BRIGED MP SEGAMBUT |
Posted: 12 Feb 2012 08:55 AM PST Satu lagi ceramah, kali ini mengenai kebebasan akademik terpaksa dibatalkan malam tadi selepas sekumpulan remaja menganggu majlis itu dan mengepung lokasi yang dicadangkan di Kampung Idaman, Klang. Ketika dihubungi, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab berkata "samseng" berkenaan telah memecahkan kerusi dan menyelerakkan dewan serbaguna itu sebelum ceramah bermula. "Mereka juga mengepung lokasi itu dan kami terpaksa berlindung di sebuah gerai makanan berhampiran sementara menunggu keadaan kembali tenang," katanya. Walau bagaimanapun, kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 70 orang, kata Ahmad Syukri, enggan berganjak dan ini memaksa pelajar yang berjumlah kira-kira 15 orang itu membuat laporan di balai polis Pandamaran. "Kami tiba di balai polis Pandamaran pada kira-kira jam 11.30 malam, samseng itu terus ekori kami dan mula berkumpul di sana bersama motosikal mereka," katanya. Kejadian ini adalah kali kedua apabila ceramah seumpama itu di Klang terganggu. Kali pertama, ceramah pertubuhan Asalkan Bukan Umno (ABU) 'diserang' remaja bermotosikal yang bertindak ganas dengan menyerbu lokasi di Jalan Kebun dan dilaporkan memukul seorang pemuda. Baling batu Menurut Ahmad Syukri, akibat keadaan yang tegang, polis Pandamaran memutuskan untuk mengiringi pelajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk membuat laporan. "Tiga kereta polis mengiringi kami dalam konvoi lima kenderaan tetapi ketika kami keluar, mereka membaling batu dan memukul kereta kami dengan kayu. "Syukur, cermin kereta kami tidak pecah tetapi kereta (timbalan presiden, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen) Khalid Mohd Ismath kemek teruk," katanya sambil menambah polis juga tidak mampu berbuat apa-apa. Samseng-samseng itu sekali lagi mengekori pelajar berkenaan ke ibu pejabat polis daerah Klang dan kali ini, kata Ahmad Syukri bilangan mereka meningkat kepada lebih 100 orang. "Selepas membuat laporan polis, kami dinasihatkan supaya tidak meninggalkan balai polis berkenaan demi keselamatan. "Malah sehingga jam 4 pagi, samseng itu masih di luar, jadi kami terpaksa melarikan diri melalui pintu lain dengan bantuan penduduk tempatan," katanya. Menurut Ahmad Syukri, pelajar akhirnya berjaya meninggalkan tempat itu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan tanpa sebarang kecederaan. Ceramah malam tadi adalah sebahagian daripada program jelajah mereka ke seluruh negara bagi menuntut kebebasan akademik. Walau bagaimanapun, ini adalah kali pertama ia diganggu |
PAS Terengganu yakin menang PRU13 Posted: 12 Feb 2012 01:00 AM PST Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut cukup yakin Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, ini bakal berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Katanya, berdasarkan senario semasa politik negara hari ini, Terengganu juga akan dimenangi oleh PAS pada pilihan raya akan datang. Menurutnya, kerajaan PAS pernah memerintah Terengganu sebanyak dua kali iaitu pada pilihan raya pertama tahun 1959 dan PRU10 tahun 1999. "Kita (PAS) di Terengganu pernah menang dua kali. Kita menang Pilihan Raya Pertama tahun 1959 dan menang kali kedua tahun 1999 dan Insya'Allah, kita (PAS) hendak menang kali ketiga (PRU13) ini," tegasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum PAS Kawasan Besut. Majlis Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Sweet Beach Resort, Semerak Pasir Putih, Kelantan, semalam. Namun kata Abdul Wahid, kemenangan tersebut perlu diperolehi bukan kerana kelemahan Umno dan Barisan Nasional tetapi atas kekuatan PAS sendiri. Menurutnya, seluruh jentera parti hari ini sedang bekerja ke arah mencapai kemenangan tersebut. "Kita (PAS) hendak menang bukan atas kelemahan Barisan Nasional tetapi atas kekuatan PAS sendiri. Kita (PAS) sedang bekerja ke arah untuk mencapai kemenangan pada PRU13, Insya'Allah," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendakwa PAS negeri telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya (PRU13) sejak bulan November 2011. Katanya, Umno-BN tidak berani untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini kerana parti itu hilang sokongan rakyat. Menurutnya, seluruh rakyat terutama di kalangan pengundi Tionghua (Cina) dan India sepakat menolak Umno dan kerajaan BN. "Umno-BN tidak berani hendak buat pilihan raya dalam masa terdekat ini. Kita (PAS) telah siap sedia sejak bulan November 2011 lagi. "Kita (PAS) juga bersiap untuk pilihan raya jika bulan Mac 2012 ini. Mereka (BN) telah kehilangan sokongan rakyat secara umum terutama orang (pengundi) Cina dan India," jelasnya. Katanya, banyak faktor yang menyebabkan Umno-BN tidak berani mengadakan pilihan raya tersebut seperti kes Dato' Seri Anwar, Laporan Audit Negara, projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) dan banyak lagi. Antara pimpinan PAS yang hadir pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Ketua Muslimat PAS Terengganu, Cikgu Safinah Jusoh, Setiausaha Muslimat PAS Terengganu, Raja Endut Raja Abdul Rahman dan Adun Limbungan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat. |
Posted: 11 Feb 2012 09:16 PM PST Spekulasi bertiup kencang mengenai pertemuan empat mata yang dijadualkan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, di istana baginda di Johor Baharu, hari ini. Najib akan hadir bagi upacara ulang tahun ke-15 sambutan pembangunan Danga Bay yang terletak di sepanjang beberapa hektar pantai yang menghadap Selat Tebrau. Sambutan dijadualkan bermula pada jam 3.30 petang dan selepas itu, Najib akan ke istana Bukit Serene, Johor Baharu untuk mesyuarat dengan baginda yang dijangka bermula pada jam 5.30 petang. Baginda juga dijadual akan mencemar duli dengan sambutan ulang tahun itu dengan melancarkan yayasan kebajikan yang berkaitan dengan projekDanga Bay itu. Justeru, pertemuan baginda dengan perdana menteri menimbulkan pelbagai spekulasi, lebih-lebih lagi apabila aturcara seterusnya bagi Najib adalah bagi menyaksikan perarakan Chingay di pusat bandar yang hanya bermula pada jam 8.30 malam. Sehubungan itu, masa pertemuan yang panjang itu dipercayai akan berkisar tentang perbincangan isu-isu politik berbanding perkara sosial. Antaranya sama ada Datuk Ghani Othman yang telah berkhidmat selama empat penggal akan terus dikekalkan sebagai Menteri Besar jika BN yang diramalkan akan terus berkuasa selepas pilihan raya akan datang. Najib dikatakan mahu Ghani supaya terus berkhidmat tetapi menteri besar itu dalam kiasan pada ucapannya semasa perayaan Thaipusam, baru-baru ini memberi bayangan bahawa beliau mahu berundur dan telah juga mengenal-pasti calon yang paling layak mengambil tempatnya. Sebelum ini, Ghani (kanan) telah berulang-kali berkata bahawa ahli parlimen Johor Baharu Datuk Seri Shahrir Abdul Samad patut diberikan peranan lebih luas dalam hierarki Umno negeri itu berdasarkan integriti dan keupayaannya. Ini dilihat sesetengah pihak sebagai petanda jelas bahawa Ghani bersetuju mengundurkan diri supaya Shahrir dilantik sebagai penggantinya. Namun bagi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga bekas menteri besar Johor, beliau bersedia melepas Ghani tetapi bukannya digantikan oleh Shahrir, yang dianggap bukan penyokong setianya. Dalam perkiraan politik Umno Johor yang rumit, mana-mana calon yang mahu menggantikan Ghani, kecuali Shahrir mesti bergabung dengan Muhyiddin bagi menghidupkan sebarang peluang bagi mendapatkan kedudukan itu. Selain itu, perkenan Sultan Johor juga penting sebelum keputusan pilihan muktamad dibuat. Baginda dikatakan juga bersetuju supaya calon baru dilantik sebagai menteri besar yang baru. Sejarah membuktikan pilihan menteri besar di Johor cukup rumit. Putrajaya sedar pilihan yang tidak diperkenan oleh Istana Bukit Serene mungkin membawa padah dan menimbulkan pelbagai masalah lain. Percaturan memilih menteri besar baru semakin kusut apabila pada masa yang sama timbul ura-ura bahawa jawatan nombor satu dalam Umno yang kini diduduki oleh Najib sedang diintai oleh Muhyiddin. Ramai penganalisis politik berpendapat jika Umno gagal merampas semula majoriti dua pertiga di parlimen dan juga beberapa negeri yang tewas pada pilihan raya umum 2008, maka Muhyiddin dijangka mencabar ketuannya itu. Lebih-lebih lagi pemilihan parti mesti diadakan selepas pilihan raya umum. [Baca berita penuh] Terence Netto menganggap dirinya sebagai wartawan bebas. ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini. |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan