shalehudin |
- Datuk T... T... T... TIIPUUUUU.... haha...
- Berapa ringgit gaji Piem... kahkahkah...
- Hodoh jugak kelaku si Hassan Ali nih... hihi...
- Mai kita pakat tibai Jamil Khir pulak... kahkahkah...
- Jangan dok penaya peniaga Melayu la woii...
- Tak gamak pulak aku nak bengongkan mamak nih...
- Popular tak semestinya ber'TELOQ'... kahkahkah...
- Ayam berbulu disalut tepung? Pasai apa tak dedah nama restoran tuh...
- Hukum Mendedah Kesalahan Pemimpin
Datuk T... T... T... TIIPUUUUU.... haha... Posted: 27 Jan 2012 07:52 AM PST Penipuan Dato T, Anwar Berada Di Indonesia Bukan Bangkok PAGI tadi penulis menulis mengenai dakwaan terbaru oleh Dato T ini kononnya ada kewujudan video seks terbaru yang mengaitkan dengan Dato Seri Anwar Ibrahim. Baru sahaja sebentar tadi, penulis mendapat maklumat dari sumber yang menyatakan Anwar tidak berada di Bangkok pada 12 & 13 Januari 2011 seperti yang didakwa oleh Trio Dato T. Sebaliknya, Anwar pada tarikh yang didakwa berada di Indonesia. Kenyataan ini seterusnya menafikan kewujudan video yang dikatakam mirip Anwar itu. Dan jika Anwar tidak berada di Thailand seperti yang didakwa, imej siapa pula yang berada dalam rakaman tersebut? Mungkinkah, trio Datuk T akan mengubah versi cerita mereka dengan mengatakan video tersebut dirakam di Indonesia pula? Jika itu berlaku, maka sejarah memalukan yang pernah berlaku dalam kes perbicaraan liwat 1 akan berulang semula kali ini. Dalam kes tersebut, Anwar dikatakan meliwat Azizan Abu Bakar di Trivolli Villa pada 1993 bilamana bangunan itu tidak wujud pun pada waktu dan tarikh yang didakwa!!! Nampaknya, cubaan kali kedua trio tajaan UMNO ini untuk memalukan Anwar buat kesekian kalinya, tidak menjadi kenyataan waima sebelum video tersebut tersebar pun. Tapi dalam masa yang sama, penulis harap Datuk Seri Anwar dapat meneruskan semula tindakan saman ke atas orang orang ini agar cubaan seumpamanya dapat dihapuskan terus dimasa hadapan.- SPR |
Berapa ringgit gaji Piem... kahkahkah... Posted: 27 Jan 2012 05:40 AM PST Gaji Perdana Menteri berapa ringgit? – Oleh Izmil Amri "Apa cita-cita kamu?" tanya guru kelas, pada setiap awal tahun. Niat dia barangkali untuk berkenal-kenal, atau paling kurang beri inspirasi supaya anak murid kejar cita-cita itu. Anak murid selalunya akan beri jawapan kerja profesional: doktor, peguam, arkitek, guru, akauntan. Jawapan-jawapan biasa. Pastinya mereka juga tahu apa kerjanya seorang doktor, peguam dan akauntan itu semua. Takkanlah mahu jadi peguam sebab mahu kerja menoreh getah. Saya ada seorang jiran di kampung. Dia ini dahulu katanya telah jatuh dari anjung rumahnya, yang berada di tingkat tiga kuarters Hospital Besar Pulau Pinang. Kemudian baru dia pindah ke kampung saya. Maka disebabkan insiden jatuh dari tingkat tiga itu, kepalanya sedikit gelong. Saya tidak tahu sebenarnya berapa tingkat kuarters hospital besar, mahu pun hakikat sama ada dia jatuh dari ketinggian itu. Senang cerita, dia sedikit tak betul. Sedikit tak betul adalah jauh beza daripada gila. Bila kita sebut gila, orang yang disebut gila itu punya kemungkinan untuk melintas lebuhraya KL – Seremban di kala lalu lintas sesak, tanpa memakai sehelai pakaian pun. Itu gila. Tetapi jiran saya ini cuma sedikit tak betul. Dia rajin bertandang ke rumah kalau di dapat tahu bapa saudara saya pulang dari Kuala Lumpur. Bapa saudara saya pula akan jenuh sembunyi tak mahu bersua muka. Hanya kerana jiran saya ini 'sedikit tidak betul'. Dia mahu jadi Perdana Menteri Arakian maka disebutlah orang akan kisah jiran saya ini yang dahulu kalau ditanya apa cita-citanya akan tuntas menjawab dia mahu jadi Perdana Menteri. Sebelum memberi jawapan itu, dia akan tanya dahulu, 'Gaji Perdana Menteri berapa ringgit?' Demikian keadaanya jiran saya ini yang seperti saya katakan, 'sedikit tak betul'. Saya sebut tentang kisah jiran saya yang tak betul ini kerana bagi saya, hanya orang yang tertentu sahaja yang akan punya cita-cita untuk jadi Perdana Menteri. Jawatan Perdana Menteri bukan macam jawatan mat despatch atau juruwang pasar-mini dua puluh empat jam yang boleh diiklan di tiang-tiang lampu atau pondok telefon. Jiran saya ini mungkin tidak arif soal itu. Barangkali dia selamba bertanya gaji Perdana Menteri berapa ringgit supaya mungkin satu hari nanti bila dia sudah besar, dia boleh isi borang mahu jadi Perdana Menteri. Manusia normal macam saya dan anda mungkin mahu jadi loyar atau doktor atau ahli bomba apabila disoal tentang cita-cita. Yang tidak berapa normal mungkin punya cita-cita mau kerja FRU, tapi itu cerita lain. Apa seronoknya jadi Perdana Menteri Apa yang seronok sangat jadi Perdana Menteri ini? Adakah mungkin dapat wanita cantik untuk dibuat isteri? Kalau itu yang dikejar, cukup sekadar jadi Ketua Menteri Sarawak. Kalau Perdana Menteri sekarang, perempuan cantik pula yang tidak berani mendekat. Adakah pula kerana mahu kumpul harta? Kalau mahukan itu, lebih baik buka kasino atas bukit. Harta dari aktiviti itu, tujuh generasi makan pun belum tentu habis. Bukan setakat beg tangan, kilang beg tangan pun boleh beli. Ataukah pula kerana mahu popular dan ternama? Lebih baik jadi penyanyi hip hop. Kalau agak-agak usia sudah lanjut, menyanyilah lagu irama Malaysia. Kalau mahu dikenal orang, jadi artis. Politisi bukannya susah-susah perlu belajar berlakon. Lihat sahaja filem pendek lakonan Ketua Pemuda UMNO. Bakat yang begitu hebat akhirnya dikembangkan dan berlakon pula dia menjadi tentera. Selain itu apa lagi yang boleh dikecap kalau jadi Perdana Menteri? Mau syurga? Pergi masjidlah. Mau berucap supaya semua orang dengar, buatlah video youtube. Mau bikin polisi negara? Cukuplah sekadar jadi menteri biasa. Apa nak dihairan sangat jawatan Perdana Menteri ini? Tapi jiran saya itu bersungguh juga mahu jadi Perdana Menteri. Bagaimana? Apa dia tahu sebenarnya apa kerja Perdana Menteri, apa kerja politisi? Malap harapan Partai Keadilan Sejahtera menyatakan slogannya; Bekerja Untuk Indonesia. Ia jelas memberi definisi hala tuju partai itu, sebagai sebuah parti dakwah, dan parti yang terkedepan dalam soal kebajikan dan pantas membantu bila ada musibah melanda rakyat Indonesia. Selain popular sebagai parti yang paling bebas korupsi, maka rakyat Indonesia senang dengan parti itu, dengan pembawakannya yang demikian lembut dan santun sebagai khadam kepada bangsa Indonesia. Parti-parti politik di Malaysia masih menggapai definisi pekerjaannya. Kebanyakan darinya berahi betul dengan terma perjuangan, maka sekalian parti politik pembangkang senang dengan kerja memperjuangkan sesuatu. Keadilan sosial, keserataan di mata pemerintah, kebajikan dan kebebasan daripada opresi aparat pemerintah dan segala yang sewaktu dengannya. Parti pemerintah, lebih teruk lagi. Entah apa kerjanya sehingga sangkut dalam perjuangan ketuanan etnosentrik serupa walau pun negara sudah lebih lima puluh tahun merdeka. Kerja parti pemerintah yang paling mencuri tumpuan antara lain termasuklah aktiviti menternak lembu di dalam kondo dan memperkaya adik-beradik. Aktiviti mengumpul kekayaan ini tampak sebagai profesyen utama parti pemerintah, yang malangnya bukanlah profesyen yang sewajarnya sebagai pejuang bangsa dan pembela ketuanan apa saja. Untuk menjadi parti pemerintah perlu menang pilihan raya. Sebelum itu kena sediakan pemimpin untuk teraju kerajaan. UMNO memilih Perdana Menteri Malaysia apabila memilih presidennya melalui perhimpunan agungnya. Yang hadir ke perhimpunan agung ini pula adalah delegasi yang dipilih dari kalangan kroni ketua bahagian. Semakin malap harapan jiran saya itu untuk menjadi Perdana Menteri. – Roketkini.com |
Hodoh jugak kelaku si Hassan Ali nih... hihi... Posted: 27 Jan 2012 01:30 AM PST Kalau pentas ceramah PAS pun dia salahguna untuk kempen skim piramid... Saya dah malas nak ulas fasal Datuk Dr Hasan Mohamed Ali. Sejak ada orang minta 10 peratus dimasukkan ke dalam akaun kompeni bisnes air liur dia setiap kali dia dijemput berceramah dalam majlis ceramah PAS, sejak ada orang salahgunakan kedudukannya sebagai penceramah dalam majlis ceramah PAS untuk kempen skim piramid dia, saya dah kempen rata supaya orang PAS jangan undi orang itu sebagai pemimpin. Bermula tahun 2005, saya dah mula menulis mengenai kelaku puak tu. Saya tulis berdasarkan pengamatan dan penilaian ramai orang. Memang, saya dah malas nak tulis fasal Mamat tu. Begitu juga mengenai Ustaz Nasharudin Mat Isa. Lebih baik saya berusaha memberi kesedaran kepada rakyat yang sungguh-sungguh berlawan dengan Umno - yang beragama Islam pula menentang Umno ikhlas kerana Allah s.w.t. serta sebagai bekalan selepas mati. Lebih baik saya beri kesedaran kepada mereka supaya mereka bersedia dan memberi perhatian kepada gelagat serta kelaku orang-orang seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Dr Harun Din, Azmin Ali, Datuk Harun Taib, Datuk Mustafa Ali, Nasrudin Hassan Tantawi, Datuk Abu Bakar Chik, Nik Abduh Nik Abdul Aziz serta apabila ada selepas ini yang memperjelaskan kepada kita gelagat dan kelaku mereka. Tetapi dalam berita NST hari ini bertajuk "A 'third force' in politics soon", antara lain yang dilaporkan mengenai Dr Hassan ialah: He also outlined the prerequisites for the third force leaders, saying that they must be morally upright, do not indulge in adultery or flirt with young girls, do not engage in sodomy, are not corrupt or involved in criminal breach of trust and also did not abuse their power.Saya ambik dakwaan mengenai "are not corrupt" dahulu. Nak tanya sikit, siapa ambil duit dari lintah darat yang mempunyai syarikat merawat air antara lain untuk membiayai penerbitan sebuah akhbar yang berkempen untuk puak tertentu? Itu bukan rasuah? Bukankah duit lintah darat celaka itu juga digunakan untuk menempah bilik bagi beberapa pemimpin tertentu bersedap-sedap dalam hotel dan menaja beberapa perkara lain lagi? Itu bukan rasuah? Saya ada banyak cerita lain lagi. Termasuklah, malangnya, melibatkan seorang kontraktor yang dah kembali ke pangkuan Allah. Cukup satu dulu. Bab "did not abuse their power" pula: Kalau pentas ceramah PAS pun disalahgunakan untuk kempen skim piramid, apa jaminan kedudukan yang lebih hebat dari itu tidak disalahgunakan? Takat sembang deras, hanya puak bangang sahaja yang boleh ditipu dan diperbodohkan. |
Mai kita pakat tibai Jamil Khir pulak... kahkahkah... Posted: 27 Jan 2012 12:00 AM PST Mari kita bayar zakat pada Jamil Khir Tidak dipastikan Jeneral Jamil Khir Baharom dan dua lagi orang kuat JAWI telah memastikan, atas jawatan masing-masing mereka termasuk dalam asnab yang layak menerima zakat apabila mereka menggunakan wang zakat bagi menampung guaman yang mereka hadapi. Atas apa tujuan juga, kerena atas nama jawatan, mereka dinamakan dalam satu tuntutan undang-undang oleh pihak lain. Maka mereka telah ditanya atas asnab mana yang mereka boleh menggunakan wang zakat itu. Macam-macam jawapan telah diberi bagi membenarkan wang itu mereka guna baik sementara mendapat duait lain atau ia tetap jadi beban zakat itu. Hanya sesudah beberapa ketika baru Mufti Wilayah Persekutuan memberi penjelasan bahawa mereka layak menerima zakat kerana termasuk dalam asnab fisabilillah. Mungkin penjelasan Mufti itu betul, tetapi tidak mungkinkah wang itu telah dikeluarkan dulu baru dicari alasan yang melayakkan wang zakat itu. Ketiga-tiga abdul itu tidak didakwa atas peribadi mereka, tetapi atas jawatan mereka. Maka tanggungjawab kewangan itu mesti ditanggung oleh kerajaan. Tidaklah miskin sangat kerajaan untuk menampung keperluan kewangan itu, tetapi mengapa wang zakat yang kerajaan nampak? Kerana mufti telah mengatakan mereka layak dapat duit zakat, apa kata kita sekalian penduduk Islam Wilayah Persekutuan tahun ini membeyar zakat fitnah kepada Jamil Khir dan dua orang lagi? Beban yang mereka tanggung itu menjadi tanggungjawab orang Islam untuk menyelesaikannya. Mufti ada wibawa bagi menjelaskan perkara itu. Mufti tersebutkan bukan penyokong Umno totok bagi membenarkan apa saja yang kerja mahu. Tentulah dia bukan seperti Mufti zaman Tunku Abdul Rahman Purra dulu, apabila kerajaan hendak memanfaatkan wang loteri kebajikan untuk kepentingan kebajikan Islam, maka mufti pun halalkan wang toteri. Mufti ini asalnya adalah orang ABIM yang berdisiplin ketika ABIM mula ditubuhkan oleh Anwar Ibrahim dulu. Banyak masanya di rumah Datuk Asri di Kuala Lumpur ketika dia memimpin PAS dulu. Ini tanda dia ada disiplin ilmu dan pegangan yang kuat. Dia diketahui rapat dengan Umno apabila Anwar masuk Umno dan abangnya pula menjadi Menteri Besar Umno. Justeru itu saya tidak suka mencabar penjelasan yang dibuatnya berdasar dari ilmunya. Dengan itu geng tiga abdul Jamil Khir itu boleh diselamatkan oleh ilmu mufti itu. Apapun sulit sikit Jamil Khir dari sudut politik. Walau pun dia dengan jawatan dan tanggungjawabnya dalam kerajaan sudah jadi asnab yang sama dengan fakir, miskin, mualaf dan orang yang berhutang, tetapi tidak lepas dari beban moral seorang politik. Jamil Khir dengan latar belakang pendidikan tinggi agama tentulah ditonjolkan dalam politik Kedah bagi menyangi pimpinan ulama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, lulusan Azhar dan tinggi ilmu Islamnya. Kerana Kedah juga sebuah negeri yang kuat pegangan Islamnya, maka Umno Kedah memerlukan seorang yang tinggi kelulusan agamanya bagi menghadapi Menteri Besar PAS yang berilmu dan masyarakat Kedah yang kuat beragama. Umno Kedah memerlukan seorang calon Menteri Besar yang tinggi pengetahuan agama dan bersih bagi mencabar bagi mencabar kerajaan Pakatan Rakyat yang dibersih dan Menteri Besarnya pula ulama. Rekod kewangan kerajaan Kedah pimpinan Azizan dipuji oleh Laporan Audit Negara sebagai bersih. Maka Umno mesti menonjolkan orang yang bersih juga. Jamil Khir mungkin orang yang Perdana Menteri Najib bawa untuk menyaingi Azizan yang dikenalinya lama sejak sama-sama belajar di England dulu. Najib dan adik beradiknya pernah secara tidak langsung menerima panduan agama dari Azizan semasa belajar di England dulu. Najib tentu tahu keupayaan dan kecekapan Azizan. Maka mungkin Jamil Khirlah yang diharap untuk memimpin Kedah kiranya Umno dapat merampas Kedah semula. Tetapi pendedahan Laporan Audit Negara menyebut Jamil Khir telah memanfaatkan wang zakat dan menyeret JAWI dalam kecoh penggunanan wang zakat, amat payah bagi Umno untuk menyelesaikan isu itu untuk menghantar Jamil Khir memimpin Kedah. Mufti sudah cuba menyelamatkannya, tetapi dari segi politiknya Menteri Hal Ehwal Agama itu tidak dapat dijadi pemimpin agama bagi kerajaan menunggu di Kedah. Nanti orang Kedah pula terpaksa bayar zakat fitrah kepadanya. Jamil Khir dan Umno Kedah juga tidak dapat dibantu oleh Timbalan Menteri Agama, Puan Mashitah Ibrahim yang berpendidikan tinggi agama kerana pernah membuat kenyataan mewajarkan wanita melacur kerana kesempitan hidup. |
Jangan dok penaya peniaga Melayu la woii... Posted: 26 Jan 2012 10:00 PM PST |
Tak gamak pulak aku nak bengongkan mamak nih... Posted: 26 Jan 2012 08:00 PM PST Mahathir yang jahil memalukan Malaysia PILIHAN EDITOR The Financial Times telah menyiarkan satu siri artikel yang bertajuk 'Capitalism in Crisis' (Kapitalisma dalam Krisis) pada bulan ini. Mahathir telah dipelawa untuk menulis untuk artikel ini dan ia mungkin ada kaitan dengan penglibatan beliau dalam krisis matawang di Asia Tenggara suatu masa dahulu. Atau mungkin FT hendak menghiburkan pembacanya dengan menyiarkan artikel yang kelihatan berat sebelah dan jahil seperti pandangan yang dijangka datang daripada sebuah negara membangun. Mahathir seperti biasa tidak akan melepaskan peluang memperbodohkan diri sendiri. Malangnya untuk Malaysia, beliau dijelaskan oleh FT sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia seraya memalukan kita semua. Memutarbelit fakta untuk menangkan kes Mahathir memulakan celoteh beliau dengan menegaskan bahawa Malaysia di minta menaikkan kadar faedah dan membiarkan bank dan syarikat yang tidak efisyen jatuh pada 1998 dan sungguhpun begitu, barat tidak mengikut nasihat merek sendiri semasa krisis 2008. Mahathir sebenarnya silap kerana membandingkan kedua-dua kejadian ini sebegitu. Matawang Malaysia diserang disebabkan beberapa faktor: >Dana kita yang terlalu rendah (USD28 billion), lebih rendah berbanding jumlah kapital boleh bergerak >Prestasi sektor kewangan yang menurun >Saham yang dibiayai secara hutang dan nilai tidak menentu hartanah > Kejatuhan tukaran matawang sebenar Kesemua faktor ini adalah disebabkan oleh pengurusan ekonomi yang lemah oleh Mahathir yang berdasarkan nasihat daripada beberapa orang tertentu yang dikatakan sebagai kroni beliau. Amaran daripada Menteri Kewangan dan Bank Negara, dua tahun sebelum krisis berlaku juga telah diperlekehkan oleh Mahathir. Krisis subprime AS telah disebabkan oleh sesuatu yang lain iaitu inovasi dalam kewangan. Tanpa inovasi, tiada satupun industri dapat mecapai kemajuan. Dalam kes ini, pensekuritian gadai janji yang dikenali sebagai gadai janji subprime disebabkan risikonya yang lebih tinggi. Sangat sedikit, termasuk US Federal Reserve Bank menjangka bahaya yang dijana oleh produk ini kepada sistem kewangan global. Kalau dah tak tahu memang dah tak tahu, jangan nampakkan diri macam orang bodoh Walaupun dengan dakwaan Mahathir, banyak bank dan syarikat AS yang bungkus termasuk Lehman dan Bear Sterns. Sekiranya pihak AS tidak masuk campur, suatu krisis ekonomi yang lebih teruk akan melanda dunia termasuk Malaysia. Mahathir juga mendakwa bahawa Malaysia telah pulih dengan lebih cepat daripada negara jiran. Ini tidak benar kerana hanya sedikit sahaja perbezaan dalam masa pemulihan. Dari segi kualiti pemulihan pula kita jelas lebih teruk daripada jiran kita. Dalam serangan terhadap industri kewangan, Mahathir mendakwa bahawa tiada pekerjaan, perniagaan dan perdagangan yang dicipta daripadanya. Ini semestinya tidak benar kerana industri kewangan memainkan peranan yang penting memantau agar simpanan untuk digunakan sebaik mungkin. Jika Mahathir merasakan bahawa tiada pekerjaan yang dicipta daripadanya, beliau haruslah melawat Kota London. Lebihan eksport telah menyumbang kepada 3% KDNK UK. Juga, akan tiada perniagaan atau perdagangan tanpa pihak bank mengadakan pinjaman untuk mereka yang memerlukan. Si buta memimpi si buta Mahathir juga tidak seharusnya cuba menjelaskan produk-produk kewangan yang kompleks yang ada dalam pasaran hari ini. Mereka mempunyai tujuan untuk meminimakan, menjaga nilai pelaburan atau menghindari turun naik yang besar. Jadi sememangnya kita memerlukan pilihan dan tukaran dan kemajuan dan juga masa depan. Mahathir kemudiannya mencadangkan agar Bretton Woods dihidupkan semula dan emas digunakan balik sebagai asas kepada kadar tukaran matawang. Jelas Mahathir tidak berminat untuk belajar daripada sejarah kerana sekiranya ya, beliau tidak akan mencadangkan sesuatu yang bodoh. Semasa krisis ekonomi 1930, Great Depression, ekonomi negara yang bergantung kepada standad emaslah yang paling lama mengambil masa untuk pulih (AS dan Britain). Ia juga bermaksud bahawa negara ini juga tidak lagi dapat mengawal polisi kewangan mereka. Simpanan wang akan bertambah dengan lebih cepat atau perlahan bergantung kepada penemuan emas. Jadi, tanpa penemuan emas, kita akan mengharungai deflasi yang akan akhirnya membawa kepada kesempitan ekonomi. Kejahilan dan kekurangan idea yang membawa kepada Mahathir mencadangkan perkara bodoh itu. Kita sepatutnya bersyukur kerana Malaysia sekarangn sudah bebas daripada pelan gila beliau atau kita akan dihantui masalah syarikat gergasi seperti Perwaja dan Proton. Tetapi malangnya beliau masih lagi mempunyai pengaruh besar dalam BN untuk idea gila beliau disokong dan dilaksanakan. Kearah kemusnahan ekonomi! Mahathir kemudiannya mencadangkan agar perdagangan matawang diharamkan. Jadi bagaimanakah untuk menentukan kadar tukaran matawang? Bersandarkan kepada pendapat Mahathir yang tidak seberapa itu kah? Perdagangan tukaran matawang memastikan agar harga sesuatu produk, katakanlah kacang, mempunyai harga yang sama di Malaysia dan juga di Korea Selatan jika mengandaikan tiada kos pengangkutan yang ditambah. Jika kacang di Malaysia adalah lebih mahal berbanding Korea Selatan, maknanya, permintaan untuk kacang tidak akan ada lagi. Hasilnya, kejatuhan ringgit sehinggalah harga kacang kembali sama di kedua-dua negara. Untuk menguruskan senario sebegini dan juga situasi lebih kompleks tanpa pasaran matawang adalah sangat sukar. Mahathir dan orang sepertinya masih lagi memegang kuasa dalam BN dan akan membawa kita kepada kemusnahan pada 2012 dengan menidakkan masalah yang sudah melanda kita. Untuk kita kekal berada dalam suasana ekonomi yang rasional; dialog, praktis dan polisi kita haruslah menyingkirkan BN dengan mengundi kerajaan yang baru. Ini kerana sekiranya tidak, ia akan membawa kepada kemusnahan ekonomi. Malaysia Chronicle |
Popular tak semestinya ber'TELOQ'... kahkahkah... Posted: 26 Jan 2012 06:00 PM PST Jika popular, kenapa Najib takut berdebat dengan Anwar? KUALA LUMPUR-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya tidak perlu takut untuk menyambut cabaran debat yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi beliau dikatakan lebih popular berbanding Ketua Pembangkang itu. Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor berkata, dengan populariti Najib yang dikatakan sedang meningkat naik, maka cabaran debat tersebut adalah peluang terbaik untuk beliau mengutarakan visi dan misi beliau. "Populariti Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan semakin baik dan mengalahkan populairiti Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dinyatakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. "Dengan populariti yang baik dan meningkat naik, tidak wajar Datuk Seri Najib melepaskan peluang ini untuk menerima pelawaan debat yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia," ujar Riduan. Menurut beliau lagi, banyak pihak sedang ternanti-nanti kedua-dua pemimpin utama negara itu bersemuka di atas satu pentas bagi melihat hujah yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut. Malah baginya, debat adalah suatu dimensi politik baru yang perlu diterokai oleh kedua-dua pemimpin negara ini. Suasana juga ujarnya sudah berubah di mana rakyat sudah semakin terbuka dan bijak dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima. Rakyat tegasnya memerlukan suatu saluran bagi mendapatkan suatu informasi berharga bagi menajamkan pemerhatian mereka terhadap politik negara dan debat terbuka adalah langkah terbaik untuk semua. "Jika selama ini, rakyat terbelenggu dengan hanya maklumat dari sebelah pihak sahaja. "Dengan cengkaman media yang berat sebelah, ditambah pula dengan propaganda yang memburukkan imej pemimpin pembangkang di negara ini sejak sekian lama, wacana debat adalah perlu bagi menilai pandangan kedua-dua tokoh terbabit," tegasnya. Mengulas lanjut, Riduan berkata, debat yang bakal dianjurkan ini bakal menjadi suatu peristiwa bersejarah kerana pemimpin negara berjiwa besar sanggup duduk semeja dan berhujah dengan Ketua Pembangkang. "Oleh itu, Datuk Seri Najib tidak perlu risau dan gentar bagi menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pentas perdebatan. "Yang diadili bukan siapa menang atau kalah, yang penting siapa yang benar dan siapa yang salah. Jika Datuk Seri Najib di pihak yang benar, apa yang perlu ditakutkan," soalnya tegas. -Harakahdaily |
Ayam berbulu disalut tepung? Pasai apa tak dedah nama restoran tuh... Posted: 26 Jan 2012 04:00 PM PST Ayam berbulu disalut tepung BUKIT MERTAJAM – "Saya tidak akan makan lagi di restoran itu," luah seorang pelanggan selepas insiden terjumpa bulu ayam pada hidangan makanan yang dibeli dari sebuah restoran terkenal, di sini. Ismail Halim, 45, berkata, dia membawa isteri dan tiga anaknya ke restoran berkenaan, kira-kira jam 12 malam Jumaat lalu dan memesan beberapa jenis hidangan, termasuk hidangan ayam itu. Menurutnya, kerana kekenyangan, dia membungkus hidangan ayam itu untuk dibawa pulang ke rumah, namun, pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa kerana ayam itu disalut dengan tepung. "Keesokan harinya (Sabtu) kira-kira jam 12 tengah hari, isteri saya, Rosmawati Mustafa, 45, mengeluarkan hidangan ayam itu untuk dimakan. "Bagaimanapun, ketika mengoyak lapisan tepung, dia terkejut apabila mendapati bulu ayam sepanjang kira-kira setengah inci masih melekat pada ayam itu, lalu menunjukkannya kepada saya," katanya kepada Sinar Harian. Ismail berkata, dia bertindak menghubungi restoran berkenaan melalui nombor talian mudah alih yang tertera pada kotak bungkusan bagi memaklumkan mengenai penemuan itu, namun, kecewa apabila kakitangannya mengambil sikap endah tak endah dengan meminta dia membawa ayam itu kembali ke restoran untuk ditukar dengan ayam baru. Tidak berpuas hati dengan respons yang diberikan, dia kemudiannya menghubungi nombor pejabat pula setengah jam kemudian, dan sekali lagi, dia kecewa apabila mendakwa kakitangan itu tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ismail berkata, dia kesal dengan pengurusan restoran yang seolah-olah bersikap lepas tangan dengan apa yang terjadi. Menurutnya, bukan soal wang yang difikirkannya kerana harga hidangan itu hanyalah sekitar RM14 sahaja, namun, apa yang ingin dituntut adalah permohonan maaf dari pihak restoran kepada keluarganya. "Sebagai sebuah restoran terkenal dan dikunjungi ramai pelanggan, sepatutnya mereka menjaga kualiti makanan yang dihidangkan, " katanya. Menurutnya, insiden itu menyebabkan isteri dan anak-anaknya yang memakan hidangan sama pada malam berkenaan menjadi loya dan trauma dek kerana teringat akan bulu ayam itu. Malah, kesannya masih terasa hingga ke hari ini dan mereka dilihat seperti sudah serik untuk memakan hidangan ayam. "Hingga hari ini pihak restoran tidak menghubungi saya untuk meminta maaf. Saya bukannya ingin menuntut ganti rugi, sekurang-kurangnya mereka hubungi saya dan minta maaf pada isteri dan anak-anak," katanya yang sudah dua kali mengunjungi restoran berkenaan sebelum kejadian. Ismail berharap apa yang terjadi ke atas keluarganya dijadikan pengajaran, dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menikmati hidangan di mana-mana restoran sekali pun. Dia juga berharap pihak restoran menjaga kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelanggan kerana ia mampu memberi kesan kepada tahap kesihatan. Sinar |
Hukum Mendedah Kesalahan Pemimpin Posted: 26 Jan 2012 02:30 PM PST Oleh Tolhah Mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian samalah hukumnya dengan mengumpat. Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang. Namun di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam. Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak. Kesimpulannya adalah seperti berikut 1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu akan dibanteras. 2. Perbuatan mengumpat ( mendedahkan ) itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat atau pendedahan tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran. 3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?" 4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya. 5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telahpun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum. 6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai. Kesimpulan Hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah UMNO pada hari ini adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut: 1. Kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemimpin UMNO pada hari ini seandainya tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan memilih UMNO sebagai parti yang memerintah. Namun apabila penyelewengan pemimpin-pemimpin UNMO didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemimpin-pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat. Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan mereka adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa oleh kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai pemutus kepada setiap keputusan negara. Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah dan umpatan yang dibenarkan: ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiah, seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada dibawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru, maka kita pada hari ini boleh untuk mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanahnya mereka terhadap Allah dan rakyat kerana rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di dalam pilihanraya di bawah sistem demokrasi pada hari ini. 2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimpinan UMNO pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir tersebut kepada rakyat dan orang awam. Al Iman Al-Ghazali berkata: وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telahpun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan. Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya. 3. Pendedahan kejahatan para pemerintah pada hari kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia. Penutup Walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran. Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran tertutup yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada rakyat , maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang itu. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat http://naunganalquran.blogspot.com/ |
You are subscribed to email updates from shalehudin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan