Sabtu, 28 Januari 2012

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


US AZIZAN KATA BUKU JINGGA BUKAN AL-QURAN, ADAKAH AUKU ITU MENGIKUT PERUNDANGAN AL-QURAN?

Posted: 28 Jan 2012 03:34 PM PST

Oleh:  WFAUZDIN NS

TIDAK sedap hati juga rasanya mahu menegur cara-cara `Mantiq' Us Azizan, MB Kedah di dalam menguruskan isu AUKU di KUIN.  Semua tahu di dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat yang dipersetujui oleh PAS sendiri jelas menyebut Pakatan Rakyat tidak menyokong AUKU dan akan menghapuskan AUKU jika memerintah di Pusat.

Apabila isu di mana beberapa pelajar KUIN dikenakan tindakan di bawah AUKU, MB Kedah ketika itu menyebut beliau menyokong tindakan KUIN.  Apa tindakan KUIN yang dimaksudkan itu?  KUIN telah bertindak menggunakan AUKU terhadap para pelajar berkenaan, dan pengertiannya bahawa Us Azizan menyokong AUKU digunakan.  Tidakkah begitu maksudnya?


Benar, kita sedar bahawa KUIN tertakluk dengan AUKU yang dicipta oleh Kerajaan Pusat.  Sekarang ini Pakatan Rakyat belum memerintah Pusat, maka kita tidak mampu berbuat apa-apa terhadap para pelajar yang dizalimi oleh AUKU sepertimana di KUIN itu.  Tetapi, tidakkah Islam mengajar selemah-lemah iman itu adalah menentang dengan lidah dan hati?  Persoalannya, apa kenyataan dari Us Azizan selaku MB Kedah di peringkat awal timbulnya isu ini?  

Terbaru, apabila beliau `diserang' bertalu-talu oleh beberapa pihak termasuk dari penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, NGO dan Mahasiswa, Us Azizan lebih suka menyerahkan kepada KUIN untuk selesaikan tanpa beliau menegaskan pendirian Kerajaan Kedah di bawah PAS tentang AUKU yang dikenakan ke atas para pelajar tersebut.  Kemudiannya, beliau mendakwa isu tersebut tidak boleh disentuh kerana telah dibawa ke mahkamah.  Betul, sekarang ini tentunya beliau tidak boleh menyentuh lagi isu berkenaan tetapi mengapa beliau tidak memberikan pendapatnya selaku MB Kedah seawal isu ini timbul iaitu sebelum difailkan di mahkamah?

Paling tidak enak didengar apabila Us Azizan seolah-olah memperlekehkan Buku Jingga di dalam komen beliau bagi `menghalalkan' tindakannya sebelum ini di dalam isu AUKU.  Petikan dari Malaysia Insider, beliau menyebut, "Menyentuh soal prinsip Buku Jingga yang mahu memansuhkan AUKU, Azizan menegaskan "Buku Jingga bukan al-Quran" yang harus dipatuhi sepanjang masa. "Ada perkara boleh laksana dan ada perkara yang tidak boleh...kena lihat pada keadaan," katanya kepada The Malaysian Insider.

 
Ada benarnya kata-kata beliau, tetapi tidak bijak berkata sedemikian.  Jika ada yang ingin bertanya kepada beliau selaku MB Kedah apakah perintah Al-Quran keseluruhannya telah beliau lakukan sepanjang mentadbir Negeri Kedah?   Sempurnakah kesemua yang diperintah oleh Al-Quran itu di bawah Kerajaan PAS Kedah sekarang?  Jika beliau menyebut Buku Jingga bukan Al-Quran, itu kita boleh terima kerana ianya memang benar.  Tetapi, kita yang jahil ini ingin bertanya pada beliau adakah di dalam Al-Quran dan ajarannya membolehkan undang-undang seperti AUKU?  Jika Al-Quran mengharamkan tindakan seperti AUKU itu, apakah tindakan Us Azizan selama ini tidak membantah AUKU hatta secara lisan sekali pun tidak berlawanan dengan Al-Quran?
 
Jika Buku Jingga diketahui sebagai bukan Al-Quran yang wajib dipatuhi sepenuhnya, adakah AUKU itu sebahagian dari Undang-Undang mengikut Islam?  Ringkasnya, kita hanya mahu Us Azizan berani berkata bahawa AUKU itu zalim dan KUIN mesti mengatasi isu ini kerana Kerajaan Negeri tiada kuasa untuk menghapuskan AUKU.  Itulah selemah-lemah iman.  /wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: