadi menteri besar Selangor yang disandangnya selama lapan tahun.

"Tidak ada satu pengiktirafan yang saya dapat, sebaliknya cacian walaupun saya menjalankan tugas dengan baik.

"Saya jalankan amanah, ekonomi baik, pekerjaan banyak setinggan saya hapuskan sehingga 98 peratus. Semua baik waktu itu.

"Saya bekerja 18 jam sehari sehingga tidak ada masa untuk bersama keluarga dan anak isteri," katanya," katanya ketika ditemui di pejabat perniagaannya di Glenmarie di sini.

Bekas menteri besar Selangor itu menjadi ahli perniagaan sejak tiga tahun lalu setelah BN tumbang dalam pilihan raya umum 2008.

"Saya berniaga sejak tidak menjadi menteri besar, untuk mencari makan. Saya lebih senang begini.

"Ada masa untuk bersama isteri dan anak-anak," kata Adun Sungai Panjang itu lagi.

Dr Khir menjadi menteri besar Selangor pada 2000 ekoran perletakan jawatan Tan Sri Abu Hassan Omar.Waktu itu beliau berumur 36 tahun – menteri besar kedua termuda selepas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Khir mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke 13.

"Saya tidak akan mempetahankan kerusi DUN itu walau yakin menang jika saya bertanding. Berilah kepada orang lain. Serik," tambahnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun, Dr Khir berjanji akan terus membantu BN merampas semula kerajaan negeri Selangor dari Pakatan Rakyat.

Akan bangkit

Beliau kini berdepan hukuman penjara setahun ekoran kesalahan memiliki rumah lebih murah dari harga sebenar.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Selangor itu yakin akan bangkit lagi dalam politik.

"Saya masih muda, 45 tahun banyak masa lagi. Jalan saya masih panjang untuk pergi…

"Lihat Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dipecat dan kemudian menjadi perdana menteri," katanya.

Dr Mahathir kalah dalam pilihan raya umum 1969 dan dipecat dari Umno kerana mengkritik Perdana Menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman.

Bagaimanapun, beliau diterima semula Umno semasa Tun Razak Hussein menjadi perdana menteri.

Rosmah boros: Jingga 13 cabar PM, Rosmah saman

Posted: 04 Feb 2012 04:06 AM PST

Jingga 13 juga mengemukakan bukti tambahan yang didakwa mengesahkan segala dakwaan perbelanjaan mewah Rosmah tersebut.



SHAH ALAM: Gerakan Anti-rasuah dikenali sebagai Jingga 13, mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengambil tindakan undang-undang ke atas individu terlibat berhubung pendedahan 'perbelanjaan mewah' berjumlah RM325,000 (AS 100,000).

Tuduhan perbelanjaan mewah itu didakwa mengaitkan Rosmah sepertimana yang dilaporkan menerusi akhbar dan blog di luar negara.

Menurut Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, tuduhan itu disifatkan serius dan menjejaskan kredibiliti Najib serta maruah rakyat negara Malaysia apabila Rosmah didakwa boros dan bermewah-mewah seperti yang dilaporkan.

Fariz berkata, Najib dan Rosmah sebelum ini menafikan laporan akhbar Australia Sydney Herald, kolumnis Andrew Horney dan artikel wartawan Patty Huntington dalam blog Frockwriter serta email oleh kakitangan Little Hero, Holly Beer tentang perbelanjaan RM325,000 di butik pereka fesyen Carl Kapp.

"Jesteru Jingga 13 mencabar Najib dan Rosmah ambil tindakan undang-undang dan menyaman kesemua mereka jika segala tuduhan tersebut liar,fitnah dan direka.

"Kami juga mendesak Najib tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mempengaruhi siasatan bagi tujuan menyelematkan beliau dan isteri berkait skandal tersebut," katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini hari ini.

Bukti baru dikemuka kepada SPRM

Jingga 13 juga hadir mengemukakan bukti tambahan yang didakwa mengesahkan segala dakwaan perbelanjaan mewah Rosmah tersebut.

Ini termasuklah kenyataan Pengerusi Festival Fesyen Islam, Raja Rezza Shah yang didakwa bercanggah dengan Karl Kapp dan laporan Hutington melalui satu email.

Terdahulu pada 26 Januari lalu Jingga 13 turut hadir ke SPRM untuk mengemukakan dokumen dan bukti mengenai perbelanjaan mewah tersebut.

Satu aduan juga turut dibuat ke atas Datuk Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman, Najib dan Rosmah berkait skandal FLOS berjumlah RM325,000 membabitkan pembelian 61 helai pakaian dan penginapan semalaman di hotel mewah di Sydney bernilai RM65,000 (AS 20,000).

Orang Asal: Polis hina kami

Posted: 04 Feb 2012 04:01 AM PST

Shafie Dris berkata sekatan manusia itu sebenarnya adalah jalan terakhir bagi mereka melindungi hak daripada terus diceroboh.



KUALA LUMPUR: Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) mendakwa polis menggunakan kekerasan menghalang masyarakatnya membentuk sekatan manusia bagi melindungi kawasan mereka semasa insiden 28 Januari lalu di Kampung Parit, Gua Musang di Kelantan.

Wakil JKOASM Shafie Dris berkata polis telah menghalang dan membakar struktur bersebelahan yang dibina oleh penduduk Orang Asli suku kaum Temiar yang mahu mempertahankan hak menuntut kembali tanah adat yang dirampas oleh lori-lori balak yang keluar masuk dari wilayah tanah adat mereka.

Dalam memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu, Shafie berkata sekatan manusia itu sebenarnya adalah jalan terakhir bagi mereka melindungi hak daripada terus diceroboh dan dimusnahi pembalak, ladang rakyat dam perlombongan emas.

"Kami terpaksa kerana usaha selama ini seperti menghantar memorandum kepada Menteri Besar Kelantan pada 13 Februari lalu, berhimpun di Pejabat Daerah Jajahan Gua Musang pada 3 April lalu dan berulang kali menghantar surat aduan tentang pencerobohan tanah adat tidak diendahkan dan tidak dilayan oleh kerajaan negeri," katanya ketika penjelasan memorandum kepada pegawai Suhakam.

Beliau turut kecewa dengan perbuatan dan kata-kata pegawai polis semasa kejadian dan di balai apabila menuduh tindakan mereka itu
dihasut oleh pihak luar, serta menggunakan psikologi menakutkan Orang Asli supaya tidak menuntut hak mereka.

Malah katanya selain menahan 13 Orang Asli, polis turut menghalang ahli keluarga daripada mengiringi tahanan ke balai polis serta dinafikan hak mendapatkan peguam sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.

"Kami menuntut polis, kerajaan negeri dan kerajaan Malaysia amnya memohon maaf secara terbuka kerana menghina masyarakat Orang Asli seolah-olah bangsa kami tidak bermaruah, tidak berfikiran dan kurang mampu membuat keputusan terhadap diri sendiri," tegasnya.

Sehubungan itu, pihaknya mahu kerajaan Kelantan membayar pampasan yang sewajarnya atas segala kerosakan dan kerugian yang Orang Asli hadapi serta menarik balik lesen kontraktor yang mengerjakan tanah adat mereka.

"Kami juga mahu semua rizab lain yang bertindih dengan tanah wilayah adat Orang Asli termasuk Rezab Melayu dan Hutan Simpan Kekal dibatalkan," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam Shaani Abdullah berkata pemaju dan kerajaan negeri perlu menghormati keputusan mahkamah dan Deklarasi Hak Asasi Bagi Hak Orang Asal Sedunia (UNDRIP) yang telah mengiktiraf hak tanah kepada Orang Asal.

Khir Toyo: Program Najib, Muhyiddin gagal rampas Selangor

Posted: 04 Feb 2012 03:28 AM PST

Pengundi bukan Melayu belum kembali kepada BN ekoran Umno lebih cenderung untuk mendapatkan pengundi Melayu sahaja



SHAH ALAM: Dr Mohd Khir Toyo meramalkan peluang BN untuk merampas Selangor dalam pilihan raya umum ke 13 adalah 50-50.

Bekas menteri besar Selangor itu mendakwa pegundi bukan Melayu belum kembali kepada BN ekoran komponen penting gabungan itu- Umno lebih cenderung untuk mendapatkan pengundi Melayu sahaja.

"Program turun padang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya untuk mendapatkan semula pengundi Melayu.

"Di Selangor yang buat program ialah Umno tetapi MCA dan MIC tidak buat. Akibatnya, pengundi bukan Melayu belum kembali menyokong BN.

"Saya juga nampak perkauman masih berlaku kerana ketiga-tiga parti itu membuat program berdasarkan kaum. Kalau program Umno, orang Umno berucap, orang Umno hadir. Kalau MCA buat untuk MCA, begitu juga MIC," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam.

52 peratus pengundi bukan Melayu

Beliau berkata, BN tidak boleh menang jika mengharapkan pengundi Melayu sahaja kerana 52 peratus jumlah pengundi Selangor adalah bukan Melayu.

Dr Khir berkata, beliau telah membuat perkara yang sama seperti dalam pilihan raya umum 2008 dan keputusannya pengundi bukan Melayu menolak BN.

"Ini kesilapan pada 2008. Umno membuat program tetapi komponen BN tidak melakukan seperti yang kita (Umno) buat. Hasilnya orang Melayu mengundi kita tetapi orang Cina dan India mengundi Pakatan Rakyat," katanya.

Dr Khir merujuk kepada pelbagai program turun padang yang dibuat oleh Najib dan Muhyiddin untuk merampas semula Selangor setiap bulan di negeri itu.

Adun Sungai Panjang itu berkata, program Najib dan Muhyiddin itu itu hanya menarik sokongan pengundi veteran iaitu yang berumur 50 tahun dan ke atas.

Pusingan akhir

Katanya, ini tidak memberi faedah kerana pengundi berusia sudah membuat pilihan parti mana yang mahu dipilihnya.

"Kena buat untuk kumpulan umur 21 hingga 30 tahun kerana golongan ini tidak ada apa-apa keputusan tentang politik. Mereka mungkin telah mendaftar tetapi belum tentu keluar mengundi atau tidak daftar.

"Kena buat program dengan cepat dari sekarang kerana sudah berada di pusingan akhir sebelum pilihan raya," tambahnya.

Mengenai kekalahan BN Selangor pada pilihan raya umum 2008, Dr Khir berkata, ia berpunca dari banyak faktor.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Selangor itu menolak dakwaan tindakan beliau memberi penyapu kepada kaki tangan kerajaan sebagai faktor utama kekalahan BN.

Penyapu bukan sial

"Saya tidak percaya penyapu membawa sial. Pegawai sudah setuju, saya hanya jalankan tugas," kata beliau.

Dr Khir berkata, antara isu nasional yang membawa kekalahan BN di Selangor ialah kelemahan kepimpinan negara, kenaikan harga minyak, tidak membayar bonus pekerja awam, isu ekonomi dan faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manakala isu tempatan ialah perobohan kuil Hindu di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam yang mendapat bantahan masyarakat India.

Tetapi Dr Khir menjelaskan mahkamah mengeluarkan perintah membenarkan kampung itu dirobohkan.

"Pegawai MBSA yang merobohkan kampung itu hanya menjalankan arahan mahkamah," katanya.

PAS: Hasan Ali hina ulamak

Posted: 04 Feb 2012 03:25 AM PST

"PAS bukan ditentukan oleh individu baik muryidul am, presiden atau ketua ulama," kata Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Mahfodz Mohamad.



JOHOR BARU: Dewan Ulamak PAS menolak dakwaan PAS dipimpin oleh golongan sekular sebagaimana dinyatakan oleh bekas pemimpin parti itu, Datuk Dr Hasan Ali.

"PAS dipandu oleh majlis syura ulama yang menjadi penentu kepada hala tuju parti. Majlis itu berkuasa sepenuhnya terhadap parti.

"PAS bukan ditentukan oleh individu baik muryidul am, presiden atau ketua ulama," kata Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Mahfodz Mohamad.

Beliau mengulas kenyataan Dr Hasan yang mendakwa parti Islam itu dikuasai 72 peratus golongan sekular manakala 28 peratus lagi golongan ulamak yang mengikut telunjuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Hasan membuat dakwaan itu dalam satu ceramah di Johor malam tadi.

Pakar motivasi

"Dalam Pemuda ada ulamak, dalam Muslimah ada ulamak. Kita ada Dewan Ulamak. Datuk Nik Aziz Nik Mat ulamak, Datuk Seri Hadi Awang ulamak, Datuk Haron Din ulamak, Datuk Harun Taib ulamak.

"Saya anggap kenyataan Dr Hasan itu menghina ulamak," tambah Mahfodz yang juga pesuruhjaya PAS Johor.

Mahfodz kenyataan Dr Hasan itu semata-mata untuk meraih sokongan kepada bekas exco agama kerajaan negeri Selangor.

Katanya, Dr Hasan pakar motivasi jadi dia memang pandai dalam membuat kenyataan untuk menagih sokongan.

Belanja mewah BN, negara boleh bankrap

Posted: 04 Feb 2012 03:20 AM PST

Khairil Abdul Rahim,

TEMERLOH: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad memberi amaran, negara ini boleh terjerumus ke lembah kebankrapan jika parti yang memerintah dibiarkan berbelanja mewah.

Berucap dalam forum bertajuk 'Perubahan Politik Untuk Pembaharuan Ekonomi Bagi Kesejahteraan Rakyat' di Hotel Seri Malaysia dekat sini semalam, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, ini disebabkan kerajaan terus berbelanja mewah di luar kemampuan sekalipun dengan berhutang.

"Bayangkan kadar pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus setahun tetapi kadar peningkatan hutang pula 13 peratus," katanya.

Dengan kadar tersebut, pada tahun 2020 hutang negara akan mencecah RM1 trilion.

"Sejak kemelesetan ekonomi, dalam tempoh 13 tahun kerajaan tetap berbelanja besar-besaran sehingga ekonomi menjadi parah. Jadinya apa yang kita belanjakan hari ini seolah-olah kita makan daripada milik anak cucu kita iaitu generasi akan datang.

"Itu belum masuk lagi isu penyelewengan dan salah guna kuasa. Bayangkan RM28 bilion tiris setiap tahun sedangkan jumlah yang sama jika boleh dimanfaatkan untuk rakyat sudah boleh membawa rakyat keluar daripada garis kemiskinan," katanya.

Dzulkefly yang juga Pengarah Penyelidikan PAS Pusat berkata, semua masalah ini timbul kerana masalah kepimpinan kerajaan yang berbelanja tidak berhemat dan jentera di bawah kerajaan yang tidak cekap.

Tambahnya, hasilnya jurang kaya dan miskin semakin membesar dalam masyarakat akibat kos hidup yanmg melambung dan pada ketika ini 58 peratus isi rumah beroleh pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan hampir separuh merupakan orang Melayu.

"Negara berada dalam krisis ekonomi yang teruk sekarang, dalam keadaan seluruh dunia tahu negara ini mempunyai sumber alam yang amat kaya. Jadi masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan amanah. Negara yang baik jika diurustadbir dengan baik akan menjadi baik.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat (PR) berazam tampil untuk penyelesaian. PR berazam keluarkan negara daripada krisis ekonomi yang teruk itu. Negeri-negeri di bawah PR sekarang bukti PR mampu mengurustadbir dan seterusnya mampu untuk perintah Putrajaya," tegasnya.

Serentak dengan itu, Dzulkifli mengharapkan rakyat membuka mata untuk memberi peluang kepada PR bagi menyelamatkan negara ini bagi menikmati keadilan, mengelakkan pembolotan dan monopoli dalam penswastaan kerana semuanya mahu diswastakan kepada seorang.

Sementara itu Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang turut menjadi panel berkata, di bawah BN pembaziran terlampau banyak berlaku harga yang dibeli melalui wang kerajaan melonjak 28 kali ganda seperti didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Mengenai tekanan kepada rakyat pula, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata masalah paling rumit kepada rakyat Malaysia ialah kenaikan harga barang.

"Apa cara kerajaan untuk turunkan harga barang? Kerajaan umum 85 buah kedai 1Malaysia. Tetapi didapati barang yang dijual tidak murah sebagaimana didakwa berbanding di pasaraya-pasaraya besar.

"Untuk projek itu kerajaan keluarkan bantuan RM400 juta kepada Mydin untuk jual barang kepada rakyat. Sedangkan sebab barang mahal ialah kerana monopoli. Antaranya Bernas. Ini yang menyebabkan harga barang tinggi." tambahnya.

Tony yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, turut menyentuh monopoli merugikan rakyat dengan mengambi contoh kutipan tol Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) sudah menjangkau RM18 bilion.

"Kenapa tak hapuskan tol setelah untung. Sedangkan itu boleh rendahkan kos hidup rakyat melalui kos pengangkutan. Sebab itu janji PR jika menguasai Putrajaya, kita akan kaji semula untuk mansuh tol," ujarnya.

Tony turut mendedahkan harga lima buah kapal peronda yang dibeli Kementerian Pertahanan bernilai RM5 bilion bermakna RM1 bilion sebuah. Sedangkan New Zealand boleh dapat dengan harga RM240 juta sebuah dan di Israel pula RM770 sebuah.

PRU13: Dakwat kekal tak cukup, media mesti bebas

Posted: 04 Feb 2012 03:15 AM PST

Khairul Azlam Mohamad,


MARANG: Penggunaan dakwat kekal yang bakal dilakukan oleh pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti tidak cukup, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya, antara perubahan yang terpenting adalah kebebasan media sebagaimana yang dituntut oleh PAS dan Pakatan Rakyat selama ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh wartawan New Straits Times di kediamannya di Rusila, hari ini.

Menurutnya, peranan media sangat penting selaku saksi yang bertanggungjawab terhadap keterangan-keterangan yang diutarakan kepada rakyat.

Manakala, katanya rakyat pula bertindak sebagai 'hakim' yang adil dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, demokrasi barat telah pun melakukan perubahan dengan cara mengambil pendekatan feqah politik Islam.

Katanya, barat melakukan perubahan dengan memberi hak kepada rakyat membuat pilihan serta menjadi 'hakim' yang adil.

Menurutnya, peranan media pula sama seperti peranan saksi di mahkamah yang perlu memberi keterangan nyata dan adil kepada hakim.

"Bagaimana rakyat boleh jadi hakim yang adil sekiranya mereka hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja," ujarnya yang juga Adun Ru Rendang.

Menurutnya lagi, liputan media arus perdana terutama media elektronik di negara ini masih berlaku sebelah pihak sahaja.

Bahkan, katanya peranan media cetak juga terhad yang diberikan pemerintah kepada parti-parti bukan kerajaan.

Presiden PAS akur keputusan bertanding PRU13

Posted: 04 Feb 2012 03:12 AM PST

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam Pilihan raya Umum ke-13 sama ada di peringkat Dun atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2 Februari di Pejabat Agung PAS.

"Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

"Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke-13," ujarnya dalam satu kenyataan.

PAS, katanya bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat.

Beliau menambah, walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden PAS terus menerajui PR.

"Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti," jelasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Malah, ujarnya dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada Tuan Guru Abdul Hadi bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan muslim agung abad ini.

"Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah.

"Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin," jelas Tuan Ibrahim lagi.

Tiada ulasan: