Selasa, 7 Februari 2012

.

.


Hayat Penjengok

Posted: 06 Feb 2012 08:44 PM PST

Lagi Tektik Cuba Pengaruhi Guru

Ekoran pendedahan bagaimana Pejabat Pelajaran Kelantan mengeksploitasikan guru-guru untuk memastikan Umno merampas balik Kelantan dalam pilihan raya umum nanti banyak maklumat dan respons yang saya terima dari penjenguk. Salah satu ialah dari penjenguk ini yang memberi maklumat tambahan sangat berguna.

Di sini saya siarkan sepenuhnya maklumat berkenana untuk dinilai oleh semua apakah pendedahan itu benar atau pun tidak. Kepada penjenguk yang sudi berkongsi dengan saya dalam hal ini diucapkan berbanyak terima kasih. Budi baik dan kerjasama anda pasti mendapat imbuhan dari Allah s.w.t.

***
Salam,
Sekadar maklumat tambahan untuk Abang Ti atas artikel dalam blog.

Untuk makluman Abang Ti, kalau guru di Kelantan diberi taklimat dalam tempoh sehari tetapi guru-guru di Pulau Pinang 'dikurung selama 3 hari. Ini menunjukkan Umno masih menggunakan taktik lama dengan menakut-nakutkan guru khususnya dari Pulau Pinang untuk memburukkan Pakatan Rakyat.

Jarum jahat mereka disebarkan melalui beberapa siri kursus yang dijalankan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA) di Bangi tahun lepas. Kursus ini dinamakan Seminar Nilai-nilai Islam Dalam Gagasan 1Malaysia. Tarikh pelaksanaannya pula pada tahun lepas dari 30 Oktober hingga 1 November 2011.

Kaedah pelaksanaannya sama seperti kursus BTN. Disebabkan kerja-kerja kotor BTN sudah diketahui jadi program seperti ini dialih ke agensi kerajaan yang lain untuk mengabui mata guru-guru dan orang ramai.

Pada peringkat awal kursus ini telah berlangsung untuk guru-guru Penolong Kanan dari Pulau Pinang pada penghujung bulan September. Pada hujung bulan Oktober 2011 pula seramai kira-kira 200 orang guru J-Qaf dari Pulau Pinang diarahkan mengikuti seminar ini. Yang tidak hadir diminta menulis surat tunjuk sebab.

Semua guru yang mengikuti seminar ini tidak dibenarkan merakam gambar atau mencatat sebarang nota. Semua bahan juga tidak dibenarkan dibawa keluar. Oleh yang demikian tidak ada apa-apa bahan bukti bercetak yang boleh dibawa keluar.

Antara is kandungan dalam seminar ini.
- Isu Kristianisasi - Kononnya penceramah ialah salah seorang bekas ahli DAP Melayu yang mendapat maklumat tentang tentang gerak kerja DAP untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian khususnya di Pulau Pinang.

- Tayangan video berkaitan Bersih, Al Maunah, Reformasi dan beberapa lagi. Kononnya jika Pakatan Rakyat menang, Malaysia akan menjadi huru hara seperti dalam video.

- Isu perpecahan orang Melayu dan kerajaan yang ada sahaja boleh menyelamatkan orang Melayu.

- Perancangan untuk merampas negeri Pulau Pinang secara kotor oleh SPR

- Yang menariknya membasuh 'otak' guru-guru dengan mendakwa Rosmah ialah seorang yang cukup baik. (belum pernah modul 'brainwash' untuk menyelamatkan isteri Perdana Menteri sebelum ini. Rosmah berjaya memecah rekod), dan banyak lagi isu sensitif kononnya.

Antara pihak yang terlibat dalam program ini ialah Pegawai SPR, Pegawai Tinggi Polis, Bekas Perdana Menteri (dalam jadual ada tapi tidak hadir).

Implikasi seminar ini.

1. Guru yang terlibat tak hadir ke sekolah semata-mata terpaksa mengikuti program dakyah BN. Cuma bayangkan sekiranya 200 orang guru terlibat. Berapakah bilangan anak murid yang tidak belajar dalam tempoh tersebut.

2. BN menggunakan duit awam untuk menganjurkan program sebegini sedangkan duit yang digunakan duit rakyat bukannya duit BN atau UMNO.

Terima kasih kerana Abang Ti sudi baca.

Wassalam.

[wm.kl.12:44 t/hari 07/02/12]

Celoteh Murai 04/012

Posted: 06 Feb 2012 08:26 PM PST

Wah Mat Shaid Nak Jadi DJ Pula....

Murai ada terbaca berita kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Ahmad Said (baca ikut suara Said dalam wayang kulit -- Mat Shaid) beli setesen radio Manis FM kepunyaan Hussein Serama. Murai dengar ada rakyat Terengganu yang mempertikaikan pembelian itu. Untuk apa kerajaan Mat Shaid membeli setesen radio berkenaan.

Bukankah kerajaan Terengganu diperintah oleh UBN mereka sudah ada pun setesen radio dan tv. Balik Mat Shaid pula yang Murai dengar beliau kata setesen radio itu boleh menjana ekonomi untuk Terengganu menerusi iklan. Ia boleh dijadikan media untuk menghebahkan apa-apa agenda kerajaan.

Murai tidak mahu mempertikai tindakan kerajaan Terengganu dengan alasan yang Mat Shaid katakan itu. Mungkin setesen radio dan tv yang sedia ada tidak begitu luas memberi liputan kepadanya.

Al maklumlah radio atau tv (media massa) akan memberi liputan kepada perkara-perkara berfaedah dan ada nilai berita dari kaca mata mereka sahaja. Mungkin dan boleh jadi selama ini apa yang dilakukan Mat Shaid itu tidak mempunyai nilai berita langsung. Penasihat media masanya tidak kreatif atau cuba meletakkan Mat Shaid di front page.

Apa yang ada di Terengganu? Di zaman Mat Shaid memerintah yang sering berlaku ialah keruntuhan demi keruntuhan. Macam-macam yang dah runtuh di Terengganu, dari stadium hingga kepada bas stop semua runtuh.

Radio dan tv (rtm) tidak akan membuat liputan kepada berita-berita sebegitu kerana boleh menjatuhkan air muka Mat Shaid dan juga UBN negeri itu. Sebab itulah Terengganu senyap tipas tak ada apa-apa berita.

Mengenai pembelian Manis Fm ini apa yang Murai nak persoalkan tentang harganya sebanyak RM7 juta. Kenapa mahal sanga? Sebelum ini Murai ada dengar yang stesen radio itu ditawarkan kepada kerajaan Kelantan. Harganya jauh lebih rendah dari itu sekitar RM4 atau RM5 juta sahaja. Tetapi kerajaan Kelantan tidak berminat kerana bimbang timbul implikasi disebabkan lesen setesen itu perlu diperbaharui dari masa kesemasa.

Kenapa RM7 juta? Apakah peralatan digunakan setesen itu canggih benar? Setahu Murai ia masih menggunakan peralatan lama menyebabkan radio Manis Fm itu kalau sesekali terdengar macam kumbang lilin dalam botol sahaja dan berapakah aset yang dimiliki Manis FM termasuk pendengarnya?

Murai mengsyaki sesuatu mengenai pembelian setesen radio itu dengan harga sebanyak itu? Murai rasa elok kalau cari siapa yang menjadi konsultannya. Rasanya Murai dapat menganggak dari H sampai L mengenai sesiapa yang terlibat menjadi konsultan. Rasa-rasa dapat cam dan hidu baunya.

Kalau perlu SPRM juga boleh jenguk-jenguk dan cuba intai kemunasabahan pembelian setesen radio itu dengan harga RM7 juta. Jangan sampai wang rakyat dibazirkan begitu saja. Masakan setakat nak suruh suara keluar dalam radio kena bayar RM7 juta?

Murai: Lepas ini Mat Shaid akan ke udara di radio Manis FM, berkata; salang sejahtre ini radio Manis Ang....

Pendedahan Busuk

Posted: 06 Feb 2012 06:32 PM PST

Pejabat Pelajaran Kelantan Berkempen Untuk Umno?

Politik sistem demokrasi seperti yang diamalkan di negara ini tidak menghalang mana-mana parti siasah berkempen untuk tujuan menarik perhatian umum. Kempen dalam pelbagai bentuk itu dibenarkan selagi ia tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang. Demokrasi itu ada garis tegaknya tersendiri yang harus dihormati.

SPR badan yang mengendalikan perjalanan pilihan raya di negara ini juga ada peraturan dan kuasa yang diberikan kepadanya. SPR boleh membatalkan mana-mana individu yang mengambil bahagian dalam pilihan raya sekiranya mereka didapati melanggar undang-undang atau akta tertentu.

Ertinya kebebasan dalam demokrasi masih ada batasnya. Hal-hal yang boleh memudaratkan orang lain ataupun membabitkan hak kepentingan awam, hak kerajaan, pencabulan hak rakyat tidak dibenarkan sama sekali.

Tetapi nampaknya peraturan itu tidak dipedulikan. Lagak sesetengah pihak laksana Orang Asli yang masih buta mengenai kanun tanah Kelantan yang beranggapan ada istilah Tanah Adat di Kelantan. Ia terus berlaku dan berlaku dan pihak yang suka mencabulinya semacam sudah menjadi habit buat mereka.

Kalau mereka tidak mencabuli undang-undang, merosakan hak awam, menyalahgunakan dana rakyat seolah-olah mereka tidak akan senang. Kehidupan mereka seharian tidak ada makna kalau tidak berbuat jahat. Melakukan kesalahan itu sudah dianggap membuat kebaikan!

Menyentuh soal menyalahgunakan kepentingan awam dan hak kerajaan ini saya hendak menyebut fasal bentuk kempen dilakukan oleh UBN Kelantan untuk memastikan parti itu merampas Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Perkara paling jelas dari dulu sehingga sekarang, (dan akan berhenti [mungkin] selepas kerajaan digerakkan atas mitos UBN berakhir), ialah tentang mengeskploitasikan guru-guru untuk membantu Umno. Tindakan zalim mengeksploitasikan ini bukan perkara baru tetapi ia adalah tradisi berterusan sejak tahun 1960 lagi. Antara punca kenapa mutu pendidikan Kelantan merosot kecuali sekolah SAR ialah kerana wujudnya politiking 'mengrimau' dalam pendidikan.

Iya... guru ada hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan untuk menyokong mana-mana parti siasah dan kumpulan. Tetapi guru tidak boleh dipergunakan begitu saja. Menghalang kebebasan guru merupakan satu kezaliman. Demikian menjadikan guru sebagai keldai adalah sesuatu yang jelek. Guru adalah warga pendidikan yang seharusnya disuci jiwa dan pemikirannya. Kalau guru sudah dibacuhi dengan kenodaaan macam mana ia boleh melahirkan generasi didikannya yang bersih.

Harapan terlahirnya generasi yang berintgriti, berwawasan dan bersih tidak akan terjamin kalau ianya dididik dan diajar oleh guru-guru yang dipasak dengan doktrin dan mitos bahawa Umno lah segala-galanya. Kalau silibas ini tidak diperbetulkan lama-lama genarasi akan datang akan lahir dari sekolah dengan berwajah Umno yang sudah dibenci itu.

Mereka boleh berpolitik...tetapi asalkan mengikut peraturan dan rukun-rukunya. Batas mindanya tidak boleh disekat apa lagi dipaksa agar menerima satu idealogi sahaja.

Malangya hakikat ini tidak difahami atau sengaja tidak mahu difahami oleh pihak atas yang mentadbir para guru. Guru di Malaysia bernasib malang kerana mereka disogok agar menerima satu ideologi. Guru di Malaysia dibenarkan menulis dalam dakwat biru, manakala dakwat lain diharamkan. Mereka dijadikan lembu yang dicucuk hidung kemudian ditarik.

Adalah kesilapan kepada pihak diberi mentadir dan mengurus guru – dalam soal ini Jabatan Pelajaran Kelantan. Kesalahannya dari peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehinggalah Pejabat Pendidikan Negeri. Kandati mereka boleh perlakukan begitu tetapi bukan semua guru sedia dan sanggup menjadi pandir.

Ingat kita boleh menarik dan memaksa kuda ke tepi pantai tetapi kita tidak boleh memaksanya meminum air laut. Kalau kita terus memaksanya tidak mustahil si kuda itu akan menendang kita menyebabkan kita boleh terpelanting ke dalam laut.

Pengekspoloitasi warga guru ini dan sekaligus kebaculan pihak pengurus guru Pejabat Pendidikan Kelantan mengikut para desparador politik semakin menjadi-jadi. Guru-guru mahu dijadikan ahli Umno secara terhormat. Mereka memaksa guru menerima doktrin mereka agar membenci Pakatan Rakyat dan memberi tahu murid dan ibupaba bahawa hanya Umno yang terbaik. Barang kali Umno alpa bahawa cikgu ada otak dan mindanya sendiri.

Apa yang saya terima ini mendedahkan kebusukan Jabatan Pelajaran Kelantan. Betapa Pejabat Pelajaran Kelantan telah menyalahgunakan kuasa dan memperalatkan guru-guru agar menerima doktrin busuk Umno. Pejabat Pelajaran Kelantan telah menjadi perkakas Umno yang jelas dan nyata.

Maklumat yang saya terima ini terang sekali akan kebabrukan Pejabat Pelajaran Kelantan. Saya berharap ada penafian selepas ini agar apa yang didedahkan tidak benar dan palsu semata-mata. Wibawa PPK perlu dijadi agar ia terus disanjung. Kalau ia benar wajarlah Pengarah Pelajaran Kelantan melepaskan jawatan kerana beliau jelas menjadi kuda lumba kepada Umno. Seorang pegawai kerajaan perlu tegas dan bertanggungjawab kepada tugas yang diamanahkan bukan kepada mana-mana pihak. Gaji dan segala macam elaun yang mereka terima adalah wang rakyat bukan wang Umno.

Pada 15 Januari2012 jam 8:00 pagi telah diadakan satu majlis yang dinamakan "Majlis Taklimat Profesional". Ianya dilangsungkan di pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan yang terletak bersebelahan dengan Penjara Pengkalan Chepa. Taklimat itu disampai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindusterian (MITI) Mustapa Mohamad yang juga merangkap Pengerusi Umno Kelantan. Majlis itu berakhir selepas makan tengah hari dan satu resolusi dibuat.

Kehadiran Mustapa itu tidak ada kaitan langsung dengan dunia pendidikan kerana kebanyakan yang dipanggil ialah ketua-ketua Panitia Pendidikan Islam Sekolah Menengan dan Sekolah Rendah seluruh Kelantan. Apakah yang hendak ditaklimatkan oleh Mustafa kepada guru-guru berkaitan aspek itu? Bidang yang dipakari Mustapa bukan pengurusan Islam tetapi pengurusan ekonomi.

Majlis itu turut sama hadir ialah Pengarah Pendidikan Kelantan, Hussein Awang dan Ketua Sektor Pendidikan Mohamada Abdul Ghani. Kedua-dua mereka ikut memberi taklimat.

Atucara majlis itu ialah mengenai taklimat pendidikan Islam oleh Husein Awang dan Muhamada Abdul Ghani diikuti dengan sessi berintraksi dengan Mustapa Mohamad.

Majlis itu masih boleh dikira tidak melampau kalau setakat Pengarah Pelajaran dan Mustapa Mohamed diminta memberi taklimat mengenai pengurusan dan serba ringkas mengenai perkembangan ekonomi negara dan hal ehwal perdagangan dan industeri.

Tetapi keadaan menjadi agak melampau dan menjelaskan program itu untuk kepentingan politik Umno Kelantan apabila para peserta dibekal dengan beberapa bahan kempen seperti buku dan Vcd. Antara buku-buku yang dibekalkan ialah memburuk Nik Aziz dan Vcd pula siri soal jawab dengan bekas Exco Selangor yang dipecat Pas, Hasan Ali alias Hasan Akidah.

Apakah keperluan bahan-bahan itu semua dengan hubungan taklimat profesional itu? Apakah buku yang memburuk Nik Aziz dan soal jawaban Hasan Akidah itu yang memburuk Pas ada kena mengena dengan penigkatan pengurusan pendidikan Islam di Kelantan? Apakah akidah guru-guru dibawah tadbiran Hussein Awang juga rosak akidah dan memerlukan mereka mendengar celoteh dan bual berbusa air liur basi Hasan Akidah?

Apa yang berlaku ini mendedahkan keburukan dan salah guna kuasa dan peruntukan kerajaan. Tentunya wang untuk mengajur majlis itu wang kerajaan, wang rakyat. Sepatut ianya diguna untuk kepentingan rakyat dan pendidikan. Tetapi bila mana ia diselit dengan bahan-bahan kempen ia telah menyalahgunakan wang awam untuk kepentingan politik Umno.

Saya tidak hendak katakan Umno Kelantan khasnya kini terdesak dengan prgoram itu. Tetapi kalau melihat kepada keadaanya sampai guru-guru Panitia Pendidikan Agama pun disondolkan dengan bahan-bahan kempen yang tidak bermaruah dan penuh provokasi itu, apakah nama yang boleh kita berikan. Beruk ke apa? Atau lembu gemuk?

Kita berharap Pengarah Pelajaran Kelantan Hussein Awang menjelaskan perkara ini dengan tuntas. Kalau beliau menerima jawatan itu atas kepentingan anak bangsa beliau harus perbetulkan tindakan yang jelek dan jijik itu. Jika beliau gagal menjelaskan relevannya majlis itu maka jelas Jabatan Pelajaran Kelantan telah menjadi satu lagi komponen BN yang rasmi di Kelantan. Jika saya sebagai Pengarah PPK saya akan melepaskan jawatan apabila kerja buruk saya terdedah kepada umum. Saya tidak mahu akan disumpah dan dihina sampai ke padang Mahsyar. [wm.kl.10:35 am 06/02/12]

Jentikan Malam

Posted: 06 Feb 2012 02:41 AM PST

Demi Selamatkan Kerusi Gual Periok
Ahmad Awang Perlu Ditukar

Setiap kali saya balik kampung bila berjumpa rakan dan orang kampung mereka tidak habis-habis menceritakan fasal wakil rakyat Gual Periok, Ahmad Awang. Semua cerita yang saya dengar semuanya negatif dan memedihkan anak telinga.

Seorang anak muda yang ada hubungan kekeluarga dengan YB itu menyebut kepada saya katanya; kalau boleh abang Ti tukarlah tok wakil hak ada la ni. Kalau tak tukar berat Pas nak menang". Saya bertanya kepada anak muda itu wakil rakyat hak mana state ke parlimen? Jawabnya state - Ustaz Mat. Saya sikit terkejut dan tanya kenapa?

Saya mengira mungkin suara itu hanya suara terpencil yang tidak berpuas hati dengan Ustaz Mat. Tetapi rupanya tidak, bila masuk ke kedai kopi, pasar besar Rantau Panjang atau pun di tempat kenduri kendara, pasti ada yang bertanya atau merintih, minta supaya Pas tukar wakil rakyat. Bila saya tanya kenapa? Mereka akan jawab ustaz Mat lemah. Lemah lagu mana? Lemah tenaga batin ke, gurau saya.

Semua kata dia tidak peduli kepada rakyat. Segala aduan didengar umpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Dia juga tidak ada wawasan untuk memaju atau merupakan kawasan yang diwakilinya. Peranannya sebagai wakil rakyat jauh lebih rendah daripada Tok Penghulu! Tidak ada umpph.

Yang bertanya dan meminta agar Ahmad ditukar bukan orang Umno atau orang atas pagar tetapi semuanya penyokong dan ahli Pas dan termasuk sanak saudara sendiri. Yang saya tengok semasa pilihan raya, mereka inilah 'bercawat kotel' panjat pokok untuk tampal gambar bulan dan gambar calon Ahmad.

Tidak tahu macam mana pula pandangan orang Umno. Atau Umno suka kalau Ahmad terus menjadi calon kerana ia tidak memberi tekanan berat kepadanya. Mungkin juga boleh jadi sebagai musuh Umno tidak akan membuat ralat kalau ada apa-apa kesalahan dan membiarkan kesalahan itu kerana ia memberi kelabaan kepadanya.

Sebenarnya saya malas untuk bercerita mengenai wakil rakyat ini. Saya mengenalinya bukan sejak setahun dua ini, tetapi sejak tahun 60-an lagi. Kenal betul. Bukan saja adik beradiknya tetapi tok nying dia pun saya kenal. Begitu juga dengan fiil dan perangainya, bukan setakat dia... tetapi fiil tok nying dia juga saya tahu kerana menjadi buah mulut orang kampung, kalangan sanak saudara mara sendiri. (Bukan sifat huduh tetapi sifat peribadi).

Banyak kalau hendak bilang kelemahan dan kecatatan Ahmad Awang. Paling besar ialah dia menyerahkan tugasnya kepada satu orang sahaja. Dia percaya sangat percaya kepada orang yang memikul tanggungjawab menjadi pembantu peribadinya. Ada kesilapan kalau diberi tahu kepadanya untuk diperbaiki tidak dihiraukan. Dia bersikap membela pembantunya. Terlalu mempercayai pembantunya kandati apa yang dilakukan memberi imej buruk kepadanya.

Sebahagian besar pengundi yang merungut mengenai masalah Ahmad, ialah kerana tidak berlaga angin dengan pembantu peribadinya.

Kesilapan lain ialah beliau tidak berada dalam kawasan. Rumahnya nun jauh di Bukit Gading, Tanah Merah. Kedudukan itu menyebabkan dia tidak dapat memberi respons segera kepada apa-apa masalah rakyat. Misalnya kalau rakyat menghadapi masalah dalam apa-apa perkara beliau tidak dapat datang dalam waktu terdekat kerana duduk jauh. Paling cepat pun dia dapat datang besok atau lusa.

Dalam budaya politik orang kampung mereka mengharap sentuhan segera dan cepat oleh wakil rakyat. Kerana bagi mereka tempat mengadu, meminta dan merintih hanya kepada wakil rakyat. Bagi orang kampung wakil rakyat adalah orang berkuasa dan orang yang dianggap boleh membantu apa saja. Hatta untuk baiki jambtan rosak pun mereka akan panggil wakil rakyat kalau perlu.

Ahmad tidak memahami dan menghayati naluri politik sebegitu inilah menyebabkan dia menjadi bahan rungutan. Sudahlah tidak mesra rakyat, tidak pandai pula untuk berbasi basi dengan rakyat menyebabkan orang tampat merasa kering dengannya. Dalam satu peristiwa katanya dia melarikan diri dari rakyatnya yang berada dalam kedai kopi mungkin bimbang kena belanja. Cerita Ustaz Mat lari ke rakyat sudah tersebar.

Soal idea atau pun gagasan untuk memajukan Gual Periok tidak payah ceritalah. Banyak masalah yang bertimbun tetapi tidak pernah dicuba selesaikan olehnya. Misalnya kemasukan rakyat asing mendiri rumah di tanah-tanah kerajaan dan tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) adalah kelemahan beliau sebagai wakil rakyat. Tidak ada suara atau cadangan bantahan bagi menangani masalah ini. Tanah KTM di Gual Periok sudah habis dikebas orang dengan membangunkan rumah kekal.

Isu-isu lebih besar soal penyeludupan, penangihan dadah di kalangan anak-anak muda, masalah sosial lain seperti ada dangdut di dalam semak ataupun peraduah suara burung candik, laga ayam dan sebagainya... usah ceritalah. Ahmad tidak akan sentuh dan cuba untuk menanganinya walaupun kegiatan itu tidak membawa kebaikan.

Adakalanya kalau memerhati kepada masalah di kawasna Gual Periok yang terbiar semacam ianya tidak diwakili sesiapa. Kalau pun yang boleh disebut di sini program yang dibuat oleh Ahmad hanya Tahlil Perdana di kuburan pada setiap kali hari raya pertama Aidifitri. Beliau akan menjejajah ke beberapa buah kubur dan mengajak orang bertahlil meminta roh si mati selamat. Itu saja.

Dalam era hari ini apa yang Ahmad lakukan sudah tidak laku dan tidak relevan lagi. Dunia hari ini mencabar. Ia memerlukan seorang wakil rakyat yang bukan saja rajin berjalan, menemui rakyat tetapi yang ada idea untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan untuk rakyat. Yang penting senantiasa bersedia untuk mendengar rintihan rakyat.

Mungkin Pas Kelantan tidak mendapat maklumat akan kelemahan wakil rakyat ini. Pas Kelantan terutamanya Tok Guru Nik Aziz syok kepada latar belakang Ahmad yang berkelulusan pengajian Islam dari Universiti Al Azhar Mesir. Sebenarnya kelulusan akademi dan setakat menjadi pengurus pondok di Tanah Merah tidak mencukupi untuk melayakkan Ahmad Awang menjadi wakil rakyat di abad ini.

Saya teringat kepada seorang pemimpin Pas Rantau Panjang yang juga bertanggungjawab membawa Ahmad ke gelanggang politik dan menjadi calon. Katanya, Ustaz Mat hanya mampu menjadi wakil rakyat sepenggal saja. Saya memahami kata-kata itu apabila melihat performance yang ditunjuki Ahmad sesudah lebih tiga tahun jadi wakil rakyat sangat mengecewakan.

Misalnya beliau seorang ustaz yang boleh mengajar agama. Sepatutnya beliau turun sekali seminggu atau sebulan sekali di madrasah Gual Periok untuk memberi syarahan agama. Jadikan program itu program tetap beliau untuk berintraksi dengan rakyat. Tetapi nampaknya program yang mudah dan tidak memerlukan wang pun tidak terbuat.

Merumuskan apa yang saya dengar, lihat dan selidik sendiri Pas bakal kehilangan kerusi Gual Periok kalau Ahmad Awang diberikan bertanding sekali lagi. Perlu ingat dalam pilihan raya lalu beliau menang dengan kelebihan 733 undi saja. Beliau mendapat 6,915 manakala calon UBN Shaari Hussein mendapat 6,182.

Angka itu menunjukkan kemenangan Ahmad tipis dan sekiranya Umno meletakkan calon yang tidak bermasalah, mesra rakyat mungkin kerusi Gual Periok akan bertukar tangan pada PRU 13 nanti. Perlu juga diingat kerusi Gual Periok adalah kerusi yang silih berganti dan calon Pas tidak pernah memenangi lebih dari sekali kecuali dizaman Ahmad Yatim dulu.

Akhir kalam sebelum terlambat Pas khsusnya Pas Rantau Panjang harus berbuat sesuatu. Kalau Pas Rantau Panjang tidak ada idea biarlah Pas Kelantan cuba-cuba tilik siapakah yang sesuai dan layak menggantikan Ahmad Awang demi menyelamatkan kerusi Gual Periok. Lainlah kalau Pas confident mereka akan menang lebih 35 kerusi maka halalkan kerusi Gual Periok untuk Umno tanpa menggantikan Ustaz Mat dengan sesiapa. [wm.kl.9:41 pm 06/02/12]

Tiada ulasan: