Muslimeen United |
Suruhanjaya Diraja untuk siasat Insiden Berdarah UPSI! Posted: 01 Jan 2012 06:17 PM PST KUALA TERENGGANU - PAS mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden berdarah akibat keganasan pihak polis menyurai perhimpunan mahasiswa di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik berkata tindakan ganas polis memukul mahasiswa yang berhimpun di bagi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada malam sambutan tahun baru 2012 sangat tidak wajar. Katanya, suatu siasatan perlu dilakukan segera bagi mencari punca permasalahan hingga berlaku perhimpunan seumpama itu. Menurutnya, jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden tersebut hingga mendatangkan kecederaan parah kepada mahasiswa terbabit. "Saya minta suatu siasatan dilakukan yang menjurus bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang sedia ada dan bukan siasatan hendak cari siapa salah. "Apa puncanya berlaku permasalah (perhimpunan) itu. Jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk membuat siasatan. "Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri mesti bertanggungjawab. Pihak polis mesti bertanggungjawab, Kementerian Pengajian Tinggi mesti bertanggungjawab dan pihak Kementerian Pelajaran sendiri juga mesti bertanggungjawab terhadap insiden ini," tegasnya dalam sidng media khas di sini pada Ahad 1 Januari. Beliau memberi reaksi terhadap insiden Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan UPSI, hingga menyebabkan dua cedera parah serta 17 lagi ditahan di Balai Polis Tanjung Malim, Perak. Menurut Ustaz Abu Bakar, tindakan tersebut telah menimbulkan keresahan yang sangat besar di kalangan rakyat serta mahasiswa di negara ini. Katanya, pihak keselamatan terbabit bertindak mengikut arahan pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat. Sepatutnya, kata beliau pihak pasukan keselamatan seperti polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai. "Mereka (polis) mesti sedar tindakan mereka ini telah menimbulkan keresahan yang besar di kalangan rakyat dan mahasiswa sendiri. "Mereka (polis) sedar bahawa mereka mengikut peraturan yang diarahkan oleh pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat. Sedangkan, tugas mereka (polis) sepatutnya menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai. "Tidak padan (layak) pihak polis hendak berlawan dengan mahasiswa dan bukan lawan dia (polis) untuk memukul mahasiswa, untuk mencederakan mahasiswa bukan lawan polis," jelasnya. Dato' Abu Bakar berkata pihak polis wajar membuat pertimbangan dengan memberi ruang dan masa kepada pelajar menyuarakan rasa hati mahasiswa. Katanya, biarlah mahasiswa menyuarakan rasa hati, berunding serta pihak berkenaan mendengar pendapat dari golongan tersebut. "Polis selayaknya memberi ruang dan masa. Biar mereka (mahasiswa) menyuarakan rasa hati, biar mereka berunding dan dengar pendapat mereka. "Tetapi dengan cara (polis) menunjukkan kekuatan, kehebatan dan kekerasan tidak mendatangkan kebaikan untuk rakyat dalam negara ini," ujarnya. Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 70-an menyokong kebebasan bersuara mahasiswa serta menghapusan akta AUKU. Menurutnya, sejak akta AUKU diperkenalkan dan dikuatkuasakan hingga sekarang pergerakan mahasiswa menjadi agak 'lumpuh'. Ini kerana, kata Dato' Abu Bakar mahasiswa dan pensyarahnya dikongkong oleh Akta AUKU yang begitu menekan golongan tersebut. "Akta ini diperkenalkan sehinggalah tahun 1974, Akta AUKU dikuatkuasa. Pergerakan Mahasiswa menjadi 'lumpuh' dan hingga ke hari ini, kita tidak menyaksikan gerakan mahasiswa bersuara untuk kepentingan negara dan rakyat kecuali terlalu sedikit. "Ini kerana, mereka (pelajar) dikongkong oleh Akta AUKU. Ini bukan sahaja mahasiswa termasuk di kalangan Pensyarah Universiti di negara ini," jelasnya. Beliau mengulangi kekesalan bahawa insiden keganasan polis hingga mendatangkan kecederaan parah kepada pelajar tersebut sebenarnya boleh dielakkan. Katanya, kumpulan mahasiswa terbabit sekitar 60 orang yang berhimpun secara aman bagi menyatakan sokongan terhadap rakan mereka. Menurutnya, alasan pihak keselamatan bertindak dengan memukul terlalu kasar dan ganas itu tidak wajar. -BO |
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan