Politiksukusakat |
BANTAH LYNAS, PAS kerah ahli turun Himpunan Hijau 2.0 26 Februari ini Posted: 26 Jan 2012 11:47 PM PST WAN NORDIN WAN YAACOB KUALA LUMPUR, 27 Jan : PAS akan mengerahkan ahlinya bagi menyertai Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan pada 26 Febuari ini kata Timbalan Presidennya, Mohammad Sabu. Himpunan Hijau 2.0 akan diadakan sebagai suatu insiatif rakyat yang komited menuntut keadilan dan hak alam sekitar dalam membantah projek pembinaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang. Menurut Mat Sabu, himpunan itu diadakan setelah melihat pelbagai usaha menyuarakan pandangan sebelum ini tidak diendahkan kerajaan dan juga pemaju, Lynas Corporations Sdn Bhd. Syarikat yang dimiliki negara asing itu dilihat tidak menghormati sensitiviti dan kepentingan alam sekitar rakyat Pahang khasnya dan Malaysia amnya, kata beliau. Beliau berkata demikian semasa menyertai sidang media bersama NGO dan parti-parti politik di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja laut 27 Januari lalu dalam mengumumkan Himpunan Hijau 2.0 tersebut. Turut serta ialah, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamarudin; Jurucakap NGO Himpunan Hijau, Bang Seet Ping dan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkefly Mohammed Omar. Himpunan yang bertemakan Langkah Bestari "Pilihan di tangan kita" bakal disertai pelbagai lapisan masyarakat dan dijangka menghimpunkan lebih 30,000 peserta. Mengulas lanjut, Mat Sabu berkata, rakyat negara-negara dunia ketiga hari ini sukar untuk memahami isu-isu alam sekitar, tidak seperti di negara maju. Mujur ada NGO yang sanggup turun padang menyedarkan rakyat yang akhirnya hari ini mampu memikirkan persoalan pentingnya menjaga alam sekitar dan hak-hak alam sekitar, katanya. Sementara itu, mengulas isu yang sama, Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, tindakan mengadakan himpunan itu bukanlah suatu solusi akhir kerana kempen mempastikan Lynas dihentikan akan berterusan. Ditanya samada himpunan ini bermotifkan politik, beliau berkata, pihak penganjur menjemput semua pihak yang mencintai alam sekitar menyertainya. Ini kerana, himpunan itu adalah suatu platform kepada rakyat menyatakan sikap mereka terhadap suatu isu yang memberi kesan besar kepada kesihatan rakyat, kata Tuan Ibrahim lagi. Bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, himpunan yang dianjurkan Himpunan Hijau 2.0 ini bukanlah seperti himpunan aman atau demonstrasi yang sebelumnya (membabitkan perarakan). Sebaliknya, himpunan pada 26 Februari ini diadakan dengan peserta menyertai pelbagai program yang sangat santai tanpa perarakan dalam menyampaikan mesej mereka kepada kerajaan, katanya. "Himpunan ini bukan demonstrasi, tidak berarak sebaliknya hanya berkumpul setempat dan akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.Tiada perarakan dan tidak akan melibatkan kesesakan lalu lintas, jadi tiada masalah untuk polis beri kebenaran," katanya yang juga Pessuruhjaya PAS Pahang. PM diberi amaran Kumpulan Himpunan Hijau memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak untuk mengarahkan Lynas Corporations mengentikan segera projek Loji Nadir Bumi di Gebeng, Kuantan. Kumpulan itu yang sedang mempromosikan penganjuran Himpunan Hijau 2.0 memberi amaran, jika Perdana Menteri enggan berbuat demikian, kesannya adalah semasa pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata Setiausahanya, Bang Seet Ping. Menurut Seet Ping, pengundi di Gebeng dan Kuantan tidak teragak-agak untuk tidak memberikan undi kepada kerajaan memerintah jika masih membiarkan rakyat dizalimi dengan projek yang membawa kesan negatif ini. Seet Ping mahu, Najib dan kabinetnya segera membuat keputusan sebelum PRU-13 bagi menghentikan pembinaan loji itu yang bakal memangsakan lebih 700,000 penghundi sekitar. Beliau juga berkata, pihaknya komited dalam keadilan alam sekitar dan kemanusiaan serta akan berusaha menyelamatkan rakyat Kuantan daripada berhadapan dengan risiko pembinaan LAMP. Bantahan ke atas projek Lynas adalah kerana mengambil berat masa depan generasi muda dan kesihatan rakyat secara keseluruhannya, katanya. "Kita tidak akan membenarkan kedatangan sebuah syarikat asing yang membahayakan nyawa anak cucu kita. Tanpa persetujuan rakyat, kilang-kilang sedemikian tidak akan dibenarkan untuk beroperasi," katanya lagi. Sehubungan itu, Seet Ping berkata, Kumpulan Himpunan Hijau 2.0 mengajak semua pihak tanpa mengira kaum, agama dan parti politik menyertai himpunan tersebut yang berlangsung dalam keadaan santai. Beliau juga memaklumkan, himpunan tersebut mungkin diadakan dihadapan Majlis Perbandaran Kuantan berdekatan dengan Masjid Kuantan. Namun, pihaknya bersedia mengalih lokasi jika pihak berkuasa merasakan kawasan tersebut kurang sesuai, katanya. Beliau memberi jaminan, permohonan permit akan dibuat bagi tujuan himpunan itu dan menegaskan bahawa himpunan itu diadakan tanpa perarakan. Fakta hujah Projek Lynas harus dihentikan -Keputusan yang dibuat oleh individu untuk mengeluarkan lesen pembinaan kilang tersebut pada tahun 2008 dibuat tanpa pengetahuan orang awam, termasuklah rakyat Pahang itu sendiri. - Kilang pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, peluang pekerjaan yang dibuka adalah sebanyak 350 sahaja. Langsung tak berbaloi dan tidak akan memberikan impak ekonomi yang diharapkan. - Kerajaan memberikan pengecualian cukai selama 12 tahun meskipun industri ini menghasilkan sisa buangan radioaktif yang dianggarkan akan membuat untung berbillion ringgit pada tahun pertama pembukaannya. - Menteri Western Australia, Hon Norman Moore memaklumkan sisa buangan radioaktif itu adalah milik Malaysia dan tidak akan diterima balik oleh Australia. -Lokasi yang terlalu dekat dengan kawasan kediaman. Jarak 2 km dari Balok dengan kepadatan penduduk seramai 16700 orang. Jika diambil kira keluasan evakuasi di Fukushima dengan jarak 40km dari Gebeng Kuantan, kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. - Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang. Syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia adalah minima 35 km dari kawasan penempatan penduduk. - Denda RM50 juta seperti yang termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom Perenggan 59 (1) untuk setiap bencana kepada Lynas dilihat cukup ringan berbanding hasil RM8 Billion setahun. Hanya satu bencana yang melibatkan sisa radioaktif memadai untuk menjadi ancaman yang serius dan kekal lama kepada semua.Kesan terhadap penduduk di kawasan sekitar kilang tersebut (Kuantan & Kemaman khususnya): - Nilai hartanah akan merudum kerana tiada siapa yang mahu membeli tanah atau kediaman di sekitar Kuantan dan di Kemaman. - Ancaman kepada syarikat berdekatan khususnya Petro-Kimia seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals. Kerugian yang besar jika operasi mereka terganggu dengan insiden kebocoran sisa radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan pekerja mereka. - Pelabur baru dari luar negeri dan dari luar negara tidak akan berminat untuk melabur kerana ancaman sisa radioaktif daripada Lynas. Risiko terlalu tinggi. - Sektor pelancongan (Cherating) & perikanan (Kuantan) kemungkinan besar akan terjejas.Nadir bumi yang dilombong di Mount Weld mengandungi beberapa mineral utama dan diantaranya ialah monazite. Monazite adalah bahan radioaktif. Di dalam bahan mineral monazite ini terdapat thorium, cerium dan lanthanum. Monazite kaya dengan thorium dan thorium ini juga adalah bahan radioaktif yang tinggi dan boleh digunakan untuk menggantikan uranium dalam menghasilkan tenaga nuklear. Berikut adalah kes-kes yang berkait rapat dengan thorium: - Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan nadir bumi di Bukit Merah dikaitkan dengan 8 kes leukimia dan 7 kes kematian. Telah ditutup pada tahun 1992 dan kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan sehingga ke hari ini (hampir 20 tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta. - Kesan toksik dan radioaktif dari industri 'rare-earth' di Baotou Mongolia. Setiap langkah pemprosesan nadir bumi yang bermula dari perlombongan bijih ke 'rare earth oxide' atau 'rare-earth metals' banyak menggunakan bahan asid dan kimia. - Malah ketika perlombongan bijih, bahan asid akan dimasukkan ke lubang yang digali. Sisa buangan radioaktif khususnya Thorium juga dihasilkan ketika melalui semua proses itu. -Kebocoran bahan asid, kimia dan sisa radioaktif ini yang banyak berlaku di Baotou terbukti telah menyebabkan kemusnahan kepada hasil pertanian dan kesihatan seperti kerosakan hasil tanaman, gigi tercabut dan rabut putih atau beruban diawal usia muda sekitar 20-an. - Malah kematian disebabkan kanser juga direkodkan walaupun lokasi penempatan penduduk berada 10KM dari kawasan penyimpanan sisa buangan radioaktif itu. - Kajian yang dilakukan oleh Kolej Perubatan Jiangxi di China dari sample darah dan ujian IQ pada kanak-kanak mengemukakan kesimpulan bahawa kanak-kanak di sekitar umur 7-10 tahun yang tinggal berdekatan dengan kawasan pemprosesan nadir bumi berkemungkinan mempunyai IQ atau kecerdasan akal yang lebih rendah berbanding mereka yang tinggal jauh atau yang tinggal di kawasan yang terkawal. |
You are subscribed to email updates from Politiksukusakat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan