Rabu, 11 Januari 2012

shalehudin

shalehudin


UMNO kata gambaq ni 'photoshop'...

Posted: 11 Jan 2012 10:03 AM PST

Yang ajaq dia hanyalah ISLAM...

PKR tak belajar hargai kawan ka?

Posted: 11 Jan 2012 08:15 AM PST

Belajar Dari Pasca 901

Oleh MUHAIMIN SULAM

1. Muka rakan-rakan yang kembali dari tempat parking Mahkamah Jalan Duta semalam tidak ceria walaupun Anwar dibebaskan.

2. Makin tak puas hati, bila tiada adegan bertempur dengan FRU. Tiada hujan dari water cannon. Bubar dengan aman. Walaupun ada letupan buatan sedikit menggusarkan. Tapi umumnya, perhimpunan 901 adalah himpunan paling hambar. Hampeh betui, kata dema.

3. 'Tahniah, bos kau bebas' aku memulakan bersembang dengan rakanku di gerai hadapan pejabat Harakah. Kawan aku tu kurang selesa dengan kenyataan itu. Sebelum itu memang ada perbincangan siapa yang bakal penganti Anwar jika mahkamah memutuskan bersalah.
4. Antara senarai pendek yang disebut ialah Nizar Jamaluddin dan Husam Musa. Azmin agak ketinggalan. Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Hadi tidak disenaraikan kerana kedua-dua tokoh dilihat lebih sesuai sebagai pemimpin parti. Bang Mat Sabu dan Salahuddin mungkin setakat menteri kabinet.

5. Lalu pembebasan Anwar, perbincangan itu hanya menjadi satu sejarah akademik atau cakap politik kosong. Anwar kembali kepada posisi sebagai bakal PM (jika PR menang).

6. Pemecatan drastik Hasan Ali juga menambahkan unsur dramatik dalam politik tanahair. Betapa tindakan itu bersifat serampang dua mata yang menguntungkan politik PAS dan PR. Pendirian dan tindakan Hasan Ali dalam kondisi kini tidak menguntungkan. Hasan Ali mungkin menjadi korban ataupun ia harus melihat sebagai satu pengorbanan yang perlu dilakukan.

7. Walaupun Hasan Ali menyebut Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Hadi paling layak sebagai PM berbanding Anwar Ibrahim. Hasrat itu bukan bersifat terpencil tetapi sesuai sebagai sebuah sebuah parti besar, ia bukan sekadar impian kecil dan terpencil.

8. PR dan PKR khususnya perlu belajar dari pengorbanan teman-teman dalam PAS untuk keutuhan PR.

9. Itupun, jika PKR ingin belajar!

Mai baca tulisan pertama Adam Adli di Merdeka Review...

Posted: 11 Jan 2012 06:00 AM PST

Mengapa saya pilih jalan raya?

Adam Adli

Apabila saya dihubungi editorial MerdekaReview untuk menjadi kolumnis jemputan, saya seakan tidak percaya; kerana lebih kurang 10 minit sebelum dihubungi oleh pihak editorial, saya baru sahaja menyatakan hasrat saya untuk menulis di akhbar dan portal agar segala pandangan dan buah fikiran saya dapat dinilai seadilnya. Bukan sekadar di medium Twitter atau Facebook. Tidak lama kemudian, saya mula termenung; apa harus saya tulis? Saya pernah terbaca pesanan seorang penggiat sastera yang mengatakan "pertama, kita harus tulis apa yang orang mahu, kemudian barulah kita tulis apa yang kita mahu,". Saya cuba untuk menuruti pesanan beliau. Puas saya fikirkan, akhirnya saya buat keputusan. Reaksi kepada soalan-soalan yang sering diajukan kepada saya, saya fikir, ramai yang ingin tahu dan baca; mengapa saya pilih jalan raya.

Tahun 1997 dan 1998 tentu sekali tahun penting dalam lipatan sejarah Negara kita kerana pada tahun itulah kita menyaksikan mobilisasi manusia yang disifatkan paling besar pernah berlaku dalam sejarah moden tanah air. Dari situ saya mengenali jalan raya sebagai medium sebenar menyampaikan suara dan isi hati rakyat yang setiap satunya mungkin tidak pernah pun merasai sejuk hawa dingin bangunan Parlimen mahupun Putrajaya. Saya masih ingat, ayah saya juga antara demonstran tegar ketika itu. Setiap pagi Sabtu beliau pasti akan turun ke kota. Dengan hanya berkemeja-t dan berseluar jeans, dengan motosikal buruknya beliau akan ke sana. Pernah saya mohon untuk bersama, tapi dihalang beliau. Katanya bahaya.

Lebih kurang sepuluh tahun kemudian, saya mula kenal jalan raya. Bermula dengan demonstrasi menuntut hak air rakyat Selangor, segala persoalan mengapa ayah saya turun ke tengah kota hampir setiap minggu sepuluh tahun lalu terjawab.

Di tengah-tengah keringat ribuan manusia, saya seorang diri asalnya. Saya tidak kenal langsung siapa yang berada di situ. Usai demonstrasi tersebutlah baru saya kenal beberapa rakan baru yang kini bersama dalam satu barisan bernama Solidariti Mahasiswa Malaysia. Saya masih ingat, ketika itu, berdepan dengan trak FRU, sebagai "first timer", logiknya pasti saya memilih barisan paling ke belakang sekali. Namun entah dari mana saya dapat keberanian untuk menjadi benteng hadapan. Sekali lagi diulangi, saya hadir seorang diri tanpa rakan yang dikenali. Namun aneh, saya tidak pula rasa keseorangan. Dengan bergandingan bahu bersama beberapa anak muda mahasiswa yang lain, kami berdepan dengan tembakan water-cannon. Kami tidak berganjak dari tempat kami. Sehingga akhirnya diserang oleh anggota keselamatan barulah kami mula mangambil langkah berundur. Itu antara kenangan yang masih saya simpan.

Sejak dari itu, saya sering kemaskini diri saya dengan berita-berita mengenai himpunan dan protes jalanan. Protes jalanan bagi saya sudah menjadi pentas mulia, dan juga cara yang mulia untuk memurnikan jalan raya. Akhirnya, jalan raya "disalahgunakan" dengan sebab yang baik, berbanding "disalahguna" dengan tujuan lumba haram, meragut, merompak dan sebagainya. Saya tidak faham dengan orang yang menentang orang yang memartabatkan jalan raya sebagai wadah ekspresi suara sebenar rakyat.

Maka kita datang ke persoalan sebenar; mengapa jalan raya? Tenang rakan-rakan. Jika dikupas satu persatu risalah sejarah, kita akan akhirnya bertemu dengan catatan-catatan mengenai kuasa jalan raya. Dari kurun ke 16 hingga ke Occupy, kita faham bahawa jalan raya telah banyak berjasa kepada rakyat berbanding parlimen! Tidak hairanlah Guy Fawkes suatu masa dahulu pernah ingin meletupkan bangunan Parlimen! Saya sering tekankan kepada rakan-rakan; parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari. Maka jalan raya adalah ruangnya. Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!

Kempen BEBAS yang menuntut kebebasan akademik misalnya, sering dirujuk sebagai anarki jalan raya yang tidak bertamadun dan hanya untuk membuat kacau. Di sini kita lihat, dan dibuktikan; bahawa hanya bila kempen ini digerakkan di jalan raya baru masyarakat dan pak-pak menteri mahu mengambil tahu tentang kempen ini. Mereka ini pasti tidak tahu bahawa sepanjang setahun kempen BEBAS digerakkan sejak awal 2011, sudah belasan gerak kerja dijalankan; dari siri debat, forum, wacana, pidato awam, termasuklah sidang-sidang video dan proses surat-menyurat. Siapa yang mahu dengar? Tiada siapa pun. Walau antara yang pernah dijemput hadir ke program kami itu termasuk nama-nama besar seperti Anwar Ibrahim, Saifuddin Abdullah, Hisham Rais, Fahmi Reza, dan Aziz Bari, ia tidak mampu mencuri perhatian orang ramai. Realitinya, masyarakat kita adalah masyarakat yang paginya dihidang dengan akhbar tabloid. Kisah-kisah sensasi sahaja yang mampu mencuri tumpuan masyarakat. Dan protes jalanan adalah salah satu dari sensasi yang gemar dibincangkan di kedai kopi.

Saya menemui jawapan terhadap mengapa harus turun ke jalan raya apabila saya sendiri turun ke jalan raya.

Andai kata tiada protes jalanan, mahukah semua pihak; kerajaan, pembangkang, media, akademia,imam surau, tok siak, sami, paderi, nelayan, petani, buruh, tukang masak, suri rumah, malah pelajar sendiri ambil perhatian terhadap isu-isu yang dibawa? Tidak kiralah samada BEBAS, BERSIH, GMA, PPSMI, ISA, Anti-Lynas, HIMPUN,OccupyDataran dan sebagainya. Demonstrasi, protes, himpunan, dan jalan raya kini terbukti sebagai medium terbaik dalam menyampai suara dan keringat masyarakat. Pada yang masih memandang jalan raya sebagai cara tidak bertamadun dan merosakkan ketenteraman awam, anda perlu muhasabah diri. Tanya kepada diri anda, adakah suara anda yang mengutuk demonstran ini didengari? Jika tidak, apa yang anda mahu buat? Mungkin anda harus cuba turun ke jalan raya juga.

*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Baca la, sebuah berita pelik...

Posted: 11 Jan 2012 05:50 AM PST

PAS: Mengapa kumpulan 901 mahu letupkan diri sendiri?

Aidila Razak
Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata adalah "tidak masuk akal" bahawa ketiga-tiga letupan yang berlaku di perkarangan kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada hari Isnin lalu dilakukan oleh penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Iini kerana, katanya bom-bom berkenaan telah menyebabkan kecederaan kepada penyokong Pakatan sendiri dan merosakkan beberapa kenderaan mereka.

"Polis kena perjelaskan dari pihak mana. Takkan orang yang simpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang letak hingga kereta exco pun kena," katanya kepadaMalaysiakini.

Mahfuz merujuk laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini, yang memetik sumber polis mendakwa letupan dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan Kempen Bebas Anwar 901.

Selain kumpulan itu, turut mengadakan perhimpunan pada pagi yang sama adalah kira-kira 50 penyokong pengadu kes liwat II, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang terdiri kebanyakan mereka oleh ahli kumpulan pendesak Melayu, PERKASA dan Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah Malaysia (Pekida).

Kehadiran penyokong itu, di bawah panji Pertubuhan Permufakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), bagaimanapun juga mencetus kekecohan dan juga pergaduhan kecil apabila mereka berarak ke kawasan mahkamah tetapi berjaya dileraikan polis.

Mahfuz juga berkata kebocoran maklumat polis itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mahu siasatan dijalankan sebelum sebarang kenyataan lanjut dibuat.

Belum ada keputusan siapa ganti Hasan Ali

"Polis jangan begitu mudah buat andaian ia (letupan itu) dibuat oleh peserta (perhimpunan), katanya selepas mengumumkan perkembangan konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Star pada Sabtu ini.

"Saya percaya polis ada kamera? Itu sesuatu yang malang jika tiada kerana kita boleh lihat bagaimana kejadian berlaku," kata Mahfuz (dua dari kiri).

Tiga letupan berlaku berhampiran kompleks mahkamah pada Isnin lalu. Kejadian itu mencederakan lima peserta perhimpunan dan merosakkan beberapa kenderaan, termasuk yang dimiliki oleh wartawan, ahli politik dan peserta.

Mengenai langkah-langkah tambahan yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang di Alor Setar, hujung minggu ini, Mahfuz berkata: "Minta polis dapat kawal bukan sahaja di sana tapi juga di (semua) program biasa."

Ditanya wartawan, siapa yang akan menggantikan exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri kerajaan negeri Selangor Datuk Hasan Ali yang dipecat dari PAS Ahad lalu, Mahfuz berkata jawatankuasa pusat PAS belum membuat keputusan.

"PAS pusat tak buat keputusan lagi. Surat rasmi dah dihantar.

"Saya tak nak komen (pasal impak pada Pakatan) takut ia akan diputar-belitkan menjadi serangan peribadi. Tapi bagi PAS dan Pakatan akan teruskan perjuanagan," katanya sambil menambah Hasan telah menerima surat pemecatannya dan parti akan membuat keputusan apabila tiba masanya.

Korang nak masuk syurga ka tak nih...

Posted: 11 Jan 2012 04:40 AM PST

Nik Aziz minta wartawan, pemfitnah Anwar mohon maaf

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 10 jan: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa wartawan dan pihak yang menaburkan fitnah terhadap Datuk Seri Ibrahim, memohon maaf kepada ketua pembangkang itu.

"Wartawan-wartawan yang membuat fitnah terhadap Anwar Ibrahim ini, dia menanggung dosa besar. Dia tidak akan masuk syurga jika tidak minta maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," tegasnya.

Beliau menegaskan, secara jelas, Anwar tidak mungkin melakukan perbuatan terkutuk itu dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari yang merupakan seorang pemuda yang gagah.

"Kalau nampak pada zahir pun, nampak terang-terang jahat. Anwar ini fizikal dia, nak bawa diri pun teruk, duduk sakit, nak bangun lebih sakit lagi kerana belakang dia sudah dirosakkan (cedera) semasa dalam jel.

"Orang macam (Anwar) ini macam mana nak buat hubungan seks dengan orang muda. Orang muda boleh tendang Anwar Ibrahim kerana fizikal Anwar Ibrahim apa sangat. Tapi fitnah, fitnah, sudah 10 tahun," katanya lagi.

Dalam pada itu, Nik Aziz berkata beliau akan berpuasa sunat hari ini sebagai tanda kesyukuran di atas pembebasan Anwar.

"Saya sendiri akan melakukan solat sunat syukur dua rakaat malam ini dan akan berpuasa sehari esok (hari ini), insya'Allah," katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Mengenai keputusan hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah yang membebaskan Anwar dari tuduhan itu, Mursyidul Am PAS itu turut bersyukur kerana Allah swt membuka pintu hakim berkenaan.

"Kita bersyukur pada Allah swt kerana membuka pintu hati peguam dan hakim untuk membuat keputusan sebenar," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap politik fitnah di Malaysia selepas ini akan tamat.

"Allah berfirman, fitnah itu lebih teruk daripada membunuh.

"Jadi mudah-mudahan politik fitnah yang mulai tumbuh di Malaysia ini tidak akan berlaku lagi," katanya lagi.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan fitnah meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, kes itu mendedahkan pelbagai tembelang konspirasi, termasuk pertemuan sulit antara Saiful dan Datuk Seri Najib Razak beberapa hari sebelum membuat laporan polis.

Anwar pun dah agak dah benda nih...

Posted: 11 Jan 2012 02:40 AM PST

Kemenangan Anwar, Kekalahan Pakatan Rakyat?

MAAF, bukan niat penulis nak menyuramkan suasana kegembiraan yang sedang berlangsung berhubung pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi semalam.

Tapi berdasarkan analisa penulis dari laman-laman web pro UMNO sepanjang malam, penulis rasa perkara ini perlu disebut dan dibincangkan kerana tidak mahu semua kita terpedaya dengan agenda sebenar disebalik pembebasan ini.

Kebanyakannya blog pro UMNO yang penulis lihat menjadikan sikap hakim dalam menyampaikan keputusan pagi semalam sebagai alasan kenapa mereka percaya ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan membebaskan Anwar itu.

Dalam keadaan biasa hakim akan membaca penghakimannya terlebih dahulu sebelum membacakan keputusan, tapi pagi tadi hakim mengambil masa kurang 5 minit untuk membacakan keputusan dan memberi alasan ringkas, sebelum meninggalkan kamar mahkamah.

Perbicaraan ini berlangsung selama lebih 3 tahun tapi alasan ringkas hakim mencetus lebih banyak tanda tanya, seolah ada agenda lain disebalik pembebasan tersebut.

Hasil dari analisa penulis, banyak pihak dalam UMNO merasakan bahawa pembebasan Anwar adalah sebahagian daripada strategi licik Perdana Menteri Najib untuk memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang.

Semua orang tahu yang Najib adalah seorang yang cukup berhati-hati dalam permainan politik. Najib sudah melihat bahawa dengan menghantar Anwar ke penjara hanya akan memberi kesan yang teruk kepada prestasi BN dalam pilihanraya akan datang.

Jangkaan ini adalah berdasarkan fakta bahawa undi cina tidak akan lagi menyebelahi BN seperti mana Anwar pertama kali dipenjara pada 1999. Keadaan itu ditambah pula dengan undi simpati orang Melayu ke atas Anwar, akan menjurus kepada keadaan yang tidak diingini Najib.

Pada Najib setiap undi adalah penting, maka itu keputusan terbaik ialah dengan membebaskan Anwar.

Dengan membebaskan Anwar, Najib sebenarnya beroleh 2 keuntungan. Pertama, pada firasatnya imej Anwar akan semakin merosot kerana galak menuduh UMNO sebagai dalang disebalik konspirasi ke atasnya dan kedua UMNO sendiri sudah 'membersihkan' dirinya dari tuduhan mengawal kebebasan badan kehakiman.

Dengan pembebasan ini juga, Pakatan Rakyat sebenarnya sudah kehilangan antara isu penting yang boleh diketengahkan untuk menyerang pentadbiran Najib dan parti pimpinannya dalam keadaan sekarang dan dalam kempen pilihanraya umum akan datang.

Tanpa sedar, isu konspirasi politik dan badan kehakiman yang tidak bebas ini memberi banyak kelebihan kepada Pakatan Rakyat dan tekanan kepada BN.

Walaupun masih ada lagi isu berkaitan National Fedlot Corporation (NFC) yang boleh diketengahkan tapi penulis lihat isu itu mudah sahaja diredakan kalau Najib tidak mencalonkan Shahrizat dalam pilihanraya akan datang.

Penulis berpandangan, adalah sangat berbaloi untuk kepimpinan Pakatan Rakyat melihat semula agenda tersembunyi di sebalik pembebasan ini dari segenap sudut dan merencanakan strategi tindak balas yang sepatutnya.

Seseorang juga memaklumkan penulis bahawa pembaca berita TV3, Jay Jamalina yang tersasul menyebut nama Anwar sebagai Perdana Menteri itu bukan dengan tidak disengajakan, sebaliknya memang sengaja dirancang untuk menjayakan strategi tertentu.

Setakat mana benarnya berita itu, sama-samalah kita fikirkan.- SPR

MAI BACA!!! Surat terbuka buat ahli PERKASA

Posted: 11 Jan 2012 12:00 AM PST

PERKASA merupakan satu badan bukan kerajaan yang mempunyai semangat perjuangan membela Melayu yang tersangat ekstrem. Satu pertubuhan yang sangat menimbulkan keresahan kepada rakyat Malaysia yang sekarang ini sudah bergerak untuk membuang semangat perkauman.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali sering kali menimbulkan kenyataan yang menimbulkan perasaan benci dan meluat dengan telatah dan kata – katanya. Namun sedarkah ahli Perkasa bahawa anda sekarang sedang dipermainkan oleh Ibrahim Ali?

Tidak percaya?

Lihat pada perhimpunan raksasa rakyat BERSIH 2.0. Ketika puluhan ribu rakyat sudah bersiap – sedia mahu berhimpun, lihat sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau. Ugut – mengugut dengan mengatakan beliau akan turut bertempur dengan rakyat jika rancangan BERSIH 2.0 mahu berhimpun diteruskan. Mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan memimpin 50,000 ahli Perkasa untuk berperang dengan rakyat.

Tapi pada hari tersebut dimanakan beliau? Senyap dan duduk diam di rumah. Beliau menggesa anda semua keluar ke Tasik Titiwangsa, tapi di manakah beliau? Duduk diam di rumah.

Ketika perhimpunan 901 dirancang untuk diadakan, sekali Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan. Mahu mengerahkan puluhan ribu ahli Perkasa untuk berhadapan dengan rakyat yang mahu melihat Anwar Ibrahim dibebaskan. Mana dia ketika perhimpunan itu berlangsung? Diam menikus takut di rumah.

Tidak malukah anda semua mempunyai ketua yang penakut lagi bacul itu. Lihat sahaja pimpinan NGO yang memperjuangkan nasib rakyat. Mereka turun untuk turut serta berhimpun dan sanggup menghadapi risiko dibelasah oleh pihak berkuasa. Lihat sahaja pimpinan Pakatan Rakyat, mereka sanggup bersama – sama dengan rakyat dan mengambil risiko jika dikasari oleh pihak berkuasa.

Ibrahim Ali telah memalukan anda semua. Anda semua telah dikeji, dikutuk dan dihina hanya kerana keceluparan Ibrahim Ali yang berlagak berani tetapi sebenarnya penakut dan bacul.

Buat ahli Perkasa, sudahlah, berubahlah. Buangkan semangat perkauman dan gunakan keberanian anda untuk membela rakyat. Mari menyertai rakyat Malaysia yang mencintai keadilan dan menentang kezaliman.

HIDUP RAKYAT! - PASPB

PANAS!! Dahi Najib dah tak berkilat lagi... kahkahkah...

Posted: 10 Jan 2012 10:00 PM PST

Kahkahkah...
Kahkahkah... Kahkahkah...
Kahkahkah... Kahkahkah... Kahkahkah...

Najib tersepit ditengah-tengah... kahkahkah...

Posted: 10 Jan 2012 08:00 PM PST

Bebas atau penjara, Umno tetap tersepit

Ahmad Lutfi Othman,

Umno-BN dan Najib Razak memang jelas tersepit dan terperangkap.

Apa pun keputusan mahkamah terhadap kes Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini, Perdana Menteri masih sukar untuk menamatkan teka-teki tarikh pilihan raya umum, medan tempur paling sukar pernah dihadapi Pengerusi BN. Segalanya nampak serba tidak kena.

Sama ada Anwar didapati bersalah atau dilepaskan -- atau apa jua penghakiman yang bakal dibuat -- persepsi rakyat terhadap elit penguasa, terutama daripada segi pengaruh dan tekanan eksekutif terhadap mahkamah, tetap memburuk. Persepsi ini terbentuk kukuh sejak awal pemerintahan Dr Mahathir Mohamad lagi.

Apatah lagi dalam kes yang begitu kritikal dan dilihat mempunyai impak politik cukup tinggi, maka kehendak atau sekurang-kurangnya isyarat Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diremehkan. Malah, di negara-negara yang dikenali dengan sistem kehakiman berintegriti pun, kes-kes yang mempunyai implikasi besar politik sukar dijalankan secara adil.

Dalam konteks negara kita, Peguam Negara mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan. Beliau juga boleh memilih pertuduhan di bawah peruntukan undang-undang yang "disukainya". Jabatan Peguam Negara mempunyai kaitan erat dengan JPM.

Anwar sendiri mengakui, sekiranya Dr Mahathir masih berkuasa dan menyandang jawatan Perdana Menteri pada September 2004, belum pasti Mahkamah Persekutuan waktu itu akan membuat keputusan membebaskannya.

Manakan tidak, bagi seorang Dr Mahathir, parti Umno yang diterajuinya sendiri pun boleh diharamkan pada 4 Februari 1988 atas kemahuannya kerana itulah satu-satu pilihan yang ada bagi mengetepikan pencabarnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada persepsi umum, segala keterangan, bukti dan fakta kes adalah satu hal yang berbeda dan boleh diketepikan apabila dihadapkan dengan pertembungan kepentingan pemerintah, apatah lagi ia bersifat "hidup-mati" survival politiknya.

Sememangnya episod hitam-pekat pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, diikuti penyingkiran dua hakim Mahkamah Agung di zaman Dr Mahathir, sudah berlalu hampir 23 tahun lalu, namun tiada siapa berani menafikan tanggapan bahawa kebebasan badan kehakiman negara belum dapat dipulihkan.

Isu kongkongan -- atau istilah lebih lembut lagi, pengaruh -- eksekutif terhadap judiciary masih menjadi polemik yang tidak berkesudahan di Malaysia.

Jika penentuan pembubaran Parlimen empat tahun lalu difaktorkan oleh pertimbangan Abdullah Ahmad Badawi bahawa Anwar masih tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum 2008 (dan ternyata perkiraannya tersasar), maka kali ini Najib tetap melihat sosok Ketua Umum KeADILan itu sebagai kriteria terpenting.

Suka atau tidak, Anwar masih dikira watak paling dominan dalam percaturan siasah tanahair. Najib tentunya mahu mengurangkan risiko dalam menghadapi PRU13, yang disifatkannya sendiri sebagai "ibu segala pilihan raya". Soalnya, apakah dengan memenjarakan Anwar boleh memudahkan laluannya untuk mempertahankan Putrajaya atau tambah menyukarkan beliau, segalanya masih menjadi perdebatan.

Najib mungkin dilihat tidak "seganas" mentornya, Dr Mahathir -- dengan rekod terburuk menyerang para hakim yang tidak memihak kepadanya, juga melumpuhkan kebebasan kehakiman secara sistematik melalui siri pindaan Perlembagaan, dan mengetatkan undang-undang yang sedia zalim -- tetapi situasi sulit yang terpaksa dilaluinya memaksa orang ramai menaruh sangkaan buruk terhadap Perdana Menteri keenam itu.

Kes Fitnah II Anwar diselubungi dengan pelbagai keanehan. Fakta kes yang dibentangkan di mahkamah sarat dengan bermacam-macam persoalan yang gagal terjawab.

Justeru, persepsi umum bahawa Anwar teraniaya cukup tebal. Kes liwat membaitkan Saiful Bukhari Azlan tetap dianggap semata-mata kes politik dan bukannya kes jenayah, sepertimana kes Azizan Abu Bakar dahulu. Ditambah lagi dengan pembabitan, secara langsung mahupun tidak langsung, personaliti politik, termasuk Najib, dan pegawai polis tertentu, yang dikaitkan dengan kes Fitnah I dahulu, khususnya Musa Hassan dan Rodwan Yusof.

"Sikap doule-standard kerajaan Ummno jelas dalam kes Anwar. Dan jangan perbodohkan rakyat dengan mendakwa himpunan 901 adalah sokongan membuta-tuli kepada peribadi Anwar. Ini perjuangan panjang rakyat menuntut perubahan," SMS seorang pembaca Harakah kepada saya.

Penghakiman kes Anwar ini melanjutkan lagi dilema berpanjangan Najib. Walaupun beliau cuba melakukan pelbagai bentuk transformasi, namun belantara politik yang diredah semakin memerangkapnya. Kes Shahrizat Jalil, Jamil Khir Baharom, Awang Adek Hussin adalah contoh kecil yang tidak mudah ditanganinya.

Imej kelam-suram Umno-BN yang ditinggalkan Abdullah belum berjaya diceriakannya. Pelbagai bantuan one-off yang diumumkan dalam Belanjawan 2012 di tengah suasana ekonomi yang tidak menentu, dengan bebanan hutang negara yang begitu tinggi, tidak pula menarik simpati rakyat kepada Najib.

Sebaliknya ramai bertanya, mampukah kewangan negara bertahan lebih lama jika Najib meneruskan "keborosannya membeli undi" melalui bantuan one-off itu, sedangkan beliau sendiri curiga untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, bagi mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen.

"Najib perlu adakan pilihan raya segera selepas segalanya dicurahkan untuk menarik sokongan pengundi. Kalau lambat, orang akan lupa jasa baiknya itu. Dari mana nak dikorek duit lagi untuk beli undi itu. Lagi pun rakyat semakin bijak memperhatikan gelagat BN menggunakan wang negara," kata seorang pensyarah sains politik.

Sementara pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, dijangka terus menjauhi BN, penghakiman kes 901 ini dilihat boleh mempengaruhi kecenderungan masyarakat Muslim. Secara automatik ramai merujuk situasi 1998-99, pada era reformasi, sebagai kemungkinan majoriti pengundi Melayu kembali memberi simpati kepada Anwar.

Sama ada penghakiman ataupun perhimpunan 9 Januari ini, kedua-duanya adalah "aksi politik" yang dipersembahkan oleh Najib dan Anwar ...

Bekas Ketua Pengarang NSTP, A Kadir Jasin yang juga merupakan blogger yang aktif, menyenaraikan beberapa "kalau" dengan penghakiman 9 Januari, antaranya: "Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah Dun Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang, dan alau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999."

Seingat saya, dalam satu wawancara dengan Harakah, Tengku Razaleigh Hamzah pernah membayangkan kedudukan Umno dijangka lebih sulit sekiranya Anwar sekali lagi dipenjarakan, dan rakyat khususnya orang Melayu mungkin menjadi lebih bersimpati dengan Ketua Pembangkang itu.

Bukan sahaja berbanding PRU10 pada November 1999, malah Pakatan Rakyat tentunya lebih bersedia menghadapi pilihan raya kali ini, mengatasi persiapannya empat tahun lalu. Ketika itu, Pakatan sendiri belum ditubuhkan secara rasmi, meskipun persefahaman sedia terjalin di antara ketiga-tiga parti, PAS, KeADILan dan DAP.

Selain itu, sumber, kemudahan, jaringan dan potensi Pakatan ketika ini tentunya lebih baik. Apatah lagi rakyat dapat menilai dan menghakimi pemerintahan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan, yang tentunya lebih telus, terbuka, demokratik dan antirasuah.

Lebih penting adalah kesederhanaan gaya hidup pemimpin-pemimpinnya, sedangkan masyarakat dapat menyaksikan perubahan drastik kehidupan pemimpin Umno selepas dipilih menjadi wakil rakyat.

"Apa pun, jangan hanya pandang daripada segi kelebihan," kata seorang penganalisis politik. "Peluang memerintah tidak semestinya memihak Pakatan. Ingat, PAS pernah kalah di Terengganu selepas sepenggal mentadbir. Apakah kerajaan Pakatan telah memenuhi harapan dan impian rakyat atau masih banyak yang terabai? Pakatan mesti nampak berkredibiliti dan berintegriti."

"Saya tidak bimbang sama ada Anwar akan dapat berkempen dalam PRU13 atau menggerakkan strategi bersama rakan-rakan dalam Pakatan. Keinginan rakyat untuk berubah cukup tinggi, melampaui faktor Anwar. Saya hanya risau prestasi kerajaan negeri Pakatan sejak 2008, begitu juga rekod kerja wakil-wakil rakyatnya. Lagi pun banyak kerusi yang menang dulu dengan majoriti tipis," tambah rakan saya itu.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, 5 Januari lalu, Anwar yakin Pakatan dapat menumbangkan BN di Perak dan Negeri Sembilan dalam PRU13, selain mempertahankan negeri sedia ada. Timbul persoalan, mengapa pula Terengganu tidak dirangkaikan bersama?

Namun, ujarnya, Pakatan akan tetap berjaya meraih lebih banyak kerusi di Melaka dan Johor, serta laba yang lebih besar di Sarawak dan Sabah.

Anwar juga yakin sekiranya beliau terkeluar dari arena politik aktif sekalipun, Pakatan akan tetap mampu mengemudi jalan ke Putrajaya.
Ini kerana, menurutnya, Pakatan sudah ada formula dan kata sepakat tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya keputusan 901 tidak memihak kepadanya.

Dalam ceramah di Melaka, pada 4 Januari lalu, Anwar menegaskan, keputusan sama ada beliau dipenjarakan atau tidak, adaalah tidak penting, namun apa yang dinantikan adalah keputusan rakyat menilai dan membuat pilihan pada pilihan raya akan datang untuk merubah kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengaitkan perkembangan di dunia Arab, khususnya Tunisia sebagai bukti rakyat boleh bangun menukar regim pemerintahan walaupun tanpa mempunyai seorang ketua yang jelas.

Beliau yakin, impian Umno untuk melihat lumpuhnya kebangkitan rakyat dengan keputusan perbicaraan Anwar itu akan hangus terbakar dengan berapi-apinya semangat 'Asal Bukan Umno' (ABU) yang tidak lagi bergantung kepada mana-mana pemimpin.

Pengasasan budaya politik baru, dengan pertumbuhan kelas menengah yang lebih besar dan kemudahan jaringan maklumat melalui kuasa siber, memantapkan lagi keazaman politik rakyat untuk menolak penguasa yang terbukti korup dan bobrok.

Kebangkitan suara mahasiswa, seperti yang dijelmakan dalam kes Adam Adli dan Safwan Anang, menjanjikan kesedaran politik generasi muda yang lebih matang.

Ya, apa pun keputusan mahkamah Isnin ini, sukar sekali bagi Najib untuk meraih manfaat politik daripadanya.

Tak habih2 hangpa dok kena kencing... kahkahkah...

Posted: 10 Jan 2012 06:00 PM PST

Kesihan Ahli Perkosa, Tertipu Lagi

SEBELUM ini saya sudah banyak menulis tentang Berahim al-kataki Presiden Perkosa ini. Sebelum itu, mari kita baca apa kata sebuah portal pro Umno, Umno-reform2 yang menulis. "Adakah benar Presiden Perkasa, dalam usaha menangani kehadiran mereka yang menyokong Anwar Ibrahim dengan mahu mengadakan perhimpunan Perkasa dan memberi amaran kepada perhimpunan BEBAS – tidak hadir pagi tadi? Mungkin laporan (sini) menipu namun kita perlu tahu hakikat sebenarnya – adakah Ibrahim Ali hadir pagi tadi. Ahli UMNO – perlu jelas dalam mengambil Ibrahim Ali sebagai pemimpin mereka dalam Perkasa(Umno-reform 2).

Jika di dalam media, terutamanya di TV 3 suku atau Utusan Meloya, Berahim alkataki ini kalau bercakap bagai `hali-lintar', maklumlah beliau selalu memegang keris panjang dan songkok tinggi. Sewaktu BERSIH 2.0 dahulu, Berahim al-kataki umpama `Pendekar Mustar' di dalam filem `Pendekar Bujang Lapok'. Hebat, garang dan bergaya lagaknya. Waktu itu, beliau beri amaran kepada BERSIH agar bersedia untuk berdepan dengan Perkosa jika BERSIH tetap ingin berhimpun.

Apabila tiba masanya, batang hidung raja katak ini langsung tidak kelihatan. Tertipu lagi budak-budak dan orang-orang tua di dalam Perkosa. Perkosa entah ke mana, kumpulan Silat di bawah Omar Din pun ghaib ke mana.

Terbaru, kempen 901 semalam untuk menyokong DS Anwar sewaktu hari keputusan kes fitnah liwat II terhadap Ketua Umum PKR itu, Berahim alkataki sekali lagi dengan garangnya memberi amaran kepada penyokong-penyokong DS Anwar agar bersedia untuk berhadapan atau menerima provokasi dari pihak songkok tinggi. Beliau ingat kita di dalam PR takut hanya dengan seekor raja katak beserta beberapa ekor lagi pencacainya? Mereka silap besar.

Perhimpunan penyokong-penyokong DS Anwar telah diadakan di tempat letak kenderaan di luar perkarangan Mahkamah Jalan Duta. Sejak awal pagi lagi penyokong-penyokong DS Anwar mula memenuhi ruang di situ, dan khabarnya kumpulan Berahim Ali akan berkumpul di Masjid Wilayah. Tujuannya apa? Masakan hadir untuk menonton sahaja? Sudah tentu Berahim alkataki ada perancangan `mulia' untuk melakukan sesuatu kepada para penyokong DS Anwar.

Malangnya, sekali lagi ahli-ahli Perkosa diperbodohkan oleh raja katak. Semalam, usahkan batang hidung, songkok tinggi Berahim Ali pun tidak kelihatan. Di mana beliau menyorok waktu itu? Ada yang berkata, raja katak tidak dapat hadir kerana tiada hujan. Lazimnya, jika mahu hujan katak-katak akan bising berbunyi. Oleh kerana waktu itu tiada hujan, maka Berahim alkataki pun tidak hadir di sekitar mahkamah. Penakut rupanya si Berahim.

Saya nampak geng-geng Perkosa tidak sampai pun 50 orang berada di perkarangan Masjid Wilayah sementara menanti raja katak, bos mereka. Malangnya, Berahim alkataki tidak menunjukkan taringnya yang tumpul itu. Entah di mana kali ini beliau menyorok atau berada di bawah tempurung. Kesihan budak-budak dan bapa budak yang kerap sangat tertipu dengan Berahim alkataki ini.

Sahih dan nyata, Berahim alkataki penakut dan bacul selama ini. /wfauzdin.blogspot.com

Terlerai ayaq mata jantan gua...

Posted: 10 Jan 2012 04:00 PM PST

Pembebasan Anwar: Azizah: Terlerai derita dari tubuh dan jiwanya


KUALA LUMPUR, 10 Jan — Malaysia dikejutkan dengan berita Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebas dan dilepaskan mahkamah semalam daripada pertuduhan meliwat Saiful Bukhari.

Namun begitu, bagaimana pula perasaan insan yang paling dekat dengan Anwar, menghadapi saat-saat penentuan tersebut, saat penentu untuk keluarga mereka.

Di sebalik kegembiraan penyokongnya terhadap pembebasan Anwar, tiada yang terfikir perasaan seorang wanita yang bergelar isteri kepada Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Editor Sinar Harian, Mazlinda Mohd Nor dalam satu temuramah eksklusif telah mengungkap perasaan wanita tabah itu di sebalik khabar gembira tersebut.

Dalam temuramah tersebut, Azizah menceritakan saat-saat di pagi Anwar akan menghadapi keputusan liwatnya di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur 9 Januari-semalam-detik ketika Anwar bersiap untuk ke mahkmah dan sayu seorang isteri-yang mungkin tidak berkesempatan untuk bersarapan bersama selepas itu.

"Abang Nuar sudah siap berpakaian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplement yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.

Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?"

Hati Azizah (gambar) seakan tidak tenang dalam menghadapi berita yang mungkin mendukacitakan buat keluarganya.

"Ya Tuhan. Jauhilah kami dari berita duka itu."

Namun begitu, sebagai seorang suami, Anwar seperti memahami garisan wajah di muka Azizah.

"Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama," kata Anwar Ibrahim kepada Azizah, di pagi penentuan segala-galanya buat keluarga itu.

Keluarga mereka sudah terlalu banyak menerima dugaan sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecilnya.

Namun Azizah tetap yakin, Allah hanya menduga umatnya setakat mana umatnya itu mampu untuk menahan dugaan tersebut.

"Ya Rahman ... jika ini laluan yang Engkau tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan."

Hidup keluarga pasangan Azizah dan Anwar telah teruji sejak dua setengah tahun lalu, ibarat seperti mati perlahan-lahan menurut Azizah.

" Fitnah memang racun yang membunuh"

"Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati Tuhan. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan," kata Azizah.

"Ya Allah ... Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan, berilah kami kemuliaan.

Disebalik kepasrahan menghadapi segala kemungkinan itu, Azizah dikuatkan semangat dengan kehadiran semua anak dan menantunya yang sudah bersiap sedia menghadapi detik 9 Januari 2012.

"Ini juga kebesaran Tuhan. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu".

Anak-anaknya tenang keluar menemani ayah mereka untuk keputusan mahkamah tersebut.

"Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama".

Hatinya terkenang saat pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sebelumnya. Mereka kelaparan dan menikmati juadah sekeluarga di rumah.

"Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa."

"Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?"

"Ya Rahman ... Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan, jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!"

Sepanjang perjalanan ke mahkamah, Azizah tidak pernah berhenti berdoa. Dia mengharapkan kemungkinan yang bermain di fikirannya akan menjadi suatu kejutan atas kekuasaan Tuhan.

Sampainya di kawasan Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta, ia sudah penuh dengan manusia. Azizah mengakui dirinya gementar melihat keadaan itu.

Namun dia bulatkan tekad dan menghampiri bangunan yang mungkin bakal mengubah nasib keluarganya sekali lagi selepas 1998.

"Kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan."

Namun begitu, hatinya berbolak-balik dan menjadi tidak keruan apabila melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

"Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?" Persoalan itu bermain di benaknya.

"Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah... walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda."

Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.

"Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan." Kata Hakim yang membacakan keputusan kes.

Azizah bersyukur apabila hakim membacakan keputusan yang memberi makna yang paling besar dalam hidupnya.

"Ya Allah... rahmat apakah yang Engkau berikan kepada kami, terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini."

"Abang Nuar bebas!"

Waktu itu, jelas Azizah, seisi keluarganya termasuk anak-anak dan menantunya menangis kesyukuran.

Dia memeluk erat tubuh suaminya dan dibalas dengan pelukan yang kejap.

"Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada Allah"

Saat itu, Azizah terasa segala derita dan sengsaranya bagai terlerai dari tubuh dan jiwanya.

"Ya Allah, Engkaulah sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu, dan lebih mengetahui".

"Syukur Ya Allah kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira."

Tambah Azizah, dalam perjalanan pulang dari mahkamah, mereka singgah di Masjid Segambut untuk menunaikan solat Syukur tanda terima kasih dan bersyukur kepada Allah di atas pembebasan Anwar.

Dadanya terasa lapang dan lega terhadap pembebasan Anwar hari itu.

"Terima kasih Ya Allah, Engkau jawab munajat kami, Engkau lerai derita kami."

Ikhlas dari Anwar Ibrahim

Posted: 10 Jan 2012 02:30 PM PST

Catatan Anwar dari Mumbai

Saya dan Azizah tiba di Mumbai dan menuju Panchgani sebagai tetamu kepada sahabat lama, Rajmohan Gandhi, penyala obor perjuangan datuknya, pejuang besar India Mahatma Gandhi.

Lebih tiga bulan lalu saya berjanji untuk bersama beliau menyemarakkan semangat perjuangan Gandhi bagi menegakkan demokrasi yang mempedulikan nasib rakyat serta menolak kezaliman dan rasuah.

Sepanjang dalam perjalanan selama tiga jam, saya menerima ribuan panggilan telefon, mesej dari Twitter dan Facebook, komen di blog serta SMS dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan dunia yang menyatakan kesyukuran dan rasa gembira.

Fikiran saya melayang mengenangkan wajah gelisah, sedih, derita keluarga dan rakyat terutama di saat cemas menunggu penghakiman pagi semalam.

Alhamdulillah, saya bersykur kerana setelah sekian lama difitnah dan diaibkan oleh pemimpin dan media Umno, Hakim Dato' Zabidin Mohd Diah memutuskan -- berlandaskan undang-undang dan fakta -- bahawa dakwaan seseorang tanpa saksi dan sebarang bukti sokongan adalah tidak dapat diterima. Malah keterangan forensik dan DNA yang dikemukakan pihak pendakwaan turut dipertikaikan kesahihannya.

Saya tidak berhasrat menyingkap permasalahan lalu atau memberikan sebarang tafsiran mengapa penghakiman mengejutkan ini berlaku. Walaubagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana saya bebas dari fitnah jahat sedemikian.

Kasih sayang Azizah dan keluarga; kesetiaan rakan-rakan KEADILAN; dukungan PAS dan DAP; para reformis dan sokongan dan iringan doa rakyat bukan saja ibarat penawar malah membajai penyuburan semangat dan daya juang saya.

Seperti lazimnya saya tidak cenderung untuk merintih kisah derita silam malah sedia memaafkan. Hanya yang dimasyghulkan ialah kebiadaban gerombolan kecil termasuk media UMNO yang berdendam kesumat dan terus memfitnah saya.

Saya ingin mengajak saudara-saudari bersama rakyat Malaysia untuk melonjakkan perjuangan menuntut kebebasan rakyat; pemerintahan yang telus dan adil; ekonomi yang dipacu segar tetapi mempedulikan nasib rakyat serta menolak keangkuhan kuasa dan rasuah.

Kami sekeluarga amat terharu dengan luahan simpati dan dukungan semua. Semoga usaha murni kita bersama direstui dan diberkati Allah SWT.

Ikhlas dari,
Anwar Ibrahim

Najib terlupa Tuhan tu ada...

Posted: 10 Jan 2012 01:00 PM PST

Konspirasi Umno terhadap Anwar pincang- Dr Muhammad Nur Manuty

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 10 Jan: Keputusan mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan betapa pincangnya konspirasi yang dirancang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau menepis kenyataan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa keputusan itu telah membersihkan kerajaan dari dakwaan konspirasi.

Kenyataan sama turut dikeluarkan pimpinan Umno, termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa keputusan mahkamah itu menunjukkan dakwaan konspirasi selama ini, tidak wujud.

Sebaliknya, kata Muhammad Nur, mahkamah tidak dapat menerima bukti-bukti yang dikemukakan pihak pendakwa kerana perancangan yang dilakukan tidak sempurna dan pincang.

"Terbukti, konspirasi yang diatur sebegitu rupa dengan memperalat hampir segenap agensi kerajaan sejak sekian lama tetap gagal dan pincang.

"Mengapa? Kerana Najib dan para konsporatornya lupa Firman Allah Dalam surah Ali-Imran ayat 54 yang bermaksud, "Mereka merancang, Allah juga merancang, Sesungguhnya Allah ialah sebaik-baik perancang," katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Beliau turut membidas kenyataan pimpinan Umno yang mendakwa kononnya keputusan mahkamah itu menunjukan sistem kehakiman negara sudah bebas.

"Kita akui hakim ada sedikit keberanian membuat keputusan namun nak kata sistem kehakiman bebas sepenuhnya belum tentu lagi.

"Mungkin mereka yang turut terlibat dalam konspirasi ini sudah muak kerana turut bersubahat walaupun mereka tahu kes Anwar ini tiada asaspun untuk melakukan pendakwaan," tegasnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan fitnah meliwat pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, yang dilihat konspirasi kedua terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

Ia berikutan bukti-bukti yang dikemukakan peguam di mahkamah, termasuk pertemuan Saiful dan Najib beberapa hari sebelum membuat laporan polis mengaku diliwat.

Malah, keterangan saksi-saksi pendakwa juga dilihat tidak konsisten sepanjang lebih dua tahun perbicaraan itu berlangsung.

Tiada ulasan: