Khamis, 26 Januari 2012

pemuda cheh

pemuda cheh


Siapa lebih baik: Rakyat makin cerdik berkira-kira BN atau PR untuk dipangkah

Posted: 25 Jan 2012 07:52 PM PST



Sebenarnya Pakatan Rakyat tidak perlu mengadakan konvensyen seperti yang diadakan di Alor Setar baru-baru ini, jika semangat mahu menolak BN yang mereka sudah tanamkan kepada rakyat Malaysia masih kekal di sanubari.

Yang perlu mengadakan konvenyen ialah Umno dan BN. Mereka hilang semangat akibat hilang banyak kerusi dalam PRU-12, tahun 2008. Mereka yang penuh dengan masalah, perlu berkonvenyen, berbaiah dan berikrar bagi mencari sesuatu yang mereka pegang, kini sudah terlepas.



Tetapi, terlalu yakin dengan semangat lama sahaja tentulah tidak memadai, kerana pokok yang subur pun perlu disiram air dan dibajai agar kekal subur dan mampu mengeluarkan pucuk dan bunga baru – seterusnya, menghasilkan buah-buah yang sedar dan tidak buruk di atas pokok.

Kehadiran yang begitu ramai di stadium, di mana konvensyen diadakan, sehingga menyebabkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat mengatakan "macam duduk di Padang Arafah" sebelum memulakan ucapan mengambarkan penyokong-penyokong parti, sudah bersedia untuk menerima suntikan baru dari pemimpin Pakatan, termasuk Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abd Hadi Awang; Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim;  Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw; dan Timbalan Presiden KeADILan, Mohd Azmin Ali.

Mereka berikrar, mahu melihat Malaysia sebuah negara baru yang mengutamakan prinsip keadilan sosial, demokratik dan berkebajikan. Sebenarnya Pakatan boleh melakukannya jika mereka berjaya mengajak rakyat supaya menjauhkan diri dari BN. BN sudah diberi peluang untuk memerintah negara ini lebih 50 tahun dan mereka ternyata tidak dapat meneruskan tugas mentadbir negara ini dengan holistik dan membenci rasuah.

Maka, jika masing-masing sudah tahu bahawa BN sudah tidak mampu, bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang baru, pastikan rakyat diberitahu "asalkan bukan BN", undilah! Setiap rakyat Malaysia yang ingin melihat sebuah Malaysia baru, pastikan Malaysia bebas dari BN. Atau, dalam bahasa lain, Malaysia mesti dimerdekakan dari BN. 

BN tidak layak terus diberikan undi dan sokongan kerana mereka tidak pernah berniat mahu mentadbir negara dengan jujur. Rakyat tidak perlu rasa bersalah kepada Umno dan BN kerana mereka sudah diberi peluang. Bukan sepenggal, bukan dua penggal dan bukan lima penggal tetapi sudah 12 penggal. Cukuplah! Beritahu kepada mereka, cukup-cukuplah.

Disebabkan sudah terlalu lama dalam cengkaman BN, rakyat mungkin merasakan, tanpa BN rakyat akan susah. Lagipun, inilah yang sering difatwakan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan BN. Jika tukar pemerintah, negara ini akan hancur!

Mereka akan menyebut beberapa negara yang musnah kerana pertelingkahan. Mereka akan menyeru perpaduan kononnya dengan berpadu di bawah BN sahaja maka negara akan dapat diselamatkan. Sebenarnya, mereka menagih sokongan bagi meneruskan regim mengaut kekayaan dan memunggah harta negara untuk memboroikan perut mereka.

Mereka tidak nyenyak tidur memikirkan kemungkin mereka akan kehilangan kuasa. Tetapi dalam masa yang sama, mereka mengizinkan NFC bergelumang dengan skandal dan dakwaan menyalahgunakan pinjaman mudah kerajaan.

Malaysia tentunya akan menjadi sebuah negara yang baru tanpa BN. Dengan udara baru yang lebih segar, Pakatan tentunya menginsafi betapa deritanya rakyat susah yang masih makan sekali sehari dek pembangunan yang tertumpu kepada kepentingan kroni.

Bagi BN, apabila Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar dari dakwaan meliwat bekas pembantunya, seolah-olah hayat politik mereka sudah sampai ke penghujungnya. Kalau boleh, mereka hendak kenakan juga Anwar dan itulah sebabnya beberapa NGO disuruh membuat desakan supaya Peguam Negara membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mereka tidak puashati dengan keputusan Hakim Mohd Zahidin Md Diah. Bagi mereka, sepatutnya Anwar dipenjarakan dan mereka akan mudah berdepan dengan pengundi dalam PRU-13, ketika Anwar di dalam.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengatakan BN tidak tergugat dengan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Anwar, namun rata-rata mereka yang berada di puncak kuasa BN, mahu melihat Anwar dipenjarakan.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sedang dibelit dengan isu Felda. Belum lagi cerita keborosan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang pernah dikaitkan suka berbelanja besar dan pernah didakwa membeli cincin yang berharga puluhan juta.

Muhyiddin pula terkait dengan isu NFC kerana kelulusan pinjaman mudah itu berlaku di zaman beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Elok sangatlah PM mengarahkan Muhyiddin melihat isu NFC ini dengan dibantu menteri berkenaan, Dato' Seri Noh Omar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom pula sedang terkial-kial menjelaskan isu penggunaan wang zakat untuk membiayai kos guaman. Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Seri Dr Awang Adik Hussein sudah mengaku menerima sumbangan RM100,000 untuk tujuan politik di Bachok.

Ada dakwaan pegawai-pegawai di Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri turut menerima habuan dengan jumlah yang sama seperti pengakuan Awang Adik. Najib juga khabarnya terkejut mendengar cerita budak-budak perkasa bertempiaran lari ke dalam Masjid Wilayah Persekutuan apabila kehadiran mereka tidak setanding dengan kehadiran peserta Perhimpunan 901.

Itu belum lagi cerita bekas Menteri Besar Perlis, Tan Sri Dr Abd Hamid Pawanteh dikaitkan dengan isu skandal kewangan ketika menjadi MB. Ini hanya sebahagian. Jika mahu disenaraikan, tidak cukup ruang di sini. Rakyat memerhati dan dalam masa yang sama, mereka ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara baru yang tidak ada rasuah, penyelewengan dan kisah-kisah mengkayakan kroni dan kaum kerabat sendiri.

BN tidak pernah mahu melihat sebuah Malaysia baru seperti yang diingini Pakatan dan rakyat Malaysia mahukan. Maka, pengundi dan rakyat Malaysia yang ingin melihat Malaysia sebagai negara baru, termasuk pengundi muda, kenalah memegang ikrar yang sudah dilafazkan atas kesedaran mahu membebaskan Malaysia dari BN yang sudah terlalu lama mencengkam.

Percayalah, mereka yang berada dalam BN pun sudah mula melihat saingan parti antara BN dan Pakatan, yang mana satu memberi tawaran yang lebih baik. Apa salahnya, jika mereka mahu berubah selera kerana sebagai sebuah negara demokrasi, parti yang boleh memberi harapan baru perlu diberi perhatian yang lebih.

Umno sudah tua dan sudah terlalu lama berkuasa. Mereka sudah tidak mahu berubah dan pilihan yang ada kepada rakyat Malaysia ialah "rebahkan" mereka. Seperti kata Najib, berubah atau rebah. Setakat ini BN nampaknya memilih untuk rebah dan menjadi tugas dan tanggungjawab pengundi membantu BN untuk direbahkan dalam PRU13 akan datang.

Jangan diberi lagi peluang kerana sudah terlalu kerap peluang diberi. Mereka yang melakukan kesalahan, tidak pernah mahu berhenti dari melakukan kesilapan demi kesilapan.

Tiada ulasan: